31 Julai 2010

TAHNIAH AKHBAR SINAR HARIAN, TERUSKAN USAHA

18 Syaaban 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

TAHNIAH buat akhbar Sinar Harian di bawah Karangkraf Sdn Bhd yang telah menerima kunjungan Ketua Pembangkang DS Anwar ke syarikat operasinya. Sebelum ini, syarikat tersebut telah menerima kunjungan Najib.

Bezanya, lawatan DS Anwar ke akhbar Sinar disambut dengan mesra dengan wajah ceria kakitangan syarikat tersebut.

Sebenarnya boleh dikatakan majoriti wartawan simpati dengan nasib DS Anwar dan juga parti pembangkang. Mereka tahu betapa ketidak adilan telah berlaku terhadap DS Anwar dan juga parti pembangkang, tetapi apakan daya.

Meskipun masih terdapat kawalan dari pemerintah, setakat ini akhbar tersebut boleh dikatakan berlaku sedikit adil kepada Pembangkang. Justeru itu, tidak hairanlah jika akhbar berkenaan kini amat laris di pasaran.

Bukan sahaja harganya agak murah iaitu RM 1 sahaja, tetapi kandungan dan beritanya jauh lebih adil dari Utusan Meloya dan Berita Hairan.

Diharapkan akhbar ini masih mampu bertahan. Kita sebagai pendokong PR harus memberikan sokongan kepada akhbar ini dan memboikot akhbar-akhbar pengampu dan pencacai yang lain.

Semoga akhbar Sinar Harian tidak tersalah langkah atau melatah dengan pimpinan Umno yang sentiasa mahukan media yang boleh dijadikan `lembu' oleh mereka.

JAKIM Perlu Perkenalkan Logo HARAM

18 Syaaban 1431 H
Oleh: ZAMRI

1. Kini lambakan barangan atau produk haram bagi ummat Islam kian bertambah malah semakin membimbangkan ummat Islam . Lebih malang terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

2. Fenomena ini mencetus kekeliruan dan memerangkap ummat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab .

3. Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti JAKIM , pihak berwajib ini juga mesti berani untuk mengisytiharkan produk - produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan ummat Islam .

4. Setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal , saya kira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo Haram untuk menjauhkan masyarakat ummat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram .

5. Sebelum ini , telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal , sementara pihak JAKIM tidak mempunyai skuad yang memadai untuk membuat pemantauan yang serius.

6. Saya jangka , andainya JAKIM mengisytiharkan produk - produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo Haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut , peluang untuk lambakan barangan haram dipasaran akan menjadi lebih kecil .

Pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo Haram jika mereka benar -benar mahu mencari produk halal di pasaran.

7. Sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod - kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk haram yang diimport dari Israel. Kod - kod barangan yang mengandungi bahan - bahan haram hendaklah diganti dengan logo Haram .

8. Jika logo Haram dapat dikuatkuasa , maka mudahlah bagi JAKIM yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau , justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran .

9. Risiko pemalsuan logo Haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal . Lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna .

10. Kaedah Islam , asal sesuatu perkara [ produk ] ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram .

Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal . Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu Logo Haram bukan logo halal .

Isu pasir tidak perlu dipolitikkan

18 Syaaban 1431 H

SHAH ALAM, 29 Julai: Kerajaan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Bertindak Pengusaha-pengusaha Pasir Melayu Selangor (JBPPPMS) sepakat bahawa isu pasir itu tidak perlu dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat dan mendatangkan kebimbangan di kalangan pelabur asing serta tempatan.

Kedua-dua pihak juga setuju untuk bekerja sama bagi memastikan perlombongan pasir di Selangor dijalankan secara betul dan adil supaya hasilnya dapat dimanfaatkan semua rakyat.

Demikian persetujuan yang dicapai pada majlis dialog antara Pejabat Menteri Besar Selangor dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan JBPPPMS berhubung isu perlombongan pasir, semalam.

Sesi dialog itu diadakan di Pejabat Menteri Besar yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin manakala KSSB diwakili Pengerusinya, Shukor Nagor, Ahli Lembaga Pengarah, Shuhaimi Shafie, Pengarah, Mohd Khairudin Othman dan Pengarah Eksekutif, Ir Ramli Majed.

Pengerusi JBPPPMS, Tengku Datuk Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas sesi dialog berakhir yang diserahkan kepada Faekah.

Faekah memberi jaminan kepada JBPPPMS akan melihat secara serius cadangan yang diutarakan dan akan memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu.

Pertemuan itu diharapkan dapat menyelesaikan beberapa isu hangat sebelum ini yang mungkin diakibatkan oleh salah faham dan salah maklumat.

Kerajaan Negeri dan KSSB berterima kasih kepada JBPPPMS atas cadangan dan kritikan.Pada masa yang sama JBPPPMS menyatakan rasa penghargaan mereka kerana kesudian Pejabat Menteri Besar menerima mereka.

Kerajaan Negeri dan JBPPPMS juga sepakat bahawa isu pasir itu tidak perlu dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat dan mendatangkan kebimbangan di kalangan pelabur asing serta tempatan.

Kedua-dua pihak juga setuju untuk bekerja sama bagi memastikan perlombongan pasir di Selangor dijalankan secara betul dan adil supaya hasilnya dapat dimanfaatkan semua rakyat.

Harakahdaily/-

FDI: Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.

"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.

Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?

"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.

"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.

"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.

Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.

Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.

"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.

"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.

Harakahdaily/-

Seminar Ekonomi dedah kepincangan BN, esok

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Khairul Azlam Mohmad

KUALA TERENGGANU, 29 Julai: DAP Cawangan Bandar Kuala Terengganu akan mengadakan Seminar Ekonomi di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Jalan Batas Baru, di sini, 30 Julai (esok).

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, seminar yang bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu bertujuan mendedahkan kepincangan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta maklumat kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, ahli panel terdiri daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Serdang, Tony Pua dan Teo Nie Ching (gambar), Encik Rafizi Ramli (Pegawai Khas Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Katanya, program tersebut diadakan secara terbuka kepada orang ramai mengenai keadaan sebenar ekonomi di Malaysia hari ini.

Kemerosotan pelaburan asing langsung (FDI) bagi tahun 2009 lalu bukti ‘kelemahan’ ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, kemerosotan tersebut mencecah 81 peratus atau RM4.43 bilion sahaja pada tahun 2009 berbanding RM23.47 bilion pada tahun 2008 sebelumnya.

Katanya, kerajaan BN cuba menyembunyi sesuatu daripada pengetahuan rakyat mengenai keadaan ekonomi negara.

“Kita dapat tahu kemasukan pelaburan asing langsung ke Malaysia telah merosot begitu banyak tahun lalu dan ini meletakkan negara dalam bahaya.

“FDI pada tahun 2009 merosot teruk dari tahun 2008 mungkin kerana dasar dan amalan rasuah di kalangan pemimpin kerajaan kita,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, amalan rasuah dan birokrasi masih berlaku dan tidak ada perubahan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Harakahdaily/-

Projek udang: i-BANTAH suarakan keluhan rakyat

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Hujung minggu lepas, Jumaat dan Sabtu adalah antara detik-detik yang paling menuntut kesabaran dan ketekunan saya sebagai Pengerusi i-BANTAH dalam melaksanakan tanggungjawab menggerakkan gerak kerja politik dan kemasyarakatan bagi menangani isu projek i-SHARP. Misinya jelas, kami ingin menghadirkan semula kecerian dan harapan di wajah penduduk Kampung Banggol yang terlibat dengan i-SHARP.

Imbas kembali semasa era pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu antara tahun 1999-2004, antara tumpuan dasar kerajaan negeri ialah mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk RTB di seluruh negeri yang turut melibatkan penduduk Kampung Banggol dengan nama RTB Kubang Labi melalui pemberian Lesen Menduduki Sementara (LMS).

Seramai 240 orang peserta terlibat dengan keluasan tanah kira-kira 500 ekar. Atas harapan untuk membina kehidupan dan masa depan keluarga, bermula 2002, penduduk mengeluarkan belanja sendiri bagi kerja-kerja pembersihan kawasan hutan dan parit digali bagi mengelakkan air bertakung serta dengan keyakinan berbudi kepada tanah tidak akan sia-sia, tenaga dan keringat mula dicurahkan yang hasilnya jelas, kawasan hutan terbiar mula berganti dengan tanaman kelapa sawit, nenas, lada, tembikai, sayur-sayuran, tebu dan tidak terkecuali dibina bangsal peliharaan ayam.

Tinjauan kami petang Jumaat lalu mendapati sedikit sahaja daripada kawasan RTB ini terbiar dan ditumbuhi lalang. Ini menggambarkan penduduk sebenarnya amat memerlukan tanah untuk diusahakan dan langkah bijak kerajaan Terengganu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk terlibat. Bumi Terengganu yang subur anugerah Allah ternyata memberikan pulangan hasil yang memberangsangkan.

Perubahan yang berlaku dalam politik Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004, memberikan lesen kepada kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh bertindak zalim terhadap rakyat. Lot-lot RTB agihan kerajaan PAS sebelum ini telah tidak diperbaharui LMS.

Pihak Pejabat Tanah Daerah telah bertindak zalim walaupun rakyat membantah keras. Ada kebun penduduk dimusnahkan malah ada rumah yang dirobohkan. Berkunjunglah ke Pengkalan Merbau, Langkap. Ada kisah sedih kezaliman kerajaan BN akan diceritakan penduduk. Malah lebih mengaibkan, lot-lot RTB yang dirampas ini telah diagihkan semula oleh kerajaan BN kepada penyokong-penyokong mereka.

Tidak terkecuali RTB Kubang Labi di Kampung Banggol, Permaisuri yang turut tidak diperbaharui LMS walaupun pihak Pejabat Tanah Daerah Setiu ‘tidak sempat’ dan ‘tidak berjaya’ memusnahkan kebun mereka.

Saya menyatakan ‘tidak sempat’ dan ‘tidak berjaya’ kerana saya penuh berkeyakinan kerajaan BN memang berhasrat untuk ‘melenyap pandang’ semua tinggalan era pemerintahan PAS termasuk lot-lot tanah RTB tetapi ekoran dari bantahan keras rakyat mereka terpaksa menghentikannya.

Selamatlah peserta RTB Kubang Labi untuk terus mengusahakan tanah-tanah mereka bermula 2002 sehingga Julai 2010 sekarang, walaupun dalam keadaan LMS yang telah tidak diperbaharui kerana pihak kerajaan sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mengguna pakai tanah-tanah tersebut.

Satu-satu alasan kenapa LMS tidak diperbaharui adalah semata-mata kerana RTB tersebut diagihkan kerajaan PAS. Saya berkeyakinan penuh dengan izin Allah selepas kerajaan BN Terengganu ditumbangkan pasca Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, Kerajaan PAS Terengganu akan mengurniakan geran kekal kepada rakyat yang terlibat.

Hadirnya Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP) melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar) yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol, Permaisuri, diusahakan pemaju Syarikat Blue Archipelago Berhad membawa episod baru perjuangan rakyat.

Di samping kawasan hutan paya gelam yang akan dimusnahkan, tanah RTB penduduk turut terlibat. Daripada 240 peserta, RTB yang diusahakan kira-kira 40 orang peserta termasuk ke dalam perancangan projek i-SHARP.

Di sinilah segalanya bermula bagi i-BANTAH. Di samping isu alam sekitar dan sosio-ekonomi yang turut ditangani walaupun kadang-kadang penilaiannya terlalu relatif dan subjektif. Tetapi isu melibatkan rakyat akan kehilangan tanah yang diusahakan sebagai punca pencarian adalah suatu yang tragis.

Sebagaimana kenyataan terdahulu, i-BANTAH tidak pernah menghalang projek dan kemajuan, tetapi, ingat, jangan ada pihak yang teraniaya. Apa saja atas nama projek dan pembangunan tidak sepatutnya dibina di atas titisan air mata dan kehampaan satu pihak yang lain.

Ketika kunjungan ke lapangan terlibat oleh i-BANTAH pada petang Jumaat 23 Julai bersama Datuk Abu Bakar Chik atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prihatin Tanah Terengganu yang turut disertai Haji Mohamad Said, bekas Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, jelas kelihatan banjaran kebun pelbagai tanaman yang sedang mengeluarkan hasil.

Seorang peserta yang mengusahakan tanaman cili mengungkapkan kekecewaannya kepada kami, “kebun cili Pak Su setiap kali dipetik dapatlah sekitar RM150 hingga RM200, mungkin suatu nilai yang tak dipandang oleh pemaju yang memiliki wang ratusan juta ringgit, tapi besar ertinya bagi kami sekeluarga.

Walaupun pemaju menjanjikan peluang pekerjaan, tetapi bukan semua orang sesuai bekerja di kolam udang, yang bertani, tetap bertani”.

Sebahagian dari tanah kebun penduduk telah diratakan dan digali sedalam ketinggian orang dewasa untuk diambil tanahnya dan diangkut kebahagian fasa satu projek di Kampung Nyatoh walaupun kami difahamkan, kerja-kerja pengambil alihan tanah dan pembayaran pampasan belum selesai.

Alhamdulillah, usaha i-BANTAH mula menampakkan hasil dan kewujudan i-BANTAH mula diiktiraf apabila kira-kira dua minggu lepas sekumpulan pegawai Syarikat Blue Archipelago Berhad dari Kuala Lumpur mengunjungi saya di klinik ekoran beberapa pendedahan media yang dibuat.

Mereka datang dengan senyuman dan saya sambut juga dengan senyuman. Tujuan utama kunjungan dikatakan untuk mengucapkan ‘terima kasih’ atas peranan yang saya mainkan bersama i-BANTAH dan mereka amat mengharapkan peranan i-BANTAH untuk bersama berbincang bagi menangani isu-isu berkaitan rakyat yang timbul.

Sejujurnya mereka mengakui ada beberapa perkara yang terlepas pandang dan mereka sebenarnya tidak mempunyai contact bersama masyarakat. Bantahan yang timbul membuka mata mereka berkenaan situasi yang dihadapi rakyat.

Meminjam kata-kata mereka, “kami orang luar yang datang ke tempat orang untuk berniaga, amat tidak manis sekiranya timbul masalah dengan masyarakat setempat”.

Secara ringkas dan jelas saya menyatakan pendirian kami. Tidak benar kami cuba menghalang projek dari diteruskan, tetapi isu yang bersangkut dengan kepentingan rakyat perlu diselesaikan.

Akhirnya suatu pertemuan yang lebih formal diatur pihak oleh pemaju bersama kami pada petang Sabtu, 24 Julai 2010 bertempat di Riyaz Heritage, Pulau Duyong.

Mereka memaklumkan pertemuan ini perlu diadakan di sekitar Kuala Terengganu dan tidak di Setiu kerana wakil Blue Archipelago datang dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur serta mereka perlu berlepas pulang segera selepas pertemuan. Saya sebenarnya sama sekali tidak berminat untuk datang berbincang di tempat mewah sebegini malah bagi saya berbincang di surau kampung sudah cukup tetapi kerana pemaju beria-ria ingin meraikan kami, maka dengan berat hati saya bersetuju.

Saya hadir mewakili i-BANTAH bersama-sama Tengku Ahmad Tengku Husin, Cikgu Fauzi Abu Samah dan peguam Fathi Aziz Abu Bakar. Sementara Blue Archipelago diketuai Puan Nor Hayati Awang (Program Director), Wan Nadhri Wan Fauzi (Head Corporate & Legal Affairs), Sharizal Shaarani (Manager Strategic Communications), Mazlan Mahmood (Senior Manager Special Projects), Nazrul Fadhlee Mahmud Zuhodi (Manager Human Resources) dan Tarmizah Tambychik (Manager Group Human Resource & Admin).

Dalam susasana harmoni dan ceria, pertemuan petang itu berlaku dengan misi besar rakyat bawahan yang digalas. Hidangan petang yang disediakan tidak membuka selera saya.

Saya membuka perbincangan dengan menjelaskan kepada mereka bahawa penduduk bukanlah peneroka haram di tanah kerajaan sebaliknya tanah yang dibuka adalah atas LMS yang diberikan kerajaan negeri terdahulu tapi kerajaan BN yang berlaku zalim terhadap rakyat sendiri.

Rakyat meletakkan harapan untuk membina masa depan dan kehidupan di sini. Wang dan keringat telah dicurahkan tapi akhirnya dengan linangan air mata mereka terpaksa melihat usaha titik peluh mereka dimusnahkan.

Mungkin seekar kebun cili dengan sekadar hasil seratus dua ringgit setiap kali dipetik tidak bernilai tinggi bagi pemaju, tapi besar nilainya bagi rakyat bawahan.

Memang benar LMS telah tidak diperbaharui, tetapi masih perlu ada pertimbangan kemanusian. Nampaknya penjelasan saya berjaya menyentuh hati mereka. Mereka mengakui bahawa sekiranya ayah, ibu atau orang tua mereka diperlakukan sebegitu, sama sekali mereka tidak dapat menerimanya!

Sempat kami meminta penjelasan bagaimana sebahagian kebun penduduk telah diratakan dan tanah telah digali sedangkan kami dimaklumkan bahawa urusan pengambil alihan tanah termasuk pampasan belum selesai. Mereka mengakui itu adalah kesilapan kontraktor yang menjalankan kerja dan berjanji untuk menemui pemilik kebun terbabit dan memohon maaf.

Dimaklumkan oleh pemaju bahawa projek fasa 2 di Kampung Banggol belum lagi bermula dan survey lokasi dan sempadan projek perlu dilakukan semula kerana survey lokasi yang terdahulu tidak begitu tepat.

Berhubung isu pampasan, ada kekeliruan maklumat berkaitan kadar pampasan RM500 seekar kerana pemaju sebenarnya baru saja menerima laporan penilaian dari Pejabat Tanah Setiu dan mereka memaklumkan nilai pampasannya setimpal.

Memang kami i-BANTAH meletakkan matlamat pertemuan pada petang itu khusus bagi highlight hal-hal yang berkaitan tanah penduduk tanpa kami menyentuh hal-hal berkaitan sosio-ekonomi dan alam sekitar termasuk satu soalan kritikal, bagaimana kalau exlude kawasan tanah penduduk kerana kami berpendapat pemaju masih ada sekitar 2,000 ekar tanpa tanah penduduk.

Apakah kesannya kalau projek tersebut tidak mencapai saiz 1,000 hektar (2,400 ekar)? Sambil saya memaklumkan bahawa kami memahami tidak semua keputusan di tangan pemaju kerana mereka terikat dengan kerenah birokrasi sebagaimana kami juga tidak mampu membuat semua keputusan bagi pihak penduduk tetapi perkara ini perlu diajukan secara serius dan bersungguh-sungguh.

Kami mengakhiri pertemuan dengan janji ini bukan yang pertama dan terakhir. Laporan DEIA (detail environmental impact assessment) adalah antara dokumen yang kami mohon dibentang dan dibincangkan bersama beberapa isu alam sekitar.

Harakahdaily/-

Sambut baik Perkeso jual saham Carlsberg

18 Syaaban 1431 H

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjual semula 2,155,700 unit saham dari syarikat arak Carlsberg Brewery Malaysia Berhad.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam di Dewan Negara semalam memberikan gambaran positif terhadap tindakan PAS yang selama ini menuntut agar Perkeso menjauhi perniagaan arak demi kepentingan awam yang telah mencarumkan hasil titik peluh mereka yang halal kepada agensi berkenaan.

DPPWP, katanya menyeru agar semua pemegang saham dalam syarikat-syarikat arak dan judi di negara ini mengambil langkah yang sama dengan menjual semua saham dan kepentingan mereka.

“DPPWP juga menyeru kepada kerajaan terutamanya Pakatan Rakyat supaya mengetatkan penguatkuasaan undang-undang penjualan arak agar ianya tidak dijual secara terbuka dan dihadkan kepada bukan Islam sahaja,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kewujudan premis penjualan arak serta pemborong juga perlulah dihadkan mengikut keperluan masyarakat setempat dan tidak diluluskan sewenang-wenangnya.

“DPPWP juga terus mendesak agar pihak berkuasa kerajaan tempatan di seluruh negara tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka di premis 7 Eleven dan premis peruncitan yang lain,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Subsidi rakyat dikerat, kroni dibayar RM222.58 juta

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat pembayaran RM222.58 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membuktikan lagi bahawa kepentingan kroni lebih diutamakan berbanding rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Bernama melaporkan, semasa membuat keputusan itu, kerajaan melalui kenyataan Kementerian Pengangkutan mendakwa telah mengambil kira semua faktor berkaitan termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang bon, serta tanggungjawab LPK di bawah perjanjian yang telah ditandatangani.

Salahuddin mempersoalkan, adakah ia merupakan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau tanggungjawab KDSB.

Beliau merujuk kepada laporan mengenai jaminan KDSB bahawa sebarang kekurangan dalam pembayaran semula bon adalah tanggungjawab syarikat tujuan khas itu dan wang rakyat tidak akan digunakan untuk membayarnya.

"Kerajaan perlu menjelaskan, tanggungjawab siapa untuk menanggung bebanan ini? Tanggungjawab rakyat atau KDSB?

"Kalau untuk rakyat, subsidi direntap, dikerat. Kalau untuk kroni, adakah kerajaan senang-senang belanjakan RM222.58 juta walaupun ahli lembaga LPK memutuskan tidak mahu membuat pembayaran tersebut," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tindakan kerajaan itu menguatkan lagi ingatan rakyat kepada dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker bahawa ramai tokoh Umno dan MCA yang menerima wang dari Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong juga adalah Ahli Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

"Sebelum ini beria-ia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Idris Jala kata subsidi berterusan akan menyebabkan negara ini bankrap sembilan tahun lagi, tetapi pada masa yang sama kerajaan semakin kelihatan membelanjakan wang rakyat dengan sesuka hati," kata Salahuddin lagi.

Harakahdaily/-

Najib yang tersepit

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya mahu tinggalkan sekejap isu sekitar karenah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak habis-habis itu, juga hal permit penerbitan Suara Keadilan dan Roket yang belum diperbaharui, serta halatuju dan program KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) bagi melobi dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Ya.banyak lagi isu di luar sana yang wajar disinggung waktu ini, misalnya kembang-kempis perpaduan PAS-Umno, kes saman ekor yang mengundang amarah rakyat atau sensasi pengguguran Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Abdul Latif dari pasukan pendakwaan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ramai beranggapan polemik kebebasan akhbar tidak menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat yang makin terhimpit dan tersepit sekarang; ia hanya menarik minat pengamal media bebas, manakala kalangan wartawan media propemerintah pun seperti buat tak kisah saja.

Senario politik baru

Malah khabarnya ada segelintir aktivis media baru (laman web, blog dan seumpamanya) menganggap ia bukan isu mendesak kerana, bagi mereka, akhbar bercetak sudah ketinggalan zaman dan makin susut pengaruh dan tandus kredibilitinya.

Justeru, imiginasi rakyat dikatakan sukar "menangkap" isu berkenaan, apatah lagi untuk menggembleng kekuatan bagi menentangnya, sepertimana berjaya diusahakan melalui demonstrasi besar-besaran dalam isu tuntutan pilihan raya Bersih, mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Saya tidaklah sampai ke peringkat untuk merendah-rendahkan keupayaan rakyat Malaysia menanggapi isu-isu kritikal, apatah lagi senario "politik baru" semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bermula daripada pilihan raya 1999 lagi, dan begitu mengakar kukuh dalam pilihan raya ke-12 dua tahun lalu.

Persoalan yang dahulunya nampak abstrak dan dilihat tidak kurang menarik minat pengundi Melayu, seperti isu kebebasan kehakiman, hak asasi, kepentingan golongan minoriti, sudah mula difahami dengan baik. Teriakan reformasi 1998 memulakan babak baru itu.

Darjah keaktifan penyertaan rakyat terhadap isu-isu sosio-politik semakin tinggi, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, selain parti-parti siasah. Meskipun pengaruh pembangkang merosot teruk dalam pilihan raya 2004, namun kesedaran yang bercambah dengan pantas itu sukar disekat lagi.

Tekanan Najib dan implikasi terhadap pilihan raya

Proses pendemokrasian atau peluasan ruang sivil tumbuh selaras dengan pertumbuhan pesat kelas menengah, kemajuan ICT dan terobosan globalisasi, peningkatan urbanisasi serta penghayatan hidup beragama.

Apa pun, saya tetap melihat bahawa tekanan menyeluruh dan terancang oleh pemerintahan Dato' Seri Najib Razak terhadap tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) mampu mengundang implikasi politik yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Benar, Harakah sudah diperbaharui permitnya - setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran - tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat "karut-marut" dan "ugutan" terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Mempersudutkan Harakah sekadar untuk "ahli-ahli PAS" serta hanya boleh dijual "di pejabat urusan dan markas parti sahaja", dan amaran KDN akan mengambil tindakan keras jika melanggar pantang-larang itu mengggambarkan terdapat fenomena "counter democratization" di Malaysia.

Parti perlu berinteraksi bebas dengan pengundi

Setiap perdana menteri yang baru menaiki singgahsana takhta mempamerkan dengan bangga gimik melonggarkan sekatan terdahulu, tetapi tanpa perlu menunggu lama, belangnya menyerlah apabila menyerkup kembali sisa-sisa kebebasan dengan peraturan lebih ketat. Senario pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib adalah contoh nyata.

Bukankah PAS, juga KeADILan dan DAP, merupakan parti politik yang dijamin bebas bergerak memperluaskan pengaruh di kalangan rakyat, dan kemudiannya dibenarkan bertanding dalam pilihan raya (yang sepatutnya bersih, bebas dan adil), bagi memilih kerajaan baru dan "menjatuhkan" regim terdahulu?

Agar rakyat dapat membuat pilihan yang tepat, setiap parti mesti boleh berinteraksi sebebasnya dengan pengundi, bagi menjelaskan manifesto, sikap dan pendirian terhadap apa jua isu dan dasar-dasar yang ingin dibentuk. Saluran perhubungan itu, terutama media, tidak boleh diganggu dengan seribu satu peraturan "karut-marut" yang bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.

Memperkecilkan semua lidah rasmi parti Pakatan Rakyat sebagai "sebuah akhbar yang berkonsepkan surat berita parti yang berperanan memaklumkan kepada ahli-ahlinya mengenai maklumat aktiviti parti" - seperti peraturan baru yang dipaksakan KDN - juga merupakan satu lagi syarat yang menodai amalan kebebasan bersuara, selain menonjolkan rasa takut pemerintah terhadap potensi saingan politiknya.

Keadaan ini lebih buruk daripada situasi "padang permainan tidak sama rata" apabila realitinya seolah-olah Umno-BN langsung tidak membenarkan "pemain lain" masuk ke padang!

Pakatan Rakyat ke Putrajaya

Najib cukup menyedari bahawa tugasnya untuk melangsungkan survival kuasa Umno-BN cukup perit, malah seperti bakal menemui "jalan mati". Pilihan raya umum ke-13 memang genting buat kedua-dua, BN dan Pakatan. Inilah peluang terbaik rakyat memilih kerajaan alternatif.

Selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan di Parlimen dan penguasaan ke atas lima negeri (antara yang termaju di negara ini), target seterusnya Pakatan hanya satu: Berpindah ke Putrajaya! Dan ini merupakan matlamat yang rasional dan mudah diterima akal, tidak seperti impian pembangkang sebelum ini yang pernah dipersendakan sebagai "menunggu kucing bertanduk".

Kita lihat pelbagai kaedah dilakukan, dengan peruntukan dana awam yang cukup besar (mewabakkan lagi amalan rasuah dalam kerajaan), untuk menjinakkan hati rakyat kembali bersama pemerintah, namun setakat ini "teori pendulum" tidak nampak akan berulang.

Memang diakui bahawa setiap pilihan raya pertama yang diterajui perdana menteri baru (seperti Tun Abdul Razak, dalam 1974; Dr Mahathir, 1982; Abdullah, 2004) menunjukkan prestasi membanggakan BN, tetapi saya yakin fenomena "politik baru" telah menamatkan tradisi itu. Najib tidak berpeluang untuk menikmatinya.

Walaupun ada pihak menyanggah pendapat bahawa majoriti pengundi Melayu masih bersama Umno - merujuk pilihan raya April 2008 - saya lebih suka agar pandangan itu diterima dahulu agar mudah membentuk strategi menawan kelompok terbesar ini.

Pelampau Melayu yang tidak realistik

Najib tentu mengakui bahawa harapannya lebih tertumpah kepada pengundi Melayu sepertimana pengundi Cina menjadi penyelamat kepada Dr Mahathir pada 1999. Trend masyarakat Cina yang bangkit sederap memprotes melalui kertas undi dalam pilihan raya lalu dijangka berterusan. Difahamkan mereka selesa dengan kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan begitu terkilan dengan tindakan "merampas kuasa" di Perak.

Kewujudan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali, dan sokongan terbuka akhbar Melayu yang dikawal mutlak Umno kepadanya, seperti Utusan Malaysia, makin memburukkan suasana. Faktor Dr Mahathir yang menyusahkan Abdullah dahulu turut tidak membantu.

Walaupun Dr Mahathir pernah dikagumi pengundi Cina, terutama dalam pendekatan ekonominya,bagaimanapun selepas bersara dan kini dilihat agak dekat dengan Najib, imejnya begitu mengelirukan; ada kalanya beliau seakan-akan "pelampau Melayu" yang tidak realistik, mungkin mahu mengulangi era penentangannya terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman khususnya pasca tragedi 13 Mei 1969.

Rakyat, termasuk orang Melayu, semakin bijak menilai. Membakar sentimen perkauman tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan, sebaliknya boleh mengundang padah buat semua.

Propaganda Media

Selama mana kita mahu dipermainkan oleh elit penguasa seolah-olah kita mesti merebut-merampas hak bangsa lain untuk hidup lebih sempurna? Miskin sangatkah Malaysia sehingga sesuatu bangsa seolah-olah hanya boleh survive dengan menindas kaum lain? Walhal, berdasarkan skandal kewangan negara yang hangus puluhan bilion, negara kita cukup kaya bukan saja untuk menampung kepelbagaian warganya, malah meliputi pendatang luar.

Najib tidak jemu-jemu cuba mencuri sokongan masyarakat bukan Melayu, antaranya, melalui konsep 1-Malaysia dan beberapa langkah "liberalisasi", tetapi beberapa pilihan raya kecil menunjukkan pengundi Cina tidak mudah diumpan.

Dalam masa sama, hanya mengharapkan orang Melayu terus menjadi penyelamat bahtera BN adalah risiko cukup tinggi. Usah perkecilkan kematangan berpolitik mereka walaupun tiada perubahan jelas di Hulu Selangor dan Bagan Pinang.

Propaganda media yang mendakwa nasib orang Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, mungkin boleh menyentuh emosi kemelayuan, tetapi apabila tersingkap realiti, ia boleh menelanjangkan pembohongan tadi dan memberikan kesan lebih buruk buat Umno. Rekod parti itu menerajui kerajaan sejak merdeka adalah catatan sejarah yang membuktikan orang Melayu tetap ketinggalan sedangkan pemimpin Umno merangkul pelbagai keistimewaan.

Mungkin situasi awal lebih memihak Umno tetapi dengan usaha berterusan PAS mendekati rakyat, serta berupaya menjelaskan perkara sebenar terhadap kemusykilan yang sengaja diada-adakan, selain imejnya yang cukup positif sebagai penerajui kerajaan Kedah (dan Kelantan selama lebih 20 tahun), posisi Umno sebagai parti utama orang Melayu boleh menggelongsor.

Yang penting informasi, sebagai kuasa sakti alaf ini, dan cara ia diolah, harus langsung tanpa sensor kepada masyarakat Melayu. Orang Melayu yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi diharap tidak mudah lagi menelan fitnah media tradisional yang dikatakan semakin mendekati tarikh luputnya itu.

Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP lebih ampuh

Mungkin Najib percaya majoriti orang Melayu masih terpengaruh dengan media yang dikawal mutlak pihaknya, seperti televisyen dan akhbar, sedangkan internet tetap terbatas di bandar. Justeru, akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan, harus disekat atau paling tidak jualannya dipastikan "tidak membahayakan".

Dengan lingkungan mencengkam itu, sudah tentu Najib tidak bersedia mempertaruhkan kedudukan dan maruahnya, hanya demi mempamerkan imej terbuka dan sederhana.

Dr Mahathir yang merasakan bakal terjunam dengan pengaruh hebat Anwar pada 1998 ternyata tidak sanggup menunggu nasib buruk yang menimpa rakannya, Suharto di Jakarta, lalu merencanakan konspirasi menjatuhkan timbalannya. Begitulah juga Najib. Asakan Pakatan cukup berbisa. Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP, yang lebih ampuh berbanding Barisan Alternatif dahulu, mesti dipecahkan.

Orang yang terdesak, seperti Najib, dan parti yang biasa mewah-selesa dengan nikmat kuasa seperti Umno-BN, akan melakukan apa saja untuk mempertahankan takhta. Jangan hanya sekadar menunggu tindakan luar biasa tidak terduga mereka untuk melakukan serangan balas.

Harakahdaily/-

Mufti perlu juarai semua isu berkaitan Islam

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Johari Jaafar

IPOH, 29 Julai: PAS Perak menggesa para mufti menjuarai semua isu berkaitan umat Islam di negara ini dengan merujuk sumber al-Quran dan as-Sunnah tanpa memilih dan tidak dipengaruhi mana-mana sentimen politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, hanya tindakan sebegitu yang mampu mengelak sebarang label negatif oleh rakyat terhadap mufti.

Menurutnya, label negatif terhadap mufti yang berlaku hari ini adalah akibat mereka dilihat hanya menjuarai isu-isu yang berkepentingan bagi pihak Umno BN dan senyap dalam isu-isu besar membabitkan pemimpin negara.

"Apabila mufti bersikap pasif dan membisu dalam isu-isu yang dirasakan penting oleh rakyat, tiba-tiba sekarang mufti terlibat langsung dalam kemelut politik yang dilihat partisan tentulah sukar bagi rakyat menerimanya dengan baik sangka.

"Lebih-lebih lagi apabila umum mengetahui mufti pernah memberikan ucapan-ucapan yang ditafsirkan sebagai menyebelahi Umno," katanya merujuk kepada kes menimpa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Murfti juga, menurutnya dilihat hanya bersuara dalam isu murtad sedangkan banyak lagi isu-isu lain yang juga memerlukan penjernihan semasa daripada ulama.

Rakyat katanya, mahu melihat mufti lebih dari itu iaitu turut memberi pandangan berhubung salah laku elit dalam sistem kehakiman negara dan agensi-agensi penting kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

"Ini perkara yang mengecewakan rakyat yang cintakan Islam. Juga isu-isu tersebut menjadi faktor utama yang melambatkan proses dakwah dan transformasi (islah) dalam negara ini untuk menuju negara yang diredhai Allah.

"Kecuali dalam isu murtad. Rakyat tertunggu-tunggu respons dan teguran mufti dalam isu-isu besar seperti pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin Umno, pendakwaan terpilih, kehakiman yang songsang, pelanggaran amanah oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (contohnya royalti minyak Kelantan dan Terengganu 1999), kes perangkap seks dan rasuah oleh Umno dan SPRM bagi menjatuhkan Kerajaan PR Perak, kenyataan-kenyataan anti Islam oleh pemimpin-pemimpin Umno, dan penggadaian kedaulatan negara kepada Singapura dan Brunei oleh Umno BN," katanya.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, beliau juga melahirkan kekesalan terhadap 'sebahagian kecil' warga negara ini yang didakwanya terlibat dalam budaya menggunakan label-label yang kasar dan melampau terhadap Mufti Perak.

Bagaimanapun dalam kontrovesi terbaru yang melibatkan isu perpaduan Melayu yang cuba diterokai oleh mufti tersebut, beliau menyarankan kepada Harussani menjernihkan segera suasana agar beliau tidak terus dipandang serong oleh masyarakat.

Harakahdaily/-

PAS bentuk jawatankuasa anti saman ekor

18 Syaaban 1431 H

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Datuk Mahfuz Omar (kanan) berkata, Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat bersetuju membentuk Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE).Beliau yang juga pengerusi lujnah itu berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat lujnah pada 28 Julai lepas.

Katanya, jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan beliau itu bagi menangani masalah kenderaan dan pemilik yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak dibenar memperbaharui cukai jalan ekoran saman ekor yang dilakukan oleh pihak polis yang bertentangan dengan perlembagaan dan perundangan negara.

Jawatankuasa bertindak KASE yang dipengerusikan oleh beliau sendiri selaku Naib Presiden PAS akan bermesyuarat pada 2 Ogos ini di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur jam 11.00 pagi.

Mesyuarat itu, ujarnya untuk merumus tindakan yang akan diambil ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membela rakyat khususnya pemilik kenderaan.

“Satu sidang media akan diadakan pada 2 Ogos jam 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Semua pihak media dan blogger dijemput hadir,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan Umno BN yang tetap meneruskan saman ekor walaupun pelbagai pihak menentang perlaksanaannya.

Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani (kiri) berkata, ini berdasarkan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sidang media mereka pada 9 Julai yang lalu.

Menurut Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bahawa tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab.

PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan.

Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya juga telah menyerahkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pemilik kenderaan sejak September 2009.

Azman berkata, tindakan itu jelas membelakangkan slogan keramat Umno BN iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Ini, katanya kerana dengan perlaksanaan itu akan menyebabkan penerima notis saman terpaksa membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah.

Ini juga, menurutnya boleh dikategorikan sebagai ‘ISA Kedua’ seperti mana yang telah diungkit oleh Ketua DPPP, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi sebelum ini.

Katanya lagi, dengan perlaksanaan saman ekor itu juga kerajaan sebenarnya tidak bertindak untuk mendidik rakyat tetapi terus menghukum.

“Di dalam kaedah Islam, sebelum menjatuhkan hukuman perlu ada kaedah mendidik dahulu agar bijak menilai buruk baik sesuatu perkara. Kemudian, sekiranya melakukan juga kesalahan, harus dibicarakan terlebih dahulu. Dan sekiranya didapati bersalah, barulah hukuman dijalankan,” ujarnya.

Dengan perlaksanaan saman ekor itu juga, katanya menguatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan Umno BN sememangnya ketandusan sumber kewangan dan kekeringan cara bagaimana hendak menambah hasil negara selain daripada mengalihkan beban itu untuk ditanggung oleh rakyat.

“Sudahlah rakyat dibebani dengan kenaikan harga minyak dan barang baru-baru ini atas alasan ‘penyelarasan subsidi’. Kini rakyat ditambah lagi dengan satu lagi bebanan,” katanya.

Di dalam isu itu, ujarnya Pakatan Rakyat (PR) perlulah menghapuskan semua bentuk saman ekor serta memansuhkan yang tertunggak dan melaksanakan satu kaedah yang lebih mendidik kepada pengguna jalan raya sekiranya diberi peluang menjadi kerajaan Pusat.

Ini, ujarnya bukan bererti tiada langsung saman tetapi hukuman yang lebih mendidik dan lebih berkesan.

“Melihatkan kedegilan kerajaan yang tidak mahu mendengar rintihan rakyat dengan terus melaksanakan pelbagai polisi yang mencengkam rakyat, DPPP merasakan hanya satu jalan sahaja yang akan menyebabkan kerajaan mendengar rintihan rakyat iaitu dengan memilih PR di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang,” ujarnya.

Harakahdaily/-

DAP cabar Umno dedah Melayu dihalau di P Pinang

18 Syaaban 1431 H

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Umno mengemukakan nama individu Melayu yang pernah dihalau oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mendiami perkampungan sekitar Jelutong, lapor Harakahdaily.

Katanya, apa yang berlaku sepertimana Kampung Pokok Asam di Jelutong atau Kampung Binjai di Bayan Lepas bukan masalah kerajaan negeri sebaliknya adalah arahan mahkamah kerana tanah yang mereka duduki telah dibeli atau dimiliki oleh pemaju.

Itupun katanya, kerajaan negeri masuk campur untuk mencari penyelesaian seperti mendesak pemaju di Pokok Asam agar menghentikan pelaksanaan projeknya selama tiga bulan untuk mengadakan perbincangan bagi manfaat penduduk.

"Mana ada individu yang Kerajaan Pakatan Rakyat halau. Kalau ada berikan saya satu nama, melainkan ia adalah arahan mahkamah kerana pemaju telah membeli tanah yang mereka diami dari pemilik asal. Macam tu kita tak boleh buat apa sebab tanah swasta," jelasnya ketika menyampaikan pidato di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti, malam semalam.

'Tunjuk hero'

Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Saleh Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Di Kampung Binjai pula, katanya belum pun berlaku apa-apa lagi tetapi Umno sudah tunjuk 'hero' hendak membela orang Melayu walhal pelan perancangan belum dibuat lagi.

Begitupun, melalui media kepimpinan Umno Balik Pulau mengapi-apikan penduduk kononnya tanah yang mereka duduki sejak sekian lama akan diambil oleh kerajaan dan akan berlaku kejadian menghalau bangsa Melayu.

Katanya lagi, Umno sengaja membangkitkan isu tersebut untuk melahirkan penentangan di kalangan orang Melayu agar jangan tertipu dengan kerajaan berjiwa rakyat pimpinannya yang telah berjaya membawa perubahan ketara berbanding di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Umno bangkitkan isu perkauman untuk kepentingan senario politik sempit mereka selain untuk melagakan PAS, PKR dan DAP. Bila berpecah BN dan Umno akan bersorak tetapi masalahnya setakat ini semua perancangan yang dibuat makan diri," tegas beliau dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.

Tambahnya, tindakan yang dilakukan Umno terhadap kerajaan negeri bermatlamat memberi gambaran jahat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bertindak zalim terhadap orang Melayu jika diberi mandat memerintah negara.

Ditohmah anti-Melayu

DAP pula, katanya ditohmah parti anti-Melayu apabila mengambil langkah menghalau orang Melayu dari perkampungan yang diduduki sejak puluhan tahun.

"Tujuan mereka hanya satu iaitu nak menakutkan orang Melayu di negeri lain jika biarkan Pakatan Rakyat memerintah, bencana akan terjadi. DAP akan melakukan sesuatu di luar dugaan dan negara akan jadi huru hara," jelasnya yang juga ahli parlimen Bagan.

Justeru itu, beliau mengingatkan masyarakat Pulau Pinang sama ada Melayu, Cina mahupun India supaya jangan terpengaruh dengan dakyah Umno dan BN sebaliknya memahami dasar kerajaan Pakatan Rakyat secara mendalam.

Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat akan membela rakyat selaras dengan dasar dan matlamat menjadikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera, aman, makmur dan ada integeriti.

Ini, ujarnya berbeza dengan BN yang asyik menyuruh rakyat mendahulukan sesuatu termasuk menghadiahkan rakyat dengan beberapa kenaikan harga barangan dan petroleum, baru-baru ini.

Malaysiakini/-

Liwat II: 'Hubungan romantis' jadi tumpuan

18 Syaaban 1431 H

Pejabat Peguam Negara menerusi laman sesawangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Farah Azlina Latif dari Bahagian Pendakwaan.Jabatan Peguam Negara telah dipindahkan ke Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang berkuatkuasa semalam.

Sehubungan dengan pemindahan itu, jawatannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya ditukar sebagai Peguam Kanan Persekutuan.Namun menurut laman itu, jawatan baru berkenaan bukan dengan “tujuan naik pangkat” dan Farah Azlina masih menyandang Gred L48 yang dipangkunya sebelum ini.

Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan Farah Azlina yang dikaitkan mempunyai ‘hubungan romantis’ dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah ditukarkan beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut sumber, beberapa bulan lalu, Farah pernah dipindahkan dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan kepada Unit Jenayah Komersial di bawah Bahagian Pendakwaan setelah dinaikkan pangkat, Februari lalu.

Selain Bahagian Pendakwaan, Rayuan dan Perbicaraan, terdapat lapan lagi bahagian, termasuk Hubungan Antarabangsa, Penggubalan, Penasihat, Kajian, Semakan dan Pembaharuan Undang-undang, Sivil dan Pengurusan.

Dua hari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada sidang akhbranya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Pertunangan dibatalkan

Sebelum kejadian itu, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Sesetengah pihak juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Abdul Gani yang memindahkan Farah Azlina dari Bahagian Pendakwaan sebelum siasatan terperinci dijalankan.

Adalah dipercayai Mohd Saiful yang dikatakan telah bertunang dengan seorang personaliti media mungkin mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apabila “kena pada waktunya.”

Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Beliau mengambil alih tugas itu tetapi tidak terlibat dengan pendakwaan, kata Abdul Gani.

Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar bersambung Isnin ini dan isu ‘hubungan romantis’ Farah Azlina dengan Mohd Saiful dijangka akan menjadi tumpuan.

Ini berikutan surat dari peguam Anwar kepada Abdul Gani dan Peguam Cara II Negara, Datuk I Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga adalah ketua pendakwa -- menuntut penjelasan berhubung ‘hubungan romantis’ itu.

Malaysiakini/-

Tharmendran turut dibicara mahkamah tentera

18 Syaaban 1431 H

Sarjan N Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan sahaja menghadapi pertuduhan mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM, tetapi turut didakwa atas pertuduhan lain di Mahkamah Tentera kerana menerima harta awam yang digunakan secara tipuan dan satu pertuduhan alternatif iaitu menerima harta curi.

Sarjan itu didakwa mengikut Seksyen 61(b) Akta Angkatan Tentera 1972 dan Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Tharmendran telah dihadapkan ke Mahkamah TUDM bermula pada Jun 2007 dan seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil sehingga Mei 2009. Bagaimanapun, perbicaraan itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada penyiasatan kes kecurian enjin pesawat yang didakwa dilakukannya.

Perbicaraan itu sepatutnya disambung hari ini dengan memanggil tiga lagi saksi sebelum menutup kes pendakwaan. Bagaimanapun, ia ditangguhkan selepas peguambela tertuduh, Rakhbir Singh tidak hadir kerana beliau menjelaskan
melalui surat kepada mahkamah menyatakan ingin menarik diri selepas tidak mendapat arahan daripada anak guamnya itu.

Mengikut pertuduhan, Tharmendran, 42, didakwa menyalahgunakan secara tipuan harta-harta milik awam iaitu lapan buah 'HP Laser Jet Print Catridge' pelbagai model manakala bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi lapan buah 'HP Laser Jet Catridge' pelbagai model.

Turut didakwa, seorang Koperal Udara Mohamad Zohari Aris, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 61(a) Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu menyalahgunakan 10 buah 'HP Laser Jet Print Catridge' pelbagai model.

Bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi 'HP Laser Jet Catridge' itu mengikut Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 403Kanun Keseksaan.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Pangkalan Udara Subang pada 1 tengah hari, 13 Januari 2006.

Peguambela, Mejar H S Tiong yang mewakili Tharmendran sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Penjara Sungai Buloh pada 27 Julai lalu tetapi Tharmendran menyatakan tidak berminat untuk meneruskan beliau mewakilinya.

"Saya telah pergi menemui tertuduh di penjara tetapi tertuduh bertindak mendiamkan diri dan menyatakan tidak berminat untuk melantik saya sebagai peguamnya," katanya.

Peguam Mohd Fadzil Zainuddin yang mewakili Mohamad Zohari turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya juga tidak berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Tharmendran yang memakai baju biru menjelaskan bahawa dia ingin melantik peguam baru iaitu N Surendran untuk mengambil alih bagi menjalankan perbicaraan itu.

Namun demikian, Tharmendran memberitahu bahawa Surendran turut gagal menghadirkan diri ke mahkamah atas alasan dia tidak dimaklumkan tarikh bicara itu hari ini.

Mahkamah juga menangguhkan kes Mohamad Zohari yang diwakili peguam bela G Ravichandran kerana peguam itu mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi Teluk Intan, Perak.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Yang Dipertua Mejar Zainal Abidin Abdul Aziz dan ahli-ahlinya membenarkan penangguhan itu sambil memberi amaran bahawa tiada lagi alasan untuk menangguhkan perbicaraan kerana kes ini sudah terlalu lama.

"Mahkamah membenarkan penangguhan ini, dan berharap kesemua pihak yang terlibat tidak melengahkan kes, bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh yang lain kerana kedua-dua peguam bela gagal hadir dan tarikh itu akan ditetapkan kemudian," katanya.

Perbicaran dikendalikan Pendakwa Raya Kapten Zaharuddin Che Zahari dan Kapten Ahmad Azam Soip.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Seorang pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Malaysiakini/-

Nga : Rakyat berhak tahu apa tujuan bajet tambahan RM 80 juta.

IPOH, 30 July :-Rakyat Perak menanggung defesit belanjawan yang teruk seperti mana rang undang-undang yang akan diluluskan sebanyak RM 80 juta peruntukan tambahan. demikian persoalan yang dilontarkan oleh ADUN Pantai Remis, YB. Nga Kor Ming dalam sidang media di Pejabat Pakatan Rakyat Perak disini.

"Jika dewam meluluskan belanjawan ini, maka ini adalah belanjawan yang paling tinggi yang defesit" Tegas beliau.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Speaker V. Sivakumar/Tronoh, Hj. Mohd. Zainuddin/Lubok Merbau, Leong mei Ming/Jalong, Tai Sing Eng/Kuala Sepetang, Drs. Khalil idham Lim/Titi Serong, Hj. Hussin Din/Selingsing, Sum Chiok Ling/ Bercam dan Wong kar Woh/ Canning.

Sidang media itu khusus diadakan berkaitan sidang DUN yang akan diadakan pada 3 Ogos akan datang.

Sebelum ini BN melakukan rekod dunia dengan meluluskan bajet yangpaling pantas selama 20 minit untuk lulus RM 710 juta bajet, Jelasnya.

"Rakyat berhak tahu apa tujuan tambahan bajer RM 80 juta. Bertari defesit maka jumlah defesit ialah RM 104 Juta." Katanya lagi.

Selain itu Yb. Nga juga menuntut pendedahan secara terperinci belanjawan dalam tempoh tidak sampai setahun kerana 2.4 juta rakyat perak terpaksa menggung defesit tersebut.

YB. Nga juga mendedahkan Zambry telah melakukan siri lawatan korea, London, Timur Tengah, China namun apakah kesan kepada pelaburan kepada Perak.

Sedangkan Perak berada dalam negeri ketiga paling miskin, maka saya minta penjelasan dalam dewan bagaimana negeri Perak tidak akan bengkrap. jelasnya.

Posisi tidur menurut Islam dan Sains

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Diriwayatkan daripada Barra2 bin ‘Azib r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
إذا أتيت مضجعك فتوضأ وضوءك للصلاة ثم اضطجع على شقك الأيمن...

Maksudnya: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu. (Hr Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring pada lambung kanan. Adapun tidor dengan cara yang lain adalah seperti berikut:-

Tidur dengan meniarap

Dr Zafir al-Attar berkata:

“Seseorang yang tidur meniarap diatas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. “

Pengkaji dari Australia telah menyatakan bahawa berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah ‘Times’ telah menyatakan bahawa kajian di Britain telah menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur meniarap adalah dilarang oleh Islam. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w . Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية
Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Tidur menelentang

Dr Zafir al-Attar berkata:

Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan mereganngya rahang bawah.

Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu2 dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya meneyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang mana ia lebih besar dari paru kiri. Ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih2 lagi kepada orang yang sudah tua.Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan diantara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke ke kiri

Kajian yang telah menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung diantara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.

Tidur yang terbaik

Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru kiri lebih kecil daripada paru kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek diatasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Melakon dan melukis watak Nabi dan Sahabat

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Ulama telah melarang daripada melakonkan watak para Nabi dan Rasul. Begitu juga dengan hukum melukis watak mereka. Sebab-sebab dan dalil-dalil bagi larangan tersebuta adalah seperti berikut:

1. Melakonkan dan melukis watak mereka adalah tidak boleh dilakukan dengan sempurna dan tepat seperti mana yang asal. Ini menyebabkan berlakunya pembohongan dengan perkataan dan perbuatan. Pembohongan terhadap mereka adalah perkara yang diharamkan. Nabi s.a.w bersabda:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Maksudnya: Sesiapa yang berbohong keatasku dengan senghaja maka hendaklah dia menempati tempatnya di dalam neraka. (Hr Bukhari dan Muslim)

Sekalipun hadis ini diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w tetapi hukumnya merangkumi semua para Nabi dan Rasul.

2. Melakonkan dan melakar watak para Nabi dan Rasul adalah satu perkara yang menyakiti mereka. Ini kerana lakonan dan lakaran tersebut tidak dibuat secara tepat dengan yang asal. Menyakiti hati rasulullah s.a.w adalah amat ditegah sama sekali. Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasulnya, Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat dan menyediakan mereka azab yang menghina mereka" (57: al-Ahzab)

Menyakiti Rasul yang lain seumpama menyakiti Nabi Muhammad s.a.w.

3. Para Rasul adalah contoh tauladan bagi manusia lain. Melakukan sesuatu yang bersifat bohong terhadap mereka adalah boleh menyesatkan manusia. Allah s.w.t berfirman kepada Nabi s.a.w selepas menyebut 18 Nama para Nabi :

"Merekalah orang-orang yang mendapat hidayah daripada Allah. Maka hendaklah kamu meneladani petunjuk perjalanan hidup mereka." (90: al-Anam)

Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya terdapat contoh tauladan yang baik bagi kamu pada diri Rasulullah." (21: al-Ahzab)

Oleh kerana hujjah2 yang diatas maka para ulama telah mengharamkan melakonkan watak para Nabi dan melukis gambar mereka. Diantara fatwa yg mengharamkan perkara ini adalah seperti berikut:

1. Fatwa Syeikh Hasanain Mahkluf bekas mufti Mesir pada bulan Mei 1950 (buku al-Fatawa al-Islamiah - jilid ke4 ms 1297)
2. Lajnah Fatwa Universiti al-Azhar pada bulan Jun 1968.
3. Majlis Majma3 al-Buhus al-Islamiah (pusat kajian Islam Mesir) pada Februari 1972.
4. Dar Ifta Misriah (pusat fatwa Mesir) pada ogos 1980.
5. Syeikh Atiah Saqor bekas mufti mesir.

Melakonkan watak sahabat

Seperti mana haramnya melakonkan watak para Rasul haram juga melakonkan watak para sahabat yang memiliki kedudukan tinggi dalam Islam seperti khalifah yang empat. Ini disebabkan mereka juga disuruh untuk dijadikan contoh tauladan. Nabi s.a.w bersabda:

فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين
Maksudnya: Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan Sunnah para khalifah yg mendapat petunjuk. (Hr Abu Daud dan Tirmizi -hadis sahih)

Adapun hukum melakonkan watak sahabat-sahabat Nabi yang lain ade terdapat perselisihan ulama:

1. Ada yang mengharamkan melakonkan watak semua sahabat.
2. Ada yang mengharamkan melakonkan watak sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga.
3. Ada yang mengharamkan melakonkan watak sahabat-sahabat Nabi yang berjuang bersama Rasul dlm tempoh yang lama.

Pendapat ketiga adalah yang dipilih oleh oleh panelpanel persidangan Majma-majma Buhus Islam dan Dar Ifta Misriah. Mereka mengharamkan melakonkan watak sahabat-sahabat besar Nabi.

Kesimpulan

Melakonkan watak para Rasul adalah diharamkan menurut persepakatan ulama. Diharamkan juga melakonkan watak-watak khalifah Nabi dan sahabat-sahabat besar. Adapun sahabat Nabi yang lain, ada yang mengharamnkan dan ada yang membenarkan.

Jenis-jenis Haji

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

asma bertanya: Apakah beza haji tamttuk dan haji ifrad?

Jawapannya:BerIhram untuk membuat haji dan umrah ada tiga cara. Orang yang membuat haji hendaklah memilih salah satu daripadanya. Ini berdasarkan hadis berikut:

منا من أهل بالحج مفردا ومنا من قرن ومنا من تمتع
Maksudnya: Ada ada diantara kita yang menunaikan haji dgn Ifrad, ada yang menunaikan haji qiran dan ada yg menunaikan dengan tamattu3. (Hr Muslim)

Cara ketiga2 jenis ini adalah seperti berikut:-

1. Ifrad

Seorang yang berihram dengan niat haji daripada miqat haji. Apabila telah selesai menunaikan haji maka dia berihram dengan ihram umrah dengan keluar ketempat paling dekat yang halal dan melakukan kerja2 umrah. Haji ini yang dilakukan oleh Baginda s.a.w seperti mana disebut hadis yang diriwayatkan oleh Jabir:

وأهل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالحج
Maksudnya: Dan Rasulullah s.a.w berihram dengan menunaikan Haji. (Hr Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan: Ifrad adalah menunaikan Haji sebelum Umrah dalam masa2 haji pada tahun yang sama.

2. Tamattu3

Seseorang yang berihram untuk melakukan umrah pada bulan-bulan haji dari miqat dan menunaikan umrah sehingga selesai. Kemudian dia bebas melakukan apa sahaja setelah habis umrah. Kemudian dia berihram untuk mengerjakan haji , pergi ke miqat dan menunaikan kerja2 haji sehingga selesai.

Dalam keadaan begini dia dikenakan denda dam sekiranya dia bukan penduduk Mekkah. Firman Allah s.w.t:Maksudnya: "Maka sesiapa yang berumrah pada bulan2 haji kemudian dia melakukan haji pada tahun yang sama maka dia dikenakan denda iaitu seekor kambing yang di sembelih.

Sesiapa yang tidak mampu melaksanakan denda tersebut maka hendaklah dia berpuasa selama tiga hari pada waktu haji dan tujuh hari setelah mana dia sampai di tanah airnya. Maka sempurnalah sepuluh hari. Denda tersebut dikenakan kepada mereka yang bukannya penduduk tanah haram Mekkah. " (196: Al-Baqarah)

Kesimpulannya: Tamattu adalah melakukan Umrah dahulu, kemudian melakukan haji pada tahun yang sama.

3. Qiran

Seseorang yang menggabungkan haji dan Umrah pada bulan2 haji dgn berihram dari miqat haji. Kemudian melakukan kerja2 haji secara sempurna. Maka termasuklah amalan umrah dalam amalan haji iaitu dengan menegerjakan satu tawaf dan satu saie. Ibnu Umar r.a telah meriwayatkan: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

من أحرم بالحج والعمرة أجزأه طواف واحد وسعي واحد
Maksudnya: "Sesiapa yang berihram untu menunaikan haji dan umrah sekali gus cukuplah dengan satu tawaf dan satu saie." (Hr Tirmizi)

Qiran juga dikenakan dam kerna diqiaskan dgn tamattu3 disebabkan kerja haji tamattu3 lebih banyak dari kerja2 haji qiran.

Yang paling baik

Ifrad adalah yg paling afdol kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sperti mana yang diriwayatkan oleh Jabir dan Aisyah dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim.

Mencukur Bulu

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Nur bertanya(dlm kotak soalan): salam.ust,seorg pempuan yg ada lebihan bulu seperti misai n bulu kaki.adakah boleh dia mencabut atau mbuang bulu tersebut?apakah hukumnya?

Menghilangkan bulu (termasuklah rambut) dari badan menurut hukum Islam ada tiga jenis.

Jenis pertama: Apa yang disuruh dalam nas untuk dihilangkan seperti bulu ari-ari dan bulu ketiak. Ini adalah dituntut.

Jenis yang kedua: Apa yang dilarang dalam nas untuk dihilangkan sperti janggut bagi orang lelaki dan menipiskan kening.

Jenis ketiga: Apa yang tidak ada nas Quran atau hadis yang melarang dan tidak ada nas yang menyuruh seseorang itu mencukurnya sperti bulu peha, betis perut, dada,tangan dan lain-lain.

Asal bagi sesuatu yang tidak ada nas adalah dibenarkan seperti hadis berikut:

ما أحل الله في كتابه فهو حلال وما حرم فهو حرام وما سكت عنه فهو عفو
Maksudnya: Apa-apa yang Allah halalkan didalam kitabnya maka itu adalah perkara yang halal. Apa yang Allah haramkan didalam kitabnya maka perkara itu adalah haram. Apa-apa yang Allah tidak nyatakan hukumnya maka itu adalah perkara yang dimaafkan. (Hr Hakim-hasan sahih)

Kebanyakan ulama mengharuskan lelaki dan perempuan mencukur bulu di tempat-tempat ini berdasarkan hadis ini.

Jenis ketiga ini ada dua kategori:-

Kategori 1: Lelaki

Dibenarkan lelaki mencukur bulu ditempat-tempat ini sekiranya tidak sampai had menyerupai perempuan dan tidak menyerupai orang kafir.

Sebahagian ulama tidak menyukai lelaki menghilangkan bulu-bulu ditempat ini. Ibnu Nujaim al-Hanafi telah berkata:“Lelaki yang mencukur bulu di dada dan belakangnya adalah tidak ada adab”

Kategori 2: Perempuan.

Dibenarkan perempuan untuk menghilangkan bulu2 ditempat ini. Malahan sebahagian ulama ada yang mewajibkannya seperti ulama mazhab Maliki.

Wanita juga boleh menghilangkan misai dan janggut dengan mencukurnya. Ini adalah persepakatan dari mazhab yang empat. Cuma mazhab Hambali melarang perempuan menipiskan janggut dan misainya.

Kesimpulan jawapan bagi soalan yang diajukan: Boleh bagi wanita untuk mencukur misai dan betisnya.

Solat sunat afdal dilakukan di rumah kecuali

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Solat sunat adalah sebaiknya dilakukan di rumah berdasarkan hadis-hadis berikut:

أفضل صلاتكم في بيوتكم إلا المكتوبة
“ Sebaik-baik solat kamu adalah di rumah kamu melainkan solat fardu.”Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim .Hadis yang diriwayatkan dari jabir:

إذا قضى أحدكم الصلاة في مسجد فليجعل لبيته نصيبا من صلاته فإن الله عز وجل جاعل في بيته من صلاته خيرا
" Apabila salah seorang diantara kamu selesai solat di masjid hendaklah jadikan sebahagian solatnya dibuat di rumahnya. Sesungguhnya Allah swt akan menjadikan kebaikan di rumahnya dengan sebab solatnya.”

Hadis sahih riwayat Muslim.Hadis yang diriwayatkan Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:

صلوا في بيوتكم ولا تجعلوها عليكم قبورا
“ Hendaklah kamu solat sunat di rumah kamu dan jangan jadikan rumah kamu sebagai kubur kamu.”

Hadis riwayat Ahmad. At-Thabrani dan al-Bazzar meriwayatkan hadis dengan makna yang sama dan sanad yang sahih.

Abdullah bin Saad berkata: Aku bertanya Rasulullah saw “ Dimanakah lebih baik untuk didirikan solat. Di masjid atau pun di rumah?” Rasulullah saw menjawab:

ألا ترى إلى بيتي ما أقربه من المسجد فلأن أصلي في بيتي أحب إلي من أن أصلي في المسجد إلا أن تكون صلاة مكتوبة
“ Bukankan engkau lihat rumahku begitu hampir dengan masjid. Walaupun begitu, aku lebih suka solat dirumahku dari solat di masjid kecuali solat fardu.”

Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Umar meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw:

أما صلاة الرجل في بيته فنور فنوروا بيوتكم
“ Adapun solat kamu di rumah kamu adalah cahaya. Cahayakanlah rumah kamu.”

Hadis daif riwayat Ibnu Majah.

SOLAT SUNAT YANG AFDAL DILAKUKAN DI MASJID

Ulama ada mengaring beyt2 syair:

صلا ة نفل في البيوت أفضل إلا لذي جماعة تحصل وسنة الإحرام والطواف ونفل جالس للإعنكاف ونحو علمه لإحياء البقعة كذا الضحى ونفل يوم الجمعة وخائف الفوات بالتأخر وقادم ومنشىء للسفر والإستخارة وللقبلية لمغرب ولا كذا البعدية

Daripada rangkap-rangkap syair diatas dapat diketahui bahawa solat sunat afdalnya dibuat di rumah kecuali solat-solat berikut yang Sunat dibuat di masjid:

1. Solat yang disunatkan dibuat secara jemaah seperti solat raya.
2. Solat sunat Ihram.
3. Solat sunat tawaf.
4. Solat sunat yang dikerjakan oleh orang yang hendak meneruskan iktikaf.
5. Solat sunat orang yang menuntut dan menyampaikan ilmu di masjid.
6. solat sunat dhuha.
7. solat sunat pada hari jumaat.
8. Solat sunat yang dilakukan di masjid kerana takut kehabisan masa jika buat dirumah.
9. Solat sunat yang kembali dari musafir.
10. Solat sunat orang yang hendak pergi bermusafir.
11. Solat sunat istikhoroh.
12. Solat sunat qabliah magrib.

KESIMPULAN: BERUSHALAH UNTUK SOLAT FARDU DI MASJID DAN SOLAT SUNAT DIRUMAH KERNA DAPAT MENJAGA DARI PENYAKIT HATI SEPERTI RIYA, BANGGA DAN SEBAGAINYA.

Feqhul Hadis: Dilarang menginginkan atau bercita-cita untuk mati

18 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Daripada Anas r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

لا يتمنين أحدكم الموت لضر نزل به فإن كان لا بد متمنيا فليقل: الهم أحييني ما كانت الحياة خيرا لي وتوفني إذا كانت الوفاة خيرا لي
Maksudnya: "Janganlah salah seorang kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpamu.

Sekiranya dia terpaksa juga untuk berbuat demikian maka hendaklah dia berdoa: Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup lebih baik bagi aku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku."(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Petunjuk hadis:

Hadis menunjukkan larangan bercita2 atau mengharapkan mati bila berlaku malapetaka, takut musuh, ditimpa penyakit, kesimpatan wang, tekanan hidup dan sebaginya dari kesusahan dunia. Ia dilarang kerana menunjukkan kepada tidak reda dengan ketetapan tuhan.

Hadis ini hanya melarang inginkan kematian jika disebabkan kesusahan dunia. Adapun inginkan kematian disebabkan fitnah dan musibah agama maka tidak dilarang. Dalil2nya adalah seperti berikut:

1. Maksud kemudaratan dalam hadis adalah kemudaratan dunia seprtimana yang ditafsirkan oleh ulama berdasarkan hadis yang sama dari riwayat Ibnu Hibban seperti berikut:

Maksudnya: "kerana kemudaratan yang menimpanya di dunia.."

2. Dalam hadis daripada Muaz bin Jabal r.a ada doa yang berbunyi:

إذا أردت بعبادك فتنة فاقبضني إليك غير مفتون
Maksudnya: "..dan sekiranya kamu kehendaki satu kaum untuk mereka menimbulkan fitnah maka cabutlah nyawaku tanpa terkena fitnah tersebut." (Hr Abu Daud dan Hakim)

3. Kata-kata Maryam a.s dalam al-Quran: Maksudnya: "Alangkah baiknya aku telah mati sebelum terjadi perkara ini." (23: MAryam)

Haram membunuh diri

Daripada hadis ini menunjukkan kepada haramnya membunuh diri kerana menginginkan kematian pun diharamkan, inikan pula menyebabkan kematian pada diri sendiri. Nabi s.a.w bersabda:

من قتل نفسه بشيء عذبه ا لله به في نار جهنم
Maksudnya: "Sesiapa yang membunuh dirinya dengan cara tertentu maka Allah akan mengazabnya di neraka jahannam dengan cara tersebut." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

kesimpulan:

Diharamkan kita menginginkan kematian disebabkan kesusahan dan kesulitan dunia. Kita sering mendengar kata-kata "lebih baik aku mati..", kata-kata seumpama ini adalah dilarang sama sekali oleh Islam. Bagi mereka yang ditimpa kesulitan hendaklah sentiasa ingat pesanan Allah:

Maksudnya: "Setiap musibah yang melanda di bumi dan pada dir kamu sendiri, semuanya telah tertulis di dalam kitab lauh mahfoz sebelum kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

Agar kamu tidah bersedih terhadap apa yang telah luput dari kamu dan tidak pula terlalu gembira apa yang Allah berikan kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membangga diri." (22 dan 23: Al-Hadid)