14 Ogos 2010

10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak

4 Ramadhan 1431H.
Email : nina mazrina

Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.
Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.

Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut.

Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.

Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)

EZAM CABAR SAIFUL BERSUMPAH LAKNAT ?

4 Ramadhan 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

CUBA anda semua kira, berapa ramaikah yang telah dicabar oleh raja sesumpah Ezam untuk bersumpah? Kesemua mereka yang pernah dicabar oleh raja sesumpah itu kesemuanya dari parti pembangkang. Pemimpin Umno? Usah harap.

Selain dari DS Anwar sasaran utamanya, Husam Musa dari PAS juga pernah dicabar oleh raja sesumpah untuk menjadi sesumpah sepertinya. DS Wan Azizah juga menjadi mangsa baru-baru ini. Apabila DS Wan Azizah menafikan fitnah beliau, maka sepantas kilat raja sesumpah menyuruh DS Wan Azizah bersumpah dan beliau pun akan turut bersumpah, katanya.

Main-main sumpah ini memang kerja Ezam sejak dulu, dan melanggar sumpah juga mainan saja buat Ezam. Ezam sanggup melanggar aturan Islam berkaitan sumpah ini. Peliknya tidak dengar pula oleh kita Ezam mencabar Saiful yang memang minat bersumpah itu untuk bersumpah menafikan hubungan intimnya dengan salah seorang pasukan Pendakwaraya di dalam kes Liwat II DS Anwar. Mengapa, sedangkan kita tahu Saiful memang berminat dengan sumpah menyumpah ini.

Maka, fikir-fikirkanlah stail raja sesumpah ini untuk mencari sesuap nasi.

RAJA SESUMPAH `JUAL' NAMA IBU ?

4 Ramadhan 1431H.
Oleh: Mandor

EZAM sesumpah nampaknya benar-benar hilang arah dan panduan di dalam perjuangannya. Serba serbi yang beliau lakukan untuk memburukkan DS Anwar serta keluarga, menemui jalan buntu apabila rakyat tidak lagi mempercayai mamat sesumpah ini. Ezam lebih senang dengan cara bermain sumpah apabila setiap kali membuat fitnah ke atas musuh-musuhnya.

Kali ini, Ezam sesumpah amat terdesak setelah DS Wan Azizah tampil menafikan tuduhan jahat yang dibuat oleh raja sesumpah ini ke atas dirinya. Seperti biasa, raja sesumpah mencabar DS Wan Azizah bersumpah apabila DS Wan Azizah mahu menyamannya. Paling yang membuat kita rasa kesihan dan simpati, apabila raja sesumpah ini mula `menjual' nama ibunya. Kununnya ibunya juga turut simpati dengan mamat Ezam apabila majoriti rakyat menghina anak kesayangannya.

Rupa-rupanya bonda Ezam ada hati dan perasaan juga terhadap anaknya. Selama ini kita boleh gambarkan betapa hati dan perasaan bonda dan ayahanda DS Anwar selama mana DS Anwar diaibkan. Perasaan itu dibawa oleh bondanya hingga ke liang lahad. Begitulah agaknya yang dirasakan oleh bonda pencacai Umno itu. Itulah keadilan Tuhan buat raja sesumpah. Perasaan itu kini dirasakan oleh bonda raja sesumpah. /mandor.blogspot.com

MB SELANGOR, JANGAN BERI `KADUK NAIK JUNJUNG'

4 Ramadhan 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

SESUATU yang amat memalukan apabila Pejabat MB Selangor dapat diceroboh oleh pengkhianat. Terjumpanya sebuah kamera tersembunyi di Pejabat MB berkenaan menunjukkan kurangnya sensitif kakitangan terutamanya pihak keselamatan Pejabat MB Selangor. Bayangkan jika ini berlaku kepada Pejabat MB negeri yang dikuasai oleh Umno, tentunya menjadi satu berita gempar dan sudah tentu tidak senang duduk pegawai dan kakitangan keselamatan yang bertanggungjawab.

Saya khuatir, di atas kelembutan dan sifat bertimbangrasa Tan Sri Khalid selaku MB Selangor membuatkan `kaduk naik junjung'. Ini baru satu permulaan kerja-kerja khianat yang berlaku di dalam pejabat Kerajaan Selangor setelah kerja-kerja khianat dan sabotaj mereka banyak berlaku di luar sana. Kita tidak tahu bagaimana pula keadaan di pejabat-pejabat penting yang lain termasuk pejabat Exco. Kerajaan Selangor jangan memandang remeh perkara ini dan siasatan perlulah dibuat sehingga tertangkapnya `musuh di dalam selimut'./

FORUM WACANA PEMIKIR MUDA: LANGKAH KESEDARAN

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Belia Negeri (MBN) Perak yang telah menganjurkan Forum Wacana Pemikir Muda pada 9 Ogos yang lalu di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh yang telah membariskan panelis-panelis berwibawa seperti Ahli Parlimen Parit Drs Mohd Nizar Haji Zakaria, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Presiden MBN Perak sendiri iaitu Khairul Anwar El Shazalli Haji Musa.

Forum yang bertajuk 'Perpaduan Generasi Muda: Gaza sebagai teladan' tersebut telah membuka pendekatan baru bagi mendidik generasi belia di dalam suasana politik yang lebih matang di dalam negeri ini.

Walaupun panelis yang ditampilkan sebagai seorang politik, namun mesej yang ingin dibawa ialah kesedaran politik bagi generasi muda sekarang ini. Bagi DPPN Pk, ini adalah salah satu kejayaan forum tersebut dan berharap ianya akan diadakan lagi di masa hadapan.

Bagi DPPN Pk, forum seperti ini amat dinanti-nantikan sebagai satu ruang untuk memberikan pendidikan politik yang telus kepada generasi muda sekarang ini.

DPPN Pk juga berharap langkap yang sama perlu diambil teladan oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak bagi menyatakan hakikat sebenar politik terutama di dalam negeri Perak ini.

DPPN Pk berharap penganjuran forum oleh MBN Perak ini tidak terhenti di sini sahaja dan berharap usaha seperti ini dapat diteruskan lagi.

DPPN Pk sekali lagi bersedia bekerjasama dengan MBN Perak dalam menganjurkan forum yang sama pada bila-bila masa dan berharap Pemuda Umno Perak akan turut bersama sekiranya dijemput kelak.

Kes Anwar: According to Pak Ngah Leh

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Annuar Kamaruddin

Tahun lapan puluhan dulu, Anwar Ibrahim sangat popular dan sinonim dengan ABIM. Sampai ada yang kata ABIM itu singkatan Anwar bin Ibrahim. Ketika sangat rapat dengan Almarhum Fadzil Noor, orang kata Anwar Ibrahim anak emas PAS. UMNO pun sangat suka dengan imej Anwar.

Lalu dipancingnya. Kata Anwar dalam majlis sembang-sembang dengan kawan-kawan, “Kalau setakat Dato’ saya tak pandang lah. Kalau Tan Sri, tengok-tengok dulu.” Kawan-kawan seangkatan sambut dengan gelak tawa saja.

Tahu-tahu sah Anwar masuk UMNO. Dan terus jadi Menteri. Bermulalah episod hendak memperbetulkan kesilapan kerajaan. Masa Menteri Belia dan Sukan, masa rasmi sukan MSSM, jalan bukan main laju. Tak terkejar oleh pengiring-pengiring.

Masa Menteri Pertanian, pening kepala Pegawai Pertanian sebab Menteri nak cari sebab pasai apa jentera-jentera pertanian sengaja jadi buruk . Bila jadi Menteri Pelajaran, tukar pulak dah jadi Kementerian Pendidikan.

Bahasanya pula baku . Habis orang kementerian jadi telor melayu Indonesia . Bila jadi Menteri Kewangan, orang kata itulah idamannya. Bila jadi Timbalan Perdana Menteri, orang-orang lama dalam UMNO kata, tak lama lagi kita jahanam.

Orang-orang lama UMNO sangat marah, tapi dalam diam. Apa tidaknya, depa naik tangga, satu-satu, Anwar langkau tiga empat. Tapi takutkan Mahathir, sebab dia ni dah jadi anak Mahathir, maka diam ajelah.

Dalam kerajaan dulu Anwar Ibrahim banyak bagi idea dan sumbangan. Pelan Induk Belia Nasional. Lepas tu Falsafah Pendidikan Negara, KBSM. Universiti Islam Antarabangsa, Asian Development Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Islam, PPRT, YAPIEM, ada lagi yang tak payah dan payah nak sebut. Masa jadi Pemangku Perdana Menteri, sibuk banteras rasuah.

Kalau macam ni, bahaya UMNO. Mau tidak mau, cari jalan nak singkir Anwar. Nak singkir tanpa sebab nanti marah pulak orang UMNO. Dia ni Timbalan Presiden. Bukan calang orang. Alim lagi.

Nak kata kaki pompuan tak leh. Masa dalam kursus pemberita sambilan, peserta diberitahu, kalau cerita kucing makan ikan, bukan berita. Ikan makan kucing, baru berita. UMNO pun buat cerita. Kaki pompuan, biasalah orang jantan. Tapi kalau kaki jantan, baru orang kampong dan ahli UMNO kata Haahh!!! Kaki Jantan ????

Bermulalah kes Liwat I. Kelmarin saya ke surau dan bersembang-sembang dengan Pak Ngah Leh. Pak Ngah Leh bukan calang-calang orang.

Selain imam, dia tok guru tajwid yang disegani. Banyak membaca dan tahu isu-isu semasa. According to Pak Ngah Leh, kes Anwar Ibrahim yang sedang bicara ni kita kena ambil tahu. Sebab dia bakal PM kita. Kita dah janji sepakat Anwar akan jadi PM.

According to Pak Ngah Leh, masa kes liwat dulu, pendakwa pinda pertuduhan dua kali. Sebabnya Anwar ada alibi dan bukti yang boleh menidakkan tuduhan.

Lepas pinda yang kedua, sangkut kes. Bila peguam Anwar beri pembelaan, semua tak relevan. Bila Anwar bawa pakar-pakar termasuk pakar DNA asing, semua bukti ditolak.

Last-last hakim kata pengakuan pengadu dah cukup sebagai bukti. Anwar kena Sembilan tahun. Bila rayuan Anwar dipertimbangkan dan dibebaskan, UMNO gelisah dan mula panas ponggong. Buat pula kes liwat II. Orang-orang UMNO kat kampong kata, Laa… tak serik lagi kah.

According to Pak Ngah Leh, kes dulu dah bagi banyak pengalaman. Dulu tak relevan, tak relevan, tak relevan akhir sekali semua bukti ditolak. Kali ni, pendakwa dah tau tektik Anwar, semua bukti tak boleh tengok.

Bantahan pertuduhan ditolak. Senarai saksi tak boleh tengok. Awal-awal lagi dah tolak. Rayuan demi rayuan ditolak.

According to Pak Ngah Leh, Isnin ni dah boleh agak dah.

Isu jejantas berdekatan Taman Pusing Baru Berhampiran SMK Pusing

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: pusat perkhidmatan DUN Tronoh

Para murid-murid SMK Pusing berdepan dengan risiko kemalangan saban hari kerana mereka terpaksa bertarung nyawa untuk melintas Lebuhraya Ipoh-Lumut yang agak sibuk pada awal pagi dan juga waktu tengahari.

Masalah ini telah timbul sejak mulanya pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut. ramai ibubapa murid-murid yang kebanyakannya tinggal di Taman Pusing Baru serta para wakil NGO telah menyuarakan rasa kebimbangan serta ketdakpuasan terhadap keadaan ini kepada YB V.Sivakumar.

Menurut YB V.Sivakumar, setelah beliau menerima banyak aduan, perkara ini dibangkitkan oleh beliau kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah pada September 2009. Beliau menyoal Pengarah JKR Perak apakah tindakan yang akan diambil pihak JKR untuk mengatasi masalah ini?

Malah YB V.Sivakumar mencadangkan agar satu jejantas dibina berhampiran Taman Pusing Baru berhampiran SMK Pusing dan pada masa yang sama juga pihak JKR memberitahu bahawa permohonan telah dihantar kepada Unit Keselamatan Jalan JKR Malaysia dan sedang menanti kelulusan untuk mendapatkan peruntukan dana untuk pembinaan jejantas.

Setakat ini tidak ada sebarang tindakan yang munasabah dan konkrit diambil untuk menjamin keselamatan para murid-murid yang melintas lebuhraya ini untuk ke sekolah.

Tetapi yang agak menyedihkan ialah kadar kemalangan di kawasan itu yang melibatkan murid-murid sekolah kian meningkat dari masa ke semasa. Pada bulan lepas seorang murid SMK Pusing telah dilanggar kereta semasa melintas lebuhraya.

Beliau dimasukan ke hospital dengan kecederaan yang serius di kakinya dimana doktor terpaksa memasukan plet logam untuk membetulkan tulang yang patah. Manakala yang terbaru adalah pada 10/082010 dimana seorang murid dan datuknya dilanggar kereta semasa melintas lebuhraya dan kedua-duanya dimasukkan ke hospital.

Kejadian kemalangan-kemalangan ini membuktikan keselamatan murid-murid yang terpaksa melintas lebuhraya ini memang tidak terjamin.

YB V.Sivakumar juga berkata beliau juga memasukkan satu soalan bertulis untuk Persidangan DUN yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau meminta bilakah peruntukkan akan diperolehi untuk pembinaan jejantas untuk memastikan keselamatan murid-murid SMK Pusing yang berjalan kaki serta berbasikal?

Jawapan yang diberikan adalah Kerajaan Negeri telah memohon peruntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk membina jejantas di kawasan tersebut,namun tidak diluluskan kerana tiada peruntukkan.

jadi kenapakah permohonan yang telah banyak kali diajukan sekian lama ini tidak dimasukkan kedalam Bajet 2010 Kerajaan Persekutuan?

Tambahan pula dalam jawapan bertulis,Kerajaan Negeri memberitahu bahawa persimpangan jalan ke SMK Pusing telah dinaiktarafkan dengan membuat pelebaran jalan dan mengadakan papan tanda serta membuat garisan jalan timbul untuk mengurangkan kelajuan kenderaan ditempat tersebut.

Kerja-kerja ini telah dibuat dan disiapkan pada bulan Disember 2009. Tetapi persoalan yang timbul adalah:-

1) Adakah dengan mengadakan papan tanda serta garisan jalan timbul boleh menyelesaikan masalah ini?

2)Garisan timbul tidak begitu efektif kerana tidak dapat mengawal kelajuan kenderaan di kawasan tersebut. Maka garisan timbul yang dibuat tidak "timbul" langsung dan hanya nampak cat kuning yang biasa sahaja di atas lebuhraya.

Cadangan yang dibuat oleh YB V.Sivakumar ialah satu jejantas harus dibuat dengan peruntukkan dari Bajet 2011 Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya; tetapi dalam masa menunggu untuk peruntukkan diluluskan,keselamatan murid-murid tidak harus diabaikan.

Dengan itu diminta pihak JKR Perak membaiki semula garis timbul dan meletakkan lampu amaran berkelip-kelip agar para pemandu yang menggunakan lebuhraya di kawasan tersebut boleh memperlahankan kenderaan mereka.

Cadangan ini telahpun dibuat secara bertulis kepada JKR Perak dan Pegawai Daerah.YB V.Sivakumar juga telah menulis kepada Ketua Trafik Balai Polis Batu Gajah untuk menempatkan anggota polis trafik di kawasan tersebut untuk membantu memastikan keselamatan murid-murid pada masa sekolah bermula dan tamat.

Pada masa yang sama YB V.Sivakumar meminta para pengguna Lebuhraya Ipoh-Lumut agar nberhati-hati semasa melalui kawasan tersebut.

Satu lawatan ke sekolah SMK Pusing untuk bertemu dengan Pengetua telah dibuat untuk menerangkan isu ini.

Pada masa yang sama pihak PIBG harus mengambil perhatian yang serius dalam hal ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sekian
YB V.Sivakumar

Ketika Dua Orang Muslim Saling Memancung

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: salman azmi

Dari Abi Bakrah Nufai’ bin al-Harith ra.hu bahawa sesungguhnya Nabi saw telah bersabda : Jika dua orang Muslim bertemu dengan pedang kedua-duanya, maka pembunuh dan yang dibunuh akan berada didalam neraka.

Saya berkata : Ya Rasulllah, tak apalah dengan pembunuh, tetapi kenapa pula dengan yang dibunuh ?Baginda berkata : Sesungguhnya dia pun sangat ingin membunuh sahabatnya.(HR al-Bukhari dan Muslim)

1.Seseorang itu mendapat dosa jika berusaha membuat jahat walau hajat jahatnya tidak tercapai dan walau dia sudah mendapat padah didunia, apatah lagi penjahat yang tercapai hajat jahatnya.

2.Dua orang Muslim yang saling berbuat jahat antara satu sama lain mendapat dosa yang lebih besar. Apatah lagi jika mereka berusaha saling membunuh kerana Rasulullah saw sudah menjanjikan neraka bagi mereka.

3.Fokus Rasulullah saw dalam hadis ini adalah 2 orang Muslim yang berniat jahat, bukan yang ingin mempertahankan keselamatannya, hartanya dan orang lain.

4.Sunnah bertanya jika tidak faham seperti yang dilakukan Abu Bakrah ini.

5.Terkadang, sunnah kita menggunakan kiasan, seperti Rasulullah menyebut ‘bertemu dengan pedang kedua-dua mereka’, iaitu saling hendak berbunuh.

6.Sunnah menggunakan kun-yah, iaitu gelaran abu (bapa) atau ummu (ibu). Seperti mana Nufai’ bin al-Harith dipanggil sebagai Abu Bakrah. Rasulullah saw sendiri dipanggil Abu al-Qasim (Bapa al-Qasim – nama anaknya)

7.Abu Bakrah r.a tidak kekal dengan agama kufurnya seperti bapanya yang tidak memeluk Islam. Oleh kerana itu dia didoakan ‘radiyallahu anhu’.

1.Sunnah mendengar, mengambil pelajaran dan menyampaikan hadis Rasulullah saw seperti apa dilakukan oleh Abu Bakrah r.a ini.

ANTARA AMALAN SOLEH YANG DITUNTUT DI DALAM BULAN RAMADAN

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Maahad Tahfiz Al Quran Dar Al Abrar

1- BERPUASA

قال :" كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، اَلْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، يَقُوْلُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصِّيَامُ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ مِنْ أَجْلِي،لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ، فَرْحَةٌ عِنْدَ إِفْطَارِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ، وَلَخُلُوْفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ" (أخرجه البخاري ومسلم)

Nabi saw bersabda:“Kesemua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku.

” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua ke-gembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (H.Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2- QIAM

قال :"مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً،غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ." (أخرجه البخاري ومسلم)
Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan (dengan ibadah) kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredoan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

3- BERSEDEQAH

كَانَ رَسُولُ اللهِ  أَجْوَدَ النَّاسِ،وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِي رَمَضَانَ،كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنِ الرِّيْحِ الْمُرْسَلَةِ . (متفق عليه)

Nabi saw merupakan saorang dermawan dan baginda lebih pemurah di bulan Ramadan, sifat pemurah baginda bagikan angin yang bertiup kencang.
وقد قال : "أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ فِيْ رَمَضَانَ." أخرجه الترمذي
Sesungguhnya Nabi saw bersabda "Sedeqah yang paling afdhal adalah dibulan Ramadan.H.R Imam Al-Tirmizi

ANTARA BENTUK SEDEQAH IALAH:

A- MEMBERI MAKAN
Firman Allah Taala yang bermaksud : Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Surah Al-Insan ayat 8-10.

B- MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA
قال رسول الله  :مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ. (رواه الترمذي)

Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa,dia akan memperolehi pahala puasa orang itu tampa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu. (H.R Imam Al-Tirmizi)

4- MEMBACA AL-QURAN
عن أبي أمامة  قال سمعت رسول الله  يقول اِقْرَؤُا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ. رواه مسلم.
Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bacalah Al-Quran itu, kerana ianya akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya." (Riwayat Muslim)

5- BERZIKIR DI DALAM MASJID SEHINGGA NAIK MATAHARI
عَنْ أَنَسٍ  عَنِ النَّبِيِّ  أَنَّهُ قَالَ:"مَنْ صَلَّى الْفَجْرَ فِيْ جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللهَ حَتَّى تَطْلِعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَاْنَ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ." (أَخْرَجَ التِّرْمِذِيُّ صححه الألباني)
Anas ra berkata:Nabi saw bersabda "Sesiapa yang solat subuh berjamaah kemudian dia berzikir di tempat solatnya sehingga terbit matahari lalu dia solat dua rakaat,balasan untuknya sama seperti mengerjakan haji dan umrah dengan mendapat pahala yang sempurna, sempurna,sempurna.H.R Imam Termizi

6- BERIKTIKAF DI DALAM MASJID
كَانَ النَّبِيِّ  يَعْتَكِفُ فِيْ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيْهِ اِعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْماً." (أخرجه البخاري)
Adalah Nabi s.a.w. beri'tikaf dalam bulan Ramadhan sebanyak sepuluh hari,pada tahun baginda diwafatkan, maka baginda beri'tikaf sebanyak dua puluh hari." (H.R Al-Bukhari)

7- MENGERJAKAN UMRAH
ثَبَتَ عَنِ النَّبِيِّ  أَنَّهُ قَالَ:"عُمْرَةٌ فِيْ رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً." (أخرجه البخاري ومسلم(
Nabi saw bersabda "Umrah di dalam bulan ramadan menyamai pahala haji. Muttafaqun alaih.

8- MENCARI MALAM LAILATUL QADAR
Firman Allah yang bermaksud :
1. Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan.

2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Surah AlQadar 1-5
قال  :"مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ." (أخرجه البخاري ومسلم)

Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menghidupkam malam Lailatul Qadar kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredoan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ:"يَا رَسُولَ اللهِ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَقُوْلَ؟قال :قُوْلِيْ:اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي." (رواه أحمد والترمذي وصححه)

Dari siti Aishah ra katanya: "Saya bertanya:"Ya Rasulullah, bagaimana jikalau saya mendapat malam lailatul-qadar, apakah yang harus saya ucapkan?" Baginda s.a.w. menjawab "Ucapkanah:Ya Allah,sesungguhnya Engkau adalah Maha Pengampun, engkau gemar memberikan pengampunan, maka ampunilah saya. H.R Imam Ahmad dan Imam Al-Tirmizi

9- MEMPERBANYAKKAN ZIKIR,DOA DAN BERISTIGHFAR.
Diantara masa yang disarankan ialah :

1. Ketika berbuka puasa
2. Satu pertiga akhir malam.
3. Beristighfar di waktu sahur
4. Mencari masa yang Ijabah antaranya:

A. Semasa berlakunya Lailatul-Qadar B. Ketika hujan turun
C. Ketika sujud dalam solat D. Ketika waktu subuh
E. Semasa berkumpul dalam majlis zikir F. Ketika dalam solat dan selepas melakukan solat
G. Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat H. Ketika khatam (tamat) membaca 30 juz
al-Quran
I. Antara azan dan iqamah, dan antara iqamah dan solat.

Resepi Buah Melaka

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: newsfowarder


Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
Jus pandan secukupnya
2 ketul gula melaka(parutkan)
1/2 biji kelapa muda parut.
Garam secukup rasa.

Cara menyediakan:
1. Bancuh tepung pulut dengan air pandan sedikit demi sedikit hingga adunan boleh digentel.
2. Ambil sebesar ibu jari dan leperkan.
3. Masukkan gula melaka di tengahnya dan tutup semula. Buatkan bulat.
4. Panaskan air hingga mendidih. Masukkan bebola pulut tadi.
5. Bila kueh timbul boleh diangkat dan toskan dalam tapisan.
6. Golekkan kuih di atas kelapa parut yang bercampur sedikit garam dan hidangkan.

Presiden PAS tunai umrah

3 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah sempena bulan Ramadhan ini.

Beliau bersama isteri dan anaknya serta 60 anggota rombongan lain berangkat kira-kira jam 2.50 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Qatar Airways menuju ke Jeddah.

Menurut Setiausaha Politiknya Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Tuan Guru dijangka berada di sana selama dua belas hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini bersamaan 14 Ramadhan 1431.

Sepanjang tempoh berada di sana, Tuan Guru turut akan mengikuti perkembangan politik terkini tanah air dari semasa ke semasa.

"Beliau (Abdul Hadi) akan menghubungi saya setiap hari untuk menanyakan perkembangan politik Malaysia," kata Samsuri ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Harakahdaily/-

Jangan kembali ke era Tun Razak dan Hussein

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Subky Latif

DUNIA media cetak di Malaysia selepas merdeka sememangnya dirundung suasana seperti gerhana matahari.

Jika sebelum era Dr. Mahathir, di era Tun Razak dan Tun Hussein Onn, siangnya seperti gerhana matahari penuh dan malamnya seperti tidak berbulan. Itulah yang dinamakan gelap. Zaman mereka adalah zaman gelap bagi media cetak.

Tetapi di zaman Dr. Mahathir ada sedikit cahaya. Cahaya itu seperti dunia menghadapi tiga suku gerhana matahari. Ia tidak gelap gulita, tetapi lebih teruk dari mendung.

Ketika UMNO mula berkuasa di zaman Tunku, cahaya media belum tercemar. Bukan saja UMNO ada lidah rasminya, Malaya Merdeka, Parti Negara dan Partai Rakyat bebas memiliki akhbar.

Dato Onn menerbitkan mingguan untuk Parti Negara bernama Kritik. Dato Onn tidak disyaratkan oleh kerajaan meletakkan di muka depan akhbarnya penjelasan seperti Untuk Ahli Parti Negara Saja. Mingguan Partai Rakyat yang dikelolakan oleh Ahmad Boestamam tidak disyaratkan meletakkan Untuk Ahli Partai Rakyat Saja.

Malah sebelum merdeka kerajaan penjajah Inggeris tidak menyaratkan kepada Malaya Merdeka mencetak Untuk Ahli UMNO Saja.

British tidak mensyaratkan kepada Tunku supaya Malaya Merdeka dijual di pejabat UMNO saja dan Dato Onn tidak diperintah menjual Kritik di pejabat Parti Negara saja. Ia boleh dijual di mana-mana di pasaran terbuka.

Malaya Merdeka terkubur kerana tidak laku. Kritik terkubur kerana Dato Onn dan Parti Negara mati. Lidah Rasmi Partai Rakyat jadi mendiang kerana parti itu tidak cukup dana.

Di hujung era Tunku dan sepanjang era Tun Razak dan Hussein dunia media cetak bukan saja malap tetapi gelap. Parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan. Apa yang dibuat oleh pembangkang ialah penerbitan haram. Berkeliaran polis memburunya.

Datang ke era Dr. Mahathir dengan dia sendiri menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan dibenarkannya PAS menerbitkan Harakah tetapi disyaratkan sebagai penerbitan dalaman, tidak boleh dijual kepada orang ramai – untuk ahli saja.

PAS tidak pernah minta permit terhad tetapi yang Mahathir beri permit terhad.

Harakah diedarkan oleh ahli-ahlinya. Tetapi kerana ia mendatangkan rezeki kepada pengedar, ramailah pengedar akhbar mengambil terus dari pejabat Harakah.

Tetapi polis yang dulunya dipanggil mata-mata gelap betul-betul menjadi mata-mata gelap mengacau pengedar-pengedar akhbar. Mata-mata gelap itu tidak pula terus menerus mengacau. Ikut angin dan mood UMNO.

Apa yang berlaku itu adalah gambar demokrasi Mahathir. Dia buli Harakah seperti kucing tangkap tikus. Kucing tidak terus makan tikus yang ditangkapnya. Tetapi dikepungnya hingga tikus itu tidak bertenaga.

Dr. Mahathir dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran tetapi dibenarkannya pula Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Walaupun Harakah mengamalkan demokrasi, mengkritik politik Dr. Mahathir, UMNO dan kerajaan BN, dia sekadar beri amaran tetapi pula menghalang KDN mengeluarkan permit baru apabila lama tamat.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri, kerja pertama yang dibuatnya ialah menyekat permit dua kali seminggu yang dibenarkan oleh Dr. Mahathir kepada dua kali sebulan,

Dari tak ada langsung seperti di zaman Tun Razak dan Tun Hussein, dua kali sebelum adalah lebih baik dari zaman sebelum Dr. Mahathir. Walau pun tak dapat semua, jangan tak dapat semua.

Tetapi di pertengahan era Pak Lah yang singkat itu dibenarkannya pula Harakah terbit semula dua kali seminggu dan dikeluarkannya pula permit untuk Roket untuk DAP dan Keadilan untuk PKR.

Seminggu sebelum Pak Lah ‘dipaksa’ bersara dia cuba bawa balik alam media cetak era Tun Razak dan Tun Hussein yang gelap dulu. Disekatnya permit Harakah. Tetapi apabila Najib mengambil alih kuasa dibatalkannya perintah Pak Lah itu.

Cuma selepas KDN diserahkan kepada Dato Seri Hishamuddin, dilambatkannya pengeluaran permit baru Harakah hingga ia tidak dapat diterbitkan seminggu dan Roket serta Keadilan digantung permitnya.

Perdana Menteri Najib adalah anak Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato Hishamuddin adalah anak Tun Hussein. Keduanya seolah-olah sepakat mahu kembali ke era gelap ayah mereka dulu.

Dengan perubahan masa, anak Felda saja sudah 200 ada PhD, dunia media bertambah maju, zaman ini bukan seperti 30 tahun, orang sudah tidak sekuno dulu, biarlah keduanya tidak jadi sekolot ayah mereka.

Datuk Seri Hisham patut ingat apa yang datoknya, Dato Onn bebas menerbitkan akhbar partinya, tidak pernah disekat oleh kerajaan masa itu. Yang Dato Onn buat dulu kira-kira sama dengan PAS, PKR dan DAP buat sekarang. Dato Onn tidak dihalang mengapa cucu Dato Onn dan anak Tun Razak cuba buat apa yang orang dulu tidak buat terhadap Dato Onn.

Najib dan Hisham jangan ulang kelemahan ayah masing-masing!

Harakahdaily/-

Kasihan sungguh Fathul Bari yang malang

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Yangretibase

Tulisan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya yang bertajuk 'Nasihat ulama muda Umno' dalam sebuah akhbar dalam talian baru-baru ini tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan yang hebat. Saya tidak berminat langsung untuk menjawabnya, walaupun dengan cara mudah; apalagi membuat analisis setiap fakta janggal yang diutarakannya.

Respons saya ini hanya sekadar peringatan ikhlas kepada Fathul Bari Mat Jahaya agar beliau dan kumpulan ulama muda yang bersama-samanya menyertai Umno pada 25 Jun, 2010 memuhasabah diri sendiri, menghisab diri sendiri dan mengira-ngira diri sendiri.


Tertanya-tanya saya, adakah Umno itu sebuah parti politik suci yang dianggotai pula oleh ahli-ahli yang keramat sehinggakan tarikh seseorang itu menyerahkan borang untuk menyertai Umno pun dianggap keramat? Saya bimbang, tarikh keramat itu sama juga dengan tarikh sesat.

Seorang ulama akhiratkah Fathul Bari Mat Jahaya? Seorang ulama akhirat atau ulama benar sudah pasti berpegang teguh dengan mantapnya kepada kesemua 6,236 ayat al-Quran.

Cukup banyak ayat Allah SWT yang melarang unsur-unsur persekongkolan, persahabatan dan persubahatan dengan pihak yang fasiq.

Mengapa Fathul Bari tergamak dan berani melanggar ayat 44, 45, 47 dan 49 dalam Surah al-Maidah dan ayat 3 dalam Surah Ibrahim?

'Al-ulama warathatulanbia'. Seorang ulama itu waris para Nabi. Mana mungkin seseorang itu layak dan tergamak menggelarkan dirinya ulama jika taat setianya kepada Rasulullah tidak setepu-tepunya?

Waris Nabikah dia? Seorang ulama benar yang imannya kental tidak tergoyah sedikit jua oleh godaan, cubaan dan ujian dunia yang fana ini, tetapi bertentangan sekali dengan ulama dunia yang lebih mementingkan dan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Malu dan takut seorang ulama Rabbani hanya kepada Allah SWT, tetapi seorang ulama suk lebih takut dan malu kepada manusia.

Demikian juga seorang ulama Malaki pasti tetap senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang istiqamah menjunjung tinggi akan setiap titah perintah Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Kesimpulannya, saya bimbang, dengan menyertai Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan kumpulan ulama mudanya hanyalah ulama dunia atau ulama suk yang kasih dan cinta mereka kepada dunia mengatasi kasih dan cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.Kasihan sungguh Fathul Bari Mat Jahaya yang malang.

Harakahdaily/-

resepi sup tulang

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: newsfowarder


Bahan-bahan ( 4 orang )
500g tulang lembu
1 sup bunjut adabi
2 kiub ayam - tak kisah mana2 adabi ke maggie
2 1/2 liter air.
3-4 ulas bawang putih
1 cm halia

minyak untuk menumis
daun sup/ daun bawang
bawang goreng
cili padi -kalo nak pedas :)
limau nipis- kalo suka masam2 sket..
2 ketul ubi kentang
1/2 batang lobak merah

Cara-cara

Mula-mula cucilah tulang temulang.
Kupas bawang putih. Pastu bersihkan.
Ketuk-ketuk bawang putih dengan pisau. Pastu cincang-cincanglah biar jadi halus.
Hiris pula halia nipis-nipis. Tapi kalo sape ada lesung tu boleh tumbuk halia sekali dengan bawang putih.

Panaskan minyak. Tumislah bawang putih dan halia ni sehingga bawang putih jadi kuning.. kalo hangus sket tu takpe..
Dah tu masuklah air dengan tulang-temulang. Rebuslah sehingga tulang empuk.
Bila dah empuk tu, masuklah pula ubi kentang dengan lobak merah.. Kalo tak nak letak pun takpe..

Masuk pula rempah sup bunjut dan juga kiub ayam. Biarkan sehingga ubi kentang empuk.
Masukkan pula sedikit gula. Pastu bolehlah rasa. Kalo tak rasa masin lagi bolehlah tambah garam. Tak cukup manis tambahlah gula.

Bila nak makan tu bolehlah letak bawang goreng, daun sup, daun bawang, cili padi. Kalo suka masam perhlah sedikit limau nipis.

Usah melatah dengan kenyataan Soi Lek

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

PILIHAN RAYA umum 2008 memang satu kejutan tidak terjangka dan pengalaman paling buruk buat MCA. Parti komponen BN itu kalah teruk di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Igauannya pasti berterusan apabila semua pilihan raya kecil selepas itu menyaksikan tiada langsung petanda bahawa pengundi Cina bersedia untuk menyokongnya kembali.

Malah, difahamkan, di Perak misalnya, ekoran rampasan kuasa yang didalangi Dato' Seri Najib Razak bagi menggulingkan kerajaan negeri Pakatan, kemungkinan besar masyarakat Tionghua menjadi bertambah marah dan seolah-olah tidak sabar lagi untuk menunggu pilihan raya umum ke-13 untuk "mengajar BN".

WAJAH PARTI YANG MURAM

Meskipun teraju MCA bertukar daripada Tan Sri Ong Ka Ting kepada Dato' Seri Ong Tee Kiat, wajah parti itu tetap suram. Susulan itu, penampilan bergaya Dato' Seri Chua Soi Lek (walaupun skandal seksnya belum dilupakan) seperti cuba melakarkan pendekatan baru menjinakkan "kemarahan" pengundi Cina kepada BN.

Tanpa perlu menanti lama, Chua bukan sahaja gagal mempengaruhi bangsanya sendiri, kenyataannya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, 6 Ogos lalu mengundang petaka baru.

Pengundi Melayu - yang dikira sebagai penyelamat BN pada Mac dua tahun lalu - marah dengan pandangan sempitnya yang melabelkan bahawa majoriti negara Islam sebagai tidak progesif, mundur, terkebelakang dan korup.

Chua turut berpandangan, dalam konteks Malaysia, Umno menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, dakwa Chua, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif, menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana.

Ucapan Chua itu banyak merujuk kepada buku tulisan Syed Akbar Ali, "Malaysia and the Club of Doom". Ternyata rujukan beliau tersasar, tetapi lebih malang apabila pemimpin utama Umno tidak bersedia menegurnya.

Secara peribadi saya tidak berasa pelik dengan pandangan dan niat Chua. Beliau sekadar mahu menakutkan orang Cina terhadap PAS, yang kini semakin mesra dan intim dengan masyarakat Tionghua.

MAKIN CEMAS

Beberapa pendekatan baru PAS, misalnya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong, menjadikan MCA lebih cemas, manakala percubaan media untuk melaga-lagakan parti Islam itu dengan DAP - dua parti yang dahulunya dianggap berada di dua kutub berbeda - langsung tidak menggugat persefahaman erat dalam Pakatan.

Sebelumnya, di Kota Bharu, Presiden MCA itu berkata, seandainya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka yang bakal menjadi Perdana Menteri bukannya pemimpin KeADILan atau DAP, tetapi adalah calon PAS.

(Pengulas dan veteran politik, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam tulisannya berpendapat ucapan Chua itu "satu pendekatan dan kenyataan takuk lama, dan lebih buruk pula kerana dia membuat kenyataan itu di Kelantan. Cina Kelantan arif berpolitik!")

Mengulas tanggapan Chua di Alor Setar, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata Chua telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. "Bagi saya, ini tidak dapat diterima.

Saya tidak tahu,tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.

TIDAK MAHU TERLALU DEFENSIF

Apa pun, saya tidaklah mahu menjadi terlalu defensif dengan beberapa ciri umum negatif, yang dikaitkan dengan majoriti negara-negara umat Islam hari ini, terutama jika dilihat dalam konteks demokrasi, hak asasi, rasuah, keadilan, jurang kaya-miskin yang melebar.

Yang salahnya dan merupakan satu pendustaan besar apabila Chua mengaitkan kemunduran itu dengan Islam, walhal pemerintahan kuku besi, regim yang menekan dan amalan korupsi - yang bukan saja berlaku di negara umat Islam tertentu - adalah disebabkan tuntutan agama itu sendiri dipinggirkan.

Islam kerap dihiaskan untuk menutup wajah hodoh pemerintahan autoritarian. Saya sendiri mengimpikan akan tersenarai negara-negara Muslim dalam ranking tertinggi indeks rasuah, demokrasi dan juga kebebasan akhbar, seperti yang pernah saya ulas dahulu dalam ruangan ini .

Kini posisi utama lebih dimonopoli oleh negara-negara Scandinavia. Malah, dalam World Corruption Ranking 2008, hanya sebuah negara Muslim dapat menandingi kedudukan Israel! Meneliti tangga 20 teratas negara yang bersih rasuah, kita tidak terjumpa nama negara umat Islam.

Amat sedih melihat negara Muslim yang begitu kaya dengan hasil-mahsul buminya, dan pemimpinnya dengan bangga mempamerkan kehidupan mewah, sedangkan majoriti rakyatnya terperosok dalam kemunduran, kemiskinan dan kefakiran.

Dalam sejarah moden pun kita dihidangkan dengan kisah-kisah tragis penyeksaan di luar batas kemanusiaan oleh regim penguasa terhadap pemimpin gerakan Islam.

KEKUATAN ISLAM

Dalam konteks Malaysia, sepatutnya Chua menyedari bahawa kekuatan PAS, sama ada menghadapi cabaran berbentuk tekanan dan penindasan pemerintah, atau dugaan menggiurkan semasa berkuasa, adalah berpunca daripada benteng iman dan Islam para aktivisnya.

Keupayaan PAS mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan (2008-3008) walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri, dilihat pemerhati politik, adalah difaktorkan oleh komitmen wakil rakyatnya terhadap Islam.

Usah dibandingkan dengan kepalsuan rakan-rakannya dalam Umno, walaupun nampak berusaha untuk meninggikan syiar Islam tetapi masih berselimut selesa dengan "gebar" rasuah, pilih-kasih, salahguna kuasa.

Sepatah kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika merasmikan persidangan integriti: "Dr Chua sepatutnya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi."

II.Dalam politik, setiap kesempatan harus direbut atau dimanfaatkan, biarpun ketika sesuatu isu itu dilihat memakan diri. Kontroversi selalunya menarik perhatian umum. Ia membuka peluang untuk rakyat mendengar penjelasan.

KEBIJAKSANAAN MENGOLAH ISU

Justeru, isu panas tidak perlu dihindari sangat, apatah lagi digeruni. Yang penting adalah kebijaksanaan dan kecekalan untuk menekuni dan mengolahnya agar isu kontroversi (apatah lagi yang sengaja diputar-belitkan pihak lawan) itu menjadi modal berbisa untuk kembali mendominasikan pemikiran umum.

Banyak perkara yang pada awalnya nampak menggugat diri, tetapi selepas diberi penerangan sejelasnya dapat memukul balik seteru politik.

Seingat saya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya, sama ada memakan diri Umno atau akhirnya senyap begitu sahaja.

Apabila cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua untuk memansuhkan diskaun Bumiputera terhadap pemilikan rumah mewah (bernilai RM500,000 ke atas) dan bangunan komersil (lebih RM2 juta) dijadikan isu kontroversi, memang media pemerintah melihatnya seperti bola tanggung untuk "melibas maut" DAP, dan sekali gus mencari peluang mengheret PAS.

Harus diakui, asas kekuatan PAS tidak dapat lari daripada sokongan pengundi Melayu. Jadi, ia tentu tidak mahu membazirkan masa untuk bergelut dalam gelanggang ciptaan Umno.

Seperti ditunjukkan dalam kes Selangor dan Pulau Pinang - juga dahulunya Perak - Umno hanya menunggu saat sesuai untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi mencalar imej dan identiti "kemelayuan" PAS.

PENGUNDI MAKIN MATANG

Bagaimanapun, pengundi tidak semestinya menelan bulat-bulat apa yang dimuntahkan media Umno. Mungkin ada sebilangan orang Melayu termakan dengan "racun" itu, tetapi ia juga menyediakan peluang untuk PAS dan Pakatan merongkai kecelaruan.

Sama juga seperti ada kritikan keras terhadap pelaksanaan DEB (antaranya dikemukakan Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang memperalatkan nama Melayu untuk kepentingan suku-sakat elit penguasa.

Apabila penjelasan diberikan, dan ia disebarkan secara terancang dan berkesan, rakyat dapat melihat kepincangan di sebalik gimik hak istimewa Melayu itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menekankan bahawa beliau tidak pernah menyokong penghapusan kuota dan keistimewaan bumiputera; dalam kes hartanah, khususnya rumah kos rendah dan sederhana.

Malah, diskaun untuk rumah mewah itu boleh dimasukkan dalam tabung untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

ORANG KAYA, SAUDAGAR BESAR NIKMATI SUBSIDI

Asasnya, bantuan atau subsidi adalah untuk keperluan golongan miskin dan rakyat bawahan. Malang sekali, di negara ini, golongan kaya dan saudagar besar lebih banyak menikmatinya.

Di kala senang mereka membolot pelbagai projek, kebanyakannya melalui rundingan terus, manakala di waktu susah kerajaan juga yang menyelamatkan mereka melalui operasi bail-out dan sebagainya.

Tetapi rakyat, termasuk orang Melayu, bukan buta untuk melihat realiti yang menjolok mata ini. Mereka melihat masih ramai rakyat, tanpa mengira kaum, yang susah hidupnya dan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup selepas subsidi dipotong (atau istilah pemerintah, "diselaraskan").

Keistimewaan layanan kerajaan, melalui TNB, terhadap syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), selalu menjadi rujukan awam.

Saya tetap yakin bahawa perubahan yang bermula dalam pilihan raya 1999 - ketika itu lebih membabitkan pengundi Melayu - tidak boleh disekat.

Jangan memandang rendah kematangan rakyat dalam menilai dan memerhati gelagat pemimpin politik, BN mahupun Pakatan Rakyat.

Cuma, seperti pandangan seorang pembaca kepada saya, mungkin lebih elok jika kritikan berkaitan "hak istimewa orang Melayu" datangnya daripada pemimpin Melayu itu sendiri.

Tambahnya, kritikan Anwar terhadap pelaksanaan DEB agak sukar disensasikan berbanding jika Lim Kit Siang yang mengemukakan teguran itu.

Saranan agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda - termasuk dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah - bagi membolehkan mahasiswa terbabit dengan politik kepartian disambut baik banyak pihak, terutama pemimpin pelajar bukan kumpulan Aspirasi, yang bebas daripada pengaruh Umno.

BANTUTKAN PROSES KEMATANGAN

Bagaimanapun parti-parti dalam Pakatan Rakyat sejak lama melihat Auku sebagai halangan besar yang membantutkan proses kematangan warga kampus, termasuk tenaga akademiknya.

Lebih menarik apabila beberapa pemimpin muda dalam BN sendiri menyokong agar mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik.

Antaranya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Dato' Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA. Namun, Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin, nampaknya agak keberatan, mungkin menunggu isyarat jelas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak terlebih dahulu.

Pastinya, bagi Najib, pertimbangan utama tertakluk kepada manfaat atau bencana politik yang bakal diterima BN dalam pilihan raya umum akan datang.

KEBEBALAN MANTAN NAIB CANSELOR

Saifuddin, jelas konsisten dalam pendiriannya, seperti yang ditunjukkan dalam program Soal Jawab TV3 minggu lalu, ketika membidas "kebebalan" bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

Di Georgetown, pada 9 Ogos, Saifuddin mengulangi pandangannya tentang keperluan pindaan Auku itu: "Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita."

Saya harap kerajaan tidak menunggu lama untuk memecahkan belenggu yang memasung gerakan pelajar sejak 35 tahun itu.

Di waktu ramai resah dengan sikap tidak peduli golongan muda dengan persoalan di sekitar mereka, apatah lagi hal-hal politik, sehingga hak paling asas dalam sistem demokrasi, iaitu tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi pun diabaikan, maka menara gading kita mesti segera dipulihkan autonominya, selain membiarkan mahasiswa bebas "mencabar dan dicabar".

Lambat atau cepat, segala kongkongan itu perlu dimansuhkan juga nanti, bukan sahaja dalam Auku, tetapi juga akta-akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

KERAJAAN PEKAK TELINGA

Anak muda, yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur, bukan sahaja mudah berang apabila dianggap "budak mentah dan belum matang" sehingga perlu ditunjuk-ajar (diikat) dengan pelbagai peraturan "karut-marut", malah tidak mustahil mereka bakal bangkit "memberontak" menuntut hak jika kerajaan terus memekakkan telinga.

Apabila tekanan kini datang daripada dalam sendiri, kata putus Perdana Menteri begitu ditunggu-tunggu.

Sekiranya Najib merasakan belum masanya mahasiswa dan pensyarah"dibebaskan", maka yang lebih menarik untuk diperhatikan, apakah Saifuddin, Khairy dan Ka Siong tetap bertahan dengan prinsip mereka?

Harakahdaily/-

PAS bagai doktor rawat penyakit rakyat

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan PAS yang sangat menjaga kebajikan rakyat, terutama dalam isu saman ekor. Kesungguhan barisan kepimpinan ini saya sifatkan adalah hasil daripada tarbiah yang berterusan.

PAS tidak boleh hanya dengan ceramah. Ceramah hanya satu metode. PAS memerlukan kepada tindakan sebagaimana kata al-Banna, biar tindakan kita menceritakan siapa kita. Apa yang saya nampak sekarang, PAS sudah mula masuk ke dimensi baru; iaitu dunia tindakan yang praktis bukan lagi omong-omong dan bukan lagi ceramah semata-mata.

Mazlan Aliman patut diberi penghargaan atas kesungguhannya dalam membela nasib peneroka Felda. Kepimpinan PAS Kelantan terus maju ke hadapan dengan idea dinar emas dan dirham. Begitu juga dengan tindakan PAS yang lain, semua ini membuktikan bahawa PAS sudah bersedia untuk mengambil kerajaan daripada BN pada pilihan raya akan datang.

Satu persoalan yang belum terjawab sehingga sekarang ialah, sekiranya PAS membentuk kerajaan pakatan, maka apakah PAS sudah bersedia untuk mengisi ruang-ruang kekosongan dalam kerajaan? Apakah persediaan PAS terhadap rancangan televisyen, artis, kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tol sekalipun, dasar ekonomi negara, dasar sukan negara, kebebasan bersuara mahasiswa, sistem demokrasi dan banyak lagi.

Saya melihat dalam isu ini, sebetulnya terdapat beberapa perkara yang tidak perlu disebutkan semuanya oleh kepimpinan PAS. Sebagai contoh, siapa yang bakal mengisi ruang kekosongan dalam kerajaan. Bagi saya, ia tidak perlu terlalu gopoh untuk diumumkan. Namun yang paling baik ialah, di peringkat kepimpinan sendiri, sudah tersedia ramai pimpinan yang bersedia untuk menjadi menteri, sama ada dari sudut pengetahuan, maklumat, kecekapan, ketangkasan, kebijaksanaan dan kepintaran.

Lalu bentuk tarbiah PAS itu mesti diperbaharui dari semasa ke semasa. Latihan untuk menyediakan pakar diplomasi dan perunding, pakar kewangan, pakar pertahanan dan keselamatan, pakar rumah tangga dan belia, pendek kata orang yang mampu menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan oleh Umno.

Dalam isu keruntuhan sosial yang melampau, bermula daripada hubungan rambang pelajar sekolah membawa kepada pembuangan bayi secara melampau, kesemua itu menuntut satu kekuatan daripada barisan kepimpinan serta kesungguhan ahli dalam mengatasinya. Pimpinan PAS tidak boleh ada “Minda KM Melaka” yang ingin menyelesaikan masalah dengan pemikiran Barat.

Lalu, semua peringkat dalam PAS, baik ulama mahupun muslimat, pemuda mahupun unit amal, penerangan mahupun kebajikan, kawasan mahupun cawangan, semuanya mesti memainkan peranan penting dalam mendokong perjuangan PAS ini. Semua ini terangkum dalam minda “PAS adalah Jamaah Solusi” bukannya parti politik semata-mata.

Bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS, semangat jihad kalangan ahli mesti disegarkan dari masa ke masa. Saya tidak mahu terlepas mengucapkan tahniah kepada Ustaz Nasrudin Tantawi dan pemuda yang bakal menganjurkan Ijtima’ Tarbawi di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober nanti. Beginilah tabiat pejuang PAS, tidak pernah melupakan tarbiah mendekatkan diri kepada Allah walaupun permainan politik semakin membelit dan mencengkam.

PAS bukan sahaja mesti menyelesaikan masalah kebajikan dan ekonomi, kenegaraan dan politik, malah PAS mesti bertindak memberi rawatan kepada pesakit-pesakit jiwa. Bagaikan seorang doktor, yang sentiasa menghulurkan ubat dan memberikan penawar kepada pesakit. Ya, PAS mesti bertindak seperti doktor yang tidak pernah mengeluh melayan karenah pesakit.

Saya, bersama sahabat-sahabat saya yang lain di Lembah Pantai, berbai’ah akan terus berjuang untuk menegakkan Islam melalui wadah PAS ini, insya-Allah. Seperti Sa'ad bin Abi Waqqas yang memberikan janji setia kepada Nabi s.a.w., "Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka lemparkanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka".

Harakahdaily/-

Tanah: Zambry utama kroni, hak rakyat dinafi

3 Ramadhan 1431 H

IPOH, 12 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang sekali lagi membuat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin Umno peringkat bahagian.

Lih Kang mendedahkan bahawa sebidang tanah yang sedang diusahakan oleh para penternak ikan hiasan dan petani telah diluluskan kepada sebuah syarikat milik seorang pemimpin Umno berkenaan.

Menurut beliau, jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri telah mengatakan bahawa sebidang tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, telah diberikan kepada sebuah syarikat yang bernama Safura House of Diamond Sdn Bhd.

Tujuan kelulusan tanah tersebut adalah untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

(Gambar: Lih Kang menunjukkan laporan kepada SPRM.)

“Setelah meneliti laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami dapati satu fakta yang amat mengejutkan, iaitu salah seorang pemegang saham merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Gopeng,” ujarnya.

Katanya, pengusaha-pengusaha di tanah tersebut telah membuat banyak kali cubaan untuk memohon tanah, namun semua permohonan mereka ditolak tanpa diberi sebab.

Kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Zambry Abd Kadir, ujarnya tidak memberikan tanah kepada para petani tetapi memberi kepada pemaju adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Apatah lagi, kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada kroninya. Ini adalah satu kes rasuah (salahguna kuasa) yang jelas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mengecam sekeras-kerasnya kerakusan kerajaan itu.

Beliau berkata, sekiranya perbuatan itu tidak dihentikan, ramai lagi rakyat akan menderita kerana mereka akan diusir keluar dari tanah yang sedang mereka usahakan sekarang.

Lih Kang juga menyeru SPRM agar mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang bertanggungjawab atas kes itu.

“Ini adalah kes salah kuasa yang kedua selepas berlakunya skandal penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek juga, di mana Ketua Umno Bahagian Umno Gopeng telah diberikan kuota 10 lot tanah kampung tersusun,” katanya lagi.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa Umno Barisan Nasional telah mereput hingga ke terasnya, sehingga pimpinan-pimpinan peringkat bahagian pun sudah rakus dan rasuah.

Untuk mencegah kejadian itu daripada berlaku lagi, beliau menggesa agar Zambry dibekukan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanah sepanjang siasatan kes itu dijalankan di samping membatalkan kelulusan Safura House dan memberikan tanah kepada para petani.

Di samping itu, katanya wakil rakyat Pakatan Rakyat dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa tanah supaya satu sistem check and balance akan wujud.

Selain itu, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang merupakan satu-satunya Exco bukan Umno perlu menjelaskan kenapa beliau tidak menghalang kes itu daripada berlaku.

Harakahdaily/-

Pakatan bersiap tawan semula Perak

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Abd Shukur Harun

Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi dan setiap kali pilihan raya rakyat berhak sepenuhnya menentukan parti mana yang akan diamanahkan membentuk kerajaan. Oleh itu, Pakatan Rakyat, khususnya di Perak tidak mustahil, malah mempunuyai peluang cerah untuk berkuasa kembali selepas PRU Ke-13 kali ini.

Kerajaan BN Perak yang ada sekarang, bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi hasil ‘rampasan kuasanya’ yang paling kotor terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dipilih secara demokrasi dalam PRU Ke-12 lalu.

Sejak tercetusnya ‘Gelora Perak’ ini, pelbagai pihak menuntut Kerajaan BN supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan pilihan raya baru Dun, namun dengan segala ketakutan kerajaan pimpinan Zambry itu menolak kerana mereka tahu bahawa pilihan raya semula di Perak akan mengakhiri riwayat kerajaannya di negeri itu.

Namun masa tidak memihak kepada ‘kerajaan Zambry’ justeru Pilihan Raya Umum Ke-13 itu akan tiba juga akhirnya, boleh jadi 24 bulan lagi, atau lebih cepat dari itu. Ini sudah pasti semakin menakutkan kerajaan Perak yang ada sekarang.

Oleh itu semakin dekat pertarungan itu semakin menakutkan mereka, bahkan kerajaan BN Pusat sendiri menghadapi tempoh itu dalam dalam keadaan semakin cemas.

Ini berikutan beberapa isu yang sama sekali tidak menolong BN untuk menghadapi PRU Ke-13 itu. Pertama harga barangan yang terus meningkat – yang tidak mampu ditampung oleh rakyat, menyebabkan keadaan inflasi meningkat.

Kedua, pelaburan luar negeri yang semakin merosot dengan tidak ada pelaburan baru menyebabkan kedudukan ekonomi negara sangat tidak menentu.

Ketiga, kegiatan rasuah – besar dan kecil – sangat berleluasa, seperti tidak terkawal, di samping projek membazir dan ketirisan serta berlakunya salahguna kuasa oleh pelbagai pihak.

Keempat, isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan dan tokoh politik tertentu serta disemarakkan lagi oleh media tradisional milik Umno/BN telah gagal memancing sentimen rakyat untuk menyokong Umno/BN.

Malah penduduk luar bandar sendiri, termasuk di kawasan Felda, sudah memperlihatkan tanda-tanda perubahan pemikiran mereka di mana mereka mula sedar dengan cengkaman harga barang naik, semakin sukarnya menampung keperluan hidup.

Pada ketika yang sama mereka melihat pemimpin negara hidup bermewah-mewah dengan banglo-banglo mewah, pelbagai kerata besar, hidup berlagak dan pembaziran berlaku di sana sini.

Semua ini membina kebencian rakyat kepada Umno/BN dan ini akan diterjemahkan melalui peti undi dalam PRU Ke-13 nanti.

Mengetahui ini semua, pemimpin Umno/BN seluruh negara, khususnya di Perak sangat cemas dengan keadaan ini, menjadikan saat menghadapi ilihan raya ini menjadi hari-hari yang sangat menakutkan mereka.

Bulan lalu saya berada di Perak, meninjau sebanyak sedikit suasana di sana dan menyaksikan kerja keras PAS Perak di bawah pimpinan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husain dan orang kanannya, Ir. Nizar Jamaludin serta pimpinan negeri yang lain. Mereka berazam untuk menawan semula negeri Perak dalam PRU Ke-13. Harapan ini nampaknya cerah.

Baru-baru ini PAS negeri itu telah mengadakan Konvensyen Ke-15 di Dewan Kutien, Ayer Tawar yang berakhir dengan semangat baru PAS Perak bagi menawan semula negeri itu dari Umno/BN. Konvensyen dirasmikan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Ucapannya banyak menyentuh dalaman parti yang perlukan kekuatan baru dengan penglibatan semua unsur yang boleh membantu PAS dalam menerajui kembali kepimpinan politik Perak dan negara.

Ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak disampaikan oleh Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak disebabkan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husein tidak dapat hadir konvensyen kerana keuzuran isteri beliau yang sedang dirawat di Hospital Besar Ipoh.

Ucap Utama yang bertemakan ‘Islam Adil Untuk Semua – Perspektif PAS Perak’ menggariskan beberapa perkara yang menjadi hala tuju PAS Perak untuk menawan kembali negeri itu.

Beberapa aspek pembinaan tarbiyyah dan penyebaran dakwah ditekankannya sebagai aspek dalaman yang sangat penting. PAS Perak juga disaran melebarkan jaringan dakwah dengan lebih meluas bagi memahamkan rakyat bukan Islam mengenai keadilan Islam.

Persiapan menghadapi Pilihanraya Ke-13 juga menjadi fokus utama PAS Perak bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan semula dalam PRU Ke-13 itu.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden pula disampaikan oleh Datuk Dr. Mahfuz Mohamd, AJK PAS Pusat yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Munaqasyah menggariskan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh semua peringkat parti bagi merealiasikan Ucapan Dasar Presiden.

Konvensyen bertambah menarik dengan penglibatan perwakilan dalam membahaskan Ucap Utama Pesuruhjaya. Banyak isu disentuh oleh perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Konvensyen juga turut didedahkan oleh pengkaji sains politik dari Ilham Centre iaitu hasil dari dapatan kajiannya mengenai kecenderungan rakyat dan pengundi terhadap PAS dan juga PR di Perak selepas PRU ke 12.

Dapatan kajian tersebut sangat memberi makna kepada PAS Perak dalam meneruskan langkah perjuangan ke arah kemenangan besar dalam PRU akan datang.

Kemuncak konvensyen ialah pengisytiharan tujuh resolusi yang dijadikan ikrar semua peserta konvensyen bagi memastikan ia dilaksanakan di lokasi masing-masing.

Demikianlah persiapan PAS Perak yang sangat menjanjikan.

Harakahdaily/-

Biayai pelajar: PAS parti kaya raya

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 13 Ogos: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib (gambar) secara sinis menyifatkan PAS adalah sebuah parti yang kaya raya sehingga mampu membiayai pelajar di luar negara dengan perbelanjaan puluhan juta ringgit.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan Umno yang menyifatkan PAS membiayai jutaan ringgit bagi pelajar Malaysia yang berada di luar negara termasuk Mesir bagi melahirkan pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Biro Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang mendakwa PAS sanggup untuk menghabiskan puluhan juta ringgit bagi memastikan kehadiran pemimpin pembangkang di luar negara.

Menurutnya lagi, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat yang bertujuan untuk membangkitkan sentimen kepartian di kalangan pelajar luar negara.

"Tuduhan ini seolah-olah membuktikan pemimpin Umno tidak matang kerana menjadikan pelajar sebagai bahan politik mereka. Sekiranya benar dakwaan tersebut, ia bererti PAS adalah sebuah parti yang kaya raya,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Baginya, adalah tidak menghairankan kerana di mana saja ada pengajian Islam, maka Umno akan membuat tuduhan yang serupa.

Kemungkinan besar, ujarnya itu adalah kerana Umno sendiri tidak ada hubungan dengan Islam.

“Oleh kerana itu apabila adanya program berunsur Islam yang mendapat sambutan, maka ia akan terus dikaitkan dengan PAS," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut menyelar kepimpinan Umno yang disifatkan tidak menyanjungi Islam apabila sanggup membuat kenyataan tidak rasional berkaitan Islam dengan tuduhan liar.

Tambahnya lagi, kenyataan sedemikan juga boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat apabila persepsi negatif terhadap pelajar luar negara terutamanya di Mesir dijadikan sentimen dan isu politik.

Dengan tuduhan tersebut, katanya ia mempamerkan wajah sebenar Umno apabila pemimpin mereka tidak mengagungkan Islam dan sanggup untuk memperkecilkan agama.

Harakahdaily/-

Penduduk baiki sendiri jalan

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Sinar Harian/-

PARIT ABAS - Penduduk di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau bersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membaiki sendiri jalan rosak apabila pihak berwajib tidak mengendahkan aduan mereka.

Bekas Ketua Kampung Parit Abas, Ishak Yunus berkata, program gotong-royong pada 10 Ogos lalu bermula jam 9 pagi sehingga jam 1 petang melibatkan kira-kira 50 penduduk kampung.

Menurutnya, kos melibatkan hampir RM2000 bagi membeli dua lori simen konkrit yang dibiayai daripada sumbangan penduduk kampung di sini.

“Penduduk bergotong-royong membaiki jalan yang rosak dan menampal jalan yang berlubang sebagai persediaan menyambut Ramadhan dan kepulangan saudara mara menjelang Syawal nanti.

“Jalan Parit Abas adalah laluan yang sibuk dan jalan utama penduduk ke Pekan Kuala Kurau oleh penduduk Kampung Parit Abas, Parit Tok Hin, Parit Telok Pial dan kampung-kampung berhampiran,’ katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Yunus Jamhari dan pembantunya Adenan Said bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.

Ishak berkata, jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat dua sekolah terletak di kampung tersebut.

“Kerosakan jalan sangat serius bermula dari Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah menuju ke pekan Kuala Kurau dan membahayakan penduduk di samping merosakkan kenderaan.

“Masalah ini berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Katanya, penduduk telah mengadukan masalah itu kepada Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Pejabat Daerah termasuk pernah menyiarkan di dalam akhbar Sinar Harian keluaran 26 September 2009 yang lalu tetapi masih juga tiada tindakan diambil.

“Setiap kali diajukan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, mereka memberi alasan tiada peruntukan diterima dari kerajaan negeri dan persekutuan.

“Penduduk melihat kerajaan sewenangnya membazirkan ratusan ringgit bagi membeli kapal selam, jet pejuang, istana negara dan sebagainya tetapi sangat berkira-kira apabila ingin membantu rakyat,” katanya.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membaiki sendiri jalan di kampung mereka setelah melihat pihak bertanggungjawab seolah-olah lumpuh dan tidak berfungsi bagi membantu mereka.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membaiki jalan.

PAS: Media upahan Umno main isu peniaga Komtar

3 Ramadhan 1431 H

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPP-PP) menganggap laporan yang berkaitan isu peniaga Melayu di bangunan Komtar sebagai tidak lebih sebagai politik murahan Umno/BN untuk meraih sokongan pengundi Melayu di negeri itu.

Menurutnya, rakyat termasuk di Pulau Pinang sudah muak dengan perangai kepimpinan Umno/BN, selain cuba mengalihkan isu kenaikan harga barang yang 'menjerut leher' peniaga dan pembeli dalam menghadapi bulan Ramadhan dan menjelang Syawal.

Ketuanya, Yusni Mat Piah menuduh akhbar upahan Umno/BN telah mensensasikan berita tersebut kononnya Pulau Pinang di Pakatan Rakyat berlaku zalim kepada peniaga yang rata-ratanya Melayu.

Sedangkan, tembahnya, hasil perbincangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mewakili Pemuda Pakatan dengan ADUN Komtar dan PDC Urus Setia telah berjaya mencapai persetujuan:

1. Membenarkan 21 peniaga sedia ada di tingkat 3 Komtar meneruskan perniagaan mereka sehingga hari raya sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan.

2. Membuka 17 lagi lot niaga di tingkat 3 dan 10 lagi lot di tingkat 4 untuk Bazar Ramadhan, iaitu tambahan 27 lot niaga lagi.

3. Mengekalkan kutipan sebanyak RM50 sehari untuk satu tapak seperti sebelumnya.

"Jadi yang menjadi isunya sekarang adalah Dewan Perniagaan Komtar (KMA) yang telah mengutip sewa tetapi tidak menjelaskannya kepada PDC.

"Tetapi ini tidak diberitakan, sebaliknya menuduh kerajaan negeri yang bersikap biadap sehingga sanggup bertindak menghalau peniaga tanpa belas ikhsan," tambah Yusni dalam satu kenyataan hari ini.

DPP-PP, katanya, merasakan sudah sampai masanya kerajaan negeri mengambil tindakan kepada akhbar-akhbar upahan Umno/BN yang didakwanya saban hari menyiarkan berita berunsurkan fitnah

Sebelum ini, akhbar tersebut menyiarkan artikel yang berbentuk perkauman dengan membangkitkan isu rumah dan kampung Melayu diroboh terutama isu Kampung Jalan Pokok Assam dan secara kosisten melabelkan kerajaan negeri sebagai anti-Melayu.

"Jadi mengapa Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya berdiam diri? Mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap akhbar ini sedangkan tindakan dan amaran tegas dikenakan terhadap media Pakatan?

"Inilah demokrasi ciptaan Umno/BN yang terus sombong walaupun sedang 'nazak," katanya.

Malaysiakini/-

Pemuda Umno dan MCA hilang taring

3 Ramadhan 1431 H

Keputusan kabinet melarang mahasiswa menyertai politik menunjukkan BN langsung tidak mendengar pandangan rakyat, khususnya golongan muda yang mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di universiti tempatan, kata ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke.

Keputusan ini juga, tegasnya, membuktikan sayap Pemuda BN, khususnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenar menyertai parti politik, langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malahan, kata Loke yang juga ahli parlimen Rasah, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan tersebut, juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, DAPSY mengutuk keputusan kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda, khususnya pelajar Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia," tambahnya.

Namun begitu, katanya, DAPSY akan terus mendesak supaya Akta Kolej dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

"DAPSY yakin, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tambahnya.

Malah, kata Loke, keputusan kabinet itu akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik.

"Dan BN akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda dalam pilihanraya umum yang ke-13 kelak," tegasnya.

Malaysiakini/-

Tiada didakwa, wartawan tunggu sehari suntuk

3 Ramadhan 1431 H

Wartawan dan jurugambar yang berkumpul di Mahkamah Sesyen sejak pagi ini kecewa apabila mendapati khabar angin kononnya seorang pemimpin akan ditangkap dan didakwa berhubung kes rasuah adalah tidak benar.

Sebelum ini, tidak kurang 15 petugas media berkumpul untuk mendapatkan kepastian khabar angin berkenaan.

Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut tidak berjaya. Tiada juga kakitangan daripada Pejabat Peguam Negara atau bekas pemimpin itu kelihatan berada di situ.

Pada masa yang sama, sekumpulan wartawan dan jurugambar yang lain pula berkumpul di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk tujuan yang sama.

Pejabat Peguam Negara yang dihubungi enggan mengesahkan perkara itu tetapi tidak juga menafikannya. Mereka yang dihubungi pula enggan mengulas dan menyatakan “saya pun tidak tahu apa ceritanya.”

Adalah dipercayai pendakwaan hari ini mungkin berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pada 29 julai lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di mahkamah sesyen yang sama atas tuduhan memperdayakan kerajaan bagi memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ, pada 2002.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di tingkat empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.

Ling yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun yang sama.

Beliau mengaku tidak bersalah dan sekarang ini dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu perbicaraan.

Malaysiakini/-

Tang Lang Bu Chan, Huang Que Zai Hou

3 Ramadhan 1431 H

Cengkadak Menangkap Riang-Riang Tanpa Menyedari Ada Kepudang di Belakangnya

Asal Usul:

Peribahasa "Tang Lang Bu Chan, Huang Que Zai Hou" ini berasal daripada satu cerita yang berlaku pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770- 476 Sebelum Masihi).

Menurut ceritanya, pada suatu hari, raja negeri Wu merancang untuk menyerang negeri Chu. Bagaimanapun, rancangannya itu telah menimbulkan bantahan yang keras daripada pegawai-pegawai kerajaan, sehingga menyebabkan baginda menjadi berang, dan bertitah dengan kata-kata, "Siapa sahaja yang berani menghalang rancangan beta, akan dibunuh, tidak kira apa pun alasannya!" Dengan itu, tiada seorang pun yang berani untuk memujuk atau menasihati baginda lagi.

Pada ketika itu, ada seorang pengawal muda di istana yang terfikir satu cara yang bijak. Tiap-tiap pagi, dia akan berjalan di sekitar taman yang sering dikunjungi oleh raja negeri Wu itu, dengan memegang lastik dan beberapa biji "peluru" gentelan. Sesekali dia mendongak juga untuk melihat pucuk pokok-pokok yang tinggi dalam taman itu, dan kadang-kadang baju dan kasutnya habis basah oleh titisan embun.

Suatu hari, ketika melihat keadaan itu, Raja negeri Wu pun bertanya dengan hairan,"Apa kamu buat di sini?"Pengawal itu menjawab,

"Maaf tuanku. Tadi hamba ternampak ada seekor raing-riang yang sedang berehat di atas pokok itu, tetapi ia tidak sedar ada bahaya di belakangnya? "

"Apa yang terjadi?" Raja itu bertanya."Di belakangnya ada seekor cengkadak yang sedang menghulurkan lengannya, untuk menangkap raing-riang itu."

Pengawal itu meneruskan ceritanya,"Sayangnya, cengkadak itu juga tidak sedar ada seekor burung kepudang di belakangnya yang sudah pun menjulurkan lehernya dan bersiap-siap untuk memakannya."

"Lalu?" tanya raja itu lagi."Sayangnya, burung kepudang itu juga tidak sedar ada hamba yang sudah menyiapkan lastik di bawah ini."

Ketika melihat rajanya begitu tertarik dengan ceritanya, pengawal itu terus menjelaskan,

"Hamba rasa, ketiga-tiganya ini hanya melihat keuntungan yang ada di depan mata masing-masing sahaja, tetapi tidak tahu ada bahaya di belakangnya. Sebenarnya, kadang-kadang kita juga seperti mereka, tidak tahu mengira risiko yang akan kita tanggung daripada setiap tindakan yang kita lakukan.

Ekorannya, risiko yang akan kita hadapi mungkin jauh lebih besar daripada keuntungan yang kita peroleh."

Raja negeri Wu merasakan kata-kata pengawal itu sangat masuk akal. Maka, setelah pulang, baginda segera membatalkan rancangannya untuk menyerang negeri Chu itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Tang Lang Bu Chan, Huang Que Zai Hou" ini bererti, cengkadak mahu menangkap raing-riang tanpa menyedari ada burung kepudang di belakangnya yang sudah bersiap-siap untuk memakannya.

Peribahasa ini menasihati kita supaya jangan hanya mengejar keuntungan yang ada di depan mata sahaja, tanpa mengetahui dan mengira bahaya yang ada di belakangnya.

CRI/-

Ringan

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya” (QS. Al Maidah: 88).Belum tiba kiamat, sudah diperoleh sejumlah kemudahan oleh orang-orang beriman dan berpengetahuan.

Di antaranya, dimudahkan atau merasa ringan melakukan ibadah seperti puasa dan shalat bagi orang-orang beriman dan berpengetahuan.Sedangkan bagi orang-orang yang tidak beriman, melaksanakan ibadah puasa begitu berat, meskipun ibadah tersebut dijamin dengan pahala berlimpah dan ampunan dosa.

Kalau di dunia sudah demikian banyak kemudahan dirasakan oleh orang-orang beriman, apalagi di akhirat kelak.

Lazimnya, berpuasa menjadi tidak ringan bila dilakukan tanpa pengetahuan dan bekal yang cukup.

Bila difahami puasa sebagai ajakan Allah agar manusia merasakan bagaimana rasanya menjadi orang-orang fakir atau miskin yang kadangkala harus banyak menahan lapar dalam hidupnya, maka akan membuka mata hati bagi yang mau melaksanakannya dengan ikhlas.

Pertama, akan memunculkan kasih sayang terhadap orang-orang yang bernasib demikian. Selanjutnya, rasa sayang yang membuncah di hati itu bisa mendorong manusia untuk merelakan sebahagian hartanya untuk diberikan kepada hamba-hamba Allah yang sedang membutuhkan.

Bukan hanya itu, berpuasa akan menjadi tidak ringan bila dilakukan tubuh yang berselemak makanan haram. Makanan haram yang dikandungi tubuh bisa menutupi hati dari melihat kebenaran dan mendorong kepada hal-hal yang buruk.

Jadi, akan terasa berlawanan bila melakukan hal-hal yang baik, termasuk melaksanakan ibadah. Sedangkan bagi orang-orang yang menjauhi makanan haram, akan merasa terbantu dalam melakukan hal-hal yang baik.

Sebagaimana dalam ayat di atas, suruhan untuk memakan makanan halal itu disebut dekat dengan suruhan bertaqwa kepada Allah.

Itu bermakna bahwa salah satu syarat untuk menuju ketaqwaan kepada Allah adalah tidak boleh makan kecuali yang halal.