8 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-
SHAH ALAM, 1 April:Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan berita abangnya Datuk Shahril Samad menyertai PAS masih bertaraf berita angin yang belum sahih.
(Gambar sidang media Shahril yang disiarkan oleh blog kononnya beliau keluar Umno dan menyertai PAS)
"Saya sendiri belum dapat sahkan kerana dia tidak beritahu apa-apa kepada saya...mungkin berita April Fool kot kerana hari ini 1 April," kata Khalid ketika dihubungi Harakahdaily.
Beberapa blog hari ini melaporkan berita kononnnya Ahli Parlimen Johor Baharu Datuk Shahrir Samad mengumumkan keluar dari Umno dan menyertai PAS bersama lebih 2,000 orang ahli.
Blog melaporkan, ketika mengadakan sidang media untuk membuat pengumuman itu, berlaku kekacauan yang dipercayai dilakukan oleh ahli Umno yang ingin menggagalkan sidang akhbar tersebut.
Empat orang cedera termasuk seorang wartawan. Mereka dikejarkan ke hospital, lapor blog itu.
Ia kemudian disuraikan oleh polis.
Shahril dlaporkan blog itu berkata:
“Tiada jalan lagi memperjuangkan agenda negara di dalam kerajaan sedia ada. Jangan lontar batu dari luar bagi membetulkan keadaan sudah tidak terpakai. Penyelesaian yang tepat ialah tukar dan bersama membina negara tercinta dengan idea dan kematangan."
Blog itu juga melaporkan, difahamkan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan keperluan meletakkan Shahril Samad sebagai Menteri Besar Johor tidak kira parti mana yang menang terbanyak seandainya Barisan Nasional berjaya ditumbangkan di Johor pada PRU13 ini.
Ketika ditanya sama ada Shahril akan membuat road show bersama adiknya Khalid Samad, Shahril menjelaskan
"Selepas apa yang berlaku tadi (keganasan sidang media), saya berfikir Road Show akan bermula di luar Johor terlebih dahulu. Sebelum memberi tumpuan kepada Johor secara habis-habisan menjelang pengundian," lapor blog itu.
Beliau yang juga bekas Menteri berbuat demikian bersama-sama 2,000 orang pengikutnya. Shahrir adalah abang kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, lapor blog itu lagi.