07 Jun 2011

Mati tercampak kereta dipandu rakan terbabas

5 Rejab 1432H. [MOD] -


USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas tercampak kira-kira 25 meter dari kenderaan dinaiki selepas terbabit kemalangan di Kilometer 404.7, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat Lembah Beringin, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi apabila mangsa, Keshor Kumar, 30-an yang menaiki Proton Wira Aeroback dipandu rakannya dalam perjalanan pulang bercuti dari Pulau Pinang ke Subang terbabas lalu merempuh penghadang jalan.

Dua rakannya yang parah dan kritikal dihantar ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan susulan.

Sementara mayat mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata kenderaan dipandu rakan mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.

Katanya, kenderaan itu terpelanting ke arah laluan bertentangan sebelum terkena sebuah kenderaan lain dan lori yang melalui jalan itu.

“Bagaimanapun, tidak ada kecederaan dialami pemandu dua kenderaan itu. Ketika kejadian cuaca cerah.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala selepas tercampak dari keretanya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dan dua rakan lain pekerja di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara.

Katanya, kejadian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: