6 Muharram 1433H. [MOD] -
IPOH – Syarikat pengurusan penerbangan tempatan, Unimaju Fly Travel &Tours Sdn Bhd (Unimaju Fly) akan menawarkan pakej pelancongan kesihatan eksklusif kepada rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.
Pengarah Urusan Unimaju Fly, Habidi Zain berkata, ia melibatkan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia di Medan, Indonesia ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTAS) di sini.
“Pusat-pusat perubatan di negeri ini menjadi pilihan kepada rakyat Indonesia terutama dari Medan bagi mendapatkan rawatan kesihatan mereka.
“Ini kerana pusat-pusat perubatan ini menawarkan perkhidmatan yang bermutu tinggi dengan kadar bayaran yang jauh lebih murah berbanding di negara lain,” katanya selepas majlis pelancaran penerbangan sulung melibatkan penerbangan tiga hala iaitu Subang-Ipoh-Medan yang disempurnakan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim di sini, semalam.
Menurutnya, pakej yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012 itu masih dalam peringkat perbincangan melibatkan sewaan pesawat khas dengan kadar berpatutan kepada pesakit dan keluarga.
Habidi berkata, pihaknya sedang berbincang bersama wakil-wakil pusat perubatan di bandar raya ini bagi mendapatkan terma dan peraturan untuk membawa pesakit dari republik itu.
“Secara purata, rakyat Indonesia membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan rawatan di sini setiap tahun.
“Dengan adanya penerbangan khas pada kadar berpatutan, secara tidak langsung meningkatkan kadar pelancongan selain membantu sektor perubatan di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Habidi berkata, penerbangan sulung menggunakan pesawat ATR72 itu menawarkan jadual penerbangan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Ahad.
“Permintaan terhadap penerbangan terus Ipoh-Medan sangat menggalakkan dan Unimaju Fly berharap peluang ini direbut semua pihak sama ada untuk berkunjung ke
Medan atau rakyat republik itu melancong ke Perak.
“Caj yang dikenakan juga berpatutan malah, Unimaju Fly yakin semua golongan mampu menggunakan perkhidmatan yang disediakan ini kerana kadar yang dikenakan adalah termasuk surcaj bahan api,” katanya.
Sinar Harian
1 ulasan:
Assalamualaikum w.b.t
saya mohd faisal asal dari kelantan dan sekarang belajar di medan ada menyediakan sewa kereta dan homestay di medan.
jika ada yang berminat bolehlah menghubungi saya.
email : mofaargroup@yahoo.com
no indonesia : +62878 6726 7481 (sms sahaja)
no malaysia : +6019 253 2170
(sms sahaja)
Catat Ulasan