15 Januari 2013

19 maut kereta api Mesir tergelincir

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

19 maut kereta api Mesir tergelincir
Laporan NileTV yang menunjukan keadaan salah satu gerabak kereta api yang tergelincir.
 
KAHERAH - Kereta api yang membawa anggota keselamatan Mesir tergelincir dari landasan lalu terbabas di Giza awal hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan 107 yang lain.

Pengerusi Lembaga Kereta Api Kebangsaan, Hussain Zakaria berkata, kereta api yang membawa anggota Central Security itu dalam perjalanan dari Assiut menuju Kaherah apabila sebahagian roda kereta api tergelincir sekitar 8 pagi waktu tempatan.

Kemalangan itu berlaku selepas dua gerabak terpisah dari keseluruhan bahagian kereta api itu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Mohammed Shahat yang dipetik laporan EGYNews.

Sementara itu, video yang disiarkan oleh petugas media Nile TV menunjukkan bahagian depan kereta api yang hancur dan keadaan salah satu gerabak tersadai di luar landasan serta dikerumuni penduduk tempatan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa kemalangan yang terselamat, Ali Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku di Stesen Badrasheen di bandar selatan Kaherah.

Mengulas perkara sama, Ketua Perkhidmatan Ambulans Mesir, Dr Mohammed Sultan berkata, bilangan yang cedera dalam kejadian itu dijangka meningkat.

Beliau memberitahu EGYNews terdapat 66 ambulans ditempatkan di lokasi kejadian untuk urusan membawa penumpang yang cedera dan meninggal dunia.

Kemalangan kereta api maut bukan perkara luar biasa di Mesir.

November lalu, seramai 51 penumpang meninggal dunia manakala 17 yang lain cedera apabila kereta api merempuh sebuah bas di Assiut, sebuah bandar yang terletak kira-kira 320 kilometer di selatan Kaherah.

kosmo/-

Tiada ulasan: