8 Ramadhan 1433H. [MOD] -
Isu bekalan air terawat menjadi isu dan modal ‘desperado’ UMNO untuk menawan kembali Selangor, negeri terkaya negara ini oleh BN dalam pilihanraya yang akan datang. Isu ketidakmampuan Syabas untuk merawat air dengan ‘capacity’ secukupnya menjadi umpan bagi BN untuk merendahkan kredibiliti kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim dengan satu ‘ultimate’ iaitu untuk mendapatkan kembali Selangor di bawah tadbiran BN dan UMNO dalam pilihanraya yang akan datang.
Kerajaan Pusat telah mengugut rakyat Selangor yang negeri itu akan kekurangan air dalam tahun 2014 dan akan menghadapi kekeringan air yang paling buruk dalam sejarah negara, kononnya. Kita memahami apa tujuan Kerajaan Persekutuan untuk menyebelahi Syabas walaupun Syabas telah menyeleweng daripada asas dan matlamat penubuhannya.
Sekarang kerajaan Selangor sedang mendesak supaya Tan Sri Razali Ismail dan Ketua Eksekutifnya untuk meletakkan jawatan kerana mereka adalah bertanggungjawab di atas segala kelemahan yang ada pada syarikat Syabas ini. Razali yang sedang dibayar sebanyak RM5.1 juta gaji setahun harus meletakkan jawatan kerana dengan perletakan jawatan mereka ini sahaja Selangor akan membelanja peruntukan sebanyak RM225 juta untuk mitigasi 2 bagi meningkatkan kecekapan dan kapasiti untuk merawat air bersih untuk Selangor dan Wilayah yang berhampiran.
Kerajaan Persekutuan sedang menyebelahi Syabas bukan kerana apa tetapi semata-mata kerana politik BN untuk mengambil alih kerajaan negeri Selangor. Tidak ada siapa yang menahan Putrajaya untuk mengambil alih kerajaan negeri Selangor asalkan sahaja pengambilalihan itu dilakukan dengan sistem demokrasi dan semangatnya yang tulen.
Tetapi Putrajaya memilih untuk mengambil alih secara kotor kerana dengan cara ini sahaja mereka beranggapan sebagai cara yang ada untuk menumbangkan kerajaan Selangor yang sedang berhempas pulas untuk membersihkan kekotoran yang dilakukan oleh BN semasa memerintah negeri itu selama lima dekad yang lalu. UMNO terlalu sibuk untuk mengambil alih kerajaan yang telah disalahtadbir selama lima dekad. Apa yang anehnya orang-orang yang telah merosakkan UMNO dan kerajaan Selangor dahulu pula yang sibuk untuk kembali memerintah.
Dalam konteks ini kerajaan Selangor wajar mengambil alih Syabas yang di belakangnya adalah ‘warlord-warlord’ UMNO yang mahu mengambil kesempatan dengan pembekalan air ke Selangor. Sebab dan alasan bagi Selangor mengambil alih Syabas ini mempunyai asas yang amat kukuh. Syabas telah melanggar banyak klausa-klausa dalam perjanjian dengan kerajaan negeri Selangor.
Konsesi ini sepatutnya boleh dibatalkan begitu sahaja dan Selangor mengambil alih Syabas tanpa ragu-ragu lagi. Syabas telah tidak menghormati perjanjian untuk mendapatkan bekalan paip dari sumber tempatan tetapi sebaliknya meng’import’nya dari Indonesia dan jumlah harga bekalan itu hampir mencecah RM400 juta. Syabas juga telah membelanjakan wang sejumlah lebih dari RM50 juta berbanding dengan jumlah RM23 juta sebagaimana dalam perjanjian itu.
Mengikut perjanjian kontrak-kontrak sepatutnya diberikan melalui tender terbuka tetapi Syabas telah memberikan kerja-kerja kontrak itu melalui rundingan terus dan jumlahnya lebih dari setengah billion ringgit.
Justeru usaha kerajaan Selangor untuk mengambil alih Syabas itu adalah wajar dan mengikut lunas-lunas undang-undang semata-mata untuk menjamin kestabilan pembekalan air bersih yang secukupnya menjelang tahun 2015 nanti. Tetapi kerajaan dan pemimpin-pemimpin persekutuan memilih untuk memihak kepada Syabas semata-mata kerana mahukan ‘mileage’ politik dan sanggup menjadikan rakyat Selangor sebagai mangsa kerakusan mereka.
Sekarang Syabas dan Kerajaan Persekutuan sendiri memberikan gambaran yang bercanggah-canggah di antara satu dengan yang lain. Muhyiddin berkata tidak perlu dilakukan catuan air bagi negeri Selangor sedangkan Syabas telah memberikan pandangan yang catuan air itu perlu dilakukan sekarang.
Saya tidak mahu menulis tentang isu ini dengan panjang tetapi memadai untuk mengingati rakyat Selangor dan yang lain-lain supaya menolak sahaja kerajaan BN Persekutuan sekarang ini kerana kerajaan BN lebih mementingkan kerakusan kuasa mereka daripada memberikan tumpuan untuk melestarikan kehidupan rakyat khususnya rakyat negeri Selangor semata-mata kerana hendak berkuasa di negeri ini.
BN telah memerintah Selangor selama lima puluh tahun sebelum rakyat Selangor memindahkan kuasa kerajaan itu kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu dan nyata tindakan rakyat Selangor itu adalah tepat dan betul. Rakyat Selangor mesti kekal dengan kerajaan PR yang ada pada hari ini untuk membetulkan dan membersihkan kerja-kerja kotor BN selama lima puluh tahun memerintah Selangor sebelum ini.
Saya ucapkan syabas kepada TS Khalid Ibrahim kerana kesabaran beliau menghadapi cabaran-cabaran yang dilakukan terhadap kerajaan pimpinan beliau oleh UMNO dan BN yang sudah boleh dikategorikan sebagai makhluk perosak itu.
Ramai mempunyai keyakinan yang beberapa baki kerusi yang masih dipegang oleh BN di Selangor itu akan jatuh ke tangan PR dalam pilihanraya yang akan datang ini. Rakyat Selangor wajar membantu usaha semua rakyat negara ini yang ingin mengubah dan menganjak pimpinan di Putrajaya sekarang ini dengan pimpinan yang lebih bertanggungjawab.
Kerajaan Selangor wajar menggunakan Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA) dengan mengambil alih Syabas dari cengkaman kroni BN yang telah digunakan untuk mengugut rakyat Selangor untuk pilihanraya yang akan datang ini. Semua pihak wajar bersatu untuk menolak cengkaman yang sedang dilakukan oleh Putrajaya terhadap negeri Selangor kerana politik 'desperado' mereka (BN).
Saya berharap TS Khalid bersama-sama barisan pimpinan PR Selangor hari ini menolak dan mengenepikan niat jahat BN itu jauh-jauh semata-mata untuk kelestarian kehidupan rakyat Selangor yang beliau pimpin. Saya yakin TS Khalid mampu untuk mengendalikan isu ini dengan baik dan berjaya.
Jatuhnya BN di Putrajaya maka akan hilanglah tekanan terhadap rakyat keseluruhannya, khususnya rakyat Selangor. Percayalah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com