3 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Esok, 1 Oktober 2011, ribuan pemimpin, ahli dan pendukung PAS dijadualkan berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merayakan Sambutan Ulangtahun ke-60 usia perjuangannya.
‘Sepak mula’ aturcara sambutan itu malah berlangsung lebih awal dengan acara Forum Perdana yang dijadual diadakan malam ini (Jumaat). Dengan tajuk “PAS: Pembangkang, Pemerintah dan Penyelamat Ummah”, forum yang menampilkan Ustaz Idris Ahmad sebagai moderator itu turut membariskan empat nama besar dalam perjuangan Islam tanahair.
Mereka adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Agenda lebih padat bagaimana pun menanti hadirin esok hari. Seperti biasa, ia bakal dipenuhi sessi ucapan, pembentangan kertas kerja dan perbahasan di sebelah pagi. Serentak itu turut dilangsungkan karnival jualan dan pameran sejarah PAS, selain ikut diselit aturcara persembahan pentas.
Manakala di sebelah malamnya akan diadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana, sebelum diakhiri dengan Ucap Perdana membariskan lima pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mewakili DAP, KeADILan dan PAS sendiri.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tapak sambutan bukan dibuat tanpa perhitungan politik. Ia bukan semata-mata memanfaatkan negeri diperintah Pakatan Rakyat bagi memudahkan urusan sambutan. Ia sebenarnya bersandarkan fakta sejarah penubuhan PAS itu sendiri. Parti Islam itu terbentuk secara rasmi 60 tahun lalu menerusi Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth.
Sepertimana bunyi namanya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang kemudiannya didaftarkan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP), tujuan penubuhan PAS adalah demi memenuhi tuntutan agama. Ia digariskan dengan jelas “.. untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi”.
Agak janggal bunyinya apabila pertubuhan baru itu memilih bekas Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertuanya (Presiden) yang pertama. Walau pun ada penulis sejarah mendakwa kesediaan beliau menerajui PAS ekoran permasalahan peribadinya dengan para pemimpin Umno, fakta sejarah lebih popular mengenai faktor berpalingnya Ahmad Fuad daripada parti Melayu itu ialah perbezaan pendirian mengenai hukum Islam.
Beliau dikatakan sangat kecewa apabila Umno memutuskan untuk mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Selaku orang agama dalam Umno, beliau menegaskan betapa perkara itu tidak terlepas daripada unsur perjudian yang mana hukumnya di sisi Islam adalah jelas haram.
Sebagaimana diduga pandangan beliau diketepikan begitu sahaja oleh Umno dan permainan loteri itu dilaksanakan. Umno tidak pernah menganggapnya sebagai judi.
Mungkin setelah 60 tahun berlalu, ada pengkaji sejarah yang masih mempertikaikan percanggahan fakta tersebut. Sudah tentu khalayak yang kuat menyokong Umno atau amat cenderung hati kepada perjuangan nasionalisme-sekularisme dianuti parti itu akan mempertahankan versi pertama, iaitu Ahmad Fuad menyertai dan memimpin PAS kerana kecewa setelah gagal mendapat tempat dalam pemilihan Umno.
Namun rasanya tidak akan ada mana-mana pakar sejarah yang tergamak memperbodohkan dirinya dengan mendakwa kononnya Ahmad Fuad tidak pernah menjadi ahli dan pemimpin Umno, sepertimana ada profesor kini mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British dulu-dulu!
Penafian fakta sejarah diterima umum sekian lama itu mungkin bermaksud membasuh imej Umno. Logiknya, jika Ahmad Fuad bukan pemimpin Umno, maka tidka timbul soal beliau menentang judi dianjurkan parti itu dari dalam.
Samalah juga usaha seorang profesor membela maruah Umno yang kian tercemar ekoran kesedaran umum mengenai fakta sebenar sejarah negara. Logiknya, jika benar British tidak pernah menjajah Malaya, sebaliknya hanya menaungi dan membantu Raja-Raja Melayu mengurustadbir negara, maka sudah tentu sesiapa yang menentang British dulu boleh dianggap pemberontak dan pengganas.
Namun perbuatan sedemikian pada hakikatnya satu bentuk jenayah akademik yang hanya mencemar dan menjatuhkan martabat cendikiawan itu sendiri.
Kalangan pencatat sejarah yang condong kepada kepentingan Islam pula akan melihat kesediaan Ahmad Fuad menerajui PAS sebagai natijah percanggahan pendirian Umno dengan hukum Islam diperjuangkan ulama, termasuk ulama di kalangan parti itu sendiri.
Sebetulnya itulah antara pengajaran dan pemerhatian yang sepatutnya dikutip generasi kini, terutama dalam menghayati sejarah penubuhan dan perkembangan PAS sejak enam dekad lalu. Bahawa pendirian Umno dan hukum Islam adalah dua perkara yang kerap tidak sehaluan sejak dulu.
Islam dan al-Quran mengatakan judi itu haram, Umno mendakwa sebaliknya. Selagi mana ia melihat ada ruang dan peluang menjana pendapatan dan memacu ekonomi, apa dipedulikannya hukum agama?
Sebab itu Umno bukan sahaja membolehkan pihak lain mengoperasi aktiviti perjudian menerusi pemberian lesen dan berbagai kemudahan, malah parti itu sendiri turut terlibat secara aktif menganjurkannya. Kes Loteri Kebajikan Masyarakat itu adalah pemula sejarah. Ia dianjurkan kerajaan Umno sendiri.
Pendirian Umno yang kerap bercanggah dengan Islam sebegitu berterusan hingga ke era kini. Masakan anda sudah lupa bagaimana para pemimpin Umno menjadi pencetus idea dan pencanang utama untuk melesenkan (baca ‘menghalalkan’) pertaruhan sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun lalu?
Sebaliknya PAS bukan setakat membantah agenda mengharuskan judi oleh Umno sewaktu penubuhannya dulu, pendirian yang selari dengan tuntutan hukum Islam itu kekal dipegang PAS hingga kini. Anda boleh semak fakta sejarah dan akui keseriusan parti Islam itu menentang sebarang bentuk perjudian melibatkan bidang kuasa kerajaan dan ia menjadi agenda perjuangan PAS sepanjang zaman.
Sebagai bukti paling jelas, PAS serta-merta mengarahkan penutupan premis perjudian di Kelantan dan Terengganu yang diperintahnya secara mutlak. Di atas bidang kuasa terbatas dimilikinya ke atas lesen premis, kerajaan negeri ditadbir PAS telah melakukan sedayanya. Sedangkan lesen pengoperasian adalah di bawah Kementerian Kewangan dikuasai Umno.
Pendirian mengenai judi itu adalah pemerhatian pertama dari fakta penubuhan PAS, sekaligus menyerlahkan perbezaan pendirian antara PAS dan Umno. Al-Quran kata judi haram, PAS menegaskan judi haram, Umno sebaliknya menghalalkannya.
Maka jangan terkejut dan pura-pura hairan jika mutakhir ini kita dapati Umno bermati-matian menegaskan bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersedia melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud, di dalam pemerintahannya! Ingat, sudah menjadi tradisi sejak berdekad lalu bahawa pendirian Umno dan hukum Islam memang tidak sehaluan.
Kedua, sepertimana disebutkan sepintas lalu di atas, bahawa pandangan mengenai hukum Islam selalunya sukar mendapat tempat di dalam Umno. Jangan dikatakan pandangan itu datang daripada luar suku-sakat parti itu, ia termasuk juga yang disuarakan kalangan pemimpin Umno sendiri.
Kes Ahmad Fuad membantah loteri itu sekali lagi menjadi contoh terbaik. Nampaknya itulah cara ‘terbaik’ Umno melayan ulama dan agamawan di dalam parti itu.
Meneliti perjalanan Umno dalam era kemudian ini pun, hakikat itu tidak jauh bezanya. Mana ada seorang yang dikenali sebagai ilmuan agama kekal lama dalam hierarki kepimpinan Umno? Kalau ada pun yang mampu bertahan agak lama, sejauh manakah suaranya berhubung hukum dan peraturan Islam diendahkan khalayak terbanyak parti itu? Sebaliknya pemimpin berlatar belakang agama itu sendiri hanyut dan tenggelam bersama sikap dan tabiat ‘haru-biru’ yang bersebati dengan parti itu.
Pengajaran ketiga daripada fakta penubuhan PAS di atas ialah bagaimana cetek dan terpesongnya penafsiran Umno terhadap istilah-istilah berkaitan agama. Lihat saja bagaimana ia tergamak melabelkan permainan judi yang jelas haram itu sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat? Agaknya bagi Umno kebajikan itu tidak perlu mengambilkira halal atau haram, ya?
Sedangkan konsep kebajikan (al-Birr) disebutkan al-Quran dan diperjuangkan PAS semestinya tidak lari daripada paksi ‘beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’. Ertinya kebajikan dimaksudkan PAS senantiasa mengambilkira pahala-dosa, selari digariskan Islam.
Sebab itu jangan terpedaya dengan dakwaan Umno kononnya Negara Berkebajikan diperjuangkan PAS sudah lama dilaksanakannya. Pemahaman Umno terhadap istilah ‘kebajikan’ itu amat dangkal dan terpesong dari landasan Islam.
Buktinya, ia dengan mudah mendakwa PAS telah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam apabila menyatakan hasrat ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Kejahilan dan kebebalan Umno menyebabkan ia tidak faham bahawa Negara Berkebajikan itu salah satu wajah atau ciri bagi Negara Islam.
Di atas hakikat sama jangan pelik apabila Umno mencipta istilah ‘Islam Hadhari’ yang bukan sahaja janggal dari segi nahu Arabnya, malah mengelirukan fahaman masyarakat mengenai ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya Umno sendiri pun malu menyebutnya dan kini ‘Islam Hadhari’ dianggap berkubur bersama jatuhnya sang pencetus istilah itu.
Ada pula pemimpin Umno tergamak menyandarkan fahamannya yang cetek mengenai ketetapan agama untuk dijadikan dalih daripada melaksanakan hukum Islam. Kononnya dia faham apa itu maqasid syariah. Bahawa maksud-maksud ketetapan syariat Islam itu mementingkan keadilan dalam mempertahankan kesucian aqidah, harta benda, nyawa dan lain-lain.
Lalu di atas penafsiran ceteknya terhadap maqasid syariah itu, dia sewenangnya menidakkan perlunya ditegakkan hudud dan qisas. Sedangkan sebagai orang beriman kepada Allah, sudah tentu kita dituntut mengakui dan meyakini bahawa tiada undang-undang dan hukum yang lebih adil dan lebih menjamin aqidah, nyawa dan lain-lain itu selain hukum diturunkan Allah Ta’ala sendiri.
Itulah sepintas lalu penelitian terhadap fakta-fakta melingkungi sejarah penubuhan PAS 60 tahun lalu. Di samping berbangga dengan kelangsungan perjuangannya hingga kini, penubuhan parti Islam itu juga selayaknya dianggap bukti betapa tidak mahunya Umno kepada hukum dan peraturan Islam!
harakahdaily/-