27 Februari 2013

Tengkorak haiwan dijual di pasar Mali

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



BAMAKO, Mali - Sejumlah tengkorak haiwan dijual di sebuah pasar di sini yang dipercayai boleh digunakan untuk mengubah kehidupan pembeli.

Gerai milik Adama Kamara menjual tengkorak buaya yang dipercayai boleh menguatkan tenaga batin.
Tengkorak burung bayan dipercayai boleh membantu seseorang itu memperoleh pekerjaan.

Menurut kepercayaan penduduk tempatan, tengkorak anjing mampu mengubat sakit kepala.
Kamara merupakan penjual ubat-ubat tradisional. - AFP

Menggigil peluru dalam rumah

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Menggigil peluru dalam rumah
Murugan menunjukkan kesan pecah akibat beberapa das tembakan yang dilepaskan penjenayah hingga menembusi cermin dan tersasar ke dinding rumah.
Menggigil peluru dalam rumah
Dua lagi kesan tembakan ditemui di pintu cermin gelongsor rumah mangsa.
Menggigil peluru dalam rumah
Kereta mangsa turut berlubang akibat ditembak dari jarak dekat.
SUNGAI SIPUT – “Saya ingat letupan itu bunyi mercun, tak sangka rupanya tembakan, menggigil tangan sebaik ternampak peluru dalam rumah,” kata M Pubaneswary, 30.

Pubaneswary berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dia bersama ibu mentua serta anaknya tidur di bilik bahagian bawah dan atas rumah.

Bagaimanapun, tidur mereka terganggu apabila mendengar bunyi letupan seakan mercun berhampiran kediaman mereka di Taman Jalong, di sini.

Menurutnya, dia bersama ibu mentuanya cuba untuk melihat keadaan luar rumah, namun terkejut apabila menemui sebutir kelongsong peluru berhampiran televisyen di ruang tamu.

“Panik dengan keadaan itu, saya segera hubungi suami, dia minta agar kami tidak keluar rumah dan tunggu sehingga dia balik,” katanya.

Insiden itu menyebabkan Pubaneswary bersama anak perempuannya berusia tiga tahun dan ibu mentuanya, M Mariamma, 67, berkurung selama hampir 20 minit dalam keadaan ketakutan.

Mangsa, R Murugan, 40, berkata, ketika kejadian, dia berada di kedai minum di Khantan yang terletak kira-kira 10 kilometer sebelum bergegas pulang sebaik dihubungi isterinya.

“Terkejut memang terkejut, mujur semua ahli keluarga selamat, saya sudah buat laporan polis berhubung kejadian ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pernah terima gangguan

Murugan yang juga adik kepada Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan mengakui, ia bukan insiden pertama kediamannya ‘diganggu’ apabila sebelum ini rumah sama pernah disimbah cat dan dibaling batu.

Katanya, kejadian kelmarin disifatkan kemuncak daripada beberapa kejadian yang dialami mereka sekeluarga sejak 4 Februari lalu.

“Sebelum ini pun, sebuah kereta berwarna putih dilihat sering berulang alik di hadapan rumah saya antara jam 1 hingga 2 pagi, namun ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya tidak tahu apa motif mereka lakukan seperti ini, melihat kepada situasi kebelakangan ini, mungkin juga ia ada kaitan dengan politik,” katanya yang bergiat aktif dalam Persatuan Perpaduan dan Kemajuan Rakyat Perak (Padu) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu kelancaran gerak kerja Barisan Nasional (BN) di peringkat bahagian.

Sinar Harian difahamkan, sebelum ini timbul konflik pemilihan calon bagi kerusi Parlimen Sungai Siput apabila Padu Bahagian Sungai Siput mengumpul lebih 2,500 tandatangan bagi membantah cadangan pelantikan seorang calon bagi mewakili BN di kerusi itu.

Bagaimanapun, Murugan yang juga Pengerusi Padu Sungai Siput enggan mengulas lanjut berhubung kaitan insiden itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis.

Beliau berkata, buat masa ini, mereka sekeluarga tidak bercadang untuk berpindah dari rumah yang didiami sejak 30 tahun itu.

Tergerak hati tidur awal

Insiden kelmarin juga meninggalkan kesan cukup mendalam buat Mariamma yang selama ini sering menonton televisyen sehingga lewat malam.

Katanya, pada hari kejadian, dia tergerak hati untuk tidur lebih awal berbanding hari biasa.

“Saya selalu tidur dalam jam 1 atau 2 pagi dan habiskan masa menonton televisyen di ruang tamu, tetapi entah mengapa semalam (kelmarin) saya mengantuk dan mahu masuk tidur awal.

“Baru sahaja nak lelap, tiba-tiba dengar bunyi letupan,” katanya.

sinar/-

Tidak terlintas berundur dari PAS - Haron Din

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -




Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.

Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut.


HARAKAH:  Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain  dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS. Ramai yang bertanya dengan kami, minta dipanjangkan dengan Ustaz sendiri.

DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Datuk Haron Taib dan saya  tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?

Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percaya ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan dan ini cukup memalukan.

Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?

Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula ... itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.

Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS.

Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.

Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan,  bercanggah dengan  Majlis Syura Ulamak?


Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalam menyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam.

Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.

Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah.

Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.

Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, "tidak boleh dibenarkan ...." Presiden menggunakan ayat positif; "Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan."

Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.

Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad.

Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa ... tanpa ada syirik dengan-Nya." Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.

Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna.

Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahami.

Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan bertelingkah pendapat sesama sendiri?

Saya lebih melihat  isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu.

Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan  boleh menggugat kerajaan BN yang ada.  Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan  supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia  memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN  tersungkur.

Mencari jalan supaya Pakatan  berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam.

Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.

Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur.  Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur.

Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan  tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?

Itulah  gambaran media. Sedangkan  pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah.

Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka  akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.

Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit.

Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.

Bagaimana Ustaz melihat kesediaan pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?

Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat.

Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.

Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi.

Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa  mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.

Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakat dalam semua masalah.  Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah  isu-isu lain juga.

Sebelum  keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.

Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu.

Sebenarnya ketetapan Majlis  Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.

Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama.

Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura,iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong.  Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja.

Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.

Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam.

Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur ... sebenarnya tidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.

Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?

Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa).

Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen. Malah Ustaz Hashim Jasim dan Rus'sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu.

Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.

Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak 1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agung PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.

Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan.  Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya  dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda.

Apabila  cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja  ‘part time’ seperti lazimnya. Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini.

Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.

Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?

Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih.

Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan  berasaskan nilai  kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini.

Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran,  tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah.

Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.

Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan  Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain.

Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar.  Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.

Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat.

Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.

Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.

Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi.

Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.

Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud.  Yang dikatakan wajib menyokong Umno ... sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan.

Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.

Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.

Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka.

Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan?

Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu?

Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah. Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar.

Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

harakah/-

Kembalikan nilai sudut pidato di UKM

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) berpendirian bahawa pentadbiran UKM bertanggungjawab terhadap kematian sudut pidato di universiti itu.

“Sudut pidato ini mesti dinaik taraf baik dari aspek tempat dan juga sistem perlaksanaannya,” ujar Setiausaha Agungnya, Muhamad Razif Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian berikutan Wacana Sinar Harian Siri ke-17 yang mengupas tajuk Kuasa Politik Mahasiswa, semalam.

Katanya, ISIUKM berpandangan adalah penting untuk pihak pentadbiran UKM mengambil perhatian secara serius berkaitan kritikan salah seorang panelis yang juga Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) merangkap Presiden Ikatan Studi Islam UKM, Muhamad Azan Safar terhadap sudut pidato UKM yang tidak bermaya dan lesu.

Muhamad Azan Safar di dalam petikan akhbar sinar harian hari ini menyebut:

‘Inilah masalah yang berlaku. Diwujudkan ‘Speaker’s Corner’ kononnya untuk melatih mahasiswa bersuara, tetapi sudahlah tempatnya jauh di belakang daripada tumpuan, kini ada yang langsung sudah tidak hidup lagi seperti di UKM yang digunakan oleh peniaga kedai makan’.

“Sudut pidato ini merupakan lambang kesuburan budaya demokrasi di kampus.

“Di sinilah tempat untuk mahasiswa melontarkan idea pandang mereka walaupun berbeza ideologi dan pandangan, tetapi inilah yang dikatakan sebagai idealisme mahasiswa yang sarat dengan idea dan kritikan,” ujar Muhamad Razif lagi.

Katanya, sudut pidato mesti diletakkan di tempat perkumpulan dan tumpuan pelajar serta berikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memanfaatkannya tanpa perbanyakkan kerenah birokrasi seperi perlu meminta izin HEP untuk mendapatkan keizinan menggunakannya.

Apa yang mengecewakan, katanya sudut pidato UKM yang berada di kawasan tidak strategik bahkan hari ini sudah menjadi tempat diletakkan meja-meja makan bagi gerai-gerai makanan berdekatan.

Beliau berkata, betapa penghinaan yang besar terhadap demokrasi kampus dan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajardan Alumni UKM, Prof Datuk Ir. Othman A. Karim mesti bertanggung jawab di dalam hal ini.

Hal ini juga, kata beliau adalah selari dengan semangat pelancaran semula sudut pidato oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2009 yang lalu berikutan Auku yang telah dipinda pada bulan Februari tahun tersebut.

“Namun hari ini semangat itu telah dicabul oleh sikap tidak bertanggungjawab pentadbir universiti hari ini,” ujarnya lagi.

harakah/-

Penceroboh Lahad Datu sedia pertahankan diri

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


 
Kumpulan penceroboh Filipina di Lahad Datu berikrar untuk mempertahankan diri sekiranya pihak berkuasa negara ini mengusir mereka dengan kekerasan daripada kawasan perkampungan nelayan yang diduduki sejak awal bulan ini.

“Kami bersedia mempertahankan diri,” kata Azzimudie Kiram, abang kepada Jamalul Kiram yang mendakwa sultan Sulu.

Azzimudie mengetuai kumpulan bersenjata yang menduduki kawasan Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari pekan Lahad Datu.

Azzimudie ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini menegaskan bahawa mereka tidak berniat untuk bertempur dengan pihak berkuasa Malaysia.

“Kami mahu hidup dengan aman di tanah kami sendiri tapi mereka mahu mengusir kami dengan kekerasan,” kata Azzimudi dengan tenang dalam perbualan telefon tersebut.

“Kami mahu bercakap dengan pihak berkuasa Malaysia dengan aman sebelum kembali ke tanah kami,” katanya yang menambah, rakyat Malaysia sejak sekian lama mendapat hasil yang banyak daripada pendapatan Sabah.

Azzimudie juga berkata, beliau menyerahkan soal rundingan dengan pihak berkuasa Malaysia untuk ditangani Jamalul di Manila.

Timbalan ketua polis negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam berkata polis berhasrat untuk menamatkan pertentangan tersebut, yang berlarutan sejak 12 Februari.

malaysiakini/-

Token judi jadi angpau

Token judi jadi angpau16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Token judi bernilai RM1 yang didakwa diberikan kepada segelintir pengunjung rumah terbuka itu.
 
GEORGETOWN - Beberapa pengunjung Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran salah seorang wakil rakyat di sini terkejut apabila menerima angpau dalam bentuk token judi.

Kejadian berkenaan disedari salah seorang pengamal media yang turut menghadiri majlis berkenaan.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Jane berkata, ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Menurutnya, kesemua pengunjung diberikan token yang bernilai RM1 itu.

“Ini adalah kejadian pertama kali yang mana pengunjung dapat token untuk berjudi, pada saya ia adalah sesuatu yang tidak patut kerana ada dalam kalangan pengunjung kaum Cina mengeluh bila mereka dapat token judi sahaja,” katanya.

Secara peribadinya, dia menganggap wakil rakyat berkenaan seolah-olah cuba menipu tetamu kerana ramai pengunjung yang datang berkerumun untuk mendapatkan angpau.

Namun kemudiannya kecewa setelah membuka sampul kecil berwarna merah itu.

Sebagai orang Cina sendiri, Jane berkata, tindakan wakil rakyat berkenaan adalah melanggar tatasusila.

Tegasnya, tidak semua kaum Cina suka berjudi.

“Kenapa dia tidak berikan sahaja angpau dalam bentuk duit, jika tidak mampu boleh agihkan sahaja limau sudah cukup.

“Saya tidak tahu sama ada di rumah terbuka lain anjuran wakil rakyat yang sama turut memberikan token judi ataupun tidak,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin kawasan berkenaan, Jane memuat naik gambar token berkenaan di laman twitter peribadinya.

Rumah terbuka yang diadakan pada pertengahan Februari lalu itu turut dihadiri ratusan tetamu.

Dipercayai wakil rakyat yang sama menganjurkan acara rumah terbuka pada setiap tahun selepas kemenangannya pada tahun 2008.

sinar/-

Pemuda Gombak rakam semula lagu Cina

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

GOMBAK: Selepas kejayaan lagu PAS Untuk Semua dan Semarak Hijau, Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) melalui Lajnah Perpaduan Nasional mengorak langkah merakam kembali lagu berbahasa Cina yang bertajuk Bulan Mewakili Hatiku atau dalam bahasa Cina berjudul Yue Liang Dai Biao Wo De Xin.

Lagu yang pernah dipopularkan oleh Teresa Teng, dirakam oleh dinyanyikan semula oleh Ustaz Muhammad Ibrahim yang dikenali Ustaz Mad Cina.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional DPPG, Ahmad Abdullah Sanek, yang juga, lagu itu dirakam untuk mendekatkan orang berbangsa Tionghua dengan PAS sebagai parti Islam yang ditakut-takutkan oleh pihak pemerintah.

Lagu itu dirakam dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Gombak yang dipengerusikan oleh Ustaz Mad sendiri.

Ketua Pemuda PAS Gombak, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim pula berkata, pihaknya berbangga kerana mempunyai pemimpin yang boleh menyanyikan lagu Cina.

"Kita berbangga di Gombak kerana kita ada seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, malah dia seorang Ustaz Mad yang dikenali dan berparti PAS boleh menyanyikan lagu Cina yang begitu popular di kalangan masyarakat Cina khususnya.

“Lagu ini juga begitu sinonim dengan PAS kerana ia mempunyai makna Bulan Mewakili Hatiku yang begitu dengan dengan ahli-ahli PAS,” katanya.

harakah/-

Undi BN: Cuepacs harus profesional

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kakitangan Awam Kebangsaan (Cuepacs) harus bertindak lebih profesional dalam menjalankan tanggungjawab serta dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

Exco Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar berkata, tindakan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman yang menggesa kakitangan awam menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dilihat satu tindakan tidak wajar.

Malah menurut Firdaus lagi, jika Omar ingin bergiat dalam bidang politik serta sikap beliau yang bias kepada BN, Omar perlu segera melepaskan jawatan sebagai presiden kesatuan itu bagi tujuan menyelamatkan Cuepecs.

"Tindakan Omar yang menggesa kakitangan awam menyokong BN adalah suatu yang tidak wajar, sedangkan ia adalah hak kakitangan itu sendiri untuk menyokong mana-mana parti yang mereka kehendaki.

"Selain itu juga Cuepacs perlu menjadi sebuah badan yang lebih profesional bukannya sebahagian anggota parti kerana tindakan tersebut akan menyebabkan kakitangan awam akan hilang kepercayaan rakyat," jelas beliau.

Ahli Parlimen Jerai itu juga memberitahu, tindakan Omar yang menghasut kakitangan awam agar menyokong BN menunjukkan kegagalan beliau menjalankan tanggungjawab mewakili kakitangan awam.

Katanya, Omar sepatutnya memberi kebebasan kepada penjawat awam dalam konteks negara demokrasi serta memperjuangkan tuntutan kakitangan awam pada tahap yang lebih maksima agar kehidupan mereka lebih terjamim.

Sementara itu, Firdaus turut menggesa Omar memperjuangkan isu kebajikan kakitangan awam khasnya isu 13,000 orang yang masih berstatus kontrak yang tidak diserapkan ke jawatan tetap.

Kepada kakitangan awam pula katanya, harus membuat penilaian yang wajar sebelum membuat keputusan di kertas undi pada PRU13 nanti.

Pakatan Rakyat jelasnya kini memberi jaminan kebajikan yang lebih baik kepada penjawat awam khasnya dalam soal pinjaman perumahan yang dahulunya 4 peratus dan akan diturunkan.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga akan mengkaji beberapa aspek kebajikan khasnya gaji dalam mempastikan beban kerja yang dilakukan kakitangan awam setimpal dengan ganjaran.

harakahdaily/-

Najib tolak, tiada sebab sokong Umno BN Selangor

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Perlantikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Selangor membuktikan pemimpin Umno di negeri itu tidak mempunyai kelayakan.
Sehubungan itu, Persuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) 'bersimpati' dengan kepimpinan Umno di Selangor kerana lantikan tersebut menunjukkan Najib seolah-olah hilang kepercayaan kepada mereka.

Malah menurutnya lagi, keputusan yang diambil itu juga membuktikan Umno Selangor tidak mempunyai seorang invidu yang betul-betul berkaliber untuk memegang jawatan tersebut.

"Sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor saya bersimpati dengan pimpinan Umno Selangor atas perlantikan tersebut seolah-olah mereka tidak mempunyai calon yang berkaliber untuk memegang jawatan tersebut.

"Najib yang dari jawatan Perdana Menteri perlu jadi Pengarah Pilihan Raya negeri seolah-olah menunjukkan beliau hilang kepercayaan kepada Umno mahu pun Barisan Nasional negeri bagi menghadapi pilihan raya nanti," jelasnya kepada Harakahdaily.

Kata Abdul Rani lagi, tidak ada alasan kukuh boleh dipertikaikan kerana orang Selangor lebih mengetahui apa yang berlaku di negeri itu, justeru kenapa Najib perlu mengambil peranan itu kalau bukan kerana hilang kepercayaan kepada Umno negeri.

Katanya, desas desus wujudnya perbalahan dalam kepimpinan Umno di Selangor juga terbukti sehingga Najib perlu menanggung risiko bagi mengelakkan ia bertambah parah.

"Dalam keadaan ini rakyat boleh menilai bahawa Umno Selangor sudah hilang ketokohan dan kepercayaan sehinggakan Najib terpaksa turun padang memegang jawatan itu.

"Atas sebab itu jugalah rakyat perlu membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya nanti dan terus menolak Umno Barisan Nasional, apa sebab untuk kita memilih mereka sedangkan Najib sendiri pun tidak mempercayai kepimpinan Umno Barisan Nasional Selangor," sambung beliau lagi.

harakahdaily/-

Populariti PM: Sokongan menurun, kemarahan meningkat

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati sokongan terkini rakyat terhadap Perdana Menteri semakin merosot berbanding kajian yang beberapa bulan sebelum ini.

Pada masa sama, kajian juga mendapati kemarahan rakyat terhadap beliau pula semakin meningkat.

Kajian tersebut dibuat antara 23 Januari hingga 6 Februari, mengambil seramai 1,021 responden dari kalangan pengundi berdaftar dengan pecahan 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India.

Hasil kajian yang didedahkan semalam itu menunjukkan, sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak menurun kepada 61 peratus berbanding 65 peratus pada Oktober 2012.

Firma kajian itu menyebut, penurunan itu sebahagian besarnya dari kalangan orang Melayu.

Bulan lalu sokongan Melayu terhadap Najib pada tahap 77 peratus namun kini turun kepada 73 peratus.

Sementara itu, kajian tersebut juga mendapati kadar kemarahan rakyat terhadap Najib meningkat kepada 32 peratus berbanding 30 peratus Disember tahun lalu.

Pecahan dari segi bangsa pula mendapati, kemarahan masyarakat Melayu terhadap pentadbiran Najib meningkat kepada 32 peratus berbanding 24 peratus pada Mei 2012, diikuti mayarakat India 43 peratus berbanding 41 peratus sebelum ini.

Menurut firma itu, tinjauan itu dijalankan selepas berlaku beberapa peristiwa besar dalam politik negara.

Ianya termasuk Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari di Stadium Merdeka, permulaan siasatan Projek IC oleh Suruhanajaya Siasatan Diraja di Sabah, dan pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

harakahdaily/-

Masalah Jalanraya Di Luar Bandar Sarawak Masih Teruk

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Masalah jalanraya di luar bandar Sarawak masih lagi teruk walaupun
sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan dalam sidang parlimen.
Peruntukan berjuta-juta ringgit sehingga mencecah berbillion ringgit
telah diperuntukan untuk jalanraya di luar bandar namun masalah
jalanraya di Sarawak masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Kita sudah sering kali mendengar ada wakil rakyat atau menteri
berjanji untuk mengatasi masalah ini tetapi sehingga kini tiada
sebarang perubahan berlaku, kalau ada pun hanya tampalan keatas jalan
yang sedia ada saja.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Dimana kesilapannya, adakah berlaku
ketirisan atau sebagainya? Perkara ini perlu disiasat sehingga ke akar
umbi untuk mengetahui siapa sebenarnya yang melakukan penyelewengan
keatas peruntukan yang berbilion ringgit tersebut.

Antara jalanraya yang menghadapi masalah teruk sehingga kini adalah
jalan ke Kampung Muhibbah, Ladang 3, KM 76 Jalan Lama Miri-Bintulu.
95% penduduk adalah bangsa Bugis, majoriti asal Indonesia dan mendapat
kewarganegaraan zaman Tun Rahman Yaakub. Mereka bekerja sebagai petani
dan juga bekerja dengan syarikat perladangan kelapa sawit.

Walaupun mereka ini penyokong kuat kerajaan BN (Barisan Nasional)
tetapi keadaan jalanraya di kampung mereka masih lagi teruk dan jauh
ketinggalan. Mereka seolah-olah masih lagi tinggal dalam keadaan 40
tahun yang lalu dengan keadaan jalan yang berlumpur, becak sewaktu
hujan dan keadaan jalan berlubang.

Sepatutnya dengan adanya peruntukan yang berbilion ringgit kawasan
luar bandar Sarawak mendapat jalanraya yang elok dan sesuai untuk
semua kenderaan tetapi malangnya walaupun sudah berpuluh tahun di
bawah kerajaan BN, keadaan jalanraya masih lagi teruk dan tidak
selamat untuk pengguna jalanraya.

Kita mengesa agar pihak kerajaan segera mengatasi masalah ini, jangan
hanya berjanji perkara yang sama setiap kali menjelang musim
pilihanraya tetapi apabila selesai pilihanraya perkara ini senyap
begitu saja tanpa sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.

Semoga kerjasama dengan pihak yang berkenaan dapat membantu
menyelesaikan masalah ini dari berlarutan.  Kebajikan rakyat perlu
diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

19 maut belon udara panas meletup

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KAHERAH - Sebuah belon udara panas meletup semasa ia terbang melintasi bandar Luxor semalam menyebabkan 19 orang terbunuh, kata seorang pegawai keselamatan

Antara yang terbunuh itu ialah pelancong Hong Kong, Jepun, Perancis dan Britain.
Belon tersebut yang membawa 21 orang terbang pada ketinggian 300 meter di Qurna, Luxor.
Ia meletup selepas berlaku kebakaran di Qurna.

Dua orang yang terselamat termasuk pengendali belon tersebut dihantar ke hospital untuk menerima rawatan perubatan.

Serpihan badan mangsa bertaburan di atas tanah selepas belon tersebut meletup.
Gabenor Luxor, Ezzat Saad mengarahkan semua penerbangan belon dilarang ekoran kejadian itu. - Agensi


20 kampung tiada wanita

Moscow: Lebih 20 kampung di pedalaman dan wilayah gersang di Russia didiami lelaki saja.
Menurut bancian rasmi Russia, 23 kampung kecil di wilayah Krasnoyarsk langsung tidak mempunyai wanita.

Kampung itu sebahagian daripada habitasi paling pedalaman di dunia dan ada beberapa kampung hanya mempunyai seorang penduduk sementara yang lain tidak lebih empat atau lima, lapor The Siberian Times.
Suhu di wilayah itu mencecah sehingga 40 darjah selius di bawah beku pada musim sejuk dan teramat panas pada musim panas.

Ketidakseimbangan jantina itu didedahkan pada Hari Pembela Negara, acara tahunan bagi memberi penghormatan terhadap peranan lelaki pada setiap 23 Februari.

Bagaimanapun, apabila diambil kira jumlah penduduk seluruh Krasnovarsk, wilayah kedua terbesar di Russia, jumlah penduduk wanitanya melebihi penduduk lelaki dengan angka 193,000. - Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20kampungtiadawanita/Article/index_html#sthash.CRZtDAAO.dpuf

Manifesto PR: Tawaran terbaik untuk rakyat Sabah

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional diingatkan agar tidak dilihat ‘orang hilang akal’ dengan menyerang manifesto Pakatan Rakyat yang baru sahaja dibentang pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4, Isnin lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu (gambar) menegaskan, jika Barisan Nasional yakin mereka mendapat kepercayaan dan sokongan yang kuat daripada penyokong, maka mereka juga perlu mengisytiharkan manifestonya kepada semua rakyat Malaysia.

“Kalau benar apa yang manifesto Pakatan Rakyat itu salah dan tidak betul, maka saya kira, mereka juga perlu mengeluarkan manifestonya.

“Menyerang manifesto Pakatan Rakyat dilihat mencerminkan pemikiran sebenar pemimpin Barisan Nasional yang kelihatan gelabah dan huru-hara dengan tawaran menarik Pakatan Rakyat kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut Lahirul, rakyat Sabah telah diberikan tawaran menarik oleh Pakatan Rakyat dan sudah semestinya mereka turut tertanya-tanya di mana tawaran Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya ini.

“Pakatan Rakyat sudah menawarkan yang terbaik kepada rakyat terutama di Sabah termasuk dalam menyentuh intipati Perjanjian Malaysia dengan mengembalikan semula autonomi kepada Sabah dan Sarawak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuklah juga dalam pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20%, ada pemimpin Barisan Nasional dakwa akan mengakibatkan kerugian dalam industri Petronas dan Negara. Sedangkan, apa yang berlaku antara tol-tol dan kensensi lebuhraya di Semenanjung Malaysia, mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda walaupun angka sebenar perbelanjaan telah melepasi had tempoh,” jelas Lahirul.

Katanya, pemimpin Barisan Nasional di negeri ini perlu bersikap adil kepada rakyat Sabah dan bukan bertindak membelakangkan rakyat sendiri yang terpinggir serta dipinggirkan oleh pemimpin anak negeri sendiri.

“Apa yang dikecapi oleh pemimpin, mesti juga dirasai oleh rakyat bawahan. Jangan ada pemimpin yang rumahnya besar, keretanya besar.

“Tapi masih berkira-kira dalam isu menaik taraf kehidupan dan keselesaan rakyat. Ini kezaliman,” tegas beliau.

Beliau turut mempertikan kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang masih lagi berangan-angan dan tidak sedar bahawa Pakatan Rakyat juga sudah memerintah di beberapa buah negeri termasuk hamper menguasai keseluruhan Wilayah Persekutuan.

“Di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Barisan Nasional merupakan pembangkang. Mana boleh mereka jelajah negeri berkenaan, mereka dakwa mereka sebagai kerajaan. Itu yang saya katakan, mereka ini sudah tidak nampak kebenaran. Mereka meracau hingga ke subuh.

“Apa yang perlu ialah, biar rakyat yang menilai dan mengadili manifesto setiap parti sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia sudah bijak,” katanya.

harakah/-

Bongkar aib penggali kubur

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Tindakan seorang penggali kubur menyewakan sebuah rumah untuk kekasihnya selain berlagak seperti pasangan suami isteri sejak hampir setahun lalu terbongkar selepas diserbu ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersama polis di sebuah taman perumahan di Kampung Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.
Serbuan diketuai Imam Satu Masjid Kampung Sungai Petai, Ismail Maaruf bersama ahli jawatankuasa masjid serta sepasukan polis hasil maklumat awam pada jam 4 petang.
Harian Metro difahamkan, penggali kubur berusia 30-an itu menyewakan rumah milik arwah bapa saudaranya itu RM200 sebulan dan sering bermalam di rumah kekasihnya yang juga pelajar sebuah kolej berusia 20-an.

Sumber berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang berasmara di ruang tamu rumah sewa mereka sambil menonton televisyen.
FotoPENGGALI kubur dan pasangannya ditahan imam serta AJK Masjid Kampung Sungai Petai, Alor Gajah.

“Selepas memberi salam, pasangan yang menyedari kehadiran pasukan serbuan kelam-kabut. Penggali kubur yang ketika itu berseluar pendek mempersoalkan tindakan iman bersama jawatankuasa masjid dan polis yang melakukan serbuan di rumah berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bongkaraibpenggalikubur/Article#sthash.waXyI1wF.dpuf

Bongkar aib penggali kubur

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Tindakan seorang penggali kubur menyewakan sebuah rumah untuk kekasihnya selain berlagak seperti pasangan suami isteri sejak hampir setahun lalu terbongkar selepas diserbu ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersama polis di sebuah taman perumahan di Kampung Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.
Serbuan diketuai Imam Satu Masjid Kampung Sungai Petai, Ismail Maaruf bersama ahli jawatankuasa masjid serta sepasukan polis hasil maklumat awam pada jam 4 petang.
Harian Metro difahamkan, penggali kubur berusia 30-an itu menyewakan rumah milik arwah bapa saudaranya itu RM200 sebulan dan sering bermalam di rumah kekasihnya yang juga pelajar sebuah kolej berusia 20-an.

Sumber berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang berasmara di ruang tamu rumah sewa mereka sambil menonton televisyen.
FotoPENGGALI kubur dan pasangannya ditahan imam serta AJK Masjid Kampung Sungai Petai, Alor Gajah.

“Selepas memberi salam, pasangan yang menyedari kehadiran pasukan serbuan kelam-kabut. Penggali kubur yang ketika itu berseluar pendek mempersoalkan tindakan iman bersama jawatankuasa masjid dan polis yang melakukan serbuan di rumah berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bongkaraibpenggalikubur/Article#sthash.waXyI1wF.dpuf

Tapir jantan 100kg mati dilanggar

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM – Seekor tapir jantan dewasa ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Kilometer 11, Jalan Batu Arang berhampiran hutan simpan Bukit Cherakah di sini semalam.
 
Bangkai tapir seberat lebih 100 kilogram itu dijumpai orang ramai yang lalu di kawasan berkenaan pada pukul 9.15 pagi dan kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Difahamkan, ia merupakan kali keempat kejadian tapir mati dilanggar di sekitar kawasan terbabit sejak tahun 2005.

Penolong Pengarah Perhilitan negeri, Ahmad Sahrizan Mohd. Nawawi berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati haiwan berusia kira-kira 15 tahun itu telah mati di tepi jalan raya.

Menurutnya, tapir tersebut mati akibat cedera di badan, kepala dan patah kaki selepas dipercayai dilanggar dan diseret sejauh kira-kira 30 meter oleh sebuah kenderaan yang menuju ke Puncak Alam.

“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi tadi (semalam) namun sehingga kini tiada maklumat mengenai jenis kenderaan yang melanggar haiwan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

kosmo/-


Jumpa tengkorak dalam lubang

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Berkat solat hajat dan mengikut gerak hati, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, dia dan empat lelaki menemui tengkorak, cebisan tiub tayar dan plastik yang terbakar di dalam lubang tempat rangka Nurul Nadirah Abdullah ditemui pada 8 Mac 2012.

Alan Alip, 50, yang merupakan datuk mangsa bunuh, Nurul Nadirah, 5, atau Dirang dalam keterangannya memberitahu, kesemua barangan itu ditemui di sebuah kawasan rumah terbengkalai di Nusa Damai, di sini.
“Saya bersama jemaah surau sebelum itu mengadakan solat hajat. Kami kemudian memulakan pencarian mengikut gerak hati sendiri sehingga di kawasan rumah terbengkalai itu lapan hari selepas Dirang dilaporkan hilang.

“Di situ, saya lihat dinding simen berwarna hitam seperti kesan terbakar dan apabila menghampiri kawasan tersebut, saya nampak seperti tengkorak di dalam sebuah lubang. Saya juga terlihat ada cebisan tiub tayar dan plastik yang sudah terbakar di dalam lubang berkenaan,” katanya di hadapan hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Bagaimanapun Alan berkata, ketika itu, dia tidak tahu rangka berkenaan milik siapa dan bertindak menghubungi polis.

kosmo/-