27 Mac 2012

China bimbang roket sekutu

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

OBAMA (kiri) menyambut ketibaan Hu sebelum memulakan mesyuarat dua hala di Seoul, Korea Selatan, semalam.
Obama rayu Beijing lebih tegas halang Pyongyang teruskan program nuklear

SEOUL: China meluahkan kebimbangan serius kepada sekutunya, Korea Utara, mengenai pelancaran roket yang dirancang, kata pegawai Amerika Syarikat semalam selepas rundingan antara Presiden Barack Obama dan Presiden Hu Jintao.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu sehari selepas Obama merayu supaya Beijing lebih tegas terhadap Pyongyang.

Beberapa negara mengkritik keras pelancaran yang dijadualkan pertengahan April ini tetapi Korea Utara menegaskan ia cuma mahu meletakkan satelit ke orbit.
Namun pembangkang berkata ia akan menguji teknologi peluru berpandu yang boleh membawa peledak.

China, satu-satunya sekutu kuat Korea Utara, rakan dagang terbesarnya serta pemberi sumbangan, dilihat sebagai antara segelintir negara yang boleh mempengaruhi rejim itu.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju bekerjasama dalam memberi tindak balas kepada provokasi ini dan meluahkan kebimbangan serius kami kepada Korea Utara dan jika perlu, mempertimbangkan langkah yang perlu diambil berikutan pelancaran satelit itu,” kata Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Ben Rhodes.

Menyedari pengaruh China, Obama berkata, Rhodes berasa penting untuk bekerjasama dengan China dan untuk China memberikan mesej tegas kepada Korea Utara.
“China menegaskan kepada kami pihaknya memandang serius perkara ini dan menyatakan kebimbangan mereka kepada Korea Utara,” katanya kepada wartawan.

Beijing akan bekerjasama aktif dengan Washington dan enam pihak lain untuk menunjukkan dengan jelas kepada Korea Utara mengenai kebimbangan masyarakat antarabangsa jika mereka meneruskan tindakan provokasi itu.

Forum enam pihak yang kini tergantung, dianggotai Korea Selatan dan Korea Utara, Russia, China, Amerika dan Jepun, cuba sejak tahun 2003 untuk berunding bagi menamatkan program senjata nuklear Pyongyang.

Obama dan Hu bertemu sebelum bermulanya persidangan keganasan nuklear di Korea Selatan yang dibayangi pelancaran itu dan cubaan Iran membina senjata nuklear.

“China tidak boleh lagi membiarkan provokasi sengaja itu, ia juga sekadar kata-kata provokatif tetapi tindakan provokatif luar biasa yang mencabul norma antarabangsa,” katanya. – AFP

Lelaki guna wang palsu bayar tol

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Orang ramai khususnya peniaga diminta berhati-hati dengan penipuan melibatkan penggunaan wang kertas RM100 palsu yang dikesan diguna untuk membayar tol lebuh raya baru-baru ini.

Bahagian hadapan wang yang digunakan itu berjaya melepasi mesin pengimbas tetapi selepas imbasan dilakukan bahagian belakang wang itu disahkan palsu.

Difahamkan, wang itu dicetak menggunakan pencetak beresolusi tinggi sehingga sukar dibezakan dengan wang tulen.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, penipuan itu dilaporkan seorang petugas di Plaza Tol Yong Peng di sini selepas kejadian pada pukul 5 petang, 15 Mac lalu.

"Pada hari kejadian, petugas terbabit menerima wang RM100 daripada seorang lelaki yang memandu kereta Proton Waja untuk membayar tol.

"Apabila mangsa menggunakan mesin pengimbas, bahagian hadapan wang berkenaan tiada masalah tetapi imbasan pada bahagian belakang mendapati ia adalah palsu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

metro/-

Orang Asli nafi Kelantan rampas tanah

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Masyarakat Orang Asli Kelantan hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri pimpinan PAS telah merampas tanah mereka sedangkan ianya sama-sekali tidak berlaku.

Sekumpulan 10 orang mereka yang hadir ke Parlimen hari ini menafikan tuduhan tersebut malah menganggapnya sebagai fitnah didalangi pihak berkepentingan.

Malah kata wakil Orang Asli Kelantan Ajom Alang, Kerajaan Kelantan yang diterajui PASlah satu-satunya kerajaan negeri yang berusaha untuk memberi hak milik tanah kepada mereka.

"Bermacam-macam tomahan dan tuduhan fitnah bahawanya kerajaan negeri di bawah YAB Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) merampas tanah-tanah Orang Asli.

"Fitnah itu tak betul, sebenarnya kerajaan negeri pimpinan tuan guru pada hakikatnya telah meluluskan dan mewartakan tanah-tanah itu untuk memberi hak milik kepada sebahagian masyarakat Orang Asli di Gua Musang," katanya pada sidang media di lobi parlimen (gambar).

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Mohammad Husin (Pasir Putih) Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh).

Sebelum ini, banyak pihak termasuk Umno Kelantan menuduh kerajaan negeri yang diterajui PAS merampas tanah daripada Orang Asli Hulu Kelantan untuk tujuan pembangunan.

Ianya termasuk tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau.

Kerajaan negeri bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mendakwa tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan.

Menurut Ajom lagi, di Kelantan tidak ada tanah adat untuk Orang Asli mahupun tanah wilayah, cuma yang ada adalah tanah yang mahu digazet untuk Orang Asli pada zaman BN yang tidak selesai-selesai.

Maka katanya, tidak timbul langsung soal kerajaan negeri merampas tanah mereka.

"Zaman BN dulu mana ada org asli dapat hak milik. Adakah sekarang ini di negeri-negeri BN Orang Asli dapat hak milik? Saya rasa belum ada," katanya.

Beliau turut menyelar pihak tertentu yang mempengaruhi Orang Asli untuk berdemonstrasi Januari lalu bagi membantah kerajaan negeri yang mahu membangunkan projek Ladang Rakyat di tanah-tanah Hulu Kelantan.

Malah kata mereka, Orang Asli sangat-sangat mengalukan Projek Ladang Rakyat dibuat kerana mereka akan mendapat banyak kebaikan dari projek itu.

Selain kebaikan dari sudut ekonomi mereka, projek itu juga akan mebawa kepada pembukaan jalan yang bekal memudahkan mereka.

"Saya rasa ini (demonstrasi) bukan tindakan Orang Asli sendiri tapi kemungkinan ada konco-konco lain dari belakang yang menghasut Orang Asli bertindak liar. Kita dari dulu lagi tak pernah demonstrasi bantah kerajaan negeri.

"Bahkan kita sebenarnya merayu kepada kerajaan negeri supaya selesaikan segera masalah tanah bagi membuktikan Kelantan negeri yang pertama berusaha memberi hak milik kepada Orang Asli di Malaysia," katanya.

Harakah Daily

Perintis bandar WiFi

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KEMUDAHAN...penduduk menggunakan peralatan mudah alih melayari Internet menerusi WiFi percuma.

PETALING JAYA: Penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini tidak perlu bimbang mengenai kos perkhidmatan Internet apabila kawasan tempat tinggal mereka dipilih sebagai perintis projek jalur lebar (WiFi) percuma di negeri itu.

Di bawah projek Perkhidmatan Awam Berintegrasi Selangor (Spins), penduduk Selangor khususnya di kawasan Petaling Jaya dijangka menikmati kemudahan itu di lebih 200 lokasi mulai Jun depan.

Pada pelancarannya baru-baru ini, Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, projek itu bukan saja di kawasan Petaling Jaya, malah turut membabitkan 4,000 lokasi termasuk kawasan terpencil seluruh Selangor yang kebanyakannya didiami golongan kurang berkemampuan mendapatkan perkhidmatan Internet.

Beliau berkata, ia dijangka siap secara keseluruhannya pada 2015 dengan menyaksikan Taman Datuk Harun sebagai lokasi perintis bagi projek terbabit yang siap pada 29 Februari lalu.

Tinjauan Metroplus ke Taman Datuk Harun, di sini mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang menggunakan kemudahan itu di merata tempat termasuk kedai makan.

Ia membuktikan projek terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah memudahkan mereka mendapatkan maklumat terkini pada bila-bila masa walau di mana mereka berada.

Bagi penduduk, Adnan Khan Ali Khan, 29, dia gembira dan pada masa sama berbangga apabila kawasan perumahannya dipilih menjadi lokasi pertama pelaksanaan perkhidmatan itu.

Katanya, jika sebelum ini dia perlu membayar untuk mendapatkan perkhidmatan itu, namun melalui pemberian WiFi percuma ternyata mampu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan, malah membolehkannya menjalankan urusan harian dengan lebih mudah.

“Oleh kerana saya seorang peniaga, Internet menjadi platform penting kepada saya khususnya dalam membuat pembayaran bil serta mempromosikan produk.

“Justeru, apabila MBPJ melancarkan perkhidmatan mengakses Internet secara percuma, bagi saya ia pendekatan terbaik yang dapat memajukan rakyat di samping meluaskan lagi pengetahuan khusus bagi golongan muda,” katanya ketika ditemui.

Penduduk lain, Muizzuddin Muhamad, 24, berkata, sejak pelancarannya pada 29 Februari lalu, kemudahan WiFi percuma itu terus memberikan perkhidmatan yang baik dengan kelajuan mengakses Internet sangat memuaskan walaupun bilangan pengguna di kawasan itu ramai.

“Saya sangkakan masalah akan timbul apabila ramai orang mengakses Internet pada satu-satu masa apatah lagi kawasan ini penduduknya memang ramai, tertanya kelajuannya tetap sama dan saya cukup berpuas hati.

“Diharapkan kemudahan WiFi ini akan diteruskan kerana ia banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat terutama pelajar apabila mereka boleh menggunakan kemudahan teknologi maklumat dengan percuma tanpa membebankan ibu bapa,” katanya.

Syarikat Beta Excelsior Sdn Bhd yang diberi tanggungjawab menguruskan projek berkenaan sudah membina tiang pelbagai guna (Monopoles) untuk menyediakan perkhidmatan ini. Tiang berkenaan boleh berhubung terus dengan pusat kawal selia yang bertempat di ibu pejabat MBPJ. Ini sekali gus boleh membantu Beta Excelsior dan MBPJ memantau sebarang masalah yang bakal berlaku. Alatan penggunaan digunakan adalah peralatan sistem berteknologi terkini yang diperbuat dari Australia. Oleh itu, penggunaan alatan ini mampu meningkatkan tahap teknologi setaraf dengan bandar raya membangun di negara lain.

metro/-

Speaker silap mesej, ADUN BN keluar dewan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ADUN BN hari ini bertindak keluar dewan gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Datuk Teng Chang Kim yang tersalah menghantar pesanan BlackBerry kepada bekas exco Selangor Datuk Hasan Ali.

Wakil rakyat BN, yang mendapat maklumat itu, tidak berpuas hati dengan pesanan Teng yang menggesa barisan exco mempromosikan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat dalam sesi penggulungan dan menganggapnya berat sebelah.

Isu itu disentuh oleh Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dan Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) yang menuntut penjelasan daripada speaker.

Mereka menuntut speaker memohan maaf kepada DUN kerana mendakwa tindakan itu sama sekali tidak adil.

Teng bagaimanapun enggan melakukannya sebaliknya meminta Mohd Isa memfailkan usul terhadapnya jika tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Sebagai tanda bantahan, tujuh daripada sepuluh ADUN BN bertindak keluar dewan.

BN: Speaker salah guna kuasa

Sementara itu, Bernama melaporkan, Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) sebagai berkata, Teng menyalahgunakan kuasanya apabila menghantar pesanan itu.

Kuang assemblyperson Abdul Shukor Idrus walkout selangor assembly 2"Speaker tidak boleh hantar SMS sebegini kepada ahli exco sebab hanya MB (menteri besar) sahaja boleh hantar SMS untuk meminta semua ahli Exco membahas tentang kejayaan pakatan PKR-DAP-PAS memerintah Selangor.

"Ini jelas menunjukkan speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota exco supaya menjawab baik mengenai pemerintahan pakatan pembangkang," beliau dipetik berkata kepada pemberita selepas keluar dari dewan itu.

Turut keluar Mohd Shamsudin, Mohd Isa, Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu), Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).

Mohd Shamsudin pula berkata Teng sepatutnya meminta maaf kepada semua anggota dewan kerana SMS yang dihantarnya itu bertentangan dengan amalan seorang speaker kerana ia cuba mempengaruhi pemikiran orang lain untuk membahas sesuatu isu.

SMS dalam bahasa Inggeris itu antara lain berbunyi: "Ini mungkin penggulungan terakhir bagi exco, peluang harus digunakan sepenuhnya bagi menjelaskan tentang kejayaan kita sejak empat tahun lepas."

Teng pula berkata beliau tidak mengambil sikap berat sebelah "dalam usaha mendekati dan menegur semua anggota dewan", lapor agensi berita nasional itu lagi.

Beliau berkata SMS yang dihantarnya itu hanya untuk memberi peringatan kepada semua anggota exco untuk menggunakan peluang sebaik-baiknya membahaskan tentang sesuatu isu.

malaysiakini/-

Sistem kereta kabel bawa jemaah kunjungi gua Hira’

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MAKKAH: Institut Penyelidikan Haji dan Umrah di Universiti Umm al-Qura menyiapkan kajian untuk memperkenal sistem kereta kabel bagi membawa jemaah ke gua bersejarah Hira’ dan al-Thawr di Makkah.

Dekan institut, Abdul Aziz Saroji berkata, rancangan itu bertujuan memberi kemudahan kepada jemaah haji dan umrah, selain pengunjung ke bandar raya suci itu yang ingin melawat gua yang terletak di atas Jabal Nur dan al-Thawr.

Terdapat laluan 12 kereta kabel yang akan menghubungkan kawasan lembah ke gua di atas bukit itu. Abdul Aziz berkata, institut itu menjalankan penyelidikan ekoran permintaan jabatan bertanggungjawab yang mendapati lawatan sedia ada ke tempat itu masa kini sangat berisiko dari segi keselamatan.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan universiti berkenaan, Adnan Qutb berkata, projek dirancang itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. Menara dan tiang akan dibina mengikut paras ketinggian atas bukit itu, lapor akhbar al-Madinah, semalam. - AN

'Kita dah lakukan terbaik, terserah rakyat dan tuhan'

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, terpulang kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih siapa yang dirasakan layak menerajui kerajaan negeri itu selepas PRU-13 nanti.

Menurutnya, apa yang penting kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu telah berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Pulau Pinang dan mereka boleh menilainya.

"Saya rasa terpulang kepada rakyat, kita akan bersiap sedia tapi akhirnya rakyat dan tuhan yang menentukan segala-galanya," katanya ketika ditanya Harakahdaily peluang Pakatan Rakyat negeri itu pada PRU-13 nanti.

Setiausaha Agung DAP itu juga memberitahu, sejak empat tahun memerintah Pulau Pinang, Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan ekonomi penduduk, malah sebahagian hasil ekonomi negeri dapat dinikmati rakyat.

Sehingga kini katanya lebih RM70 juta bantuan dalam bentuk kewangan diberikan secara terus kepada rakyat.

Bantuan itu termasuk RM100 setahun kepada warga emas melalui program penghargaan warga emas, RM200 kepada anak baru lahir melalui program Anak Emas, RM1,000 kepada anak negeri yang memasuki IPTA, dan RM100 setiap tahun untuk pelajar sekolah melalui program Pelajar Emas.

Selain itu katanya, lebih RM500 juta pula digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya penambahbaikan infrastruktur di negeri itu.

Paling berjaya katanya, Pakatan Rakyat negeri itu telah berjaya membasmi miskin tegar dalam masa setahun dan memberi bantuan tambahan wang kepada setiap keluarga bagi mencapai jumlah pendapatan RM600 sebulan.

"Inilah perubahan besar yang kita bawa. Berbanding BN dahulu yang bersifat kroni, kepada kita yang berjiwa rakyat.

"Kita akan hadapi PRU 13 ini dengan sabar dengan harapan rakyat boleh yakin dengan usaha ikhlas kita untuk mewujudkan kerajaan yang bersih dan berjiwa rakyat," katanya.

Harakah Daily

PAS sokong demo hapus hutang PTPTN sebelum p'raya

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Katanya, PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapuskira oleh kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan sanggup menghapuskira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Mohamad berkata, kerajaan perlu menghapuskira hutang berkenaan sebagai tanda "kasih sayang" kepada para pelajar dan juga sebagai satu bentuk pelaburan kepada golongan muda ini.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan tindakan kerajaan melupuskan pinjaman sebanyak kira-kira RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.

"PAS akan menyokong (perhimpunan) kerana bila Tajudin Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini, hampir RM600 juta (hutang) dilupuskan. Kenapa pelajar yang berhutang RM3,000, RM4,000, RM6,000 tak boleh dihapuskira?

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira. Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," kata Mohamad lagi dalam satu sidang media hari ini.

Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan akan dirancang oleh kumpulan pelajar dan PAS akan menyokong usaha itu.

Ketika dihubungi selepas itu, Mohamad berkata perhimpunan tersebut antara lainnya akan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia.

"Tarikhnya mereka belum tahu lagi bila," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata PAS juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Terengganu yang menarik balik biasiswa ke atas sembilan orang pelajar tajaan negeri itu.

Pelajar di universiti Mesir itu dikenakan tindakan berkenaan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada Julai tahun lalu.

Katanya, PAS mengutuk tindakan kerajaan Terengganu merupakan tindakan keterlaluan, zalim dan menganiaya anak Melayu.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS akan menghantar satu memorandum "dalam masa terdekat" untuk menyampaikan tuntutan berkenaan.

"Kalau tidak ada apa-apa perubahan daripada tindakan menarik biasiswa maka kita akan bincang peguam untuk ambil tindakan," katanya lagi.

malaysiakini/-

RM15.7 juta biayai Skim Mikrokredit Selangor

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 27 Mac: Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM4.474 juta kepada 2,162 peserta program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) sejak ia dilancarkan pada 3 Mac 2011 hingga Disember 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail turut memberitahu Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) pula sehingga 31 Disember, seramai 4,559 sadiq telah dibawa masuk dan pembiayaian yang dikeluarkan adalah RM15,703,644 juta dengan penerimaan pembiayaian seramai 5,979 orang.

"Untuk bantuan banjir di Hulu Langat, kerajaan negeri telah memberi bantuan tunai kepada mangsa sebanyak seribu ringgit setiap seorang yang melibatkan seramai 1,763 mangsa bagi kawasan Lembah Jaya dan Dun Dusun Tua yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1,763,000.

"Selain itu juga sebanyak RM120 ribu diperuntukkan bagi tujuan membaiki rumah yang melibatkan 11 buah rumah musnah teruk, untuk kerja-kerja pembersihan sebanyak RM180 ribu telah diberikan dan kerja-kerja pembersihan ini dilakukan oleh badan bukan kerajaan dan juga Yayasan Amal," jelasnya sewaktu sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor.

Menurutnya lagi, bagi bantuan peralatan sekolah, sebanyak RM200 setiap seorang diberikan kepada pelajar sekolah menengah iaitu seramai 246 orang murid bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Jaya dan juga Sekolah Menengah Taman Kosas, manakala RM100 seorang untuk pelajar sekolah rendah melibatkan 160 orang bagi Dun Dusun Tua.

Rodziah memberitahu, bagi kos pembinaan jambatan untuk menghubungkan dua buah kampung di Lembah Jaya belum dikenalpasti lagi dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran diberi tanggungjawab untuk kerja-kerja tersebut.

Harakah Daily

Kerajaan perlu bertindak terhadap AG, bekas KPN

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara untuk membersihkan nama polis, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apabila polis didakwa terlibat dalam memberikan perlindungan kepada penjenayah, ia ancaman baru kepada negara.

"Ini ancaman baru kepada negara, kepada kita. Soal keselamatan yang polis tidak boleh hendak mengawal keadaan kerana apa, kerana ada pegawai tinggi polis yang melindungi kumpulan kongsi gelap," kata Mahfuz.

Perbahasan hangat berlaku antara Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa perkara itu tidak ada kes ketika dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebelum ini.

"Pada masa dan ketika itu tidak ada kes untuk SPRM melaksanakan dan meneruskannya," dakwa menteri itu.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff sebelum ini mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melindungi penjenayah dan mendakwa mereka menggunakan SPRM menganiayai pegawai-pegawai polis yang terlibat dengan penyiasatan ke atas penjenayah berkenaan.

Apabila Hishammuddin mendakwa SPRM mendapati tidak ada kes, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyanggah dakwaan itu dengan menekankan siasatan tersebut ialah siasatan lama.

"Itu siasatan yang lama. Selepas daripada siasatan tersebut, bangkit keterangan baru, bangkit saksi-saksi yang menyatakan mereka sudi hendak tampil ke hadapan tapi langsung tidak ada sebarang tindakan.

"Jawapan yang diberikan hari ini langsung tidak menyentuh terhadap perkara-perkara tersebut," kata Gobind.

Mahfuz pula menekankan Ramli tidak membuat dakwaan tanpa bukti.

"Bekas pegawai kanan polis dia datang bukan dengan cakap kosong. Dia datang dengan dokumen.

"Dia datang dengan penuh keberanian. Dia tahu risiko dia," katanya.

Ketika itu, Gobind terus menyambut penegasan Mahfuz itu dan berkata kerajaan tidak menyiasat perkara itu "kerana tahu aduan (Ramli) itu betul".

Ramli sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan untuk menyiasat kes yang dinamakan "Copgate" itu.

Hari ini, Ramli menyifatkan jawapan Hishammuddin bahawa kes itu disiasat oleh SPRM sebagai mengingkari logik.

Beliau menekankan dakwaan bahawa badan pencegahan rasuah itulah yang digunakan oleh Abdul Gani dan Musa untuk memangsakan beliau dan para pegawai bawahannya.

Malah, kata Ramli, SPRM jugalah yang membebaskan Abdul Gani dan Musa atas beberapa tuduhan.

Harakah Daily

Hutang kroni dilupus, hutang mahasiswa dikejar

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 27 Mac: Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim mempertikaikan bagaimana kerajaan boleh lupuskan hutang kroni sehingga setengah bilion ringgit sedangkan hutang pelajar universiti yang hanya puluhan ribu tidak henti-henti dituntut dan dikejar.

“Bayangkan di negara ini ilmu pun macam diniagakan, masuk belajar kena berhutang. Sanggupkah kita tengok nak belajar kena berhutang dan habis belajar bukannya terus dapat kerja. Pengangguran sekarang ini dua kali ganda jumlah mahasiswa.

“Tapi tuan-tuan tengok Tajudin Ramli hutang RM584 juta boleh dilepas dan selesai begitu saja sedangkan mahasiswa berhutang antara RM15 ke RM50 ribu dikejar sehingga ke lubang kubur. Jadi apa gunanya masuk universiti?

“Mahasiswa yang belum tahu untung nasibnya disenaraihitam dan tak boleh keluar negara. Tapi kalau tengok pemimpin negara sampai berbuih mulut kata rakyat diutamakan,” sindirnya.

Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) yang digantung itu berkata demikian ketika berceramah di Taman Saga di sini semalam.

Beliau pernah mencetuskan kontoversi kerana menurunkan gambar Perdana Menteri di PWTC itu berkata, negara sudah lebih 50 tahun merdeka tetapi rakyatnya masih terkongkong walaupun mereka yang dianggap berilmu iaitu pelajar universiti.

“Saya digantung oleh pihak universiti kerana membantah Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang sudah 40 tahun menutup mulut mahasiswa.

“Kami bantah Auku kerana tak logik membisukan pelajar universiti. Bayangkan kalau yang belajar dalam jurusan Sains Politik takkan tak boleh kritik parti politik, nakkan cakap tentang ayam itik.

“Saya sendiri sebagai mahasiswa. Kita kritik sebab kita sayangkan negara ini. Takkan nak biarkan pemimpin makan rasuah,” hujahnya lagi.

Adam menambah, dengan membisukan mahasiswa itulah menyebabkan pemimpin tidak takut makan rasuah banyak-banyak kerana mahasiswa tidak boleh bersuara sedangkan mahasiswa orang yang berilmu justeru tidak mungkin membiarkan kemungkaran dan penganiayaan.

Katanya, apabila sudah tidak ada lagi saluran untuk suarakan kepincangan di mana lagi jika tidak di jalan raya sebagaimana di negara-negara maju mahasiswanya berdemonstrasi di jalan raya.

“Jadi pada hari itu (15 Disember 2012) saya bersama 500 mahasiswa berarak ke PWTC kerana bangunan itu bangunan Umno iaitu parti yang memerintah negara ini.

“Saya turunkan berdera gambar (Datuk Seri) Najib Tun Razak sebagai simbolik membantah penipuan slogan transformasi untuk memansuhkan Auku dan hilang kepercayaan anak muda kepada kepimpinannya selaku ketua kerajaan,” hujahnya lagi.

Adam menyeru golongan anak-anak muda supaya segera menggerakkan perubahan kerana sudah 54 tahun selepas merdeka tetapi pemimpin negara dan parti memerintah masih bergelumang dengan rasuah serta politik perkauman yang membawa budaya samseng.

“Jadi kepada anak-anak muda saya seru, inilah masa yang paling sesuai untuk tumbangkan kerajaan yang ada hari ini demi kebaikan generasi akan datang,” laungnya dengan penuh bersemangat.

Harakah Daily

Najib: Telunjuk lurus kelingking berkait

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 27 Mac: Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor menipu rakyat kerana gagal menunaikan janji pilihan raya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat.

"Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur," kata Faekah Husin (gambar) , Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Bagi beliau, Perdana Menteri usah buat-buat lupa pada pilihan raya umum 2008, UMNO-Barisan Nasional juga banyak menabur janji kepada rakyat yang sehingga kini belum dilaksana malah belum ada tanda-tanda janji-janji ini akan dilaksanakan.
Program transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran, tambahnya.

"Perbuatan Najib ini seumpama telunjuk lurus kelingking berkait-hipokrit dan penuh kepura-puraan," dakwa Faekah dalam kenyataannya.

Rakyat di Negara ini, katanya, terutama negeri maju seperti Selangor memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta.

Rakyat faham semuanya bergantung kepada hasil negeri dan kutipan cukai.

Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat untuk kesenangan diri dan kroni.

Manakala sebuah kerajaan yang menipu rakyat ialah apabila pemimpin-pemimpinnya tidak jujur.

Menyeru rakyat berjimat namun mereka sendiri bermewah dan berparti ratusan ringgit tanpa rasa belas terhadap rakyat yang terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan hidup.

Bagi Faekah, sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta.

Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam scorpene.

Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga.

Menipu rakyat juga ialah apabila pemimpin berpura-pura menjaga harta Bumiputera tetapi secara senyap, sanggup menjual tanah kuota Bumiputera kepada bukan Bumiputera, tegas beliau.

Katanya, rakyat Selangor ingin mengingatkan Najib, pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat.

Justeru, katanya, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin UMNO-BN sebab pada sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka.

Harakah Daily

Bayi 3 bulan meninggal dalam jagaan pengasuh

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SETIA ALAM: Sepasang ibu bapa bingung apabila bayi lelaki mereka yang sihat, meninggal dunia secara tiba-tiba ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sebuah TASKA di sini, minggu lalu.

Tai Loon Eng, 29, dan suaminya, Tan Khai Yin, 34, berkata mereka sepakat untuk menghantar bayi sulung 3 bulan itu ke TASKA berkenaan selepas diyakinkan oleh pemiliknya bahawa ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan, termasuk kamera litar tertutup (CCTV).
Loon Eng berkata, bayinya bernama Tan Yanxue dilahirkan secara normal dalam keadaan sihat pada 11 Disember tahun lalu sebelum dihantar ke TASKA itu sejak 20 Februari lalu.
“Sejak anak saya dihantar ke sana, saya dapati kesihatannya mula terganggu. Minggu pertama dia dihantar ke sana, dia mengalami demam panas dan jangkitan pada tekak, begitu juga dengan minggu kedua.

“Minggu lalu, saya dan suami membawanya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan untuk suntikan vaksin. Waktu itu dia dalam keadaan sihat saja dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, pada 22 Mac lalu beliau menerima panggilan telefon daripada pemilik TASKA itu pada jam 2.15 petang yang memintanya segera datang ke premis itu.

“Saya menghubungi jiran terdekat, M Shanty dan memintanya agar pergi ke TASKA itu dulu.
“Saya diberitahu Shanty bahawa anak saya berada di atas katil tetapi tidak bergerak. Dia juga kelihatan seperti mengalami masalah pernafasan kerana kulitnya sudah bertukar menjadi biru.

“Waktu saya sampai di TASKA itu, CCTV tidak dipasang seperti sepatutnya dan pemilik TASKA juga tiada di situ. Yang ada hanya dua pembantu warga India dan Kemboja yang berdiam diri apabila disoal mengenai anak saya,” katanya.

Loon Eng berkata, Hospital Tengku Ampuan Rahimah mengesahkan anaknya sudah meninggal dunia sebelum tiba di situ.

“Saya mengadakan sidang media ini bukan untuk mengaibkan pemilik TASKA atau memberi sebarang masalah kepada beliau, tetapi cuma mahu meminta kerjasama kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

berita harian/-

Remaja dakwa dibelasah penjual tiket

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENAGA - “Punah harapan saya untuk membantu menyara ibu dan adik selepas insiden itu kerana bukan sahaja kehilangan kerja malah turut mengalami kecederaan parah,” kata Muhamad Fahami Abdul Hamid, 20, yang mendakwa dibelasah gara-gara salah faham seminggu lalu.

Muhamad Fahami, berkata, kejadian itu berlaku pada malam 18 Mac lalu ketika dia bersama rakan baiknya, Muhamad Zulhelmi Fuad, 23, berada di Perhentian Sementara Penang Sentral di sini untuk menaiki bas menghadiri temu duga di Kuala Lumpur.

“Sebaik sampai di terminal itu dari rumah di Taman Desa Kuala Muda, kami bergegas ke kaunter yang menjual tiket untuk menaiki bas yang dijangka bergerak pada jam 12 tengah malam.

“Bagaimanapun kami tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tiket yang dibeli sejak seminggu lalu itu didapati tercatat kesilapan masa iaitu jam 12 tengah hari dan bukannya sepertimana yang diminta,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya meminta penjual tiket itu meminda masa sebenar perjalanan sambil memaklumkan perlu menghadiri temu duga keesokan hari.

Namun dakwanya, tiba-tiba kerani wanita di kaunter itu meninggikan suara, melenting dan memarahi mereka berdua sambil menuduh cuba menipu menyebabkan beberapa lelaki yang dikenali sebagai penjual tiket di terminal itu meluru ke arahnya.

“Saya dan rakan cuba memaklumkan kepada mereka berkaitan kesilapan masa pada tiket berkenaan untuk membolehkan kami menaiki bas kerana perlu berada di Kuala Lumpur keesokan harinya,” katanya.

Muhamad Fahami berkata, penjelasan mereka tidak diterima sebaliknya dia terus dipukul seorang lelaki dengan sebatang cota membuatkan dia dan Mohd Zulhemi terpaksa lari bagi menyelamatkan diri selepas mendapati lebih ramai lelaki datang dipercayai mahu memukulnya.

“Saya terpaksa lari ke arah deretan kedai makan bagi menyelamatkan diri manakala Mohd Zulhelmike arah jeti.

"Saya juga terdengar jeritan lelaki yang mengejar menyuruh orang ramai yang berada di kawasan itu menangkap saya dengan alasan saya meragut beg penumpang di terminal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan terkepung dia dibelasah orang ramai termasuk ditumbuk, ditendang dan dipukul menggunakan kayu walaupun merayu dilepaskan sambil menceritakan apa sebenar yang berlaku.

Muhamad Fahami bernasib baik apabila seorang lelaki berjaya menghalang dia dipukul lebih teruk sebelum membawanya ke Balai Polis Butterworth membuat laporan.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan perubatan kemudiannya dia disahkan mengalami patah tulang di bawah kelopak mata kiri dan mengalami pendarahan dalam mata.

Anak kepada ibu tunggal, Faridah Ismail, 55, itu berkata, dia malu kerana dituduh sebagai peragut sedangkan ia hanya melibatkan salah faham sahaja.

“Saya bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual tiket di kaunter bas berkenaan, beberapa lelaki penjual tiket yang bertindak memukul saya tanpa usul periksa hingga mencemar nama baik saya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, sisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sebaik laporan diterima pihaknya berjaya menangkap empat lelaki yang dipercayai terlibat memukul Muhamad Fahami dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua mereka kini berada dalam tahanan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan cedera parah.

Sinar Harian

Hanya kerana dokumen hilang

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BLANJA - Walaupun pernah berkhidmat untuk negara satu ketika dahulu, Abdullah Jalaludin, 95, kini masih belum menerima sebarang bantuan gara-gara dokumen pengesahan jawatannya hilang .

Bekas pesara polis yang kini mengalami sakit tua ini mengharapkan pihak-pihak berkenaan mempertimbangkan permohonan mendapatkan bantuan bulanan demi kelangsungan hidupnya.

Anaknya, Rohani Abdullah, 62, berkata, bapanya tidak mendapat sebarang bantuan selepas bersara daripada berkhidmat sebagai anggota polis pada 1953 lalu.

“Bapa saya adalah bekas anggota polis semasa zaman perang dahulu dan banyak membantu dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara.

“Dia mula bertugas sebagai polis pada tahun 1949 dan tamat pada 1953,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Korok, di sini.

Rohani berkata, bapanya tidak mendapat sebarang bantuan kerana segala dokumen beliau telah hilang.

“Memang kami ada mohon bantuan tetapi tidak diterima alasannya segala dokumen yang mengatakan bapa bertugas sebagai anggota polis telah hilang.

“Disebabkan sudah terlalu lama, segala dokumen berkenaan hilang begitu sahaja tetapi bapa masih mengingati nombor sewaktu dia menjadi polis dahulu,” katanya.

Sementara itu, katanya, kini bapanya hanya mampu duduk dan terbaring sahaja kerana faktor usia.

“Walaupun sudah uzur dan kurang pendengaran, ingatan bapa masih baik.

“Saya amat berharap agar bapa diberi bantuan bulanan kerana jasa-jasa beliau dahulu semasa zaman perang. Sekurang-kurangnya dengan adanya bantuan ini, ia boleh digunakan untuk keperluan dirinya,” katanya.

Katanya, dia memang menyara kehidupan bapanya tetapi jika ada bantuan berkenaan, kelengkapan bapanya boleh diuruskan dengan lebih baik.

Sinar Harian

Kurang sopan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SELINSING – Layanan kurang sopan daripada petugas di stesen kereta api Taiping kepada Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Sanusi Zaini, 30, membangkitkan rasa tidak puas hati kakaknya, Zakiah Zaini, 50.

Zakiah yang ditemui di kediamannya di Sungai Pinang, di sini berkata, kejadian berkenaan berlaku hanya kerana Mohd Sanusi tidak dapat berjalan sepantas individu normal disebabkan kelumpuhan badan sebelah kanan.

Menurutnya, petugas berkenaan memarahi Mohd Sanusi dan menyuruhnya berjalan lebih laju kerana kereta api akan bertolak pada sekitar jam 10.10 malam.

“Kami tiba di stesen itu pada jam 9.45 malam dan mengikut jadual perjalanan kereta api berkenaan, Mohd Sanusi masih mempunyai masa sekitar 25 minit untuk menaikinya.

“Kelumpuhan Mohd Sanusi menghalangnya untuk berjalan pantas dan keadaan itu sepatutnya disedari oleh petugas berkenaan serta perlu memahami keadaannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakiah turut memaklumkan ada meminta kerusi roda khas yang disediakan pihak stesen kereta api berkenaan namun sekali lagi dimarahi oleh petugas itu, dengan alasan dia tidak mempunyai kunci pintu tempat simpanan kerusi roda.

Katanya, kerana keadaan itu, dia terpaksa memimpin Mohd Sanusi untuk bergerak pantas bagi meredakan keadaan, juga kerana petugas terbabit mendakwa kereta api akan bertolak.

“Sebagai kakak kepada seorang OKU, saya amat kesal dan kecewa dengan sikap petugas terbabit, tambahan Mohd Sanusi terpaksa bersendirian di atas kereta api berkenaan untuk pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur.

“Sepatutnya petugas terbabit mengamalkan sikap toleransi kepada OKU dan saya harap perkara berkenaan tidak berulang,” katanya.

Sinar Harian

Ditetak suspek

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) - Cubaan menyelamatkan bapanya yang dipegang tiga perompak menyebabkan seorang pengurus sebuah stesen minyak berusia 46 tahun, di sini mengalami kecederaan akibat ditetak dengan sebilah parang, pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku antara jam 6 hingga 6.20 pagi di perkarangan rumah mangsa di Taman Haewood, di sini.

Menurutnya, bapa mangsa yang berusia lingkungan 70 an dipercayai keluar rumah untuk mengambil surat khabar semasa tiga suspek terbabit memanjat masuk ke dalam kawasan rumah.

“Suspek dipercayai memanjat pagar rumah berkenaan lalu menyerbu bapa mangsa.

“Isteri mangsa yang berada di ruang tamu, menjerit sebaik sahaja melihat kejadian berkenaan dan mangsa telah meluru keluar untuk membantu bapanya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, menyedari kehadiran mangsa, salah seorang daripada suspek terbabit mengangkat parang lalu menetak mangsa menyebabkan dia cedera pada bahu kiri dan tangan kanan.

Azman memaklumkan, selepas kejadian berkenaan ketiga-tiga suspek telah melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barangan atau wang tunai.

“Suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru dan tidak memakai topeng atau penutup muka.

“Polis belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes ini dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti semua suspek,” katanya.

Menurut Azman, mangsa cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Siput untuk mendapat rawa­tan­.

Sinar Harian

Inter Milan pecat Claudio Ranieri

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

INTER Milan memecat jurulatihnya, Claudio Ranieri berikutan prestasi yang kurang memuaskan kerana hanya menang satu daripada 10 perlawanan liga.

Bekas jurulatih Chelsea ini mengambil alih tanggungjawab memimpin Inter Milan September lalu, menggantikan Gian Piero Gasperini, yang dipecat hanya selepas lima perlawanan.

Meskipun prestasi buruk, presiden kelab itu, Massimo Moratti awal semalam memberitahu bahawa "saya fikir Claudio Ranieri akan kekal sehingga akhir musim ini."

Jurulatih pasukan belia, Andrea Stramaccioni akan menggantikan tempatnya.

Inter Milan kini berada di tangga kelapan Serie A, dilihat kedua paling buruk selepas prestasi 1947-48. Pasukan itu juga terkeluar daripada persaingan Liga Juara-juara di pusingan kedua.

Sinar Harian

Kekang kegiatan curi kabel

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MENTAKAB - Kes curi kabel Telekom ­semakin menular ekoran sikap pihak tidak bertanggungjawab mahu meraih pen­dapatan lumayan hasil jualan kabel tersebut.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Saga, Shahruddin Abdullah Sani berkata, dalam hal ini, Telekom minta kerjasama KRT supaya melaksanakan program Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Menurutnya, melalui SRS itu diharap mampu membantu mengekang kes curi kabel itu yang mana ia menyukarkan ­penduduk membuat panggilan atau ­melayari Internet.

“Saya difahamkan setiap kali berlaku kes curi kabel, Telekom terpaksa menanggung kos yang tinggi. Ketiadaan talian ­menyukarkan penduduk membuat ­panggilan jika berlaku kecemasan.

“Justeru, Telekom mengharapkan ­kerjasama penduduk supaya menyertai SRS sekali gus membendung gejala curi ­kabel tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena m­ajlis keselamatan dan kejiranan Telekom Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, dekat Taman Saga, di sini.

Shahruddin berkata, selain itu, SRS juga berperanan dalam membantu mencegah jenayah serta masalah sosial di dalam KRT masing-masing.

Menurutnya, SRS penting kerana ia melindungi nyawa, harta benda dan ­keselamatan penduduk.

“Dalam mengendalikan SRS, kita­ ­sebagai masyarakat hendaklah saling ­membantu dan bergilir berjaga malam demi ­memastikan keselamatan kawasan kita ­terus terjamin,” katanya.

Sinar Harian

Meninggal di bahu ibu

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH – Seorang lelaki yang mengalami sesak nafas meninggal dunia di bahu ibunya, beberapa minit selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di pekan Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hasrul Md Yasin, 32, mengadu sesak nafas pada sebelah pagi sebelum pergi ke klinik bersama ibunya.

Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia di sofa klinik berkenaan sebaik saja selepas menerima rawatan.

Ibu arwah, Aminah Kecut, 63, berkata, mangsa yang dipanggilnya sebagai ‘Adik’ merupakan anak bong­su dari tujuh beradik dan masih bujang.

Menurutnya, pada malam sebelumnya, anaknya itu mengalami demam serta muntah-muntah.

“Setiba di klinik pagi itu, Adik semakin lemah dan duduk di sofa tempat menunggu sebelum masuk bilik pemeriksaan dengan berpimpin. Masa itu, Adik beritahu matanya kabur, malah ketika dirawat, Adik cuma tunduk mendiamkan diri.

“Doktor meminta saya membawa Adik ke hospital terus selepas melihat Adik tidak memberi sebarang tindak balas, tambahan kuku dan tangan Adik mula kebiruan. Bagaimanapun, Adik minta berehat sebentar di sofa klinik,” katanya.

Menurutnya, semasa menunggu di sofa klinik, Adik terlentok di bahunya, sambil air liur dan air mata meleleh membasahi bajunya.

“Saya mengesyaki sesuatu sehingga doktor datang memeriksa dan mendapati Adik sudah tiada lagi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superin­tendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin menge­sahkan kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Akibat curi barang majikan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang bekas pekerja restoran dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini semalam kerana mencuri barang kemas milik majikannya yang disimpan di dalam bilik solat restoran.

Tertuduh, Nasir Ibrahim, 18, dari Sempor­na, Sabah dijatuhi hukuman itu selepas dia membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, Nasir didapati mencuri lapan utas rantai tangan emas, dua utas rantai leher emas, lima bentuk cincin emas, sebuah loket emas, seutas rantai kaki emas dan wang tunai berjumlah RM43,000 milik Zubidah Mohamed Alias, 39.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Restoran Asam Pedas Kampung, Plaza Mahkota pada 16 Mac 2012 antara jam 4 petang dan 5.15 petang.

Mengikut fakta kes, kehilangan barang berharga milik pemilik restoran disedari apabila adik kepada mangsa nampak tertuduh keluar dari bilik solat restoran itu dan terus melarikan diri.

Pemeriksaan di bilik solat mendapati barangan kemas yang diletakkan di bawah katil hilang sebelum bertindak membuat laporan polis.

Tertuduh yang menyembunyikan diri bagaimanapun berjaya dikesan, sebelum ditangkap pada 17 Mac lalu.

Sinar Harian

Rakan tercampak keluar dari bas sekolah

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JITRA - “Saya tergamam melihat seorang rakan kami tercampak keluar dari bas sekolah yang kami naiki selepas terlibat dalam kemalangan ini,” kata seorang mangsa, Muhammad Aisar Hamzah 11.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, seramai 11 murid dan seorang guru dari Sekolah Rendah Al-Azhar, Gelong di sini cedera selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 16.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala Alor Setar, petang semalam.

Seorang mangsa, yang juga murid tahun satu, Afif Shahmi Abdul Salam tercampak keluar dari bas menyebabkannya cedera di kepala dan mulut.

Murid tahun tiga, Zihni Ilman Zairi, 9, yang patah kaki kiri dipindahkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, untuk menjalani pembedahan, manakala semua mangsa lain dirawat di Hospital Jitra.

Difahamkan, guru yang cedera, Mohd Borhan Shariat, 40, juga merupakan pemandu bas sekolah turut patah kaki.

Muhammad Aisar ketika ditemui di tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia yang duduk di tempat duduk paling belakang nampak sebuah bas persiaran dipandu laju menuju ke arah bas sekolah mereka.

“Ketika itu, saya hampir terlelap, namun belum sempat memejamkan mata, saya ternampak sebuah bas persiaran yang dipandu laju menuju ke arah bas kami. Bas itu sempat mengelak tetapi berlanggar dengan bas kami lalu menyebabkan seorang rakan kami tercampak keluar.

“Waktu itu semua rakan menjerit dan kebanyakannya cedera akibat tersembam di pemegang kerusi dan lantai bas.

“Kami segera berlari keluar dari bas melalui pintu kecemasan, manakala pemandu yang juga guru kami tersepit di tempat duduk pemandu sebelum diselamatkan bomba,” katanya yang masih fobia dengan kejadian itu.

Difahamkan, bas sekolah itu dalam perjalanan menghantar pulang 40 murid sekolah berkenaan ke rumah masing-masing yang rata-rata tinggal di kawasan Changlun dan Jitra.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.04 petang melibatkan kemalangan antara sebuah bas sekolah yang membawa 40 murid dengan sebuah bas persiaran.

“Seramai 12 mangsa tercedera termasuk pemandu yang tersepit di tempat duduk pemandu. Semua mereka dikejarkan ke Hospital Jitra.

“Manakala tiada kecederaan dilaporkan membabitkan penumpang bas persiaran,” katanya.

Difahamkan bas persiaran itu membawa 44 penumpang dari Shah Alam yang baru pulang bercuti di Langkawi.

Sinar Harian

Tiga kes denggi dikesan di Gombak Setia

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GOMBAK SETIA - Tiga kes demam denggi membabitkan satu keluarga di Jalan Madrasah 3, di sini dikesan berlaku dalam kawasan Gombak Setia, minggu lalu.

Ketua Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gombak Setia, Bahtiar Ahmad berkata, dalam kes pertama dilaporkan di kawasan itu, seorang kanak-kanak dan dua dewasa dijangkiti demam denggi.

Keadaan itu menurutnya, menimbulkan kebimbangan penduduk apatah lagi ia dianggap kes terbesar berlaku di Gombak Setia.

“Sekiranya Pejabat Kesihatan mengatakan satu kes pun sudah bahaya, tiga kes yang berlaku dalam kawasan ini benar-benar membimbangkan.

“Harap kes ini dijadikan iktibar kepada penduduk supaya sentiasa menitikberatkan soal kebersihan terutama di tempat kediaman masing-masing,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong bersama penduduk, di sini.

Bahtiar berkata, bimbang dengan tercetusnya kes denggi di kawasan itu, KRT Gombak Setia mengambil inisiatif awal mengadakan gotong-royong.

“Harap aktiviti seperti ini menjadi langkah awal setiap keluarga membanteras wabak ini daripada terus menular,” katanya.

Program dengan kerjasama jawatankuasa Surau Al-Hilaliah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta beberapa agensi kerajaan lain itu bertujuan membanteras wabak denggi seperti di kawasan longkang tersumbat dan lokasi berisiko air bertakung.

Sinar Harian

Operasi ‘tadika’ percuma diragui

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG - Kewujudan sebuah 'tadika' yang memberi khidmat secara percuma kepada kanak-kanak di pangsapuri kos rendah, di sini menimbulkan keraguan kepada penduduk setempat.

Tadika yang terletak di tingkat 1 bangunan rumah kedai, berhadapan pangsapuri itu dikatakan dibuka sejak dua tahun lalu dan turut memberi perkhidmatan tuisyen secara percuma kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bagaimanapun, tindakan pihak berkenaan yang enggan memberi peluang ibu bapa melihat apa yang diajar menyebabkan timbul keraguan pembelajaran sebenar yang diberi.

Wakil penduduk, Khairul Azmil Bashir, 28, berkata, mereka sebenarnya tidak mengetahui siapa yang menaja dan memberi dana kepada pengurusan pusat itu untuk menjalankan aktiviti.

“Penduduk tidak tahu sama ada pihak itu mempunyai kebenaran menjalankan aktiviti seperti itu atau tidak, kalau benar mereka mendaftar tidak mengapa, tetapi kini kita rasa ragu-ragu.

“Sekarang ini macam-macam masalah berlaku, yang menjadi persoalan mengapa ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke dalam kelas, murid tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman dari rumah dan pihak sekolah menutup pintu dan bercermin gelap,” katanya.

Khairul berkata, rata-rata penghuni tertarik dengan pakej ‘sesi pembelajaran’ yang disediakan di pusat berkenaan kerana tidak mengenakan sebarang caj.

“Kita minta pihak berwajib siasat latar belakang pusat ini, kalau mereka benar, kita bersyukur kerana niat baik mahu membantu keluarga kurang berkemampuan, sekarang ramai penduduk mula ragu dengan operasi tadika berkenaan,” katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Noor berkata, dia pernah menghantar anaknya ke sekolah itu, namun hanya sempat belajar kira-kira sebulan sahaja.

Katanya, dia terpaksa menghentikan sesi pembelajaran di pusat itu kerana berasa pelik dengan kelakuan anaknya terutama ketika berdoa.

“Anak saya juga pernah membawa pulang gula-gula yang langsung tidak pernah dilihat di pasaran.

“Apabila saya minta untuk masuk dan melihat ketika sesi pelajaran berlaku, pihak sekolah tidak membenarkannya dan meminta saya menunggu di luar,” katanya yang mengakui tindakan itu menyebabkan timbulnya keraguan sehingga dia mengambil keputusan memberhentikan anaknya dari terus belajar di pusat berkenaan.

Sinar Harian

Doktor wanita ditemui tergantung

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Seorang doktor yang berkhidmat di sebuah hospital di sini, ditemui mati di bilik tidurnya, kelmarin. (Gambar Hiasan)

Doktor wanita berusia 41 tahun itu ditemui ibu bapanya dalam keadaan tergantung dengan kain sari di jeriji tingkap rumahnya, sekitar 1 tengahari.

Menurut sumber, ketika kejadian, pintu bilik mangsa berkunci, sementara ibunya beberapa kali memanggil, namun tiada sebarang sahutan dari dalam bilik.

“Ibu mangsa dengan bantuan suaminya kemudian bertindak membuka pintu bilik dengan kunci pendua sebelum menemui mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkefli Adamsah mengesahkan kejadian berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Zailan Adnan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam turut memaklumkan sudah menerima laporan berkenaan kejadian berkenaan.

Agency

Sindiket edar dadah lumpuh

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Polis negeri ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah sekitar bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan dalam tiga serbuan berasingan, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner Kamarudin Abd Aziz berkata, polis menahan seorang jurujual kereta yang berumur 36 tahun dalam serbuan pertama di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini.

Menurutnya, sebanyak 920 gram dadah jenis ganja bernilai RM2,200 berjaya dirampas hasil serbuan kira-kira jam 4.15 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri.

“Lelaki yang sudah berumah tangga itu didapati positif dadah dan hasil semakan mempunyai satu rekod penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Kamarudin berkata, dalam serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira jam 6 petang di Kampung Melayu Pandan, di sini seorang lelaki berumur 31 tahun berjaya ditahan.

“Kita turut merampas sebanyak 1.98 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM4,750 bersama lelaki bujang yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkenaan.

“Hasil semakan, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, seorang lelaki bersama dua wanita berjaya ditahan di kawasan yang sama setengah jam kemudian dan turut merampas dadah jenis ganja bernilai RM1,200.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah wang tunai sebanyak RM3,100 dan sebuah komputer riba.

“Lelaki yang berumur 25 tahun itu bekerja sebagai penghantar surat, manakala dua wanita yang ditahan berumur 21 tahun adalah tunangnya dan ibu wanita berkenaan yang berumur 50 tahun.

“Hasil semakan yang dibuat, ketiga-tiga yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kamarudin berkata, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai aktif sekitar bandar raya ini sejak setahun lepas.

Katanya, kesemua yang ditahan kini direman sehingga Khamis depan.

Sinar Harian

Kena kejar 15 kenderaan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Dua anggota penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh oleh kenderaan lain dipercayai dipandu tonto sebelum berjaya menahan sebuah lori di Kilometer 24 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kenderaan yang dinaiki penguatkuasa berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang akibat dirempuh.

“Ketika mengejar lori berkenaan, kenderaan dinaiki anggota kami diekori 15 kenderaan lain dinaiki tonto. Pemandu lori yang mengangkut sejumlah rokok putih dan keretek termasuk bir jenama Tiger serta Malaki bertindak melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kesemua barang bukti berkenaan yang ditaksirkan bernilai RM223,528 membabitkan cukai bernilai RM1,910,251.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum maksimum 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Dalam tempoh seminggu lalu, pihak kami berjaya menggagalkan dua kes cubaan seludup rokok dan minuman keras bernilai RM372,586, membabitkan nilai cukai sebanyak RM1,808,171,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil intipan di laluan kenderaan dagangan import Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Sabtu lalu, berjaya menahan sebuah Lockvan jenis Hino seterusnya menemui sejumlah rokok dan minuman keras bernilai RM55,786 dengan nilai cukai RM450,683.

“Pemandu van berkenaan, seorang lelaki berumur 54 tahun dibawa ke Unit Pemeriksaan Rapi untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Katanya, pada 22 Mac lalu, pihak kastam berjaya merampas 264 kotak rokok keretek jenama Djarum Black yang ditemui dalam sebuah lori Taman Universiti, Skudai di sini, kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun pemandunya berjaya melarikan diri.

“Kesemua barangan rampasan itu ditaksirkan bernilai RM316,800 membabitkan cukai RM1,357,488. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Nilai jumlah keseluruhan barangan dirampas bagi kesemua tiga kes itu adalah RM596,114 dengan jumlah keseluruhan cukai sebanyak RM3,718,423,” katanya.

Sinar Harian

Penceroboh panjat dinding ala Spiderman

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA DAMANSARA – Rumah seorang pesara polis berpangkat Sub Inspektor nyaris dipecah masuk, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan tidur sebelum tiba-tiba terjaga selepas terdengar bunyi seperti tin jatuh.

Dia kemudiannya terdengar bunyi tingkap kaca rumah dibuka.

“Saya keluar dan terus ke ruang tamu rumah untuk memastikan punca bunyi itu dan ternampak kepala manusia seolah-olah sedang menjenguk di tingkap, saya yang mula menyedari individu berkenaan mahu memecah masuk rumah ini terus menyergahnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan jeritan mangsa, suspek bertindak terjun dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) berwarna putih.

Berdasarkan pemerhatian awal, suspek yang bertubuh kecil mengambil kesempatan masuk ke dalam rumah berkenaan melalui tingkap yang sengaja direnggangkan untuk pengu­daraan dalam rumah.

“Kalau difikirkan secara logik, mustahil tingkap setinggi lebih tiga meter boleh dipanjat menerusi dinding,” katanya.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, terdapat bekas tapak kaki dipercayai milik individu berkenaan yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa suspek memanjat dinding, lagak seperti Spiderman.

“Ini kejadian pertama berlaku sejak saya tinggal di kawasan, tujuh tahun lalu,” katanya.

Sinar Harian

Lima Maut Kereta Bertembung Di Hawaii

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

HONOLULU: Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya lima maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Hawaii.

The Maui News melaporkan kemalangan itu berlaku di lebuh raya Kula, awal pagi Ahad.

Pegawai polis, Wayne Ibarra berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta sedan, Dodge yang membawa enam penumpang bertembung dengan sebuah lagi kereta, Suzuki yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Ibarra, kelima-lima penumpang di dalam kereta Dodge itu tercampak keluar.

Empat daripada mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita maut di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bagaimanapun, Ibarra tidak mempunyai butiran lanjut mengenai pemandu kenderaan itu.

Tiga lagi penumpang kereta Suzuki itu dikejarkan ke hopsital akibat kecederaan serius.

mstar/-

Sampel telur biru diambil Pejabat Kesihatan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KERTEH – Sampel dua biji telur bertukar kepada warna biru pada bahagian putihnya diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman untuk proses analisis makmal semalam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Kerteh, Mohd Yusof Abdul Aziz berharap hasil keputusan analisis yang dilakukan dapat merungkai misteri mengapa telur yang dimasak isterinya, Sharah Shahernie Shafie, 25, itu bertukar warna biru pada bahagian putih telurnya.

Menurutnya, apa yang pelik, keadaan telur yang bertukar kepada warna biru dalam kejadian Khamis lalu masih kekal pada keadaan asal, tidak sebagaimana kebiasaan telur lain yang akan berlendir jika sudah lama.

“Telur juga masih berbau seperti bau penyembur racun serangga. Baunya cukup kuat dan meloyakan,” katanya yang mengesyaki telur berkenaan tiruan atau disuntik bahan kimia.

Sinar Harian pada Jumaat lalu menyiarkan mengenai Mohd Yusof sekeluarga yang hilang selera makan selepas dua biji telur yang dimasak isterinya bertukar menjadi warna biru pada bahagian putih telurnya, dipercayai disebabkan ia telur tiruan.

Sejurus melihat keanehan pada dua telur tersebut Mohd Yusof segera memeriksa lapan lagi telur yang tinggal dan mendapati salah sebiji daripadanya berbentuk agak ganjil dengan saiznya lebih besar daripada telur lain.

Katanya, sejak penyiaran berita itu, dia turut dihujani panggilan telefon termasuk pada waktu malam daripada saudara mara dan rakan sekerja yang berminat untuk mengetahui mengenai keadaan telur itu.

“Diharap kes ini dapat diselesaikan pihak berkenaan kerana ramai yang tertanya-tanya mengapa telur tersebut berubah warna sedemikian kerana dikhuatiri ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya.

sinar harian/-

Anwar saman fitnah RM100j terhadap Nalla, Utusan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semalam saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Presiden Parti India Malaysia (MUIP) senator Datuk S. Nallakaruppan berhubung satu kenyataan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac lepas.

Saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui syarikat guaman Tetuan Daim & Gamany.

Selain menamakan Nallakaruppan sebagai defendan pertama, Anwar juga menamakan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd sebagai defendan kedua dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan ketiga.

Dalam saman pemulanya, beliau mendakwa perkataaan-perkataan fitnah seperti yang dinyatakan di dalam laporan itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat untuk memburukkan dan mencemarkan reputasinya sebagai ketua pembangkang serta sebagai seorang ahli politik.

Anwar menuntut gantirugi am sebanyak RM100 juta, gantirugi teruk, gantirugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau memohon satu injunksi bagi menghalang semua defendan dan ejen mereka daripada terus menyatakan ataupun menerbitkan perkataan-perkataan berunsurkan fitnah.

- Bernama

Gempa Bumi Sederhana Landa Timur Turki

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ANKARA, Turki: Gempa bumi sederhana berukuran 5.0 magnitud melanda timur Turki pada Isnin.

Namun, Pusat Seismologi Turki mengesahkan gegaran itu tidak mendatangkan sebarang kerosakan dan kecederaan.

Gegaran berpusat berhampiran bandar Sultanli di wilayah timur Mus yang berlaku pada pukul 11.35 pagi waktu tempatan.

Turki terletak di garisan sesar bumi dan mengalami gegaran kecil hampir setiap hari.

Sekurang-kurang 644 orang maut dalam dua gempa bumi berasingan yang melanda wilayah Van pada Oktober dan November lalu.

MSTAR/-

Krisis bahan api landa Gaza

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR GAZA - Stesen kuasa utama di Genting Gaza berhenti beroperasi, kelmarin selepas ia hanya mampu membekalkan kuasa sementara selama 48 jam kepada seluruh penduduk di kawasan itu.

Menteri Kesihatan, Baseem Naim berkata, pihak berkuasa menyatakan kekurangan bahan api di negara tersebut telah meletakkan banyak nyawa dalam bahaya.

“50 peratus daripada ambulans dan kenderaan di bandar ini terjejas akibat krisis bekalan kuasa dan bahan api ini. Ia sememangnya mengancam nyawa ribuan penduduk kerana peralatan di hospital juga tidak dapat berfungsi seperti biasa,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan, Israel memaklumkan krisis itu sebenarnya melibatkan masalah dalaman Pihak Berkuasa Palestin dan mereka mendakwa kononnya negara tersebut tidak akan menghalang pemindahan bahan api ke Gaza.

Pada Jumaat lalu, sebanyak 450,000 liter bahan api telah dihantar ke Gaza untuk membolehkan loji kuasa di bandar tersebut berfungsi semula di bawah perjanjian antara Mesir dan Israel, namun ia hanya mampu bertahan selama dua hari.

Menurut perjanjian asal, Mesir akan menghantar 900,000 liter bahan api tetapi masih tidak jelas bila bakinya dapat dihantar ke Gaza.

Loji kuasa Gaza membekalkan elektrik kepada hampir satu pertiga penduduk di sekitar bandar tersebut tetapi masalah penjanaan kuasa sejak 10 Mac lalu telah menyebabkan penduduk terpaksa bergelap sehingga tempoh 18 jam pada setiap hari.

sinar hARIAN/-

BERAKHLAK KEPADA ALLAH S.W.T.

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Sebagai seorang hamba Allah S.W.T., kita hendaklah mempunyai akhlak yang baik terhadap Allah S.W.T. kerana Dialah yang menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Dialah yang memberikan kita berbagai-bagai nikmat yang tidak terdaya untuk kita membalasnya. Justeru kita hendaklah:

1. Mengenali sifat-sifat Allah dengan yakin,
2. Merasakan kebesaran Allah,
3. Merasa takut akan azab Allah,
4. Merasakan diri kita ini sentiasa diawasi Allah,
5. Merasa rendah diri terhadap Allah,
6. Sabar atas setiap ujian Allah,
7. Sentiasa mengingati Allah,
8. Mencintai Allah lebih daripada yang lain,
9. Meredhai setiap takdir dan ketentuanNya,
10. Mengharapkan rahmatNya,
11. Bertawakal kepada Allah, dan
12. Rindu kepada syurga dan pertemuan denganNya.

tok bah's family /-

Penunjuk perasaan Tibet bakar diri

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NEW DELHI - Seorang penduduk Tibet, Janphel Yeshi yang membakar dirinya berlari ke sebatang jalan di New Delhi semalam.

Dia melakukan perbuatan itu bagi menyatakan bantahan terhadap Presiden China, Hu Jintao yang akan melawat India.

Penduduk Tibet tersebut, Janphel Yeshi, 27, melakukan perbuatan itu di Jantar Mantar yang merupakan tempat perhimpunan awam dan demonstrasi.

Beberapa saksi berkata, dia yang memakai baju dan seluar panjang menjerit semasa api membakar tubuhnya.

Menurut seorang ahli perniagaan Tibet, Nyima Tashi, Yeshi kemudian terjatuh selepas dia berlari.

"Kami semua terkejut," katanya yang berusia 39 tahun.

"Salah seorang penyokong kami membaling sehelai kot ke arahnya sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran.

"Polis kemudian menghantarnya ke hospital," tambahnya.

Tashi berkata, dia pernah melihat Yeshi menghadiri perhimpunan bagi menuntut kebebasan Tibet.

"Kami menentang penguasaan China ke atas Tibet, kekurangan kebebasan agama dan hak asasi," jelasnya.

Seorang pegawai polis berkata, 85 peratus tubuhnya melecur.

Menurut Dr, R.K. Doshi di Unit Kecemasan Hospital Ram Manohar Lohia, beberapa kakitangan perubatan berusaha untuk menyelamatkan nyawa Yeshi.

"Keadaan dirinya amat kritikal. Peluang untuknya hidup amat tipis," katanya.

Sebilangan aktivis Tibet berkata, Yeshi merupakan penganggur yang telah merancang untuk melakukan perbuatan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Menurut mereka, lelaki itu tiba di lokasi penunjuk perasaan dengan membawa botol mengandungi minyak tanah yang digunakan untuk membakar dirinya.

Dia melarikan diri dari Tibet pada tahun 2006 dan tinggal di sini sejak dua tahun lalu. - Agensi

Nyaris ditimbus bijirin jagung

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak lelaki dan pengasuhnya nyaris tertimbus biji jagung selepas silo sebuah kilang membuat makanan haiwan ternakan di Jalan 10, Kampung Valdor, di sini, pecah pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 42 tahun yang menunggang motosikal sambil dibonceng kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu, hanya lambat beberapa saat sebelum biji jagung melimpah keluar dari silo yang pecah itu.

Keadaan itu menyebabkan motosikal mereka terbalik berhampiran timbunan biji jagung mengakibatkan mereka cedera ringan.

Mereka turut diselaputi debu biji jagung yang turut hampir memasuki rumah penduduk berhampiran.

Seorang saksi, Robinson Low Kim Sheng, 26, berkata dia sedang memasak apabila terdengar bunyi seperti bangunan roboh lalu bergegas keluar melihat apa berlaku.

“Saya nampak jalan dipenuhi biji jagung yang melimpah dan keadaan berdebu di kawasan berkenaan. “Pada masa sama, saya lihat ada wanita serta kanak-kanak hampir dengan timbunan biji jagung itu dan bernasib baik tidak ditimbus,” katanya.

Difahamkan, kilang itu beroperasi sejak 30 tahun lalu dan mempunyai lapan silo setiap satunya setinggi kira-kira 15 meter yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 tan biji jagung.

Tiga silo dikatakan roboh pada 13 Mac lalu tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Ketika kejadian semalam, kilang itu sedang beroperasi tetapi beberapa pekerja sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Mohd Affendi Ishak berkata, tujuh anggota termasuk seorang pegawai dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 9.35 pagi.

metro/-

Kena kejar 15 kenderaan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Dua anggota penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh oleh kenderaan lain dipercayai dipandu tonto sebelum berjaya menahan sebuah lori di Kilometer 24 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kenderaan yang dinaiki penguatkuasa berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang akibat dirempuh.

“Ketika mengejar lori berkenaan, kenderaan dinaiki anggota kami diekori 15 kenderaan lain dinaiki tonto. Pemandu lori yang mengangkut sejumlah rokok putih dan keretek termasuk bir jenama Tiger serta Malaki bertindak melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kesemua barang bukti berkenaan yang ditaksirkan bernilai RM223,528 membabitkan cukai bernilai RM1,910,251.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum maksimum 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Dalam tempoh seminggu lalu, pihak kami berjaya menggagalkan dua kes cubaan seludup rokok dan minuman keras bernilai RM372,586, membabitkan nilai cukai sebanyak RM1,808,171,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil intipan di laluan kenderaan dagangan import Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Sabtu lalu, berjaya menahan sebuah Lockvan jenis Hino seterusnya menemui sejumlah rokok dan minuman keras bernilai RM55,786 dengan nilai cukai RM450,683.

“Pemandu van berkenaan, seorang lelaki berumur 54 tahun dibawa ke Unit Pemeriksaan Rapi untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Katanya, pada 22 Mac lalu, pihak kastam berjaya merampas 264 kotak rokok keretek jenama Djarum Black yang ditemui dalam sebuah lori Taman Universiti, Skudai di sini, kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun pemandunya berjaya melarikan diri.

“Kesemua barangan rampasan itu ditaksirkan bernilai RM316,800 membabitkan cukai RM1,357,488. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Nilai jumlah keseluruhan barangan dirampas bagi kesemua tiga kes itu adalah RM596,114 dengan jumlah keseluruhan cukai sebanyak RM3,718,423,” katanya.

sinar harian/-

Parang di muka Mawi

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KAJANG: Juara Akademi Fantasia ke-3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi hanya memikirkan keselamatan bayinya, Cahaya Malaika yang berusia sebulan sebaik dikejutkan perompak yang mengacukan parang ke mukanya.

Dia yang baru melelapkan mata sebaik tiba di kediamannya di Bangi Golf Resort, di sini, pada jam 2 pagi semalam selepas menyertai Konsert Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di Pasir Gudang, Johor, bimbang empat lelaki bersenjatakan parang itu mencederakan anak sulungnya itu.

Bagaimanapun, Mawi berkata, dia bersyukur apabila melihat perompak terbabit tidak mengapa-apakan anaknya yang tidur nyenyak.

Menceritakan detik cemas itu, Mawi, 31, berkata, empat lelaki warga asing terbabit dipercayai memecah masuk banglonya melalui tingkap tepi yang tidak mempunyai gril selain menggunakan tangga untuk memanjat pagar.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dia, isteri, Nor’Ashikin Rahmat, 32, atau Ekin serta ibu mentuanya, Fatimah Saad, 55, tidur sebilik manakala nenek mereka, Salmah Sahan, 77, berada di bilik sebelah manakala seorang pembantu rumah di tingkat bawah.

metro/-

Berapakah peruntukan lulus segera lawatan PM?

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Perdana Menteri diminta menyatakan senarai kesemua peruntukan segera yang diluluskan sepanjang tempoh Januari - Mac 2012 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke negeri-negeri.

Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat, hari ini yang mula bersidang jam 10.00 pagi.

Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah status peruntukan menaiktaraf Hospital Parit Buntar yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Januari 2012 yang lalu semasa Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan. Berapakah peruntukan dan bilakah projek naik taraf hospital ini akan dilaksanakan.

Mohd. Abdul Wahid Endut (Kuala Terengganu) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bilakah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menggunapakai sebanyak RM873.4 juta duit "Dana Khas Terengganu" untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara akan membayar balik duit tersebut kepada Kerajaan Terengganu.

Siti Zailah Mohd. Yusoff (Rantau Panjang) minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah program Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia pada makanan import seperti daging, hasil pertanian dan makanan yang masih tinggi kadar importnya.

Datuk Taib Azamudden Md Taib (Baling) minta MENTERI PELAJARAN menyatakan bagaimanakah perkembangan modul pengajian baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenal pada tahun 2011.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu) minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Lebuh Raya Pantai Timur akan dibina sehingga ke Kota Bharu, Kelantan.

Khalid Abdul Samad (Shah Alam) minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah tahap penyiapan makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh negara, berapa jumlahnya dan berapakah kos pembinaannya.

Mohd Firdaus Jaafar (Jerai) minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai ke semua peruntukan segera yang diluluskan sepanjang tempoh Januari - Mac 2012 semasa lawatan rasmi YAB. Perdana Menteri dan YAB. Timbalan Perdana Menteri ke negeri-negeri.
Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah Khazanah Nasional telah mendakwa membuat keuntungan dengan menjual kepada DRB-Hicom pada harga RM5.50 sesaham sementara ketika Khazanah membeli dari PETRONAS dengan harga RM8.00 sesaham.

Mohd. Nasir Zakaria (Padang Terap) minta PERDANA MENTERI menyatakan pendekatan terkini yang dilakukan oleh FELDA dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) sawit bagi memastikan KPG berada di paras sekurang-kurangnya 23 peratus.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimana mekanisme perlaksanaan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) dan apakah perlaksanaannya benar-benar mematuhi syari'ah.

Harakah Daily