15 Januari 2013

Lubang besar di sawah padi

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

 BEIJING - Pihak berkuasa China menyiasat kejadian 20 lubang besar yang terbentuk di sebuah kawasan sawah padi di negara berkenaan.

Setakat ini lebih 20 lubang misteri itu terbentuk di daerah Fukou, dalam wilayah Hunan sejak empat bulan lalu.

Menurut media tempatan, siasatan awal mendapati fenomena itu berpunca daripada industri perlombongan setempat yang menyebabkan sistem saliran bawah tanah di kawasan berkenaan musnah.
Keadaan itu membawa kepada tanah jerlus yang membentuk lubang-lubang besar tersebut. - REUTERS

Azrul Azwar: Bank Islam rugi, bank lain untung

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
 

KUALA LUMPUR: Kehilangan Ketua Ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin di Bank Islam mempunyai potensi untuk menjejaskan nama bank itu sebagai institusi kewangan negara.
Ini kerana ia kelihatan sebagai permainan politik oleh Bank Islam.

Lantas, badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpendapat kehilangan Azrul Azwar sebagai Ketua Ekonomi Bank Islam merupakan suatu kerugian kepada bank itu dan keuntungan kepada mana-mana institusi kewangan lain yang mungkin mengambil beliau.

Berikut kenyataan KPRU berhubung isu berkenaan.

Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa tindakan Bank Islam menggantung tugas Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, hanya menunjukkan Bank Islam mementingkan kepentingan politiknya berbanding melindungi hak kebebasan bersuara kakitangannya.

Justeru, KPRU menyarankan Bank Islam menyemak semula keputusan menggantung tugas Azrul Azwar dan mengembalikan jawatan dan tugas Azrul Azwar kepadanya.

Azrul Azwar mempunyai pengalaman selama melebihi sepuluh tahun dalam bidang ekonomi. Beliau telah bertugas sebagai penganalisa di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Islamic Financial Services Board (IFSB).

Hanya kerana memajukan pendapatnya mengenai peluang kemenangan Barisan Nasional, beliau telah digantung daripada tugasnya dan menghadapi risiko untuk kehilangan jawatan beliau sebagai Ketua Ekonomi di Bank Islam.

KPRU menyarankan individu seperti Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar yang berpengalaman tinggi, dalam bidang ekonomi diangkat penggantungannya dan dilayani sebagai aset dan bukannya musuh politik. Memandangkan Bank Islam telah menjauhi daripada pendapat Ketua Ekonomi Bank Islam Azrul Azwar maka, tindakan menggantung tugas merupakan suatu tindakan ekstrem dan tidak mencerminkan sikap profesionalisme Bank Islam dalam menangani pendapat politik berbeza-beza.

Kehilangan Ketua Ekonomi Azrul Azwar di Bank Islam mempunyai potensi untuk menjejaskan nama Bank Islam sebagai antara institusi kewangan negara kerana ianya kelihatan sebagai permainan politik yang dimainkan oleh Bank Islam. Lantas, kehilangan Azrul Azwar sebagai Ketua Ekonomi Bank Islam merupakan suatu kerugian Bank Islam dan suatu keuntungan mana-mana institusi kewangan lain yang mungkin menggaji beliau.

Sebagai rakyat Malaysia, Azrul Azwar mempunyai hak kebebasan untuk menyuarakan pendapatnya. Sebagai sebuah institusi kewangan negara ini, Bank Islam seharusnya bersikap neutral terhadap para pekerjanya terutamanya dalam mengendalikan pendapat politik yang berbeza. Kegagalan Bank Islam untuk bersikap neutral hanya merugikan Bank tersebut dan menampakkan Bank Islam sebagai suatu alat politik kerajaan Barisan Nasional.

harakah/-

TG Nik Aziz minta 'R' teruskan perjuangan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan aktivis R dan rakyat Kelantan meneruskan perjuangan menuntut hak royalti walaupun sering berhadapan dengan perkara di luar jangkaan.

Menurutnya, orang yang sering berhadapan dengan serangan akan mendapat ganjaran pahala yang besar kerana kesabarannya berbanding mereka yang sering mengancam orang lain.

Tegasnya, golongan ini akan mendapat balasan yang pedih di akhirat nanti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kejadian cermin kereta Setiausaha R dipecahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, di kediamannya di Pulau Melaka petang semalam.

Cermin kereta milik Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), Hishamuddin Ghazali dipecahkan di Greenwood, Gombak, baru-baru ini.

Beberapa dokumen penting berkaitan R, plak R dan beberapa beg aktivis R dicuri.

“Sekiranya sabar, kita akan mendapat ganjarannya, kerana itu bersabar ni payah kita nak lakukan, seperti juga berjihad, bukan mudah untuk kita laksanakan,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Cyling 4 R, Jeming Hassan, yang patah bahu sebelah kanannya akibat terjatuh sewaktu menunggang motosikal bermula dari Kota Bharu ke KLCC baru-baru ini.


(Jaming jatuh dari basikal [kanan] dipakaikan baju selepas bahunya patah)

Tuan Guru bagaimanapun terharu di atas usaha anak muda Kelantan yang berjuang untuk menuntut hak rakyat melalui royalti.     

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak berkenaan kerana ianya harta kerajaan negeri Kelantan dan bukannya hak individu.

Hadir sama Presiden R, Nazri Deraman.

harakah/-

Burger ganti kek perkahwinan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD]

Burger ganti kek perkahwinan

Antara kek burger pertama yang ditempah pelanggan King Burger Kukus Bakar bagi majlis perkahwinan.
KUALA TERENGGANU – Mencipta revolusi dalam industri jualan burger, King Burger Kukus Bakar yang dipelopori anak muda berusia 25 tahun ini terus mencipta kelainan dengan menerima tempahan burger pada majlis perkahwinan.

Pemiliknya, Wan Mohd Aslam Wan Harun, berkata, walaupun baru beroperasi sekitar dua bulan lalu, King Burger Kukus Bakar yang terletak di Medan Selera Batu Buruk kini semakin dikenali dan mendapat sambutan.

Menurutnya, perniagaan yang dibuka setiap hari bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam itu menjual sekitar 15 kilogram (kg) daging burger sehari kepada kira-kira 100 pelanggan yang berkunjung ke premisnya itu.

“Saya mendapat idea untuk menjual burger lain dari yang lain ini melalui pembacaan dan penyelidikan di internet. Resepi untuk menghasilkan burger ini juga saya hasilkan sendiri setelah mencuba banyak kali termasuk memberi orang ramai rasa dahulu sebelum dijual.

“Walaupun persaingan banyak, Alhamdulillah, ramai yang menggemari burger yang saya hasilkan dengan menitikberatkan kelainan dalam setiap jenis burger yang dijual,” katanya.

Anak keempat daripada enam beradik ini berkata, dia memperoleh pendapatan sekitar RM500 hingga RM600 bagi setiap 15 kg daging yang dibeli dengan modal RM300.

Katanya, terdapat lima jenis burger yang dijual dengan nama unik seperti Putera Tunggal (RM5.90), Ratu Kembar (RM9.90), Raja Bersiung (RM5.90), Puteri Kahwin (RM8.90), Pahlawan Melayu (RM6.90) dan burger daging kambing.

sinar/-

HKR112: 500,000 hadir, RM268,802.10 kutipan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menyifatkan 500,000 menyertai himpunan di Stadium Merdeka baru-baru dengan jumlah kutipan dermanya adalah RM268,802.10.

Sehungan itu, Pengerusinya, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas rakyat Malaysia yang telah sama-sama melakar sejarah pada 12 Januari 2013 lalu.

"Perhimpunan yang dihadiri oleh 500,000 perserta tersebut adalah bukti apa yang diperjuangkan selama ini oleh Pakatan Rakyat iaitu rakyat perlu diberikan peluang berhimpun secara aman dan bebas menyatakan pendapat," kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Himpunan ini terutamanya anggota keselamatan dari PDRM, pengurusan Stadium Merdeka, pasukan Unit Amal serta para pimpinan NGO dan parti politik.

"Kami juga menghargai kesabaran orang ramai yang terpaksa menghadapi kesesakan jalanraya pada hari tersebut," katanya.

Kutipan yang berjumlah RM268,802.10 ini, katanya, akan digunakan bagi menampung perbelanjaan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang telah dianjurkan di seluruh negara baru-baru ini.

Sokongan dari orang ramai, katanya, sangat mengharukan dan menjadi peniup semangat untuk Pakatan Rakyat terus berusaha memperbaiki sistem negara tercinta ini yang telah dirosakkan oleh pemerintahan BN.

"Tentunya usaha ini memerlukan sokongan dan dokongan berterusan dari orang ramai terutama menjelang Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
"Dengan ini saya merayu orang ramai agar terus menghulurkan sumbangan kepada kami ke akaun "Tabung Impian Rakyat Malaysia" Maybank 562106235615," kata beliau dalam kenyataannya.

harakahdaily/-

Tebuan ragut nyawa bayi

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


Kuala Kedah: “Pada pagi hari kejadian, anak saya, Nur Aimi Khairun Nisa Mohd Nakhaie, 14 bulan, merengek seolah-olah mahu mengikut saya ke tempat kerja, tetapi saya berjanji kepadanya akan balik awal selepas semua kerja selesai.
“Itulah kali terakhir saya berbual dan menemuinya sebelum meninggal dunia akibat disengat tebuan,” kata Sarizan Murad, 38.

Sarizan yang juga jururawat di sebuah klinik kesihatan, di sini, tidak menyangka rengekan anaknya pada pagi Jumaat lalu, membawa petanda arwah akan meninggal dunia selepas disengat lebih 50 ekor tebuan ketika tidur dalam buaian di ruang dapur rumah neneknya di Kampung Sematang Pinang, dekat sini.


Sebelum kejadian, Nur Aimi dikatakan tidur selepas dimandikan neneknya, Aishah Md Ali, 64, yang menjaga bayi itu sejak arwah dilahirkan, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, dia sering menghantar tiga anaknya termasuk arwah yang juga anak bongsu ke rumah ibu mentua yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas dia dan suami ke tempat kerja.

Harian Metro

Johor perlu panggil Ustaz Hadi sebelum sekat bukunya

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pihak berwajib perlu mengikut prosedur tertentu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menghalang mana-mana penerbitan.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), berkata antara prosedur yang perlu dipatuhi ialah memanggil pihak yang berkaitan untuk memberikan penjelasan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Perkasa Johor bagi mengharamkan kemasukan semua buku 'Amanat Haji Hadi' di negeri itu.

"Kalau 'gentleman', panggil Tuan Guru Haji Hadi untuk beri penjelasan mengenai isu tersebut, baru adil," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata isu amanat itu sudah tidak menjadi isu di kalangan ahli PAS kerana ia perkara lama, namun sengaja diungkit pihak lain.

Katanya, mereka bercakap tentang perkara yang tidak ada, yang hanya untuk menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Mereka mahu sekat, tak guna.  Mereka cakap benda yang tidak ada. Sengaja mahu timbulkan polemik," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan mengenai isu 'Amanat Haji Hadi' itu.

Ekoran itu, Tuan Guru Abdul Hadi meminta Umno memberikan masa satu jam siaran secara langsung dalam RTM 1 atau TV3 untuk memberikan penjelasan.

Namun ia ditolak oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, baru-baru ini beliau melancarkan kembali buku yang pernah ditulis oleh beliau pada tahun 2002 bertajuk 'Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta' dengan pengemasan fakta terbaru.

Buku setebal 74 muka surat itu juga mengandungi fakta selain tajuk kecil di bawahnya yang menyebut Penghuraian dan Penjelasan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disusun oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi iaitu anak Presiden PAS itu.

harakahdaily-

Terpaksa kongsi air perigi

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Penduduk menunjukkan air perigi yang kotor dan berbau digunakan mereka setiap hari.
Penduduk menunjukkan air perigi yang kotor dan berbau digunakan mereka setiap hari.
Sebahagian anak muda yang terpaksa mandi menggunakan air perigi.
Sebahagian anak muda yang terpaksa mandi menggunakan air perigi.
ROMPIN – Ketika penduduk lain berpeluang menikmati pelbagai kemudahan asas dengan selesa, penduduk Orang Asli di sini pula terpaksa menggunakan air perigi dalam menjalankan urusan harian sejak kira-kira 50 tahun lalu.

Malah ketika orang lain hanya perlu membuka paip di dalam rumah masing-masing, mereka pula terpaksa bersusah-payah mengangkut air perigi yang kotor dan berbau di rumah jiran mempunyai telaga.

Bagaimanapun masalah bekalan air paip di Kampung Denai bukanlah perkara baru, malah sering dibangkitkan penduduk kepada pemimpin setempat termasuk pihak berwajib.

Malangnya sehingga kini, aduan dan permasalahan itu seolah-olah dipandang sepi hingga menyebabkan penduduk kecewa.

Penduduk, Sakila Muharam, 19, berkata, masalah itu bukan baru, malah penduduk berdepan ketiadaan bekalan air sejak mula-mula kampung terbabit dibuka pada 1960-an.

Menurutnya, dia yang baru berkahwin terpaksa mengangkut air dari perigi rumah bapanya sejauh kira-kira 500 meter untuk memasak dan mencuci pinggan mangkuk, malah mereka sekeluarga menumpang mandi dan membasuh pakaian di situ setiap hari.

"Keadaan ini sungguh membebankan kerana saya terpaksa mengangkat bebanan air dalam jarak jauh, apatah lagi mempunyai seorang anak masih kecil.

“Sampai bila kami perlu hidup melarat kerana tidak memperoleh kemudahan asas sempurna? Oleh itu, kami rayu kerajaan mempercepatkan projek bekalan air bersih ke kampung ini. Cukuplah nenek moyang kami menderita, berilah kami peluang untuk menikmati kemudahan sempurna seperti masyarakat lain,” katanya.


Hidap penyakit kulit

Johari Yon, 20, pula berkata, penduduk berdepan kesulitan kerana bekalan air tidak mencukupi terutama pada musim kemarau, selain tertekan kerana terpaksa mengangkut air pada jarak jauh terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan.

“Bukan semua rumah mempunyai perigi. Hanya beberapa rumah mempunyai kemudahan itu, manakala selebihnya pula terpaksa berkongsi dengan jiran-jiran.

“Keperluan air mencukupi jika musim hujan, namun apabila tiba musim kemarau, kami terpaksa mendapatkan air sejauh kira-kira 30 meter di hulu Sungai Kembar Bukit Peliring. Malah ada antara penduduk terpaksa berjalan kaki mengangkut air kerana tiada kenderaan,” katanya.

Johari berkata, kualiti air perigi digunakan penduduk juga amat rendah kerana keruh serta berbau, bagaimanapun mereka tiada pilihan dan terpaksa menggunakannya dalam urusan harian.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai penduduk menghidap pelbagai penyakit kulit.

“Kebanyakan penduduk termasuk bayi mengalami alahan kulit kerana menggunakan air keruh yang berkeladak dan kotor setiap hari,” katanya.


Harap tindakan segera

Tok Batin, Mohamad Lera berkata, terdapat kira-kira 350 penduduk termasuk lima saudara baru menetap di kampung itu.

Menurutnya, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan urusan harian penduduk tergendala, lebih-lebih lagi jika ada majlis perkahwinan dan kematian.

“Apabila tiba musim perayaan dan perkahwinan, pihak berwajib ada menghantar bekalan air ke rumah penduduk, bagaimanapun masih tidak mencukupi.

"Justeru, pihak bertanggungjawab diminta mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi segera masalah air di sini," katanya.
Mohamad berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan aduan dan permohonan kepada pihak berwajib untuk mendapatkan bekalan air bersih, namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

“Kita harap kerajaan dan pihak bertanggungjawab memandang serius masalah ini untuk memastikan penduduk kampung ini tidak tercicir daripada menerima pembangunan dirancang kerajaan,” katanya.

sinar/-

Keputusan Majlis Syura tepati realiti semasa - Dr Dzulkefly

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan keputusan Majlis Syura berhubung dengan nama Allah baru-baru ini adalah paling tepat (arjah) untuk masa dan realiti setempat di Malaysia.

"Bagi saya keputusan Majlis Syura itu adalah paling wajar dalam isu ini," kata beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.

Menurut beliau, keputusan itu telah memperkukuhkan pandangan yang telah diberikan oleh Presiden dan juga Mursyidul Am PAS sebelum ini.

"Bagi saya, keputusan ini jame' dan mani' (sempurna dan tepat) dalam istilah fekahnya," tegas Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat.

Majlis Syura Ulamak PAS baru-baru ini membuat keputusan, nama Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak bersetuju nama Allah menjadi terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat, mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya berkata, orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah tetapi jangan disalahgunakan.

Namun ia tidak dihurai secara terperinci apa maksud jangan disalahgunakan itu.

Majlis Syura Ulamak PAS pula memutuskan dan mengulangi penegasan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah secara 'hukum asal' dari nas-nas Al-Quran sendiri (Fiqh Nusus).

Bagi Dr Dzulkefly, ia berbeza dengan Mufti Umno yang mengeluarkan kenyataan, boleh menjadi kafir dan murtad jika benarkan orang bukan Islam guna nama Allah.

Ini berlawanan dengan pendirian ulama PAS yang tidak mudah-mudah menjatuhkan hukuman 'takfir' mentelahan terdapat banyak nas dari Al-Quran secara qat'iy dan jelas (soreh) ia boleh digunakan.

Utusan melaporkan, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.

Katanya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam serta mereka yang mengucap dua kalimah syahadah.

Menurut Dr Dzulkefly, ini sangat bertentangan dengan banyak nas termasuk yang diucapkan umat Islam 17 kali sehari dalam Al-Fatihah bahawa Allah ialah Rabb (Tuhan) seluruh Alam yakni makhluk beriman atau tidak, Muslim, Ahli Kitab atau pun Musyrikin dan seluruh semesta alam.

Majlis Syura dalam kenyataannya telah memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'jangan salah guna' yang dibuat oleh Presiden PAS sebelum ini.

"Majlis Syura telah secara spesifik memperkemaskan penyataan itu dengan menegaskan, nama Allah tidak boleh diterjemahkan dari perkataan God dan wajar dihalang kerana ia mengelirukan dalam suasana waqi' dan realiti hari ini.

"Ia memperjelaskan apa yang dikatakan 'jangan disalahgunakan' oleh Presiden," kata beliau.

Menurut Dr Dzulkefly, apa yang dilakukan oleh Majlis Syura, setelah jelas hukum asal perkara ini, adalah satu ijtihad berdasarkan keperluan masa dan waqi' (persekitaran) kini.

Ia pula sesuai dengan peranannya dalam ruang lingkup 'Siyasah Syariah' dan hal urus-tadbir keagamaan, mengambil pelbagai Qawaid Fiqiyyah seumpama Sadda Zari'ah (Menutup pintu-pintu kemudharatan dalam menjaga Maqasid Syara' seperti Hifzul Deen).

"Inilah siasah syariyyah yang dilaksanakan oleh Majlis Syura. Ijtihad ini bagi saya tepat, wajar dengan masa dan suasana sekarang tambahan wujud pelbagai dakwaan pelbagai kelompok sehingga menimbulkan keresahan dan pertentangan antara agama.

"Sesuai dengan sifat ijtihad itu, ia boleh berubah apabila masa dan     suasana berubah, seperti juga wujudnya Qaul Qadim (ijtihad lama) dan Qaul Jadid (ijtihad baru) dalam Mazhab Syafie," katanya.

"20 tahun lagi, setelah pencerahan minda dan kebangunan ummat dapat kita usahakan, mungkin sahaja ijtihad ini akan berubah, Allahu 'Alam," katanya.

"Yang penting bagi saya jangan sampai kalimah Allah sahaja yang kita pertahankan sementara syariat Allah kita kesampingkan," katanya berseloroh bercampur sinis.

harakah/-
3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Padi diserang penyakit karak

PADANG SERAI - Lebih 100 pesawah di Kampung Sidam Kanan dekat sini mengalami kerugian besar apabila tanaman padi musim ini tidak menjadi setelah diserang penyakit karak tangkai sejak tiga minggu lalu.

Ekoran itu, rata-rata petani mendakwa mengalami kerugian antara RM4,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keluasan bendang yang mereka usahakan.

Seorang pesawah, Kames Awang, 57, berkata, dia terkejut apabila melihat hujung tangkai padi tidak mengeluarkan buah seperti biasa dan bertukar menjadi warna hitam.

"Sebelum ini, tangkai padi tidak jadi hitam dan apabila diperiksa di bahagian bawahnya, banyak hama kecil berwarna putih di situ," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia berharap agar kakitangan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang daerah Kulim melakukan sesuatu dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Rakannya, Subhi Ahmad, 61, berkata, pihak berkaitan perlu bertindak cepat bagi memastikan penyakit tersebut tidak terus merebak.

"Apa yang mendukacitakan ialah pihak berkenaan sekadar datang melihat sahaja tanpa memberi sebarang nasihat tentang cara-cara untuk mengatasinya," ujarnya.

sinar/-

19 maut kereta api Mesir tergelincir

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

19 maut kereta api Mesir tergelincir
Laporan NileTV yang menunjukan keadaan salah satu gerabak kereta api yang tergelincir.
 
KAHERAH - Kereta api yang membawa anggota keselamatan Mesir tergelincir dari landasan lalu terbabas di Giza awal hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan 107 yang lain.

Pengerusi Lembaga Kereta Api Kebangsaan, Hussain Zakaria berkata, kereta api yang membawa anggota Central Security itu dalam perjalanan dari Assiut menuju Kaherah apabila sebahagian roda kereta api tergelincir sekitar 8 pagi waktu tempatan.

Kemalangan itu berlaku selepas dua gerabak terpisah dari keseluruhan bahagian kereta api itu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Mohammed Shahat yang dipetik laporan EGYNews.

Sementara itu, video yang disiarkan oleh petugas media Nile TV menunjukkan bahagian depan kereta api yang hancur dan keadaan salah satu gerabak tersadai di luar landasan serta dikerumuni penduduk tempatan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa kemalangan yang terselamat, Ali Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku di Stesen Badrasheen di bandar selatan Kaherah.

Mengulas perkara sama, Ketua Perkhidmatan Ambulans Mesir, Dr Mohammed Sultan berkata, bilangan yang cedera dalam kejadian itu dijangka meningkat.

Beliau memberitahu EGYNews terdapat 66 ambulans ditempatkan di lokasi kejadian untuk urusan membawa penumpang yang cedera dan meninggal dunia.

Kemalangan kereta api maut bukan perkara luar biasa di Mesir.

November lalu, seramai 51 penumpang meninggal dunia manakala 17 yang lain cedera apabila kereta api merempuh sebuah bas di Assiut, sebuah bandar yang terletak kira-kira 320 kilometer di selatan Kaherah.

kosmo/-