19 Mac 2011

Rumah tangga bukan restoran

14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Mengupas tajuk ini, mari kita bayangkan sejenak bagaimana operasi sebuah restoran. Dan bayangkan kita sekarang baru masuk ke dalamnya. Tentu selepas dipersilakan masuk dan duduk pelayan restoran itu bertanya, “nak minum apa?” Nak makan apa?”

Tetapi ada juga restoran yang kurang peka kerana tidak cukup pekerja, lalu pelanggan yang terpaksa bertanya dan membuat tempahan sendiri, “Minta teh tarik satu, roti canai dua biji.”

Antara dua keadaan ini tentu kita lebih suka kepada restoran pertama dan kurang berminat dengan layanan restoran kedua. Kenapa? Yalah sebagai pelanggan seseorang itu suka dilayan mesra. Sebab itu bagi sesetengah orang sebelum memilih restoran dia akan mengenal pasti cara layanan pelayan restoran tersebut terhadap pelanggannya.

Begitulah dua keadaan di restoran yang terdapat di negera ini. Maka wajarkah rumah anda seperti dua restoran di atas? Kalau jawapan anda tidak wajar, maka bagaimana anda harus jadikan rumah anda? Tetapi kalau anda kata apa salahnya jadi restoran, maka itulah yang kita nak bincang pada hari ini?

Apabila saya katakan rumah anda bukan seperti restoran bermakna segala ciri-ciri restoran seperti yang dinyatakan di atas tidak wajar ada dalam rumah tangga. Kalau begitu dalam rumah tangga tidak wajar berlaku dua perkara berikut:

1. Isteri jangan bertanya suami “nak makan apa, nak minum air apa”
2. Jangan pula biarkan suami memesan makanan

Ingatlah wahai isteri, anda bukan pelayan dan suami bukan pelanggan anda. Jadi, letakkan tempat suami pada kedudukan suami dan isteri di tempat isteri. Selagi perkara ini berada dalam fikiran dan tindakan anda, pasti suami anda cukup berpuas hati dengan anda.

Bagi merealisasikan semua ini saya senaraikan apa yang patut anda lakukan terhadap suami anda:

1. Sambutlah suami di hadapan pintu ketika pulang rumah walaupun dia ada kunci pendua. Untuk itu, pakaian anda perlulah cantik lagi menyegarkan.

2. Persilakan dia duduk di tempat yang tersedia dalam rumah itu.

3. Hulurkan air mineral atau air suam bagi menyegarkan tekak dan hatinya.

4. Kalau nampak dia leteh, picit badannya.

5. Sediakan taula dan berikan kepadanya untuk dia mandi sebelum solat Maghrib

6. Sediakan makan malam. Isteri perlu tahu apa yang suami suka makan melalui kajian dan penyelidikan.

7. Sediakan tempat tidur yang selesa sebelum suami berhajat hendak tidur.

Inilah rutin yang harus dilakukan oleh isteri sepanjang hayatnya bersama suami. Tapi ingat, anda isteri bukan sebagai pelayan restoran. Jadi, jangan swastakan semua itu kepada orang gaji kerana hakikat suami sukakan bermanjaan dengan wanita. Maka kalau tiada isteri ketika itu pasti dia mahu bermanja dengan orang gaji pula.

Dalam hal ini suka saya ingatkan para isteri, suami anda akan cukup kecewa kalau kepulangannya dari tempat kerja, ditanya, “bang nak makan?” “abang nak mandi?” “abang nak tidur? Lebih kecewa lagi kalau anda menyuruhnya, “bang pergilah mandi”, “bang makanlah dulu.”

Kenapa dia kecewa? Yalah sudah lama hidup masih tidak tahu kehendak suami. Ketahuilah wahai isteri, jika suami sudah mula meminta sesuatu untuk anda lakukan, “yang buatkan air,” “yang mana makananni,” “yang bila nak tidur,” sedarlah itu tandanya suami anda sudah hilang rasa cinta kepada anda. Namun dia masih boleh bersabar.

Jadi, rumah bukan restoran mengajak para isteri bertindak membetulkan keadaan dengan memberi perhatian kepada suami tanpa dia meminta. Percayalah kalau anda boleh lakukan semua panduan ini, suami anda tidak ada masa dan berkeinginan untuk mencari wanita lain dalam hidupnya.

Sukarkah melayu untuk mengundi selain UMNO?

14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Muhammad Nuruddin Bashah

Susah sangatkah kaum melayu untuk menerima PAS? Sebenarnya bukan hanya PAS yang ditolak kerana jika menolak PAS bermakna terlalu ramai kaum melayu boleh dianggap menolak perjuangan Islam yang di bawa PAS. Sebenarnya sindrom yang berakar umbi dalam sosio kehidupan melayu ialah sindrom penolakan terhadap pembangkang selain BN malah mungkin menganggap malaysia adalah negara uni-parti seperti sesetengah negara arab diktator. Mereka menganggap pembangkang sebagai musuh dan bukannya pengimbangtara dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen yang sihat. Rata-rata kaum melayu masih belum tergamak memilih pembangkang malah menganggap pembangkang adalah parti-parti yang dicipta oleh penjajah untuk mencabar UMNO iaitu penyelamat mereka.

Jika ditinjau daripada kekalahan dua pilihanraya kawasan majoriti Melayu, jelas kaum melayu masih sukar menyambut sebarang pembangkang ke kawasan tertentu mereka. Merlimau yang terletak di Melaka, merupakan sebuah kubu kuat UMNO, seperti juga kawasan kawasan lain di Melaka. Di sini BN telah mampu memperolehi 5,962 undi iaitu 71.8% daripada keseluruhan undi, berbanding dengan 63.8% yang diperolehi dalam PRU tahun 2008, iaitu peningkatan sejumlah 8%. Peningkatan melebihi 8% undi Melayu dan India. Bagi DUN Kerdau Bilangan 5,060 undi yang diperolehi merupakan 68.4% keseluruhan undi, berbanding dengan 62.1% yang dicapai dalam PRU 2008. Ini adalah satu peningkatan 6.3% dalam tempoh tersebut. Keputusan ini menunjukkan undi Melayu dan India telah meningkat keparas yang amat tinggi untuk BN di Kerdau.

Menurut Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. PAS da Pakatan Rakyat masih gagal mengubah melayu yang masih memiliki perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal.

Jika alasan ia hanya pilihanraya kecil maka biarkan sahaja mengundi UMNO ia jelas bukan alasan yang kritis atau bijak. Malah faktor material yang mampu meragut sokongan untuk menyokong UMNO dan BN mampu memberi imej buruk kepada bangsa melayu yang dianggap rendah tahap artikulasi dan pegangan politik mereka. Sampai bilakan faktor materialistik, kebendaan, janji projek dan projek mi segera terus menacing kaum Melayu? Miskin sangatkah melayu sehingga terlalu tagihkan talian hayat UMNO? Pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, kaum melayu perlu tegar dengan itikad dan pegangan. Jika pernah menolak BN dalam pilihanraya umum atas banyak isu yang telah dimaklumi kenapa pula pilihanraya kecil sanggup menyokong UMNO atas alasan projek dan bantuan BN?

Kini 5 kawasan pilihanraya kecil yang terakhir, iaitu Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau menunjukkan ada peningkatan sokongan undi Melayu kepada BN sebanyak 11% dan peningkatan undi India melebihi 33% berbanding Pilihanraya tahun 2008.

Sebelum ini PRU 12 menunjukkan bahawa PAS masih gagal mendapat undi kaum melayu sebanyak 40%.

Menurut Kajian Ilham Centre, berbanding sokongan terhadap PR pada tahun 2004 ke tahun 2008, sokongan kaum Cina terhadap PR meningkat daripada 27.6% kepada 91.7%. Kaum India adalah terendah iaitu hanya meningkat daripada 37.8% kepada 48%. Manakala kaum melayu masih kalah kepada kaum Cina hanya berganjak daripada 43.6% kepada 61.9% sahaja.

Ilham Center juga menyatakan bahawa kaum Cina semakin berani menyatakan kehendak etnik kepada bentuk protes undi pilihanraya, malah meninggalkan politik pemusatan kaum etnik) kepada pemusatan isu dan keperluan mereka.

Dr Abu hassan Hasbullah menyatakan Melayu masih keliru antara fakta, kenyataan dan stigma lapuk bahawa hanya UMNO majukan negara dan mampu selamatkan melayu sehingga menangkan BN dalam PRK Merlimau dan Kerdau. Dalam masa yang sama Dr Hassan masih meninggalkan ‘assignment’ kepada petugas PAS untuk terus membina imej yang lebih progresif, pragmatik, segar, dinamik serta terbilang di klangan masyarakat jika ingin terus memburu undi kaum melayu sendiri.

Dalam masa yang sama ahli PAS tidak wajar mengabaikan saranan Almarhum ustaz fadzil Nor yang menggesa pas memperkasakan cawangan parti yang dianggap sebagai wakil atau duta sebenar PAS. Di Perak, masih ada beberapa UPU-UPU yang tidak didokongi oleh organisasi cawangan yang kuat. Masyarakat memerlukan petugas PAS yang manusiawi, politikawan, karismatik dalam penyelesaian masalah, diterima oleh masyarakat, menepati masa dan janji, menghargai jemputan sesiapa sahaja, tidak bersifat seperti hakim atau hanya pandai menghukum, malah masyarakat memerluka petugas PAS yang cakap serupa bikin.

Masyarakat Melayu perlu disedarkan bahawa kehadiran PAS dicelahan sosiologi melayu bukanlah baru malah telah wujud awal sebelum kehadiran UMNO atas nama HIzbul Muslimin. PAS cukup arif kehendak dan keperluan Melayu dan PAS bukanlah makhluk asing yang perlu dipinggir masyarakat seolah-olah negara ini politiknya uni parti.

Dalam kertas kerja yang dibentang dalam Konvensyen Pengupayaan bangsa 19 Feb 2011, (m/k 20) PAS menyatakan 3 persoalan besar yang menjadi obligasi besar PAS sama ada semasa bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat iaitu kedudukan politik kaum melayu, kedudukan islam dan kedudukan ekonomi melayu. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

PAS akan tetap konsisten untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu serta akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah dan bukannya perhambaan kepada projek dan wang. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera selagi mana berlandaskan kepada keadlan Islam tanpa mengira fahaman da latar belakang.

Pakatan Rakyat bersama PAS juga menegaskan untuk mempertahankan beberapa peruntukan perlembagaan yang melindungi kaum melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam dan bahasa Melayu di Malaysia.

Pembentangan Presiden TERAS ( dalam Konvensyen Pengupayaan Bangsa) juga menyatakan budaya kebergantungan kaum Melayu terhadap agensi kerajaan dan kepada kerajaan menyebabkan pengupayaan kaum melayu masih meleset. Malah ia juga mengundang khurafat bahawa hanya UMNO tempat bergantung kaum melayu dan hanya UMNO boleh menyelamatkan melayu. Gejala intervensi politik yang melampau kepada kaum melayu, fungsi agensi perlaksana yang korup juga menyebabkan melayu terus bergantung kepada kerajaan yang sedia ada serta tidak mahu berubah sekaligus melupakan beberapa agenda lebih besar (isu lebih besar seperti rasuah dan masa depan Negara)

Kaum melayu perlu memugar minda untuk berubah jika ingin maju dan ke hadapan. Jika dirujuk Buku Taklimat Isu Penerangan (Siri Kedua) yang diadakan pada 12 Mac 2011 di Shah Alam, kaum melayu menjadi lemah dan hilang jatibangsa disebabkan oleh beberapa perkara pokok iaitu;

· Tidak lagi menghayati nilai syariah Islam sebagai cara hidup.

· Agensi kerajaan untu melayu dimanipulasi untuk menindas melayu dan menjahilkan melayu seperti Felda Plantation.

· Melayu rela mengamalkan UMNOputera bukannya konsep Bumiputera tanpa mengira aliran politik.

· Melayu mudah salahkan DAP dengan melupakan kesilapan dan sikap MCA dan Gerakan terhadap kaum Melayu.

· Kaum melayu masih enak hidup bernaungkan sistem rasuah baik dari akar umbi hingga ke kabinet.

Sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Parlimen ke-12 2011, Yang Dipertuan Agong telah bertitah agar rakyat negara ini tidak bermain dengan api perkauman. Mesej ini adalah isyarat agar UMNO tidak semberono memborong isu ketuanan melayu semata-mata rakus mengaut undi melayu sehingga melayu sendiri jahil makna sebenar ketuanan melayu. Jika anda membaca novel Animal Farm tulisan George Orwell (1945) anda akan membaca watak seekor babi yang memerintah sekumpulan haiwan dalam ladang untuk berjuang atas dasar ‘kehaiwanan’ sehingga mengguling kuasa peladang sekeluarga (manusia). Akhirnya si babi menjadi diktator dan menindas haiwan lain atas alasan kaum mereka yang bermatian memerdekakan haiwan lain di ladang itu maka selayaknyalah babi menajdi raja dan menjaga ketuanan haiwan tersebut. Adakah novel ini memiliki isyarat yang sama dengan kempen-kempen UMNO?

Melayu selalu mudah menerima pujukan UMNO untuk menolak parti selain UMNO atas banyak alasan yang diadakan seolah-olah parti lain adalah musuh negara. Jelasnya Melayu lupa bahawa kaum ‘melayu’ yang dianggap penjaga ketamadunan dan adi kuasa ketuanan melayu itu yang banyak mengaut keuntungan di atas kedunguan mereka sendiri. Prof Hassan Ahmad dalam majalah Dewan Masyarakat Oktober 2010 adalah menyatakan “

Orang Melayu tidak boleh menyalahkan kaum lain. Yang salah adalah orang melayu itu sendiri. Diberikan kuasa, kuasa itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya, seadil-adilnya menurut PRINSIP ISLAM. Diberikan kemudahan dan projek, kemudaha itu digadai atau dijual kepada orang lain untuk kepentingan peribadi, tidak digunakan untuk kepentingan bangsa dan negara”

Malah beliau juga menyatakan bahawa sumber tamadun melayu yang paling asasi dan utama iaitulah ISLAM dan BAHASA MELAYU kini kian terhakis akibat salah laku pemimpin melayu sendiri. Bahasa Melayu dipinggirkan, tulisan jawi dihakis hingga pupus malah Islam juga tidak menjadi intipati persidangan pemimpin melayu yang memerintah.

Di kampung-kampung Melayu rata-rata menganggap bahawa Pakatan Rakyat adalah parti yang menghakis kuasa politik mereka. Malah khabarnya Pakatan Rakyat kurang meletak calon Melayu dalam pilihanraya seluruh negara. Ini suatu pembohongan yang diterima oleh kaum melayu. Perhatikan, dalam PRU 2008 pembangkang menguasai 38.3% kerusi di Dewan Rakyat. Wakil rakyat Melayu didalam pembangkang melonjak kepada 51.8%. Wakil rakyat Bukan Melayu didalam Pembangkang pula ialah 48.2% sahaja. Dalam PRU 2008 juga wakil rakyat BN Melayu adalah 62.8%. Wakil Rakyat BN Bukan Melayu pula 37.2%.

Baik Pakatan Rakyat mahupun BN, pemilihan wakil ke Parlimen adalah berdasarkan komposisi kaum. Tiada isu bahawa Pakatan Rakyat mengenepi kaum Melayu.

Kaum Melayu perlu berani berubah jika ingin melihat senario politik dibaiki dari pelbagai aspek seperti Indeks rasuah dan korupsi negara, Indeks pembangunan insan malaysia yang merosot, Kadar jenayah meningkat saban tahun, perbelanjaan boros pemimpin negara ke luar negara da projek-projek boros, Bahasa Melayu yang kian pupus penggunaannya (papan iklan, mahkamah, filem, bahasa pemimpin), Mahkamah yang masih dikuasi oleh ahli politik, serta kadar kemiskinan melayu yang masih tertinggi.

Kaum melayu sering tertipu dengan dakyah UMNO bahawa PAS wajib ditolak kerana dasar pragmatik PAS menyebabkan PAS tergamak ‘berkawan’ dengan DAP. Perlu ditanya kepada golongan UMNO yang berkempen sedemikian adakah mereka memilih PAS sebelum PAS berkawan dengan DAP? Semestinya tidak kerana kempen sekadar mencari alasan agar melayu terus menidakkan pembangkang dan anti demokrasi malti parti.

Melayu sering dan kerap lupa bahawa MCA juga parti perkauman Cina yang telah lama berkawan rapat sekapal dengan UMNO. Bayangkan menurut Amaluddin darus dalam bukunya Serbasalah Melayu di Malaysia bahawa MCA Selangor pernah mengeluar resolusi bahawa kaum melayu adalah pendatang di tanah Melayu kerana kecewa dengan isu DEB yang menyebabkan kerusi mereka banyak hilang ke tangan DAP pada tahun 1986 dahulu. Ini bukan hujah perkauman tetapi Melayu layak dan wajar untuk merenung sejenak apa di tepi kain mereka sendiri. Mereka ingin mendokong negara demokrasi berparlimen tetapi masih tegar pertahankan stigma fikir anti pembangkang dan politik malti parti.

Jika dasar tahaluf siasi atas nama Pakatan rakyat yang disertai oleh PAS dianggap suatu dasar pragmatik yang mencarik perjuangan asal PAS, bagaimana pula suatu ketika dahulu Melayu menilai dasar UMNO untuk melebarkan sayap ke Sabah yang sebelumnya ingin dibiarkan sahaja kepada USNO? Kemudian dasar UMNO menerima bumiputera bukan Islam sebagai ahli seperti kaum Siam dan sebagainya akibat semakin terdesak dengan kejayaan PBS di sana. Maka terpampanglah di dada akhbar Berita Harian 16 Feb 1987 UMNO ke Sabah : Ahli Beragama Islam masih majoriti, disebabkan takut Melayu Islam menolak UMNO kerana dasar pragmatiknya. Adakah UMNO cerita kisah-kisah ini kepada melayu hari ini?

Dasar perkauman tidak akan ke mana malah parti-parti perkauman di Timur Tengah telah bungkus. Fahaman sosialis ala arab seperti Baath’ juga kini kian terhakis daripada persada pemilihan rakyat mereka sendiri. Nasionalisme terlampau yang dipupuk British kini mulai ditinggalkan oleh umat Arab yang kian sedar bangsa mereka terpecah kepada banyak negara kecil yang tidak bersepadu disebabkan bahana assobiyyah dan nasionalisme melampau.

*Muhammad Nuruddin Bashah merupakan Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Pemuda Pas Perak Prihatin Mangsa Tsunami di Jepun


14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Ipoh, 18 Mac 2011 - Dewan Pemuda Pas Perak telah melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu mangsa bencana Tsunami di Jepun sebaik sahaja selesai mesyuarat exconya malam ini. Pelancaran derma ini telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Perak, Ustaz Zawawi Hasan dengan kerjasama Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda Pas Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan mendapat sambutan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Care yang dipengerusikan oleh saudara Salman Saleh.

Dewan Pemuda Pas Perak mengambil pendirian untuk menghulurkan bantuan sebagai tanda simpati dan prihatin kepada mangsa bencana Tsunami yang berlaku akibat gempa berskala ritcher 9.0 baru-baru ini. Tragedi itu telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa dan ratusan ribu penduduk Jepun terpaksa berpindah keluar daripada rumah kediaman masing-masing. Kejadian itu juga telah menyebabkan kebimbangan rakyat dunia kerana beberapa loji nuklear meletup dan dibimbangi menyebarkan radiasi. Sehingga kini, tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tersebut

Undur selepas pilihan raya, ulang Taib

14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sekali lagi memberitahu bahawa beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya DUN Sarawak yang mesti dilakukan sebelum Julai ini.

Taib - yang sudah 30 tahun berkuasa di negeri itu - berkata, beliau akan memastikan BN menang dalam pilihan raya kali ini dan memastikan peralihan kuasa dibuat sebelum meletakkan jawatan.

Ini merupakan kali ketiga Taib mengeluarkan kenyataan sebegitu selepas berkata yang sama di Mukah dan Betong awal tahun ini.

Kemungkinan untuk beliau bersara semakin dekat, akuinya.

Taib yang memimpin Sarawak sejak 1981 berkata, masa itu akan tiba apabila orang yang didiknya boleh membentuk pasukan untuk berkhidmat kepada negara dan pelbagai bangsa

DUN belum bubar, PM sudah umum peruntukan lebih RM250 juta untuk Serian, Tebedu

14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SERIAN: Dalam keadaan hangat diperkatakan bilakah DUN Sarawak akan dibubarkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lebih awal pada hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM252.85 juta untuk pelbagai projek rakyat di kawasan Serian dan Tebedu.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi bekalan air bersih luar bandar untuk 2,910 rumah di Tebedu membabitkan peruntukan sebanyak RM105 juta dan untuk 4,409 rumah di Serian sebanyak RM116.5 juta.

Sementara RM13.39 juta pula untuk projek bekalan elektrik di Serian yang membabitkan 408 rumah, selain peruntukan RM12.5 juta untuk projek klinik kesihatan di Pedawan dan RM120,000 untuk pembelian pendingin hawa untuk Dewan Masyarakat Serian.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini dan beliau akan bertanding pada pilihan raya negeri yang akan diadakan.

DUN Sarawak bubar isnin ini.

14 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini dan beliau akan bertanding pada pilihan raya negeri yang akan diadakan.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, selepas mengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berlepas pulang selepas lawatan sehari ke Sarawak sebentar tadi.

Abdul Taib berkata, beliau sudah menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, untuk memaklumkan perkara itu