27 November 2012

Menteri tidak hadir sidang dewan mengecewakan

13 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah amat mendukacitakan apabila tempoh yang diberikan untuk sesi perbahasan terlalu singkat.

"Persidangan kali ini agak mendukacitakan apabila masa yang diperuntukkan amat terhad pada sesi perbahasan sehinggakan ahli parlimen tidak mempunyai masa untuk mendedahkan segala kepincangan yang berlaku pada sesi perbahasan bagi setiap kementerian," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malah menurutnya lagi, kebanyakan menteri juga gagal hadir untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh ahli parlimen.

"Selain dari masa yang tidak mencukupi, kita juga melihat kebanyakan menteri gagal hadir untuk menjawab setiap permasalah yang ditimbulkan.

"Malah hanya timbalan menteri sahaja yang hadir untuk menjawab, dalam pada itu juga timbalan menteri tidak membuat penyelidikan kementerian sehinggalah jawapan yang diberikan itu hanya mengikut teks yang disediakan oleh pegawai," sambung beliau lagi.

Firdaus memberitahu jawapan timbalan menteri tidak pernah menjawab setiap apa yang ditimbulkan, imej yang ditunjukan itu telah menjejaskan sikap kerajaan yang memerintah.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukan oleh timbalan menteri hanya memberi jawapan berbentuk politik dan menyerang peribadi ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya pasti apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintah di Putrajaya, menteri perlu hadir untuk mengikuti perbahasan bagi kementerian yang diwakili olehnya," kata beliau lagi.

Menurutnya lagi, Pakatan juga akan memastikan menteri akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan serta memberi masa yang cukup kepada ahli parlimen setiap kali berbahas.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pemerintahan umno bn yg lemah mcmni...nak dipertahankan lagi?