17 September 2010

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

7 Syawal 1431H.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Pemilihan PKR : Azmin Ali tanding timbalan presiden

7 Syawal 1431H.

Azmin Ali akhirnya menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden PKR setelah penyandangnya Syed Husin Ali membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.

"Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan Dr Syed Husin Ali; saya dengan penuh rasa tawaduk dan rendah hati ingin menawarkan khidmat saya sebagai timbalan presiden," katanya.

Azmin - kini naib presiden - juga berjanji akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi bersama pucuk pimpinan dan anggota parti yang lain.

"Saya turut berazam untuk memastikan pemilihan kepimpinan (PKR) 2010 berlangsung dalam suasana sihat dan (penuh) semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

Pengumuman Azmin itu hari ini dengan sendirinya melengkapkan desas-desus pertembungannya dengan penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim yang turut mengumumkan kesediaannya merebut jawatan yang sama sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak mengambil kesempatan menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap Syed Husin atas sumbangan dan perjuangan berterusannya dalam PKR.

"Dr Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini," katanya.

Sementara itu, "selaku anggota muda parti yang jatuh dan bangun bersama perjuangan lebih sedekad", Azmin turut mengulangi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku presiden parti itu


Sidang khas tetapkan elaun seumur hidup Sultan Ismail

7 Syawal 1431H.

KOTA BHARU 15 Sept. - Kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menetapkan jumlah elaun seumur hidup yang bakal diterima oleh Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra setelah tidak lagi menjadi sultan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, persidangan itu akan diadakan sebelum akhir bulan ini mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini.

Bercakap pada persidangan media di pejabatnya di sini hari ini, beliau turut menafikan kenyataan Anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed yang disiarkan di akhbar hari ini menyebut gelaran Tuanku (kepada Sultan Ismail) dan Tengku kepada (Raja Perempuan Anis) digugurkan.

"Beliau (Shukri) telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan, beliau telah menulis surat kepada akhbar tersebut hari ini meminta menarik balik kenyataan tersebut dan beliau telah membuat laporan polis," katanya.

Sebaliknya Mohd. Aiseri berkata, gelaran "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan" akan diganti kepada "Duli Yang Maha Mulia Sultan" setelah tidak lagi menjadi Sultan Kelantan.

Beliau meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara itu bagi mengelak sebarang kekeliruan di sebalik isu yang berlaku di Kelantan sekarang.

Mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini, dalam Perkara 23A yang dipinda pada 2 September lepas perkara 23(A)(a) sekira Raja telah diganti dengan seorang pengganti mengikut Fasal (1) maka baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi raja dan telah menarik diri daripada negeri ini dan hak-hak dan tuntutan.

Bagaimanapun dengan syarat bahawa hendaklah baginda berhak mendapat elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata elaun itu tidak kurang daripada separuh jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya sebagai sultan semasa baginda memerintah.


Sambutan Hari Malaysia ketika jenayah sedang memuncak !

7 Syawal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Terlebih dulu saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia sempena dengan tarikh keramat 16September 1963 apabila Sabah dan Sawarak bergabung dengan Semenanjung malaysia pada tarikh itu.

Perlu diingatkan tarikh 16 September pada awalnya dicadangkan oleh DS. Anwar Ibrahim supaya dijadikan cuti umum , Semasa itu beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mencadangkan supaya pimpinan di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum.

Anwar berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

Cadangan itu pada mulanya mendapat respon positif dari Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.

Pimpinan UMNNO dan BN pula antaranya Timbalan Menteri Sumber Manusia pada masa itu , Datuk Noraini Ahmad berkata, cadangan pemberian cuti umum pada 16 September tidak sesuai kerana negara ini sudah pun mempunyai cuti kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos.

”Lagi pun negara ini sudah mempunyai terlalu banyak cuti umum, bagi saya memadai dengan cuti 31 Ogos,” katanya.

Selain itu cadangan itu dituduh oleh pimpinan BN sebagai satu bentuk muslihat untuk membeli ‘perasaan’ rakyat Sabah dan Sarawak.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya.

Alhamdulillah akhirnya Pengiktirafan Hari Malaysia dan sambutan peringkat kebangsaannya yang julung kali diadakan pada tahun ini, disifatkan oleh pimpinan BN adalah untuk memastikan sentimen positif bukan saja pada tarikh merdeka iaitu 31 Ogos tetapi juga bagi tarikh 16 September, setiap tahun.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai berkata mulai tahun ini, penonjolan ini sudah diberi dan sentimen ini harusdi kekalkan pada masa akan datang.

Hari ini buat pertama kalinya dijadikan hari Cuti Umum dari senarai panjang cuti umum yang telah sedia ada di Malaysia.

Namun yang paling menyedih ialah sambutan kali pertama Hari Malaysia ini disambut dalam keadaan jenayah dalam negara sedang memuncak dan berada ditahap yang membimbangkan.

Walaupun saya masih percaya dan yakin dengan kecekapan dan kemampuan pasukan keselamatan mengawal keselamatan negara , tetapi semuanya perlu ingat bahawa sesuatu yang diluar kotak fikiran yang waras telah banyak kali berlaku dinegara kita.

Bermula dengan kejamnya pembunuhan terhadap seorang wanita dari Monggolia, sehinggalah yang setaraf dengannya kes pembunuhan jutawan kosmetik beberapa hari sebelum tibanya hari malaysia dan dalam suasana Hari Raya Idul fitri yang disambut meriah.

Paling membimbangkan apabila senarai panjang kes berprofil tinggal berkaitan jenayah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya semacam "dilindungi" oleh tangan-tangan penguasa yang sedang berada ditampuk pemerintahnnya sekarang.

Kerana itulah marilah kita jadikan Hari Malaysia pada hari ini adalah yang pertama dan kali terakhir ianya di sambut oleh kerajaan BN. Pada tahun hadapan harapan besar kita ialah hari malaysia untuk sekian kalinya disambut oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang berada ditampuk pemerintahan sebagaimana yang diharapkan.

Cukuplah Malaysia yang hancur dan musnah dibawah BN selama 53 tahun kemerdekaan dan sejak tahun 1963 tertubuhnya Malaysia, namun rakyat terus berada dalam kesudahan dan dijajah oleh UMNO dan BN yang menggantikan penjajah yang telah lama pergi.

Pakatan Rakyat pasti akan membawa sinar baru untuk Malaysia....