03 Jun 2017

Puasa adalah Perisai

Pena Idham Lim
8 Ramadhan 1438H.

Dalam keadaan kita berpuasa di bulan Ramadhan biasanya ada sahaja ujian kepada kita yang sedang berpuasa. Sejauhmana kita mampu menghadapinya sejauh itulah kesan Ramadhan yang dapat menjadi pendindingnya. Kalau kita gagal mengawalnya berarti Ramadhan kita telah gagal mendidik kita untuk menjadi orang lebih baik. Kerana itu Rasulullah bersabda :

“Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah, ‘Aku sedang berpuasa” (H.R. Bukhari dan Muslim).

Sejahtera Bersama Islam.

DARI JENDELA INSTITUT JANTUNG NEGARA (IJN)

Oleh ABDUL HADI AWANG
Jumaat, 7 Ramadan 1438H/ 2 Jun 2017

Perasaan saya di ketika ini adalah penuh dengan kerinduan yang tidak terkira kepada keluarga dan sahabat – sahabat seperjuangan, walau pun fizikal sedang diganggu kesakitan dan ditahan di sini kerana rawatan yang diwajibkan.

Paling dirindui ialah Kuliah Dhuha Masjid Rusila (Marang, Terengganu) dan semua pelajarnya yang dimulakan sejak tahun 1976 kerana didesak oleh orang tua penduduk Kampung Rusila supaya menggantikan kuliah ayahanda (semoga mendapat rahmat dari Allah) yang baru meninggal dunia pada 1 Mei 1975. Saya juga sangat merindui berada di samping semua pemimpin PAS disemua peringkat termasuk rakyat jelata. Saya turut mengalami dan bersama dengan denyut kesusahan dan keperitan mereka khususnya di kalangan petani, nelayan dan pekerja rendah, serta belia menganggur yang sangat menekan perasaan saya.