7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.
Firman Allah Taala, maksudnya:
“Sesungguhnya,
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi
sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)
Pengenalan
Menurut
sistem politik Islam/siasah syar`iyyah, sumber rujukan tertinggi dalam
negara ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber tersebut
menggariskan prinsip pentadbiran yang menjadi teras kepada tercapainya
keadilan dan ketelusan pentadbiran negara. Sebaliknya tanpa al-Quran dan
al-Sunnah, maka pentadbiran yang dijalankan akan menjadi pentadbiran
yang cacat dan lemah, kerana dipergunakan oleh golongan pemimpin untuk
mengaut keuntungan diri serta menindas pihak lain.
Dalam ayat
al-Quran di atas, Allah Taala menetapkan dua prinsip politik Islam yang
sangat utuh iaitu; Menunaikan amanah/tanggungjawab dan melaksanakan
keadilan. Bertolak dari situ, kerajaan Kelantan, di bawah kepimpinan Tok
Guru Datuk Nik Abdul Aziz, dengan beraninya telah menjadikan al-Quran
dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran sejak tahun 1990 lagi bagi
memandu kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya
mengaut keuntungan diri di atas penderitaan rakyat. Pihak kerajaan telah
mengisytiharkan dasar keislaman secara terbuka, melalui slogan
“Membangun Bersama Islam”. Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dalam
sistem politik dan pentadbiran di Malaysia
Peranan al-Quran dan al-Sunnah dalam Pentadbiran Kelantan
Menteri
Besar Kelantan mengakui bahawa banyak sekali pengajaran yang terdapat
dalam al-Quran yang dilaksanakan melalui program pembangunan Islam,
dakwah dan pembangunan insan di Kelantan. Contohnya, mengajak orang
Islam menghayati solat iaitu Kerajaan Negeri menganjurkan program Bulan
Sembahyang. Begitu juga Kerajaan Negeri meluluskan Kanun Jenayah Syariah
2 Kelantan.
Dalam perkara-perkara yang tidak dinyatakan al-Quran
dan al-Sunnah secara langsung, maka kerajaan Kelantan menggunakan
kaedah ijtihad untuk menyelesaikan perkara tersebut. Banyak pembaharuan
yang dilakukan berlandasakan kaedah ijtihad ini seperti mengadakan papan
tanda berunsurkan Islam, menambah cuti bersalin kepada 60 hari dan
sebagainya.
Di antara petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang dilaksanakan dalam pentadbiran Kelantan ialah:
Pertama: Menghidupkan Prinsip Kedaulatan Syariah, Prinsip Syura, Prinsip Amanah/Mas’uliah, Prinsip Keadilan.
i: Prinsip kedaulatan Syariah Islamiyyah
Kerajaan
Kelantan menjadikan Syariah Islamiyyah sebagai landasan utama dalam
urusan pentadbiran, berpandukan Firman Allah, maksudnya:
“...
dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang
kafir.” (Surah al-Maidah : ayat 44)
Dasar ini dikira sebagai
asas akidah atau kepercayaan (usul i`tiqadiyyah ) bagi kerajaan. Dengan
itu kerajaan menolak teori dan kaedah yang bercanggah dengan Islam.
ii: Prinsip Syura
Kerajaan
Kelantan menetapkan sesuatu keputusan melalui perbincangan berbagai
pihak yang memiliki kepakaran, tanpa melanggar prinsip Islam, seperti
yang dinyatakan dalam firman Allah Taala, bermaksud:
“...dan
juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal
keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran : ayat 159)
Prinsip Syura ini amat penting
kerana dapat mengelakkan daripada pemerintahan secara kuku besi.
Sebaliknya syura dapat melahirkan sikap tanggungjawab bersama yang
tinggi, kerana masing-masing mengetahui bahawa keputusan yang diambil
itu adalah keputusan bersama. Semangat dan roh syura merupakan perkara
pokok dalam kegiatan pentadbiran Kelantan..
iii:Prinsip menunaikan amanah/mas’uliyyah
Tuan
Guru Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan
bukanlah suatu anugerah untuk mengaut keuntungan diri sendiri.
Sebaliknya kepimpinan merupakan amanah dan mas’uliyah yang berat
terhadap Allah dan masyarakat sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman
Allah Taala dalam ayat 58 Surah an-Nisa di atas.
Pemimpin akan
menghadapi soal jawab di akhirat dan sentiasa terdedah kepada kritikan
orang ramai di dunia, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW.
Prinsip
ini menekankan supaya pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik
mungkin, tanpa menyeleweng, kerana segala perbuatan mereka akan disoal
oleh rakyat dan disoal oleh Allah di akhirat. Menurut Ibn Taymiyyah,
prinsip amanah ini amat penting kerana dapat menjamin pihak berkuasa
benar-benar menjalankan siasah yang adil, berpegang kepada sistem dan
peraturan, etika dan nilai yang mulia. Dengan itu dapat menghindarkan
daripada kegiatan rasuah, penyelewengan, kronisme dan sebagainya.
iv: Prinsip menegakkan keadilan
Kerajaan
Kelantan mendokong dasar keadilan sejagat tanpa mengira perbezaan
agama, bangsa dan fahaman politik berpandukan Firman Allah Taala dalam
ayat 58 Surah an-Nisa di atas.
Oleh itu, kerajaan Kelantan menentang keras sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas rakyat.
Dasar
keadilan kerajaan Kelantan sangat menekankan jaminan perlindungan
hak-hak warganegara yang beragama Islam dan yang bukan Islam dalam semua
aspek kehidupan. Menurut Ibn Khaldun, kezaliman akan mendedahkan negara
kepada kemusnahan.
Kedua: Merealisasikan Konsep Kepimpinan Ulama
Kepimpinan
Ulama telah diangkat menjadi peneraju kepada Kerajaan Kelantan. MB
Kelantan menyatakan bahawa beliau adalah pemikul amanah Allah untuk
melaksanakan segala perintah-Nya dalam Negeri Kelantan. Beliau berpegang
kepada peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Sesiapa
yang menjadi pemimpin masyarakat Islam, kemudian dia meninggal dunia
dalam keadaan mengkhianati mereka itu, maka diharamkan syurga baginya.”
(Hadis Imam al-Bukhari)
Beliau faham bahawa seorang pemimpin
dikira melakukan ibadat sewaktu mentadbir negeri mengikut panduan
Islam. MB menegaskan bahawa, beliau tidak boleh mengubah atau lari
daripada dasar Islam, kerana dasar yang bercanggah dengan Islam akan
membawa kerosakan
Kepimpinan Ulama di Kelantan sangat menekankan
ciri-ciri dan kelayakan yang tinggi dari segi ketakwaan, ketinggian
akhlak, kemampuan ilmu dan kemahiran mengurus.
Tanpa kelayakan
tersebut, pemimpin tidak mampu melaksanakan tugasnya untuk mendaulatkan
Islam dan membangunkan negara. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yakin
bahawa pemimpin yang bersih jiwa dan hartanya sahaja akan dapat
menjalankan tugas dengan sempurna dan mampu menjaga kepentingan rakyat
jelata. Sebaliknya para pemimpin yang kotor hati dan hartanya akan
sentiasa tenggelam dalam gelombang keduniaan yang merasuk jiwa dan
akhirnya rakyat menjadi mangsa dan korban kerakusan serta kezaliman
mereka itu.
Para pemimpin kerajaan dijaga daripada perlakuan
buruk seperti rasuah. Beliau yakin dengan janji Allah untuk mengangkat
tinggi kedudukan orang berilmu dan yang beriman.
Ketiga : Mencetuskan Pembaharuan Yang Hebat
Antara pembaharuan yang berjaya dilakukan ialah :
i.
Menyelamatkan wang rakyat daripada unsur riba dengan memindahkan
simpanan tetap Kerajaan Negeri daripada bank yang mengamalkan sistem
konvensional (Bank Bumiputra Malaysia Berhad) ke Bank Islam Malaysia
Berhad. Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) mulai tahun 1992 dan
mengarahkan semua pajak gadai yang beroperasi menggunakan kaedah riba
ditukar kepada sistem Islam mulai tahun 1993. Sistem ini kemudiannya
ditiru oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia dan Bank Rakyat.
Menjadi
satu kesalahan besar menurut al-Quran dan al-Sunnah apabila kerajaan
membiarkan rakyat bergelomang dengan gejala riba dan maksiat.
ii.
Menguatkuasakan etika berpakaian menutup aurat kepada kakitangan
kerajaan sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran. Malah Kerajaan
Negeri tidak lagi membenarkan papan iklan yang memperagakan wanita yang
mendedahkan aurat.
iii. Mengharamkan terus perjudian pada 1
Januari 1992 berpandukan nas al-Quran dan hadith Nabi yang jelas
mengharamkan judi. Firman Allah Taala, bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan
berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah
(semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah : ayat 90)
MB
Kelantan menyatakan bahawa pengharaman judi ini adalah selaras dengan
prinsip semua agama kerana terdapat unsur-unsur tipu muslihat
iv. Menghidupkan amalan Solat Sebagai Instrumen Siasah dan pentadbiran
Sebenarnya
kedudukan solat sebagai instrumen penting dalam kehidupan telah
ditegaskan oleh al-Quran melalui ayat berikut, maksudnya:
“Dan
mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah : ayat 45)
Allah
SWT menjadikan solat sebagai mekanisme yang hebat untuk membantu
manusia menyelesaikan berbagai persoalan hidup. Manusia perlu
menggunakan solat untuk melicinkan hidup mereka.
Atas dasar itu,
kerajaan Kelantan menjadikan solat hajat beramai-ramai sebagai cara
menghadapi masalah yang besar, contohnya dalam krisis Pergau 1992.
Melalui solat hajat beramai-ramai, pihak kerajaan pusat bersedia
menyelesaikannya, malah jumlah pampasan yang diberikan adalah melebihi
daripada jumlah yang dituntut. Apabila Umno mencadangkan perkataan Islam
dibuang daripada parti politik, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah
menganjurkan solat hajat peringkat negeri pada 8 Disember 1994. Semasa
krisis dengan S46 juga solat hajat telah diadakan pada bulan Mei 1996 di
padang SMU(A) Maahad Muhammadi.
v. Menghapuskan kegiatan pelacuran bagi menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran.
vi. Menggubal undang-undang Islam yang diberi nama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.
vii.
Menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa riba untuk kakitangan kerajaan
negeri kerana riba adalah haram, walaupun kerajaan kehilangan pendapatan
sebanyak RM123,000 setahun.
Kelebihan Pentadbiran Al-Quran dan Al-Sunnah Kepada Masyarakat
Antara kelebihannya ialah:
Pertama: Mengawal kerajaan daripada dipengaruhi perkara negatif.
Penghayatan
al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran dapat mengawal daripada
berlakunya gejala penyelewengan, rasuah, pecah amanah dan khianat. Oleh
itu, didapati dalam tempoh 20 tahun kerajaan Kelantan telah mencatatkan
rekod bersih tanpa kes rasuah yang didakwa di mahkamah yang melibatkan
para pemimpin Kerajaan.
Kedua: Meningkatkan sokongan masyarakat
Berpandukan
petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, kerajaan berjaya memperkenalkan
banyak produk pentadbiran Islam yang dapat memenuhi cita rasa
masyarakat, terutamanya produk keislaman dan kebajikan. Masyarakat
sentiasa menanti-nanti program keislaman tanpa jemu-jemu, Mereka senang
hati kepada kerajaan dan percaya kepada keberkatan dalam amalan politik
Islam seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT, bermaksud:
“Dan
(Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka
mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Araf : 96)
Ketiga: Mengubah Persepsi buruk terhadap Islam dalam pentadbiran
Apabila
Tuan Guru Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar, beliau dengan tegas
menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pentadbiran. Yang
terjadi selepas itu ialah tidak ada huru hara yang berlaku, tiada
kegagalan ekonomi, tiada penyelewengan, tiada perbalahan kaum dan agama,
sebaliknya wujudnya keharmonian, perkembangan ekonomi dengan
penglibatan golongan pelabur yang sanggup menjalankan aktiviti
perniagaan besar. Tambahan pula banyaknya peningkatan aktiviti dakwah
dan kebajikan masyarakat dari semasa ke semasa. Hal ini telah membuka
pandangan positif masyarakat terhadap kemampuan Islam dalam pentadbiran
yang bergantung sepenuhnya kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad.
Keempat: Membentuk Pemikiran positif terhadap ulama sebagai peneraju Kerajaan
Umno
dari awal lagi telah memperlekeh kepimpinan ulama kerana dianggap tidak
tahu mengurus pentadbiran. Mereka berkata kerajaan Nik Aziz akan jatuh
dalam masa tiga bulan atau tidak sampai setahun. Namun begitu segala
tuduhan itu tidak benar, sebaliknya kepimpinan Nik Aziz telah bertahan
sekian lama dengan rekod pembaharuan dan bersih. Akhirnya membuka mata
masyarakat bahawa ulama sebenarnya golongan yang berwibawa dalam
pentadbiran kerajaan
Penutup
Al-Quran dan al-Sunnah telah berjaya membawa berbagai kebaikan kepada
masyarakat apabila kedua-dua sumber itu dijadikan rujukan utama dalam
kerajaan. Namun, harus diingat bahawa penghayatan al-Quran dan al-Sunnah
itu hendaklah diterajui oleh golongan ulama yang bertakwa dan tidak
menjadi hamba abdi kepada dunia. Inilah intipati sistem pemerintahan
yang bernaung di bawah bayangan al-Quran dan al-Sunnah seperti yang
dibawa oleh Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.
Beliau
telah berjaya merubah landskap politik tanah air. Melalui penghayatan
al-Quran dan al-Sunnah dalam pentadbiran menjadikan aktiviti kerajaan
terpimpin dan selamat daripada penyelewengan, mendapat sokongan padu
masyarakat, mengubah persepsi buruk terhadap Islam sama ada daripada
orang Islam sendiri atau bukan Islam, mencetus sikap baru terhadap
kebaikan Islam dalam pemerintahan, memperkasakan amalan Islam dalam
perbankan dan skim gadaian Islam, menyuburkan minat golongan bukan Islam
untuk mengenali Ajaran Islam.
Shukeri bin Mohamad berasal dari Kg Kuala Nipah, Bachok, Kelantan. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah.