21 Muharram 1433H. [MOD] -
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى
وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ
تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ
حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Saya
menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita
sama-sama bersyukur dan meningkatkan
ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan
melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa
serta selamat di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi
pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan
kehormatan seseorang itu adalah dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak.
Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki
keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan
menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran. Kerana itulah, misi utama diutuskan junjungan besar nabi
Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana
sabdanya :
إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ
مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ
Maksudnya : “ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia ” ( H.R. Thabrani
)
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat
Islam. Sesungguhnya seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi krisis
keruntuhan akhlak yang cukup dahsyat. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan
diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam ke lembah kehinaan dan kemurkaan
Allah s.w.t.
Terdapat segelintir daripada kita yang telah hilang
keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah kembali hidup
seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi, ada juga yang memisahkan
dan mengasingkan urusan agama dengan urusan hidup seharian. Bahkan beranggapan
bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan
negara.
Sebahagian daripada kita percaya bahawa hanya ilmu-ilmu dunia
seperti ilmu sains dan seumpamanya sahaja yang mampu membawa manusia kepada
kemajuan dan ketamadunan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan
bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa
pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan
urusan peribadi mereka. Bahkan mereka tanpa segan silu mendesak agar setiap
individu diberi kebebasan mutlak tanpa perlu kepada apa-apa sekatan atau
undang-undang atas alasan sebarang sekatan adalah bertentangan dengan hak asasi
manusia dan menggugat hak kebebasan individu.
Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan
dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.,
kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh
kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat,
munakahat, jenayah dan sebagainya.
Dalam Islam, kemajuan material sahaja bukanlah kamajuan
yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitikberatkan soal
pembangunan insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu
pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Justeru, saya ingin mengajak tuan-tuan yang berada di
hadapan saya, agar sama-sama menghayati dan memahami tanggungjawab memelihara
jati diri sebagai seorang muslim dengan melaksanakan perkara-perkara seperti
berikut :-
Pertama : Memiliki keimanan yang mantap
Hidup kita hendaklah sentiasa dipandu dengan keimanan dan
ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan
keimanan kepada Allah, maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah
diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana
itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada
terjerumus ke lembah maksiat, di samping ia mengatur perjalanan hidup yang
selamat dan diredhai Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna
imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah
hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan
mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal
)”.
Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka
Hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari
sebarang belenggu, terutama belenggu penjajahan pemikiran-pemikiran yang sesat
dan menyesatkan. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan
negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam.
Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan
pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain
selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah.
Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar
Sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab
melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta
meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan kewajipan kepada kita
semua. Maka ia merupakan satu keutamaan dalam Islam bagi membawa umat manusia
ke arah keselamatan dan kesejahteraan. Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat
110 :
Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala
perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan
keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan
tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi
“khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh
yang diikuti sepanjang zaman.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ،
وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ،
وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ
وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا
نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak