08 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh : Zainal Dahari
“ Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya , atau kedua-duanya sekali , sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun) Al-Israa’ 23
“ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” Al_Israa’ 24.
Disamping ayat-ayat di atas banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis berkaitan kemestian berbuat baik kepada kedua ibubapa.
Namun dua ayat di atas sudah memadai untuk kita tahu bagaimana pentingnya dan besarnya peranan mereka dalam urusan hidup dan mati kita. Tanpa mereka siapalah kita. Sepanjang masa eloklah sentiasa bermuhasabah bagaimana telah dan seharusnya kita memelihara hubungan dengan kedua ibubapa kita.
Tidak ada alasan untuk tidak berbuat baik kepada kedua ibubapa samaada mereka masih hidup, masih sihat apatah lagi jika mereka sudah uzur atau pun setelah mereka meninggalkan kita.
Oleh kerana ini adalah ayat Al-Quran maka ia adalah perintah untuk berbuat baik, tidak kurang ajar dan disamping itu mendoakan kepada mereka kesudahan yang baik agar dianugerahkan Allah kebaikan dunia dan akhirat.
Ramai Ulama mengatakan bahawa jika kita tidak mendoakan mereka walau tercicir satu hari pun maka kita sudah tergolong dalam golongan orang yang derhaka kepada Allah dan kepada kedua orang tuanya . Oleh itu jadikanlah berdoa untuk kebaikan kedua orang tua ini sebagai amalan kita setiap masa, janganlah kita kikir untuk menadah tangan untuk berdoa. Berdoa boleh dilakukan tidak sahaja dalam solat, lepas solat, sewaktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu hendak tidur, bangun dari tidur malahan dimana sahaja selagi kita berupaya.
Dalam satu riwayat ada mengatakan Rasulullah pernah satu ketika sewaktu menaiki mimbar untuk berkhutbah, berhenti sebentar di setiap satu dari tiga anak tangga mimbar dan menyebut Amin sekali setiap kali berhenti sebelum memulakan khutbah.
Selepas turun dari mimbar baginda ditanya apakah yang berlaku, apakah perintah baru yang diterima? Baginda menjawab bahawa baginda mengaminkan tiga Doa yang dibaca oleh Jibril, salah satunya ialah “Celakalah sesiapa yang mengabaikan kedua ibubapa semasa mereka masih hidup.”
Kebelakangan ini dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah, melalui TV, Radio dan Media Internet dan sebagainya, sudah banyak berita sedih termasuk yang bergambar, memaparkan layanan buruk anak-anak terhadap ibubapa mereka. Bukan sahaja ibubapa tidak dilayan dengan baik tetapi hinggakan ada yang sanggup mencederakan dan membunuh mereka.
Sudah banyak tulisan dan ulasan cerdik pandai dan guru-guru agama berbicara tentang perkara ini tetapi kadangkalanya terlalu umum dan juga kerana kesibukan kita tiada masa untuk membaca buku atau tidak tersampai fikiran kita tentang apa yang boleh dilakukan dalam memenuhi tuntutan Allah ini.
Justeru itu, di sini dikemukakan semula beberapa contoh yang dapat dikutip dari pengalaman, pembacaan, kuliah, pemerhatian dan juga kupasan beberapa para ilmuan. Apa yang pasti, ambillah, dan hayatilah serta sesuaikanlah dengan situasi di mana yang perlu.
Sesungguhnya dunia ini amat luas dan penuh dengan pengajaran jika kita mahu berfikir dan mahu mengambil pengajaran daripadanya.
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). AL-Jumaah 10
Sewaktu seorang atau keduanya masih hidup.
1. Jika keduia ibubapa kita tinggal bersama kita, jagalah adab sopan, layanlah dan gembirakanlah mereka dengan sewajarnya. Janganlah kita menyempitkan hidup mereka. Elakkan menjadikan mereka seperti hamba atau orang suruhan dengan melakukan sebarang kerja yang sepatutnya kita lakukan. Cukuplah segala kesusahan yang mereka hadapi sewaktu memelihara dan membesarkan kita.
2. Jika mereka keuzuran atau sakit, pujuklah mereka dengan kata-kata yang baik dan lemah lembut untuk mendapatlkan rawatan walaupun ramai orang tua tidak mahu dengan berbagai alasan yang kadangkalanya hanyalah rekaan semata-mata.
3. Jangan menampakkan sebarang perselisihan jika berlaku antara mana-mana pasangan suami isteri atau adik beradik di hadapan ibubapa, sembunyikanlah semua masalah sedapat mungkin hatta kalau perlu sehingga terpaksa berlakon sekalipun kecualilah kalau sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Cuba selesaikan masalah tersebut tanpa melibatkan mereka.
4. Sekiranya tinggal berasingan, gembirakan mereka dengan sentiasa mengunjung jika ada kelapangan. Dengan media telekomunikasi yang pelbagai hubungilah mereka sekerap yang mungkin Jika berpeluang berkunjung jangan sekali-kali menceritakan masalah kita kepada mereka, kita bukan sahaja tidak dapat menggembirakan malahan akan menambah berserabut pula fikiran orang yang sentiasa perlukan ketenangan itu.
5. Jika menghadapi apa-apa masalah, kewangan contohnya, cubalah elakkan dari menambah beban kewangan mereka, cubalah selesaikan dengan kaedah dan cara sendiri yang tidak menyusahkan mereka kecualilah mereka benar-benar mampu membantu kita.
6. Sebagai contohnya dalam bulan Ramadan ini, kalaupun tidak dapat selalu, sekali sekala bawalah keluarga, bawalah isteri atau bagi isteri pula pujuklah suami dan anak-anak pulang berbuka puasa dengan ibubapa, bawalah sedikit buah tangan berupa makanan dan kuih-muih untuk dinikmati bersama. Semua anak tentu tahu makanan kegemaran ibubapa mereka.
7. Lebih molek dan lebih mulia barakahnya jika sewaktu berkunjung, kita dapat solat berjemaah, solat maghrib contohnya secara bersama..
8. Lebih tinggi nilai bakti kita di sisi Allah jika dapat pula membawa mereka terutama yang agak uzur yang tak mampu pergi sendiri ke masjid atau surau untuk bersolat tambahan pula solat Isyak dan tarawih di bulan Ramadan ini. Sesungguhnya ibubapa tidak akan meminta berlebihan, tetapi perihatinlah bahawa jiwa orang Islam mana yang tidak mahu mendekatkan diri mereka dengan masjid dan surau bila telah berusia tua..
9. Tidak semestinya mereka tiada wang, tetapi apalah salahnya kita beli sehelai dua pakaian untuk menggembirakan dan menyejukkan hati mereka, contohnya, sehelai dua tudung kepala untuk ibu dan songkok atau kopiah untuk bapa, mustahil kalau tidak tahu saiz dan warna kegemaran mereka, sedangkan harganya pula tidak seberapa.
10. Jika hendak pulang berbuka puasa di bulan Ramadan ini, pulanglah awal sedikit jangan sudah hampir masuk maghrib baru sampai kerana jika awal, kita ada banyak masa yang boleh digunakan untuk berbual sedikit sebanyak bertanya khabar dan mengetahui jika ada masalah yang mereka hadapi. Jika sebaliknya, kita akan kesuntukan masa kerana selepas berbuka kita akan disibukkan dengan makanan, solat dan lain-lain keperluan.
Mungkin ada anak-anak akan berkata, ini sukar dilakukan kerana pendapatan kami rendah, gaji kami kecil, anak-anak kami ramai, banyak keperluan lain lagi perlu diselesaikan, ataupun ada yang berkata, orang tua kami orang senang, tak kurang apa-apa, rumah mereka besar, tak pernah dengar mereka merungut apa-apa pun dan lain-lain lagi.
Sayugia kita berfikir dan faham bahawa dua ayat ini adalah ayat perintah. Tentulah banyak hikmah dan pengajaran yang terlindung di dalam keperluan taat dan berbuat baik kepada kedua ibubapa.
Kita harus sedar bahawa kita juga akan jadi seperti mereka. Bila anak-anak sudah dewasa, walaupun ada masalah, semua ibubapa akan cuba untuk tidak menyusahkan fikiran anak-anak, apatah lagi kalau hendak membebankan mereka dengan masalah yang dihadapi. Terpulanglah kepada anak-anak bagaimana mencampuri dan melayani kedua ibubapa mereka.
Yang masih bujang lihat dan tanyalah kepada rakan-rakan yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak bagaimana susahnya mereka mendidik dan membesarkan anak-anak terutama dalam dunia serba mencabar sekarang ini.
Jika mereka telah meninggal dunia
1. Sedekahkanlah Al-Fatihah banyak-banyak dan sentiasalah memohon keampunan Allah untuk mereka. Dengan itu mudah-mudahan Allah akan mengampunkan dan menempatkan mereka bersama orang-orang yang Allah kasihi.
2. Infakkan sebahagian harta dan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita atas nama mereka kerana tidak akan kerugian apa-apa, pahalanya tetap kita perolehi tanpa dikurangkan sedikit pun oleh Allah..
3. Langsaikan semua hutang mereka dan jika belum terlaksana tunaikan ibadat haji dan umrah ibubapa kita secepat mungkin.
4. Ziarahlah rakan dan sahabat kedua ibubapa kita kerana ini secara tidak langsung akan menambah jumlah orang yang akan berdoa untuk mereka.
5. Teruskanlah apa-apa kerja baik yang kedua orangtua kita lakukan semasa mereka hidup. Insyaallah, Allah akan tambahkan pahala kepada mereka seolah-olah mereka yang terus melakukannya
6. Maafkanlah apa-apa kesalahan mereka kepada kita jika ada, kerana sesungguhnya tidak ada ibubapa yang ingin berbuat keburukan kepada anak-anak kecuali dalam keadaan dipaksa, jahil dan pelupa.
7. Rujukkan nama mereka dengan perkara yang baik-baik sahaja dan jauhkan mengungkit-ungkit apa-apa yang tidak baik.
Diamping itu banyak lagi perkara-perkara yang mampu kita lakukan sama ada ibubapa kita masih hidup ataupun sudah tiada
Fikirkanlah sejenak bagaimana baginda Rasulullah melayan ibu susuannya (ibu angkatnya) sehingga berusia tua dengan layanan istimewa sedangkan kedua ibubapa baginda sudah tiada sejak baginda kecil lagi.
Sebagai penutup kali ini marilah kita hayati dua lagi ayat Al-Quran dan dua hadis baginda Rasulullah SAW semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah dunia dan akhirat.
”Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). “ Luqman 14
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah) Al-Kahfi 107
Hadis Pertama “Kebaikan yang dilakukan didunia adalah seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia dan akarnya di syurga, manakala kejahatan itu seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia manakala akarnya pula di neraka”
Hadis Kedua: “ Jika kamu mempunyai harta infaklah sebahagiannya kepada jalan Allah,
jika kamu mempunyai ilmu, sebarlah ilmu kamu untuk menfaatkan orang lain dan jika kamu mempunyai kekuatan gunakanlah kekuatan kamu untuk berbakti ke jalan ALLAH”