07 Oktober 2008

Hari Raya dijalanraya.

Saya memikirkan hendak paparkan gambar kesesakan di jalanraya semasa saya pulang berHari Raya di Kelantan Jumaat dan Sabtu lepas namun tajuknya rasa tidak ada yang sesuai sehingga didini hari ini saya terfikir judul yang paling layak ialah "beraya di jalan raya".

Beginilah keadaannya setiap kali kami pulang berHari Raya di Kelantan. Tahun lepas misalnya, kami terperangkap berjam-jam dalam perjalan balik ke Perak dari Bandar Kota Bharu menuju ke Pasir Mas. Tidak salah ingatan saya kami berada dalam susunan kereta dari jalan Wakaf che yeh ke Jambatan Pasir Mas hampir 2 jam. Kami mengambil jalan pintas dari Pasir Mas ke Rantau panjang dan keluar di Panglima Bayu. Namun jalan itu juga sesak dengan deratan kenderaan.

Bila dihitung dari bulan ke bulan berapa nombor pendaftaran yang dikeluarkan oleh JPJ Kelantan sahaja, wajarlan kenderaan tahun demi tahun semakin penuh di jalanraya.Tambahan pula yang balik beraya rata-rata dengan no pendaftaran awalannya "W", "B" dan kami"A" adalah anak-anak perantau yang berbaris panjang dengan "setia" dijalan raya yang panjang dan keluasannya yang masih sama.



Beginilah kesesakan dijalan baru menuju ke Kuala Kerai/Gua Musang diambil di Machang.

Bagi kami yang tinggal di Machang adalah kelainan sedikit kerana jalan pintas yang mengelak dari masuk ke Bandar Machang sudahpun siap.Tetapi kenderaan yang menuju ke Gua Musang untuk ke KL tetap melimpah ke jalan masuk ke Machang antaranya untuk mengisi minyak dan ada yang ingin mengelak dari kesesakan dijalan yang baru dibina.




Kesesakan jalan menuju ke Jambatan Tanah Mereh dari Machang.

Kesimpulannya tidak mudah masuk dan keluar dari Kelantan bila tibanya musim perayaan. Sehingga kami dan kawan-kawan lain akan merancang sebaik mungkin masa mana yang paling sesuai untuk masuk dan keluar dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.



Diatas jambatan melintasi sungai Kelantan di Tanah Merah.

Ada yang kata baliklah sebelah malam, ada juga yang mencadangkan bertolak selepas subuh...semuanya saya dah cuba namun masih terperangkap dalam kesesakan dijalanraya.


Deretan kereta dari arah Jeli ke Machang/Tanah Merah

Hidung Pesek, Mata Sepet dan Jambang Tebal

Oleh : Ust. Zolkharnain Abidin

Semasa saya menulis mengenai ‘Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS’, otak saya mengembara ke seluruh Malaysia mencari-cari pemimpin PAS di berbagai peringkat dari kalangan orang Cina atau India. Saya hanya terbayangkan Dato’ Anuar Tan sahaja. Saya memasukkan namanya dalam tulisan tersebut. Apabila tulisan di dalam blog saya dipindahkan oleh pemudabesut ke laman Tranungkite, beliau memasukkan nama Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong Perak. Terimakasih kepada pemudabesut.

Drs Khalil Idham Lim yang saya panggil Ust Khalil bukan asing bagi saya. Kami bersahabat baik. Dia acap kali belanja saya makan malam kerana setiap bulan saya menyampaikan kuliah di markas Titi Serong, markas DUN beliau. Tetapi macam mana saya boleh tidak terlintas namanya. Nombor handphonenya pun ada dalam simpanan saya. Dia juga hantar SMS jemput saya ke rumah terbukanya pada 5 Syawal. Maaf ust, saya tak dapat bersama kerana banyak komitmen lain.

Di negeri saya ada seorang lagi aktivis pemuda negeri, juga seorang Cina, Sdr Adam Tan. Dia juga aktif bersama saya dalam Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Perlis. Dia dan saya bersama Sdr Zulmi Sabri, Pengerusi YAM Perlis telah bertemu dan menyumbang bantuan hariraya kepada anak-anak yatim pada Ramadhan yang lalu.

Saya fikir, kita perlu ada direktori sahabat kita yang bukan berbangsa Melayu yang menjadi pimpinan atau aktivis PAS di semua peringkat. Dulu kita ada Sdr Kamal Koh, Aan Wan Seng dan … Namun kini mereka seperti mendiamkan diri, low profile. Saya tidak pasti mengapa. Saya yakin mereka tetap committed dengan PAS. Mungkin keperluan kehidupan, perniagaan, situasi keluarga atau apa sahaja membuatkan mereka senyap dan seolah-olah ‘menjauhkan diri daripada PAS’.

Peranan mereka besar di dalam PAS. Kalau tak salah ingatan saya, CCC dulunya digerakkan oleh mereka. Kemampuan mereka berbahasa ibunda, kefahaman mereka tentang budaya etnik mereka, lingkungan hubungan mereka yang luas dengan keluarga dan rakan sebangsa bahkan hubungan antara bangsa mereka melalui perniagaan, persahabatan, pelbagai badan dan gerakan massa adalah aset berharga buat kita.

Mereka perlu diketengahkan dan diberi tempat wajar di dalam PAS. Jangan tunggu mereka datang. Mereka perlu dipanggil. Ramai di kalangan mereka yang terpelajar, lepasan Universiti Islam Madinah, lepasan al-Azhar dan sebahagian besar adalah profesional. Bukan sahaja daripada kalangan Cina tetapi juga India. Mereka adalah ahli PAS, bukan anggota Kelab Penyokong PAS. Justeru mereka layak memilih dan dipilih. Mereka layak ditonjolkan sebagai pimpinan kanan jamaah.

Saya tidak kenal pimpinan parti atau aktivis parti dari kalangan kaum India. Saya yakin ada. Mereka juga wajar diketengahkan.

Saya cuba gambarkan betapa indahnya, ketika muktamar, mereka yang memenuhi kerusi pimpinan PAS Pusat, pemuda, muslimat dan ulama di atas pentas diwarnai oleh mereka yang berkulit sawo matang, putih kuning dan hitam manis. Atau, berhidung pesek, bermata sepet dan berjambang tebal. Meriahnya waktu rehat muktamar dengan pelbagai bahasa komunikasi apabila sesama etnik ini bertemu. Gerai-gerai makanan juga pelbagai, asam pedas, yong tau fu, gulai mamak, atau apa sahaja, berbagai juadah yang mewakili pelbagai etnik di dalam PAS. Mereka datang dengan pakaian tradisi masing-masing. Baju Melayu, Baju Kurung, Cheung Sam, Kurta… atau apa-apalah. Saya tak tahu nama pakaian tradisi kaum Cina dan India. Huh, cukup indah.

Tetapi, bila agakanya semua itu menjadi nyata. Jangan seperti menunggu gagak berbulu putih atau kucing bertanduk sudah.

Kita tunggu dan lihat.

Menunggu Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS

Oleh : pemudabesut

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata " Kita ni anak cucu adam dan hawa, tak kira cina, melayu, siam, bugis, jawa, negrito, senoi, murut, kayan".

SATU

Apabila media melaporkan Dr Asharuddin Ahmad, 49 menawarkan diri bertanding Naib Presiden Gerakan, ia sesuatu yang baru kepada banyak pihak. Ia baru kepada Gerakan dan kepada parti-parti lain juga. Beliau dikatakan orang Melayu pertama menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Ramai melihat Gerakan sebagai parti Cina seperti MCA. Gerakan diasaskan oleh Allahyarham Prof Dato’ Dr Syed Hussein al Attas pada tahun 24 Mac 1968 di Pulau Pinang dengan nama Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dr Syed Hussein menjadi Presiden Gerakan daripada tahun 1968-1969. Semua Presiden selepasnya adalah Cina. 1969 – 1980, Tun Dr Lim Chong Eu, 1980 – 2007, Dr Lim Keng Yaik dan 2007 hingga sekarang, Dr Koh Tsu Koon.

DUA

Sehingga 2006, 80 peratus ahli Gerakan adalah etnik Cina dan bakinya ialah India, Melayu dan lain-lain. Walau pun Gerakan adalah kerabat BN tetapi ia parti berbilang etnik. Ia tidak seperti Umno dengan perkauman Melayunya, MCA Cina dan MIC pula India. Di semenanjung hanya tiga parti itu sahaja dilihat masih bersifat perkauman.

Parti-parti yang tidak berasaskan perkauman lebih berani dan terbuka. Mereka tidak bergayut di bawah tengkuk BN sahaja. Pada 6 Sept 08 dilaporkan, Pemangku Presiden gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengancam akan keluar BN jika tidak dilakukan perubahan wajar dalam gabungan itu.

TIGA

Satu lagi parti kerabat BN yang pelbagai etnik ialah Parti Progresif Penduduk. Walau pun diasaskan oleh D.R Seenivasagam, parti itu pernah memiliki Presiden daripada kalangan kaum Cina. Dr Khong Kok Yet pernah menjadi Presiden PPP daripada tahun 1975-1978, begitu juga Mak Hon Kam pada tahun 1988.PPP, pada tahun 2006 berkeahlian 48 peratus India, 13 peratus Melayu dan bakinya kaum lain pernah menarik diri daripada BN pada tahun 1969. Pada tahun itu, PPP hampir berjaya membentuk kerajaan negeri Perak apabila mendapat undi daripada orang-orang Cina. Pada Nov 2006, Parti Progresif Penduduk melalui Presidennya mencadangkan supaya Gerakan dan PPP bergabung. Walau pun cadangan itu disambut baik oleh Koh Tsu Koon tetapi sampai hari ini belum terlaksana.

EMPAT

PAS bukan parti perkauman. Harakahdaily 5 Sept 06 melaporkan kenyataan TG Nik Abdul Aziz bahawa orang Cina boleh jadi MB Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran. Ini bukan semata-mata kenyataan politik untuk menarik undi bukan Melayu, tetapi inilah Islam. Mereka yang mendokong Islam di zaman nabi bukan semuanya Arab, ada orang Parsi, orang Rom, orang Afrika dan ada sahabat yang kuburannya di negara Cina.

BERNAMA melaporkan pada 20 Mei 08, TG Abdul Hadi berkata PAS telah berjaya memecahkan tembok pemisah antara kaum di negara ini yang gagal dipecahkan oleh Umno. Ini terbukti apabila kaum Cina dan India mengundi calon PAS manakala penyokong PAS mengundi calon DAP dan PKR yang bukan Melayu.

Di Johor, PAS meletakkan P Kumuta Raman sebagai calonnya di DUN Tiram dalam pilihanraya umum lalu. Beliau adalah seorang peguam beragama Hindu.

PAS juga ada ahli jawatankuasa peringkat pusat yang bukan Melayu, Dato’ Anuar Tan. Dia juga adalah exco kerajaan Kelantan. Selain itu, PAS Perak juga ada seorang Yang Berhormat Titi Serong, Drs. Khalili Idham Lim Abdullah. Dalam dewan peringkat pusat, pemuda tiada yang bukan Melayu, begitu juga muslimat dan ulama’.

PAS ada Kelab Penyokong PAS untuk kaum India dan Cina. Pendokong kedua-dua kelab itu tidak beragama Islam kerana kalau mereka beragama Islam mereka boleh terus menjadi ahli PAS.

Kita tidak pasti berapa peratus ahli PAS daripada kalangan orang bukan Melayu. Kalau kita inginkan suatu hari nanti jawatankuasa kanan dalam PAS disandang oleh bukan melayu, maka peratusan ahli PAS daripada kalangan bukan melayu wajar ditingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti.

LIMA

Adakah boleh orang bukan Melayu memimpin PAS? Mengapa tidak, kalau ketua sebuah kerajaan negeri boleh bukan melayu, apa salahnya pemimpin PAS juga bukan Melayu kerana PAS bukan berasaskan Melayu. PAS bukan parti perkauman.

Tidakkah kita bimbang nanti negara ini didominasi oleh kaum lain? Apa perlu bimbang, kaum apa pun asalkan Islam berdaulat, sudahlah. Kalau orang Melayu ingin terus mendominasi negara ini, orang Melayu mesti semakin teguh dengan Islam, bukan sekadar Islam mengikut takrif Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Islam bersifat sejagat, PAS juga begitu kerana PAS adalah gerakan Islam. Tidak mustahil suatu hari nanti, lebih ramai bukan Melayu menjadi pemimpin PAS bukan di peringkat jawatankuasa lagi tetapi sebagai Naib Presiden, atau Timbalan Presiden dan Presiden juga.
Kita tunggu dan lihat.