14 Mei 2012

Ferguson: City perlu 100 tahun pecah rekod MU

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

WALAUPUN kelab Manchester City berjaya merampas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semalam, Pengurus Manchester United (MU), Sir Alex Ferguson mendakwa pasukan The Citizens tidak akan berjaya memadamkan rekod pasukannya.

Menurut Ferguson, City memerlukan lebih 100 tahun untuk mencatat sejarah mereka sekali gus menyekat kegemilangan MU dalam EPL.

"Bagi saya, kemenangan mereka tidak membuktikan City mampu mencatat sejarah seperti mana yang telah dilakukan oleh kelab MU.

"Memang kami gagal, tapi itu tidak bermakna kegemilangan MU akan berakhir. Malah bagi saya, tiada siapa mampu menandingi kami untuk mencipta rekod paling lama memegang mahkota Liga," kata beliau dalam temu bual dengan media England selepas perlawanan semalam.

Pada perlawanan terakhir musim ini, MU terpaksa akur apabila gagal memperoleh gelaran juara EPL buat kali ke-20 walaupun mencatat kemenangan tipis ke atas Sunderland 1-0.

City pula mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Queens Park Ranger (QPR) untuk melakarkan detik bersejarah menjulang juara buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1968.

Pada masa yang sama, walaupun mengakui kecewa dengan kegagalan ini, namun mereka tetap berpuas hati apabila mencatatkan kemenangan dalam perlawanan terakhir musim ini.

"Semua pemain bersedih dengan kegagalan ini, tapi kami telah melakukan yang terbaik hari ini (malam tadi).

"Apa-apa pun kami terpaksa akur dan teruskan berusaha dalam saingan musim depan," tegas Ferguson yang memasang impian untuk membalas dendam kepada City," kata beliau lagi.

Tambah Ferguson, beliau turut mengucapkan Mancini tahniah atas kejayaan kelab itu menjulang juara EPL musim ini.

"Tahniah diucapkan kepada City, ia bukan Liga yang mudah untuk dimenangi oleh sesiapa, namun City berjaya membuktikan yang kelab itu berjaya untuk pergi lebih jauh," tambah beliau.

Sinar Harian

Warga Nigeria dihukum gantung kerana edar dadah

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warganegara Nigeria yang didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap James Kamara, 23, setelah berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwa raya yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

James yang merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 18,810 gram di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, pada pukul 9.05 malam 13 September 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam, Nur Sarah Dina Baharudin manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid. - Bernama

Sinar Harian

Harta Firaun di kuil purba kena curi

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Krisis politik yang tidak berkesudahan di Mesir memberi peluang kepada pencuri melakukan penggalian haram untuk mencuri harta warisan Firaun negara itu.

Penggalian haram berhampiran kuil purba dan di kawasan padang pasir terpencil meningkat menjadi 100 kali ganda sejak 16 bulan lalu sejak kebangkitan yang menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak dan ketika kawalan keselamatan semakin longgar di kebanyakan tempat apabila polis tidak lagi menjalankan tugas.

Rompakan menduduki tempat teratas dalam jenayah pecah masuk di gudang arkeologi tahun lalu malah di Muzium Mesir yang terkenal, pusat penyimpanan artifak zaman Firaun terbesar negara itu.

Pakar arkeologi dan pihak berkuasa antikuiti yang bimbang dengan keadaan itu berusaha menghalang penyeludupan, memantau rapi pusat lelongan Eropah dan Amerika jika artifak yang dicuri ada di situ.

“Penjenayah semakin berani sehingga menggali di kawasan penting termasuk berhampiran Piramid di Giza, dan kawasan lain berdekatan piramid dan kuil utama di Luxor.

“Ia bukan lagi jenayah yang didorong oleh kemiskinan. Ia ketamakan dan membabitkan orang berpendidikan tinggi,” kata komander Jabatan Polis Pelancongan dan Antikuiti, Mejar Jeneral Abdel-Rahim Hassan.

Di negara dengan tamadun berusia lebih 5,000 tahun tertanam di bawahnya, penggalian haram sudah lama menjadi masalah. Rakyat Mesir suka berjenaka anda boleh menggali di mana saja dan akan menemui sesuatu yang berharga.

Namun dengan kawalan keselamatan longgar, keadaan itu bertambah dengan 5,697 kes penggalian haram sejak bermulanya kebangkitan anti-Mubarak pada awal 2011 iaitu 100 kali lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, menurut perangkaan yang diperoleh The Associated Press daripada Kementerian Dalam Negeri.

BERITA HARIAN/-

Latihan DBKL bercanggah RUU himpunan aman

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Latihan bagi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghadapi perhimpunan haram hanya dilihat sebagai bercanggah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamed, berkata ini kerana dengan RUU tersebut, tiada istilah perhimpunan haram, sebaliknya sesiapa yang ingin berhimpun hanya perlu memaklumkan kepada pihak polis.

"Sekiranya penguatkuasa DBKL ditambah tugas, itu dalam bidang kuasa mereka. Tetapi apabila sebut tentang perhimpunan haram, ia bercanggah dengan RUU perhimpunan aman yang tiada istilah perhimpunan haram dan sebagainya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya penguatkuasa DBKL diberikan tugas atau latihan tentang pemantauan dan pengawalan sebarang perhimpunan, perkara itu memang disokong pihaknya.

Namun, katanya jika latihan itu hanya untuk menggalakkan sebarang bentuk kekasaran dan keganasan seperti pihak polis sebelum ini, perkara tersebut tidak boleh diterima.

"Lebih baik sekiranya anggota penguatkuasa ini diberi latihan bagaimana tugas mereka untuk memastikan sesuatu perhimpunan itu dapat dilangsungkan dengan aman, seperti mengawal dan memberi kerjasama sewajarnya bagi sesebuah perhimpunan itu," tambah Kamaruzzaman lagi.

Sebelum itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan penguatkuasa DBKL akan dilatih secara khusus sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya perhimpunan haram pada masa hadapan.

Beliau dilaporkan berkata latihan secara khusus itu perlu kerana dalam senario terkini, kemungkinan lebih banyak perhimpunan haram akan diadakan dari semasa ke semasa, terutamanya di Kuala Lumpur.

Menurut Raja Nong Chik, perbincangan tentang latihan khusus itu telah diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Harakah Daily

Kafir: Mohon maaf atau tindakan lebih keras

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pihak New Straits Times Press kerana telah mengeluarkan artikel yang bertajuk Nik Aziz is father of kafir.

“Tok Guru adalah seorang tokoh agama dan beliau adalah pemimpin utama parti. Selain itu, beliau juga merupakan pemerintah rakyat Kelantan.

“Artikel-artikel seperti ini hanya mendorong kemarahan daripada rakyat Kelantan khususnya dan amnya semua rakyat Malaysia yang menyokong Tok Guru,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan pada sidang media di hadapan pejabat Balai Berita New Straits Times Press [M] Berhad pagi tadi.

Justeru, beliau menasihatkan kepada semua wartawan dan media untuk menjaga etika kewartawanan dan penulisan satu-satu berita agar tidak mencetuskan isu-isu seperti itu hanya kerana untuk melariskan jualan akhbar sahaja.

“Kita mahu NSTP atau mana-mana media untuk menjaga etika kewartawanan mahupun penulisan berita agar tidak timbul isu-isu seperti ini yang hanya akan melahirkan ketidakpercayaan rakyat Malaysia pada media sebab tidak profesional, tiada kualiti dan integriti,” ujar beliau.

Beliau juga mengingatkan agar NST dapat memohon maaf dan menarik semula artikel terbabit dalam tempoh 24 jam.

“Oleh itu, kami mendesak agar NST memohon maaf di atas penyiaran berita tersebut dalam tempoh 24 jam selepas memorandum ini diserahkan.

"Sekiranya ia tidak dilakukan maka kami akan mengambil tindakan yang lebih keras selepas ini,” tegasnya.

Turut menyertai beliau ialah timbalannya, Nik Mohamad Abduh, Setiausaha, Khairul Faizi dan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Rombongan itu disambut baik oleh pihak NST dan memorandum tersebut telah diterima oleh Wan Abdillah Wan Nawi selaku Ketua Bahagian Pemasaran Korporat yang mewakili Abdul Jalil Hamid, iaitu Ketua Kumpulan Editor News Straits Times Press (M) Berhad.

Harakah Daily

Apa fatwa perjanjian beli saham FGVH

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: PAS memohon Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perjanjian pinjaman untuk pembelian saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) yang ditawarkan bank kepada peneroka Felda.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu meneliti isu ini kerana peneroka tidak memahami isi kandungan perjanjian yang menggunakan bahasa Inggeris.

"PAS pohon Majlis Fatwa Kebangsaan untuk teliti perjanjian yang ditandatangai peneroka Felda.

"Mereka buat pinjaman dalam keadaan mereka tidak memahami kandungan perjanjian, tidak tahu jumlah sebenar dan mereka tidak memahami implikasi risiko pada perjanjian itu," kata beliau pda sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.

Tuan Ibrahim juga berkata, adalah menjadi tanggungjawab majlis fatwa untuk menegur dan berbincang dengan kerajaan berhubung perjanjian tersebut.

"Disebabkan majlis fatwa aktif dalam mengeluarkan fatwa sekarang ini, kita alu-alukan mereka berbincnag dengan kerajaan berhubung perjanjian ini," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sebelum ini, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa peneroka 'dipaksa' menandatangani borang tersebut dengan gambaran ianya borang durian runtuh kepada peneroka.

Peneroka dipaksa menandatangani dokumen tersebut serta-merta tanpa boleh mendapatkan nasihat pihak kedua walaupun tertera dalam borang bahawa peneroka dinasihat mendapatkan nasihat peguam sebelum menandatanganinya.

Sebahagian besar bank menyediakan borang itu dalam bahasa Inggeris yang tidak difahami peneroka.

Sementara itu, PAS katanya sangat kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa peneroka yang membantah penyenaraian FGVH adalah 'haram jadah'

"Ianya istilah yang tidka sepatutnya dikeluarkan oleh perdana menteri.

"Soal ada peneroka yang tak setuju dengan penyenaraian itu hak peneroka kerana mereka nak jamin keselamatan masa depan pelaburan dalam KPF, dia ada hak bantah penyenaraian. Tapi durian runtuh semua peneroka berhak dapat," katanya.

Harakah Daily

NFC: Dendam punca buru disyaki ‘whistleblower’

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) kesal dengan tindakan NFC dan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang terus menerus memburu rakyat yang tidak bersalah untuk dikenakan hukuman berat kerana disyaki membantu pendedahan segala penyelewengan yang berlaku di NFC.

“Terbaru beliau secara bertubi-tubi membuat aduan dan memberi tekanan kepada Public Bank dan Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Johari Mohamad yang dituduhnya membocorkan maklumat pembelian harta mewah di KL Eco City kepada saya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akibat tekanan itu, ujarnya tindakan telah diambil oleh Public Bank dan Bank Negara Malaysia terhadap Johari Mohamad.

Beliau berkata, Johari yang sudah tidak tahan dengan tekanan dan tindakan selama sebulan akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan dari Public Bank setelah berkhidmat berbelas tahun.

Tambahnya, tidak cukup dengan merosakkan periuk nasi rakyat yang tidak berdosa, Mohamad Salleh dan NFC terus memburu dengan mengenakan tekanan kepada Bank Negara pula.

Hari ini, jelasnya Johari akan disiasat dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

Menurutnya, tindakan yang bersifat dendam kesumat itu sudah tentu dibincangkan dan mendapat restu Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno.

Sebelum ini, kata Rafizi apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Mohamad Salleh sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

“Tindakan dendam kesumat ini juga bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa pun kecuali saya.

“Jelasnya, beliau sedang berusaha untuk mengenakan tindakan terhadap semua yang beliau syaki membantu mendedahkan penyelewengan dan kekayaan peribadi keluarga beliau,” ujarnya lagi.

Menurut Rafizi, Mohamad Salleh tidak sedar bahawa tindakan dendam kesumat itu memberi imej yang buruk terhadap Umno.

“Ahli Umno sendiri menolak penyelewengan yang dilakukan oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, maka sudah tentu mereka pun muak dengan sikap penting diri keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akan terus mengheret Umno ke dalam skandal NFC yang tiada penghujungnya,” katanya.

Beliau berkata, PKR akan membantu sepenuhnya Johari dari aspek bantuan guaman dan berusaha mendapatkan kerja baru supaya beliau tidak terus dimangsakan oleh dendam kesumat keluarga Shahrizat.

“Saya mendesak Bank Negara Malaysia supaya tidak tunduk kepada tekanan DatukSeri Shahrizat Jalil dan keluarganya. Sungguh malang apabila semua institusi negara – dari PDRM, SPRM dan kini BNM – diheret oleh beliau semata-mata untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku,” tegasnya.

Penjelasan Johari

Sementara itu Johari yang merupakan seorang kakitangan Public Bank yang bertugas di cawangan Jinjang memberitahu pada 24 April lalu, beliau menerima sepucuk surat dari majikan menyatakan beliau didakwa melanggar tatacara dan disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Mohamad Salleh.

Aduan itu juga menuduhnya melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang boleh disabitkan hukuman berat.

Beliau telah melalui proses perbicaraan disiplin (domestic inquiry) di Public Bank.

“Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail,” jelasnya.

Hari ini pula, beliau telah diarahkan untuk melaporkan diri bagi tujuan siasatan di bawah Akta BAFIA di Bank Negara jam 2 petang.

“Saya kini disiasat pula oleh Bank Negara Malaysia di bawah BAFIA yang boleh membawa hukuman berat,” ujarnya.

Harakah Daily

Lupakan hasrat tawan Selangor - Liong Sik

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Barisan Nasional (BN) mungkin tidak akan menang pilihan raya umum jika Parlimen dibubarkan bulan hadapan, kata bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik (gambar).

Beliau juga mengisyaratkan kepada BN supaya melupakan hasrat untuk merampas Selangor dari pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Ling berkata, BN tidak bersedia lagi kerana banyak isu melibatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang belum dapat diselesaikan.

"Waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum ialah perdebatan tanpa jawapan. Bila hendak diadakan pilihan raya umum?

"Apabila anda fikir ia adalah masa yang terbaik, dari segi realiti ia menjadi sebaliknya, oleh itu peluang untuk melihat pilihan raya umum ke-13 diadakan pada bulan Jun tidaklah begitu besar.

"Lebih tepat lagi, BN tidak pasti sama ada ia boleh menang pilihan raya umum.

"Saya fikir (BN) tidak bersedia lagi. Ada yang kata bulan Jun, tetapi saya tidak tahu adakah mereka berani (mengadakan pilihan raya), terdapat banyak krisis yang tidak diselesaikan," bekas Menteri Pengangkutan itu memberitahu akhbar Sin Chew.

Imej bersih PR

Mengenai Selangor, beliau menjangkakan BN tidak akan dapat merampas negeri itu dari PR dalam pilihan raya akan datang kerana imej bersih para pemimpin PR.

Menurut Ling, pemimpin utama kerajaan PR di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai imej yang baik.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri, Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah terlibat dengan rasuah atau penyalahgunaan kuasa dan rekod sedemikian membantu membina imej yang baik bagi mereka.

"Pada umumnya, orang-orang Cina tidak cenderung kepada BN, tetapi di Perak tidak ada pilihan lain.

"Di Johor, (BN) mungkin akan kehilangan sejumlah sokongan tetapi tidaklah sehingga ke peringkat ia terlepas (kerajaan negeri itu)," kata beliau.

Ling menyifatkan pilihan raya kali ini adalah yang paling sukar kepada BN.

"Pilihan raya kali ini adalah paling sukar kepada BN. Saya fikir BN masih lagi boleh menang kerana kerajaan begitu banyak menghabiskan wang di bawah pelbagai nama.

"Perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Harakah Daily

Rombongan PAS ke Sandakan buka surau yang dijanjikan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SANDAKAN: Lapan anggota Lajnah Penerangan PAS dengan dipimpin oleh Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kini berada di Sandakan bagi melihat sendiri projek pembinaan surau di sebuah pulau dekat sini.
Mereka dijangka ke pulau itu petang ini bagi menyaksikan pembinaan Surau Pulau Shanghai yang dibina hasil sumbangan orang ramai.

(Gambar: Para peserta bergambar di hadapan hotel penginapan sebelum ke Pulau Shanghai.)

Pembinaan surau ini dijanjikan oleh rombongan beliau kepada penduduk tempatan ketika melawat pulau itu hujung Disember tahun lalu.

Selepas lima bulan mereka datang kembali dan melihat bangunan yang dihasilkan dari usaha mereka mengutip sumbangan untuk pembinaan surau ini.

"Kita berjaya pungut lebih RM70,000. Sehingga kini kita dah serahkan RM50,000 kepada Tuan Haji Hamzah Abdullah (Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah) untuk menguruskan pembinaan ini," kata Tuan Ibrahim dalam mesyuarat lajnah itu semalam di Kuala Lumpur.

Pulau Shanghai terletak setengah jam perjalanan dengan bot laju dari perlabuhan Sandakan.

Beribu umat Islam mendiami pulau itu tetapi tidak ada satu pun surau apatah lagi masjid di pulau itu.

Mereka terpaksa naik bot ke pulau lain untuk menunaikan solat Jumaat dan jamaah.

Tuan Ibrahim pernah berkata, "Kita pacak tiang untuk pembinaan pulau ini dengan harapan kerajaan negeri pimpinan Umno bertindak untuk membinannya di pulau ini."

Sekarang PAS sebagai sebuah parti politik Islam berjaya membinanya dengan bantuan orang ramai.

Selepas melihat kejayaan ini, banyak kawasan lain juga memohon PAS untuk membantu mereka membina surau untuk kawasan mereka.

"Hari ini kita akan merasmikan penggunaannya, selepas ini akan membuat pelbagai program di surau ini termasuk di hari-hari kebesaran Islam," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Nor Yakcop, Umno tak perlu undi bukan Melayu

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak berbeza dengan Perkasa kerana menggunakan sahutan perkauman “Ketuanan Melayu” dengan ugutan dan taktik ketakutan bahawa Malaysia akan kembali kepada tahun 1511 jika BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13. 1511 adalah tahun kejatuhan kesultanan Melaka kepada kuasa Portugis dan permulaan penaklukan kuasa asing di Malaya.

Tan Sri Nor menggunakan tahun 1511 untuk menyokong dakwaan palsunya bahawa pembangkang tidak mempunyai kebolehan untuk menerajui agenda bumiputera. Perbandingan ini adalah salah kerana Portugis merupakan kuasa asing manakala pilihan raya umum ke-13 akan ditentukan oleh rakyat Malaysia. Ironiknya, sepatutnya PR yang menuduh BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya atas kehadiran pengundi hantu yang diragui, termasuk warga asing yang didaftarkan sebagai pemilih, yang berupaya untuk memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya yang akan datang.

Adalah jelas bahawa sekiranya BN mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum yang akan datang, hitam akan menjadi putih dan putih akan menjadi hitam seperti yang ditunjukkan oleh New Straits Times dan Utusan Malaysia yang terpaksa meminta maaf kerana menyiarkan berita palsu.

Dengan menggunakan agenda perkauman bumiputera dalam pilihan raya umum yang akan datang, Tan Sri Nor dan UMNO telah memberi isyarat yang kuat bahawa mereka tidak mempedulikan pengundi bukan Melayu. UMNO dan Tan Sri Nor menggunakan agenda bumiputera sebagai satu-satunya agenda untuk memenangi pilihan raya umum, dengan mengatakan bahawa Pulau Pinang adalah contoh di mana orang Melayu telah terpinggir.

Cabar Tan Sri Nor Untuk Menyatakan Program-Program Apa Di Bawah Kerajaan Negeri BN Dahulu Untuk Orang Melayu Yang Telah Dibatalkan Oleh Kerajaan Negeri PR.

Kerajaan negeri PR Pulau Pinang mencabar Tan Sri Nor untuk menyatakan jumlah orang Melayu yang telah terpinggir di bawah pentadbiran PR. Bolehkah Tan Sri Nor menyenaraikan program-program yang telah dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang telah dibatalkan oleh kerajaan negeri PR? Sekiranya Tan Sri Nor gagal untuk membuat demikian maka beliau tidak berbeza dengan Perkasa kerana menggunakan taktik umpan-perkauman dan taktik ketakutan.

Hakikatnya bukan sahaja bantuan kebajikan diteruskan, malah PR telah meningkatkannya kepada tahap yang tidak pernah dicapai oleh kerajaan negeri BN selama 50 tahun. Lebih daripada RM50 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan dan meningkatkan bantuan kewangan daripada RM100 setahun untuk warga emas, OKU, ibu tunggal serta pelajar-pelajar Tahun 1 & 4, Tingkatan 1 & 4. Tambahan juga, kerajaan negeri PR memberi pinjaman mikro-kredit kepada golongan miskin dan ibu tunggal, serta bayaran RM1,000 sekali sahaja untuk waris warga emas dan pelajar-pelajar daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 yang berjaya diterima IPTA serta RM200 untuk setiap bayi baru lahir.

Yang paling mengkagumkan, Pulau Pinang telah berjaya membasmi miskin tegar dalam satu tahun, di mana BN telah gagal selama 50 tahun, dengan memastikan bahawa setiap isi rumah mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Menjelang 2015, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan sama sekali.

Walaupun apabila kontrak kerajaan negeri diberi melalui tender terbuka berdasarkan faktor-faktor harga paling baik, kualiti dan pengurusan, 70% daripada kontrak telah dimenangi kontraktor Melayu. Ini adalah pengurangan jika dibandingkan dengan 100% yang diberi kepada kroni UMNO, tetapi dari segi nilai, kontraktor-kontraktor Melayu yang tulen telah bermanfaat jika dibandingkan dengan kerajaan dahulu.

Sebabnya adalah kerana kerajaan negeri PR telah meningkatkan perbelanjaan untuk program-program sosial dan infrastruktur sebanyak 55% daripada RM1,387 juta selama 4 tahun 2004-7 kepada RM2,142 juta di bawah pentadbiran PR selama 4 tahun dari 2008-2011. Sebagai contoh, peruntukan negeri Pulau Pinang untuk projek jalanraya, di mana hampir 100% telah dimenangi oleh kontraktor Melayu, telah ditingkatkan daripada RM10.25 juta pada tahun 2007 kepada RM42.6 juta pada tahun 2012. Dan pada tahun 2012, peruntukan paling besar dalam sejarah Pulau Pinang untuk hal-ehwal agama Islam iaitu RM64 juta telah diluluskan.

Dengan bermain emosi dan sentimen dan mengabaikan fakta dan logik, Tan Sri Nor menunjukkan bahawa beliau tidak berbeza dengan Perkasa. Di Pulau Pinang, Perkasa dibenarkan untuk memukul dan mencederakan wartawan, bukan sekali tetapi dua kali di Jambatan Pulau Pinang pada bulan Julai tahun lepas dan pada 26 Februari semasa perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota Lama. Tiada tindakan telah diambil ke atas ahli-ahli Perkasa dan UMNO yang ganas. Pada 10 Mei 2012, Perkasa telah dibenarkan oleh polis untuk melakukan upacara pengebumian Hindu di depan pintu rumah saya di Pulau Pinang.

Jika Tan Sri Nor berjaya untuk menggunakan ketakutan tahun 1511 dengan pendekatan perkauman agenda bumiputera dan ketuanan Melayu, maka ia akan menandakan penguburan demokrasi, harmoni kepelbagaian kaum dan budaya serta 1Malaysia!

Harakah Daily

Tiada masalah yuran naik jika pendidikan percuma

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Keputusan Kerajaan Negeri Kedah menaikkan yuran pengajian di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak akan membebankan pelajar sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, yuran yang tinggi tidak akan membebankan pelajar kerana keseluruhan kos pendidikan akan ditanggung oleh Kerajaan Pusat.

"Isu kenaikan yuran tidak berbangkit. Pakatan Rakyat tetap berpendirian akan memberi pendidikan percuma.

"Bila konsep pendidikan percuma, yuran tetap akan ada selepas ini. Tapi yang akan tanggung ialah Pakatan Rakyat apabila menjadi Kerajaan Pusat melalui peruntukan khas," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, Kuin adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti Kerajaan Pusat.

"Isu kenaikan yuran Kuin di kedah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang tidak mempunyai pendapatan yang lumayan seperti Kerajaan Pusat. Semua itu akan diatasi apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia," katanya.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, isu kenaikan yuran hanya melibatkan pengambilan pelajar baru dan pelajar lama tidak akan terjejas sehingga mereka menamatkan pengajian kelak.

Menurutnya, Kuin adalah universiti yang mengenakan yuran paling rendah kepada pelajar, malah pernah ditegur Kementerian Pelajaran kerana keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran universiti.

Harakah Daily

Panas...Kedah akan jatuh ke tangan Umno BN

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PANASSS MENDIDIH BEB!!!... KEDAH AKAN JATUH KETANGAN UMNO/BN SELEPAS PRU 13 SEPERTI DIJANGKAKAN OLEH PARA PEMIMPIN MEREKA.....PAS KEDAH LANGSUNG TIADA PASUKAN YANG MENGGERAKKAN KERJA PARTI NANTI!!!!.. PEMUDA PAS BOIKOT MB KEDAH YAB DS AZIZAN RAZAK!!!!
Pergolakkan dalam saf kepimpinan PAS Kedah yang dihebohkan baru-baru ini betul-betul mengancam peluang PAS/PR mengekalkan kedudukan parti itu pada PRU 13 nanti....

Pemuda PAS yang secara jelas dan terang dan menjadi rahsia umum kurang menyokong kepimpinan DS Azizan Razak....ini dibuktikan apabila satu himpunan Pemuda PAS sebagai mempersiapkan jentera parti menghadapi PRU 13 nanti di Stadium Guar Cempedak yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Azizan Razak telah diboikot oleh sayap parti itu....

Tak caya?....sila lihat foto-foto sebagai bukti bukan cakap pakai air liur basi....

Nampaknya kasyaf para pemimpin UMNO yang Kedah akan jatuh ketangan UMNO akan menjadi kenyataan...

PSST... WAHAI JUAK-JUAK UMNO.. OK TAK AYAT-AYAT BODEK SAYA INI...

Harakah Daily

Himpunan Pekerja anjuran Pakatan Rakyat kena boikot...

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASCA BERSIH 3.0 DAN PERHIMPUNAN RASAKSA UMNO 66 TAHUN....PANAS.. PANAS.. PANAS MENDIDIH!!!... KINI GOLONGAN PEKERJA TOLAK KEPIMPINAN DSAI DAN PAKATAN RAKYAT....HIMPUNAN PEKERJA DISTADIUM MELAWATI ANJURAN PAKATAN RAKYAT KENA BOIKOT...LENGANG, SUNYI SEPI DAN HAMBAR!!!

Pergh!!!! sungguh dahsyat pukulan maut yang diterima Pakatan Rakyat terutama siri ceramah DSAI beb!!....memang sungguh berkesan propaganda UMNO serang DSAI dan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat....ayat-ayat seperti komunis, pengganas, mau menggulingkan kerajaan secara revolusi, abaikan kaum pekerja, tidak tunai janji, kaki seks luar tabiee, agen asing, anak tanggang moden, tolak individu bernama anwar ibrahim (TIBAI) dll, termakan oleh rakyat..

Kini giliran para pekerja pula bangkit dan boikot DSAI dan Pakatan Rakyat...mereka sudah selesa dengan janji Najib Razak gaji minima RM900 yang akan dilaksanakan selepas PRU 13 walaupun PR sudah up RM200 menjadi RM1,100....para pekerja sanggup kerugian RM200 sebulan demi menyokong dan dakap erat UMNO kerana kepimpinan Najib Razak dan Rosmah Mansor yang dikatakan cukup luar biasa dan terhebat dalam dunia kini..

Himpunan Hari pekerja anjuran Selangor Ku di Stadium Melawati Shah Alam sebagai bukti....stadium kosong, lengang, sunyi sepi dan amat hambar....tiada seorang pekerja pun yang datang beb!!....mereka dah muak dengan janji-janji PR sepertimana kata Najib Razak..

Nampak gaya, kalau begini sambutan diterima PR terus menerus.. alamatnya maka benarlah kata-kata ramalan para pemimpin UMNO.. semua negeri akan jatuh ketangan UMNO/BN malahan tidak silap kasyaf Hasan Aqidah Ali, tiada satu undi pun diperolehi oleh calon-calon Pakatan Rakyat..

PSSTT... SEMOGA ARTIKEL INI AKAN MEMBAWA SENYUMAN DAN KELEGAAN KEPADA PARA PEMIMPIN UMNO...

Harakah Daily

Israel enggan sambung rundingan damai dengan Palestin

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

RAMALLAH 14 Mei - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak menyatakan sebarang 'kata kunci' untuk menyambung semula rundingan damai antara Palestin dan Israel dalam suratnya kepada Presiden Mahmoud Abbas.

Menurut Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) semalam, surat daripada pemimpin Israel itu langsung tidak menjawab pertanyaan Abbas pada bulan lalu mengenai kegagalan rundingan damai antara kedua-dua pihak pada 2010 dan kesediaannya untuk menyambung semula rundingan tersebut.

Pada 17 April lalu, Abbas menghantar surat kepada Netanyahu berhubung empat isu utama iaitu rundingan damai, kegiatan penempatan haram, pembebasan tahanan Palestin di Israel dan pembatalan perjanjian berat sebelah. - AFP

Lelaki paling pendek di dunia tiba di Sydney

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DANGI dipikul seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Sydney semalam.

SYDNEY - Lelaki paling pendek di dunia, Chandra Bahadur Dangi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney di sini dari Kathmandu, Nepal semalam.

Dangi yang berusia 72 tahun diisytiharkan sebagai lelaki paling pendek di dunia oleh beberapa pegawai Guinness World Records pada Februari lalu.

Dia hanya setinggi 54.6 sentimeter.

Dangi akan mempromosikan negaranya, Nepal sebagai destinasi pelancongan kepada penduduk Australia.

Ketika berada di lapangan terbang tersebut, seorang lelaki dilihat memikul Dangi di belakang badannya.

Dangi akan turut menjadi tetamu dalam program radio Fitzy and Wippa yang bersiaran pada waktu pagi. - Agensi

49 mayat dipotong kepala, tangan dan kaki ditemui di Monterrey

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MONTERREY: Empat puluh sembilan mayat yang dipotong kepala, tangan dan kaki ditemui awal pagi tadi di lebuh raya utama utara Mexico menuju ke sempadan Texas, menjadikan ia insiden terbaru pembunuhan beramai-ramai membabitkan keganasan di antara kumpulan pengedar dadah Mexico.

Pihak berkuasa tempatan menemui kesemua mayat itu awal pagi tadi di sebuah kolam yang dipenuhi darah di pintu masuk ke bandar San Juan, di lebuh raya utama dari kota metropolitan Monterrey menuju ke sempadan Reynosa.
Sementara itu, pintu gerbang berwarna putih juga disembur cat hitam dengan perkataan "100% Zeta".

Jurucakap keselamatan negeri Nuevo Leon, Jorge Domene, berkata identiti 43 lelaki dan enam wanita yang ditemui itu sukar untuk dikenal pasti kerana kekurangan kepala, tangan dan kaki.

Bagaimanapun, kesemua mayat dibawa ke auditorium Monterrey untuk ujian DNA. - AP

Budak terkejut lintah masuk dubur

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD]-

MOHD. FARHAN menunjukkan lintah yang keluar dari duburnya di rumahnya di Ketereh, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Kampung Paya Rambai, Ketereh di sini melalui pengalaman mengerikan apabila seekor lintah yang saiznya lebih besar daripada ibu jari orang dewasa memasuki duburnya ketika dia menangkap ikan di sawah berdekatan rumahnya tengah hari kelmarin.

Bagaimanapun, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kampung Chengal, Mohd. Farhan Adli Mohd. Alpatah, 7, tetap bernasib baik walaupun duburnya mengalami pendarahan akibat dimasuki lintah.

Ini kerana lintah tersebut yang boleh memanjang sehingga 25 sentimeter berjaya dikeluarkan setelah mengamalkan petua orang tua iaitu dengan makan belalang.

"Saya dan tiga orang rakan pergi ke sawah (yang terletak kira-kira 500 meter) dari rumah untuk mencari ikan, namun tak sangka pula ada lintah masuk dalam dubur.

"Sebaik sahaja pulang ke rumah saya dapati dubur berdarah dan keluarga saya mengesyaki mungkin lintah telah memasuki dubur, lalu nenek menyuruh makan belalang.

"Sepuluh minit kemudian saya membuang air besar dan lintah tersebut keluar," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

kosmo/-

Chu-young ketuai Korea

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERSATUAN Bola Sepak Korea Selatan (KFA) memilih ketua pasukan kebangsaan, Park Chu-young mengetuai skuad bola sepak negara itu pada temasya Olimpik London yang bermula Julai ini.

Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat yang dihadiri Presiden KFA, Cho Chung-yun dan pengurus skuad Olimpik, Hong Myung-bo.

Malah, keputusan itu turut mendapat restu pengurus skuad kebangsaan, Choi Kang-hee.

Chu-young dijadualkan kembali ke Seoul bagi menjalani latihan pusat, Khamis ini sebaik sahaja kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir, musim ini.

Sinar Harian

Kagawa pamer persembahan cemerlang pada final Piala Jerman

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JUARA Bundesliga, Borrusia Dortmund mengungguli Piala Jerman selepas mengalahkan finalis Liga Juara-Juara musim ini, Bayern Munich, 5-2 pada perlawanan berat sebelah di Stadium Olimpik Berlin, awal pagi semalam.

Kejayaan dicapai anak buah Jurgen Klopp itu banyak dibantu permainan cemerlang bintang Jepun, Shinji Kagawa yang melakukan beberapa gerakan mengelirukan lawan.

Malah, Kagawa yang menjadi buruan Manchester United musim ini turut meledak satu gol yang disempurnakan seawal minit ketiga.

Manakala penyerang Poland, Robert Lewandowski menyumbat hatrik, sementara satu lagi gol Dortmund disumbangkan Mats Hummels menerusi penalti.

Gol Bayern pula disumbangkan Arjen Robben yang menyempurnakan penalti pada babak pertama dan jaringan kedua menerusi penyerang Perancis, Franck Ribery.

Sementara itu pengendali Bayern, Jupp Heynckes mengakui gol pertama Kagawa di awal permainan menjejaskan rentak pasukannya.

“Kesimpulannya, kami beraksi buruk sepanjang perlawanan,” katanya.

Sinar Harian

Penuntut didakwa miliki dadah

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh, Abdul Salam Muda, 20, dari Kampung Tok Kaya, di sini, didakwa memiliki dadah seberat 5.0 gram di belakang Pasar Kampung Bukit Besar, di sini, kira-kira jam 10.20 malam, pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan, sebelum Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 13 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah juga membenarkan Abdul Salam diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

Milan mahu Sneijder?

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PEMAIN tengah Inter Milan, Wesley Sneijder (gambar) dikaitkan dengan perpindahan kontroversi ke AC Milan, musim panas ini.

Spekulasi itu timbul selepas pemilik kelab yang juga Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mengarahkan kelab tersebut mencari pemain tengah berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan itu pada kempen Serie A, musim depan.

Sumber mendedahkan, Berlusconi berminat dengan beberapa pemain tengah di Itali termasuklah Sneijder.

Bagaimanapun Berlusconi dan Timbalan Presiden, Adriano Galliani serta jurulatih, Massimiliano Allegri pantas menolak khabar angin tersebut.

Sinar Harian

PKNS akur kehebatan TRW

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEGAGALAN mencipta ruang dan bersaing mendapatkan bola terutamanya dibahagian tengah adalah punca pasukan PKNS bimbingan Abdul Rahman Ibrahim terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 ditangan pasukan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam kelmarin.

PKNS dilihat menguasai pada awal 10 minit pertama tetapi pelawat bingkas bangkit menerusi hantaran kemas barisan tengah sekali gus mendominasi permainan hingga ke tiupan wisel penamat.

“Kita berdepan dengan pasukan gergasi bola sepak Malaysia dan kami perlu berpijak di bumi yang nyata. Pelawat memiliki corak permainan lebih tinggi daripada kami.

Abdul Rahman berkata, pertukaran taktikal juga menemui jalan buntu apabila penguasaan di bahagian tengah gagal dilakukan pemain seperti dirancang.

Pada aksi berkenaan, jaringan Nor Shahrul Idhlan Talaha m-26, Obina Nwaneri (84) dan Mohd Ghaddar (86) memastikan Kijang menghambat pendahulu liga, Lions X11 yang keciciran dua mata berharga apabila diikat Kedah 3-3 di Stadium Jalan Besar.

Sinar Harian

Bojan pening kepala senaraikan pemain

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KETUA jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji sikap ditonjolkan barisan pemain The Red Warriors selepas menang bergaya menumbangkan PKNS 3-0 di Kelana Jaya, kelmarin

Namun, pada masa sama, Bojan turut pening kepala untuk menyenaraikan sebelas pemain utama menjelang pertembungan akhir Piala FA, Sabtu ini.

“Saya puas hati aksi keseluruhan pemain. PKNS ternyata tidak begitu menyukarkan kami kerana disiplin penuh diterapkan pemain.

“Setiap pemain kami bermain bagus. Jadi, saya sedikit sukar memilih siapa bakal bermain dahulu pada babak pertama di Bukit Jalil nanti,” katanya.

Pengendali asal Croatia ini juga optimis mengenai peluang anak didiknya merangkul Piala FA musim ini berdasarkan prestasi dipamerkan mereka.

“Pemain saya ada mentaliti untuk menang. Perkara inilah yang membezakan Kelantan dengan pasukan lain,” katanya.

Sinar Harian

Kecederaan Shahril, Juma'at punca Lions gigit jari

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JURULATIH Lions X11, V Sundramoothy berkata, kehilangan dua pemain berpengaruh, Shahril Ishak dan Juma’at Jantan kerana kecederaan menyebabkan mereka berputih mata apabila sekadar seri 3-3 menentang Kedah, kelmarin.

Tuan rumah selesa mendahului 3-1 namun pasukan pelawat bimbingan Wan Jamak Wan Hassan berjaya bangkit mengikat kedudukan sekali gus menghampakan Lions meraih tiga mata.

“Saya fikir kehilangan Shahril dan Juma’at sedikit memberi kesan kepada pasukan. Bukan itu saja, Abdel Fatah Safi kerap kali mencemaskan kami dengan menguasai di bahagian tengah padang.

“Kami cuba menyusun semula taktik dan membuat beberapa gerakan merbahaya. Malangnya, kami gagal mempertahankan kubu sehingga tamat permainan,” katanya.

Lions akan meneruskan perlawanan berdepan Kuala Lumpur di tempat lawan dan Sundram menggesa pemainnya mencatat kemenangan dalam usaha mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super musim ini.

Sinar Harian

Kebangkitan Kenari legakan Wan Jamak

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEDAH berjaya melakukan kebangkitan luar biasa walaupun sebelum itu ketinggalan dua gol dengan mengikat Lions X11, 3-3 pada saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, kelmarin.

Pengendalinya, Wan Jamak Wan Hassan mengukir senyuman kerana mereka tidak pulang ke Alor Setar dengan tangan kosong.

“Kita berjaya mencuri satu mata di Jalan Besar walaupun pada awalnya ketinggalan 1-3. Semangat juang anak buah saya juga tidak pernah luntur.

“Kita tahu, Lions merupakan pasukan yang begitu hebat sehingga kami dipaksa bekerja keras. Saya beritahu pemain, kita mesti bangkit memburu jaringan bagi mengikat tuan rumah.

“Keputusan seri ini saya anggap sebagai bonus buat pemain Hijau Kuning,” katanya.

Kedah kini menghuni tangga ke-11 liga dan bakal melayan kunjungan Selangor PKNS di Stadium Darul Aman, malam esok.

Sinar Harian

Pelumba, penonton dikepung polis

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Keghairahan dan kegembiraan pelumba kereta dan penonton menyaksikan perlumbaan di Lebuh Keluli, Seksyen 7, berdekatan I- City lenyap apabila polis mengepung mereka, malam kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka cuba meloloskan diri daripada serbuan, tetapi gagal apabila semua lorong ditutup.

Operasi yang dijalankan lima jam itu melibatkan Unit Khas Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Putrajaya.

Ketua Operasi, Asisten Su­perintendan Khuzir Abdul Majid berkata, ketika operasi, pemilik sedang mempamerkan kereta diubah suai dan ada melakukan aksi berbahaya sambil disaksikan penonton.

Menurutnya, pemilik kereta bertindak meninggalkan kenderaan di sekitar kawasan premis.

“Sebuah kereta jenis Proton Putra yang dipercayai aktif berlumba ditinggalkan dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu milik Proton Wira.

“Kita menunda kereta lain selepas memeriksa kenderaan ditinggalkan pemilik,” katanya.

Khuzir berkata, 300 kereta pelbagai guna yang diubah suai dibawa ke JPJ Padang Jawa untuk pemeriksaan.

Sinar Harian

Pemuda maut, cubaan memotong gagal

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JENGKA 17 - Seorang pemuda maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 41.9 Jalan Bandar Jengka-Temerloh, apabila kereta yang dipandu terbabas dalam cubaan memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Mangsa, Othman Abdullah, 34, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jengka 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badannya.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang memandu Proton Wira dikatakan cuba memotong Proton Gen2 di hadapannya, tetapi gagal lalu terlanggar bahagian belakang kereta Gen2 berkenaan.

“Selepas pelanggaran tersebut, kereta mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan dan memasuki sebuah ladang,” katanya.

Difahamkan pemandu Gen2 berkenaan dilaporkan selamat.

Adik mangsa, Mohd Sabri Abdullah, 27, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa abangnya menerusi seorang rakan.

“Ketika itu, saya baru pulang dari berniaga di pasar malam. Tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada rakan saya.

“Memang terkejut mendengar apa yang menimpa abang saya, lalu bergegas ke tempat kejadian dan ketika itu saya diberitahu arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, arwah sebelum kejadian telah belanja rakan-rakannya, malah dia tidak pernah bertanya apa-apa berkenaan durian runtuh yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik selamat dikebumikan pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 17.

Sinar Harian

Dipenjara 4 tahun akibat serang rakan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Akibat gagal mengawal perasaan amarah terhadap rakannya semasa berbincang mengenai hutang lama, seorang buruh bertindak di luar kawalan apabila menyerang dengan mencederakan mangsa bersama adiknya menggunakan sebilah pedang.

Akibat perbuatannya itu, Muhamad Basri Shukri, 28, dari Pasir Puteh, Kelantan, menerima padah setelah dijatuhi hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman berkenaan dijatuhkan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Izairi Ismail @ Shamsudin, 28, dengan menggunakan sebilah pedang di sebuah rumah di Cabang 3, Jertih, Besut, kira-kira jam 9 malam pada 27 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Muhamad Basri turut mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Firdaus, 19, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Kotak hitam pesawat Sukhoi belum ditemui

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

CIJERUK - Pasukan mencari dan menyelamat kini giat mengesan kotak hitam pesawat Sukhoi Superjet-100 yang terhempas di kawasan pergunungan Bogor.

Menurut Ketua Carian Kebangsaan dan Agensi Penyelamat, Daryatmo, pasukan petugas mengenal pasti lokasi ekor pesawat yang menempatkan kotak hitam itu iaitu kira-kira 300 meter dari puncak gunung Salak, semalam.

Pesawat buatan Rusia itu dikatakan melanggar Gunung Salak selepas separuh penerbangan demonstrasi selama 50 minit dari Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma milik tentera di Jakarta.

Ia dilaporkan hilang kira-kira pukul 2.50 petang Rabu lalu, apabila terputus hubungan dengan menara kawalan.

Sejurus sebelum hilang dari radar, juruterbang pesawat itu meminta kebenaran menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat daripada ketinggian 3,048 meter ke 1,828.8 meter, namun tidak menjelaskan sebab tindakannya itu.

Sementara itu, lebih 20 beg berisi cebisan mayat mangsa nahas diterbangkan menggunakan helikopter dan dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta Timur bagi tujuan pengecaman dan forensik.

Sinar Harian

Pengawal miliki dadah

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DUNGUN– Seorang pengawal keselama-tan yang bertugas di sebuah agensi korporat di Paka ditahan kerana disyaki memiliki dadah.

Suspek berumur 25 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Ketengah Jaya di hadapan rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi dekat sini, pagi kelmarin.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui kira-kira 50 biji pil kemerahan dalam poket seluar selain tunai berjumlah RM2,200 disyaki hasil jual dadah.

Pemeriksaan awal polis mendapati dadah terbabit dipercayai jenis methampethamine dan difahamkan bahan larangan itu mendapat pasaran paling tinggi dalam kalangan penagih di kawasan Tanah Rancangan Felda.

Suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah yang menjadi dalang utama aktiviti pengedaran dadah di kawasan Felda itu kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Dia kini ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangka-pan tersebut.

Sinar Harian

Bengang akibat hutang lama RM2 remaja ke mahkamah

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Bengang hutang lama RM2 masih tidak dijelaskan walaupun beberapa kali diminta, seorang remaja bertindak nekad merampas cukai jalan motosikal milik ‘penghutang’ itu.

Ia bertujuan memeras agar penghutang tersebut membayar balik hutang, tetapi dengan bayaran tambahan sebanyak RM10, dalam satu kejadian di Kampung Seberang Tepoh, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Tertuduh, 17, dari Kampung Seberang Tepoh, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan terhadap mangsa, 17, yang juga rakannya dengan mengambil cukai jalan motosikal milik mangsa dan mendorong mangsa menyerahkan RM10 di Jalan Kampung Seberang Tepoh, di sini, kira-kira jam 8.10 pagi, 10 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Rozianti menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming.

Sinar Harian

Ugut guna pemetik api pistol

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Gara-gara menakutkan pemandu lori menggunakan pemetik api menyerupai pistol, seorang lelaki didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu termasuk dua pertuduhan lain di Mahkamah Majistret semalam.

Pada 31 Mac lalu, kira-kira jam 12.50 tengah hari, Mohamad Hasri Mohd Hashim, 20, mengugut pengadu, Azani Ghazi, 47, yang juga mangsa dengan menunjukkan pemetik api berukuran enam inci di hadapan kedai runcit di Kubang Kerian.

Mohd Hasri yang memandu kereta Pesona itu mahu memotong lori itu tetapi ketika itu Azani tidak memberikan laluan kepadanya, menyebabkan dia mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaannya selepas berjaya memotongnya semula.

Ketika itu pengadu melihat, Mohd Hasri mengeluarkan senjata disyaki pistol dan setelah memberhentikan lorinya Azani mendapati ia diselitkan di pinggangnya sebelum tertuduh berkata ‘mu kenal siapa aku’ yang kemudiannya lelaki terbabit beredar dari tempat kejadian.

Mohd Hasri bekerja sebagai sub kontraktor dan berasal dari Taman jaya Kubang Kerian itu didapati melakukan kesalahan tersebut yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh sama ketika pemeriksaan polis kira-kira jam 11.35 malam di bilik mesyuarat sebuah universiti dekat Kubang Kerian, Mohd Hasri didapati memiliki pistol tiruan bertulis MI-6 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api.

Pertuduhan ketiga pula, Mohd Hasri didapati memiliki pisau tanpa kebenaran yang sah dan polis menemuinya di bawah tempat duduk pemandu kereta tersebut ketika pemeriksaan di hadapan tapak projek pusat kajian haiwan di sebuah universiti di Kubang Kerian.

Oleh itu, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya Tahun 1958.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad meminta supaya mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran atas tindakan dilakukan oleh Mohd Hasri tersebut.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan denda RM5,000 dan lapan bulan penjara jika gagal bayar jaminan untuk pertuduhan pertama, manakala pertudahan kedua didenda RM3,000 dan lima bulan penjara sekiranya tidak menjelaskan bayaran serta pertuduhan ketiga didenda RM2,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.

Dalam masa sama, Mohd Fazaly mengingatkan Mohd Hasri bahawa perjalanan hidupnya masih panjang dan sekiranya banyak perkara baik dilakukan maka pembalasan yang elok akan diterimanya kelak.

“Hukuman ini bukan berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh dan hukuman ini kerana dia pesalah muda, kamu dilahirkan untuk menjadi orang yang baik serta dilahirkan sebagai umat Islam,” katanya.

Sinar Harian

Mancini: Semangat juang faktor kejayaan City

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini memuji perjuangan yang ditunjukkan oleh anak didiknya untuk membolehkan pasukan The Citizens layak menggenggam mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Queens Park Ranger (QPR), dalam persaingan EPL yang berlabuh tirai semalam.

Jaringan penyerang Argentina, Sergio Aguero pada masa kecederaan melakarkan detik bersejarah buat penyokong City di Stadium Etihad yang mengidam untuk melihat kemenangan pasukan kegemaran mereka selama 44 tahun.

"Ia satu perkara yang luar biasa. persaingan semalam sangat mendebarkan kami.Walaupun kami mendahului awal perlawanan, namun QPR berjaya memintas untuk mendahului 2-1 pada baki 20 minit terakhir perlawanan tersebut.

"Kami tidak berputus asa. Malah saya bangga dengan pemain.Walaupun masa semakin tamat namun bagi mereka satu saat itu berharga untuk mereka mencapai misi kelab ini.

"Akhirnya kami berjaya, saya menang tidak menjangkakan bahawa kami berjaya memintas QPR pada saat-saat akhir.Ia satu keajaiban yang dilakukan oleh pemain," kata Mancini.

Meskipun episod duka skuad Roberto Mancini yang semakin menghampiri kekalahan, namun perjuangan Edin Dzeko pada minit-minit terakhir berjaya untuk mengikat kedudukan sebelum disusuli jaringan Aguero yang muncul dengan rembatan emas beberapa saat sebelum perlawanan ditamatkan untuk memulakan pesta kejayaan.

"Ia satu perjuangan yang hebat, apa yang saya lihat kami memang layak untuk memenangi gelaran musim ini.

"Kemenangan ini satu sejarah untuk City, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong, pihak pengurusan yang yakin dan mempercayai kami untuk menjulang juara," tambah Mancini.

Dengan mengatasi QPR, City akhirnya bergelar juara EPL selepas menanti 44 tahun selepas kali terakhir menjulangnya pada 1968.

Dengan tiga mata terakhir itu, City mengumpul 89 mata, mengatasi MU.

Sinar Harian

Tahan seorang lelaki bantu siasatan kes tembak

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dua lelaki ditembak mati dalam satu serangan di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia lingkungan 30-an itu di Taman Bukit Mutiara, di sini, sehari selepas kejadian.

“Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang dan direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya lelaki terbabit boleh membantu siasatan terhadap kes berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan mengenal pasti dua individu menaiki motosikal yang menembak mangsa hingga mati.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga akan diteliti bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Saiful Azly meminta orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua lelaki mati manakala dua lagi rakan parah selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, semua lelaki yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu menaiki sebuah kereta pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini.

Mangsa, R Chalidas, 29, dan G Surentharan, 31, masing-masing dari Jalan Rasah, Seremban dan Pasir Panjang, Port Dickson, disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sinar Harian

Gadai harta RM3j bayar ceti haram

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ADU...Ghani membuat aduan kepada Yati.
KUALA LUMPUR: Seorang usahawan hartanah kini pasrah apabila hilang projek bernilai RM11 juta sehingga terpaksa pula menggadaikan harta bernilai lebih RM3 juta gara-gara membuat pinjaman dengan along dan kini masih dikejar 58 along setiap hari bagi menuntut baki pinjaman berserta faedah sebanyak RM3 juta.

Itu pengajaran paling besar yang diterima usahawan berkenaan selepas memperjudikan nasib keluarga dengan meminjam sejumlah besar wang daripada ceti haram.

Lebih malang, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ghani, 47, itu turut berdepan kerenah melampau kumpulan terbabit yang meminta bayaran harian RM80,000 dengan nilai faedah mencecah 40 peratus sehari.

“Saya mula terjebak dengan along tiga tahun lalu apabila syarikat gagal memperoleh pinjaman bank untuk melaksanakan beberapa projek.

“Jumlah pinjaman ketika itu RM50,000 dan saya tidak pernah gagal melunaskan bayaran bulanan seperti di tetapkan along,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

metro/-

Motosikal guna nombor pendaftaran kereta

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an ditahan polis dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan mencuri motosikal kira-kira jam 5.30 petang kelmarin di sekitar kawasan pasar borong Taman Kenari.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, dua anggota polis sedang membuat rondaan pencegahan jenayah dan kemudiannya ternampak suspek menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, semakan terhadap nombor pendaftaran­ serta enjin motosikal digunakan suspek dan mendapati ia merupakan nombor pendaftaran palsu.

“Dari semakan dibuat melalui Bahagian Rujukan Jenayah (BRJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim mendapati motosikal digunakan suspek dilaporkan hilang sejak Disember 2011 di Kulim. Selain itu nombor pendaftaran digunakan suspek merupakan nombor pendaftaran kereta.

“Suspek turut memiliki rekod jenayah lampau. Polis kemudiannya membuat ujian­ saringan air kencing terhadap suspek dan mendapati ia negatif. Suspek akan ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.

Azlan berkata, sepanjang minggu ini, polis berjaya menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Kulim.

Katanya, kecuaian pemilik motosikal meletakkan motosikal di tempat yang tersorok dan tidak menggunakan kunci tambahan merupakan faktor utama kes kecurian motosikal meningkat.

“Dari tinjauan dibuat, ada dalam kalangan pemilik yang meninggalkan motosikal mereka dalam keadaan enjin masih hidup sebelum masuk ke dalam kedai runcit. Ini antara kecuaian yang sering dilakukan oleh pemilik motosikal,” katanya.

Sinar Harian

Pesakit Tibi pulih dalam masa 6 bulan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Biarpun pada mulanya mengalami trauma dan tekanan emosi, tiga bekas pesakit Tibi akhirnya bebas daripada penyakit itu dalam tempoh enam bulan.

Pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Nor Hidayu Abdullah, 17, mengakui berkat sokongan keluarga dan rakan selain kesabaran yang tinggi, dia sembuh sepenuhnya dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, dia mengalami Tibi Kelenjar menyebabkan wujud ketumbuhan pada lehernya setelah membuat beberapa kali pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengidap Tibi Limpa, tetapi menasihatkan supaya jangan bimbang kerana penyakit itu boleh sembuh dengan meminta tidak berhenti makan ubat dari hospital,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menceritakan pengalamannya bersama dua lagi bekas pesakit sempena sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Negeri.

Sementara itu, Nadia Mohd Fauzi, 26, berkata, dia mengalami penurunan berat badan secara mendadak diikuti demam di sebelah petang dan berpeluh dalam kuantiti yang banyak.

“Doktor mengesahkan saya mengidap sakit Tibi Paru-paru yang menyebabkan ruam di seluruh badan.

“Selain makan ubat saya juga menerima suntikan dalam badan selama dua bulan dan berkat kesabaran penyakit berbahaya ini sembuh dalam tempoh enam bulan saja,” katanya.

Shamsuddin Mat Nor, 49, mengalami batuk berterusan selama dua minggu dan doktor mengesahkan kahaknya dijangkiti kuman Tibi.

Dia yang juga seorang pekerja kampung dan bapa kepada dua anak turut berterima kasih keluarga serta masyarakat kerana bersimpati dengan penyakitnya.

“Saya ingin menasihatkan mereka jangan panik dan risau kerana penyakit itu boleh sembuh jika makan ubat mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Saya gembira kerana keluarga dan masyarakat sekeliling tidak menyisihkan saya sebaik saja sembuh dari penyakit Tibi,” katanya.

Sinar Harian

Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JAWI, Bandar Baharu – Hasrat bakal suami isteri untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua wanita di Kilometer 168.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, berhampiran sempadan Bandar Baharu, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki lima sekeluarga dan dipandu Alvinder Singh Mokhtiar Singh, 32, dikatakan cuba mengelak sebuah lori yang hendak memasuki semula lorong kiri selepas memintas kenderaannya.

Bagaimanapun malangnya, dia dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing berbatu menyebabkan bakal isterinya, Sabjit Kaur Soba Singh, 20-an yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

Sementara, ibunya, Rupinder Kaur Rejinder Singh, 56, yang turut berada di tempat duduk belakang juga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Manakala, Alvinder dan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Bakap.

Adik perempuan mangsa yang masih belum diketahui identitinya pula dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera parah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga itu dikatakan bertolak dari Tronoh, Batu Gajah, Perak kira-kira jam 6 pagi dan menuju ke Bukit Mertajam untuk mendaftarkan perkahwinan Alvinder dan isterinya yang difahamkan bukan warganegara Malaysia.

“Bagaimanapun, ketika tiba di kilometer 168.2, mangsa dikatakan tidak perasan akan kehadiran sebuah lori di hadapannya lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing batu.

“Siasatan masih dijalankan dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shafien berkata, saksi yang melihat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5858222.

Sinar Harian

Ceramah pembohongan Umno dijerkah DS Nizar

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Melalui laman twitternya, Dato Seri Nizar Jamaluddin mendedahkan bagaimana beliau duduk dimeja utama ceramah anjuran Umno yang bertajuk 'Nizar pembohong bersiri'.

Ceramah tersebut yang diadakan berhampiran dengan ceramah Pakatan Rakyat di Tualang Sekah, Kampar.

Sebelum tiba gilirannya untuk berceramah, DS Nizar telah berkunjung ke tempat ceramah Umno, lalu duduk dimeja utama penceramah. Turut berada dimeja utama tersebut adalah Dato Radzi Manan, Dato Shaarani dan Hanafiah Man.

Melihatkan kelibat DS Nizar yang duduk di meja utama, mereka begitu terkejut, panik dan pucat, terketar-ketar menuturkan kata. Hanafiah Man yang sedang asyik menghentam DS Nizar terus menukar topiknya kepada Ambiga dan DS Anwar Ibrahim.

Kebanyakan yang hadir diceramah tersebut adalah orang-orang Kampar yang begitu mengenali DS Nizar serta keluarganya. Manakala yang datang berceramah menghentam beliau adalah orang luar.

Dengan kehadiran DS Nizar di situ, terserlahlah siapa pembohong bersiri yang sebenar-benarnya.

Tahniah buat DS Nizar yang berani datang secara berdepan, bukan seperti penceramah Umno yang hanya berani melalak dari jauh menggunakan kekuatan speaker semata.

Harakah Daily

Tujuh maut hotel terbakar di Tokyo

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah hotel di Fukuyama semalam.

TOKYO - Seramai tujuh orang terbunuh apabila sebuah hotel terbakar di bandar Fukuyama semalam, kata polis tempatan.

"Tujuh orang, tiga lelaki dan empat wanita mati," kata seorang pegawai polis tanpa memberikan butiran yang lebih lanjut.

Menurut seorang jurucakap bomba, tujuh mangsa yang terbunuh itu adalah daripada 10 orang yang dihantar ke hospital selepas kebakaran itu.

Sebuah agensi berita, Jiji Press melaporkan, tiga orang termasuk pekerja hotel cedera dalam kebakaran itu.

Kebanyakan mangsa yang mati adalah kerana terhidu karbon dioksida.

Turut cedera dalam kebakaran itu ialah seorang pekerja wanita berusia 75 tahun.

Ketika kejadian, seramai 13 orang berada di hotel tersebut yang setinggi empat tingkat.

Kebakaran itu berlaku pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.

Punca kebakaran masih disiasat. - Agensi