12 Julai 2010

Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Sungai Petani kecoh

28 Rejab 1431H.

SUNGAI PETANI: Majlis perasmian mesyuarat agung UMNO Bahagian Sungai Petani di Hotel SP Inn di sini, sebentar tadi kecoh apabila sekumpulan lebih 30 ahli parti itu mendesak Ketuanya, Ali Yahya, melepaskan jawatan.

Kumpulan itu yang mendakwa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ali mula menimbulkan kekecohan dan menjerit meminta Ketua UMNO Bahagian itu melepaskan jawatan sebaik Ali memasuki dewan untuk majlis perasmian itu yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Suasana kecoh itu berlangsung selama kira-kira 10 minit apabila kumpulan terbabit memekik bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan UMNO bahagian itu.

Suasana gamat bagaimanapun kembali tenang dan terkawal apabila wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri, iaitu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Ariffin Man, meminta kumpulan terbabit bertenang dan mengambil tempat masing-masing bagi membolehkan Jamil Khir memberikan ucapan perasmian. BH/-

Nik Aziz: Boikot media pro-BN jika permit tidak diperbaharui

28 Rejab 1431H.
Harakahdaily

KOTA BHARU, 10 Julai: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan diperbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bankrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.

1Malaysia makin tercalar : MCA mahu 'PERKASA Cina'

28 Rejab 1431H.


Konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin tercalar dan berlemungkinan robek apabila parti kedua terbesar dalam komponen BN - MCA mencadangkan penubuhan PERKASA versi Cina bagi menangani serangan perkauman NGO Melayu itu.

Naib presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, yang membuat cadangan itu juga membayangkan agar kumpulan berkenaan diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

"Komuniti Cina dan persatuan Cina seperti KLSCAH boleh memainkan peranan itu. MCA hanya boleh bertindak sehingga peringkat tertentu - ia sepatutnya NGO menentang pencabarnya,” kata Lim.

Tidak gusar

Menurut beliau, masyarakat Cina tidak perlu gusar dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) kerana mereka juga boleh menubuhkan kumpulan pelampau seumpama itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan menubuhkan kumpulan pendesak bagi mengimbangi tekanan kumpulan pelampau kerana katanya ia ibarat melawan api dengan api.


Lim berkata sesetengah isu adalah lebih baik diselesaikan melalui perdebatan terbuka sambil melahirkan keyakinannya mengenai keupayaan kerajaan menangani tuntutan agresif PERKASA.

Namun katanya, sebagai negara pelbagai kaum yang mengamalkan prinsip adil dan seimbang, kerajaan terpaksa mengambil kira tuntutan PERKASA dan semua pihak lain.

Lim yang juga timbalan menteri kewangan menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa bahagian kedua Model Baru Ekonomi (MBE) yang menyentuh isu kontroversial ekuiti 30 peratus bumiputera telah ditarik balik kerana desakan daripada PERKASA.

Katanya, butirannya dijangka akan dikeluarkan menjelang September ini sebelum pembentangan bajet pada 15 Oktober.

Sokongan merosot

Beliau bercakap kepada pemberita semasa diwawancara oleh akhbar Cina di pejabatnya di Putrajaya, semalam.


Lim juga menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini.

Beliau yang dilantik sebagai ketua MCA Selangor mengakui memikul tugas berat bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina yang ternyata mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Katanya, sokongan masyarakat Cina kepada BN adalah sekitar 30 hingga 35 peratus di seluruh negara dan jumlah itu merosot kepada 20 hingga 25 peratus di Lembah Klang.

"Sasaran kami adalah 50 peratus sokongan pengundi Cina. Jika kita dapat hanya 40 peratus, kita tetap bergembira. Saya agak pratikal: jika saya kata kita boleh meningkatkan sokongan kepada 80 peratus, ia adalah satu pembohongan.”


Katanya, tugas utamanya sekarang ini adalah membantu BN menawan semula kerajaan negeri Selangor.

Pada pilihan raya umum yang lalu, MCA Selangor dimalukan apabila hanya berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi manakala bagi kerusi negeri, ia hanya mampu menang dua daripada 14 yang ditandingi.

Malayskaini/-

Jerman tempat ketiga Piala Dunia 2010

28 Rejab 1431H.

Jerman menepati ramalan apabila berjaya merangkul tempat ketiga Piala Dunia 2010 dalam perlawanan yang berlansung awal pagi ini.

Perlawanan di Stadium Nelson Mandela Bay itu menyaksikan Jerman berjaya menundukkan Uruguay dengan jaringan tipis 3-2

Gol-gol pasukan Jerman dijaringkan oleh Thomas Mueller pada minit ke 18, Marcell Jansen (minit ke-56) dan Sami Khedira pada minit ke-82.

Manakala gol Uruguay dijaringkan oleh pemain tengahnya Edinson Cavani pada minit ke-28 dan penyerang liciknya Diego Forlan pada minit ke 51, separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Namun, Jerman terlebih dahulu membuka tirai jaringan gol pada minit ke-18 melalui ayam tambatannya Mueller.

Jaringan tersebut bermula dari rembatan rakannya, Bastian Schweinsteiger dari jarak 35 meter, gagal ditepis dengan kemas oleh penjaga gol Uruguay Fernando Muslera menyebabkan bola itu bergolek ke hadapan.

Mueller yang berada berdekatan bola tersebut, dengan bergayanya menolak bola itu ke gawang.

Penuh dramatik

Selepas itu, Jerman cuba menggandakan serangan mereka bagaimanapun ia gagal membuahkan hasil.

Uruguay yang tersentak dengan gol tersebut, tidak berputus asa untuk menyerang bagi mendapatkan gol penyamaan dalam perlawanan penuh dramatik itu.

Usaha mereka tidak sia-sia apabila, 'counter attack' yang dilancarkan oleh pemian tengahnya Maximiliano Pereira yang merampas bola daripada Schweinsteiger terus menolak kepada Luis Suarez.

Suarez kemudiannya menolak kepada rakannya Cavani terus membawa bola masuk ke dalam kotak panelti, dan dengan mudah menolak bola tersebut ke dalam gol pada minit ke 28.

Kedudukan pada separuh masa pertama, terikat dengan 1-1.

Selepas gol yang dijaringkan oleh Cavani, pemain-pemain Jerman nampak gugup dengan hantaran yang dilakukan tidak menjadi dan tersekat di barisan pertahanan lawan.

Tambahan pula, penyerang berbisa mereka Miroslave Klose tidak bermain kerana selsema.

Sebaliknya Uruguay nampak ghairah memburu gol dan peluang terbaik pada separuh masa pertama hadir pada minit ke 41 apabila Luis Suarez yang mendapat lorongan daripada Forlan.

Tetapi tolakan Suarez hanya sedikit sahaja keluar di sebelah kanan, walaupun penjaga gol Jerman Hans Jeorg Butt sudah tertewas.

Pada separuh masa kedua, Uruguay melipatgandakan usaha dengan menyerang sejak wisel mula ditiupkan.

Gagal lepasi perangkap

Peluang terbaik untuk pasukan dari Amerika Selatan itu menambahkan jaringan tiba pada minit ke 47 apabila Cavani yang melepasi perangkap 'offside', cuba memperdayakan Hans dengan menepis bola itu tetapi bergolek singgah ke kaki Suarez.

Malangnya rembatan Suarez juga turut ditepis keluar oleh Hans.

Selepas itu, serangan demi serangan dilakukan maka pada minit ke 51, Forlan membuat sepakan 'half volley' hasil sepakan lintang rakannya membolehkan Uruguay mendahului Jerman dengan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun kegembiraan kem Uruguay tidak kekal lama apabila lima minit kemudian pemain tengah Jerman Marcell Jansen menanduk masuk pada minit ke 56, hasil hantaran lintang Jerome Boateng di sebelah kiri gol Uruguay

Kedudukan berubah 2-2.

Gol penyamaan tersebut telah menaikkan semangat pemain Jerman menyebabkan mereka melancarkan serangan dan membuat percubaan demi percubaan.

Sekurang-kurangnya empat percubaan dibuat selepas gol kedua itu, tetapi tersasar atau ditepis oleh penjaga gol Uruguay.

Hampir keseluruhan permainan pada separuh masa kedua di banyak dikuasai oleh Jerman dan serangan Uruguay berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Peluang terbaik Uruguay hadir pada minit ke-62 dan 64 apabila rembatan dan sepakan Suarez dan Forlan berjaya di tepis oleh penjaga kedua Jerman.

Bagaimanapun pada minit ke-82, pemain tengah Jerman Sami Khedira berjaya menanduk masuk ke dalam gol setelah bola tandukan hasil sepakan sudut oleh seorang pemain Jerman telah terkena pemain Uruguay.

Kemudian bola tersebut melantun di hadapan Khedira, membolehkan beliau menanduk masuk ke gawang Uruguay.

Kedudukan berubah menjadi 3-2 dengan Jerman mendahului pada minit ke-82.

Selepas jaringan tersebut, Jerman cuba memperlahankan rentak permainan dan pada minit-minit akhir permainan, Uruguay dihadiahkan sepakan percuma di hadapan pintu gol Jerman.

Bagaimanapun, sepakan Diego Forlan hanya singgah di palang gol dan bola itu terus keluar.

Akhirnya pengadil meniupkan wisel dan mengesahkan Jerman merangkul tempat ketiga dalam piala dunia 2010.

Meuller dan Forlan yang menjaringkan gol pada perlawanan ini, kini berkongsi dengan lima gol bersama Wesley Scneijder dan David Villa.


Malaysiakini/-