09 Ogos 2011

Kereta rempuh pelajar, tadika

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PECAH...tembok pagar Tadika Smart Stars yang dirempuh, semalam.

GOMBAK : “Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, kami akan mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan,” kata guru besar Tadika Smart Stars , VR Ranee, 56, menceritakan kejadian sebuah kereta melanggar dinding tadika miliknya di Jalan 18, Taman Selayang, di sini, pagi semalam.
Sebelum itu, Perodua MyVi terbabit melanggar dua pelajar sekolah menengah yang melalui lorong di hadapan tadika berkenaan.

Katanya, selepas itu, kenderaan itu melanggar dinding tadikanya dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran. “Ketika itu, saya berada di dalam kawasan tadika dan beberapa pembantu saya membawa masuk murid yang dihantar ibu bapa kira-kira jam 7.20 pagi.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat di depan tadika disusuli teriakan seorang wanita. Saya tergamam selepas melihat kereta itu melanggar dinding,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, dia seperti hilang arah akibat takut dan ketika itu, dia hanya terfikir untuk mencari mangsa yang menjerit kesakitan di luar kawasan tadikanya.

Katanya, dia nampak seorang pelajar perempuan menangis kesakitan dan orang ramai menolong pelajar itu dan rakannya yang cedera ringan untuk dihantar ke Hospital Selayang.

“Saya bersyukur kerana tiada pelajar tadika atau orang lain parah dalam kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata akibat kejadian itu, dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun cedera ringan di kepala manakala pemandu berkenaan yang berusia 22 tahun cedera dan dirawat sebagai pesakit luar.

my metro/-

Sandiwara longgar skru

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

DICURI...besi penghadang yang ditanggalkan pencuri di susur keluar MRR2 menghala Jalan Taman Bukit Maluri.

KUALA LUMPUR: Lagak mereka seperti pekerja penyelenggaraan jalan raya, namun jika diamati mereka mencuri besi penghadang jalan dengan membuka skru besi di sepanjang susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Jalan Taman Bukit Maluri, di sini.

Perbuatan itu menyebabkan banyak besi penghadang yang menjadi penghalang atau penebat kenderaan yang terbabas daripada jatuh ke bawah jejambat hilang dan keadaan itu mengundang kebimbangan di kalangan pengguna lebuh raya berkenaan.

Tinjauan Metroplus mendapati banyak penghadang jalan di lebuh raya yang menghubungkan Sungai Buloh dan Batu Caves, lesap.

Peniaga, Lim, 43, berkata perbuatan itu dilakukan sekumpulan lima hingga tujuh orang yang berlakon seperti pekerja penyelenggara lebuh raya termasuk menggunakan jaket keselamatan.

“Operasi mereka bermula pada siang hari dan mereka seolah-olah menyelenggara lebuh raya, tetapi mereka cuba melonggarkan dan membuka skru besi penghadang.

“Kemudian pada tengah malam mereka datang semula ke kawasan sama dan membuka besi yang dilonggarkan itu sebelum dijatuhkan ke bawah jejambat dengan ada anggota kumpulan mereka menunggu dengan lori. “Besi yang dijatuhkan itu dimuatkan ke dalam lori untuk dijual kepada peraih besi buruk,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pengguna lebuh raya berkenaan, Ahmad Sajali, 34, berkata kecurian besi penghadang itu menyusahkan pengguna jalan raya.

“Disebabkan tindakan mencuri besi penghadang memungkinkan kemalangan jalan raya bertambah teruk. Saya berharap pihak berkuasa terutama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengurusan lebuh raya peka dengan masalah ini kerana ia berlarutan sejak setahun lalu, tapi besi penghadang yang dicuri belum diganti,” katanya. Menurutnya, pihak berkuasa perlu kerap membuat pemantauan termasuk melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan terbabit bagi mencegah kecurian daripada berterusan.

Difahamkan, individu sama turut mencuri besi penutup longkang di hentian motosikal (laluan berteduh dari hujan) di bawah jejambat sama menyebabkan longkang tidak bertutup dan boleh menyebabkan kemalangan motosikal terutama waktu malam dan gelap.

Sementara itu, Pegawai Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Zurida Hashim, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi kehilangan penghadang jalan terbabit dan mengesahkan ia di bawah penyelenggaraan pihaknya.

“DBKL akan melakukan kerja pembaikan dengan menggantikan penghadang besi jalan yang hilang. Ia dijangka siap dalam dua bulan kerana besi itu perlu ditempah dari kilang mengikut bentuk asal. Selain itu, bahagian skru akan dikimpal bagi menyukarkan ia dibuka, sekali gus mengelakkan dicuri lagi,” katanya.

my metro/-

Musa Hassan dan Rodhwan Enggan Ditemuramah Jika Anwar Ada

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 9 OGOS : Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah peguambela, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II.

Anwar melalui laman Twitternya sebentar tadi memetik peguam Karpal Singh bahawa "tertuduh boleh hadir semasa sesi temuramah dengan saksi- saksi pembelaan".

Walau bagaimanapun menurut Anwar, Timbalan Pendakwaraya yang diketuai oleh Datuk Yusof Zainal Abidin akan merujuk kepada hakim mengenai perkara tersebut.

Bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Karpal menegaskan bahawa tertuduh berhak dan akan hadir ketika pasukan peguambela menemuramah saksi- saksi.

Perkara tersebut turut disahkan Anwar yang menyatakan bahawa beliau akan menghadirkan diri pada sesi temuramah itu.

Hakim Zabidin Mohd Diah pada sebelah pagi mengumumkan bahawa pendakwaraya perlu menyediakan saksi-saksi yang telah ditawarkan kepada pasukan peguambela untuk ditemuramah.

Namun perkara yang mengelirukan apabila arahan tersebut turut menyatakan bahawa tindakan menemuramah saksi-saksi itu bergantung kepada kerelaan individu.

Tv Selangor kini masih cuba menghubungi peguam Sankara Nair untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

tv news/-

17 aduan peniaga naik harga makanan di bazar Ramadan

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 aduan diterima oleh persatuan-persatuan pengguna mengenai tindakan peniaga menaikkan harga kuih-muih dan lauk-pauk di bazar Ramadan sejak awal bulan puasa.

Daripada jumlah itu, 10 aduan dibuat kepada Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), manakala Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menerima tujuh aduan kesemuanya melibatkan peniaga di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Pengerusi CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, berdasarkan aduan itu, persatuan membuat tinjauan di tujuh bazar Ramadan dan mendapati harga makanan adalah tinggi.

Menurutnya, harga kuih meningkat daripada 30 sen seketul kepada 60 sen seketul dan lauk-pauk seperti ayam, berharga RM6 seketul berbanding RM4 seketul pada hari biasa.

"Kami akan menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga terlibat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, peniaga-peniaga yang cuba mengeksploitasi pengguna perlu disenaraihitamkan daripada diberi lesen berniaga pada tahun depan.

Sementara itu, Bendahari Agung FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga-peniaga berkenaan menaikkan harga makanan dengan sesuka hati.

"Kami mengambil maklum aduan pengguna ini dan akan memanjangkannya kepada pihak-pihak yang berkaitan," katamya.

utusan malaysia/-

Salah Tangkap : Salahuddin, Mahfuz Saman Kerajaan

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar hari ini menfailkan saman terhadap kerajaan persekutuan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar atas tindakan "salah tangkap" pada perhimpuan gabungan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Dalam saman sivil berasingan yang difaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, kedua-dua pemimpin Pas itu mendakwa tangkapan tersebut berunsur fitnah.

Turut dinamakan Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan anggota polis Mohd Zaid Mazizat sebagai responden.

Kedua-duanya diwakili oleh peguam undang-undang Pemuda PAS biro Zulhazmi Shariff dan undang-undang firma Tetuan Faiz Fadzil & Co menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan dengan faedah lapan peratus.

Mahfuz berkata kedua-dua mereka tidak melakukan sebarang kesalahan apabila ditahan di KL Sentral dan tidak menegetahui alasan mereka ditahan.

Mereka menyifatkan penahanan tersebut telah mengaibkan kedua-dua mereka selaku ahli parlimen yang mempunyai kenalan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mahfuz berkata bahawa jumlah ganti rugi belum lagi diputuskan namun akan mengambilkira pencegahan supaya perkara tersebut tidak berulangi pada masa hadapan.

"Kita akan berbincang dengan peguam berapa tuntutan ganti rugi. Oleh kerana tanggungan imej kami yang buruk pada peringkat dalam negara dan antarabangsa sudah tentu suatu nilai yang tinggi termasuk memberi peringatan kepada pihak berkuasa supaya mereka tidak mengulangi perbuatan yang mencabuli jumlah yang perlu tidak kurang daripada RM1 juta untuk mencegah berulangnya keadaan sedemikian,"katanya.

Mereka adalah antara 91 individu yang tersenarai dalam perintah larangan memasuki bandaraya Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu berikutan perhimpunan Bersih.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya menegaskan bahawa dalam perintah sekatan itu tidak menyenaraikan KL Sentral sebagai sebahagian daripada kawasan larangan buat mereka.

tv news/-

Perhebat kesan warga asing boleh mengundi

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohamad Yusof menggesa suluruh ahli PAS memperhebat program menyemak daftar pemilih bagi mengesan warga asing atau penduduk tetap yang didaftar sebagai pemilih.

Ia berikutan beberapa pendedahan sebelum ini yang menunjukkan wujudnya penduduk tetap yang didaftar sebagai pemilih yang ditemui di seluruh negara.

"Saya seru kepada semua pihak terutama anggota parti menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa menyemak daftar pemilih.

"Kita tidak mahu negara kita ini digadai kepada rakyat asing demi kepentingan politik pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mendedahkan terdapat hampir 20,000 rakyat Thailand, Kemboja dan Vietnam yang masuk ke Kelantan yang disyaki demi kepentingan politik pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mereka didakwa masuk secara berkumpulan melalui pintu sempadan Rantau Panjang sejak enam bulan lalu dan kegiatan itu menurutnya semakin aktif sejak akhir-akhir ini.

"Kita bimbang dengan perkembangan ini. Ianya sangat berleluasa.

“Kita mendapat maklumat rakyat negara jiran itu dibawa masuk dengan bas ke negara ini sebelum dipecahkan melalui pengangkutan awam ke negeri lain dan kami juga mendapati rakyat asing ditawarkan mendapat kerakyatan Malaysia dengan syarat mereka mengundi BN dalam PRU-13 nanti.

Perkara tersebut ujarnya menunjukkan kerajaan BN terdesak untuk meningkatkan bilangan undi mereka sehingga sanggup membenarkan rakyat berstatus penduduk tetap (PR) mendapat kerakyatan segera.

"Kita bimbang, tiadak mustahil pada masa akan datang tindakan mereka ini akan menyebabkan rakyat negara ini menjadi pengemis di negara sendiri.

"Kita tidak mahu warga asing mengaut kekayaan negara kita sewenang-wenangnya," katanya lagi.

Mengulas program pemutihan pendatang asing tanpa izin yang menggunakan sistem biometrik pula, beliau yakin program itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13.

Ia kerana bukan sahaja dibuat dalam suasana negara akan berdepan PRU ke-13, malah beberapa penemuan juga membuktikan wujudnya komplot pihak tertentu yang mendaftarkan warga asing sebagai pemilih.

"Saya ingin mempersoalkan, apakah ini juga ada agenda politik, kenapa tergesa-gesa dibuat dekat dengan pilihan raya," soalnya.

harakahdaily/-

Tahap keimanan penentu rasa takut kepada Allah

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

WAKTU siang atau malam, di mana juga kita berada, patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada Allah. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan rasa takut akan azab dan seksaan maha pedih dari Allah tidak ada dalam hati mereka yang melakukannya dan ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan Allah.

Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak.

Jika kita ada rasa takut kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintah-Nya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah. Semua perintah Allah akan dipatuhinya dan larangan ditinggal-kannya.

Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin Allah dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada Allah hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada Allah. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu.

Ibn Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada Allah dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan Allah.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya.” (Dari kitab Tanbihul Ghafilin II)

Sebenarnya rasa takut kepada Allah ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya Allah tetapi tidak dapat berasa-kan takut kepada Allah, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab Allah.

Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah menandakan hati seseorang itu telah mati. Al-Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut).

Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada Allah dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepada-Nya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayang-Nya.”

Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada Allah melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah An-Naziat, ayat 40-41)

utusan malaysia/-

Suasana pilu

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

CAMERON HIGHLANDS – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini apabila kaum keluarga hari ini tampil menuntut mayat tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil semalam.

Mereka yang kebanyakannya masih trauma dengan tragedi itu tidak mampu menahan kesedihan apabila diberi peluang membuat pengecaman mayat ahli keluarga masing-masing.

Proses pengecaman yang bermula pukul 9 pagi ini berakhir kira-kira pukul 2 petang.

Mayat pertama, Sara Gunung, 37, dibawa keluar dari rumah mayat pukul 2.35 petang manakala mayat terakhir, Mohd. Iqbal Jaafar, 15, dituntut ahli keluarga pada pukul 4 petang.

Semua mayat mangsa bukan Islam kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lapan di sini manakala jenazah mangsa beragama Islam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Setia di sini.

Antara hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk SK Devamany.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang semalam, tujuh termasuk empat wanita dan tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah.

Mangsa yang terbunuh ialah Normadiah Lasik, 69; Ali Hassan, 50; Jaafar Balad, 49; Mohd. Iqbal, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51, dan Yusmizan Yusof, 22.

Dua lagi yang cedera parah adalah Bah Anjang Besar Alang, 39, dan Serry Priska Saari, 15.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, mangsa pertama Normadiah ditemui pada pukul 6.30 petang; Ali (11.22 malam); Sara Gunung (12.29 pagi) dan Yusmizan (12.32 pagi).

Katanya, mayat Mohd. Iqbal dan Jaafar dijumpai pada pukul 1.16 pagi manakala Norma Gunung pukul 1.20 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat oleh 248 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi dihentikan pada pukul 1.50 pagi selepas kesemua mayat ditemui.

Sementara itu, Wan Zahri berkata, pemantauan masih dijalankan di lokasi kejadian bagi mengelak kawasan berkenaan dicerobohi.

“Polis akan terus melakukan kawalan di lokasi runtuhan berikutan struktur tanah yang masih lembut dan berisiko untuk runtuh.

“Buat masa ini, seramai 60 penduduk yang terselamat ditempatkan di Dewan Serbaguna Brinchang sebagai perlindungan sementara,” katanya.

Sebanyak 145 keluarga membabitkan kira-kira 1,300 penduduk tinggal di kawasan penempatan Orang Asli itu.

utusan malaysia/-

Tolak Dialog : Tindakan Kurang Bijak Uthman El-Muhammady, Kata Dr Asri

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM : Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keengganan pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady untuk menerima pelawaan dialog berhubung isu Wahabi sebagai reaksi tidak profesional dan "kurang intelek" pemimpin itu.

Bercakap kepada Tv Selangor, Dr Asri berkata, seorang pemimpin Islam seharusnya mencerminkan sikap cendekiawan dan bukannya membiarkan sesuatu perkara yang dibangkitkannya menjadi pertikaian awam dan dibiarkan begitu sahaja.

"Dukacita sekiranya kita menuduh orang lain, di mana orang yang dituduh itu menjemput untuk mendengar alasan dan hujah tuduhan tetapi kita enggan.

" Ini bukan reaksi interlek dan sikap cendiakawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam dunia Islam. Sekiranya kita telah menuduh sesorang dengan tuduhan yang berat dan diminta untuk berbincang eloklah kita berbincang," kata Dr Asri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diambil penceramah popular, Dr Uthman yang sebelum ini mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Uthman sebelum ini menolak jemputan rasmi dialog oleh jawatankuasa fatwa Perlis setelah penceramah itu mengaitkan beberapa tokoh agama di negara ini dengan fahaman Wahabi.

Antaranya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan jawatan itu, Dr Asri sendiri.

Dr Juanda sebelum ini menyatakan kekecewaannya di atas penolakan Uthman untuk mengadakan satu dialog harmoni mengenai 'kesesatan' dan 'keganasan' Arab Saudi yang dibangkitkan Uthman.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan 'ahli akademik' takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi-buta,” kata Dr Juanda dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Mengulas senario itu, Dr Asri menambah, Dr Juanda mahupun jawatankuasa fatwa Perlis mempunyai sebab kukuh menjemput Uthman menghadiri dialog berkenaan.

" (Oleh) kerana ini membabitkan satu tuduhan ke atas sebuah kerajaan sebagai pengganas dan sesat ke atas Arab Saudi, ini adalah satu tuduhan yang besar sedangkan Malaysia ada hubungan rapat dengan mereka (Arab Saudi) dan hubungan ini adalah satu hubungan yang baik (antara negara Islam),"kata beliua.

Ujarnya lagi, insiden ini merupakan sesuatu yang serius dan mendesak ia diselesaikan segera memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dengan pihak Arab Saudi khususnya dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial.

"Pihak saya difahamkan, kerajaan Arab Saudi memandang serius perkara ini, kerana tuduhan berat ke atas negaranya sebagai pengganas dan ini saya lihat ia adalah satu kelemahan yang hadir dari kerajaan pemerintah yang ada.

"Saya tidak katakan perkara ini terbit dari pimpinan kerajaan pusat, namun ia adalah sebagai tanda bahawa kerajaan pemerintah yang sedia ada ini lemah sehingga gagal mengawal organisasi-organisasi yang ada sehingga mereka mampu bertindak sendiri tanpa sebarang halangan,"katanya lagi.

Sebelum ini, Uthman yang dipanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi taklimat mengenai Wahabi.

Selain itu, Uthman juga dilaporkan turut mengaitkan Dr Asri dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Bagaimanapun setelah itu, Uthman berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog dengan Dr Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar bagi menjelaskan hal itu.

Bagaimanapun, Uthman yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah kemudiannya mengambil pendirian menolak jemputan rasmi itu, Jumaat lalu.

tv news/-

Penamaan ahli KWSP capai umur 55 tahun kekal sah

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, penamaan oleh ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun akan terus kekal sah.

Penjelasan ini adalah berikutan penyebaran e-mel berantai baru-baru ini yang mendakwa penamaan oleh ahli KWSP yang mencapai umur 55 tahun adalah terbatal dan mereka perlu membuat penamaan semula.

KWSP juga menjelaskan yang seseorang ahli KWSP hanya perlu membuat penamaan semula apabila mencecah umur 55 tahun sekiranya beliau membuat pengeluaran umur 55 tahun sebelum 1 Februari 2008.

“Oleh itu, jika ahli terus mencarum dengan KWSP, beliau perlu membuat penamaan baru,” kata KWSP dalam kenyataan semalam.

Ia berkata bagi ahli KWSP yang membuat pengeluaran umur 55 tahun selepas 1 Februari 2008, penamaan mereka akan kekal melainkan penamaan baru dibuat untuk menggantikan penamaan terdahulu.

“Peraturan ini juga terpakai untuk ahli yang telah mencapai umur 55 tahun tetapi belum membuat pengeluaran itu,” katanya. – BERNAMA

Taufan Muifa ancam kilang kimia

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BEIJING 8 Ogos - Penduduk sekitar bandar pelabuhan China bimbang ombak besar akan melanda negara ini yang dijangka mengancam sebuah kilang kimia dan tumpahan bahan kimia toksik.

Media tempatan hari ini melaporkan, ombak setinggi 20 meter memecah benteng di Dalian di timur laut wilayah Liaoning dan mengancam loji kimia Fujiahua yang menempatkan bahan-bahan kimia toksik, menurut tentera di tempat kejadian.

Ombak tersebut dicetuskan oleh Taufan Muifa yang diramal oleh Agensi Ramalan Cuaca China melanda petang ini sekitar wilayah Laioning atau barat Korea Utara. - Agensi

Rayuan Derma : Idham Care rancang sumbang Infak Ramadhan kepada 600 orang Fakir Miskin

09 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sempena dengan bulan Ramadhan dan Aidil Fitri yang akan menjelang, Idham Care sudah merancang untuk menyumbangkan kepada anak yatim dan Fakir Miskin di dalam DUN Titi Serong dan Parlimen Kuala kangsar untuk sejumlah 600 orang yang telah dikenal pasti.

Sumbangan yang akan diberikan kepada mereka yang terlibat berupa sejumlah barang makanan perlu dan sumbangan wang hasil dari sumbangan zakat dan derma dari pelbagai pihak dari seluruh negara. Disamping itu terdapat juga pihak yang menyumbangkan bahan makanan seperti beras dan lain-lain untuk menjayakan program tersebut.

Kami menganggarkan sejumlah RM 50,000 diperlukan untuk menjayakan program yang pertama kali saya lancarkan atas nama Infak Ramadhan dengan paltform Idham Care yang ditubuhkan sejak tahun lepas.

Setakat ini sumbangan dari pelbagai pihak sedang kami terima dan masih memerlukan sumbangan dari pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan kewangan yang besar itu.

Sesungguhnya dengan bantuan dari pelbagai pihak yang bermurah hati menyalurkan wang zakat dan derma adalah faktor utama berjayanya program yang dirancang.

Harapan saya Idham Care terus berada dalam masyarakat untuk bersama dengan NGO dan badan-badan kebajikan lain bagi merelisasikan usaha untuk membantu pihak yang memerlukan sekadar kemapuan yang kami ada.

Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya dengan ini merayu kepada semua pihak untuk menghulurkan sumbangan zakat dan derma kepada Idham Care ke akaun MayBank nombor akaun : 558417102650.

Semuga usaha murni kami ini akan mendapat keberkatan dari allah SWT.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi Idham Care/
ADUN Titi Serong.

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Tertuduh dakwa kena seksa

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pegawai penyiasat paksa mengaku bunuh jutawan kosmetik, tiga rakan

SHAH ALAM: Tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, mendakwa dia dipukul dan diseksa termasuk pistol dimasukkan ke dalam mulutnya serta kemaluannya dicubit berkali-kali ketika disoal siasat, September tahun lalu.

T Thilaiyagan, 20, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, dia ‘bagaikan menjadi gila’ apabila didera dan diseksa, termasuk dipanggil anjing dan babi.
Katanya, seksaan itu dilakukan Cif Inspektor N Govindan dan anggota pasukannya ketika menyoal siasatnya pada 11 September tahun lalu. Thilaiyagan berkata, dia dibawa ke sebuah bilik yang diketahuinya sebagai ‘D7’, dan disuruh duduk di atas lantai.

“Dalam bilik itu, ada enam pegawai polis, termasuk Govindan dan ‘Tuan Thiaga’ dan pada mulanya Govindan bertanya nama, pekerjaan, umur dan sama ada saya sudah berkahwin sebelum pegawai polis itu keluar dan masuk kembali membawa akhbar.

“Dalam akhbar itu ada empat gambar, tiga lelaki dan seorang wanita dan Govindan bertanya sama ada saya mengenali mereka,” katanya.

Menjawab soalan peguam bela Gurbachan Singh dalam prosiding bicara dalam bicara (TWT) semalam, tertuduh berkata dalam sesi temu bual itu dia dipukul Govindan dan Thiaga.

"Selepas dipukul, Govindan masukkan pistol ke dalam mulut saya. Govindan arah saya beritahu... saya kena jawab. Saya kena beritahu apa yang dia mahu saya beritahu polis.

"Saya diarahkan mengaku bunuh keempat-empat orang itu. Saya tidak mengaku," katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir di sini, semalam.

Prosiding TWT kedua itu untuk menentukan sama ada keterangan diperoleh daripada Thilaiyagan dan tertuduh ketiga, R Matan, 21, secara sukarela.

Thilayagan juga mendakwa kemaluannya ditendang sekali, selain dadanya ditendang banyak kali ketika disoal siasat.

Katanya, selepas disoal siasat kira-kira empat jam setengah dan Govindan membawanya ke satu bilik lain di mana ada beberapa pegawai polis dan R Khatavarayan (tertuduh keempat) dan di situ pistol dimasukkan ke dalam mulutnya, lehernya dipegang selain dia dipukul.

Thilaiyagan yang ditahan bersama-sama Matan, Khatavarayan dan saksi pendakwaan ke-29, U Suresh, pada 9 September tahun lalu berkata, dia dibawa ke Banting tengah malam 12 September tahun lalu.

Katanya, dia dipaksa ke sungai dan diugut ditembak oleh Govindan jika tidak mahu mengikut.

"Suresh dan Khatavarayan turut dibawa ke sungai. Leher saya dipegang, saya diarahkan tuding jari untuk ambil gambar,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengecam pegawai dan anggota polis yang menderanya, Thilaiyagan mengecam Govindan dan Sarjan N Thiagaraja.

Thilaiyagan juga mengakui turut dipanggil anjing dan babi dan ketika berada di Ladang Gadong, Banting dan diberikan cili api apabila meminta makanan.

“Saya nampak Matan dan Khatavarayan dipukul sehingga mulut dan bibir mereka berdarah, menyebabkan saya takut,” katanya.

Thilaiyagan tidak setuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin apabila dicadangkan ayat dalam dua laporan polis dibuatnya pada 6 April dan 6 Julai lalu bukan ayatnya sendiri, berikutan bahasa digunakan adalah bahasa Melayu yang tinggi sedangkan dia tidak fasih berbahasa Melayu.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa laporan polis kedua dibuatnya itu atas nasihat peguamnya.

Thilaiyagan mengubah keterangannya mengenai isu kemaluannya dicederakan dengan mengatakan dia dicubit berkali-kali dan lama, tetapi tidak bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yaakob bahawa jika dicubit berkali-kali dia boleh dimasukkan ke hospital serta menafikan ia rekaan semata-mata.

Perbicaraan bersambung hari ini.

utusan/-

Jangan sombong, neraka jahanam sedang menunggu..

09 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh : Zainal Dahari

Syukur kita ke hadrat Allah kerana masih diberikan nyawa dan nafas dan masih berada dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak semoga kita akan terus dipelihara Allah dan mampu mengerjakan amal ibadat yang dituntut dan dijauhkan dari melakukan segala yang dimurkainya.

Sesungguhnya kita perlu insaf bahawa akan sampai masanya, tidak akan berguna lagi segala kemewahan, pangkat yg tinggi, harta yang banyak, rumah yang besar, kereta yang berjenama mahal, pasangan yang cantik, keluarga yang besar dan sebagainya bila nyawa dicabut manakala jasad dan roh sudah dipisahkan oleh Allah swt.

Pada ketika itu sudah terputuslah dan tiada lagi kasih sayang antara suami isteri, ibu dan ayah serta anak-anak. Yang akan mengiringi dan bersama kita hanyalah tiga perkara, harta yang diinfakkan di jalan Allah, amalan dan ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk kedua ibubapanya.

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al-Baqarah 183

Bulan Ramadan didatangkan setiap tahun supaya setiap orang yang mengaku beriman sentiasa bermuhasabah dan juga sentiasa berusaha memperbaiki diri dalam beribadat serta kekal dalam sifat tawadduk merendah diri dan tidak sekali-kali menyimpan sebarang sifat sombong yang akan merugikan kita bukan sahaja di dunia lebih-lebih lagi sewaktu bertemu Illahi nanti.

Kuliah yang dihadiri kali ini menceritakan tentang balasan azab siksa akhirat bagi orang yang sombong dan tidak bersyukur kepada kurniaan Allah semasa hidup di dunia ini.

“ Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka; “Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari ini (yakni hari pembalasan) ?” Mereka menjawab: “ Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir” Az Zumar 71

“ (Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masuklah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam. Az Zumar 72


Kumpulan manusia di akhirat nanti hanya ada dua sahaja, iaitu mukmin atau kafir, kalau mengikut perintah Allah dan rasul kumpulan itu adalah mukmin, tetapi kalau ingkar tidak mematuhi perintah Allah dan rasul, kumpulan manusia tersebut adalah kafir. Di manakah kita ? Kalau sekadar mengaku Islam tetapi tidak menjalankan dan menurut perintah Allah maka kita belumlah lagi mukmin dan kita akan termasuk dalam kumpulan kedua itu di akhirat nanti, na’uzubillah minta dilindungi Allah.

Tahukah kita bagaimana rupa neraka Jahannam itu. Mengikut riwayat yang diceritakan oleh Rasulullah neraka Jahannam itu amat besar dan di tengahnya terdapat satu lubang yang amat besar lagi amat dalam, sedangkan di bawahnya ada api yang menyala-nyala, yang menjulang-julang yang akan menolak naik apa-apa yang jatuh kedalamnya, kemudian jatuh semula dan ditolak naik semula, begitulah seterusnya dan selamanya. Kehangatan dan kepanasan api neraka itu pula dapat dirasai sejauh beberapa tahun perjalanan. Rasulullah juga menyatakan jika dijatuhkan seketul batu ke dalam lubang itu, ia akan mengambil masa 40 tahun untuk sampai ke dasar lubang tersebut.

Sudah tentu tidak dapat kita bayangkan bagaimana azabnya siksa yang akan diterima oleh sesiapa yang dicampakkan ke dalam neraka Jahannam itu. Kita juga selalu diceritakan bagaimana kasarnya tindakan dan tingkahlaku semua malaikat penjaga neraka.

Mengikut ayat di atas penghuni neraka ini ialah orang-orang yang sombong lagi takbur.

Oleh itu hindarilah segala perkara yang boleh menjuruskan diri kita kepada sikap sombong, semoga kita tidak dihumban bersama dengan orang-orang kafir ke dalam neraka Jahannam.

Marilah kita sentiasa berusaha meningkatkan nilai ibadat kita kepada Allah dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakanNya walaupun sedikit pada pandangan kita. Jika kita mempunyai apa-apa kelebihan janganlah bertangguh untuk menginfakkannya kerana umur nafas dan nyawa kita yang diberikan Allah sejak berusia tiga bulan dalam kandungan ibu itu sudah semakin kurang dan kita tidak tahu bila masanya ia akan habis.

Sehubungan dengan sikap yang dibenci Allah ini, ada baiknya kita berkongsi satu cerita tentang seorang yang sombong di zaman Rasulullah.

Diriwayatkan terdapat seorang gembala beragama Yahudi yang mempunyai seekor unta yang sangat disayanginya, dibelanya sejak kecil dan unta tersebut sentiasa mematuhi segala arahan dan tidak pernah membantah sedikitpun. Namun dalam hati gembala ini ada sifat sombong tidak mahu mengaku bahawa segala hartanya adalah milik Allah, tidak juga mengaku kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Pada satu hari sewaktu mahu membangnkan untanya untuk menjalankan satu tugas, untanya tidak mahu patuh seperti sebelumnya. Keadaan ini membuatkan gembala tersebut amat marah, lalu dia mula mengungkit-ungkit atas apa yang diberikan selama ini, seperti memberi makan, memberi minum, menyediakan tempat tidur dan sebagainya. Sambil berleter dia mula memukul unta tersebut dengan harapan unta itu akan kembali patuh kepadanya. Unta itu kemudiannya bangun tetapi tidak mahu mempedulikan tuannya sebaliknya terus berjalan dan hanya berhenti dan duduk di belakang Rasulullah yang kebetulan ada berkeperluan berhampiran di situ.

Orang Yahudi tersebut mengekori untanya dan tidak berapa lama sampailah ke hadapan Rasulullah lalu ditanya oleh baginda, apakah sebabnya dia nampak seperti sedang marah dan tidak gembira!

Dijawablah oleh gembala tersebut, “Wahai Muhammad, aku sangat marah kerana tidak dapat menyelesaikan satu tugas sebab untaku tidak mahu lagi patuh kepadaku sedangkan aku sudah banyak berhabis kerananya.”
(disebut hanya Muhammad kerana dia bukan orang Islam dan tidak mengaku kerasulan nabi).

Rasulullah kemudian berpaling dan bertanya kepada unta tersebut, “Wahai unta mengapa kamu bertindak demikian?”
(Rasulullah diberi kelebihan oleh Allah untuk berbicara dengan apa sahaja bila diperlukan) .
.
Dengan fasih unta itu menjawab dan didengari oleh gembala tersebut,”Ya Rasulullah, aku bertindak demikian kerana tuan aku tetap sombong dan masih tidak mahu berubah, tidak mahu mengaku kerasulanmu”

Rasulullah kemudian bersabda, “Wahai tuan unta, sedangkan unta kamu yang hanya diberikan otak tidak boleh berfikir pun mengaku kerasulan aku, mengapa kamu yang Allah berikan otak dan boleh berfikir tidak mahu berbuat demikian ? “

Mendengar sahaja jawapan unta dan teguran dari Rasulullah itu, dengan segera orang Yahudi tersebut menghulurkan tangan kepada Rasulullah dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan baginda.

Begitulah kesudahannya orang yang sombong tetapi sebenarnya orang Yahudi itu adalah orang yang bernasib baik, ia bertukar menjadi seorang Islam dan Insyaallah diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu, sebaliknya bagaimana pula keadaan kita ? Fikir-fikirkanlah.

Marilah kita berusaha dan berdoa semoga kita akan dimasukkan pula kedalam golongan atau kumpulan yang diceritakan dalam ayat Al-Quran seperti di bawah:

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabiila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sudah sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata, “Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya “ (mereka pun masuk) “ Az Zumar 73

“ Serta mereka berkata; “ Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai, maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”. Az Zumar 74

Semua orang Islam tahu dan yakin bahawa segala janji Allah itu adalah benar; segala kejadian lalu adalah benar, kejadian sekarang adalah benar dan segala kejadian yang akan datang juga tetaplah benar dan tiada sebarang keraguan atas segala-galanya.

Marilah dengan kesempatan yang amat terhad ini, Ramadan pun sudah hampir memasuki peringkat kedua, marilah dengan apa-apa sahaja kekuatan dan upaya yang kita ada, marilah sama-sama kita bersihkan hati dan jiwa kita daripada sifat sombong dan segala perkara dari sifat Mazmumah dan marilah kita isikan semula sedaya upaya kita dengan segala sifat Mahmudah semoga kita berjaya dunia dan akhirat.

“ Dan peliharalah diri kamu dari (huru hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfa’at kepadanya sebarang syafa’at, dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).” Al-Baqarah 123

.“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya” Al-Baqarah 172

“ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Al-Baqarah 208

.

Rusuhan dijangka merebak ke bandar lain di UK

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LONDON: Rusuhan yang tercetus di bandar Liverpool dan Birmingham pada ketika keganasan paling teruk di London selepas bertahun-tahun dijangka merebak ke bahagian lain negara berkenaan hari ini.

Polis West Midlands mengesahkan 87 orang ditahan ketika golongan belia merusuh di tengah Brimingham malam tadi dengan memecahkan tingkap kedai dan mencuri barangan.
Pihak berkuasa juga berkata, balai polis di tengah bandar England itu turut terbakar.
Sementara itu, Polis Merseysid mengesahkan hari ini mereka berdepan dengan rusuhan di barat laut Liverpool apabila beberapa kereta dibakar. - AFP

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana keganasan di Liverpool dan berjaya mengambil tindakan pantas dan berkesan sebagai tindak balas," kata jurucakap polis, Andy Ward.

berita harian/-

Bersyukur dikurnia anak kembar empat

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan suaminya, Hazli Zakaria, 39, bersyukur kepada Allah SWT apabila penantian selama tujuh tahun mereka untuk mendapatkan anak kedua berakhir setelah dikurniakan anak kembar empat.

Jasmina yang melahirkan kembar empat itu dengan cara pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Jun lalu berkata, dia dan suami tidak pernah menyangka akan dikurniakan anak kembar.

“Kami berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas mendapat anak pertama Eimann Arrazi yang lahir pada 2004 sewaktu saya sedang belajar di United Kingdom (UK).

“Pelbagai usaha dibuat sehingga saya dan suami memilih untuk menjalani kaedah persenyawaan dalam rahim (IUI). Doktor ada memberitahu IUI akan membolehkan saya mendapat anak kembar tetapi saya tidak pernah menyangka ke arah itu.

“Selepas disahkan mengandung, tiga minggu selepas itu, saya sudah diberitahu akan mendapat anak kembar empat. Tidak banyak masalah sewaktu mengandung, cuma pada bulan keenam saya sudah dimasukkan ke HKL sehinggalah bersalin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Jasmina berkata, sewaktu pembedahan, doktor mengambil masa selama satu setengah jam untuk mengeluarkan anak dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keempat-empat anak saya, yang mana dua lelaki dan dua perempuan sihat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu dilahirkan anak kembar mereka iaitu Eirfann Arrazi adalah seberat 2 kilogram (kg), Sara Yasmin (1.34kg), Eihsann Arrazi (2.1kg) dan Shaza Jasmin seberat 1.66kg.

“Eirfann dilahirkan pada pukul 2.08 petang, Sara (2.09 petang), Eihsann (2.10 petang) dan Shaza pada pukul 2.11 petang iaitu masing-masing selang seminit,” jelasnya.

UTUSAN/-

Rangka wanita Perancis di gua

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUANTAN - Wanita Perancis yang hilang tiga bulan lalu selepas melancong ke Pulau Tioman dekat sini ditemui dibunuh kejam dengan mayat mangsa ditanam dalam sebuah gua di Kampung Tekek di pulau peranginan itu semalam.

Mayat Stephanie Foray, 30, yang belum berkahwin ditemui pada pukul 1 petang oleh polis ekoran penahanan dua lelaki warga tempatan di Kampung Tekek pada 24 Julai lalu.

Mayat mangsa ditimbus dalam lubang di gua itu sedalam tiga meter dan polis mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan rangka dipercayai milik Stephanie.

Seorang daripada suspek itu merupakan seorang ahli perniagaan berumur 44 tahun yang memiliki sebuah pondok ala inap desa dan sebuah kafe manakala seorang lagi suspek merupakan sepupu kepada ahli perniagaan itu.

Mengikut laporan sebuah akhbar sebelum ini, mangsa tiba di pulau itu dengan feri pada 10 Mei lalu melalui jeti Mersing di Johor dan didakwa tinggal di pondok milik ahli perniagaan itu.

Sejak masuk ke pulau itu, tiada rekod menunjukkan mangsa meninggalkan pusat peranginan tersebut sama ada melalui jalan air atau udara.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mencari mangsa selepas menerima laporan daripada atase Perancis di Singapura mengenai kehilangannya pada 27 Jun lalu.

Mengikut satu sumber, Stephanie sebelum ini kerap berhubungan dengan keluarganya di Perancis melalui e-mel.

"Namun selepas keluarga mangsa tidak menerima kiriman e-mel mangsa dalam tempoh yang lama, mereka membuat laporan kepada atase Perancis di Singapura," kata sumber itu.

Polis kemudian menghebahkan kehilangan mangsa yang bekerja sebagai pegawai komunikasi di Perancis melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan suspek pertama, seorang ahli perniagaan. Lelaki itu ditahan selepas polis berjaya mengesan penggunaan telefon bimbit milik mangsa oleh suspek terbabit.

Beberapa hari selepas penahanan ahli perniagaan itu, polis kemudian menahan sepupu kepada suspek pertama itu yang memiliki sebuah kebun.

Suspek pertama didakwa penduduk kampung pernah menaiki motosikal bersama Stephanie.

Sumber itu memberitahu, soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan satu rangka manusia ditimbus dengan batu-batan di dalam sebuah gua di kampung tersebut. Jarak gua dengan pondok didiami mangsa ialah 100 meter.

Turut ditemui bersama rangka dipercayai milik Stephanie adalah sebuah bantal dan tilam serta cebisan pakaian.

Mangsa dipercayai dibunuh tiga bulan lalu ketika dia tinggal di pondok milik suspek pertama.

Mayat mangsa kemudian ditimbus dalam gua di belakang tempat pondok tersebut.

Motif pembunuhan masih disiasat. Polis juga menyiasat kemungkinan mangsa dirogol oleh kedua-dua suspek itu.

Mangsa dikatakan tiba di ibu negara pada 5 Mei lalu dengan sebuah penerbangan dari Colombo, Sri Lanka ke Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur.

Selepas itu, mangsa pergi ke Melaka dan pernah menginap di Sayang Sayang Guest House, Kampung Hulu, Melaka.

Sementara itu, sumber Kedutaan Perancis di Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai Stephanie.

kosmo/-

SPR cipta sejarah, Kg Baru sebagai pengundi

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.

Menurut Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan berkata, daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Berikut ulasan beliau berhubung perkara itu.

Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:



Apabila semakan dibuat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) mengikut nombor kad pengenalan pemilih maka nama Kg Baru sebenarnya adalah Noraini Binti Abdullah. Persoalannya bagaimana SPR boleh melakukan kesilapan yang begitu memalukan? Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku? Apakah Datuk Wan Ahmad Wan Omar masih menganggap isu ini hanyak layak di jawab oleh kerani SPR sahaja?

Maklumat Noraini Binti Abdullah adalah seperti berikut:



Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menjumpai pemilih dari kalangan pengundi hantu di mana nama pemilih ini tidak terdapat dalam rekod JPN. Pengundi hantu ini bernama Farhana Binti Abdul Rashid, no kad pengenalan 840505715012 dan mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.

Maklumat pengundi hantu ini adalah seperti berikut:



Semakan di laman Web JPN menunjukkan identiti Farhana Binti Abdul Rashid tidak wujud.



Persoalannya bagaimana SPR boleh mendaftarkan pengundi hantu sedangkan SPR mempunyai Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang telah dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System)?

Berdasarkan kepada peristiwa pada 2 Ogos 2011 di mana JPN mengubah status warganegara dalam tempoh satu jam setengah maka mungkin maklumat Farhana Binti Abdul Rashid akan berubah selepas media menyiarkan maklumat pengundi hantu ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia beranggapan mungkin telah berlaku kecuaian manusia yang menyebabkan sebuah kampung dibenarkan mengundi. Salah satu punca kepada masalah ini adalah kerana SPR tidak mempunyai sistem pengesahan pengundi yang benar-benar mantap. Kecuaian manusia tidak dapat dikesan oleh sistem selepas data-data dimasukkan.

Dewan Pemuda PAS juga mendesak kepada SPR agar menggugurkan bayaran RM10 bagi setiap bantahan dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Bantahan ini merupakan salah satu kaedah mengesan kesilapan manusia. Bantahan ini dibenarkan semasa SPR mempamerkan rang daftar pemilih. Apabila bayaran yang dikenakan terlalu mahal maka ia akan membebankan mereka yang mahu membuat bantahan sedangkan bantahan ini bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih SPR.

Ini bermaksud pembantah mahu membantu SPR membersihkan data mereka. Membersihkan daftar pemilih adalah tugas hakiki SPR. Malangnya SPR mengenakan bayaran yang tinggi untuk membantunya membersihkan daftar pemilih. Bayaran yang dikenakan oleh SPR kepada pembantah adalah termasuk perkara-perkara yang pelik dalam negara kita. Sepatutnya SPR memberi bayaran tanda penghargaan kepada mereka yang membuat bantahan bukannya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu membantu SPR.

Tempoh bantahan juga terlalu singkat dan tidak munasabah iaitu hanya 5 hari sahaja termasuk 2 hari bercuti. Contohnya dalam rang suku ke-2 tahun 2011, SPR hanya membenarkan bantahan pada 29 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011. Iaitu 5 hari bermula hari Jumaat hingga selasa. Tempoh ini terlalu singkat dan merumitkan. Bayaran dan tempoh yang terlalu singkat ini seolah-olah SPR mempunyai agenda tersembunyi bagi menyukarkan pembantah untuk membuat bantahan.

Dewan Pemuda PAS mendesak agar tempoh bantahan ini dipanjangkan dan bayaran kepada pembantah digugurkan. Ini bagi memudahkan semua pihak membuat pembersihan daftar pemilih di masa akan datang.

harakahdaily/-

Tentera Gaddafi lancar serangan

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BENGHAZI - Para pemberontak Libya di bandar Zliten kini dikatakan mula mengalami kekurangan bekalan peluru.

Bagaimanapun, tentera pemimpin Muammar Gaddafi dilaporkan menguasai bandar Bir Ghanam awal semalam.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa bandar berkenaan dikuasai para pemberontak.

Menurut seorang jurucakap pemberontak, Abdul Wahab Melitan, tentera yang setia kepada Gaddafi telah melancarkan serangan ke atas para pemberontak di kawasan Souk Telat di Zliten.

Dalam kejadian itu, tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera.

"Para pemberontak kekurangan peluru untuk mara dan kami tidak mahu berdepan dengan risiko kehilangan kawasan," kata Abdul Wahab.

Peperangan di Libya berlaku sejak Februari lalu melibatkan para pemberontak dengan tentera pimpinan Gaddafi.

Para pemberontak itu mahu Gaddafi berundur selepas berkuasa sejak tahun 1969.

Dalam peperangan itu, Pertubuhan Penjanjian Atlantik Utara (NATO) campur tangan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi mengenakan tekanan ke atas Gaddafi supaya meletakkan jawatan. - Agensi

Tanah runtuh: Nik Aziz kongsi kesedihan

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: “Saya berkongsi kesedihan dengan keluarga tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, beliau melalui Facebook berharap semoga mereka dapat bersabar di atas bencana yang menimpa.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada musibah itu.

“Sekali lagi saya mengucapkan takziah, kepada mangsa yang beragama Islam, semoga Allah SWT merahmati rohnya dan ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang soleh,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.45 petang kelmarin, berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang sehingga menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50; Jaafar, 49; Mohd Ikbal Jaafar, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51; dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

Semalam, PAS Pahang merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan dalam masa terdekat akan ke sana menyampaikan sumbangan.

“Serentak dengan itu juga kita meminta kerajaan negeri segera memantau penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi itu kerana biasanya banjir lumpur dan hakisan tanah berlaku akibat operasi penebangan balak yang tidak terkawal,” kata pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

harakahdaily/-

Menyayangi Kedua Ibubapa

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

“ Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya , atau kedua-duanya sekali , sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun) Al-Israa’ 23

“ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” Al_Israa’ 24.

Disamping ayat-ayat di atas banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis berkaitan kemestian berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Namun dua ayat di atas sudah memadai untuk kita tahu bagaimana pentingnya dan besarnya peranan mereka dalam urusan hidup dan mati kita. Tanpa mereka siapalah kita. Sepanjang masa eloklah sentiasa bermuhasabah bagaimana telah dan seharusnya kita memelihara hubungan dengan kedua ibubapa kita.

Tidak ada alasan untuk tidak berbuat baik kepada kedua ibubapa samaada mereka masih hidup, masih sihat apatah lagi jika mereka sudah uzur atau pun setelah mereka meninggalkan kita.

Oleh kerana ini adalah ayat Al-Quran maka ia adalah perintah untuk berbuat baik, tidak kurang ajar dan disamping itu mendoakan kepada mereka kesudahan yang baik agar dianugerahkan Allah kebaikan dunia dan akhirat.

Ramai Ulama mengatakan bahawa jika kita tidak mendoakan mereka walau tercicir satu hari pun maka kita sudah tergolong dalam golongan orang yang derhaka kepada Allah dan kepada kedua orang tuanya . Oleh itu jadikanlah berdoa untuk kebaikan kedua orang tua ini sebagai amalan kita setiap masa, janganlah kita kikir untuk menadah tangan untuk berdoa. Berdoa boleh dilakukan tidak sahaja dalam solat, lepas solat, sewaktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu hendak tidur, bangun dari tidur malahan dimana sahaja selagi kita berupaya.

Dalam satu riwayat ada mengatakan Rasulullah pernah satu ketika sewaktu menaiki mimbar untuk berkhutbah, berhenti sebentar di setiap satu dari tiga anak tangga mimbar dan menyebut Amin sekali setiap kali berhenti sebelum memulakan khutbah.

Selepas turun dari mimbar baginda ditanya apakah yang berlaku, apakah perintah baru yang diterima? Baginda menjawab bahawa baginda mengaminkan tiga Doa yang dibaca oleh Jibril, salah satunya ialah “Celakalah sesiapa yang mengabaikan kedua ibubapa semasa mereka masih hidup.”

Kebelakangan ini dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah, melalui TV, Radio dan Media Internet dan sebagainya, sudah banyak berita sedih termasuk yang bergambar, memaparkan layanan buruk anak-anak terhadap ibubapa mereka. Bukan sahaja ibubapa tidak dilayan dengan baik tetapi hinggakan ada yang sanggup mencederakan dan membunuh mereka.

Sudah banyak tulisan dan ulasan cerdik pandai dan guru-guru agama berbicara tentang perkara ini tetapi kadangkalanya terlalu umum dan juga kerana kesibukan kita tiada masa untuk membaca buku atau tidak tersampai fikiran kita tentang apa yang boleh dilakukan dalam memenuhi tuntutan Allah ini.

Justeru itu, di sini dikemukakan semula beberapa contoh yang dapat dikutip dari pengalaman, pembacaan, kuliah, pemerhatian dan juga kupasan beberapa para ilmuan. Apa yang pasti, ambillah, dan hayatilah serta sesuaikanlah dengan situasi di mana yang perlu.

Sesungguhnya dunia ini amat luas dan penuh dengan pengajaran jika kita mahu berfikir dan mahu mengambil pengajaran daripadanya.

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). AL-Jumaah 10

Sewaktu seorang atau keduanya masih hidup.

1. Jika keduia ibubapa kita tinggal bersama kita, jagalah adab sopan, layanlah dan gembirakanlah mereka dengan sewajarnya. Janganlah kita menyempitkan hidup mereka. Elakkan menjadikan mereka seperti hamba atau orang suruhan dengan melakukan sebarang kerja yang sepatutnya kita lakukan. Cukuplah segala kesusahan yang mereka hadapi sewaktu memelihara dan membesarkan kita.

2. Jika mereka keuzuran atau sakit, pujuklah mereka dengan kata-kata yang baik dan lemah lembut untuk mendapatlkan rawatan walaupun ramai orang tua tidak mahu dengan berbagai alasan yang kadangkalanya hanyalah rekaan semata-mata.

3. Jangan menampakkan sebarang perselisihan jika berlaku antara mana-mana pasangan suami isteri atau adik beradik di hadapan ibubapa, sembunyikanlah semua masalah sedapat mungkin hatta kalau perlu sehingga terpaksa berlakon sekalipun kecualilah kalau sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Cuba selesaikan masalah tersebut tanpa melibatkan mereka.

4. Sekiranya tinggal berasingan, gembirakan mereka dengan sentiasa mengunjung jika ada kelapangan. Dengan media telekomunikasi yang pelbagai hubungilah mereka sekerap yang mungkin Jika berpeluang berkunjung jangan sekali-kali menceritakan masalah kita kepada mereka, kita bukan sahaja tidak dapat menggembirakan malahan akan menambah berserabut pula fikiran orang yang sentiasa perlukan ketenangan itu.

5. Jika menghadapi apa-apa masalah, kewangan contohnya, cubalah elakkan dari menambah beban kewangan mereka, cubalah selesaikan dengan kaedah dan cara sendiri yang tidak menyusahkan mereka kecualilah mereka benar-benar mampu membantu kita.

6. Sebagai contohnya dalam bulan Ramadan ini, kalaupun tidak dapat selalu, sekali sekala bawalah keluarga, bawalah isteri atau bagi isteri pula pujuklah suami dan anak-anak pulang berbuka puasa dengan ibubapa, bawalah sedikit buah tangan berupa makanan dan kuih-muih untuk dinikmati bersama. Semua anak tentu tahu makanan kegemaran ibubapa mereka.

7. Lebih molek dan lebih mulia barakahnya jika sewaktu berkunjung, kita dapat solat berjemaah, solat maghrib contohnya secara bersama..

8. Lebih tinggi nilai bakti kita di sisi Allah jika dapat pula membawa mereka terutama yang agak uzur yang tak mampu pergi sendiri ke masjid atau surau untuk bersolat tambahan pula solat Isyak dan tarawih di bulan Ramadan ini. Sesungguhnya ibubapa tidak akan meminta berlebihan, tetapi perihatinlah bahawa jiwa orang Islam mana yang tidak mahu mendekatkan diri mereka dengan masjid dan surau bila telah berusia tua..

9. Tidak semestinya mereka tiada wang, tetapi apalah salahnya kita beli sehelai dua pakaian untuk menggembirakan dan menyejukkan hati mereka, contohnya, sehelai dua tudung kepala untuk ibu dan songkok atau kopiah untuk bapa, mustahil kalau tidak tahu saiz dan warna kegemaran mereka, sedangkan harganya pula tidak seberapa.

10. Jika hendak pulang berbuka puasa di bulan Ramadan ini, pulanglah awal sedikit jangan sudah hampir masuk maghrib baru sampai kerana jika awal, kita ada banyak masa yang boleh digunakan untuk berbual sedikit sebanyak bertanya khabar dan mengetahui jika ada masalah yang mereka hadapi. Jika sebaliknya, kita akan kesuntukan masa kerana selepas berbuka kita akan disibukkan dengan makanan, solat dan lain-lain keperluan.

Mungkin ada anak-anak akan berkata, ini sukar dilakukan kerana pendapatan kami rendah, gaji kami kecil, anak-anak kami ramai, banyak keperluan lain lagi perlu diselesaikan, ataupun ada yang berkata, orang tua kami orang senang, tak kurang apa-apa, rumah mereka besar, tak pernah dengar mereka merungut apa-apa pun dan lain-lain lagi.

Sayugia kita berfikir dan faham bahawa dua ayat ini adalah ayat perintah. Tentulah banyak hikmah dan pengajaran yang terlindung di dalam keperluan taat dan berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Kita harus sedar bahawa kita juga akan jadi seperti mereka. Bila anak-anak sudah dewasa, walaupun ada masalah, semua ibubapa akan cuba untuk tidak menyusahkan fikiran anak-anak, apatah lagi kalau hendak membebankan mereka dengan masalah yang dihadapi. Terpulanglah kepada anak-anak bagaimana mencampuri dan melayani kedua ibubapa mereka.

Yang masih bujang lihat dan tanyalah kepada rakan-rakan yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak bagaimana susahnya mereka mendidik dan membesarkan anak-anak terutama dalam dunia serba mencabar sekarang ini.

Jika mereka telah meninggal dunia

1. Sedekahkanlah Al-Fatihah banyak-banyak dan sentiasalah memohon keampunan Allah untuk mereka. Dengan itu mudah-mudahan Allah akan mengampunkan dan menempatkan mereka bersama orang-orang yang Allah kasihi.

2. Infakkan sebahagian harta dan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita atas nama mereka kerana tidak akan kerugian apa-apa, pahalanya tetap kita perolehi tanpa dikurangkan sedikit pun oleh Allah..

3. Langsaikan semua hutang mereka dan jika belum terlaksana tunaikan ibadat haji dan umrah ibubapa kita secepat mungkin.

4. Ziarahlah rakan dan sahabat kedua ibubapa kita kerana ini secara tidak langsung akan menambah jumlah orang yang akan berdoa untuk mereka.

5. Teruskanlah apa-apa kerja baik yang kedua orangtua kita lakukan semasa mereka hidup. Insyaallah, Allah akan tambahkan pahala kepada mereka seolah-olah mereka yang terus melakukannya

6. Maafkanlah apa-apa kesalahan mereka kepada kita jika ada, kerana sesungguhnya tidak ada ibubapa yang ingin berbuat keburukan kepada anak-anak kecuali dalam keadaan dipaksa, jahil dan pelupa.

7. Rujukkan nama mereka dengan perkara yang baik-baik sahaja dan jauhkan mengungkit-ungkit apa-apa yang tidak baik.

Diamping itu banyak lagi perkara-perkara yang mampu kita lakukan sama ada ibubapa kita masih hidup ataupun sudah tiada

Fikirkanlah sejenak bagaimana baginda Rasulullah melayan ibu susuannya (ibu angkatnya) sehingga berusia tua dengan layanan istimewa sedangkan kedua ibubapa baginda sudah tiada sejak baginda kecil lagi.

Sebagai penutup kali ini marilah kita hayati dua lagi ayat Al-Quran dan dua hadis baginda Rasulullah SAW semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah dunia dan akhirat.

”Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). “ Luqman 14

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah) Al-Kahfi 107

Hadis Pertama “Kebaikan yang dilakukan didunia adalah seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia dan akarnya di syurga, manakala kejahatan itu seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia manakala akarnya pula di neraka”

Hadis Kedua: “ Jika kamu mempunyai harta infaklah sebahagiannya kepada jalan Allah,

jika kamu mempunyai ilmu, sebarlah ilmu kamu untuk menfaatkan orang lain dan jika kamu mempunyai kekuatan gunakanlah kekuatan kamu untuk berbakti ke jalan ALLAH”

md zainal mzd

MyKad warga asing ancam masa depan anak muda

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 9 Ogos: Golongan muda di negara ini digesa memberi sokongan padu terhadap usaha bagi membolehkan diadakan sidang tergempar Parlimen untuk membincangkan isu penduduk tetap (PR) yang memegang MyPR merah didaftar sebagai pemilih baru yang didakwa dilakukan konspirator peringkat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood ketika membuat gesaan itu mendakwa sekiranya sidang itu ditolak, kemungkinan rakyat khususnya anak muda akan berarak sekali lagi dalam Bersih 3.0.

“Tindakan itu penting bagi membersihkan warga negara yang tidak sah itu, dan kita yakin anak muda akan bangkit.

“Isu ‘Mykad’ kini menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat di negara ini, isu yang benar-benar membimbangkan dan mengancam keselamatan negara.

“Justeru NGO-NGO belia khususnya mendesak supaya tindakan seperti itu dihentikan segera,” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Penghayatan Ramadhan dan Iftar Bersama Pimpinan NGO-NGO Kelantan di sebuah restoran dekat sini petang semalam, beliau melahirkan kebimbangannya bahawa anak muda di negara ini akan tergugat dengan protokol yang tidak betul mengenai ‘Mykad’ itu.

Beliau menggesa pihak tertentu supaya mengikuti peraturan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, anak muda menyedari bahawa kalau tindakan mendapatkan kerakyatan itu begitu mudah dilakukan, bagaimana nasih mereka di negara ini 10 tahun akan datang.

“Sekarang ini dengan mudahnya untuk mendapatkan kerakyatan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pendatang asing dengan izin (Padi) ini.

“Keadaan ini menyebabkan kehidupan anak muda pada masa akan datang terancam, dengan pertembungan yang hebat daripada golongan tersebut.

“Justeru kita sangat-sangat mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah wajar. Jika tidak kita bakal berdepan dengan isu tercetusnya Bersih 3.0 disebabkan isu ‘Mykad atau isu PR itu,” ujarnya.

Beliau yakin rakyat khususnya anak muda kini mempunyai maklumat begitu hebat, media baru memainkan peranan penting, dan anak muda mempunyai cukup maklumat.

harakahdaily/-