6 Muharram 1433H. [MOD] -
KULAIJAYA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam keadaan menyayat hati setelah tubuhnya terputus dua akibat dirempuh sebuah bas persiaran di KM 49.9
Lebuhraya Utara-Selatan di Sedenak, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Kejadian itu menyebabkan bahagian pusat hingga kaki mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala bahagian kepala hingga perutnya tersangkut pada bahagian hadapan bas yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bahru-Singapura.
Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
Salah seorang penumpang, Valambal, 60 berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum terjatuh dari tempat duduknya dan terhumban ke arah hadapan bas bersama beberapa penumpang lain.
“Dia (pemandu) tidak dapat mengelak pekerja berkenaan lalu melanggarnya sebelum memberhentikan bas dan ketika itu ramai penumpang yang terjatuh ke hadapan bas.
“Ketika kejadian saya duduk di barisan ketiga di belakang pemandu, yang lain-lain (penumpang) selamat dan hanya alami luka ringan,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, namun berjaya mengawal kenderaan daripada menyebabkan terbalik ke bahu jalan.
“Kejadian ini mengejutkan saya, namun saya berasa sedikit lega kerana selamat mengelak dari melanggar pembahagi jalan dan mengawal kenderaan supaya tidak terbalik,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada pemandu bas yang melanggar lori kenderaan pekerja yang sedang menjalankan kerja pembaikan pada bahu jalan terbabit.
Katanya, kesemua 20 penumpang dan pemandu terselamat.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan