14 Ogos 2010

PAS bagai doktor rawat penyakit rakyat

3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan PAS yang sangat menjaga kebajikan rakyat, terutama dalam isu saman ekor. Kesungguhan barisan kepimpinan ini saya sifatkan adalah hasil daripada tarbiah yang berterusan.

PAS tidak boleh hanya dengan ceramah. Ceramah hanya satu metode. PAS memerlukan kepada tindakan sebagaimana kata al-Banna, biar tindakan kita menceritakan siapa kita. Apa yang saya nampak sekarang, PAS sudah mula masuk ke dimensi baru; iaitu dunia tindakan yang praktis bukan lagi omong-omong dan bukan lagi ceramah semata-mata.

Mazlan Aliman patut diberi penghargaan atas kesungguhannya dalam membela nasib peneroka Felda. Kepimpinan PAS Kelantan terus maju ke hadapan dengan idea dinar emas dan dirham. Begitu juga dengan tindakan PAS yang lain, semua ini membuktikan bahawa PAS sudah bersedia untuk mengambil kerajaan daripada BN pada pilihan raya akan datang.

Satu persoalan yang belum terjawab sehingga sekarang ialah, sekiranya PAS membentuk kerajaan pakatan, maka apakah PAS sudah bersedia untuk mengisi ruang-ruang kekosongan dalam kerajaan? Apakah persediaan PAS terhadap rancangan televisyen, artis, kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tol sekalipun, dasar ekonomi negara, dasar sukan negara, kebebasan bersuara mahasiswa, sistem demokrasi dan banyak lagi.

Saya melihat dalam isu ini, sebetulnya terdapat beberapa perkara yang tidak perlu disebutkan semuanya oleh kepimpinan PAS. Sebagai contoh, siapa yang bakal mengisi ruang kekosongan dalam kerajaan. Bagi saya, ia tidak perlu terlalu gopoh untuk diumumkan. Namun yang paling baik ialah, di peringkat kepimpinan sendiri, sudah tersedia ramai pimpinan yang bersedia untuk menjadi menteri, sama ada dari sudut pengetahuan, maklumat, kecekapan, ketangkasan, kebijaksanaan dan kepintaran.

Lalu bentuk tarbiah PAS itu mesti diperbaharui dari semasa ke semasa. Latihan untuk menyediakan pakar diplomasi dan perunding, pakar kewangan, pakar pertahanan dan keselamatan, pakar rumah tangga dan belia, pendek kata orang yang mampu menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan oleh Umno.

Dalam isu keruntuhan sosial yang melampau, bermula daripada hubungan rambang pelajar sekolah membawa kepada pembuangan bayi secara melampau, kesemua itu menuntut satu kekuatan daripada barisan kepimpinan serta kesungguhan ahli dalam mengatasinya. Pimpinan PAS tidak boleh ada “Minda KM Melaka” yang ingin menyelesaikan masalah dengan pemikiran Barat.

Lalu, semua peringkat dalam PAS, baik ulama mahupun muslimat, pemuda mahupun unit amal, penerangan mahupun kebajikan, kawasan mahupun cawangan, semuanya mesti memainkan peranan penting dalam mendokong perjuangan PAS ini. Semua ini terangkum dalam minda “PAS adalah Jamaah Solusi” bukannya parti politik semata-mata.

Bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS, semangat jihad kalangan ahli mesti disegarkan dari masa ke masa. Saya tidak mahu terlepas mengucapkan tahniah kepada Ustaz Nasrudin Tantawi dan pemuda yang bakal menganjurkan Ijtima’ Tarbawi di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober nanti. Beginilah tabiat pejuang PAS, tidak pernah melupakan tarbiah mendekatkan diri kepada Allah walaupun permainan politik semakin membelit dan mencengkam.

PAS bukan sahaja mesti menyelesaikan masalah kebajikan dan ekonomi, kenegaraan dan politik, malah PAS mesti bertindak memberi rawatan kepada pesakit-pesakit jiwa. Bagaikan seorang doktor, yang sentiasa menghulurkan ubat dan memberikan penawar kepada pesakit. Ya, PAS mesti bertindak seperti doktor yang tidak pernah mengeluh melayan karenah pesakit.

Saya, bersama sahabat-sahabat saya yang lain di Lembah Pantai, berbai’ah akan terus berjuang untuk menegakkan Islam melalui wadah PAS ini, insya-Allah. Seperti Sa'ad bin Abi Waqqas yang memberikan janji setia kepada Nabi s.a.w., "Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka lemparkanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka".

Harakahdaily/-

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penyampaian yang baik.
Kalaulah semua org Melayu bersatu demi masa depan Melayu yang hampir2 rebah ini, InsyaAllah kita bungkus UMNO PRU13, kita kembalikan hak2 rakyat, kita hapuskan maksiat2 dalam UMNO, kita selamatkan negara kita untuk rakyat Malaysia.

Pewaris Negara

Tanpa Nama berkata...

Tahniah PAS sekarang menjadi juara rakyat, sedangkan UMNO hanya slogan kosong secara parktiknya mnindas rakyat

Tanpa Nama berkata...

Gerakan anti saman ekor hendaklah diteruskan PAS sehingga berjaya mencapai matlamatnya, Pas perihatin dengan rakyat

Tanpa Nama berkata...

Gerakan membantu insuran mahal juga menandakan PAS bukan cakap kosong macam UMNO

Tanpa Nama berkata...

Gerkan mansuh ISA oleh pas, pakatan rakyat dan NGO menunjukkan rakyat diutamakan oleh pakatan rakyat

Tanpa Nama berkata...

Gerakan anti judi bola menunjukkan PAS semakin maju kehadapan berbanding UMNO yang memundurkan rakyat

Tanpa Nama berkata...

PAS juara rakyat tanpa slogan tapi UMNO juara slogan tetapi menindas rakyat, takkan orang melayu nak diperbodohkan oleh ketuanan UMNO, bangsa lain dah sedar...

Tanpa Nama berkata...

Pecah dan Perintah..itulah tangkal azimat UMNo. Disebalik PAS membuat persediaan menghadapi PRU13..jangan lupa UMNO juga sedang mencari jalan untuk memecahbelahkan ikatan PR...APCO sedang menyediakan satu ramuan untuk UMNO bagaimana nak menghuru harakan PR sebelum PRU13.