26 Syaaban 1433H. [MOD] -
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً، وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْغَفُوْرُ.
اَشْهَدُ اَنْ لآ ِالَـهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلـِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Hidup adalah anugerah Allah s.w.t. Manusia hidup di dunia yang sementara, di mana akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Manakala, kerja merupakan tanggungjawab dan amanah. Kerja hendaklah dengan niat kerana Allah semata-mata kerana ianya adalah satu ibadah untuk bekalan di akhirat kelak.
Dalam al-Quran diterangkan bahawa Allah SWT menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah dan menjadi hamba Allah iaitu menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut standard peraturan yang ditetapkan-Nya.
Sebagai pekerja Allah di atas dunia ini samada bekerja dengan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri, Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Persekitaran kerja yang selamat perlu dihayati dan diamalkan. Islam menegaskan supaya kita melakukan sesuatu kerja dengan cara selamat dan sihat dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini.
Muslimin yang di rahmati Allah,
Islam memerintahkan kita melakukan sesuatu kerja dengan cara yang sebaik-baiknya dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Seperti firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 195 berbunyi ;
وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾
Maksudnya : “Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu untuk menegakkan agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. Perbaikilah segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha supaya banyak amalannya”.
Dengan membudayakan amalan kerja selamat dan sihat, sekaligus memelihara dan melindungi nyawa manusia agar kehidupannya dapat diteruskan sebagai hamba Allah SWT. Akan tetapi sekiranya nyawa tidak dipelihara maka akan terjadilah kebinasaan dan kerosakan dan seterusnya membawa kepada kematian yang sia-sia. Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70:
وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّىٰكُمْ ۚ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَىْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍۢ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۭ قَدِيرٌۭ ﴿٧٠﴾
Maksudnya: “ Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. ”
Oleh yang demikian kita patut bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan, keindahan alam dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.
Muslimin yang di rahmati Allah,
Kerja merupakan tanggungjawab dan amanah. Manusia perlu bekerja untuk menyara diri dan keluarga. Bukan itu sahaja, ianya adalah tanggungjawab untuk memajukan dunia. Kualiti pekerjaan dalam memberi perkhidmatan berinovatif sebagai penggerak transformasi KKP dapat memuaskan kepada dua pelanggan iaitu Allah SWT dan manusia sekaligus menyempurnakan amanah terhadap diri, ahli keluarga, sesama makhluk dan terhadap Pencipta. Kehidupan kerja selamat perlu dihayati dan diamalkan.
Pekerja perlu tahu punca dan akibat kemalangan. Di mana, kemalangan yang berlaku di tempat kerja adalah berkaitan dengan pengabaian keselamatan dan kecuaian pekerja itu sendiri sehingga mengakibatkan kematian, kecacatan dan kecederaan.
Bukan itu sahaja, aspek kesihatan di tempat kerja juga perlu di hayati dan diamalkan di mana pekerja yang terdedah kepada risiko-risiko bahaya yang mengancam kesihatan mereka di mana kesannya hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang iaitu setelah pekerja itu bersara. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77:
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ﴿٧٧﴾
Maksudnya: “ Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.
Ketika mengulas perkara yang sama mengenai kecemerlangan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Riwayat Baihaqi)
Muslimin yang di rahmati Allah,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja terjamin. Tema pada tahun ini amat lengkap di mana penglibatan majikan dan pekerja perlu seiring untuk mencapai amalan Budaya Kerja Selamat dan Sihat.
Bagi membolehkan seseorang itu bekerja dengan selamat, tempat kerja mestilah bebas dari terdedah kepada bahaya, ia perlu dikenalpasti dan langkah kawalan atau pencegahan hendaklah dilaksanakan. Disamping memastikan semua pekerja diberi pengetahuan, kemahiran dan maklumat yang sesuai untuk melakukan sesuatu kerja atau tugas dengan selamat.
Sekiranya semua ini dapat dipraktikkan dengan berkesan, maka sudah pasti keselamatan di tempat kerja akan dapat dicapai dan pekerja dapat menjalani kehidupan dengan selamat dan sihat.
Di antara matlamat sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, adalah untuk memberi kesedaran kepada majikan dan pekerja serta masyarakat umumnya, tentang keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan cara menerapkan semangat berpasukan dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Dengan ini, dapat menghindar berlakunya kemalangan atau musibah yang tidak diingini di tempat kerja.
Muslimin yang di rahmati Allah,
Menurut data yang direkodkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), bilangan kes maut akibat kerja telah meningkat secara global. Adalah dianggarkan setiap tahun, seramai 2.3 juta pekerja maut akibat daripada kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan manakala setiap tahun sebanyak 317 juta kes kemalangan berlaku di tempat kerja. Di Malaysia, Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja setanding dengan negara maju.
Manakala, statistik tempatan yang dikumpulkan oleh Kementerian Sumber Manusia, sehingga 2011, kadar kemalangan di tempat kerja bagi seribu orang pekerja ialah 3.4. Berdasarkan kajian dan analisa ke atas kadar kemalangan tersebut, oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, didapati trend kadar kemalangan industri Negara mengalami satu penurunan yang stabil.
Penurunan kadar kemalangan ini adalah dipercayai disebabkan oleh faktor peningkatan kesedaran dan amalan budaya kerja selamat dan sihat di kalangan majikan dan pekerja di Negara ini. Namun masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan agar kadar kemalangan ini sejajar dengan negara maju.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :
اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،
وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍۢ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ﴿١٧﴾
Maksudnya : " Dan jika Allah mengenakan (menimpa) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapapun yang dapat menghapusnya melainkan Dia sendiri dan jika ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.( Surah al-An'am ayat : 17)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Muslimin yang di rahmati Allah,
Para pekerja perlu tahu yang mereka mesti bekerja di persekitaran selamat dan sihat supaya pengamalan kerja selamat dapat dihayati dengan sepenuhnya. Kerjasama semua pihak amatlah perlu di mana, para majikan dapat memainkan peranan dalam pengamalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Apa yang penting, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dilihat daripada pelbagai dimensi, kerana setiap kerja yang dijalankan akan menimbulkan risiko dan bahaya kepada kesihatan.
Kehidupan kerja selamat akan dapat diperolehi dengan beberapa kaedah iaitu bekerja mengikut prosedur kerja selamat serta patuh kepada peraturan keselamatan. Pekerja hendaklah peka dan patuh kepada peraturan keselamatan dan peraturan kerja yang berkaitan di tempat kerja. Pekerja hendaklah juga menjauhi perbuatan yang tidak selamat dan mengamalkan Budaya Kerja Selamat dan Sihat di tempat kerja.
Maka, bersempena dengan sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara yang ditetapkan pada minggu ke 2 bulan Julai setiap tahun dan pada tahun ini ianya bermula pada 8 hingga 14 Julai dengan tema “Majikan & Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi KKP”. Kerajaan melalui Majlis Negara Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia, merasakan tema ini amat bersesuaian dalam meningkatkan amalan kerja selamat di semua sektor industri.
Penyataan tema tersebut menyentuh tentang tekad dan semangat yang perlu ada pada setiap majikan dan pekerja di Negara ini dalam menghadapi perubahan yang perlu demi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan berada di tahap baru yang lebih memuaskan. Kehidupan yang berkualiti hanya dapat dinikmati apabila kita bekerja di dalam suasana yang selamat dan sihat. Untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat, para majikan dan pekerja perlu berperanan untuk mencegah, menghapuskan serta mengurus risiko yang terdapat di tempat kerja dan persekitarannya dengan baik.
Muslimin yang di rahmati Allah,
Marilah, sama-sama kita berusaha menghayati kehidupan kerja selamat dengan mengamalkan Budaya Kerja Selamat dan Sihat. Dengan semangat budaya kerja seumpama ini diharap dapat menjamin kesejahteraan ummah dan akan menggalakkan daya saing Negara di dalam dunia globalisasi yang serba mencabar ini. Mudah-mudahan kita semua diteguhkan pendirian untuk sentiasa mengamalkan sikap yang baik dan dijauhi serta dihindari dari segala malapetaka.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،
وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
Ya Allah kurniakanlah sepenuhnya taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.
رَبَّنَا آتنِاَ فِيْ الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِيْ اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.