6 Muharram 1433H. [MOD] -
SUNGAI SIPUT (U) – Seorang pekerja kilang berputih mata apabila wang sebanyak RM25,000 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di pekan Sungai Siput, di sini, Selasa lalu, lesap setelah menjadi mangsa ragutdi sebuah restoran berdekatan.
Pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki keluar daripada sebuah bank dan tiba-tiba diserang seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim, berkata, mangsa berusia 50 tahun itu adalah bekerja di sebuah kilang dan menjadi wakil untuk mengeluarkan duit untuk tujuan tertentu.
Menurutnya, setelah keluar dari bank berkenaan, mangsa tidak terus beredar kerana menuju ke sebuah kedai untuk mengambil makanan yang dipesan.
“Setelah mengeluarkan wang dari bank, mangsa memasukkan duit di dalam sampul dan membawanya ketika menunggu untuk mengambil makanan yang dipesan.
“Kedai makan berkenaan berada berhampiran bank dan ketika menunggu seorang lelaki memakai topi keledar menendangnya dari arah belakang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Beliau berkata, selepas itu, lelaki berkenaan terus meragut sampul berisi duit yang dibawa mangsa dan lari menyeberangi jalan.
Jelasnya, seorang rakan peragut menunggu di seberang jalan menggunakan motosikal dan mereka terus memecut lari.
“Kami tidak menolak kemungkinan gerak-geri mangsa sudah diperhatikan penjenayah sebelum kejadian itu.
“Kemungkinan besar penjenayah sudah memerhatikan mangsa sebelum ini dan sudah menjadikannya sebagai sasaran kerana bukan kali pertama mangsa keluarkan wang di bank berkenaan,” katanya.
Azman berkata, sehingga kini, tiada kes ragut dilaporkan berlaku di kawasan itu dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat suspek diminta tampil dengan menghubungi balai berhampiran.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan