07 Jun 2011

'Pilihan Raya' Kembalikan Kegemilangan Institusi Masjid-Mansor

5 Rejab 1432H. [MOD] -


'Pilihan raya' masjid yang dijangka diadakan pertengahan bulan ini di Pulau Pinang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai langkah pendemokrasian di peringkat bawah selain mengimarahkan institusi masjid di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, idea tersebut lahir daripada pihaknya dan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim bagi menghidupkan kembali aktiviti kemasyarakatan di masjid.

"Kita mahu mengimarahkan masjid, yang mana masjid bukan sahaja tempat untuk beribadah malah mahu menghidupkan pendidikan, dakwah, ekonomi dan kebajikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang dalam cubaan menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Mengulas lanjut pelaksanaan pilihan raya masjid itu, ujarnya pemilihan jawatan kuasa masjid menerusi proses ‘pilihan raya’ adalah bertujuan mencari pemimpin dan ahli jawatan kuasa yang mampu mengerakkan peranan masjid untuk mengembalikan aktivi dengan pelbagai pengisian insani.

"Dengan adanya pemilihan seumpama ini, membuka ruang kepada calon yang bakal dipilih dari kalangan mereka yang disukai dan dirasakan layak oleh rakyat dan anak-anak kariah dan sebab itu kami melakasanakannya kerana tidak nampak unsur-unsur menarik masjid ke kancah kepartian pun,"katanya lagi.

Tv Selangor difahamkan kaedah pemilihan itu terkandung dalam notis Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 yang telah diedarkan kepada kira-kira 4,000 jawatankuasa masjid seluruh negeri baru-baru ini.

Mengikut tatacara tersebut, jawatan kuasa masjid diarah menjalankan mesyuarat agung khas antara 1 hingga 7 Jun ini dan kerja-kerja pengedaran borang pencalonan akan dijalankan termasuk bagi jawatan pengerusi, timbalan Pengerusi, bendahari, setiausaha serta ahli jawatankuasa (AJK) wanita.

Bagaimanapun, setiap nama calon yang dikemukakan akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah Jawatan kuasa Khas MAIPP yang berhak menerima atau menolak mana-mana pencalonan yang dianggap tidak layak.

Setiap calon yang bertanding kemudiannya diberi tempoh seminggu untuk ‘berkempen’ iaitu antara 10 hingga 17 Jun sebelum hari pengundian bermula 18 Jun yang akan dihadiri wakil MAIPP.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia dalam laporan di halaman lapan hari ini mempersoalkan keputusan tersebut telah mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam atau sebaliknya.

"Kalau timbul kebimbangan terhadap perkenan Tuanku, bagi saya ianya bergantung kepada bagaimana pelaksanaan ini dikemukakan kepada Tuanku, dikhuatiri ianya tidak tepat, jadi ianya perlu dikemukan dengan baik,"katanya.

Mansor yang juga Adun Penanti menjelaskan Umno-BN kelihatan terdesak dengan bertindak menggunakan akhbar milik mereka bagi memburukkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Apa yang saya nampak, mereka (Umno-BN) takut kerana kuasa yang mereka salahguna selama ini akan hilang, contoh ahli kariah masjid yang dipilih dahulu tidak pernah pergi masjid pun terpilih jadi ahli kariah masjid, anak kariah tidak suka pun terpilih juga, sebab apa...sebab ianya dipilih oleh mereka (Umno-BN),"jelas Mansor lagi. TVS/-

Banjir kilat ragut 14 nyawa di China

5 Rejab 1432H. [MOD] -

BEIJING: Banjir kilat yang melanda barat daya China meragut 14 nyawa dan 35 yang lain masih hilang, kata pihak berkuasa negara itu.

Katanya, Kejadian itu turut memusnahkan jalan raya, jambatan dan kediaman di kawasan sekitarnya.

Pegawai pusat gerakan banjir daerah itu, Tang Quanshu, berkata seramai 45,000 penduduk yang menetap di Guizhoa, wilayah Wangmio County dipindahkan sejak kejadian banjir kilat semalam.

Sementara itu, katanya, bencana terbabit memusnahkan 300 rumah dan 2,400 kediaman dinaiki air serta ladang kebun berkeluasan 5,500 hektar tenggelam. - AP

Najib dikecam guna program rasmi untuk urusan peribadi

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan program pribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang.

Tindakan ini disifatkan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Kecaman ini dibuat ekoran tindakan Najib menggunakan segala kemudahan kerajaan dan wang rakyat untuk memenuhi keperluan keluarganya di Kazakhstan sekarang.

(Gambar: Laporan Harakahdaily semalam)

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan pribadi," kata Dr Dzulkefli kepada Harakahdaily.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," kata beliau.

Semalam Harakahdaily melaporkan, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Kazakhstan untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Noryana Najwa dengan seorang anak pembesar negara itu.

Untuk memenuhi hasrat itu, beliau dikatakan meminta program rasmi kerajaan diatur untuk beliau dan rombongan ke sana. Perkara ini dikesali oleh pelbagai pihak termasuk wartawan yang menyertai program beliau itu.

Hasilnya, kerajaan terpaksa menanggung segala perbelanjaan bukan sahaja untuk beliau berdua bahkan juga menteri, wartawan dan pegawai kerajaan yang terpaksa mengiringi beliau ke sana.

Dalam sejarah Islam, kata Dr Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah memadamkan lilin milik negara apabila ada yang datang bertemu beliau untuk berbincang hal pribadi.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau dan bakal menjadi suri tauladan kepimpinan BN dan pegawai kerajaan di bawah beliau," katanya.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah dan kini ia berlaku lagi.

Dr Dzul yakin, jika perkara ini diodit oleh jabatan kerajaan tidak akan ditemui kesalahannya berdasarkan ianya mengikut prosedur biasa kerajaan iaitu mendapat kelulusan dari Perdana Menteri.

"Tetapi dari segi moralnya ia sangat salah," tegas Dr Dzulkefly (gambar).

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah Najib dan Rosmah mengatur program kerajaan ke Kazakhstan untuk memenuhi program pribadinya iaitu menguruskan perkahwinan anaknya.

"Di sinilah masalahnya akan timbul apabila kepimpinan tertinggi menunjuk sikap yang buruk, apa pula orang bawahnya nanti, menteri, ketua setiausaha, OCPD dan sebagainya ...kalau bos kencing berdiri, anak buah kencing berlari," kata beliau.

Jika Najib dan Rosnah benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan pribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," kata beliau.

Najib mesti telus

Sementara itu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menambah, rakyat boleh menerima sekiranya najib menggunakan wang kerajaan untuk urusan rasmi dan ada hasil terhadap negara daripada lawatan tersebut.

"Sekali lagi saya minta beliau berterus teranglah. Kalau pergi (ke Kazakhstan) atas urusan rasmi itu cerita lain dan kita harap akan dapatlah hasilnya terhadap negara daripada lawatan rasmi ini," katanya.

Harakahdaily/-

Pemuda selesai lantik AJK, majoriti profesional

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memenuhkan exconya dengan melantik ramai golongan profesional dalam kabinet yang dibentuknya.

Dewan itu melantik 20 ahli jawatankuasa (AJK) barunya sebagai tambahan kepada anggota yang telah dipilih di dalam Muktamar ke-52 dewan itu di Shah Alam baru-baru ini.

Majoriti yang dilantik untuk bersama kabinet baru itu adalah dari kalangan profesional dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuklah dua orang bekas calon timbalan ketua yang tewas, Suhaizan Kaiat dan Firdaus Jaafar dan bekas calon Naib Ketua, Nasir Zakaria.

Ketiga-tiga mereka dilantik sebagai exco dewan itu.

Keputusan itu dibuat pada perbincangan hampir empat jam mesyuarat pertama kabinet baru dewan itu, pada 5 Jun lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia, bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Untuk Jawatankuasa Dewan Harian Pemuda PAS pula, Khairul Faizi Ahmad Kamil kekal sebagai setiausaha dewan itu manakala jawatan bendahari diisi oleh Ir Hj Muhd Khairil Nizam Khairudin.

Ketua penerangan dewan itu pula diamanahkan kepada Ustaz Riduan bin Mohamad Nor manakala pengarah pilihan raya disandang Mohd Sany Hamzan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika diminta mengulas parlantikan AJK baru itu berpendapat dewan itu kini mempunyai kabinet berimbang setelah banyak pihak melihat keputusan pemilihan dewan itu dimenangi majoriti oleh kelompok ulama.

"Struktur organisasi DPP Malaysia sebagaimana biasa disusun dan dilengkapkan secara seimbang dan sepadu berasaskan kepelbagaian tahap upaya dan latar belakang disiplin penguasaan ilmu.

"Saya mengharapkan kabinet ini mampu menghadapi cabaran baru dalam iklim politik masa kini sekaligus menunaikan amanah anggota Dewan Pemuda PAS dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi," ulasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, biarpun sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun beliau yakin kabinet baru itu mampu menggalas tanggungjawab untuk memimpin kebangkitan anak muda dan mendepani Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Dalam pada itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk ditegur bukan sahaja oleh pimpinan parti malah semua pihak termasuk dari luar PAS.

"Dalam masa terdekat, insyaallah DPP Malaysia akan mengadakan retreat untuk memantapkan roadmap pemuda, mengatur strategi terkini dan menyesuai potfolio serta memperkasakan organisasi DPP Malaysia.

"Sungguhpun keputusan ini mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak, saya mengharapkan ia adalah skuad yang boleh membantu parti dengan lebih baik dan insyaallah, lebih dari hari semalam," tegasnya.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatan Kuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat:

Ketua
Ustaz Nasruddin bin Hassan

Timbalan Ketua
Ustaz Nik Abduh Nik bin Abdul Aziz

Naib Ketua
Dr Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob


Ahli Jawatankuasa [Dipilih dalam muktamar]

1. Ustaz Riduan bin Mohamad Nor
2. Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
3. YB Ustaz Ahmad Baihaki bin Atiqullah
4. Sdr Mohd Adram bin Musa
5. Sdr Kamaruzaman bin Mohamad
6. Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari
7. Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
8. Ustaz Mohd Nazri bin Chik
9. Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin
10. Sdr Mohd Sany bin Hamzan
11. Ustaz Mohd Yusni bin Mat Piah
12. YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah


Ahli Jawatankuasa [Dilantik dalam Mesyuarat Pertama]

1. Sdr Suhaizan bin Kaiat [ Exco ]
2. YB Ust Mohd Firdaus Jaafar [ Exco ]
3. YB Ust Nasir bin Zakaria [ Exco ]
4. Ir Hj Muhd Khairil Nizam bin Khairudin [ Exco ]
5. Sdr Nasaie bin Ismail [ Exco ]
6. Dr. Suhazeli bin Abdullah [ Exco ]
7. Dr. Zuhdi bin Marzuki [ Pengarah Jabatan ]
8. Dr. Aminurrasyid bin Yatiban [ Pengarah Jabatan ]
9. Herman Samsudee [ Pengarah Jabatan ]
10. Sdr Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus [ Pengarah Jabatan]
11. Sdr Mohd Syahir bin Sulaiman [ Pengarah Jabatan ]
12. Sdr A. Halim B. Ahmad [ Pengarah Jabatan ]
13. Ustaz Ahmad Tarmizi Mohd Din [ Pengarah Jabatan ]
14. Sdr Mohd Idris Bin Mohd Yussoff [ Pengarah Jabatan ]
15. Sdr Wan Asrul Afendi Wan Mohamad [ Pengarah Jabatan ]
16. Sdr Ahmad Zamri bin Asa’ad Khuzaimi [ Pengarah Jabatan ]
17. Sdr Juhari Uthman [ Pengarah Jabatan ]
18. Sdr Hassan bin Aladi [ Pengarah Jabatan ]
19. Sdr Basri bin Din Kamar [ Pengarah Jabatan ]
20. Sdr Khairul Fahmi bin Mat Som [ Penolong Setiausaha ]


Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ketua
Ustaz Nasruddin bin Hassan

Timbalan Ketua
Ustaz Nik Abduh Nik bin Abdul Aziz

Naib Ketua
Dr Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob

Setiausaha
Sdr Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Penolong Setiausaha 1: Sdr Kamaruzaman bin Mohamad
Penolong Setiausaha 2: Sdr Nasaie bin Ismail
Penolong Setiausaha 3: Sdr Khairul Fahmi

Bendahari
Ir Hj Muhd Khairil Nizam bin Khairudin

Ketua Penerangan
Ustaz Riduan bin Mohamad Nor

Pengarah Pilihanraya
Sdr Mohd Sany bin Hamzan

Mesir Akan Tamatkan Perintah Berkurung Di Tiga bandar

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KAHERAH7 JUN : Mesir mengumumkan akan menamatkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di Kaherah dan dua buah bandar utama sejak Januari lalu mulai 15 Jun ini.

Pegawai tentera berkata, keputusan menamatkan perintah berkurung yang tercetus kerana pemberontakan menentang bekas Presiden Hosni Mubarak itu dibuat bagi memulihkan keadaan yang normal.

Perintah berkurung selama tiga jam bermula 2 pagi hingga 5 pagi itu dikenakan kepada Kaherah, Alexandria dan Suez. - AFP

Tahniah Unimas dan skuad bola sepak Sarawak

5 Rejab 1432H. [MOD] -

MIRI, 7 Jun: PAS Miri mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) atas kejayaan mereka terpilih diantara 200 universiti terbaik di Asia baru-baru ini.

Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan hari ini juga mencadangkan agar Kerajaan Malaysia dan juga Sarawak agar membina lebih banyak lagi universiti dan pusat pengajian tinggi di Sarawak.

Ia memandangkan Sarawak masih mempunyai kawasan luas dan penduduknya juga ramai yang kurang berkemampuan untuk belajar jauh atau ke luar Negara.

"Dengan adanya pusat pengajian tinggi dalam Sarawak maka kos penjimatan dan pengeluaran wang negara dapat dijimatkan dan juga Sarawak dapat menarik lebih ramai pelajar luar Negara belajar dalam Sarawak.

"Sudah tentu ini akan memberi pendapatan kepada Sarawak disamping kita dapat mempromosikan Sarawak di peringkat antarabangsa," katanya.

Tambahan lagi, ianya bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mereka menuntut ilmu dalam negeri agar mereka ini tidak terbiar begitu sahaja dan setelah keluar dari alam persekolahan mereka ini akan menjadi asset yang berguna untuk negara sekiranya mereka diberi peluang belajar dalam negeri.

"Begitu juga dengan skuad bolasepak Sarawak yang telah berjaya layak ke liga super.

"Kerajaan Sarawak sepatutnya membina stadium yang lebih baik untuk melatih pemuda yang masih belum ada sebarang perjanjian atau perlibatan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan agar dibimbing dan dilatih secara professional agar mereka ini dapat menaikkan lagi nama Sarawak di peringkat nasional dan luar Negara," tambahnya lagi.

Harakahdaily/-

Umno cemburu dengan hasil muktamar PAS

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Para pemimpin Umno benar-benar terpukul dengan apa yang dicapai dalam muktamar PAS ke 57 baru-baru ini, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, ia dibayangkan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin bawahan Umno yang agak tahu agama termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.

"Ketika pemimpin bawahan mereka meminta Umno mencontohi sikap yang ditunjukan PAS dalam muktamar baru- baru ini, pemimpin atasan Umno cuba melaga-lagakan PAS dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan juga dalaman PAS sendiri.

"Inilah sebenarnya permasalahan dalam Umno. Apabila mereka jengkel dan cemburu dengan pencapaian PAS, mereka cuba melagakan kita pula," kata Dr Dzulkefly mengulas kenyataan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Nazri Aziz serta Tun Dr Mahathir yang cuba melagakan antara pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi beliau, Umno tahu, team yang dibentuk oleh perwakilan muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini adalah pasukan yang bakal menghancurkan penguasaan Umno.

"Mainan jahat media Umno ini nyata semuanya helah untuk akui PAS telah lakukan tranformasi yang diperlukan semua rakyat negara ini," kata beliau.

Perkara ini berlaku ketika wajah Umno menjadi begitu hodoh apabila cuba menggunakan Islam untuk kepentingan politiknya.

"Sikap dan tindakan Umno menghasilkan Islam itu bersifat eksklusif untuk umat Islam sahaja, ekstrem, takutkan orang dengan kepala lembu, orang lain tidak boleh baca al Quran dan sebagainya," kata Dr Dzulkefly (gambar).

Beliau juga mendakwa, tindakan Umno melalui agen-agennya seperti Perkasa telah menyebabkan para penganut agama lain rasa tidak senang dan takut kepada Islam.

"Malam tadi saya sertai satu program dialog dengan pemimpin agama lain dan Pakatan. Jelas mereka menyambut baik apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata beliau.

Turut serta dalam dialog itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Siti Mariah Mahmod, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS.

"Apa yang dibangkitkan para pemimpin Umno bukan isu sebenarnya tetapi akibat dari mereka rasa terpukul dengan apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini.

"Muktamar telah memberikan nafas baru kepada PAS yang dilihat sangat berintergriti, bernafas baru dan memberikan harapan baru kepada rakyat.

"Bagi saya, Umno bimbang, pasukan ini bakal meraih kemenangan yang lebih besar dari pilihan raya umum 2008 lalu," katanya lagi.

Harakahdaily/-

Kanak-kanak mati dalam besen

5 Rejab 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati dalam besen berisi air di sebuah Pusat Jagaan Kanak-kanak, di Jalan Paya Terubong di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.50 petang semalam, disedari penjaga pusat berkenaan selepas beliau tidak melihat kelibat kanak-kanak perempuan itu yang sepatutnya bersama rakan-rakannya yang lain menonton televisyen selepas makan tengah hari.

Stella Chew Xing Rou ditemui tidak bergerak dalam besen selepas dipercayai bermain seorang diri tanpa disedari penjaga pusat jagaan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abdul Halim Bulat ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, kesemua kanak-kanak dan penjaga yang berada di pusat jagaan terbabit sedang menonton televisyen.

“Setelah menyedari kehilangan kanak-kanak terbabit, penjaga berkenaan bertindak mencari di seluruh kawasan rumah dan dia terkejut apabila menemui kanak-kanak terbabit terbaring dan tidak bergerak di dalam besen itu.

“Selepas melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan, kanak-kanak itu terus dibawa di sebuah klinik swasta di Bandar Baru, Farlim sebelum mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Halim berkata, mayat mangsa kemudiannya dituntut ibunya, Heng Bee Thin, 37, di klinik swasta itu sebelum mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu membuat laporan terhadap pusat jagaan kanak-kanak itu di Balai Polis, Bandar Baru Air Itam di sini, semalam.

“Mayat mangsa dibawa ke HPP dan akan dibedah siasat esok. Sehingga kini polis masih melakukan siasatan dan tidak dapat mengklasifikasikan kes ini,” katanya.

Sinar Harian/-

Omong Kosong Bakal Perdana Menteri Malaysia

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KOMENTAR : Rakyat bimbang dengan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarnai dengan kenaikan harga barangan, pemotongan subsidi dan sebagainya. Namun mereka harus lebih gusar jika Tan Sri Muhyidin Yassin menjadi Perdana Menteri baru pada satu masa kelak.

Kenyataan-kenyataan Muhyiddin sejak akhir-akhir ini menampakkan seorang pemimpin yang mengharapkan retoriknya dan pengumuman “ peruntukan satu dua juta ringgit” ke mana sahaja beliau pergi adalah cukup untuk menarik sokongan rakyat.

Tidak apa jika retorik itu adalah pembohongan semata-mata – contohnya di Sarawak, beliau mengumumkan Malaysia adalah sebuah Negara Maju kepada pengundi Iban di rumah panjang. Umum tahu kita masih, lebih-lebih lagi sekarang, dikategorikan sebagai Negara Membangun.

Di Pahang, bulan lalu, Muhyiddin dengan selamba memberitahu masyarakat petani, kononnya hanya Malaysia satu-satu negara yang memberikan subsidi kepada rakyat.

Sekali lagi, beliau lupa masyarakat tani juga mempunyai anak pinak berpelajaran yang tahu sistem subsidi diamalkan di hampir semua negara termasuk Amerika Syarikat.

Semalam pula beliau memberi satu lagi “bola tanggung” - Malaysia menurut Muhyiddin sudah lama menjadi negara berkebajikan kerana menyediakan subsidi untuk barangan dan pendidikan percuma serta rawatan hospital pada kadar yang nominal.

Kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menempelak komitmen PAS menubuhkan Negara Berkebajikan seperti mana yang dituntut oleh Islam.

Persoalan mudah yang perlu ditanya kepada Muhyiddin ialah, jika Malaysia sudahpun menjadi Negara Berkebajikan kerana memberi subsidi kepada rakyat, maka kenapa subsidi itu kini dipotong dan ditarik balik manakala harga barangan dibiarkan naik?

Oh ya! Kerajaan Umno-BN terpaksa berbuat demikian kerana defisit negara semakin mengembang – 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Persoalan seterusnya: kenapa defisit dibiarkan begitu tinggi sepanjang zaman pemerintahan Umno-BN? Adakah ia berpunca daripada sikap boros dalam pengurusan kewangan? Bagaimana dengan faktor penyelewengan dan ketirisan?

Kenapa kerajaan dari zaman Mahathir hingga sekarang terus membiarkan defisit negara ini meningkat, dan subsidi untuk syarikat-syarikat IPP pula dilindungi manakala kadar elektrik untuk rakyat dinaikkan?

Siapakah yang bertanggunjawab di atas kos sara hidup tinggi yang dibebankan kepada rakyat – adakah ia salah Mahathir, Pak Lah atau Najib atau ketiga-tiga mereka sekali?

Rasanya Muhyiddin akan lebih bijak dan jujur di mata rakyat jika beliau cuba menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur dan mengurangkan retorik.

Rasanya, tidak perlulah beliau mendakwa Malaysia sudah pun menjadi Negara Berkebajikan selagi rakyat dipaksa menerima pelbagai kenaikan harga barangan manakala kontrak-kontrak lumayan dibolot oleh juak-juak tertentu yang berkait dengan Umno.

Sehingga hari ini Muhyiddin dan menteri-menteri lain mengelak daripada memberi maklumat mengenai kontrak yang diikat dengan IPP mahupun kontrak yang dinikmati oleh syarikat konsesi air di Selangor.

Negara Berkebajikan bermakna pemerintah yang telus, amanah dan sentiasa mengembalikan nikmat hasil bumi kepada rakyat dan tidak memperkayakan diri.

Negara Berkebajikan tidak bermaksud memberi komisyen “atas angin” RM500 juta kepada syarikat kroni kononnya untuk menguruskan pembelian kapal selam yang akhirnya tidak boleh menyelam.

Masa sudah sampai untuk Muhyiddin memperlihatkan ketokohan, akal minda dan nilai-nilai Islam dan jatidiri unggulnya sendiri jika beliau mahu terus menjual dirinya sebagai seorang yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Sekadar retorik dan menabur pengumuman peruntukan di sana sini sahaja tidak akan memadai.

Tv Selangor/-

Pengusaha kereta bantah pemeriksaan tambahan

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Kira-kira 100 pengusaha kereta terpakai mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur hari ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Sewa Beli 1967.

Mengikut pindaan itu yang berkuatkuasa 15 Jun ini, semua kereta terpaksa melalui pemeriksaan tambahan 14 perkara sebelum sesuatu kenderaan itu dibolehkan dipindah milik kepada pembeli baru.

Pengusaha mendakwa tindakan itu hanya menguntungkan Puspakom, sebuah syarikat swasta yang diberikan monopoli bagi menjalankan perkhidmtan pemeriksaan berkomputer.

Pemeriksaan tambahan 14 perkara itu yang juga dikenali sebagai B7 itu akan dikuatkuasakan selain pemeriksan wajib 4 perkara sekarang yang disebut B5.

Menurut setiausaha agung Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Khoo Kah Jin, pemeriksaan B5 adalah mencukupi bagi melindungi pembeli.

“Peraturan baru ini tidak mempunyai matlamat. Pengguna (akan membayar) untuk keuntungan Puspakom,” dakwanya.

Khoo berkata kos tambahan kos juga akan terpaksa ditampung oleh kedua-dua pembeli dan juga penjual kerana pemeriksaan B7 menelan belanja RM90 di samping bayaran RM30 untuk pemeriksaan B5.

FMCCAM mempunyai lebih 3,000 anggota di seluruh negara.

Malaysiakini/-

Subsidi diesel nelayan C2: K'jaan dolak dalih

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengusaha bot pukat tunda C2 masih menikmati subsidi diesel RM1.80 seliter walaupun keputusan awal bagi memansuhkan semua jenis subsidi untuk mereka, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Chua Tee Yong.

Beliau berkata mereka boleh membeli diesel pada harga RM1.80 seliter tetapi bukan bagi super subsidi bagi bahan api yang telah dimansuhkan pada 1 Jun. Disel yang menerima subsidi super dijual pada harga RM1.25 seliter.

"RM1.80 seliter masih pada harga subsidi. Pada mulanya, ia diputuskan bahawa kami perlu memansuhkan semua subsidi bagi C2 tetapi selepas beberapa rayuan, kita membenarkan mereka pada harga subsidi RM1.80 seliter, tapi bukan pada subsidi super RM1.25 seliter yang sebelum ini mereka layak mendapatnya.

“Saya harap mereka (pengusaha bot pukat tunda) boleh berjumpa kita dan para pegawai LKIM yang akan menjelaskan kepada mereka butiran sebenarnya," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Chua berkata demikian sebagai mengulas berhubung beberapa pengusaha bot pukat tunda C2 yang merancang melancarkan mogok di seluruh negara pada 11 Jun sekiranya kerajaan tidak mempertimbang diesel subsidi super kepada mereka.

Pemegang lesen C2 adalah mereka yang dibenarkan menangkap ikan di kawasan 30 batu nautika dari pantai manakala bagi pemegang lesen B dan C merupakan nelayan yang hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan 20 batu nautika dari pantai. Hanya pengusaha bot pukat tunda terbabit dengan keputusan pemotongan subsidi.

Kerajaan telah memansuhkan pemberian diesel subsidi super kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin berkuatkuasa 1 Jun depan.

Chua menjelaskan pemotongan subsidi itu dilaksanakan ke atas 1,200 kapal dengan lesen C2 kerana mereka beroperasi di bawah lesen menangkap ikan komersial di mana seorang pemegang lesen boleh memiliki lebih satu kapal dan mengambil pekerja asing.

Sesetengah kapal itu juga dijalankan oleh syarikat-syarikat.

"Kerajaan memberi subsidi 25,000 hingga 28,000 liter diesel bersamaan dengan RM31,250 dan RM35,000 bagi setiap kapal sebulan dan semua kapal Zon C2 boleh menggunakan purata sehingga 14 juta liter diesel setiap bulan," katanya.

Dengan memansuhkan subsidi super,, ia boleh membantu kerajaan menjimatkan RM18.9juta sebulan dan RM226.8juta setahun.

Sebaliknya, Chua berkata kerajaan akan meningkatkan insentif bagi ikan yang ditangkap oleh kapal-kapal zon C2 daripada 10 sen sekilogram kepada 20 sen berikutan pemansuhan subsidi super bagi mereka.

Bagaimanapun, pengusaha bot pukat tunda masih mendakwa bahawa peningkatan mendadak harga bahan api sehingga 67 peratus tidak tertanggung oleh mereka dan mereka tidak boleh menyesuaikannya dalam tempoh yang begitu singkat.

Mereka mendakwa perlu membayar tambahan sehingga RM10,000 bagi diesel dan memandangkan ia perlu dibayar tunai, keadaan itu telah memaksa pengusaha terbabit terutama di Sarawak berhenti ke laut untuk menangkap ikan.

Beberapa wakil pengusaha berkenaan kini mahu menuntut supaya satu perjumpaan di adakan dengan kementerian bagi membincangkan isu itu kerana mereka mahu kerajaan menimbang semula keputusan untuk tidak memberikan mereka subsidi super.

Malaysiakini/-

Rakyat Mesir yakin masa depan negara lebih positif

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Keputusan satu tinjauan, kelmarin, mendapati rakyat Mesir mempunyai harapan lebih baik terhadap hala tuju negara mereka sejak bekas presiden Hosni Mubarak digulingkan tetapi mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah ekonomi dan jenayah yang melanda negara itu.

Dua tinjauan oleh Organisasi Gallup dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) pada akhir Mac dan awal April lalu memperoleh keputusan hampir sama.

Sebanyak 89 peratus undian diperoleh IRI bersetuju kerajaan baru kini berada pada landasan betul dan tinjauan oleh Gallup mendapati sebanyak 83 peratus rakyat menyokong tindakan penunjuk perasaan yang menggulingkan Mubarak pada Februari lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Mesir khuatir dengan masalah ekonomi dan separuh daripada mereka didapati berhadapan masalah kewangan.

Revolusi selama 18 hari itu juga dilihat memberi harapan tinggi kepada rakyat untuk melihat pembaharuan dalam negara kerana 90 peratus mahu membuang undi dalam pilihan raya pada September depan.

Sinar Harian/-

Pas baru mampu lawan UMNO

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU – Kabinet pilihan raya Pas yang baru disifatkan lebih mantap dan mampu melawan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana gandingan pemimpinnya yang berpengalaman luas.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Haron (gambar) berkata, peluang Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan lebih cerah sekiranya barisan Kabinet baru parti itu dibantu semua pihak.

“Gandingan Timbalan Presiden Pas yang baru (Mohamad Sabu) dengan (Presiden) Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menguatkan jentera parti, seterusnya meningkatkan sokongan rakyat untuk mengundi Pas.

“Mohamad pernah jadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal sebelum dipegang Naib Presiden, Salahuddin Ayub, sehingga kini, manakala Datuk Husam Musa kini Yang Dipertua Pas Kubang Kerian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pengalaman ketiga-tiga pemimpin itu diharapkan dapat melawan serangan Barisan Nasional (BN) kerana tidak dinafikan mereka berkelayakan dan sebab itu dipilih perwakilan.

Menurutnya, pemilihan kali ini menunjukkan beberapa calon berpengaruh dari Kelantan dipilih berbanding ketika Muktamar Pas sebelum ini di mana calon dari negeri itu kalah.

“Ketika itu, semua calon dari Kelantan kalah termasuk Husam, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Annuar Tan, Datuk Takiyudin Hasan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Muhamad Husin. Namun, kali ini Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang menang Mohd Amar seorang.

“Pemilihan dibuat menunjukkan peranan ulama masih utuh yang mana semua ahli Dewan Ulama dan ahli tertinggi Pas melibatkan golongan ulama, manakala timbalan, naib presiden dan jawatan ke bawah pula campuran golongan profesional,” katanya.

Fatah berkata, Mohamad seorang yang agresif dan diharapkan membawa perubahan supaya Pas lebih disegani.

Sinar Harian/-

Lagi ditangkap bawah ISA

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Satu lagi tangkapan dicatatkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadikan jumlah yang menjadi mangsa kezaliman undang-undang tanpa perbicaraan itu seramai sembilan orang tahun tahun ini.

Menurut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Abdul Haris Syhuhadi, 63, ditangkap pada petang Ahad di rumahnya di Klang, Selangor. Beliau didakwa terbabit dengan “aktiviti keganasan”.

GMI dalam satu kenyataan media berkata NGO berkenaan mengetahui tangkapan itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Abdul Haris ditangkap di rumahnya di Kampung Batu Belah, Klang. Kami diberitahu bahawa beliau adalah seorang peniaga kecil yang menjual tudung, selendang dan jubah. Kami amat prihatin dengan keadaan dan keselamatan Abdul Haris,” kata E Nalini dari GMI.

Beliau juga mahu kerajaan membenarkan peguam dan ahli keluarganya melawat Abdul Haris pada kadar segera, sambil menambah penggunaan ISA ke atas lelaki itu adalah bercanggahan dengan hak asasi manusia, keadilan dan salah guna kuasa.

“GMI menghargai keselamatan negara yang perlu diutamakan tetapi hak bagi mendapatkan perbicaraan yang adil juga tidak harus diketepikan tanpa sebarang asas... Kami gesa kerajaan untuk membicarakan mangsa di mahkamah terbuka. Jika tidak beliau perlu dibebaskan tanpa lenggah lagi ataupun sebarang syarat.”

Malaysiakini/-

Kes Felda Saman Bekas Timbalan Menteri 17 Jun

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Jun ini sebagaitarikh pendengaran terhadap permohonan yang difailkan oleh Felda agar bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong memberikan butiran lanjut berhubung mesyuarat yang didakwa dihadiriPerdana Menteri dalam saman Felda RM200 juta terhadap beliau.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof pada Isnin, selepas berjumpa dengan pihak-pihak yang menghadiri prosiding pengurusan kes.

mStar/-

"Banyak komen, Umno buat pemilihan kalau berani"

4 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 7 Jun: Umno yang dilihat tidak putus-putus menghentam Muktamar PAS, dicabar mengadakan pemilihan parti itu segera jika benar-benar berani, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau berkata demikian sebagai membidas ulasan beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Muktamar PAS ke-57 yang berlangsung 3 hingga 5 Mei lalu banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya dan bukan memfokuskan perjuagan Islam parti itu lagi.

"Kalau begitulah saya ingin mempersoalkan tindakan menangguhkan pemilihan Umno pada tahun ini adalah dengan pertimbangan apa?

"Jelas mereka menanguhkan pemilihan kerana takut berlaku perpecahan dan menyukarkan mereka untuk menghadapi PRU ke 13," katanya membidas tindakan Umno dan parti komponen BN yang lain yang menangguhkan pemilihan semata-mata berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib ketika mengulas Muktamar PAS kelmarin menggambarkan perjuangan PAS tidak lagi untuk membangunkan sebuah negara Islam ataupun untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Beliau merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' yang didakwanya sudah lama dipraktikkan oleh kerajaan Umno BN selama ini.

"Dia (Najib) sendiri telah membuka pekung didadanya. Kebajikan yang dimaksudkannya ialah dalam konteks yang sangat sempit dan melibatkan kepentingan kroni dan rakan terpilih sedangkan rakyat Malaysia mengharapkan kebajikan yang lebih luas terutama dalam soal harga barangan yang sering naik," kata Khalil yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya, kalaulah Umno sudah jadi penakut dan menangguhkan pemilihan pada tahun ini yang sepatutnya diadakan, apalah nilai ulasan yang berjela-jela dari 'si penakut' itu.

Kejayaan PAS mengadakan Muktamar katanya lagi, secara jelas telah memberi tamparan hebat kepada Umno BN.

"Kerana itu saya kira layak juga saya mengambil peluang untuk mencabar Najib untuk melakukan pemilihan Umno pada tahun ini.

"Jangan hanya berani memberi ulasan dari pelbagai sudut dan membuat pelbagai andaian yang tidak masuk akal terhadap PAS sedangkan Umno sangat kecut perut untuk membuat pemilihan pada tahun ini," tegasnya.

Geram kumpul tandatangan bantah harga air naik

5 Rejab 1432H. [MOD] -

JASIN, 6 Jun: Gerakan Anak Muda Melaka (Geram) bersama rakan Pakatan Rakyat meneruskan kempen jelajah ke seluruh negeri Melaka bagi mendapatkan tandatangan penduduk sebagai tanda membahtah kenaikan harga air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Jelajah kali kedua di Pasar Besar Jasin semalam mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat yang rata-rata tidak berpuas-hati dengan kenaikan bil air tersebut.

Seorang peniaga kedai runcit, Lim Pin Seng, 65, yang di temui di pasar besar tersebut mengeluh dengan kenaikan tersebut.

“Setiap hari harga barang naik, dulu minyak naik, kemudian air naik dan sekarang elektrik pula naik, ini sangat membebankan saya sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di sini,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga.

Ada pengunjung yang ditemui tidak sedar kenaikan hargal air sejak 1 April lalu memandangkan notis rasmi tidak dikeluarkan oleh SAMB.

“Saya langsung tak tahu dan tak di maklumkan tentang kenaikan air, sedar-sedar terpaksa membayar lebih walaupun penggunaan hampir sama setiap bulan,” ujar Yusof Ahmad dari Jasin.

Kadar lama tariff air adalah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 1-15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-40 meter padu berikutnya dan RM1.33 sen untuk setiap meter padu berikutnya.

Manakala kadar baru pula ialah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-30 meter padu berikutnya, 0.95 sen bagi setiap meter padu untuk 30.1-35 meter padu berikutnya dan RM1.45 sen bagi setiap meter padu berikutnya.

Kenaikan sebanyak 20% berbanding sebelumnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif SAMB bagi mendapatkan maklum balas tentang tarif baru air dan jawapan yang diberikan adalah disebabkan arahan dari pusat.

Harakahdaily/-
Oleh : Muhamad Aizat Bahrudin

Rakyat Yemen Rai Langkah Presiden Tinggalkan Negara

5 Rejab 1432H. [MOD] -

SANAA : Beribu-ribu aktivis demokrasi menyanyi dan menari di jalan-jalan di ibu negara Yemen, Sanaa sepanjang hari semalam meraikan tindakan Presiden Ali Abdullah Saleh meninggalkan negara itu sambil berharap ia akan menandakan berakhirnya kuasa tiga dekad beliau.

“Negara ini lebih cantik (aman) tanpa anda,” kata mesej satu sepanduk dibawa oleh seorang penunjuk perasaan.

Kebangkitan menentang kepimpinan Ali Abdullah bermula Februari lalu di Sanaa yang kemudiannya dilabel sebagai “Dataran Perubahan”.

Mereka turun ke jalan-jalan untuk menari selepas mendengar Ali Abdullah meninggalkan negara itu lewat tengah malam kelmarin ke negara jiran Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan serpihan peluru dari bahagian dadanya.

Presiden itu mengalami kecederaan ekoran serangan roket yang dilepaskan ke atas kediaman rasmi presiden yang dipercayai membunuh atau mencederakan beberapa pembantunya.

Di bandar selatan Taiz, beribu-ribu orang meraikan tindakan Ali Abdullah dengan bunga api.

Sehingga Jumaat lalu, Ali Abdullah enggan tunduk kepada tekanan antarabangsa agar berundur di sebalik kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh pergolakan di Mesir dan Tunisia.

“Akhirnya, kami menang. Revolusi ini berjaya. (Ali Abdullah) Saleh tidak akan pulang!” kata seorang aktivis meskipun ada yang tidak yakin tindakan beliau keluar negara adalah muktamad.

Sanaa. yang berhadapan dengan pertempuran maut selepas Ali Abdullah dengan enggan menandatangani inisiatif damai Teluk bulan lalu, kelihatan lebih tenang semalam.

Pertempuran antara pasukan keselamatan pro-Ali Abdullah dan puak suku dan unit-unit tentera yang memihak penunjuk perasaan telah mengorbankan lebih 200 orang sejak awal tahun ini. — Reuters

Najib Dakwa Negara Kebajikan Hanya Taktik PAS Hadapi PRU- 13

5 Rejab 1432H. [MOD] -

ASTANA (KAZAKHSTAN) 7 JUN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata laungan terbaru oleh PAS yang kononnya hendak mewujudkan sebuah negara kebajikan bukanlah perkara baru bahkan itulah yang sudah diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Najib berkata perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.

“Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev dan akan menghadiri pula Forum Pembangunan Ekonomi Islam (WIEF) Ketujuh Rabu dan Khamis ini, di mana beliau akan turut menyampaikan ucapan bersama beberapa ketua negara lain.

Najib mengulas mengenai keputusan pemilihan pada muktamar PAS yang berakhir semalam.

Kata Najib, keputusan itu terhasil kerana pemilihan PAS banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya berbanding dengan untuk mencerminkan perjuangan membangunkan sebuah negara Islam atau untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Pengerusi BN ini berkata terbukti apabila mereka telah menguar-uarkan kononnya pilihan raya akan berlangsung pada bulan Julai sehingga mengakibatkan banyak perwakilan PAS melihat soal pilihan raya dan membuat pertimbangan berdasarkan hal itu, yang menguntungkan pihak yang ingin mengambil alih kuasa dalam PAS.

Menjawab soalan lain, Najib berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya mengadakan mesyuarat dengan semua wakil komponen BN untuk mengenal pasti calon-calon yang layak dipertimbangkan untuk biasiswa daripada kumpulan yang memperoleh keputusan rendah sedikit daripada 8A+.

“Keputusan mereka baik tetapi tak layak dapat biasiswa sama ada (bagi melanjutkan pelajaran di) luar negeri atau dalam negeri. Apabila saya balik nanti saya akan buat keputusan dalam hal ini,” katanya.

Tv Selangor/-

Umno cuba gugat keamanan penganut beragama

5 Rejab 1432H. [MOD]

PETALING JAYA, 7 Jun: Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempit yang tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip keadilan sebagaimana dianjurkan Islam.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim b erkata, upaya mereka semata-mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta menimbulkan prasangka antara kita.

“Kita kesal kerana retorika serta propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha baik dari kalangan kita demi memenuhi maksud pesan Li ta'arafu, iaitu berusaha kenal mengenali antara kita yang berbeza kepercayaan dan budaya.

“Dengan nada yang sama maka kami juga ingin menyanggah kecenderungan sebahagian yang menyarankan faham melampau di kalangan penganut agama mereka tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Maka kepada wakil wakil badan Islam serta agama agama Buddha, Kristian, Hindu dan lainnya, beliau ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menyedari agama Islam mempunyai kedudukan yang unik di negara ini dan di rantau Asia Tenggara,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, peranan mubaligh yang menerapkan pesan Islam secara aman dan berperingkat telah berupaya membentuk weltanschauung umat Islam yang terbuka dan toleran (tasamuh) terhadap kemajmukan budaya.

Tambahnya, Islam juga telah berperanan merungkai minda umat Melayu yang sebelumnya berasaskan mitos serta tahyul kepada pemikiran yang rasional yang sejajar pula dengan pesan- pesan Al Quran.

Beliau berkata, agama Islam merupakan agama yang menjunjung prinsip Keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

Jelasnya, prinsip utama syariah yang dikenali sebagai maqasid syariah merumuskan bahawa adalah satu keutamaan untuk melindungi agama, nyawa, keturunan, aqal, harta dan maruah.

Makanya, kata beliau berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan agama yang tuntas oleh umat Islam untuk memastikan cara hidup yang berintegriti.

Beliau menambah, umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk penyelewengan.

“Oleh itu, tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan agamanya. Apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa masih berleluasa,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Wajah yang menakutkan Umno

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.

Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.

Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata-mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam pilihan raya umum.

Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan dan calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.

Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.

Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.
PAS dalam genggaman profesional

Untuk Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.

Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.

Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.

Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon-calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.

Semua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.

Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.

Mengaibkan negara Islam?

Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.

Kedua-dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai-nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.

“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi pada sidang medianya semalam.

Konsep negara berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.

Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.

Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.

Sebelum pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.

Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.

Agenda sempit Umno

Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.

Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam.

Malaysiakini/-

Harga naik: Rakyat mula mengeluh

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengurangan subsidi ke atas barangan keperluan asas, termasuk gula dan petrol RON97 dan terbaru gas asli yang menyebabkan tarif elektrik terpaksa dinaikkan mula memberi kesan kepada orang ramai daripada pelbagai lapisan.

Pengurangan subsidi itu menurut mereka telah melonjakkan harga makanan dan menjejaskan perbelanjaan seharian mereka. Malah, ada mahasiswa mendakwa terpaksa 'mencatu' makanan akibat kesan berantai itu.

“Makanan mahal, kena belanja (lain) lagi. (Kami) kurangkan perbelanjaan makanan, kurang makan,” kata pelajar Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) N Mahesh Nanthakumar.

Mahesh, 21, malah turut menyatakan keinginan untuk menyertai demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya jika ada pihak yang menganjurkannya.

“Saya akan sertai demonstrasi,” kata Mahesh (kanan) ketika ditanya kesediaannya itu ketika ditemui di KL Sentral di ibu negara, semalam.

Daripada tujuh orang yang ditemubual Malaysiakini secara rambang semalam, semua mereka mempunyai pandangan berbeza-beza berhubung kenaikan harga barang yang dikritik hebat pembangkang.

Kerja sambilan

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, harga subsidi barangan keperluan dikurangkan. Antaranya, petrol RON97 kini mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter.

Tarif elektrik pula naik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun manakala harga gula meningkat 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa pada Mei.

Menurut sesetengah ahli ekonomi, kenaikan itu, terutamanya tarif elektrik, secara tidak langsung akan membebankan pengguna apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada golongan itu.

Sementara itu, seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Syazana Shah Lan, 21, memberitahu, beliau kini terpaksa berfikir terlebih dahulu sebelum membeli makanan.

“Terasalah (peningkatan harga), yang itu memang terasalah. Sebab (saya) duduk universiti, duduk asrama, hendak makan kena fikir. Makanan memang mahal, makan sekali, dua kali (sehari) macam itulah,” katanya.

Namun bagi seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Alvin, kehidupan hariannya tidak terjejas secara langsung dengan pengurangan subsidi oleh kerajaan itu.
Mahasiswa sebuah kolej swasta di Sungai Buloh itu, bagaimanapun, mengakui beliau masih tidak puas hati kerana keluarganya kini merasai tempiasnya.

Mahu tukar kerajaan

“Kalau waktu cuti, saya bantu ayah (kerja sambilan),” katanya lagi.

Justeru, Alvin, 22 berharap agar kerajaan dapat menggalakkan lagi pelaburan asing ke dalam negara bagi menstabilkan semula kenaikan harga barang.

Keadaan ini hampir sama dengan nasib seorang pelajar German Malaysian Institute (GMI) Mohd Amiruddin Roslan yang masih tinggal bersama keluarganya.

“Saya tak rasa mana, saya tinggal dengan mak ayah,” kata Mohd Amiruddin, 18, sambil memberitahu orang tuanya merupakan seorang guru.

Bagi Harzuki Ismail – pegawai teknikal di sebuah pengeluar minyak terkemuka – pula, kenaikan harga petrol tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan negara pengeluar komoditi itu.

Harzuki, 53, berpendapat, keadaan sekarang amat merungsingkan kerana ia memberi kesan kepada kenaikan harga barang dalam keadaan nilai pendapatan makin menurun.

Lebih drastik lagi, beliau merasakan sistem pemerintahan negara perlu ditukar.

“(Tetapi) demonstrasi tak perlu, cuma tukar pimpinan negara. Tak payah (ada) pertumpahan darah. Pemikiran orang kita (harus) tukar, itu lebih penting,” katanya.

'Kerjaaan juga perlu berjimat'

Bagi Alan Tan – seorang orang kurang upaya (OKU) – pula, walaupun beliau tidak bersetuju dengan kenaikan yang berlaku, beliau berharap tujuan kerajaan melakukannya dapat diselami terlebih dahulu.

“Mereka juga ada komitmen (pada rakyat), ada (beri) subsidi,” katanya yang diberhentikan kerja setelah lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar sebelum ini.

Manakala seorang jurujual Norjamilah Mohd Halim juga mengaku turut terkesan dengan kenaikan harga barang-barang tersebut kerana gaji orang kebanyakan “tak sebesar mana”.

“Dari segi makanan tidak berbaloi, ambil sikit (pun) harga mahal,” katanya wanita berusian 29 tahun itu.

“Kalau boleh turunkan harga barang,” katanya lagi.

Sebahagian besar mereka juga berkata selain subsidi rakyat yang dikurangkan, kerajaan juga harus membuktikan kesungguhan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan menghentikan projek mewah serta tidak membawa manfaat kepada orang ramai.

Malaysiakini/-

Mati tercampak kereta dipandu rakan terbabas

5 Rejab 1432H. [MOD] -


USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas tercampak kira-kira 25 meter dari kenderaan dinaiki selepas terbabit kemalangan di Kilometer 404.7, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat Lembah Beringin, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi apabila mangsa, Keshor Kumar, 30-an yang menaiki Proton Wira Aeroback dipandu rakannya dalam perjalanan pulang bercuti dari Pulau Pinang ke Subang terbabas lalu merempuh penghadang jalan.

Dua rakannya yang parah dan kritikal dihantar ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan susulan.

Sementara mayat mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata kenderaan dipandu rakan mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.

Katanya, kenderaan itu terpelanting ke arah laluan bertentangan sebelum terkena sebuah kenderaan lain dan lori yang melalui jalan itu.

“Bagaimanapun, tidak ada kecederaan dialami pemandu dua kenderaan itu. Ketika kejadian cuaca cerah.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala selepas tercampak dari keretanya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dan dua rakan lain pekerja di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara.

Katanya, kejadian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PPMM: Tugu 1Malaysia bukan keperluan mendesak

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan bahawa pembinaan Tugu 1Malaysia "bukan keperluan mendesak" yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan.

"PPMM mengesyorkan kepada pihak Kerajaan agar menumpukan kepada perkara-perkara yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat berbanding dengan pembinaan tugu tersebut," katanya.

Zainul Rijal (kanan) mengulas saranan pemimpin PAS, termasuk ahli jawatankuasa PAS Dr Mujahid Yusuf supaya Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengkaji secara terperinci berhubung pembinaan tugu 1Malaysia.

Saranan itu dibuat ekoran keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis baru-baru ini menegah pembinaan tugu itu, antaranya kerana mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-ansab (berhala).

Dalam satu kenyataannya hari ini, Zainul Rijal turut menggesa MFK membincangkan pendirian Perlis itu, seterusnya mewartakannya supaya ia menjadi undang-undang.

"Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sahaja tidak mempunyai kuatkuasa perundangan, selagi belum diterima oleh negeri serta diwartakan.

"Pihak kerajaan seharusnya peka dengan sentiviti Islam ini supaya tidak tergelincir dari landasan hukum syarak yang sebenar.

"Setiap tindakan yang diambil oleh pihak Kerajaan perlu mengambilkira kedudukannya di dalam Islam sebagai agama bagi Persekutuan," tegasnya sambil mengingatkan supaya agenda kerajaan selari
dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

Malaysiakini/-

Hisham: Saya tak tahu kegiatan adik

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan akhbar Australia yang mendakwa adiknya dibayar untuk menjayakan kontrak kerajaan dengan syarikat negara kiwi itu.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai kegiatan Haris Onn Hussein (kanan).

"Pertama sekali, saya tidak tahu menahu apa adik saya lakukan. Keduanya, saya tidak rasa bahawa (syarikat) Australia akan melakukannya," katanya ketika ditemui semasa pelancaran ibu pejabat daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada beliau menafikan semua dakwaan dalam laporan itu, Hishammuddin berkata: "Itu yang saya katakan. Ya."

Menurut akhbar The Age yang berpengkalan di Melbourne, Securency - firma teknologi kewangan - mengupah Haris pada 2009 untuk mendapatkan kontrak di Malaysia.

"Securency mengupah Haris Onn Hussein dengan harapan beliau akan menawarkan harapan untuk membolehkan mereka akses kepada, dan mempengaruhi, ahli politik tertinggi Malaysia," laporan itu dipetik.

Pada masa itu, Hishammuddin merupakan ketua Pemuda Umno dan juga menteri belia dan sukan.

Malaysiakini/-

Tauge bebas bakteria E. coli

5 Rejab 1432H. [MOD] -



HAMBURG - Ujian awal menunjukkan tauge yang ditanam di negeri Lower Saxony, utara Jerman bebas daripada bakteria pembawa maut E. coli, kata beberapa pegawai semalam.

Ujian itu dilakukan berdasarkan 23 daripada 40 sampel tauge menunjukkan ia bebas daripada bakteria penyebab 22 kematian.

"Siasatan masih berjalan," kata Kementerian Pertanian di negeri itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Jerman mengesyaki tauge tempatan mungkin punca penularan bakteria E. coli yang menyebabkan 22 orang terbunuh dan lebih 2,200 lagi sakit di Eropah.

Kementerian Pertanian di negeri Lower Saxony di utara Jerman telah mengeluarkan amaran meminta orang ramai tidak memakan tauge.

Menurut jurucakap kementerian itu, Gert Hahne, tauge itu kerap dimakan bersama salad.

"Taugeh telah dikenal pasti sebagai produk yang mungkin menyebabkan wabak itu.

"Kebanyakan restoran yang 'menderita' akibat wabak E. coli memesan tauge-tauge," katanya.

Menurutnya, tauge itu ditanam di sebuah ladang di Lower Saxony di utara Jerman.

Saintis-saintis di Jerman kini kebingungan selepas mereka gagal menemui punca penyebaran bakteria E. coli yang membawa maut itu. 

Agensi

Lelaki menyamar wanita untuk berkahwin didakwa

5 Rejab 1432H. [MOD] -


BEKASI - Seorang lelaki, Rahmat Sulistyo yang menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan lelaki lain didakwa di sebuah mahkamah semalam, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Dia didakwa menggunakan identiti palsu dan menyamar sebagai wanita bernama Friska Anatasya Oktaviany semasa berkahwin dengan seorang lelaki, Muhammad Umar pada tahun lalu.

RAHMAT SULISTYO (kiri) yang menyamar sebagai wanita berkahwin dengan Muhammad Umar di Kampung Bojongsari, Indonesia pada 19 September 2010.

Lelaki itu berkahwin dengan Muhammad di rumahnya di Kampung Bojongsari, Kelurahan Jatisari, Kecamatan Jatiasih, Kota Bekasi pada 19 September 2010 selepas mereka berkenalan menerusi Facebook.

Dalam pendakwaan semalam yang merupakan hari pertama perbicaraan, Rahmat didakwa memalsukan keterangan dalam dokumen pernikahan dan menggunakan dokumen palsu.

Jika disabitkan kesalahan, dia akan dihukum penjara tujuh tahun.

Semasa pernikahan itu, penghulu di kampung tersebut tidak mengetahui bahawa Rahmat menyamar sebagai seorang wanita.

Identiti sebenar Rahmat terbongkar enam bulan selepas dia bernikah setelah suaminya memeriksa tubuh 'isterinya' itu ekoran rungutan jiran-jiran mereka bahawa kelakuannya seperti lelaki. 

Agensi