05 Disember 2010

Istana Kelantan lucut dua pingat Ku Li, termasuk DK

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

“Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini.

Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

“Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini,” kata sumber itu lagi.
Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.
Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran “Datuk” kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

“Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara,” kata Mohd Aiseri ketika itu.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A’ishah Putri.

http://www.themalaysianinsider.com

Majlis Fatwa mahu bukan Islam henti peralat ayat al-Quran

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Majlis itu yang mengadakan mesyuarat khas di Sepang malam kelmarin memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

“Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah,” kata beliau.

Oleh kata beliau, pihkanya mahu mengambil langkah menggunakan kaedah sad zaraik iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan.

“Maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

“Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal,” kata beliau dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

Sebanyak 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Laporan itu menyebut muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al- Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga setiausaha jawatankuasa itu kelmarin memberitahu hasil pertemuan akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pertemuan itu diadakan ekoran perkembangan pada Kongres Nasional PKR di mana Kesavan, perwakilan dari Perak dan Adun Hutan Melintang, yang memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul Ahad lalu.

Tindakan Kesavan yang membacakan terjemahan yang salah daripada Ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin kerajaan termasuk Jamil Khir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jamil Khir berkata, penafsiran ayat al-Quran yang tidak betul di depan khalayak ramai boleh menjadi satu penghinaan yang serius terhadap Islam dan tidak boleh dibiarkan.

Justeru tegasnya, para ilmuwan agama wajib menegur dan tidak boleh sekadar menutup mata supaya setiap kesilapan dapat dibetulkan sekali gus memastikan pihak yang melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa depan.

Bagaimanapun Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara sebagaimana disaksikan di Kongres Nasional PKR.

Tambah Nik Aziz, berdasarkan pengalaman berceramah dengan pemimpin DAP, selalunya mereka terlebih dahulu merujuk kepadanya sebelum berucap.

http://www.themalaysianinsider.com

Tidak padan polis tangkap peserta himpunan

Nazri dan Hazayani

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, tindakan polis menangkap para peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air tidak berpadanan dengan apa yang dilakukan oleh rakyat.

Katanya, para peserta himpunan tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara, lagipun sekarang bukan masa darurat.

Tambahnya, mereka hanya menyertai perhimpunan aman dan tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi hanya tidak mempunyai permit sahaja.

Menurutnya, keadaan yang berlaku itu tidak sebagaimana di London yang boleh mengadakan himpunan secara aman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa kesal dengan pihak polis yang menangkap peserta himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas itu.

Beliau beserta Exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari turut mengadakan perbincangan dengan pihak polis supaya tidak terus menahan para peserta sebagaimana yang dijanjikan.

“Tetapi sangat malang apabila polis menggunakan kekerasan menahan pseserta himpunan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis memberi jaminan akan membebaskan mereka yang ditahan dan tidak akan menangkap peserta yang mahu bersurai sekitar jam 3.30 petang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor akan membawa usul pada persidangan Dewan Rakyat nanti berhubung penangkapan peserta himpunan aman itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mempersoalkan tindakan polis menahan peserta kerana pada awalnya berjanji memberikan kerjasama.

Beliau kesal kerana polis sedia memberi kerjasama kepada peserta himpunan untuk berarak ke Istana Negara bagi mengiringi pemimpin Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa polis bahawa memberi kerjasama kerana pihak Istana Negara sedia menunggu rombongan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pihak polis mengikut arahan siapa di sebalik penangkap yang dilakukan itu.

Menurut Suaram, sekitar 70 orang ditahan pada himpunan aman itu yang difahamkan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dan Cheras.



Harakahdaily/-

Himpunan bersurai, 50 ditangkap

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kira-kira 50 peserta himpunan 'Kembalikan Hak Air Selangor', yang mahu berarak menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, ditahan pihak polis.

Penangkapan bermula seawal lima minit perarakan dimulakan dari masjid negara- tempat peserta berkumpul- menuju ke jalan utama di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Kekecohan berlaku apabila peserta bertembung dengan pihak polis yang membuat sekatan bagi menghalang pergerakan peserta himpunan ke Istana Negara.

Pada perhimpunan di Masjid Negara sebelum itu, para peserta difahamkan polis akan mengawal perarakan hari ini sihingga sampai ke Istana, bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku apabila sekumpulan polis mengadakan benteng dihadapan stesen keretapi.

Tidak cukup dengan itu, beberapa trak water cannon juga sudah bersedia manakala pasukan FRU pula berbaris dengan senapang gas pemedih mata.

Tidak berpuas hati dengan sekatan itu, para peserta himpunan mula merempuh halangan pihak polis dan berjaya melepasinya.

Biarpun berjaya, pasukan FRU yang menunggu di hadapan himpunan mula melepaskan gas pemedih mata ke udara, manaka wate cannon mula membuat semburan.

Ekoran itu, peserta mula mencari perlindungan dengan sebahagian masuk ke dalam stesen keretapi manakala sebahagian lagi berjaya meneruskan perjalanan.

Polis dan FRU bagaimanapun bertindak segera menghalang semua jalan ke istana sehingga peserta himpunan yang dapat melepasi halangan polis tadi terpaksa kembali semula ke kawasan Masjid Negara.

Sekembalinya ke masjid negara, polis memulakan operasi tangkap terhadap peserta khususnya yang berpakaian merah termasuk anggota Unit Amal Dewan Pemuda PAS yang mengawal keselamatan peserta.

Operasi menangkap peserta himpunan aman di masjid itu bermula kira-kira jam 2.50 petang.

Sehingga kini, difahamkan lebih 50 orang telah dibawa dengan trak ke balai polis tetapi lokasinya masih tidak dapat dipastikan.

Keadaan kelam kabut itu memaksa pihak penganjur mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan.

Exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad kemudiannya bertemu pihak polis bagi meredakan keadaan.

Polis kemudian memberi jaminan tidak akan membuat tangkapan dengan syarat peserta disuraikan dengan aman serta-merta.

Ekoran persetujuan itu, semua peserta diarah bersurai kira-kira jam 3.30 petang.

Peserta bantah kenaikan air kena gas

Nazri dan Hazayani

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kira-kira 15,000 orang yang menyertai perhimpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di pekarangan Masjid Negara terpaksa berpecah kerana disuraikan dengan semburan air dan gas oleh pasukan polis.

Ini ekoran pihak polis menghalang semua laluan menunju ke Istana Negara.

Mereka yang berkumpul sejak sebelum waktu Zohor pada mulanya berada dalam suasana tenang sementara menunggu ketibaan pemimpin Kerajaan Selangor untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid berkesempatan menyampaikan ucapan yang sebahagiannya adalah daripada kandungan memorandum itu kepada orang ramai.

Pihak polis membenarkan rombongan beliau dengan tiga buah kereta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Sebaik sahaja anggota rombongan meninggalkan kawasan Masjid Negara, pihak polis mulai menyurai peserta himpunan aman itu termasuk menggunakan gas pemedih mata dan semburan air daripada jentera water cannon.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan.

Sebahagian peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di perkarangan Masjid Negara.

AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu turut menyertai rakyat menolak penswastaan air.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Mohd Salleh turun bersama rakyat menyatakan bantahan.

Rakyat dari pelbagai lapisan yang menyertai bantahan kenaikan harga air oleh Syabas.

Pasukan polis membuat halangan.

Jentera water cannon menyebur air dan melepasjan gas pemedih mata kepada peserta himpunan aman.



Harakahdaily/-

Demo air: Polis tembak gas pemedih mata



28 Zulhijjah 1431H.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ketika penyokong baju merah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.







Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak

Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air di hadapan stesen lama KTM.

Manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.

Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kemudiannya, penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai.

Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.

Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.
Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Malaysiakini/-

Catatan : Sebagaimana yang dilaporkan oleh wartawan Harakahdaily ,saya juga menerima panggilan talipon dari seorang sahabat seperjuangan yang berada dalam demo pada hari ini. Dia mengesahkan jumlah yang sebenar dianggarkan ialah sekitar 15,000 orang yang hadir.