JAKARTA: Pelancong dari 19 negara yang mempunyai kadar positif jangkitan COVID-19 serendah lima peratus kini dibenarkan masuk ke Indonesia, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu pertemuan di Jakarta, hari ini.
Xinhua melaporkan, negara itu adalah Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Kuwait, Bahrain, Qatar, China, India, Jepun, Korea Selatan, Liechtenstein, Itali, Perancis, Portugal, Sepanyol, Sweden, Poland, Hungary dan Norway.
"Dasar ini terpakai khusus untuk penerbangan terus ke Bali dan Pulau Riau," kata Pandjaitan.
Mereka dibenarkan memasuki ke negara Asia Tenggara itu selepas disaring negatif COVID-19, divaksin sepenuhnya, mempunyai insurans kesihatan serta bukti tempahan untuk tempat tinggal bagi kuarantin lima hari.
Bali adalah salah satu lokasi di Indonesia yang mempunyai ramai pelancong antarabangsa dan Pulau Riau yang berada di barat negara dan bersempadan dengan Singapura itu pula menerima jumlah pelancong asing kedua tertinggi.
Indonesia membuka penerbangan untuk pelawat antrabangsa di dua lokasi itu bermula 14 Oktober susulan pandemik COVID-19 sudah berjaya dikawal, - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan