13 Mei 2013

10 rumah dilanda banjir kilat

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

10 rumah dilanda banjir kilat

Zuraimi mengangkat peralatan bot bagi mengelak dihanyutkan banjir kilat.
ALOR PONGSU - Musim tengkujuh ditambah keadaan air laut pasang besar menyebabkan lebih sepuluh rumah dilanda banjir kilat di Parit Simpang Empat dan Parit Simpang Lima di sini sejak tiga hari lalu.

Sepuluh rumah di dua kampung itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan air naik setinggi setengah meter dan memasuki beberapa rumah yang terletak pada paras rendah.

Mangsa banjir, Jamaluddin Hassan,55, berkata, penduduk terpaksa mengharungi banjir kilat setiap kali hujan dan situasi itu menjadi kebiasaan apabila sebanyak tiga kejadian serupa terjadi pada tahun lalu sahaja.

“Masalah itu berpunca daripada saliran pintu air mengalirkan air buang sawah padi di kawasan kampung kami agak sempit

“Keadaan itu ditambah pula dengan keadaan pengaliran air keluar ke Sungai Kerian yang sangat perlahan disebabkan pembinaan ban tebatan banjir di belakang kampung kami masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Keadaan menjadi semakin parah apabila air yang turun dari Paya Kelubi, Gunung Semanggol tidak mampu dialirkan ke Sungai Kerian dengan lancar disebabkan masalah sistem perparitan yang akhirnya melimpah ke rumah kami,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Seorang petani, Zuraimi Abdul Manaf, 41, berkata, hujan lebat sejak tiga hari lalu mula mengakibatkan bahagian ruang tamu rumahnya dinaiki air sehingga dua kaki, tetapi keadaan masih terkawal sehinggalah keadaan air kini semakin surut.

“Saya terkejut apabila lihat tilam dan barangan rumah terapung di bahagian bawah rumah kami lepas bangun tidur jam 5 pagi.

“Mujurlah kenderaan, peralatan pertanian dan enjin bot tidak rosak. Jika tidak, tidak tahulah macam mana saya hendak baikinya,” katanya.

Zuraimi turut menjelaskan pihaknya bimbang keadaan banjir kilat itu menjadi semakin serius sekiranya tiada mekanisme penyelesaian segera dicapai.

“Bagaimanapun, kami sudah diberi jaminan oleh Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat bahawa keadaan akan menjadi lebih baik setelah ban tebatan banjir di belakang kampung kami siap dibina.

“Saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik pada masa hadapan demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Sham ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menegaskan lawatan ke lokasi kejadian sudah dilakukan untuk mengenal pasti punca banjir kilat.

Menurutnya, kekerapan banjir kilat yang berlaku disebabkan pembinaan ban tebatan banjir masih belum sempurna dan percaya ia selesai setelah ban itu siap dibina kelak.
“Saya minta penduduk bersabar kerana projek pembinaan ban tebatan banjir itu sedang dilaksanakan dan saya yakin segala permasalahan penduduk selesai setelah ia siap,” katanya.
Sinar/-

Tiada ulasan: