06 September 2013

Umno pandang serong terhadap Ikhwan Muslimin - Anwar

29 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN mempunyai perasangka buruk terhadap gerakan islam Ikhwan Muslimin.

Anwar mendedahkan, sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau pernah dinasihatkan oleh perisikan supaya tidak bertemu wakil gerakan Islam itu yang datang ke Malaysia ketika itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengendahkan 'nasihat' itu, namun sekadar menukar tempat pertemuan.

“Bila Mursyidul Am Ikhwan di Malaysia, Muhammad Mahdi’ Akif, saya dinasihati perisikan supaya tidak bertemu (mereka) kerana mereka kononnya ekstrimis Islam, radikal dan sebagainya.

“Saya terpaksa berbincang dengan Abdul Hamid Abu Suleyman dengan bertemu di pejabatnya.

"Saya, Timbalan Perdana Menteri ketika itu datang ke pejabat Hamid untuk makan tengah hari,” katanya dipetik Selangorku.

Anwar mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan buku ‘Di sebalik Ikhwan Muslimin: Hakikat tentang Pergerakan Politik Terkuat Dunia’ petang semalam.

Menurut Anwar yang juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir bercuti di luar negara tiga bulan, maklumat-maklumat serong tentang Ikhwan itu diterima Umno sehingga mereka tidak menjalinkan kerjasama dengan gerakan Islam itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menggalakkan wakil Ikhwan Muslimin bertemu dengan Umno bagi menerangkan kedudukan sebenar berlaku di Mesir ketika ini.

Harakahdaily

'Baik potong elaun saya sekarang...'

29 Syawal 1434 H. [MOD] -

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyokong cadangan agar elaun minyak bagi anggota Kabinet dan pegawai kerajaan dipotong ekoran kenaikan harga minyak yang diumumkan perdana menteri Isnin lalu.


Beliau juga sedia jika langkah tersebut mampu mengukuhkan keadaan ekonomi negara, kata Hishammuddin seperti dipetik dalam laporan akhbar hari ini.


“Kalau kita mahu rakyat melihat situasi ini (pengurangan subsidi minyak) dengan berjimat, kita juga sebagai wakil rakyat harus sanggup lakukan perkara sama.


“Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.


Beliau mengulas saranan oleh pengarah strategi PKR Rafizi Ramli agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memastikan menteri dan timbalan menteri membayar petrol mereka sendiri untuk memahami bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel.


Sikapnya yang ditunjukkan Hishammuddin itu berbeza dengan kenyataan seorang lagi menteri kabinet Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan cadangan Rafizi sebagai "idea bodoh".


Malaysiakini

Habuan jadi duta selepas serang Anwar

29 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan pelantikan Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim sebagai duta ke Indonesia adalah ganjaran dan bayaran balik atas jasa pengkianatan yang dilakukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Katanya, itulah yang menjadi budaya di dalam Umno BN hari ini bukan memberi jawatan atas dasar kelayakan tetapi berdasarkan politik semata-mata.

Malah katanya, pelantikan ini memberi gambaran sebenar kepada negara luar kerana mereka sendiri akan menilai perkhidmatan berdasarkan penghantaran duta ke luar negara.

"Duta yang dilantik mestilah berintegriti bukan memberi ganjaran politik, ini kerana imej yang ditunjukkan adalah imej yang tidak baik," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya adakah Zahrain layak dilantik sebagai duta, Khalid berkata, Zahrain tidak nampak ada kemampuan itu memandangkan di dalam Parlimen pun beliau kurang menyerlah dari segi idea pembangunan negara.

Melainkan, tambahnya Zahrain hanya lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja di dalam parlimen.

"Kalau mesej itu sahaja yang nampak ia tidak ada benda yang boleh dibanggakan sepatutnya membawa idea-idea yang bernas untuk Malaysia," katanya.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman mengesahkan Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.


Harakahdaily

Sarawak perlu 100,000 unit Rumah Mampu Milik

29 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa kerajaan BN membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri itu memandangkan Sarawak mempunyai keluasan tanah yang luas sedangkan ramai rakyatnya masih tidak mempunyai rumah.

Dalam kenyataan medianya, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee (gambar) berkata, harga rumah di Sarawak adalah antara yang termahal di Malaysia sedangkan ramai penduduk tempatan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri kecuali mereka yang terpaksa membeli rumah kos rendah yang kecil dan kurang berkualiti.

Jelasnya, BN telah berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik termasuk 500,000 unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang digerak oleh sektor awam dan swasta.

"Menurut laporan akhbar tempatan baru-baru ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertekad membantu negeri Sarawak memenuhi keperluan perumahan mampu milik untuk rakyatnya dalam perancangan untuk lima tahun akan datang," ujar beliau.

Kerajaan BN negeri, jelas beliau berjanji untuk membina 50,000 unit rumah dengan kerjasama JPN, Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selain agensi negeri yang berkaitan.

Sambil mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri itu, beliau bagaimanapun mahu jumlah unit rumah itu ditambah kepada 100,000 unit bagi menampung keperluan penduduk tempatan Sarawak yang masih belum memiliki rumah sendiri.

"Syarat untuk memiliki rumah mampu milik juga perlu dipinda dari umur 21-50 tahun kepada 21-55 tahun dengan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM5000 ke bawah.

"Harga rumah mampu milik juga perlu dikaji semula sekurang-kurangnya dari RM200,000 ke bawah dengan konsep rumah mesra seperti skim perumahan rakyat di zaman Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub (1970-1981) memerintah Sarawak dulu, di mana rakyat diberi se-lot sebuah rumah," katanya.


Harakahdaily

Zahrain jadi duta, pejuang setia Umno dapat apa?

29 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim dilaporkan akan dilantik sebagai duta ke Indonesia. 

Perkara ini juga sudah pun disahkan oleh Menteri Luar, Anifah Aman petang semalam. 

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.

Bagi penulis blog Shahbudin Husin, walaupun Zahrain menafikan perlantikannya sebagai ganjaran kerana meninggalkan Anwar dan menyokong kepimpinan Najib, tetapi rata-rata kalangan dalam Umno percaya tiada ada sebab atau merit lain yang boleh dijadikan sandaran kepada pelantikannya itu melainkan sebagai ‘upah’ atas pengorbanannya itu.

“Selain itu, perlantikannya sebagai duta ke Indonesia juga dikhabarkan untuk mengekang pengaruh Anwar di negara tersebut memandangkan Ketua Pembangkang itu dipercayai mempunyai pengaruh serta simpati yang besar di kalangan tokoh-tokoh politik di negara tersebut,” tulis beliau di dalam blognya semalam. 

Harakahdaily

AirAsia tawar 6 juta tiket tambang terendah

29 Syawal 1434 H. [MOD] -
AirAsia Group akan menawarkan enam juta tiket dengan tambang harga terendah di Pameran MATTA 2013 bermula 6-8 September.
    
AirAsia dalam satu kenyataan berkata tiket daripada AirAsia danAirAsia X ialah bagi penerbangan domestik dan juga antarabangsa dalam rangkaian AirAsia. 

"Tambang domestik terangkum bermula daripada RM34 manakala tambang antarabangsa eksklusif terangkum adalah seperti berikut: Thailand atau Indonesia daripada RM68, Singapura daripada RM49, India daripada RM173, China daripada RM135, Myanmar daripada RM158 dan Indo-China (Vietnam, Laos dan Kemboja) daripada RM134," kata syarikat penerbangan itu.
    
AirAsia berkata tempoh tempahan bagi tawaran istimewa itu ialah dari 6-8 September 2013, bagi tempoh perjalanan dari 1 Oktober 2013 hingga 5 Ogos 2014.
    
AirAsia X berkata ia juga akan menawarkan diskaun 20 peratus bagi tambang destinasi jarak jauh ke Korea Selatan, China, Australia, Taiwan, Jepun dan Nepal. 



Malaysiakini

Pak Samad rela dilucut gelaran SN, kerakyatan

29 Syawal 1434 H. [MOD] -



Pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said berkata beliau mengalu-alukan sekiranya kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan pendesak agar gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada 1985 ditarik balik.


Tidak cukup dengan itu, tokoh sastera itu berkata beliau juga tidak kisah jika kewarganegaraannya juga dilucutkan.



"Soal tarik balik anugerah Sasterawan Negara itu sangat bapak alu-alukan. Teruskanlah.



"Malah kalau ingin tarik balik warganegara saya pun, saya alu-alukan,” katanya dalam SMS kepada Malaysiakini.



Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas beliau, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.



Beliau juga mengulas desakaan yang timbul, seperti yang diulas oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, agar gelaran tersebut ditarik balik.



Kumpulan berhaluan kanan Melayu, PERKASA pula dilaporkan menuntut agar tindakan tegas dikenakan ke atas individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya.



Menurut NGO tersebut, individu berkenaan tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana perbuatan itu didakwa menghina bangsa dan negara.


Diminta mengulas dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis terpaksa menahan beliau selepas tokoh itu menyelinap masuk ke rumah pada tengah malam kelmarin, A Samad berkata:


"Sudah terlalu banyak berita tentang peristiwa seputar bapak. Cukuplah. Jika ingin ditambah biarlah seputar polis sahaja," katanya.



Malaysiakini