Lokasi mayat Cinang ditemui.

Lokasi mayat Cinang ditemui.
KLANG - Tragedi yang menimpa mangsa rogol dan bunuh, Nur Amyliana Shuhada Mohd Nor atau Cinang,11, yang ditemui mati di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi 9 Mei lalu mengemparkan penduduk di kawasan berkenaan.
 
Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati rata-rata penduduk di kawasan itu berada dalam kebimbangan. Kebanyakan ibu  bapa tidak lagi membenarkan anak mereka ke sekolah dan bebas bermain sendirian di luar rumah kerana bimbang kejadian sama menimpa anak mereka.

Seorang suri rumah, Fatimah Tarah, 41, mengakui terkejut dan sangat takut selepas mendengar berita sedih itu.

“Saya bersimpati kepada keluarga Cinang. Selepas kejadian itu, saya sendiri hantar anak ke sekolah termasuk tidak membenarkan dia ke sekolah sendirian mahupun bersama rakan sekelasnya.
“Saya juga tidak benar anak saya keluar tanpa pengawasan seperti kebiasaannya, walaupun di depan rumah,” katanya.

Bagi pembantu  kedai, Rabiatul Adawiyah Mahamad, 24, berkata, dia kini  mengambil langkah berhati- hati dan  mengelak dari melalui lorong gelap berhampiran kawasan rumah kedai itu untuk pulang ke rumahnya.

"Kalau balik kerja malam, saya tumpang kereta kawan," katanya.

Pendapat sama dilontarkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Krismawati Nordin, 16, yang sering berjalan kaki pulang ke rumah selepas tamat persekolahan.

“Sekarang saya lebih senang pulang beramai-ramai bersama rakan sekelas kerana penjahat berada di mana-mana," katanya.


sinar/-