02 Disember 2011

MTUC desak tarik balik Akta Kerja

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 2 Nov: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak kerajaan menarik balik Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober lalu di Parlimen.

Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah, N.Gopal Krishnan sewaktu berucap menjelaskan akta tersebut bersifat akta 'bapa ayam' yang jelas zalim dan bersikap kuku besi.

"Saya nyatakan dengan perlaksanaan akta ini kerajaan akan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan sebelum ini dan dengan perlaksanaan ini jelas menunjukkan kerajaan bersifat zalim malah umpama 'bapa ayam'.

"Kita tidak mahu pekerja dinafikan hak di negara ini dan secara tidak langsung taraf pekerja warganegara kita hanya setanding dengan pekerja warga asing," jelasnya.

Beliau menyatakan bantahan it akan terus dilakukan kerana hak pekerja itu perlu ada pada tahap yang sepatutnya.

"Kita tidak mahu pekerja ditekan dan terus ditekan oleh pemerintah sekarang, kita akan terus mendesak serta menentang habis-habisan sehingga kerajaan menarik balik akta tersebut," sambung beliau lagi.

Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani yang turut hadir berkata, selama ini menentang perlaksanaan akta tersebut di Parlimen memberitahu akta tersebut bersifat 'rejim Israel'.

"Apa yang ingin saya katakan akta ini bersifat seperti 'rejim Israel' yang sikap ganas serta memijak kepala pekerja.

"Secara jelas saya membantah akta tersebut dan semua pasti tidak mahu masalah menimpa anak-anak mereka yang sudah pasti mangsanya mereka.

"Kita tahu akta ini sudah berulang kali ingin dibentang tetapi gagal, dan disebabkan majoriti yang besar penyokong kerajaan Barisan Nasional maka ia diluluskan pada sesi Parlimen kali ini," ucapnya.

Beliau berkata akta itu akan dimansuhkan jika berlakunya perubahan politik negara pada masa akan datang.

"Ini janji saya dan juga rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, jika berlakunya perubahan lanskap politik di negara ini, maka hak pekerja akan dipenuhi selain memansuhkan akta yang zalim ini.

"Kita mahu meletakkan pekerja pada tempat yang sepatutnya ia berada bukannya di bawah tapak kasut kerajaan sekarang," sambungnya lagi.

Mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu dengan terteranya akta itu maka pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan syarikat-syarikat swasta akan menggunakan khidmat pekerja kontrak.

"Akibat dan kesan kepada perlaksanaannya menyebabkan pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan semua akan menjadi pekerja kontrak.

"Kita pasti ini semestinya akan berlaku kerana pihak swasta dapat menjimatkan kos operasi mereka, jadi apa hak yang kita akan dapat dan apa akan jadi kepada anak-anak kita nanti.

"MTUC bersama pekerja serta Pakatan Rakyat akan terus mendesak agar akta ini ditarik balik, kita mahu kerajaan yang kejam serta menindas rakyat itu faham apa yang di alami oleh pekerja," ucapnya.

Sebelum itu perhimpunan bantahan yang diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19 Shah Alam merupakan susulan bantahan yang diadakan di seluruh negara sebelum ini.

Turut hadir ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Presiden MTUC, Malaysia Mohd Khalid Atan dan juga kesatuan-kesatuan pekerja kilang di seluruh Shah Alam.

Satu resolusi dan ikrar telah dibaca oleh seribu pekerja dan akan dibawa ke peringkat MTUC Malaysia bagi membincangkannya.

Harakahdaily/-

200 kereta tenggelam dalam banjir di Kajang


6 Muharram 1433H. [MOD] -

Kira-kira 200 buah kereta ditenggelami banjir yang melanda bandar Kajang petang tadi.

ADUN Kajang, Lee Kim Sin berkata banjir sedalam dua hingga tiga kaki itu akibat hujan lebat selama beberapa jam petang tadi.

Banjir yang menurut Lee yang terburuk sejak 1971 telah menenggelamikan satu perempat bandar Kajang.

Katanya, air banjir turut menenggelamkan tempat letak kereta bawah tanah di pusat membeli-belah Plaza Metro, yang dipercayai membabitkan kira-kira 20 kereta.

Keretapi Tanah Melayu Berhad turut menghentikan perkhidmatan komuter ke bandar itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, sembilan mangsa banjir termasuk tiga warga emas di Kajang berjaya diselamatkan apabila rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata mangsa berada di rumah ketika air mula menaiki rumah mereka.

"Kesemua mangsa kita selamatkan di kawasan perumahan di Kampung Sungai Kantan dan Jalan Kelapa di mana mereka tidak sempat melarikan diri bila banjir berlaku," katanya ketika dihubungi.

Beberapa kawasan di Kajang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira 4 petang tadi.

Kawasan yang terlibat ialah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang, Jalan Jeluk, Sungai Kantan, Jalan Semenyih dan Jalan Kelapa.

Mohamad Sani berkata di Sungai Kantan, air naik setinggi 1.5 meter manakala di tempat lain pada paras paha.

"Bomba menerima panggilan pada pukul 3.51 petang sebelum sampai dalam masa 10 minit bersama 14 anggota termasuk pegawai dari balai Kajang dan Cheras.

"Banjir surut kira-kira dua jam kemudian. Beberapa buah kereta serta motosikal rosak akibat ditenggelami air banjir," katanya.

Malaysiakini/-

Kajang dilanda banjir kilat (Video "Banjir" di Kajang)

BANJIR kilat yang melanda daerah Kajang selama hampir satu jam mengakibatkan sebahagian besar daerah itu dinaiki air sehingga menyebabkan paras air di Sungai Kajang melepasi paras bahaya. Ia adalah kejadian banjir terburuk melanda sebahagian daerah di Selangor tahun ini.



6 Muharram 1433H. [MOD] -

KAJANG: Hujan lebat selama hampir sejam bermula 4 petang tadi menyebabkan sebahagian besar daerah Kajang dilanda banjir kilat sehingga ada kawasan yang dinaiki air hingga ke paras dada.

Pusat Bandar Kajang antara paling teruk terjejas apabila arus deras banjir melanda pusat membeli belah Plaza Metro Kajang menyebabkan orang ramai di premis berkenaan panik.

Puluhan premis perniagaan dan kediaman turut dimasuki air banjir selepas paras air di Sungai Kajang melepasi paras bahaya dan melimpah ke kawasan sekitarnya.

Berpuluh kenderaan turut tersadai dan ada yang ditenggelami air.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Air banjir sudah beransur surut selepas hujan reda sekitar jam 5 petang.

Gegaran gempa bumi Sulawesi dirasai di Sabah

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Lahad Datu, Tawau dan Semporna, Sabah, hari ini merasai gegaran berikutan gempa bumi sederhana yang melanda semenanjung Minahassa, 553 kilometer dari tenggara Tawau.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut kenyataan jabatan itu, gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter itu berlaku pada 1.19 tengah hari tadi di Minahassa, Sulawesi, Indonesia

SN A Samad Said ketuai bantahan Akta Perhimpunan esok

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan mengetuai pusingan kedua protes di KLCC esok bagi membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu dan kini menunggu kelulusan Dewan Negara.

Taman yang sama, Sabtu lalu, menyaksikan kehadiran kira-kira 400 penunjuk perasaan.

Kebanyakan mereka berpakaian kuning sebagai menyokong pergerakan BERSIH 2.0 dan berkumpul serta bernyanyi, mengedar belon dan bunga, meniup buih sabun dan mengamalkan yoga untuk menunjukkan rasa kurang senang dengan dengan undang-undang baru yang didakwa menyekat kebebasan untuk berhimpun.

“Minggu ini, kami akan lakukannya lagi. Pak Samad akan menyertai kami untuk mendeklamasikan beberapa puisi.

“Marilah kita banjiri KLCC tanpa permit polis. Marilah kita tentang undang-undang yang bodoh ini. Marilah kita pertahankan kebebasan kita,” tulis seorang penganjur itu, Wong Chin Huat, di Facebook beliau.

Samad, 76, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad seorang penyajak dan penulis novel yang tidak asing lagi dengan demonstrasi. Beliau pernah mengetuai bersama perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dan perhimpunan anti-PPSMI pada tahun 2009.

Acara bermula jam 2 petang itu sekali lagi dianjurkan melalui Facebook. Ia menuntut rang undang-undang itu ditarik balik segera dan semua rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi secara pos.

Mengikut MalaysiaKini, penganjur berharap untuk bilangan yang akan hadir kali ini akan meningkat kepada 800 orang. Setakat ini, tidak kurang 300 warga maya telah mengesahkan penyertaan mereka.

Tidak seperti minggu lalu, penganjur kali ini meminta para peserta membawa makanan untuk “perkelahan petang” dan seperti lazimnya untuk membawa bersama bendera, belon dan bunga, serta berpakaian dengan warna kuning.

Keadilan Daily

‘Shahrizat perlu jawab, bukan berkokok di gelanggang sendiri’

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 2 Dis : Ketua Wanita KEADILAN menyifatkan keengganan Datuk Seri Shahrizat Jalil menjawab isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) kerana takut menghadapi perkara sebenar.

“Dia (Shahrizat) hanya berani berkokok digelanggangnya sendiri dan perwatakan yang ditunjukkan sangat kolot dan dangkal. Ia langsung tidak menunjukkan perwatakan wanita Islam dan Menteri,” katanya pada keadilandaily.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, Shahrizat sepatutnya menjawab pendedahan penyelewengan duit rakyat dan bukannya berdalih dari isu pokok malah mengeluarkan kenyataan angkuh.

“Dia begitu angkuh dan tidak mengapa, lagi dia bising lagi dia kena. Tunggu ada lagi pendedahan kerana kita (KEADILAN) tidak meremehkan isu yang berkaitan duit rakyat,” tegasnya.

Tambah Zuraida bahawa KEADILAN juga tidak akan gentar sekiranya Ketua Wanita Umno itu mengambil keputusan untuk bertindak menyaman parti di mahkamah kerana mempunyai bukti yang kukuh.

“Kalau dia nak saman, dia samanlah. Saya pasti dia tidak akan menang. Kita ada bukti dan sampai sekarang dia tak boleh jawab, dia hanya boleh jawab sewaktu perhimpunan Umno sahaja,”sindirnya.

Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat itu hari ini tidak mahu mengulas mengenai kemelut membabitkan NFC sehari selepas beliau menyampaikan ucapan yang berapi-api mengecam KEADILAN berhubung isu itu.

30 November lalu, Shahrizat turut memberi amaran keras kepada pemimpin KEADILAN kerana memainkan isu projek lembu yang diterajui suaminya malah menafikan penglibatan beliau dalam projek tersebut.

KEADILAN sebelum ini membongkar penyelewengan dana sebanyak RM250 juta yang dilakukan NFC dan mendakwa hampir RM10 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah di Bangsar.

Ia direkodkan sebagai bayaran pinjaman kepada National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), yang juga milik keluarga Shahrizat.

Semalam, Jingga 13 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi mengenai empat penyelewengan terbaru NFC melibatkan wang RM5 juta.

Ini ekoran dari pendedahan yang dibuat oleh Pengarah strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengenai pembelian sebuah kereta mewah Mercedes Benz RM534,622 pada Disember 2009.

Dana sebanyak RM3,363,507 turut disalurkan National Meat Lives Corporation (NMLC) syarikat berkaitan NFC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya pada tahun 2009 serta RM455,423 dibelanjakan untuk percutian.

Keadilan Daily

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Selepas menunggu selama 83 tahun, Parti Ikhwanul Muslimin akhirnya semakin hampir mendapat peluang yang ditunggu-tunggu untuk mentadbir Mesir selepas dilaporkan mendahului pilihan raya fasa pertama sejurus pengiraan undi tamat, semalam.

Parti berlandaskan Islam itu berharap mampu mengemudi perubahan politik Mesir selepas revolusi Arab, dan berikrar akan meningkatkan kembali ekonomi negara dengan 80 juta penduduk itu yang terjejas akibat pergolakan politik, awal tahun ini.

Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam tertua di Mesir dijangka mendapat kedudu-kan kukuh di Parlimen dan berharap dapat membentuk kerajaan campuran sejurus pilihan raya tiga fasa itu berakhir, Januari depan.

Kejayaan parti itu mendahului pilihan raya menandakan perubahan besar kerana pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak dan pemimpin sekular sebelum ini menindas dan melarang Ikhwanul Muslimin menyertai dunia politik.

Diketuai golongan profesional seperti doktor, jurutera dan guru, Ikhwanul Muslimin membawa slogan ‘Islam adalah penyelesaiannya’ dan turut mengutamakan demokrasi, keadilan sosial serta kebebasan undang-undang.

Namun perjalanan politik parti itu dijangka berhadapan cabaran besar apabila majlis tentera Mesir dilihat mahu mempengaruhi pemilihan Kabinet dan cuba meletakkan pemimpin pilihan mereka.

Populariti Parti Ikhwanul Muslimin juga menghancurkan impian kuasa Barat yang sejak dahulu kerap menjadikan pemimpin Arab sebagai boneka demi memenuhi kepentingan mereka.

Selain Mesir, parti berlandaskan Islam juga memenangi pilihan raya terbaru di Tunisia dan Maghribi.

SINAR HARIAN/-

Polis cuba bersihkan nama Shahrizat – Jingga 13

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara adalah satu cubaan untuk membersihkan nama keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa berkata bukti-bukti dikemukan KEADILAN mengenai penyelewengan dana rakyat sebanyak RM250 juta adalah jelas.

“Saya kesal dengan kenyataan (Datuk Seri) Khalid Abu Bakar kerana dengan bukti-bukti yang dikemukan telah jelas mereka salah guna duit rakyat. Dan kenyataan itu hanya dibuat sekadar nak membersihkan nama beliau (Shahrizat). .

“Sia-sia saja segala pendedahan yang dibuat kerana dalam negara buatlah apa saja, tapi tidak akan dianggap jenayah kalau semuanya dari pimpinan dan Menteri BN,” kata Fariz yang juga Pengerusi NGO, Jingga 13.

The Sun melaporkan Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata bahawa siasatan awal polis terhadap projek lembu (NFC) menunjukkan tiada bukti berlakunya jenayah pecah amanah (CBT).

Pagi tadi pula Jingga 13 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi mengenai empat penyelewengan terbaru NFC melibatkan wang RM5 juta.

Pengarah strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan dana NFC digunakan untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz RM534,622 pada Disember 2009.

Dana sebanyak RM3,363,507 turut disalurkan National Meat Lives Corporation (NMLC) – syarikat berkaitan NFC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya pada tahun 2009 serta RM455,423 dibelanjakan untuk percutian.

KEADILAN sebelum ini membongkarkan penyelewengan dana sebanyak RM250 juta yang dilakukan NFC, yang dimiliki keluarga Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno.

NFC juga didakwa membayar hampir RM10 juta bagi membeli kondominium mewah di Bangsar, yang direkodkan sebagai bayaran pinjaman kepada National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), yang juga milik keluarga Shahrizat.

Sebanyak RM9,758,140 dipindahkan dari akaun NFC di cawangan CIMB di Taman Tun Dr Ismail kepada pemaju, Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.

Keadilan Daily

Bapa anak satu terlantar

6 Muharram 1433H. [MOD] -

JENGKA 16 - Seorang pe­muda, Khairul Azman Ismail, 28, yang terlibat dalam nahas ­jalan raya berdekatan Felda Jengka 14 pada 21 November lalu bertuah kerana menerima kunjungan Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dia terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Akibat kejadian itu, Khairul Azman patah kaki kanan selain retak di betis sebelah kiri dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHas) selama lapan hari, tetapi kini sudah dibenarkan pulang ke rumahnya di Jengka 16.

Bagaimanapun, anak peneroka Jengka 16 dan bapa kepada seorang anak ini bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan itu walaupun mengalami kecederaan.

“Saya rasa bertuah kerana diziarahi Datuk Tuan Man. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli rombongan yang sudi melawat saya dan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir dalam program ziarah itu, Ketua Pemuda Pas Pahang, Shahril Azman Abdul Halim dan beberapa Jawatankuasa Pemuda Pas Kawasan Kuala Krau.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krau berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa.

“Kita berharap saudara Khairul Azman segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala serta dapat bekerja semula bagi menyara keluarganya,” katanya.

Sinar Harian

Bas ekspres terbabas

6 Muharram 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Seramai 13 penumpang sebuah bas ­ekspres milik syarikat Kuala Tahan Ekspress terselamat selepas kenderaan dinaiki dari Kuala Perlis ke Jerantut terbabas di Kilometer 109.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku apabila pemandu bas, Saifulhamizi Mohamad, 31, gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum bergesel ­dengan besi pengadang jalan di kiri jalan.

Menurutnya, akibat pergeseran badan bas dengan besi pengadang jalan mengakibatkan bas menggelongsor ke ­tebing lebuh raya terbabit.

“Bas terbabit hanya ter­babas dan tidak terbalik dan semua 13 penumpang yang ada tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Mohd Nor berkata, ­pemandu bas yang berasal dari Bandar Pusat Jengka, Maran, mempunyai lesen memandu yang sah, kejadian berlaku di laluan lurus, sehala dan dua ­lorong serta ketika keadaan cuaca baik dengan permukaan ­jalan kering.

Mohd Nor menasihati semua pengguna jalan raya di daerah ini supaya memandu dengan lebih berhati-hati ter-utama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur sejak kebelakangan ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nor menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka terutamanya ketika musim cuti sekolah ketika ini.

Sinar Harian

PAS heret bil Perhimpunan Awam ke mahkamah


6 Muharram 1433H. [MOD] -

PAS hari ini memfailkan semakan kehakiman ke atas terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

NONEDalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (tengah) dan dua anggota parlimennya di Mahkamah Tingggi Kuala Lumpur pagi tadi, parti itu menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

PAS juga memohon perintah larangan supaya responden daripada terus melakukan tindakan itu.

Manakala perintah mandamus dipohon supaya responden menarik balik rang undang-undang atau memindanya turut dipohon sebagai alternatif.

Tiada perintah kos dipohon kerana ia melibatkan kepentingan awam, kata peguam Hanipa Maidin yang mewakili ketiga-tiga pemohon.

"Anak guam saya membuat permohonan ini kerana walaupun responden memiliki hak eksekutif, ia bertindak tidak selaras dengan ketinggian perlembagaan," katanya yang juga peguam PAS.

Dua lagi pemohon ialah Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Hatta Ramli (Kuala Krai).

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Hanipa berkata, fasal 4 rang undang-undang itu yang melarang protes jalanan, bertentangan dengan perkara 10 perlembagaan persekutuan.

NONEPerkara lain yang dibangkitkan berhubung larangan terhadap kanak-kanak bawah 15 tahun menyertai atau menganjurkan perhimpunan.

Permohohan itu dianggap percubaan pertama di Malaysia dan bakal menjadi kes rujukan di masa depan kerana belum pernah berlaku dalam sejarah kehakiman negara ini.

Bagaimanapun, jelas Hanipa, kes yang hampir sama pernah difailkan di England.

Mahkamah belum menentukan tarikh permohonan itu akan disebut.

Sementara itu, Mohamad berkata, jaminan daripada ucapan menteri tidak boleh dijadikan asas untuk menerima rang undang-undang itu.

"Jaminan menteri tidak tercatat dalam rang undang-undang ini," katanya.

MALAYSIAKINI/-

PRU13: Gamis seru siswa, anak muda bersedia

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Mahasiswa mesti bersedia untuk bertindak sebagai third-force dalam meneraju arus gelombang perubahan dan memobilasi gelombang kebangkitan rakyat.

“Ini amat penting bagi memastikan kepimpinan negara kita sentiasa dinilai oleh mahasiswa yang juga merupakan kumpulan check and balance kepada negara," kata Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Menurutnya, mengambil intipati sejarah agung Islam, penghijrahan Nabi s.a.w., mahasiswa seharusnya bersedia untuk meletakkan diri sebagai benteng mempertahankan keadilan sejagat.

Katanya, dalam penilaian ucapan dasar Presiden Umno yang mengetuai tampuk kepimpinan negara hari ini, menampakkan bahawa seolah-olah pilihan raya umum ke-13 sudah tidak lama lagi.

Beliau berkata, dengan kewujudan pelbagai akta baru dan 'undang-undang rimba' yang sangat tidak masuk akal, semakin terbukti bahawa Umno BN sudah bersiap untuk membubarkan parlimen.

Justeru, ujarnya Gamis menyeru seluruh mahasiswa khususnya dan anak muda umumnya untuk mempersiapkan diri dalam penyertaan menentukan kepimpinan negara yang lebih baik.

Katanya, dua perkara penting yang mesti ditekankan oleh mahasiswa iaitu nama sudah didaftar sebagai pengundi dan pastikan kewujudan nama tersebut kerana tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

Selain itu, ujarnya mereka mestilah bersedia untuk pulang ke halaman masing-masing dan mengundi calon dan parti yang terbaik supaya perjuangan gelombang kebangkitan rakyat tidak disia-siakan.

Harakah Daily

Tunggu fatwa dakwat kekal hanya dalih SPR

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata alasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersedia menggunakan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang tetapi perlu menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah satu yang aneh.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, sedangan pada tahun 2008 penggunaan dakwat kekal telah diluluskan malah telah mempunyai kelulusan daripada Majlis Fatwa.

"Alasan SPR itu satu yang aneh serta menunjukkan sikap dolak dalik mereka untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum yang akan datang.

"Selain itu juga ia mempunyai motif tersendiri untuk cari alasan agar penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan, kenapa kena tunggu kelulusan dari Majlis Fatwa sedangkan pada tahun 2008 sebanyak RM2.4 juta telah dibelanjakan untuk membeli dakwat kekal.

"Malah kelulusan Majlis Fatwa sudah diperolehi tetapi mereka mencipta alasan lain untuk menolak penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya tahun 2008," jelasnya.

Dalam pada itu Saifuddin memberitahu, SPR tidak perlu membangkitkan hal-hal sedemikian kerana perkara itu telah dibincangkan semasa pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

"Perkara tersebut telah dibincangkan semasa pendengaran awam PSC yang turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan ia tidak perlu timbul sekarang.

"Nampaknya SPR tidak bersedia untuk melaksanakannya serta menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil," ujarnya.

Tambahnya lagi, desakan yang dilakukan oleh Bersih 2.0 dan juga Pakatan Rakyat telah menunjukkan hasil yang baik di mana sewaktu perbahasan laporan awal cadangan PSC di Dewan Rakyat semalam menunjukkan cadangan pertama penambahbaikan pilihanraya adalah penggunaan dakwat kekal.

"Persetujuan telah diperolehi dan perbahasan semalam juga telah meluluskan apa yang dicadangkan oleh PSC jadi kena SPR ingin berdolak dalik.

"Pakatan Rakyat mendesak agar SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum ketiga belas nanti (PRU13) dan apa yang dibincangkan semasa pendengaran awam PSC, SPR hanya memberitahu memerlukan dua bulan untuk proses tenpahan dan pembelian dakwat kekal.

"Pakatan Rakyat berpendapat alasan itu cukup aneh dan tidak boleh diterima pakai," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi akan menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah Setiausaha SPR, Kamaruddin Ahmad Baria memaklumkan bahawa mereka sedia menggunakan dakwat kekal dan sedang menunggu kelulusan terakhir daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan bahan yang digunakan dalam dakwat itu mematuhi kehendak syariah.

Harakah Daily

Guna emel, SMS keluarkan wang

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMUNTING – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik penipuan licik pengeluaran wang di bank oleh pihak tidak diketahui.

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, dia juga menjadi seorang mangsa penipuan berkenaan bagaimanapun, tindakan cepat yang dilakukannya berjaya menyelamatkan wangnya.

Menurutnya, satu emel diterima daripada bank pada 27 November lalu mengatakan ‘pac’ diperlukan untuk setiap transaksi ketika dia berada di Langkawi.

“Saya diminta untuk menge­mas kini di tempat ‘tekan sini untuk teruskan’ dan berbuat demikian mengikut arahan tersebut pada 28 November lalu.

“Tujuh minit kemudian, saya menerima mesej pesanan ringkas (SMS) menyatakan RM3,000 dikeluarkan da­ri akaun untuk diberikan ke­pada individu tidak dikenali,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dia terus menghubungi bank berkenaan bagi melaporkan penipuan tersebut tetapi panggilan tidak berjawab kerana talian sibuk.

Katanya, selepas itu, satu lagi SMS diterima dan kali ini sebanyak RM5,000 dikeluarkan untuk diberikan kepada orang yang sama.

Billy berkata, dia berjaya bercakap dengan seorang pegawai bank dan memaklumkan mengenai perkara itu seterusnya pegawai tersebut membantu menyekat akaunnya.

“Saya ke cawangan bank berkenaan di Kamunting pada hari yang berikutnya untuk mengetahui perkembangan.


“Saya bersyukur kerana menurut pengurus bank, wang dalam akaun saya masih selamat kerana tindakan cepat saya dan pihak bank,” katanya.

Beliau berharap, orang ramai yang menerima emel atau SMS yang mencurigakan terus ke bank bagi tindakan lanjut.

Sinar Harian

Pembangkang tidak bebas bersuara

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pembangkang menganggap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Parlimen 22 November lalu sebagai mengongkong kebebasan pihaknya untuk bersuara.

Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Zakaria Dagang berkata, melalui sekatan tertentu yang dijelaskan pihak kerajaan, beliau melihat ia semakin menyekat ruang bersuara di pihak pembangkang.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk menyekat perhimpu-nan aman daripada berlaku. Saya tidak nampak ada kebebasan untuk kita melakukan perhimpunan aman kerana perhimpunan itu sendiri tidak menguntungkan pihak kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 untuk bacaan pertama di Parlimen yang mengandungi transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak Perlembagaan bagi warganegara untuk berhimpun, me-nganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata.

Walaupun ia memberi kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun, rang undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz itu dilengkapi sekatan yang difikirkan perlu demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam.

Zakaria turut menganggap, rang undang-undang tersebut digubal kerana me-ngambil kira perhimpunan yang dibuat sebelum ini terutama Bersih 2.0.

Menurutnya, kerajaan cuba menyekat usaha pembangkang melakukan perhimpunan secara aman.

“Sebagaimana yang berlaku sebelum ini, kita sudah memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk dan kita juga tidak membawa senjata ke perhimpunan tersebut.

“Bagaimanapun, ada tindakan provokasi daripada pihak tertentu sehingga menimbulkan suasana tegang semasa perhimpunan berlaku,” katanya.

Sinar Harian

Sembilan motosikal disita

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SEGAMAT - Sebanyak sembilan motosikal disita pihak Majlis Daerah Segamat semalam atas kesalahan meletakan motosikal di tempat yang salah selain menghalang laluan pejalan kaki di beberapa kaki lima sekitar kawasan bandar ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat Ismail Abu berkata, pihaknya sebelum ini sudah menjalankan tindakan sama di beberapa kawasan tumpuan orang ramai dan pejalan kaki.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak sembilan hingga 15 buah motosikal disita MDS dalam jangka masa seminggu berkaitan kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang salah dengan hampir lima buah kereta disita dalam jangka masa sebulan.

“Pihak MDS melihat perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap penunggang motosikal selain pemilik kenderaan (kereta) untuk mengambil berat setiap notis yang telah diletakkan sebelum kenderaan mereka disita.

“Setiap kereta atau lori yang ditarik tidak dilakukan hanya dengan satu notis sahaja malah pihak MDS telah memutuskan untuk memberikan peluang kepada pemilik bagi mengalihkan kenderaan mereka dengan anjakkan beberapa hari dari tarikh notis dikeluarkan dan ada yang diberi peluang sehingga dua notis dikeluarkan untuk sebuah kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS seperti kereta melakukan kesalahan seperti membiarkan kenderaan tersebut di lorong belakang, terbiar atas tanah kerajaan dan kebanyakannya disita kerana terbiar dalam jangka masa yang sangat lama.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa MDS, Raja Abu Bakar Raja Yahya berkata, setiap kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS perlu dituntut oleh pemiliknya dengan hadir terus ke stor MDS di Jalan Muar untuk membuat tuntutan kenderaan mereka.

“Bagi sebuah kenderaan seperti motosikal denda dikenakan sebanyak RM250 dan perlu dituntut dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan denda lain dikenakan.

“Semua pihak perlu mengambil kira setiap undang-undang yang disediakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sekali gus memudahkan dan melancarkan laluan lalu lintas,” katanya.

Sinar Harian

Temui ajal dalam kereta

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI - Seorang penjual kopi ditemui mati di dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback dipercayai akibat diserang sakit jantung pagi semalam.

Kakak mangsa, Zaleha Ram­­lan, 49, berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, Lok­­man Ramlan, 43, yang tinggal di Taman Kota Jaya, di sini turut membawa anak perempuannya, Dinah Alisa berusia enam tahun untuk mengedar paket serbuk kopi campuran kepada pelanggan tetapnya di kawasan komersial taman perumahan itu.

Menurut ahli keluarganya, sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya bersarapan di sebuah kedai di situ dan sempat membelikan anaknya aiskrim.

Namun, setibanya di Jalan Pedada di taman itu, mangsa dipercayai diserang sakit jantung lalu memperlahankan keretanya ke tepi jalan deretan kedai di situ sebelum kereta tersebut bergerak perlahan tanpa kawalan sejauh lima meter lalu terhenti apabila tersangkut pada bahagian tepi sebuah lori yang diparkir secara melintang di situ.

Orang ramai yang terkejut dengan kejadian itu segera menghubungi Hospital Kota Tinggi sebelum menghubungi waris mangsa melalui telefon bimbitnya.

Isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini serta ibu mangsa, Dinah Abu Bakar, 68, turut kelihatan di tempat kejadian selepas menerima maklumat tentang kejadian yang menimpa Lokman.

Sementara itu, Zaleha ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi berkata, adiknya itu (Lokman) pernah bekerja di sebuah bank sebelum berhenti setahun lalu untuk berniaga.

“Sebelum ini, arwah tidak pernah mengadu sakit dan dia seorang yang gigih bekerja.

“Apa yang menyedihkan pada enam tahun lalu, bapa saya, Ramlan Samad, seorang pesara guru juga meninggal dunia secara mengejut ketika sedang berada di dusun buah-buahannya bersama ibu saya. Kini sudah dua kejadian mati mengejut berlaku dalam kalangan ahli keluarga kami, namun begitu kami terimanya sebagai takdir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik yang mengesahkan kejadian berkata, hasil laporan bedah siasat mengesahkan sebab kematian Lokman adalah akibat serangan jantung.

“Jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bukit Lintang, Lukut di sini untuk dikebumikan petang ini (semalam),” katanya.

Sinar Harian

Elak kecurian motosikal

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Kira-kira RM30,000 diperuntukkan untuk membina parkir motosikal berkunci bermula 2012 di dua bandar berasingan iaitu Bandar Kuala Berang dan juga Bandar Ajil.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Talaha Ali berkata, parkir yang bakal dilaksanakan tahun hadapan itu bertujuan mengurangkan masalah kecurian motosikal di kedua-dua bandar berkenaan yang terlalu berisiko.

“Ini adalah langkah atau usaha kerajaan yang dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu.

“Jika sebelum ini kita melihat banyak parkir motosikal yang tiada sistem keselamatan sistematik, tetapi bermula tahun hadapan, pengguna motosikal tidak lagi perlu risau keselamatan kenderaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawasan yang menjadi tumpuan dan bakal disediakan parkir motosikal berkunci ialah di kawasan perniagaan, perumahan dan juga lokasi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, ia adalah sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kes kecurian motosikal kerana masalah itu juga dilihat begitu tinggi berlaku di daerah ini.

“Begitu juga dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat penduduknya hidup dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Sinar Harian

NFC akan terus junamkan indeks rasuah, kata PAS

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Siasatan awal polis yang merumuskan bahawa tiada unsur pecah amanah dalam isu projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) akan terus menjunamkan indeks rasuah Malaysia di mata dunia, dakwa PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Zulkefly Ahmad berkata, tindakan sebegitu bukan caranya untuk membaikpulih kedudukan berkenaan.

"Kalau begini caranya, kita akan terus merudum. Ketika kerajaan bercakap tentang demokrasi terbaik, masih ada yang dilindungi," katanya.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pengumuman timbalan ketua polis negara tentang hasil siasatan projek sensasi itu memberikan kejutan besar kepada mereka.

Hadir sama dalam sidang media itu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menurut laporan Tranparency International semalam, skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini.

Sementara itu, Mohamad ketika diajukan soalan yang sama, menyifatkan kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar itu, sebagai "pelik".

"Ini kenyataan yang pelik. Saya hendak dengar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat kenyataan yang sama," katanya ringkas.

Suruhanjaya itu sebelum ini dilaporkan mendapat aduan yang sama tetapi menyerahkannya kepada polis kerana mendapati kes itu bukan bawah bidangkuasanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dengan pembelian kondominium mewah di ibu negara.

Khalid dilaporkan berkata siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah.

Namun, katanya, pihak polis masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

Menurutnya, 74 individu telah sudah panggil untuk diambil keterangan setakat ini.

MALAYSIAKINI/-

Maut dirempuh bas

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam keadaan menyayat hati setelah tubuhnya terputus dua akibat dirempuh sebuah bas persiaran di KM 49.9
Lebuhraya Utara-Selatan di Sedenak, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan bahagian pusat hingga kaki mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala bahagian kepala hingga perutnya tersangkut pada bahagian hadapan bas yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bah­ru-Singapura.

Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital ber­­ham­­piran.

Salah seorang penumpang, Valambal, 60 berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum terjatuh dari tempat duduknya dan terhumban ke arah hadapan bas bersama beberapa penumpang lain.

“Dia (pemandu) tidak dapat mengelak pekerja berkenaan lalu melanggarnya sebelum memberhentikan bas dan ketika itu ramai penumpang yang terjatuh ke hadapan bas.

“Ketika kejadian saya duduk di barisan ketiga di belakang pemandu, yang lain-lain (penumpang) selamat dan hanya alami luka ringan,” katanya.

Sementara itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, namun berjaya mengawal kenderaan daripada menyebabkan terbalik ke bahu jalan.

“Kejadian ini mengejutkan saya, namun saya berasa sedikit lega kerana selamat mengelak dari melanggar pembahagi jalan dan mengawal kenderaan supaya tidak terbalik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada pemandu bas yang melanggar lori kenderaan pekerja yang sedang menjalankan kerja pembaikan pada bahu jalan terbabit.

Katanya, kesemua 20 penumpang dan pemandu terselamat.

Sinar Harian

RM25,000 lesap diragut

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Seorang pekerja kilang berputih mata apabila wang sebanyak RM25,000 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di pekan Sungai Siput, di sini, Selasa lalu, lesap setelah menjadi mangsa ragutdi sebuah restoran berdekatan.

Pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki keluar daripada sebuah bank dan tiba-tiba diserang seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim, berkata, mangsa berusia 50 tahun itu adalah bekerja di sebuah kilang dan menjadi wakil untuk mengeluarkan duit untuk tujuan tertentu.

Menurutnya, setelah keluar dari bank berkenaan, mangsa tidak terus beredar kerana menuju ke sebuah kedai untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Setelah mengeluarkan wang dari bank, mangsa memasukkan duit di dalam sampul dan membawanya ketika menunggu untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Kedai makan berkenaan berada berhampiran bank dan ketika menunggu seorang lelaki memakai topi keledar menendangnya dari arah belakang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau berkata, selepas itu, lelaki berkenaan terus meragut sampul berisi duit yang dibawa mangsa dan lari menyeberangi jalan.

Jelasnya, seorang rakan peragut menunggu di seberang jalan menggunakan motosikal dan mereka terus memecut lari.

“Kami tidak menolak kemungkinan gerak-geri mangsa sudah diperhatikan penjenayah sebelum kejadian itu.

“Kemungkinan besar penjenayah sudah memerhatikan mangsa sebelum ini dan sudah menjadikannya sebagai sasaran kerana bukan kali pertama mangsa keluarkan wang di bank berkenaan,” katanya.

Azman berkata, sehingga kini, tiada kes ragut dilaporkan berlaku di kawasan itu dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, saksi kejadian atau individu yang mempu­nyai maklumat suspek diminta tampil dengan menghubungi balai berhampiran.

Sinar Harian

Mangsa banjir di daerah Kerian Meningkat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian yang dipindahkan meningkat daripada 74 orang semalam kepada 97 orang hari ini berikutan kampung mereka masih dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata mangsa banjir terbaru yang dipindahkan malam tadi membabitkan 23 orang daripada enam keluarga.

Mangsa-mangsa terbaru itu membabitkan Kampung Perlis, Kampung Batu 38 Bukit Merah, Kampung Parit Ayer Hitam dan Kampung Padang Lalang, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Fauzi berkata kesemua mangsa banjir itu dipindahkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Semalam seramai 74 orang mangsa banjir dipindahkan dan ditempatkan di sekolah berkenaan membabitkan Kampung Batu 40 Bukit Merah, Kampung Perlis dan Ban Abu Hasan, katanya.

Katanya kampung-kampung terbabit masih dinaiki air berikutan limpahan kolam air Bukit Merah akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh Jabatan BOmba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahann Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA

Penerbangan terus ke Medan dari Ipoh

6 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH – Syarikat pengurusan penerbangan tempatan, Unimaju Fly Travel &Tours Sdn Bhd (Unimaju Fly) akan menawarkan pakej pelancongan kesihatan eksklusif kepada rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.

Pengarah Urusan Unimaju Fly, Habidi Zain berkata, ia melibatkan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia di Medan, Indonesia ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTAS) di sini.

“Pusat-pusat perubatan di negeri ini menjadi pilihan kepada rakyat Indonesia terutama dari Medan bagi mendapatkan rawatan kesihatan mereka.

“Ini kerana pusat-pusat perubatan ini menawarkan perkhidmatan yang bermutu tinggi dengan kadar bayaran yang jauh lebih murah berbanding di negara lain,” katanya selepas majlis pelancaran penerbangan sulung melibatkan penerbangan tiga hala iaitu Subang-Ipoh-Medan yang disempurnakan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim di sini, semalam.

Menurutnya, pakej yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012 itu masih dalam peringkat perbincangan melibatkan sewaan pesawat khas dengan kadar berpatutan kepada pesakit dan keluarga.

Habidi berkata, pihaknya sedang berbincang bersama wakil-wakil pusat perubatan di bandar raya ini bagi mendapatkan terma dan peraturan untuk membawa pesakit dari republik itu.

“Secara purata, rakyat Indonesia membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan rawatan di sini setiap tahun.

“Dengan adanya penerbangan khas pada kadar berpatutan, secara tidak langsung meningkatkan kadar pelancongan selain membantu sektor perubatan di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Habidi berkata, penerbangan sulung menggunakan pesawat ATR72 itu menawarkan jadual penerbangan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Ahad.

“Permintaan terhadap penerbangan terus Ipoh-Medan sangat menggalakkan dan Unimaju Fly berharap peluang ini direbut semua pihak sama ada untuk berkunjung ke
Medan atau rakyat republik itu melancong ke Perak.

“Caj yang dikenakan juga berpatutan malah, Unimaju Fly yakin semua golongan mampu menggunakan perkhidmatan yang disediakan ini kerana kadar yang dikenakan adalah termasuk surcaj bahan api,” katanya.

Sinar Harian

Satu lagi tahanan di lokap polis meninggal dunia

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang penghuni Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ditemui meninggal dunia di dalam lokapnya tengah hari, semalam.

Menurut sumber polis lelaki berumur 50 tahun itu ditemui mati oleh rakan selokapnya kira-kira pukul 1.20 tengah hari.

"Rakan lokapnya ingin ajak si mati makan tengah hari namun dilihat sudah meninggal dunia," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas, semalam.

Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Beliau berkata lelaki yang ditahan pada Isnin lalu dan direman keesokan harinya disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

RUU Perhimpunan Aman: PAS saman PM hari ini

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu memaksa PAS mengambil tindakan saman terhadap beliau dan Kerajaan Malaysia hari ini.

Saman tersebut difailkan bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.00 pagi tadi.

Menurut Mohamad Sabu, tindakan saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Hanipa Maidin & Co dengan turut ditemani peguam terbabit, Mohd Hanipa Maidin yang juga peguam PAS, dengan menamakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.

Katanya, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan 3 perintah dari mahkamah.

"Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Perintah kedua, menurut beliau, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.

"Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntikan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hanipa Maidin berkata, meskipun rang undang-undang tersebut telah dipinda pada persidangan Dewan Rakyat, hakikatnya, Perdana Menteri dan Kerajaan malaysia tetap telah bertindak melampaui kuasanya kerana memperkenalkan rang undang-undang itu yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini menjadikan rang undang-undang tersebut, sekiranya berjaya dijadikan Akta yang berkuatkuasa, adalah terbatal dan tidak saj di bawah Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Responden-responden, katanya, hanya mempunyai kuasa untuk membentang rang undang-undang yang selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi responden-responden telah bertindak melebihi kuasanya kerana membentangkan rang undang-undang tersebut yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.


Harakah Daily

Jerman larang pelajar solat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

BERLIN - Sebuah mahkamah di Jerman menghalang seorang pelajar beragama Islam daripada menunaikan solat di dalam kawasan sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran kerana menganggap perbuatan itu sebagai gangguan kepada sekolah.

Mahkamah persekutuan mendakwa perbuatan itu akan mencetuskan masalah di sekolah, walaupun mengakui hak untuk menunaikan solat di sekolah adalah kebebasan beragama yang dijamin perlembagaan negara.

Menurut mahkamah, sekolah tinggi di Berlin mengambil tindakan betul apabila menghalang Yunus Mitschele, 18, menunaikan solat secara terbuka di dalam kawasan sekolah kerana mendakwa ia akan mencetuskan konflik antara pelajar berlainan agama.

Selain menyokong lara-ngan pihak sekolah supaya pelajar tidak menunaikan solat, mahkamah turut memutuskan sekolah tersebut tidak perlu menyediakan bilik khas untuk pelajar Islam bersolat kerana ia di luar tanggungjawab pihak sekolah.

Perbicaraan kes selama lebih dua tahun itu bermula apabila Yunus dan beberapa rakannya menunaikan solat secara berjemaah di koridor sekolah semasa waktu rehat pada 2007.

Pengetua sekolah kemudian memberi amaran kepada remaja itu dan ibu bapanya bahawa menunaikan solat di sekolah tidak dibenarkan kerana didakwa akan menimbulkan masalah, menyebabkan Yunus membawa kes tersebut ke mahkamah.

Kes itu menerima perhatian meluas di Jerman, negara dengan hampir empat juta penduduk beragama Islam, apabila keputusan dua mahkamah daerah sebelum ini menyebelahi Yunus sebelum ia ditarik balik mahkamah persekutuan.

SINAR HARIAN/-

M'sia jangan ikut Amerika tak iktiraf Hamas

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Tiga ahli Parlimen PAS yang menyertai konvoi delegasi Global March to Jerusalem (GMJ) minggu lalu mendesak kerajaan Malaysia meningkatkan kesedaran rakyat berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kerajaan Malaysia juga harus mengiktiraf Kerajaan Hamas di Palestin dan tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) yang memusuhi Hamas.

"Kami sebagai Ahli Parlimen Malaysia mendesak kerajaan mengambil berat masalah kezaliman ke atas Palestin dan penderitaan yang dihadapi rakyatnya.

"Malaysia masih lagi tak iktiraf Hamas dan masih lagi iktiraf Fatah kerana ikut telunjuk Amerika Syarikat yang kata Hamas pengganas.

"Kerajaan lain sudah sanggup iktiraf Hamas kenapa Malaysia yang selalu bercakap ingin membela Palestin masih enggan iktiraf Hamas?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, kerana tidak mengiktiraf Hamas itulah segala bantuan ke atas Palestin disekat oleh AS.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga menyampaikan harapan Kerajaan Hamas agar tekanan terhadap AS ditingkatkan agar nasib malang rakyat Paletin dapat diubah.

Beliau juga mengingatkan kerajaan Umno BN agar mengambil iktibar daripada penderitaan rakyat Palestin dan menghentikan segala pemborosan dalam perbelanjaan negara.

"Paling sedih betapa mereka hidup dalam kesempitan tapi di Malaysia, kerajaan begitu boros dari segi perbelanjaan, rasuah dan ketirisan sering berlaku.

"Sebagai contoh, untuk rawatan kumbahan mereka hanya perlu 1.5 bilion sahaja tapi kita guna 28 bilion sebagai ketirisan. Jadi jangan cakap soal nak tolong Palestin kalau tak ada keinsafan untuk ubah cara pemerintahan," katanya.

Dua lagi Ahli Parlimen yang turut serta dalam delegasi bersama 70 Ahli Parlimen dari 40 negara di Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Timur Tengah 16 November lalu itu ialah Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja).

Sewaktu di sana, mereka dibawa bertemu Kerajaan Hamas untuk mendapat maklumat mengenai sekatan yang dilakukan oleh Israel ke atas mereka sejak memenangi pilihan raya pada 2006.

Delegasi bertemu dengan Kementerian Kesihatan, Pertanian, Pendidikan dan Tahanan dan mendengar laporan mereka mengenai apa yang berlaku di Gaza termasuk peristiwa pengeboman 22 hari berturut-turut oleh AS.

Pengeboman itu bukan sahaja menyebabkan kematian tapi trurut memberikan kesan jangka panjang termasuk kecacatan dan pencemaran air di negara yang dihuni 1.5 juta penduduk itu.

HARAKAHDAILY/-

Wujudkan undang-undang tangani YB lompat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu undang-undang baru bagi menangani permasalahan wakil rakyat lompat parti.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya sangat perlu bagi menghalang ataupun menghukum wakil rakyat yang bertindak mengkhianati undi rakyat di kawasannya.

"Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih.

"Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada ahli parlimen atau Adun," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulangi pendiriannya di Dewan Rakyat semalam, yang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya turut mengesyorkan perkara tersebut kepada kerajaan.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kerajaan telahpun mewujudkan undang-undang di mana jika seseorang wakil rakyat itu meletak jawatan, maka akan hilang kelayakan untuk bertanding kerana telah mengkhianati undi rakyat.

Maka katanya, atas semangat sama, undang-undang serupa perlu diwujudkan ke atas wakil rakyat lompat malah ianya harus lebih tegas dan drastik.
"Ini bukan soal PAS ke BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat.

"Tak kira dari Pakatan Rakyat ke dari BN ke, kalau lompat mesti digugurkan jawatan sebagai wakil rakyat," tegasnya.

Harakah Daily

Rakyat Perak bakal dapat MB baru?

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir didakwa tidak lagi akan dipilih sebagai menteri besar Perak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika BN kekal memerintah negeri itu selepas PRU-13.

Sebaliknya beberapa nama dikatakan bakal menggantikan Zambry termasuklah Bekas Menteri Besar, Tan Sri Tajol Rosli, Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Bruas Datuk Manaf Hashim yang didakwa kini sangat rapat dengan perdana menteri.

Menurut sumber, desas-desus itu sangat kuat diperkatakan kakitangan kerajaan negeri malah usaha lobi-melobi juga jelas dapat dilihat blog-blog politik ahli Umno negeri itu.

Pada masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Perak turut mendapat malumat berhubung pergolakan sedang berlaku itu.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan hari ini mencabar Umno negeri itu menamakan calon menteri besar yang baru.

"Adakah Tan Sri Tajol Rosli akan kembali menerajui Umno BN Perak? Ataupun Timbalan Pengerusi Umno BN Perak kini, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang akan dinamakan bagi menggantikan Datuk Seri Zambry?

"Atau juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini? " soalnya
Beliau juga mendakwa, Najib sehingga kini belum memuktamadkan siapakan calon yang paling layak untuk kerusi ‘orang nombor satu’ di negeri itu.

"Marilah kita tunggu apa jawapan BN Perak dan kami telah pun mengisytiharkan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar untuk Pakatan Rakyat (PR) Perak kelak," katanya.

Harakah Daily

Himpunan UMNO , retorik dan lakonan untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.

6 Muharram 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno di perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur ini tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara.

Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.

Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengan tangannya semasa berucap.

Dalam Perhimpunan Agung Umno, hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan juga DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memohak kepada BN dan MCA jelas telah ditolak oleh orang Cina.

Dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut sedangkan siapakah yang sebenarnya yang menghina dan menkhianati orang India bila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selapas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan.

Pada waktu sekarang, kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum cina dan India . Lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Itupun saya beranggapan bahawa orang Melayu tidak semudahnya akan menyokong Umno kerana jasa dan pejalanan serta realiti apa yang berlaku di negara kita telah melakarkan bahawa Umnolah pengkhinat sebenar kepada agama , bangsa dan negara.

Melihat perkembangan tersebut diharapkan semoga parti umno cepat berkubur kerana mereka sudah tidak relevan lagi dipersada politik tanahair.

Jika kita boleh gambarkan di TV ,sebenarnya rancangan kartun upin ipinlah yang lebih relevan berbanding umno yang sudah ketandusan modal untuk berceloteh dengan kata-kata semangat mereka tidak lebih dari bahan yang berunsur mengarut.

Najib sudah palu gendang PRU13 dan menyatakan ia sudah semakin hampir, justeru ayuh pimpinan dan pendokong pakatan siap"tempur" untuk selamatkan negara dari pemimpin UMNO yang sedang belakon bagi meraih sokongan rakyat demi kuasa yang sudah berada di hujung usianya..

Putrajaya sudah pasti dalam gengaman PR jika usaha gigih secara berterusan dilakukan bagi menjatukan BN dan disulami dan disertakan bersama doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Parit Buntar, 2 Dis 2011

Sunnah dan adab hari jumaat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

1. Hari Jumaat terdapat masa yang mustajab doa. Maka, perbanyaakkan doa

2. Bersedia menghadapi hari jumaat mulai dari hari khamis dengan (1) mencuci kain & baju (2) banyakkan mengucap tasbih & istighfar.

3. Sunat mandi apabila terbit fajar sehingga solat Jumaat didirikan. Yang lebih afdal; mandi ketika hendak pergi solat jumaat.

4. Sunat memakai pakaian putih.

5. Sunat memakai wangi-wangian seperti kasturi & makhruh memakai zabad (kerana menyerupai pakaian perempuan)

6. Sunat (1) menghilangkan bau busuk badan (2) mencukur bulu ari-ari (3) memotong misai (4) mengerat kuku (5) bersugi (6) mencabut bulu ketiak
*jangan mencukur janggut.

7. Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid dengan (1) berjalan (2) hati sentiasa mengingati Allah (3) membaca quran (4) Selawat.

8. Apabila masuk ke masjid dituntut berada di saf pertama.

9. Jangan melangkah bahu orang lain.

10. Jangan duduk sehingga didikan solat tahiyat masjid & memadai sekadar 2 rakaat, jangan meninggalkan solat itu sekalipun ketika khatib membaca khutbah.

11. Sunat membaca surah al-Kahfi

12. Perbanyak membaca selawat kepada Rasulullah saw pada hari jumaat & malamnya.

13. Selepas imam naik ke atas mimbar jangan bersolat (kecuali solat tahiyat masjid yang ringkas). Makruh berkata-kata melainkan menjawab azan (ianya sunat)

14. Sunat mendengar khatib membaca khutbah (jangan menyibukkan diri dengan amalan yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir atau berselawat)

15. Setelah selesai Solat Jumaat, sunat tidak berkata-kata sebelum membaca al-fatihah (7x), al-ikhlas (7x), al-Falaq (7x), an-Nas (7x).

16. Sunat bersolat 4 rakaat setelah solat Jumaat (2 rakaat pertama: sunat Muakkadah, 2 rakaat terakhir: tidak muakkadah)

17. Setelah selesai solat Jumaat, sunat duduk di masjid sehingga Asar atau Maghrib dengan niat iktikaf.

18. Perbanyakkan doa sepanjang hari Jumaat dengan khusyuk & tawadu’, kerana terdapat masa mustajab doa oleh Allah pada hari Jumaat.

19. Antara masa mustajab doa ialah (1) waktu terbit matahari (2) waktu gelincir matahari (3) ketika iqamat (4) ketika khatib naik ke mimbar (5) ketika berdiri untuk bersolat.

20. Sunat memperbanyak sedekah.

Wallahua’lam

Rujukan: Kitab Hidayatus Salikin (Syeikh Abus-Shamad Al-Falimbani)

Wanita Berusia 30 Tahun Umpama Bayi 9 Bulan

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Siapa sangka ‘kanak-kanak’ ini sebenarnya telah berusia 30 tahun. Maria Audete do Nascimento berasal dari Brazil dilahirkan pada 7 Mei 1981. Wanita ini dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin di Ceara, Brazil.

Wanita berusia 30 tahun ini dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika Maria berusia 17 tahun. Seperti mana bayi yang berusia 9 bulan, begitulah sifat yang dialami oleh Maria.

Dia tidak mampu untuk melakukan perkara seperti manusia normal yang berusia 30 tahun malah dia juga tidak mampu bertutur.

Atas sebab kemiskinan, keluarga Maria tidak mampu untuk memberikan rawatan yang sewajarnya ketika beliau masih kecil dan ketika ini semuanya seakan sudah terlambat untuk diubati.

Kemiskinan bukan bermakna tiada kasih sayang. Maria tetap dijaga oleh ayah dan ibu tirinya dengan baik. Bagi mereka Maria adalah kurniaan tuhan dan amanah tuhan kepada mereka.

Pakar di Fakulti Perubatan di Universiti Caera menyatakan yang punca perkara ini terjadi disebabkan Maria mengalami masalah kekurangan hormon tiroid yang teruk menyebabkan tumbersaranya terbantut.

Menurut pakar, masalah ini sebenarnya dapat diatasi dan Maria mampu untuk membesar secara normal jika dirujuk kepada pakar ketika dia masih kecil.

Namun segalanya sudah terlambat dan Maria tidak mampu membesar sehingga ke hari ini walaupun sudah berusia 30 tahun.

SUMBER