26 Januari 2010

Bubar DUN, PAS Perak gesa rakyat bersiap sedia

10 Safar 1431H

PAS Perak hari ini menggesa seluruh rakyat negeri itu bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya pilihanraya semula berikutan desas-desus yang bertiup kencang akan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain, ketika mengulas isu itu turut menggesa seluruh rakyat khususnya mahasiswa dan anak muda yang masih belum mendaftar untuk segera berbuat demikian bagi memastikan mereka tidak terkecuali dalam membuang undi sekiranya pilihanraya berkenaan benar-benar berlaku

"Saya dengan ini merayu dan menggesa seluruh mahasiswa, belia dan mana-mana golongan rakyat di negeri ini (Perak) yang belum mendaftar sebagai pemilih untuk berbuat demikian secepat mungkin.

Ini kerana jika DUN dibubarkan, kita tidak mahu mereka yang layak mengundi tidak dapat berbuat demikian disebabkan kelewatan mereka untuk mendaftar" jelas beliau.

"Oleh itu sebagai anak muda, kita perlu sedar akan peranan dan suara kita yang sangat berkuasa dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan" tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar konflik yang berlaku di Perak selama ini akan terlerai dengan pembubaran DUN demi menjamin kestabilan politik dan pembangunan di Perak.

"Apa yang lebih penting bagi kita adalah apabila mandat diserahkan semula kepada rakyat melalui pilihanraya, kestabilan politik di Perak akan dapat dikembalikan demi menjana pembangunan dan ekonomi yang mapan" jelas beliau seperti kenyataannya yang diterbitkan dalam Malaysiakini..

    Bekas pengerusi GERAK rasmi sertai PKR

    10 Safar 1431H

    Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia), MohdMohd Yunus hari ini secara rasmi menyertai PKR.

    Kemasukan beliau diumumkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Merchant Square Tropicana, kira-kira jam 2.20 petang ini.

    Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan beberapa exco AMK.

    Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini Mohd Nazree berkata beliau memilih PKR kerana perjuangan parti itu selari dengan prinsipnya untuk melawan rasuah dan membina integriti sepertimana sebelum ini, ketika beliau menjadi pengerusi Gerak.

    Menurutnya, kemasukan beliau itu juga adalah disebabkan ketokohan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Malaysia baru dalam landskap politik Malaysia.

    Di samping itu, katanya, penyertaan beliau dalam PKR itu bagi mengisi kekosongan generasi muda untuk terus berjuang bersama Anwar untuk membina masyarakat madani dan urustadbir yang lebih baik.

    "Ini adalah fasa baru dalam perjuangan saya. Bukan bermakna NGO itu gagal, tetapi saya menekankan dari sudut pendekatan melalui politik dengan membantu pimpinan yang sedia ada," katanya.

    Mengulas lanjut, Mohd Nazree berkata beliau bertemu dengan Anwar Rabu lalu dan ketua pembangkang itu menyatakan keterbukaannya untuk menerima kemasukan beliau.

    Semalam dilaporkan Mohd Nazree meletakkan jawatan sebagai pengerusinya GERAK berkuatkuasa serta merta untuk menyertai bidang politik.

    Keputusan ini dibuat setelah perbincangan dibuat bersama ahli majlis tertinggi GERAK Malaysia dan merupakan keputusan Mohd Nazree sendiri.

    Mohd Nazree sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung agihan lembu korban di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak sewaktu Hari Raya Korban.

    Ditanya sama ada kemasukannya untuk membantu menguatkan lagi AMK ekoran pertuduhan liwat tehadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazree berkata: "Soal peranan saya dalam parti, terserahlah kepada pucuk pimpinan parti. Saya bersedia untuk membantu dari aspek-aspek yang diperlukan."

    Ditanya sama ada beliau ditawarkan jawatan tertentu dalam sayap parti itu, Mohd Nazree berkata, beliau tidak ditawarkan apa-apa jawatan dan menyerahkannya perkara kepada pucuk pimpinan parti.

    Malaysiakini/-

    KENYATAAN MEDIA :MB Perak, Mahkamah Persekutuan putuskan 9 Feb

    10 Safar 1431H

    Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 9 Februari depan kes pertikaian berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah . Demikian satu kenyataan rasmi yang dimaklumkan kepada Sekretariat pakatan Rakyat Negeri Perak oleh MB Rakyat perak, Dato Seri Ir. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin sebentar tadi

    Beliau juga memaklumkan telah menerima surat rasmi dari mahkamah berkenaan dan mahkamah akan bersidang pada jam 9.30 hari berkenaan.

    Sehubungan dengan beliau memohon dari seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat supaya mendoakan kepada Allah SWT agar mengembalikan keadilan dan kemakmuran di negeri Perak .

    "Saya menyeru supaya semua pihak mendoakan kepada Allah agar mengembalikan keadilan dan kemamuran untuk negeri Perak" Katanya dalam kenyataan itu.

    KENYATAAN MEDIA/25 JAN 2010

    YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
    Sekretariat Pakatan Rakyat
    Negeri Perak.

    SEKITAR HARI PENDAFTARAN PELAJAR, TADIKA SERUAN ISLAM ALIRAN MANDARIN PADA 17HB JAN 2010

    10 Safar 1431H
    Emel : Kamal Koh

    ASSALAMU 'ALAIKUM.

    Shukur alhamdu lillah. HARI PENDAFTARAN PELAJAR Tadika Seruan Islam Aliran Mandarin telah berjalan dengan lancar pada 17hb Jan 2010.
    Harap saudara dapat memuatkan laporan berikut bersama gambar yang dilampirkan dalam blogspot saudara:

    Pada pagi 17hb Jan 2010 (Ahad), Guru Besar, Puan Zurina, AJK Lembaga Pengurus Tadika Seruan Islam dan AJK Lembaga Pengurus Sekolah Islam Jing Zhen dan isteri mereka telah hadir lebih awal untuk memastikan segala persediaan Hari Pendaftaran Pelajar telah siap dan sempurna. AJK Sekolah Islam Jing Zhen yang hadir termasuk Prof. Madiah Dr. Ahmad Kamil bersama isterinya Azlina Binti Isa, Prof. Madiah Ahmad Mustafa bersama isterinya Zarina Binti Azhari, saudara Firdous Mok dan penyelaras Tadika dan Sekolah Haji Kamal Koh.

    Pada jam 10 pagi, para ibu bapa mulai tiba bersama anak-anak mereka. Mereka bergilir mengisi borang pendaftaran, sementara itu anak-anak bermain dan berseronok dalam bilik kelas dengan ditemani dan diawasi oleh 4 orang guru berasal dari negeri China. 4 orang guru ini termasuk pasangan suami isteri Isa Yang Zilong dan Aishah Xiang Xiao yang baru tiba ke Malaysia pada 9 haribulan Januari dan akan memulakan tugas mengajar pada 18hb Jan; Ruqiah Ma Xiaomei yang sedang mengikuti kuliah di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah; beliau insha Allah akan menyertai pengajaran di Tadika pada bulan Mac selepas tamat mengikuti kuliahnya; Fatimah Suo Yanmei merupakan sukarelawan yang akan memberikan bantuan dan bimbingan berkaitan dengan sabjek Bahasa Arab. Beliau memiliki ijazah sarjana (MA) di bidang pengajian Syariah Islamiah dan sedang menunggu kelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato heikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz, yang juga merupakan Yang Di Pertua Persekutuan Seruan Islam telah tiba pada jam 10.30 dan mengunjungi bilik kelas tadika aliran mandarin untuk melihat kelengkapannya.

    Pada jam 10.45 para ibu bapa telah berkumpul di dewan himpunan pelajar untuk majlis taklimat dan dialog. Pengerusi lembaga pengurus tadika, Haji Abdullah telah menyampaikan ucapan alu-alauan dan diikuti oleh ucapan utama oleh Dato Sheikh Mohd Nor. Dalam ucapan Dato Sheikh Mohd Nor, beliau telah memberikan tekanan mengenai pentingnya usaha dakwah kepada masyarakat Cina melalui bahasa Cina dan kelas tadika aliran mandarin merupakan usaha ke arah melahirkan generasi muslim yang mampu menguasai bahasa Cina.

    Haji Kamal Koh selaku penyelaras tadika aliran mandarin telah memberikan taklimat mengenai latar belakang dan misi penubuhan tadika aliran mandarin dan Sekolah Islam Jing Zhen yang akan memulakan program pelajaran darjah satu tahun 2011. Beliau juga memperkenalkan guru-guru kepada para ibu bapa.

    Majlis diakhiri dengan sesi soal jawap di mana beberapa kemusykilan dan cadangan ibu bapa telah dijawap oleh Guru Besar Zurina.






    'Dalang komplot cuba bubar PKR Kuala S'gor gagal'

    10 Safar 1431H

    PKR Cabang Kuala Selangor masih dan semakin mantap serta kukuh walaupun berita peletakan jawatan AJKnya menjadi berita hangat politik di seluruh negara, kata ketua penerangannya, Mohd Ezli Mashut.

    Menurutnya, pertemuan tertutup antara AJK PKR cabang tersebut dengan Majlis Pimpinan Negeri Selangor malam tadi telah menjelaskan segala-galanya mengenai kedudukan sebenarnya.

    "Dimaklumkan bahawa PKR Cabang Kuala Selangor adalah tidak bubar dan boleh bergerak seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pertemuan tertutup tersebut, katanya, AJK cabang Kuala Selangor bersama Angkatan Muda Keadilan dan Wanitanya menyatakan muafakat kukuh dan meletakkan keyakinan tinggi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menerajui cabang PKR Kuala Selangor dan selaku menteri besar Selangor.

    "Adalah dimaklumkan bahawa perkembangan ini membuktikan bahawa cabang PKR Kuala Selangor semakin mantap dan kukuh walaupun berita sebelum ini menggambarkan seolah-olah PKR Cabang Kuala Selangor sudah bubar.

    "Realiti sebenar ialah sokongan dan dokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin meningkat dari masa ke semasa," tegas Mohd Ezli.

    Di samping itu, katanya, PKR PKR Kuala Selangor juga menerima sokongan mantap dan kuat daripada seluruh ranting yang terdapat di DUN Jeram,DUN Melawati dan DUN Ijok.

    "Malahan dalam pertemuan itu juga, kesahihan peletakan jawatan AJK cabang Kuala Selangor sebelum ini dipertikaikan kesahihannya kerana ada keraguan yang terdapat dalam soal menandatangani surat peletakan jawatan tersebut.

    "Cabang PKR Kuala Selangor juga ingin menegaskan bahawa gerak kerja membela rakyat dan menjana kemenangan PRU-13 akan semakin rancak dan giat selepas ini.

    "Iltizam dan semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota PKR di cabang Kuala Selangor utuh dan terus bersemangat tinggi.

    "Dalang komplot cubaan untuk membubarkan PKR Kuala Selangor gagal dan tidak mendapat sokongan kerana tindakan tersebut menjejaskan imej PKR dan Pakatan Rakyat keseluruhannya.

    "Malahan tindakan menggunakan media terbuka mendapat kecaman hebat daripada pelbagai peringkat PKR," kata Mohd Ezli.

    Justeru, katanya, cabang PKR Kuala Selangor berharap seluruh pendukung PKR di Kuala Selangor fokus kepada gerak kerja membela rakyat dan memperkasa gerak kerja PKR di cabang tersebut.

    "Kita tiada masa untuk melayan karenah politik remeh-temeh kerana PKR mempunyai banyak agenda dan gagasan besar perubahan dan membela rakyat di Selangor dan negara ini.

    "Cabang PKR Kuala Selangor menyatakan pendirian tegas dan kukuh bersama-sama Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendepani perubahan di Selangor dan bersama-sama membawa semangat kukuh ini untuk membawa perubahan total dan impak besar dalam PRU-13," tegasnya.

    Malaysiakini/-

    'King Ghaz' meninggal dunia

    10 Safar 1431H

    Bekas menteri dalam negeri Tun Ghazali Shafie meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya kira-kira 7.45 malam ini.

    Kematian Ghazali, 88, disahkan oleh cucunya Farah ketika dihubungi.

    Ghazali, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, meninggalkan dua orang anak lelaki Bachtiaer dan Sheriffudin.

    Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008.

    Beliau turut digelar "King Ghaz" kerana tegas dalam menjalankan tugas-tugasnya.

    Allahyarham mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki Umno.

    Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik Umno sehingga 1978.

    Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan naib presiden Umno pada 1981.

    Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972.

    Allahyarham bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1974 di kawasan Parlimen Lipis di mana beliau menang tanpa bertanding.

    Beliau memulakan kerjaya dengan kerajaan pada 1941 sebagai ahli Pasukan Sukarelawan Malaya.

    Ghazali adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

    Bagi mereka yang mengenali beliau termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

    Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

    Allahyarham berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi menteri luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.

    Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan kapal terbang di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.

    - Malaysiakini/-

    Suspek cuba bakar surau di Muar bertindak sendiri

    10 Safar 1431H

    Empat lelaki yang ditahan polis kerana cuba membakar dua buah surau di Muar, Johor, bertindak secara sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Menurutnya, insiden itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh segelintir remaja dan individu nakal yang ingin menarik perhatian orang ramai.

    "Insiden itu berpunca daripada perbuatan khianat oleh sekumpulan pihak yang bertindak secara bersendiri," kata Hishammuddin dalam kenyataan hari ini.

    Khamis lepas, dua buah surau itu mengalami kerosakan kecil selepas dibakar, yang dipercayai perbuatan khianat.

    Hishammuddin juga mengucapkan tahniah kepada polis kerana kecekapan dalam menjalankan siasatan tanpa pilih kasih kerana menahan salah seorang suspek itu yang merupakan anak kepada seorang pegawai polis.

    Beliau juga mengarahkan polis untuk meningkatkan pengawasan dan pemantauan bagi memastikan insiden malang itu tidak berulang.

    - Bernama

    Polis naik pentas hentikan ceramah Anwar

    10 Safar 1431H

    Siri ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinci malam tadi kecoh ekoran polis bertindak menaiki pentas untuk memberhentikan ceramah tersebut.

    Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bersama-sama beberapa anggotanya bertindak menaiki pentas ceramah itu di Blok L Flat PKNS Kampung Kerinci meminta ketua pembangkang itu berhenti menyampaikan ceramah.

    Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.35 malam, selepas setengah jam Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh memulakan ceramahnya.

    Kejadian tersebut disaksikan kira-kira 500 hadirin yang hadir di situ sejak jam 8.30 malam.

    Ketika itu Anwar sedang mengulas mengenai pertuduhan liwat terhadapnya serta usaha beliau mendedahkan isu-isu antaranya seperti pembelian kapal selam, kematian Teoh Beng Hock dan kehilangan enjin Jet.

    "Sebab itulah tema ceramah saya bulan ini adalah 'Selamatkan Malaysia'," katanya.

    Tiba-tiba beliau terdengar teriakan daripada hadirin "Polis datang", lantas Anwar yang menyedari kehadiran polis berkata: "Tak apa, tak apa serahkan saya."

    Selepas itu kelihatan Wan Abdul Bari bersama beberapa anggotanya menaiki pentas meminta Anwar menghentikan ceramahnya menyebabkan para penyokong dan pengawal peribadinya mengerumumi beliau.

    Kedengaran juga teriakan daripada hadirin dan penyokong membantah tindakan polis itu.

    Keadaan menjadi lebih tegang apabila Anwar cuba untuk mengakhiri ceramah dengan bacaan doa tetapi tidak dibenarkan oleh polis.

    Selepas itu kelihatan Anwar bertegang urat Wan Abdul Bari. Namun tidak dapat dipastikan apa yang diperselisihkan pada waktu tersebut.

    Kekecohan itu berlaku selama 10 minit di atas pentas tersebut.

    Ekoran itu, majlis tersebut terpaksa dihentikan dan para penyokongnya membawa ketua pembangkang itu ke dalam sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan pentas tersebut.

    Kemudiannya para penyokong Pakatan Rakyat pula berteriak dengan menyuruh pihak polis yang masih berada di pentas supaya beredar dari situ.

    Pihak urusetia juga bertindak menutup lampu dipentas tersebut, menyebabkan para penyokong bersorak dan melaungkan 'Reformasi' kepada beberapa kali kepada anggota polis yang masih berada di atas pentas.

    Sementara itu Wan Abdul Bari ketika ditemui pemberita selepas kejadian tersebut berkata pihaknya terpaksa memberhentikan ceramah tersebut kerana "ucapannya tidak selaras dengan program mesra rakyat".

    "Ia adalah program perjumpaan dengan rakyat. Pada peringkat awalnya, okay, tetapi bila beliau (Anwar) hadir, ucapan-ucapannya lebih berunsurkan politik yang tidak selaras dengan program mesra rakyat, jadi kita terpaksa memberhentikannya," katanya.

    Sementara itu ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut berceramah ditemui pemberita mengecam tindakan polis naik ke atas pentas.

    Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata tindakan polis itu pentas adalah "tidak wajar".

    Ini kerana katanya tindakan itu "tidak menampakkan profesionalisme" dan "mengundang keadaan yang lebih kecoh".

    Bagaimanapun beliau tidak mengetahui apa yang diperselisihkan oleh Anwar dan Wan Abdul Bari kerana pada waktu itu beliau berada jauh dari pentas sewaktu dikerumuni oleh para penyokong bekas timbalan perdana menteri itu.

    Manakala ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut mengecam polis tindakan polis tersebut.

    Nurul Izzah yang juga anak sulung ketua pembangkang itu berkata polis harus menunjukkan profesionalisme mereka, lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai.

    Beliau juga menjelaskan pihak urusetia juga memohon permit untuk mengadakan ceramah tersebut tetapi tidak diberikan.

    Beliau juga berkata urusetia turut memohon dewan berdekatan dengan flat tersebut tetapi tidak dibenarkan untuk menggunakannya.

    Sebelum itu, sepanjang pemerhatian Malaysiakini, terdapat dua sekatan polis diadakan sebelum majlis ceramah itu bermula.

    Sekatan yang pertama dari arah Universiti Malaya (UM) menuju ke tempat ceramah tersebut iaitu betul-betul di hadapan Pangsapuri Vista Angkasa,

    Sekatan itu dibuat kira-kira 50 meter dari tempat ceramah itu diadakan, manakala satu lagi sekatan dibuat dari arah Pantai Dalam, kira-kira 400 meter dari tempat ceramah itu diadakan.

    Lebih 30 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kelihatan di tempat ceramah tersebut.

    Malaysiakini/-

    PAS Kelantan dicadang tubuh Jabatan Perhubungan Awam

    10 Safar 1431H
    Mohd Nor Yahya

    KOTA BHARU, 24 Jan: PAS Kelantan dicadangkan agar menubuhkan Jabatan Perhubungan Awam dengan melantik seseorang sebagai jurucakap bagi menangani pelbagai isu yang ditimbulkan pihak dalaman PAS maupun serangan dari luar.

    Demikian dinyatakan oleh pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah di Bengkel Mengenal dan Menghadapi Media Massa anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, di sini, semalam.

    Menurutnya, kebanyakan parti politik negara ini tidak mempunyai jabatan perhubungan awam sendiri, malah apa-apa isu yang dibangkitkan kebanyakannya hanya dijawab oleh mereka yang tidak berpengalaman.

    Oleh itu, katanya timbullah pendapat yang berbeza dan ini telah diambil oleh media massa untuk dimanipulasikan serta dapat melariskan akhbar mereka.

    Beliau juga menggesa pimpinan kerajaan negeri dan parti seharusnya dapat mendampingi golongan media dan tidak boleh memulaukan mereka.

    Tambahnya, ini kerana sehingga kini tidak adapun media yang boleh dihapuskan oleh ahli politik tetapi yang jelas media dapat menjatuhkan seseorang atau ahli politik.

    Abu Hassan juga berkata, sepanjang pengamatan dan kajiannya, hanya sebuah parti sahaja yang dapat mendampingi media secara cepat dan pantas iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam menangani pelbagai isu parti.

    “Wakil-wakil rakyat PAS Kelantan mesti bersikap mesra media dan mereka seharusnya dapat membezakan tiga jenis media iaitu media massa, media baru dan media terkini agar tidak terkeliru dalam menjawab pelbagai isu yang ditanya oleh wartawan,” ujar beliau.

    Sementara itu, pengulas bengkel, Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong berkata, bermula tahun 1990 hingga kini, akhbar milik parti seolah-olah dipinggirkan oleh pimpinan parti dan wakil-wakil rakyat.

    Ini, katanya kerana ada di kalangan mereka apabila dihubungi sentiasa memberi alasan dan seolah-olah memandang rendah terhadap wartawan media parti.

    Beliau juga berharap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat agar membuat penilaian teliti dalam memilih seorang setiausaha akhbar kerana peranannya amat tinggi dalam mempertahankan sesebuah kerajaan.

    “Peranan setiausaha akhbar adalah amat penting dalam menangani serangan media massa terutamanya dalam menghadapi pelbagai krisis, mereka inilah yang menjadi tumpuan para media dalam mendapat ulasan pemimpin sesebuah negeri,” katanya lagi.

    Bengkel tersebut dihadiri oleh wakil-wakil rakyat, penyelia Dun, pegawai-pegawai khas Exco negeri, pengarah jabatan dan kakitangan Urusetia Penerangan Negeri yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

    Harakahdaily.net/-

    Mayat Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Kening ditemui

    10 Safar 1431H
    Khairil Abdul Rahim

    MARAN, 24 Jan: Mayat Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Kening, Chenor, Mohd Khalil Khanurdin, 23, yang hilang di Sungai Pahang semasa menjaring ikan Jumaat lalu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

    Perkara ini disahkan oleh Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ramli Abdul Rahman, sebentar tadi.

    Sebelum ini, Khalil didapati hilang di Sungai Pahang semasa menjaring ikan berhadapan Masjid Batu Bor, dekat sini.

    Menurut ayah allahyarham, Khanurdin Abdul Manan, 49, kira-kira jam 3 petang, mangsa telah pergi menjaring bersama-sama dengannya dan beberapa orang lagi di pinggir pasir sungai.

    Katanya, dalam keadaan asyik menarik jaring, mangsa tiba-tiba hilang dan disyaki terjatuh ke dalam sungai.

    Serentak dengan itu, beliau telah mendapatkan bantuan penduduk kampung dan seramai 35 orang terlibat dalam gerakan mencari mangsa membabitkan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), anggota polis dan Rela serta Bomba dan Penyelamat dari Temerloh, yang datang selepas itu.

    Sementara itu, Ketua PAS Cawangan Bukit Kening, Shamsuri turut melancarkan Tabung Bantuan.

    Beliau berharap keluarga mangsa bersabar dengan ujian itu, semoga Allah mencucuri roh Allahyarham Khalil.

    Harakahdaily.net/-

    Buat perubahan untuk elak kemudaratan berterusan - Nasharudin

    10 Safar 1431H
    Ali Hashim

    PADANG SERAI, 24 Jan: Timbalan Presiden PAS,Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyeru supaya masyarakat supaya segera membuat perubahan dalam negara sekiranya tidak mahu kesesatan dan kemunduran berterusan melanda negara ini.


    Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah.

    Menurut beliau, perubahan harus dan mesti berlaku dengan segera apabila rakyat menyedari bahawa mereka selama ini berada dalam kemunduran dan kesukaran hidup yang begitu parah, setelah kerajaan melaksanakan kaedah penjimatan yang menyusahkan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

    "Kita tidak harus memberi sumbangan lagi kepada Umno dan Barisan Nasional. Caranya ialah jangan lagi memberi peluang kepada mereka untuk terus menerus mendapat kuasa untuk memerintah negara.

    "Sehubungan itu perubahan harus dan mesti dilakukan dengan segera. Sekiranya perubahan ini tidak dilakukan maka kita sudah pasti akan berada dalam kesesatan dan kemunduran berterusan yang akan menjadikan kita sebagai mangsa kepada keadaan yang ada kini.

    "Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mendapat kuasa untuk mentadbir negara maka hal dan hak yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah menjadi perjuangan utama kita.

    "Oleh kerana itu bermula pada saat ini rakyat sudah harus membuat persediaan untuk mengorak langkah bagi mengubah kerajaan yang sedia ada supaya kemelesetan ekonomi dan kesukaran hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat kini dapat diperbaiki melalui pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh PR,"katanya lagi.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Siti Aishah Ghazali dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.

    Harakahdaily.net/-

    Kedah telah laksana 80% janji manifesto - Exco

    10 Safar 1431H
    Ali Hashim

    PADANG SERAI, 24 Jan: Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya melaksanakan 80 peratus janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu walaupun belum mencapai tempoh pemerintahan negeri selama 24 bulan.

    Menurut Exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali, ini membuktikan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mampu untuk mentadbir dan mengurus selia negeri dengan baik dalam tempoh yang singkat.

    Menurut beliau lagi pada tahun 2009 yang lalu bajet sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

    "Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berkebajikan kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

    "Kerajaan negeri juga telah menguntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain," katanya.

    Malah, menurut beliau, dengan siapnya kampus baru di Kuala Ketil pada tahun 2012 yang akan datang universiti ini akan memberi peluang kepada 7 ribu pelajar untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran di situ.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas berkata, kerajaan yang dipimpin oleh PR adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan yang telah dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional apabila kebajikan dan kesejahteraan rakyat didahulukan.

    Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.

    Harakahdaily.net/-

    Media harian ganti Umno lawan Pakatan Rakyat

    10 Safar 1431H
    M Faqih

    TANAH MERAH, 24 Jan: Umno mungkin agak bernasib baik apabila media harian nampaknya mengambil tempat parti itu untuk bertembung dengan Pakatan Rakyat.

    Ketiadaan isu besar yang boleh dihamburkan kepada Pakatan Rakyat dan masalah dalaman Barisan Nasional (BN) yang tidak selesai menyebabkan Umno kehilangan daya juang.

    Dan sekarang tugas menyerang Pakatan diambil alih media harian yang hampir kesemuanya proBN.

    Banyak isu yang ditemui mereka di Kelantan. Dan minggu lepas isu cah keting diperbesar bagi memperlihatkan masalah berlaku dalam PAS, umpama retak menunggu belah.

    Namun tanggapan media terbabit ternyata tersasar apabila gagal memahami luahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu tersebut.

    “Sedangkan rakyat di negara ini tahu budaya cah keting begitu hebat sekali melanda Umno. Misalnya Pak Lah terpaksa berhenti awal kerana ada cah keting di belakang.

    “Di Perak Umno merampas negeri tersebut daripada Pakatan Rakyat kerana ada elemen cah keting. Sedangkan situasi seperti itu jarang berlaku dalam PAS,” kata Menteri Besar pada ceramah di Markaz Tarbiah PAS Tanah Merah di sini, malam semalam.

    Sebelum ini media harian cuba timbulkan isu cah keting seperti disebut Menteri Besar Kelantan itu, lalu dianggap ia berlaku dalam PAS.

    Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, budaya cah keting berlaku di mana-mana, sejak ia dimulakan Qabil dan Habil sehingga berlaku bunuh membunuh kerana berebut perempuan.

    Beliau juga melahirkan rasa bimbang orang Melayu beragama Islam tidak akan mengerjakan solat pada masa akan datang kerana terpengaruh dengan budaya upah yang diajar Umno sejak zaman berzaman.

    Katanya, tabiat tersebut sudah menjadi budaya dalam Umno di mana penyokong dan ahli parti itu hanya akan bekerja apabila ada upah.

    “Jadi kita bimbang budaya ini akan terikut-ikut dalam ibadat pula, di mana mungkin pada masa akan datang ada orang tanya sembahyang boleh dapat apa.

    “Ini kerana budaya upah sudah menular jauh ke dalam masyarakat kita,” ujarnya.

    Ceramah tersebut memperlihatkan minat rakyat Kelantan dalam politik tidak pernah surut apabila kehadiran mereka begitu sendat sekali.

    Manakala di Kampung Laut, Tumpat malam tadi Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar berkata, Umno amat mengharap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperangkapkan dalam isu liwat oleh bekas pembantunya, Shamsul Bukhari.

    Katanya, biar pun isu liwat sudah ditimbulkan pada 1998, dan sekarang ia diulang kembali.

    “Dengan trend yang berlaku sekarang bermakna setiap 10 tahun sekali akan berlaku kes liwat membabitkan Anwar.

    “Ini kerana isu tersebut sahaja cara yang ada pada Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat selepas cubaan menggugat dengan isu lain tidak berkesan,” katanya.

    Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua AMK Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.

    Harakahdaily.net/-

    Mahasiswa Malaysia tidak redha ditindas

    10 Safar 1431H

    KUALA LUMPUR, 24 Jan: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyeru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat keseluruhannya bahawa mahasiswa negara ini tidak pernah redha dengan tindakan yang menindas mereka.

    Demikian kenyataan media SMM kepada Harakahdaily hari ini berhubung tangkapan sembilan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semalam.

    Menurut kenyataan itu, seluruh mahasiswa IPTA semalam telah melakukan perarakan aman menuntut demokrasi bersih (walk for democracy) bermula dari Dataran Merdeka sehingga pusat membeli belah Sogo sekitar jam 10.30 pagi hingga 1 petang.

    Perhimpunan tersebut menunjukkan ketidakpuasan hati mahasiswa Malaysia ke atas pencabulan demokrasi kampus dan hak-hak mahasiswa.

    Kenyataan itu menambah, mahasiswa turun untuk memberitahu kepada rakyat bahawa suara mahasiswa selama ini tidak didengari malahan dianggap rendah oleh pihak pentadbiran universiti yang melibatkan hal Ehwal Pelajar hampir di semua kampus.

    Mahasiswa kecewa dengan tindakan tidak profesional terhadap kekasaran polis serta tindakan provokasi mereka sehingga menyebabkan sembilan orang mahasiswa ditangkap dalam perarakan berkenaan.

    Dalam tangkapan tersebut juga, mahasiswa beranggapan tindakan polis melambatkan pembebasan mereka semalam sebagai satu tindakan yang tidak adil, seolah-olah mahu menyeksa mereka di dalam lokap lebih lama.

    Mereka ditahan pada pukul 1 petang dan dibebaskan selewat jam 12 tengah malam. Tempoh itu sangat lama dan keadaan ini telah memberikan tekanan kepada tahanan.

    Bagi SMM, polis juga dianggap tidak amanah dan telah menyalahgunakan tugas sehingga menghalang peguam untuk berjumpa dengan tahanan sedangkan di bawah Seksyen 28(A) Kanun Prosedur Jenayah, mahasiswa berkenaan seharusnya diberikan akses kepada peguam pilihan mereka untuk berjumpa.

    “Oleh yang demikian, kami di peringkat mahasiswa ingin menyeru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat keseluruhannya bahawa mahasiswa Malaysia tidak pernah redha dengan tindakan yang menindas mahasiswa,” ujar SMM dalam kenyataan itu.

    Harakahdaily.net/-