3 Rejab 1434 H. [MOD] -
Isyarat yang sangat jelas apabila menyaksikan himpunan rakyat menentang penipuan dalam PRU yang lalu di Kelana Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh, ialah majoriti yang hadir adalah pengundi muda pelbagai kaum dan pengundi bandar yang juga pelbagai kaum.
Himpunan yang dinamakan Himpunan Black 505 – seterusnya akan diadakan dari negeri ke negeri, seluruh negara mencerminkan kemarahan rakyat terhadap pelbagai penipuan yang didakwa berlaku dalam PRU baru-baru ini.
Namun kebangkitan rakyat ini kelihatan berdepan dengan golongan rasis yang mengapi-apikan semangat perkauman dari pelbagai pihak yang dapat disimpulkan bahawa mereka dari golongan yang sangat kecewa dengan prestasi lemah Umno/BN.
Mengenai golongan perkauman ini, saya memetik pandangan Dr. Asri Zainal Abidin dalam tulisannya di Sinar Harian baru-baru ini yang menentang semangat rasis ini.
Katanya, tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliyah yang diharamkan syarak. Tindakan ini kata beliau, boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara 'multiracial' seperti Malaysia ini.
Kerana, katanya, sikap ini akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. “Lantas akan menimbulkan ketegangan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas 'prejudice' perkauman,” kataya.
Dr. Asri menyebut, antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiah' yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan.
Islam, kata Dr.Asri, adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi dan keadilan Islam itu merentasi perbezaan pemikiran dan agama.
Sebenarnya pandangan para ilmua agama sudah lama didengar bagaimana Islam menentang fahaman perkauman, namun fahaman jahiliyah ini masih juga berkembang. Maka menjelang PRU yang lalu dan sesudahnya, suara perkauman terus kedengaran dan dihembus dengan kerasnya lagi oleh media yang mendukung fahaman itu.
Oleh itu, kebangkitan rakyat – terutama rakyat bandar dan generasi muda – yang berlaku sekarang akan terus berdepan dengan golongan rasis ini, namun golongan perkauman ini, akan dapat dikalahkan.
Kemenangan Pakatan Rakyat, khususnya kemenangan besar DAP bukan semata-mata undi Cina, bahkan undi Melayu juga. Umpanya kemenangan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah, Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan calon DAP di tempat lain bukan semata-mata kerana undi Cina, tetapi juga undi pelbagai kaum.
Begitu juga kekalahan calon BN, Ali Rustam di Bukit Katil di tangan calon PKR, bukan semata-mata kerana penolakan undi Cina di situ, tetapi juga penolakan pengundi Melayu yang ramai di kawasan itu.
Ada puluhan contoh lagi di mana ramai pengundi Melayu bandar dan semi bandar menolak calon BN, di samping pengundi Cina yang secara besar-besara menolak calon BN sama ada calon BN itu Melayu, Cina atau India. Pengundi bandar dan semi bandar serta pengundi generasi pemuda sudah jelas menolak calon BN bukan kerana bangsa atau keturunan, tetapi kerana BN dipenuhi rasuah, nepotisme, penyelewengan dan lain-lain.
Jelaslah keputusan PRU ke-13 itu tidak memihak kepada Barisan Nasioal, walaupun ia menang tipis, bukan kerana perkauman, tetapi hal-hal yang sudah diketahui umum.
Oleh itu sentimen perkauman itu cuba disemarakkan oleh golongan berkepentingan justeru mereka ini tidak mampu menerima hakikat sebenar.
Sebenarnya, api perkauman ini tidak mudah padam kerana ia akan terus dinyalakan oleh pihak berkepentingan, walaupun sikap mereka ini ditentang oleh Islam. Oleh itu golongan pengundi muda dan pengundi Melayu bandar yang kini sedang bangkit ini akan terus berdepan dengan golongan rasis ini.
Hari-hari mendatang, semakin hangat sambutan terhadap kebangkitan rakyat, semakin besar ‘kemurkaan’ golongan ini. Namun saya sekali lagi yakin golongan tersebut akan hanyut bersama sampah saraf sejarah.
Oleh itu, saya percaya bahawa negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama, yang selama ini hidup dengan harmoni, tidak akan menjadi sebuah negara rasis dan diktator seperti negara German di zaman Adolf Hitler.
Saya juga yakin, tidak akan wujud di negara ini kumpulan samseng dan rasis seperti Klu Klux Klan yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat sendiri selepas perang saudara di negara itu dulu, semata-mata untuk mempertahankansupremacy kulit putih yang anti pendatang dengan melakukan tindaka keganasan.
Sementara kita menyaksikan terus kebangkitan rakyat, terutama pengundi muda dan pengundi bandar, kita mendengar berita bahawa Pakatan Rakyat sedang menyiasat 27 kes keputusan pilihanraya peringkat parlimen yang dimenangi oleh BN di mana ada laporan mendakwa ada berlaku penipuan.
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli yang mengetuai jawatan kuasa penyiasat itu berkata, pihaknya telah menerima 237 aduan dari pelbagai pihak mengenai apa yang terjadi dalam PRU yang lalu itu.
Menurut beliau, 27 kerusi parlime yang akan disasat ialah Bentong, Kuala Selangor, Baram, Sungai Besar, Pasir Gudang, Labis, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Tebrau, Bagan Serai, Kota Marudu, Beaufort, Setiawangsa, Segamat, Ledang, Balik Pulau, Kulim Bandar Bharu, Pulai, Kuala Kangsar, Muar, Pendang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan and Saratok.
Mari kita berdoa kepada Allah s.w.t. semoga kes-kes ini akan menang ketika di bawa ke mahkamah nanti. Ini adalah perjuangan yang panjang.
harakahdaily/-