09 Oktober 2010

Benarkah UMNO pembela Bahasa Melayu?

1 ZulQaidah 1431H.
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 8 Oktober, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Abu Bakar Hussain hari ini mempersoalkan benarkah dakwaan bahawasanya Umno sebagai pembela dan penegak kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia ini?

Beliau menjelaskan, jika dilihat kepada realiti yang dihadapi bahasa ibunda selama berada di bawah pemerintahan umno serta hasil dari keluh-kesah dan rintihan para pejuang bahasa sejak berdekad lalu, ianya menggambarkan kepada kita bahawa Umno ialah sebuah parti yang tidak mempedulikan nasib bahasa Melayu.

“ Buktinya kita melihat peristiwa demi peristiwa protes dan kecaman keras pejuang bahasa sering bersambungan sejak sekian lama. Demonstrasi Keranda 152 tanggal 3 Mac 1967 adalah contoh klasik protes rakyat terhadap sikap tidak bertanggungjawab Umno dalam isu bahasa.”

“ Para pejuang bahasa berarak ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan bantahan kepada Majlis Tertinggi Umno yang bersidang pada hari itu. Mereka mendesak Umno mempertahankan bahasa Melayu, ekoran perbahasan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 di Parlimen.”

“ Bagaimana pun peristiwa bersejarah itu nyata tidak mengubah sikap liberal Umno terhadap isu bahasa. Penodaan Dasar Bahasa Kebangsaan masih berterusan hingga kini, terutama oleh pemimpin Umno sendiri,” tegas beliau

Selain itu beliau juga menegaskan rakyat sudah tentu masih mengingati bagaimana pemimpin kerajaan menghina pendirian pejuang bahasa dengan memperkenalkan beberapa istilah yang amat dipertikaikan. Antaranya, tema Hari Kebangsaan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ yang dipertikaikan tata bahasanya, tagline ‘Saluran Infotainmen Anda’ untuk RTM, istilah ‘boulevard’ dan ‘presint’ di Putrajaya yang sepatutnya memanfaatkan istilah bahasa Melayu.

Selain itu pengenalan dasar pembelajaran yang mengutamakan bahasa Inggeris (BI) dan mencabar kedaulatan bahasa Melayu, seperti dasar PPSMI, cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM, bahasa pengantar Bahasa Inggeris di universiti dan banyak lagi.

Bagi saya Umno kini tidak dapat lagi menipu rakyat dengan menggambarkan bahawa mereka adalah pembela bahasa melayu hal ini kerana rakyat Malaysia mengetahui rentetan sejarah pengkhianatan umno terhadap bahasa melayu, bagi saya jika dibiarkan umno terus berkuasa berkemungkinan besar bahasa melayu sudah tidak dapat dimartabatkan lagi di bumi Malaysia ini, tegas beliau.

Umno dibenci kerana main sentimen kaum, agama

1 ZulQaidah 1431H.
Warta Rakyat

KUALA TERENGGANU, 9 Okt: Sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh pemimpin Umno sebenarnya telah menyebabkan parti itu semakin dibenci oleh orang Melayu dan bukan Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohmad Sabu berkata, Umno BN semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa apabila rakyat menolak segala permainan kotor perkauman dan agama.

“Jadi, ia bukan menjadikan alasan utama Umno untuk menjadikan sentimen perkauman untuk melaga-lagakan bukan Melayu dengan orang Melayu,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah di Kuala Ibai, malam tadi.

Turut berucap ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Jelasnya, hubungan antara PAS dan DAP tiada masalah, bahkan ada di kalangan pemimpin DAP yang makan hasil 'air tangan' beliau semasa ditahan di bawah ISA di Kem Kamunting.

Tambahnya, isu perkauman yang dimainkan Umno BN adalah permainan yang amat jahat dan mampu memusnahkan keharmonian kaum di Malaysia.

Menurutnya lagi, Umno rela mengorbankan perpaduan kaum asalkan mereka terus berkuasa.

Begitupun,ujarnya Umno gagal dalam usaha mereka menaikkan kemarahan kaum, terutama dalam isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, isu kuil di Shah Alam, isu kalimah Allah, isu doa pohon hidayah kepada Lim Guan Eng, isu ahli parlimen bukan Islam memasuki surau dan masjid serta isu wang ehsan di Pulau Pinang yang didakwa dari wang judi lumba kuda.

Sedangkan, katanya, pemimpin Umno adalah golongan yang melakukan pengkhianatan kepada Islam apabila meluluskan lesen judi, terutamanya Lesen Loteri Kebajikan Masyarakat, kasino Genting, judi lumba kuda dan lain-lain lesen judi.

Terkini Dan Gempar - 1000 Ahli MCA Serta PKR

1 ZulQaidah 1431H.

Pengerusi MCA bahagian Bukit Bintang Datuk Dr Lee Chong Meng (gambar) mengumumkan keputusan beliau untuk keluar dari parti itu dan dengan rasminya menyertai PKR, disertai 1000 Ahli2 MCA.

Lee, yang popular dengan panggilan "doktor ayam" berkata beliau sudah menghantar surat perletakan jawatannya dari parti kepada ibupejabat MCA tengah hari semalam selepas beliau kembali dari luar negara.

Lee ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam berkata pada mulanya memang beliau keberatan untuk meninggalkan parti.

"Namun apabila presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengumuman yang saya akan digantung keanggotaan atas tuduhan menyalahguna peruntukan kerajaan, saya memutuskan sudah tiba masaya saya tinggalkan parti," katanya.

Lembaga Disiplin MCA sebelum ini mencadangkan supaya keaggotaan Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan beliau menyalah guna peruntukan yang diberikan kerajaan pada 2008.

Khabar angin mengenai penyertaan Lee dalam PKR sudah bermula sejak Jun lalu apabila beliau mengaku ada mengisi borang permohonan keanggotaan parti itu, namun tidak menandatanganinya.

Lee menafikan beliau menyalah guna peruntukan kerajaan pada 2008, dan menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu adalah untuk aktiviti Tahun Baru Cina di mana beliau sendiri mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu.

Jantung Kita Yang Tidak Mengenal Penat

29 Syawal 1431 H
Oleh: Dr. Azman Ibrahim

Bagi kita, jantung adalah organ asas. ia berdenyut sekitar tujuh puluh dua kali seminit atau kira-kira empat puluh juta kali setahun. untuk memahami bagaimana proses ini amat memeningkan, cuba buat genggaman dengan tangan kita dan kemudian lepaskannya, kemudian terus buat genggaman dan lepaskannya. Berapa minit kita dapat berbuat begitu?

Jantung kita, yang bersaiz sebesar penumbuk kita, berterusan melakukan aktiviti ini sepanjang hidup kita tanpa merasa letih atau berhenti. Jantung kita tidak pernah berhenti sekalipun ketika kita tidur.

Jika merasa gembira, jantung kita akan berdenyut lebih pantas, dan ia berdenyut perlahan ketika kita berehat. Jantung kita melakukan penyelenggaraan ini secara automatik ketika kita tidak menyedarinya.

Setiap kali jantung kita berdenyut, ia mengepam darah ke seluruh badan kita. Apa yang kita perlukan untuk hidup terdapat dalam darah ini. Setiap sel kita menerima oksigen dan makanan yang diperlukan daripada darah. Jantung kita mengepam sekitar 43,000 liter darah setiap hari.

Tahukah kita berapa banyak darah ini? Ia mencukupi untuk memenuhi 150 tab mandian. Tidakkah kita merasa penat sekiranya kita cuba mengeringkan sebuah tab mandian menggunakan sebiji cawan? Sekarang bayangkan bagaimana hendak mengeringkan air di dalam 150 tab mandian dengan sebiji cawan? Mungkin kita tidak dapat melakukan tugas sukar ini.

bagaimanapun, jantung kita telah melakukan tugas ini dan telah melakukannya sejak kita dilahirkan dan akan terus melakukannya sehingga kita meninggal dunia. Lebih-lebih lagi, ia tidak pernah berhenti.

Kita, misalnya akan berehat ketika melakukan kerja-kerja berat. Kita perlu berbaring atau berehat tetapi jantung kita tidak pernah letih. Ia kecil tetapi tugasnya amat besar. Kerana itulah Allah menjadikannya sedemikian rupa sehingga ia tidak pernah letih.

Nasihat dan Panduan Akad Nikah di Masjid

29 Syawal 1431 H
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Pilihan tempat berlangsungnya majlis akad nikah juga penting dalam menentukan keberkatan dalam kehidupan suami isteri. Kita bersyukur kerana sudah menjadi tren pada hari ini, upacara perkahwinan dilakukan di dalam masjid. Tujuannya sudah tentu untuk keberkatan.

Memang masjid tempat yang paling sesuai untuk upacara pernikahan kerana setidak-tidaknya di masjid tidak ada orang yang berniat jahat. Maka upacara akad nikah berlaku dalam keadaan tiada seorang pun yang menanggung dosa. Itulah erti keberkatan.

Tetapi dalam keghairahan mereka menggunakan kemudahan rumah Allah ini, mereka lupa beberapa pantang larang. Ada beberapa perkara yang jarang diberi perhatian. Mereka lupa dalam masjid terdapat adab sopan yang perlu dipatuhi oleh orang yang berada dalam majlis itu. Antara yang penting ialah:

1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada wanita.

2. Niat iktikaf di Masjid.

3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di dalam masjid.

4. Mulakan dengan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang berkaitan.

5. Tidak bercampur dan bergaul terlalu bebas antara lelaki dan perempuan.

6. Jika pengantin perempuan didatangi haid dan tidak dapat hadir ke masjid, maka wali boleh menjemput jurunikah datang ke rumah terlebih dahulu untuk proses wali meminta izin dan menyerahkan wakilnya kepada jurunikah.

7. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam Dewan Solat masjid.

8. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.

9. Jika boleh, hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

10. Jangan bergambar atau berposing untuk bergambar secara melampau di dalam masjid atau di sekitar kawasan masjid.

Panduan ini tidaklah susah untuk dipatuhi, namun masih terdapat lelaki atau perempuan yang sering mengabaikannya. Masih terdapat perempuan yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan suasana masjid. Ada yang mempamerkan wajah mekap yang mempesonakan, bahagian dada yang masih tidak ditutup sepenuhnya meskipun sudah mengenakan kain tudung.

Manakala lelaki pula ada yang memakai rantai dan gelang. Semua itu adalah haram bagi lelaki walaupun bukan dibuat daripada emas. Perhiasan perempuan itu tidak layak untuk lelaki kecuali gelang yang disahkan untuk perubatan. Kita tidak pasti sama ada mereka ini degil atau tidak tahu tentang hukum tersebut.

Eksklusif : Bandar Baru Dabong

29 Syawal 1431 H
Oleh: Mr. President

Apa jadi dengan Projek ini??

Pernah disiarkan di dalam HARAKAH suatu tahun dahulu. Kenapa sekarang ini senyap sepi??? Mentang-mentang ianya di Dabong, semuanya jadi tak kena...

KUALA KRAI, 13 Feb - Dabong yang terkenal dengan keindahan Gunung Stong bakal menjadi pusat pertumbuhan utama di pedalaman Kelantan apabila sebuah bandar baru dibina di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bandar baru itu dirancang di kawasan seluas 65 ekar yang terletak tidak jauh daripada jambatan baru Dabong - Jelawang.

Katanya, pelbagai infrastruktur bakal dibina di kawasan tersebut antaranya, masjid, pejabat-pejabat kerajaan negeri dan Persekutuan, taman perumahan, balai polis, kompleks sukan, hentian bas dan stesen minyak.

"Saya berharap cadangan untuk membina masjid dan balai polis hendak dibuat di kawasan berdekatan bagi membolehkan mereka yang ditahan di lokap boleh mendengar azan dari masjid.

"Selain itu, perlu dipastikan lokasi masjid juga tidak jauh dari stesen minyak bagi memudahkan pelancong yang singgah dapat meninjau kawasan masjid. Kita perlu fikir cara bagi membolehkan orang bukan Islam juga berminat untuk berkunjung ke masjid," katanya pada program taklimat sempena lawatan kerja ke Majlis Daerah Dabong (MDD) semalam.

Selain itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan mencari kaedah sesuai untuk menarik kedatangan pelancong asing yang gemarkan keindahan alam semulajadi di Dabong. Terdapat tiga lokasi pelancongan utama di Dabong iaitu Gua Ikan, Gunung Stong dan Lata Kertas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga kesal kerana kawasan rekreasi terbabit dicemari dengan unsur-unsur vandalisme.

Hadir sama, anggota Exco kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan,

Pengarah Perancang Bandar dan Desa, Haji Mohamad Ibrahim, Yang Dipertua MDD, Haji Mat Jusoh Hussin, Penyelia DUN Dabong, Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim dan ahli-ahli majlis daerah.

Pekan Dabong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Bharu dan 80 kilometer dari Bandar Kuala Krai. Ia boleh dihubungi melalui jalan raya simpang tiga Kuala Krai – Gua Musang di Sungai Syam ke Dabong dan Jeli – Jelawang - Dabong.

Mohamad berkata, bandar baru dicadangkan di Dabong memandangkan kedudukan pekan lama begitu sendat dan tidak sesuai lagi dibangunkan kerana terhalang dengan Sungai Galas dan landasan kereta api.

"Kita menjangka sekiranya penduduk Dabong mencecah 25,000 orang, pekan lama yang ada sekarang tidak sesuai lagi untuk menampung

jumlah tersebut," ujarnya. Bilangan penduduknya sekarang sekitar 13,000 orang. Pada sebelah malamnya, Menteri Besar mengisytiharkan MDD secara rasmi bagi menggantikan nama lamanya Majlis Daerah Kuala Krai Selatan.

'Doktor ayam' tinggalkan MCA, sertai PKR

29 Syawal 1431 H

Pengerusi MCA bahagian Bukit Bintang Datuk Dr Lee Chong Meng mengumumkan keputusan beliau untuk keluar dari parti itu dan dengan rasminya menyertai PKR.

Lee, yang popular dengan panggilan "doktor ayam" berkata beliau sudah menghantar surat perletakan jawatannya dari parti kepada ibupejabat MCA tengah hari semalam selepas beliau kembali dari luar negara.

Lee ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam berkata pada mulanya memang beliau keberatan untuk meninggalkan parti.

"Namun apabila presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengumuman yang saya akan digantung keanggotaan atas tuduhan menyalahguna peruntukan kerajaan, saya memutuskan sudah tiba masaya saya tinggalkan parti," katanya.

Lembaga Disiplin MCA sebelum ini mencadangkan supaya keaggotaan Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan beliau menyalah guna peruntukan yang diberikan kerajaan pada 2008.

Khabar angin mengenai penyertaan Lee dalam PKR sudah bermula sejak Jun lalu apabila beliau mengaku ada mengisi borang permohonan keanggotaan parti itu, namun tidak menandatanganinya.

Lee menafikan beliau menyalah guna peruntukan kerajaan pada 2008, dan menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu adalah untuk aktiviti Tahun Baru Cina di mana beliau sendiri mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu.

Malaysiakini/-

Pulang wang 'judi', k'jaan P Pinang belum terima sesen

29 Syawal 1431 H

Kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga hari ini masih belum menerima apa-apa wang yang dikembalikan meskipun Umno dan BN sibuk menganjurkan majlis untuk warga emas memulangkan wang berkenaan yang didakwa datang daripada sumber perjudian.

“Kerajaan negeri berharap mereka agar jangan terpedaya dengan Umno kerana yang rugi hanyalah warga emas yang hilang peluang mendapat RM100 setiap tahun dan RM1,000 sekali untuk waris mereka,” kata ketua menterinya, Lim Guan Eng.

Isu itu tercetus apabila pada satu majlis anjuran Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim pada 30 September lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Dua hari kemudian, 70 lagi warga emas dari Bayan Baru pula menjejaki tindakan rakan mereka itu dengan mengembalikan wang RM100 ringgit yang diterima mereka kepada Ketua Umno Bahagian Bayan Baru Datuk Abdul Rahim Saibu.

Program diteruskan

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Pemuda Umno negeri Norman Zahalan dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata 1,000 lagi warga emas di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ehsan yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

“Kerajaan negeri akan meneruskan program penghargaan warga emas dengan pemberian sumbangan RM100 setiap tahun di masa akan datang selagi Pakatan Rakyat masih menjadi kerajaan negeri ini tetapi kita tidak halang jika ada yang mahu memulangkan cuma fikir masak-masak dahulu,

“Jangan mudah terpedaya dengan fitnah Umno kerana yang rugi akhirnya ialah warga emas dan waris-waris mereka yang tidak mendapat sumbangan RM100 setiap tahun dan RM1,000 untuk belanja pengebumian,” kata Lim selepas menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil rakyat Pulau Pinang, Selasa lalu.

Menurut Lim, hakikatnya Umno dan BN, sengaja mengadu domba fitnah seumpama itu bagi mengelakkan pertanyaan rakyat yang hairan mengapa kerajaan negeri BN sebelum ini tidak mampu memberi bantuan sedemikian.

“Jawapan kepada ‘keanehan’ itu sangat mudah kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang berjimat-cermat dan berhemah dalam segala perbelanjaan dan tidak makan duit, maka boleh beri duit pada warga emas berbanding dengan kerajaan BN yang bertindak sebaliknya,

Dalam pada itu, Lim turut menuntut penjelasan Umno BN berhubung kutipan cukai judi sebanyak RM2.3 bilion oleh kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.

Penjelasan cukai dosa BN

Tegas beliau, penjelasan berkenaan perlu bagi memaklumkan kepada umum mengenai saluran cukai dosa itu ke dalam akaun hasil disatukan kerana pihaknya difahamkan duit hasil kutipan judi RM2.3 bilion setiap tahun digunakan untuk membiayai semua projek pembangunan dan pembayaran gaji semua 1.2 juta warga penjawat awam persekutuan.

“Tidak seperti kami yang membantu warga emas di Pulau Pinang dengan menggunakan lebihan hasil pendapatan negeri menerusi pendekatan jimat cermat dan tidak makan duit” katanya.

Ini katanya, dibuktikan dengan surat terima kasih kepada Kelab Lumba Kuda yang secara terang lagi bersuluh mengenai sumbangan untuk program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) dan bukan untuk program penghargaan warga emas itu, katanya.

Tambahan pula, jelas beliau lagi, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus telah mengesahkan pihaknya mengasingkan sumbangan dari Kelab Lumba Kuda dan syarikat korporat lain untuk program melibatkan orang Islam dari mengelakkan unsur haram dan semua dana yang digunakan untuk program penghargaan warga emas itu datangnya dari penjimatan dijana oleh pendekatan anti-rasuah kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tipu muslihat UMNO untuk memaksa kerajaan negeri membatalkan program penghargaan warga emas yang secara ikhlas mengenang jasa dan budi sumbangan warga emas kita,” kata beliau lagi.

Malaysiakini/-

Zunar, Malaysiakini dapat kebenaran cabar KDN

29 Syawal 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim

Penulis kartun, Zunar dan Malaysiakini hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam yang mengharamkan buku kartun Perak Darul Kartun dan 1Funny Malaysia.

Dalam semakan kehakiman, kebenaran untuk mencabar keputusan berkenaan perlu dipohon kerana ia bukan hak automatik.

Kebenaran itu diberikan oleh hakim Datuk Mohd Zawwawi Salleh di kamarnya setelah mendengan hujah kedua-dua pihak - peguam K Shanmuga dan pendakwa raya kanan persekutuan Noorhisham Ismail.

Noorhisham tidak membantah permohonan kebenaran berkenaan.

Shanmuga berkata hakim Zawawi kemudiannya menetapkan 4 November bagi tarikh sebutan kes.

Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan, Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan timbalannya.

Pada 26 Julai lalu, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Mahmood Adam dipetik media sebagai berkata buku-buku itu diharamkan kerana kementerian dalam negeri mendapati ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

Beliau dipetik berkata bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Menurutnya lagi, ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata Mahmood.

1Funny Malaysia, diterbitkan pada Disember tahun lalu adalah satu kompilasi kartun Zunar yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak 2005 hingga 2009.

Perak Darul Kartun pula diterbitkan oleh syarikat Zunar - Sepakat Efektif Sdn Bhd dan memapar karya beberapa kartunis Malaysia yang lain, termasuk Zunar.

MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.

Sepakat Efektif pula mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' telah berada di pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.

Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin etak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Malaysiakini/-

Budaya 'gay', PAS mahu konsert Lambert dibatal

29 Syawal 1431 H

PAS hari ini mengajak rakyat khususnya penggiat seni dan penghibur tanahair supaya membantu parti itu mempertahankan jati diri dunia hiburan tempatan daripada terus tercemar oleh anasir-anasir luar, lapor Harakahdaily.

Sehubungan itu, Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad mengajak rakyat membantah rancangan terbaru kerajaan mengizinkan Konsert Adam Lambert yang dijadualkan pada 14 Oktober depan.

"Saya yakin rakyat sependapat dengan PAS, iaitu hiburan adalah tuntutan naluri manusia dengan ada tatasusila ketimurannya dan tidak menyimpang dari norma-norma agama di Malaysia,” katanya.

Menurut Dr Dzulkefly jika “budaya mencium pemain keyboard lelaki, beraksi lucah antara penari lelaki yang lain yang digayakan oleh penyanyi gay itu” yang mahu dibawa ke negara ini, rakyat diyakini akan menolaknya.

Katanya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Artis Luar Negara (Puspal) sepatutnya tidak semberono bersetuju membawa artis gay itu ke negara ini.

Budaya liar

Ini kerana, kata ahli parlimen Kuala Selangor itu, Lambert sebenarnya dikecam hebat oleh dunia apabila melakukan beberapa adegan kontroversi di pentas Anugerah Award Amerika sebelum ini.

Berikutan itu, rancangan televisyen Good Morning America terbitan ABC di Amerika Syarikat membatalkan penampilan Lambert kerana menolak budaya liar penyanyi gay berkenaan.

“Gaya hidup Amerika yang selalu kita anggap bebas pun menolak semua ini, mengapa kita (kerajaan) yang selalu mengaku kitalah Islam tidak belajar semua ini?” soalnya.

Baginya, kerajaan sepatutnya mengambil berat soal menjemput selebriti asing memandangkan KPKK serta Puspal pada Mei lalu telahpun ditegur apabila membenarkan penyanyi lucah Pitbull mengadakan persembahan di negara ini.

"Kerajaan seakan tidak kisah semua ini kerana selepas konsert Pitbull dibantah 15 Mei lalu pun, kerajaan nampaknya masih memberi kelulusan pada syarikat yang sama untuk menjemput Adam Lambert," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Galas: Siap untuk menghadapi kemungkinan apapun

29 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera PAS bagi Pilihan Raya Kecil N45 Dun Galas, menyusun strategi dan gerak kerja dengan kemas berdepan sebarang kemungkinan.

Menurutnya, strategi dan perancangan yang kemas mampu untuk menghadapi sebarang tindakan tidak bermoral parti lawan.

"Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas.

"Kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas suasana beberapa pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan banyak tindakan tidak bermoral berlaku sepanjang kempen.

Ianya antara lain termasuk ugutan, rasuah kepada pengundi dan provokasi keterlaluan sehingga mencetuskan suasana tegang.

Bagaimanapun menurutnya, jika PAS mengatur strategi dengan baik, dan cukup prasyaratnya, parti itu mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut.

"Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di Dun Galas nanti," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Dun Galas adalah pada 26 Oktober manakala 4 November tarikh mengundi.

Dalam pada itu, Kerajaan Kelantan semalam mengumumkan kemungkinan akan mengisytiharkan hari mengundi pada 4 November nanti sebagai cuti peristiwa.

Ianya bagi memudahkan rakyat negeri itu, khususnya pengundi di luar kawasan keluar mengundi dengan selesa.

Harakahdaily/-

Samy Vellu didesak Tun M atau contohi Keng Yaik

29 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Nasir Awang

Semacam berpakat, dua pemimpin besar parti komponen Barisan Nasional (BN) memilih hari yang sama minggu lalu untuk mengumumkan pendirian menolak jawatan penasihat kepada parti yang pernah masing-masing terajui.

Tanggal 4 Oktober 2010 akan dicatat sebagai salah satu tarikh penting dalam sejarah parti Gerakan apabila bekas presidennya, Tun Dr Lim Keng Yaik memaklumkan keputusannya melepaskan jawatan penasihat parti itu.

Beliau yang menyerahkan kepemimpinan parti kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada April 2007, berkata tindakan itu ekoran kekecewaannya terhadap kegagalan penggantinya itu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan berbagai isu dalaman Gerakan.

“Apa guna beri nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar (nasihat),” media memetik katanya.

Sementara faktor pengunduran Keng Yaik agak jelas, apa yang mendorong Presiden MIC yang bakal berundur, Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil keputusan serupa pula masih menjadi tanda tanya.

Pada tarikh sama, Samy Vellu memaklumkan menolak cadangan supaya beliau dilantik menjadi penasihat kepada parti selepas menyerahkan jawatan kepada Timbalannya, Datuk G. Palanivel, Januari depan.

Beliau sebaliknya meluahkan keyakinan beberapa pemimpin lebih muda MIC yang kini menyandang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri mampu membantu Presiden baru mengendalikan urusan parti itu.

“Saya tidak akan memberi nasihat kepada mereka kerana semua mereka orang yang berpengalaman dan tahu apa yang mereka lakukan,” media cetak pada Selasa memetik kata Samy Vellu.

Pada zahirnya, kenyataan itu kelihatan tulus. Namun, sejauh manakah ia tidak disirati perasaan kecewa dan unsur-unsur tekanan, sepertimana terzahir dalam kes dialami Keng Yaik itu?

Beberapa hari sebelumnya bekas Menteri Kerja Raya itu mencuri tumpuan media apabila mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu dipangku Palanivel.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha memaksa beliau berundur. Lebih tidak diduga ialah apabila beliau akhirnya akur untuk berundur lebih awal dari apa yang diumumkannya sebelum ini.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu lapan atau sembilan bulan sebelum berakhir penggal perkhidmatannya pada Mei 2012.

Ertinya beliau sepatutnya menyerahkan jawatan sama ada pada Ogos atau September 2011. Justeru, apakah yang menyebabkan pelan peralihan kuasa MIC itu dipercepatkan tujuh atau lapan bulan lebih awal?

Samy Vellu melakar sejarah agak mengagumkan sepanjang terlibat dalam MIC. Beliau mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu yang berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya kekal dalam parti.

Namun penolakan rakyat, khususnya pengundi India, terhadap MIC pada pilihan raya umum lalu benar-benar mencalar kehebatan Samy Vellu.

Parti diterajuinya kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain, termasuk MIC agar ikut berbuat serupa.

Salah seorang pemimpin ternama yang secara terbuka mengkritik Samy Vellu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi Mahathir, MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy Vellu memimpinnya.

Tidak semua pemimpin dan pendukung MIC dapat menerima kritikan terhadap presiden mereka. Lebih-lebih lagi kenyataan yang secara jelas memperlihatkan usaha campur tangan dalam urusan MIC.

Bagaimana pun, kritikan balas seorang pemimpin bahagian MIC terhadap Tun Mahathir di atas hasrat membela Samy Vellu nampaknya bertukar menjadi sokongan membawa rebah. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri itu, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kecaman keras pelbagai pihak.

MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.

Apakah episod itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada Samy Vellu? Adakah beliau redha dengan tindakan ke atas seorang anak buah yang membelanya itu, atau terpaksa akur kepada pandangan sebaliknya yang lebih menguasai partinya?

Saya kira episod itu sedikit sebanyak mendorong Samy Vellu akur kepada “desakan” Tun Mahathir. Lalu akhirnya beliau memilih untuk mengikuti jalan cerita yang pernah dialami Tun Abdullah.

Pada asalnya Presiden Umno itu menyatakan hasrat berundur pada 2010, tetapi dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak keadaan agar tidak menunggu terlalu lama, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.

Harakahdaily/-

Bagaimana Transaksi Wang Haram?

29 Syawal 1431 H
Oleh: Nasrudin Hassan at-Tantawi

Hukum menerima bantuan
dari wang yang haram.

Muqaddimah

Isu ini bukanlah perkara baru di dalam Islam. Ini kerana hal ini juga pernah berlaku pada zaman Nabi saw apabila Saidina Abu Bakar ra merujuk kepada Baginda saw mengenai wang haram yang diperolehinya.

ولما نزل قوله تعالي: {ألم * غُلِبَتِ الرُّومُ * فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ} [الروم:1-3]، كذبه المشركون وقالوا للصحابة: ألا ترون ما يقول صاحبكم، يزعم أن الروم ستَغلب. فخاطرهم أبو بكر رضي الله عنه، بإذن رسول الله صلي الله عليه وسلم، فلما حقَّق الله صدقه، وجاء أبو بكر رضي الله عنه، بما قامرهم به، قال عليه الصلاة والسلام: "هذا سحت، فتصدَّق به". وفرح المؤمنون بنصر الله، وكان قد نزل تحريم القمار بعد إذن رسول الله صلي الله عليه وسلم له في المخاطرة مع الكفار

Mafhum daripada hadith ini adalah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a pernah bertaruh [di awal Islam sewaktu perjudian belum diharamkan secara menyeluruh] dengan seorang Musyrik [yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah al-Rum ayat 1 dan 2 yang mengisyaratkan kejatuhan Rom] bahawa Kerajaan Rom akan tewas.

Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh maka Saidina Abu Bakar ra telah memperolehi harta pertaruhan itu [ianya haram kerana judi dan tujuan Saidina Abu Bakar ra hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran], apabila Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW menceritakan perihal harta haram yang diperolehi melalui hasil taruhan [judi] itu,

Rasulullah bersabda : "Ini kotor, sedekahkanlah ia". Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir.

Menginfaqkan harta yang diperolehi dari cara yang haram

Pendapat pertama Dibolehkan untuk menginfaq harta yang diperoleh dari hasil yang haram. Pendapat ini adalah pendapat jumhur.

Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi [1]

“Kebenarannya adalah bahawa harta tersebut adalah kotor [ haram ] dengan dinisbahkan kepada orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik [ halal ] dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan

Haram ke atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana, harta tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu tertentu kerana sebab yang tertentu.

Transaksi harta haram biasanya berlaku dalam 4 keadaan ;

I.Individu tersebut mengambil harta haram itu untuk kegunaan dirinya dan keluarganya. Keadaan ini telah jelas pengharamannya

II.Harta haram [Harta riba’ yang diperolehi melalui system perbankan] dibiarkan kekal dalam bank yang berurus niaga secara riba’. Perbuatan ini juga adalah haram

III.Harta yang diterima atau diperolehi melalui hasil yang haram ini dimusnahkan [dibakar dll]. Hal ini ada di dalam riwayat yang menceritakan hal keadaan salafus-soleh yang wara’. Akan tetapi perkara ini telah ditolak oleh al-Imam al-Ghazali rhm di dalam kitab al-Ihya’.

IV.Harta tersebut digunakan dalam transaksi yang bertujuan kepada kebaikan seperti untuk disedekahkan kepada orang-orang faqir miskin, anak-anak yatim, ibnu al-Sabil ataupun mana-mana pertubuhan kebajikan, dakwah dan kemasyarakatan Islam. Perkara sebegini adalah dibenarkan.

Al-Imam al-Ghazali rhm

Sekiranya ada yang bertanyakan apakah dalil yang membolehkan untuk disedekahkan dengan sesuatu yang haram?, dan bagaimana pula bersedekah dengan sesuatu yang bukan miliknya[2] ?. Sedangkan di sana terdapat sekumpulan [ulamak] yang tidak membenarkan perkara tersebut kerana ia adalah haram. Sememangnya di sana terdapat satu riwayat yang menyatakan al-Fudhail tidak menerima sedekah yang diterima dari hasil yang haram.

Sheikh Atiyyah Saqor [3]

"Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya [harta yang haram] dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).

Imam Ibnu Qayyim[4]

Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah swt.

Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah

Dalil yang membenarkan

فأمر رسول الله صلي الله عليه وسلم، بالتصدُّق بالشاة المصلية التي قدِّمت إليه فكلَّمته بأنها حرام، إذ قال صلي الله عليه

وسلم: "أطعموها الأساري"

Mafhum hadith

Hadith ini menceritakan bahawasanya pernah dihidangkan kepada Nabi saw daging kambing. Lalu daging tersebut menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahawa ia adalah haram. Lalu Nabi saw menyuruh sahabat untuk memberikan ia kepada orang lain untuk dimakan [menyedekahkannya].

Rasional hadith

Perbuatan Nabi saw yang menyedekahkan daging kambing [yang haram] untuk disedekahkan.

al-Athar Saidina Hasan ra

وسئل الحسن رضي الله عنه، عن توبة الغال (مَن يأخذ من مال الغنيمة قبل أن يقسم، وما يؤخذ منه بعد تفرُّق الجيش)،
فقال: يتصدَّق به.

Mafhum athar

Athar ini menceritakan mengenai taubat bagi orang yang mengambil ghanimah sebelum ianya dibahagikan. Saidina Hasan ra mengatakan bersedekah dengan apa yang diambilnya tadi membuktikan taubat bagi perbuatannya yang mengambil harta dengan cara yang haram.

Rasional athar

Walaupun athar ini menceritakan mengenai ghanimah yang pada asalnya halal, tetapi sekiranya ia diambil dengan cara yang tidak betul maka hukumnya tetap haram kerana harta ghanimah bukanlah pemilikan dia seorang. Ianya perlu dibahagikan mengikut apa yang diajarkan oleh Allah swt. Tuntasnya,

apabila ia tidak diambil dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah swt maka ianya tetap haram. Justeru, bagi mereka yang melakukan dosa besar [melakukan sesuatu yang haram] wajib bertaubat dan Saidina Hasan ra menyatakan salah satu cara membuktikan dia bertaubat adalah dengan menyedekahkan apa yang telah diambilnya dengan cara yang salah.

Persamaan hal ini dengan kes di atas adalah kedua-kedua harta tersebut adalah diperolehi melalui hasil yang haram. Hukum haramnya tetap ke atas orang yang melakukan iaitu dia tidak

boleh membelanjakan wang tersebut demi dirinya atau kepentingan keluarganya. Penyelesaiannya adalah wang tersebut perlu diberikan kepada orang lain [faqir miskin] kerana wang tersebut tidak haram pada zatnya untuk orang lain.

Qiyas

Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan bahawasanya harta sebegini berada dalam timbangan samada untuk dimusnahkan atau digunakan untuk jalan kebaikan. Ini kerana harta tersebut telah menjadi rosak di sisi pemiliknya. Secara dharuri melalui pengetahuan kita, menggunakan harta tersebut kearah kebajikan adalah lebih baik dari membuangnya ke dasar lautan [memusnahkannya].

Ini kerana, sekiranya kita membuang ia ke dasar lautan maka sesungguhnya benda tersebut hilang dari sisi kita tanpa kita memperoleh faedah daripada perbuatan kita tadi.

Akan tetapi, sekiranya kita menginfaqkan ia kepada faqir miskin nescaya mereka akan mendoakan pemiliknya keberkatan daripada Allah swt. Selain itu, mereka yang faqir tadi boleh memenuhi tuntutan keperluan mereka di samping tuan [harta haram] yang menyedekahkannya tadi memperolehi ganjaran di sisi Allah swt.

Di dalam masalah yang berkaitan penerimaan bantuan dari hasil judi dan situasinya adalah penerima mengetahui wang bantuan tersebut adalah datang dari hasil judi maka wang tersebut perlulah dikembalikan kepada orang yang memberikan atau wakil kepada yang memberikan kerana wang yang diperolehi dari hasil yang haram perlu [wajib] dilupuskan [6].

Ini kerana hukum asal menggunakan wang yang diperolehi dari hasil yang haram hukumnya juga adalah haram. Hal ini dikuatkan dengan kaedah “ bahawa menolong dan menyebarkan yang haram itu juga adalah haram “[7].

Pendapat kedua
Segala bentuk wang yang haram perlu disimpan [dibekukan]. Ini kerana ditakuti harta tersebut jatuh ke tangan mereka yang zalim bukan kepada mereka yang adil. Justeru, dengan menyimpan [membekukan] wang tersebut, ia dapat memelihara harta tersebut daripada jatuh ke tangan orang yang zalim. Antara yang menggunakan pendapat ini adalah Sheikh al-Islam Ibn Taimiah[8]

Dalil bagi pendapat kedua adalah

1. Firman Allah swt di dalam Surah al-Baqarah

Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat),

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji "

2. Daripada al-Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud ra[9]

ما رواه ابن مسعود – رضي الله عنه – أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: "والذي نفسي بيده لا يكسب عبد مالاً من حرام فينفق منه فيبارك له فيه، ولا يتصدق فيقبل منه ولا يتركه خلف ظهره إلا كان زاده إلى النار"

Rasional dalil

Secara umumnya, dalil di atas menunjukkan bahawasanya Allah tidak akan menerima sedekah melainkan hal keadaan pemberian itu adalah baik. Jadi sedekah dengan harta ini tidak akan diterima melainkan dengan harta yang halal dan diperolehi melalui cara yang mengikut syarak. Syarat untuk amalan yang baik itu diterima [sedekah] adalah melalui infaq harta yang halal.

Jawapan al-Imam al-Ghazali[10]

Adapun kata-kata : kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan.

Pendapat ketiga
Hasil dari harta haram perlu dimusnahkan. Sebahagian kecil daripada ulamak-ulamak salaf seperti Qadhi Fudhail al-‘Iyyadh

Walaupun sebahagian besar ulamak yang menerima pandangan bahawasanya duit haram yang diperolehi boleh disedekahkan, akan tetapi masih ada ulamak yang menolak menggunakan duit haram yang disalurkan sebagai sedekah / bantuan.

وحُكي عن الفضيل أنه وقع في يده درهمان، فلما علم أنهما من غير وجههما، رماهما بين الحجارة، وقال: لا أتصدق إلا بالطيِّب، ولا أرضي لغيري ما لا أرضاه لنفسي!

Cara untuk tassorruf [ transaksi ] dengan harta dari hasil yang haram

Pendapat pertama

Digunakan untuk maslahah[11] umum orang Islam dan ini adalah pendapat Sheikh al-Islam Ibnu Taimiah rhm

Pendapat kedua

Digunakan dengan memberi sedekah secara umum[12] dan ini adalah pandangan Hanafiah, Malikiah, Imam Ahmad dan ulamak-ulamak mazhabnya serta Imam Ghazali daripada mazhab Syafi’e

Pendapat ketiga

Digunakan untuk maslahah umat Islam yang faqir (dll) bukan untuk membina masjid. Pendapat ini adalah dari Suruhanjaya Fatwa Penerbitan di Arab Saudi[13] dan Penasihat Gedung Kewangan Kuwait

Pendapat keempat

Digunakan untuk jihad di jalan Allah swt dan ini adalah salah satu pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taimiah

Pencerahan [ Nota Tambahan ]

Apa yang dimaksudkan dengan harta itu haram

Harta yang haram adalah harta yang haram digunakan dan untuk dimanfaatkan oleh pemiliknya. Contohnya Abu terlibat dengan perniagaan yang berunsurkan riba’ dan dia mendapat keuntungan melalui riba’.

Maka haram bagi Abu untuk menggunakan keuntungannya tadi demi kepentingan dan manfaat bagi dirinya dan keluarganya. Akan tetapi, sekiranya duit riba’ tersebut disedekahkan kepada faqir miskin untuk manfaat mereka maka itu adalah halal kerana pengharamannya adalah dengan sebab riba’ bukan kerana duit tersebut haram.

Allah tidak menerima sedekah melainkan dengan harta [pemberian] yang baik

Harta yang haram sudah tentu bukan dari hasil dan pemberian yang baik. Malah ia bukan dari milik kita. Bagaimana untuk kita memberi sedekah pada suatu benda yang bukan dari pemilikan kita?.

Secara mudahnya, memberi sedekah dari harta haram ini merupakan kewajipan untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Perkataan sedekah itu diterjemah sebagai memberi bantuan kepada golongan faqir dan miskin. Orang yang menginfaqkan hartanya dari hasil yang haram tidak akan mendapat pahala kerana bersedekah tetapi dia akan mendapat pahala dari sudut yang lain[14] antaranya ;

1. Menahan dirinya daripada harta tersebut dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa jua keadaan.

2. Meletakkan harta tersebut pada tempatnya iaitu ke jalan kebajikan.

3. Melaksanakan kewajipan iaitu melupuskan harta haram disisinya dll.

Mulaahazah [ Perhatian ]

Membincangkan isu transaksi wang haram yang dibolehkan pada keadaan tertentu bukan bermakna ia menjadi satu keharusan untuk sebuah kerajaan mengekalkan atau menggalakkan sesuatu amalan [ muamalah ] yang diharamkan oleh Allah swt. Sebaliknya persoalan ini , fokus kepada penerima seperti faqir miskin atau rakyat.

Sementara pihak kerajaan [ pemberi ] mempunyai sudut perbahasan yang berbeza dengan perbahasan mengenai penerima [ rakyat ] .

Ringkasnya, bagi sebuah kerajaan sayugia berikhtiar agar membebaskan diri dari sistem muamalah yang diharamkan oleh Allah swt sebagaimana menjadi kewajipan jua bagi sebuah kerajaan tidak menjalankan kegiatan - kegiatan yang diharamkan seperti industri perjudian . Ini bagi memastikan kerajaan tersebut diredhai oleh Allah swt pentadbiran dan pembendaharaannya .

Kerajaan yang terpaksa berurusan dengan sumber haram seperti melibatkan wang cukai dari industri arak [ yang diharamkan kepada orang Islam tetapi tidak kepada non muslim - berbeza isu judi ] maka.....

saya berpendapat , biarpun ada pandangan ulama' yang mengharuskan wang itu di hulurkan kepada rakyat sebagai bantuan faqir miskin dan seumpamanya [ sebagaimana perbahasan panjang di atas ] dan rakyat harus menerimanya pula rakyat tidak wajib mengusul periksa sumber kewangan tersebut ,

namun adalah terlebih afdhal dan wara' [ bagi pihak kerajaan - terutama kerajaan Islam ] mengasingkan tabung atau pembendaharaan yang di perolehi dari sumber yang tidak halal . Kemudiannya memastikan hanya wang yang jelas halal disalurkan [ disuap ] kepada rakyat . Ianya terlebih afdhal jika kerajaan boleh bertindak demikian .

HT Menegakkan Khalifah Guna Sistem Demokrasi

29 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Rizal Abd Raman

Akhir-akhir ini terdapat di celah-celah saluran komunikasi cuba untuk menyuarakan bantahan dan kritikan terhadap satu parti politik yang ditubuhkan secara sah di negara kita yang dikenali sebagai HT

ana tidak minat untuk menerangkan apakah sebenarnya HT ini kerana berpandangan apa sahaja pertubuhan yang selari dengan Islam haruslah kita menjaga batas-batas ukhwah walaupun berbeza Fikrah namun mempunyai tujuan yang tetap sama iaitu menegakkan Islam di tanahair ini.

Walaubagaimanapun diatas dasar pengalaman yang ada dimana tidak dapat mengelak daripada “bertembung” dengan HT ini dan hasilnya pastilah komunikasi diantara beberapa pihak yang berbeza fikrah.

Pertamanya pertembungan ini bukan berlaku dalam keadaan tidak sengaja , kerana melalui pengalaman2 lepas , mereka amat gemar untuk memberikan komen-komen melalui media baru yang bercambah di alam siber ,

dengan cara tidak dijemput , mereka mengutamakan komen-komen provokasi daripada penerangan, ini memberikan kesan yang tidak baik dikalangan “tuan rumah” dimana mereka hadir tanpa diundang dan meninggalkan komen2 yang berbaur tidak mesra alam.

Hasilnya , apa yang dapat disimpulkan , penulis mendapat satu petunjuk berdasarkan pengalaman2 , berkomunikasi dan bermuzakarah dengan mereka ini dan wajar untuk dikongsi bersama sahabat2 yang berminat untuk mengetahui modus operandi dan fakta-fakta hujah yang mereka ciptakan berdasarkan fikrah mereka yang akhirnya memakan diri sendiri.

Oleh kerana PAS ialah sebuah parti yang jelas dan tersusun program tarbiyahnya dan kebanyakan pemuda dan nisa' PAS diberikan kefahaman yang jelas tentang perjuanganan gerakannya , malah Penyokong dan pendokong PAS amat serius dalam apa sahaja perkara yang berkaitan dengan perjuangan Islam maka kebanyakan mereka menjadikan PAS sebagai sasaran.

HT menyerang PAS hanya kerana PAS sebuah parti politik yang menggunakan Demokrasi sebagai wasilah dan menggunakan sistem pilihanraya sebagai penentu untuk memilih kepimpinan yang akan membawa hasrat gerakan islam ini untuk merealisasikan menegakkan sumber-sumber Islamiyah Di Malaysia.

Fasa 1 : HT akan berkomunikasi dan menyatakan bahawa siapa yang mengikut sistem selain islam ianya dianggap Thaqut iaitu ingkar dan golongan yang menggunakan demokrasi tidak wajar diberi peluang dalam menegakkan Islam kerana sudah sistem itu sahaja amat kotor kerana ianya dicipta oleh barat , bagaimana ingin menegakkan islam di dalam sebuah sistem yang kotor?

Hujah fasa 1 : Baiklah , HT menyerang mereka yang menggunakan Sistem Demokrasi sebagai Thaqut , malah menyatakan bahawa Demokrasi adalah Haram Qatie.

Tahukah anda bahawa HT didaftarkan sebagai sebuah PARTI POLITIK Di Malaysia , sebagai sebuah parti , sudah tentu mereka yang mendaftarkan HT akan menandatangani R.O.S dimana wajib mengakui bahawa Malaysia adalah sebuah negara Perlembagaan Parlimen dan menggunakan Demokrasi?.Dan mereka menandatanganinya , jika tidak maka tidak wujud lagi HT sebagai Parti Politik.

Bagi mereka yang berfikir logik , bagaimana HT sendiri menerima Demokrasi dan dalam pada masa yang sama menentang golongan yang menerima Demokrasi?, ianya ibarat HT memakai kasut lalu marah kepada orang yang lalu-lalang juga memakai kasut , marah kerana mereka memakai kasut , tidaklah orang yang dimarahi itu hanya menggeleng kepala dan mengatakan mereka ini golongan Kusut???

Fasa 2 : Apabila hujah ini berjaya diberikan kepada HT , sepatutnya mereka menjelaskan kekusutan yang mereka alami ini , tetapi tidak , satu perasaan ego akan menguasai mereka dan mereka akan membalas dan mengakui “Ya kami parti politik , tetapi kami tidak menyertai pilihanraya”

Hujah : Baiklah , HT tidak menyertai pilihanraya , tetapi ayat itu seperti mencuri di tengah hari di depan orang ramai malah lebih memalukan di hadapan ahli keluarga sendiri dan disaksikan tuan kedai , dan berlalu keluar tanpa ada perasaan bersalah!.Agak pelik parti politik tidak menyertai pilihanraya , terpulang , mungkin ini parti politik hanya suka-suka.

Tahukah Anda , HT sebenarnya bertanding di dalam pilihanraya dan meletakkan calon di Palestin menentang Hamas dan Fattah!

Apabila hujah ini diberikan dengan fakta ' ada yang terus lari dan menghantar mesej kepada inbox anda (tidak lagi dihadapan comment / reply yang boleh disaksikan oleh ramai orang) dengan ayat ini “ana tidak terlibat dengan mana-mana gerakan atau jemaah” - anda nilai sendiri ,

apakah ada seorang pejuang yang mengaku tidak berada di dalam mana-mana jemaah , padahal perjuangan islam melalui usaha jamaah dan bukannya individu , apa yang dapat disimpulkan , individu ini hanya berminat untuk bermain-main dengan perasaan egonya sendiri!

Kesimpulan FAKTA FASA 1 & FASA 2 = HT menerima dan menggunakan Demokrasi dan menyertai Pilihanraya!

FASA 2.5 = Fasa ini dinamakan fasa 2.5 kerana tidak layak dinamakan Fasa 3 kerana hujahnya bukan menjawab fakta tetapi terus menyerang dengan mengatakan fakta hujah 1 & 2 membuktikan PAS melindungi demokrasi dan bukannya melindungi perjuangan islam dengan ayat yang lebih sopan versi HT “

Nantikanlah hukuman tuhan bagi mereka yang melindungi DemoCrazy!!!” - bagi anda sendiri , apa yang anda fikirkan , mereka masuk ke rumah anda tanpa salam , mengkritik suasana di dalam rumah anda , kemudian membawa keluar barang-barang anda dan apabila anda menegur , mereka katakan inilah golongan yang terlalu sayangkan harta! - ???

FASA 3 = Fasa ini menunjukkan bahawa , HT akan sentiasa mempunyai hujah , walaupun mereka belum menjawab hujah fasa 1 & 2 mahupun fasa 2.5 dengan FAKTA.baiklah saya sebagai tuan rumah meraikan sahaja , barang2 sudah dibawa keluar , selepas itu meminta air dan kuih-muih pula, kebetulan tuan rumah ini jenis faham untuk berhadapan dengan orang-orang yang kusut.

Sambil minum dan mengunyah kuih , mereka menyatakan pula sambil nadanya agak kendur sedikit... “oh , tidak apa , sebenarnya pilihanraya tidak haram tetapi hanyalah mubah!” .

Hujah 3 : Apa ini semua??? , apa yang mereka mahukan??? . Sepatutnya dari awal fasa 1-3 semuanya sudah kita fahami lantas sudah beberapa generasi pimpinan gerakan islam sudah kita ketahui ,

malah pilihanraya mejadi tempat untuk kita bergerak bertugas dan ianya sudah sinonim dengan kita dan mereka ini datang hanya untuk menyatakan pilihanraya adalah mubah dan masa mula2 datang menyatakan demokrasi haram Qatie???.

Pada ketika ini , anda merasakan bahawa masa yang diperuntukkan amatlah tidak berbaloi lansung!

Fasa 3.5 = Fasa ini untuk mereka menyatakan bahawa , tidak apa menghantar wakil dalam parlimen asalkan wakil itu bertujuan untuk menegakkan islam...

Hujah 3.5 : baiklah jadi benarlah HT menggunakan Sistem Demokrasi , Menyertai Pilihanraya dan jika menang ada wakil yang akan bercakap untuk menegakkan islam.

Meleraikan sedikit kekusutan: Jadi tak apalah antum nak komen suasana di dalam rumah ana , kerana antum berminat menghiasi rumah antum seperti rumah ana , oleh itu bawa masuk lah balik barang2 ana yang antum

ambil itu dan ana telah halalkan makan- minum kuih-muih dan minuman itu kerana menjadi adab tuan rumah untuk melayan tetamu walaupun hanya itulah makanan yang tuan rumah ada pada hari ini!

Jika ini bukanlah artikel Ilmiah , nantikan kajian Ilmiah Tesis yang dijalankan oleh Sekumpulan Pensyarah Universiti yang sedang berjalan..diharapkan agar ianya lebih ilmiah!.

Azab

29 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Apabila perzinahan dan riba sudah melanda suatu negeri, maka penduduk negeri itu telah menghalalkan turunnya azab Allah atas mereka sendiri” (HR. Thabrani dan al-Hakim).

Ketika suatu bencana menghantam suatu negeri, bisa jadi itu suatu teguran, ujian, atau azab. Bila itu sebuah azab, maka itu berarti ada kemaksiatan yang sedang merajalela dilakukan manusia di negeri itu.

Sebagaimana disebutkan dalam suatu hadits, ada beberapa perkara yang kalau dilakukan sama halnya menghalalkan datangnya bencana. Jika pemasukan negara berada pada segelintir orang atau kelompok tertentu;

jabatan diburu untuk kepentingan pribadi atau kelompok dan zakat menjadi obligasi; jika laki-laki tunduk pada isterinya tetapi durhaka kepada ibunya, ia mementingkan teman sejawatnya namun mengabaikan ayahnya;

jika terjadi keributan di masjid; jika orang yang paling keji ditokohkan dan orang dimuliakan karena takut pada kejahatannya; jika minum minuman keras, berpakaian sutera, dan bermain musik menjadi industri budaya;

dan jika suatu generasi mengutuki para pendahulunya, maka ketika itu bencana gelombang panas, badai, dan topan akan datang (HR. Tirmidzi).

Kalau mau dicermati sejujurnya, hati siapapun akan mengakui bahwa semua perkara tersebut terjadi di negeri kita ini. Bahkan, sebahagian di antara kita adalah pelakunya. Kalaupun bukan pelakunya,

mungkin sebahagian yang lain telah membantu orang yang melakukannya. Kalau tidak membantu, mungkin sebahagian yang lain lagi telah membiarkannya. Kalau tidak membiarkannya, mungkin sebahagian yang lain hanya sekedar membenci.

Semoga masih ada orang yang mencegahnya. Kalau tidak, azab akan menimpa semua orang, termasuk yang tidak melakukannya. Demikian, Rasulullah mengingatkan suatu ketika.

Wang yang disatukan:Bila mahu dibersihkan?

29 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulkefly Ahmad

Asalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam UMNO mencetus isu, mengambil sebanyaknya "mileage" dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya "mengekor" sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu Teo Nie Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini UMNO silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan UMNO mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh UMNO! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, UMNO menyangka Ketua Penerangan Pemuda UMNO itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang "berlakon" memulangkan pemberian itu kembali.

UMNO menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beralih sasaran. Kali ini ditujukan ke arah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan UMNO jelas meleset.

Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka telah "spin" -"putar-belit" dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet - golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/UMNO - Utusan Malaysia, Berita Harian dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

UMNO kecewa. Program murni terus ini diserang UMNO, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Farizan Darus telah menegaskan bahawa sumber RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari bukan Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini.

Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat pemberian yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah, Sejak bila pulak UMNO pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan UMNO ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa UMNO mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram. Ini dikatakan punca mengapa ulama meninggalkan UMNO lantas akhirnya menubuhkan PAS.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam UMNO membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin UMNO tidak mempedulikan bantahan ulamak dalam UMNO, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam UMNO supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan UMNO BN meluluskan lesen judi bola 2010sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan UMNO untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan dan berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan UMNO peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan UMNO/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau "Sin Tax", rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam "Wang yang Disatukan" atau "Consolidated Fund" di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu UMNO membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan -halal dan haram. Kemuncak hipokrasi UMNO!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan UMNO menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah "disatukan".

Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya "political will" atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. UMNO/BN tidak diharapkan untuk membuat perubaan ini.

Hanya kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih peka dari kelompok elit UMNO yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Harakahdaily/-

Galas: Kelantan cadang 4 Nov cuti peristiwa

29 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Kelantan kemungkinan akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 4 November ini berikutan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas yang jatuh pada hari bekerja, iaitu Khamis.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat berkata, ianya bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi, khususnya yang tinggal di luar kawasan.

Katanya lagi, urusan mengundi bukan satu perkara main-main, dan sesuatu yang menyukarkan jika ianya jatuh pada hari bekerja.

“Jadi bila begini tentu sekali akan berlaku kelam kabut dan sebagainya bila hari mengundi jatuh pada hari bekerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tarikh penamaan calon dan PRK Dun Galas jatuh pada hari bekerja.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis Ekspo Pelancongan 2010 Matta Fair disebuah pasaraya di sini sebentar tadi.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi pada hari bekerja.

Sambungnya, tindakan itu amat tidak wajar apa lagi Persidangan Dun Kelantan (Belanjawan) masih berjalan.

“Terang-terang saya katakan SPR ni menjaga Umno dan Barisan Nasional (BN), langsung tidak jaga orang lain.

“Sepatutnya tanya juga pihak sini (Kelantan) boleh kah buat tarikh tu, dia (SPR) tahu waktu tu sidang Dun Kelantan sedang berjalan,”ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa, tindakan yang hanya mementingkan diri dan sebelah pihak tanpa memikirkan orang lain itu akan membangkitkan rasa benci terhadap kerajaan pusat.

Menurutnya lagi, SPR hanya berfikir untuk menyenangkan Umno BN sahja dengan mengenepikan kepentingan pihak lain.

Semalam SPR mengumumkan tarikh penamaan calon 26 Oktober ini, manakala tarikh mengundi pada 4 November.

Harakahdaily/-

Campur tangan politik punca PDRM terjejas

29 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 7 Okt: Pakar undang-undang perlembagaan menyifatkan campur tangan keterlaluan kerajaan (politik) dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan kredibiliti jabatan itu tercemar dan boleh menghakis kepercayaan rakyat.

Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam antarabangsa (UIAM) berkata, jabatan polis sekarang dilihat dipergunakan parti pemerintah bagi mempertahankan hegemoni politik.

”Maka tidak hairanlah apabila polis terlalu banyak bidang kuasa sehingga kebebasan rakyat untuk bersuara pun terhalang.

“Seharusnya pihak polis perlu bertindak dengan bijak dan bukan menyekat kebebasan rakyat bersuara kerana ia dibenarkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Penjelasan Perlembagaan Mengenai Konsep Federalisme di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan ada campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam institusi polis sehingga membelakanginya sebagai ketua jabatan.

Menurut Musa ada pegawai-pegawainya dikawal, sedangkan tanpa disedari perbuatan itu salah.

Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan pusat mempunyai banyak saluran untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan media harian.

Sedangkan katanya, pembangkang tidak mempunyai kemudahan tersebut kecuali ceramah politik bagi menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat.

Oleh itu, beliau mencadangkan Jabatan Polis dibebaskan daripada tuan politik kerana peranan mereka menjaga ketenteraman awam.

”Jabatan Polis adalah milik rakyat dan mereka lebih memahami kehendak setempat termasuk polisi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga berpendapat jabatan polis tidak perlu diberi tanggungjawab yang melampaui bidang tugas mereka bagi memperlihatkan kecekapan agensi berkenaan.

Harakahdaily/-

Jamuan Ilmuan Perantau ditangguh

29 Syawal 1431 H

BANGI, 7 Okt: Program Anak Terengganu di perantauan iaitu Jamuan Aidilfitri Ilmuan Perantau yang dijadualkan pada 9 Oktober (Sabtu) ini di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi terpaksa ditangguhkan.

Penyelaras program, Zulhilmi Abd Rahman berkata, program itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh akan akan dimaklumkan kemudian di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Beliau bagi pihak penganjur memohon maaf di atas penangguhan tersebut.

Harakahdaily/-

Himpunan generasi kedua Felda 10 Okt

29 Syawal 1431 H

SHAH ALAM, 7 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan satu himpunan generasi kedua Felda di perantauan pada 10 Oktober (Ahad) ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

Majlis akan bermula pukul 8 malam itu akan menampilkan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Mazlan Aliman (Pengerusi Anak), Azman Shapawi Abd Rani (Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Khalid Samad (MP Shah Alam).

Menurut pengarah program, Mohd Nasaie Ismail, himpunan itu dibuat untuk melancarkan Anak Lembah Klang dan juga memberi pendedahan isu-isu Felda kepada warga Lembah Klang.

Selain anak, cucu dan menantu peneroka Felda, katanya penganjur juga menjemput orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar ucapan pimpinan khususnya berkaitan isu Felda dan isu politik negara mutakhir ini.

“Program ini merupakan rentetan usaha-usaha memperjuangkan hak peneroka Felda dan isu berkaitan dengan tanah. Selepas melancarkan Anak generasi kedua Felda), Bapa (Felcra), Anak Lembah Klang ini akan mengukuhkan lagi gerakan menuntut hak-hak peneroka,” katanya.

Menurutnya, pada tarikh yang sama sebelah siangnya akan diadakan pertemuan dengan alumni kakitangan Felda yang turut sama memberi sokongan terhadap usaha itu.

Harakahdaily/-

Penduduk 'gaduh' lagi dengan TNB, tiga ditahan

29 Syawal 1431 H
Oleh: Wong Teck Chi

Kekecohan sekali lagi tercetus di kampung baru Rawang apabila pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB) cuba memulakan kerja-kerja pembinaan kabel bervoltan tinggi di kawasan berkenaan.

Lebih 12 pekerja TNB yang diiringi oleh kira-kira 50 polis tiba tanpa sebarang pengumuman dan memulakan kerja-kerja pada jam 9 pagi.

Menurut beberapa saksi, pekerja TNB cuba menimbus kawasan berlopak di tapak berkenaan bagi memudahkan jentera berat ke kawasan itu.

Namun puluhan penduduk yang mengetahui perkembangan itu cuba menghalang mereka dan pertelingkahan kecil berlaku.

Seorang pekerja TNB terjatuh ke dalam longkang dalam pergelutan itu yang kemudiannya menyaksikan pertikaman lidah antara kedua-dua pihak.

Kejadian itu memaksa pihak berkuasa menahan tiga individu. Mereka adalah seorang penduduk kampung dan dua pembantu kepada ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Beberapa saksi mendakwa kejadian yang menimpa pekerja TNB itu tidak ada kaitan dengan ketiga-tiga individu yang ditahan itu.

Penduduk sebelum ini melahirkan kebimbangan mereka kerana khuatir pembinaan menara berkenaan sekali gus juga akan menyebabkan kampung itu terbahagi dua.

Mereka membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu tetapi mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan.

Apabila siap kelak, projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Malaysiakini/-

Masjid, al-Quran dibakar

29 Syawal 1431 H

RAMALLAH - Penyerang tidak dikenali membakar sebuah masjid dan beberapa naskhah kitab al-Quran selain menconteng dinding masjid dengan kata-kata kesat yang ditulis dalam bahasa Hebrew di sebuah kampung di Tebing Barat, Isnin lalu.

Pendatang haram Yahudi dilaporkan bertanggungjawab atas perbuatan yang meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai Timur Tengah yang tergendala selepas dimulakan, awal bulan lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan mengecam serangan itu dalam percubaan menyelamatkan imej Israel selepas dikritik pemimpin dunia kerana enggan melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Pembinaan penempatan haram Yahudi menjadi halangan utama dalam proses damai Palestin-Israel apabila negara rejim itu terus membina rumah di atas tanah milik Palestin bagi 300,000 warga Israel.

Tiada sebarang tahanan atau dakwaan berhubung serangan itu dibuat.

Sementara itu, wakil pendatang Yahudi yang mengecam serangan itu menghadiahkan beberapa naskhah baru al-Quran kepada mas-jid tersebut, kel:marin.

Sinar Harian/-

Orang luar campur

29 Syawal 1431 H

IPOH – Demonstrasi aman melibatkan 30 pemuda mendakwa mereka sebagai ahli DAP Cawangan Buntong yang menyatakan sokongan terhadap Timbalan Pengerusi DAP, M Kulasegaran disifatkan sebagai palsu.

Naib Pengerusi, A Sivanesan berkata, pemuda itu boleh mengaku mereka ahli DAP, sedangkan beliau tidak kenal dan tidak pernah nampak pun wajah mereka dalam parti sebelum ini.

Menurutnya, ini semua hanya wayang dan propaganda individu serta kumpulan tertentu yang bermotifkan politik untuk memperlihatkan kepada masyarakat kononnya DAP sedang mengalami krisis kepimpinan.

“Tindakan sekumpulan pemuda ini jelas bertentangan dengan pendirian parti yang penyokong atau pemimpin tidak boleh jadi musuh kepada parti DAP.

“Kalau melihat senario dalam parti-parti lain pun turut mengalami masalah yang sama, tapi bila terkena pada kami, ia diperbesarkan seolah-olah krisis meruncing melanda DAP,” katanya kepada pemberita di Wisma DAP di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan 30 pemuda menganjurkan demonstrasi aman di perkarangan Wisma DAP, di sini, semalam kononnya mengaku penyokong kepada M Kulasegaran.

Sivanesan berkata, realitinya tiada sebarang krisis yang timbul dalam parti tapi hanya perselisihan faham kecil di antara pemimpin tertinggi.

Katanya, Kulasegaran sendiri telah bertemu dengan beliau sebelum berlepas ke Nepal menyatakan pendirian tidak akan berundur, mahupun melepaskan sebarang jawatan dalam parti, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan semua kepimpinan DAP.

“Apa yang mencurigakan, penganjuran demonstrasi ini besar kemungkinan melibatkan pihak ketiga kerana kelihatan seorang bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlegar-legar di perkarangan wisma DAP.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ada orang luar yang cuba memecahkan belah pemimpin DAP,”katanya.

Sinar Harian/-