BEIJING, 5 Mei :-Berdasarkan satu peraturan baru yang berkuatkuasa mulai 1 Mei, beberapa tempat awam di Beijing seperti stadium, tempat riadah dan tempat peninggalan sejarah telah dijadikan tempat larangan merokok. Kerajaan Beijing juga mengatur lebih 1000 orang anggota penyelia dan akan mengambil seramai 100 ribu orang sukarelawan bagi memantau pelaksanaan peraturan tersebut, agar memastikan matlamat "Sukan Olimpik tanpa Rokok" tercapai.
Berdasarkan peraturan berkaitan yang dikemukakan pada tahun 1992, perbuatan menghisap rokok dilarang di beberapa tempat awam di Beijing. Menurut peraturan yang baru pula, lebih banyak tempat awam dijadikan tempat larangan merokok dan turut menetapkan pelbagai peraturan yang lebih terperinci, termasuk menetapkan tempat yang khusus untuk merokok di restoran, cafe siber dan taman serta menetapkan bilik-bilik tanpa merokok di hotel.
Peraturan larangan merokok yang baru itu mendapat sambutan baik daripada penduduk Beijing. "Saya fikir larangan merokok adalah diperlukan. Perkara ini bukan sahaja baik bagi mereka yang tidak merokok, tetapi juga bagi para perokok. Ia juga penting bagi memelihara imej Sukan Olimpik Beijing."
Menurut peraturan itu, restoran dan hotel di Beijing telah menetapkan kawasan merokok dan membuat tanda dilarang merokok di tempat yang lain.
Majikan sebuah kedai kopi, Encik Liang Jin berkata: "Kami menetapkan tempat berhampiran lif sebagai tempat merokok kerana ada tiupan angin di sana. Jadi udara dalam kedai tidak akan tercemar oleh asap rokok."
Pegawai badan kesihatan kerajaan Beijing, Encik Sun Xianli memaklumkan, sekarang lebih 1000 orang telah mengikuti kursus latihan berkenaan bagi memantau pelaksanaan peraturan yang baru itu. Selain itu, mereka juga merancang untuk mengambil 100 ribu orang sukarelawan untuk mengadakan propaganda menjauhkan merokok.
Menurut pakar berkenaan, jumlah warga yang merokok di China mencatatkan 1/4 jumlah perokok di dunia. Perkara ini menyebabkan larangan merokok sukar untuk dijalankan di semua tempat awam. Walau bagaimanapun, langkah-langkah larangan merokok yang dilaksanakan oleh kerajaan mendapat sokongan yang semakin besar daripada masyarakat awam. Berdasarkan keputusan satu tinjauan pendapat baru-baru ini, lebih 80% penduduk Beijing menyokong larangan merokok dijalankan secara menyeluruh di tempat-tempat awam sempena Sukan Olimpik Beijing.
Encik Sun Xianli juga menyatakan, Beijing akan berusaha sedaya upaya bagi mewujudkan Sukan Olimpik tanpa merokok dan mendorong usaha larangan merokok mencapai kemajuan yang baru. Kata beliau: "Pada pendapat saya, Sukan Olimpik ialah satu peluang yang amat baik bagi mendorong usaha larangan merokok di Beijing. Kami perlu memanfaatkan peluang ini untuk mencapai kemajuan baru dalam usaha tersebut."