5 Rejab 1432H. [MOD]
PETALING JAYA, 7 Jun: Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempit yang tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip keadilan sebagaimana dianjurkan Islam.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim b erkata, upaya mereka semata-mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta menimbulkan prasangka antara kita.
“Kita kesal kerana retorika serta propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha baik dari kalangan kita demi memenuhi maksud pesan Li ta'arafu, iaitu berusaha kenal mengenali antara kita yang berbeza kepercayaan dan budaya.
“Dengan nada yang sama maka kami juga ingin menyanggah kecenderungan sebahagian yang menyarankan faham melampau di kalangan penganut agama mereka tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Maka kepada wakil wakil badan Islam serta agama agama Buddha, Kristian, Hindu dan lainnya, beliau ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.
“Kita menyedari agama Islam mempunyai kedudukan yang unik di negara ini dan di rantau Asia Tenggara,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Katanya, peranan mubaligh yang menerapkan pesan Islam secara aman dan berperingkat telah berupaya membentuk weltanschauung umat Islam yang terbuka dan toleran (tasamuh) terhadap kemajmukan budaya.
Tambahnya, Islam juga telah berperanan merungkai minda umat Melayu yang sebelumnya berasaskan mitos serta tahyul kepada pemikiran yang rasional yang sejajar pula dengan pesan- pesan Al Quran.
Beliau berkata, agama Islam merupakan agama yang menjunjung prinsip Keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
Jelasnya, prinsip utama syariah yang dikenali sebagai maqasid syariah merumuskan bahawa adalah satu keutamaan untuk melindungi agama, nyawa, keturunan, aqal, harta dan maruah.
Makanya, kata beliau berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan agama yang tuntas oleh umat Islam untuk memastikan cara hidup yang berintegriti.
Beliau menambah, umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk penyelewengan.
“Oleh itu, tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan agamanya. Apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa masih berleluasa,” ujarnya.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan