09 Ogos 2011

17 aduan peniaga naik harga makanan di bazar Ramadan

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 aduan diterima oleh persatuan-persatuan pengguna mengenai tindakan peniaga menaikkan harga kuih-muih dan lauk-pauk di bazar Ramadan sejak awal bulan puasa.

Daripada jumlah itu, 10 aduan dibuat kepada Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), manakala Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menerima tujuh aduan kesemuanya melibatkan peniaga di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Pengerusi CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, berdasarkan aduan itu, persatuan membuat tinjauan di tujuh bazar Ramadan dan mendapati harga makanan adalah tinggi.

Menurutnya, harga kuih meningkat daripada 30 sen seketul kepada 60 sen seketul dan lauk-pauk seperti ayam, berharga RM6 seketul berbanding RM4 seketul pada hari biasa.

"Kami akan menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga terlibat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, peniaga-peniaga yang cuba mengeksploitasi pengguna perlu disenaraihitamkan daripada diberi lesen berniaga pada tahun depan.

Sementara itu, Bendahari Agung FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga-peniaga berkenaan menaikkan harga makanan dengan sesuka hati.

"Kami mengambil maklum aduan pengguna ini dan akan memanjangkannya kepada pihak-pihak yang berkaitan," katamya.

utusan malaysia/-

Tiada ulasan: