6 Muharram 1433H. [MOD] -
Satu fakta yang perlu ditekankan ialah, Revolusi 25 Januari di Mesir tidak menjatuhkan rejim atau sistem pemerintahan Mubarak seperti mana yang dilaungkan, “as-sya’ab yurid isqot il-nizom” (rakyat menuntut sistem dijatuhkan). Walaupun revolusi ini berjaya menggulingkan Mubarak, namun rejim — corak dan bentuk pemerintahan — Mubarak masih kekal. Pemerintahan bercorak tentera.
Satu bentuk kejatuhan rejim seperti yang berlaku di timur Eropah pada 1989 degan jatuhnya Komunisme di Eropah atau seperti yang berlaku selepas Revolusi Iran tidak berlaku di Mesir. Jika suatu revolusi itu berjaya, rejim yang memerintah kehilangan kuasa dan corak pemerintahan atau ideologi yang dibawa negara tersebut akan bertukar.
Kerajaan komunis Poland berjaya dijatuhkan rakyat walaupun mereka berpecah kepada pelbagai fraksi dan ideologi. Rejim yang jatuh juga tiada kuasa untuk menentukan masa depan mereka apatah lagi masa depan negara. Seperti jatuhnya kerajaan sekular ketika Revolusi Iran, tentera-tentera Shah Iran tidak menguruskan proses transisi kuasa, bahkan mereka dibicarakan di mahkamah.
Rakyat Mesir akhirnya terpaksa menelan hakikat yang pahit ini apabila menyedari perjuangan mereka belum selesai. Lalu mereka mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) untuk lekas turun dari terlibat dalam pemerintahan, seperti yang berlaku di Medan Tahrir pada 19 November lalu.
Jika kita imbau kembali, sejurus Mubarak meletakkan jawatan, pihak tentera (terutamanya Tantawi) diangkat sebagai wira. Gambarnya ditampal di dinding-dinding dan kereta. Rakyat pula tidak habis memuji tentera. Berbalik kepada situasi hari ini, pandangan rakyat terhadap tentera berputar 180 darjah. Keadaan ini berpunca dari cubaan pihak tentera untuk mengekalkan kuasa mereka.
Inilah yang masalah yang dihadapi SCAF – pandangan buruk masyarakat.
Pada bulan Ogos yang lalu, Ketua Pegawai Tentera Udara melaporkan bahawa pihak tentera sedang melakukan rondaan sekitar sempadan timur Israel tanpa mendapatkan keizinan dari Israel. “Sinai adalah tanah kita dan kita tidak perlu meminta keizinan sesiapa untuk menempatkan askar di sana.” Ucapan ini sekaligus menggambarkan kekuatan tentera Mesir di rantau ini dalam usaha mendapatkan sokonagan rakyat.
Sebenarnya, pihak tentera bekerja rapat dengan Israel. Israel juga mengalami rusuhan dan protes rakyat berikutan masalah ekonomi. Israel juga menerima tekanan dari krisis yang berlaku di timur tengah. Oleh itu, Israel perlu mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kestabilan negara.
Untuk yang demikian (dan beberapa faktor lain), Israel menebus rakyatnya Gilad Shalit dengan harga yang mahal. Satu berbalas seribu. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan keprihatinan Israel terhadap rakyat mereka. Selain itu, Israel juga membenarkan tentera Mesir untuk terlibat dalam rundingan pertukaran bersama Hamas yang secara tidak langsung menggambarkan kuasa tentera Mesir. Win-win situation.
Pada bulan September pula, berlaku serangan ke atas Keduataan Israel di Giza rentetan peristiwa di Eliat Road. Pihak tentera tidak bertindak keras terhadap penunjuk perasaan dan akhirnya menyebabkan pejabat Kedutaan Israel berjaya dimasuki penunjuk perasaan. Ini menunjukkan kebersamaan tentera dan rakyat. (Akhirnya 6 warga Israel yang terperangkap diselamatkan oleh komando Mesir setelah menerima panggilan dari duta Israel, Yitzhak Levanon)
Barangkali, pihak tentera menyedari tiada satu pun organisasi yang mampu menyatukan semua rakyat Mesir yang membawa pelbagai ideologi. Namun, hampir semua rakyat Mesir mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap isu Palestin. Keprihatinan tentera terhadap isu Palestin dan ‘polisi anti-Israel’ dijangka dapat menyatukan rakyat di bawah payung tentera atau sekurang-kurangnya membersihkan mereka dari tanggapan buruk.
Pilihanraya
Tindakan-tindakan seterusnya adalah sangat kritikal bagi pihak tentera untuk memandu negara melalui transisi politik dalam masa yang sama mengekalkan kuasa mereka. Proses pilihanraya kali pula ini agak kompleks berbanding tahun-tahun sebelum, dalam masa yang sama masih ada beberapa perkara yang masih kabur. Ini secara tidak langsung membuka peluang bagi tentera untuk melakukan modifikasi yang dirasakan sesuai.
Sistem pilihanraya kali ini menggabungkan dua sistem. Untuk satu-satu undi itu diterima, pengundi perlu memilih satu parti dari kertas undi parti dan dua calon dari kertas undi calon bebas. Masih tidak jelas bagaimanakah pihak tentera memastikan maklumat ini sampai kepada setiap pengundi, lebih-lebih lagi apabila peratusan buta huruf agak tinggi di Mesir. Dilaporkan terdapat aduan pengundi tidak dapat mengetahui parti milik calon-calon yang bertanding.
Apa pun, untuk tentera mengekalkan kuasa mereka secara langsung ataupun tidak langsung, tentera memerlukan parlimen yang mana boleh bekerjasama dengan tentera. Bagaimanakah bentuk parlimen yang baru ini masih menjadi tanda tanya bagi semua orang.
Saya berpendapat keadaan Mesir tidak akan berubah dengan drastik selepas pilihanraya. Rejim pemerintahan tidak akan bertukar (sekurang-kurangnya dalam masa terdekat) sekalipun selepas Pilihanraya Presiden. Namun, pilihanraya ini tetap membawa sinar harapan bagi Mesir.
Saya agak positif Ikhwan Muslimin juga berpandangan sedemikian berdasarkan keputusan mereka untuk menjadi majoriti tetapi bukan dominan. Mereka juga tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Presiden. Tindakan ini menunjukkan mereka meletakkan pertukaran rejim negara (atau ideologi) sebagai sasaran jangka masa panjang. Secara berperingkat, mereka membina kekuatan untuk membanteras kebatilan.
Saya melihat perkara ini meletakkan Ikhwan sebagai satu-satunya gerakan yang mana tentera boleh bekerjasama. Pihak tentera tiada pilihan memandangkan gerakan dan parti-parti lain agak radikal kerana menuntut pertukaran rejim secara total dalam masa terdekat. Terutamanya mereka yang merusuh di Medan Tahrir dua minggu lepas.
Namun, jika tentera meletakkan Ikhwan sebagai peneraju untuk mengekalkan kuasa tentera secara langsung ataupun tidak langsung, tindakan ini seolah-olah bermain dengan api yang akan membakarnya satu hari nanti.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan