07 Mac 2011

Majlis Fatwa Terengganu Teliti Bahan Pameran Mistik

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 7 MAC : Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik yang dirancang untuk diadakan di sini April ini bagi membincangkan mengenai bahan pameran yang akan diperlihatkan kepada orang ramai.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata beliau telah memaklumkan kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan dengan penganjur berhubung pameran itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan penganjur pameran iaitu Dynasty Event Sdn Bhd Isnin ini bagi meneliti pengisian program yang akan diadakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Tadarus Al-Quran TerengganuFM oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan olehpihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidakbercanggah dengan agama Islam.

Pameran mistik yang dijadual akan diadakan di Dataran Syahbandar selama sebulan itu akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama.

"Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat kita tidak akan benarkan ia dipamerkan," kata Shaikh Harun.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

"Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita.Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan," katanya.

Tv Selangor/-

Bob Lokman kagum dengan semangat pemuda PAS

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

‘Saya rasa diri sangat kerdil’

LANGGAR - Kehadiran bekas juri program realiti dan penulis lirik lagu Isabella, Bob Lokman nyata menarik perhatian ribuan penduduk Pokok Sena di Karnival Kedah Sejahtera Pas Kawasan Pokok Sena.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman secara jujur berkata, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan belia yang berhimpun pada Program Himpunan 30,000 Pemuda Pas di Kota Sarang Semut, Yan pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, lautan belia yang berdiri dalam cuaca panas untuk mendengar ceramah demi ceramah membuatkan beliau berasa malu dan kerdil.

“Waktu itu berada di hadapan 30,000 belia saya terasa sangat kerdil kerana melihat semangat-semangat belia yang hadir untuk menyatakan sokongan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran selain berdiri dalam cuaca panas dan terik,” katanya ketika memulakan ucapannya.

Turut hadir menyampaikan ceramah, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Abd Ghani Ahmad dan bekas calon Pas DUN Tenang, Normala Sudirman.

Bob berkata, pada waktu sama, dia mengakui dirinya terlalu kecil untuk duduk bersama pemimpin Pas semasa berada di atas platform berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, beliau memikirkan masa depan karier seninya selepas secara terang-terangan menyerahkan borang keahlian dan bergiat aktif dalam Pas.

Beliau mengambil keputusan itu kerana sebelum ini melalui pelbagai pengalaman hidup yang kurang menekankan soal suruhan agama sebenar.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu menyertai parti ini untuk berdamping dengan orang agama kerana sentiasa memikirkan diri ini jarang mendampingi golongan seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa akan kembali ke dunia seni tetapi perlulah mengikut syariat dan landasan yang ditentukan Islam.

“Sekiranya ada peluang saya fikir mahu membangunkan sebuah produksi Islam sepenuhnya seperti pekerja mesti menutup aurat, bersolat mengikut waktu dan menghasilkan cerita-cerita yang bermanfaat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memenuhi hasrat bapanya untuk beliau menjadi seorang pemimpin, Bob berkata, beliau akan menolak dengan baik hasrat itu kerana tanggungjawab seorang pemimpin adalah sangat besar.

Menurutnya, untuk mengalas tugas sebagai seorang pemimpin bukanlah tugas mudah.

“Jawatan sebagai seorang pemimpin sangat besar dan bukan main-main, saya tahu kemampuan sebenar diri saya dan lebih suka bergerak dan aktif di peringkat bawah sahaja,” katanyaSH.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Fitnah 2 : Keputusan Bicara Dalam Perbicaraan Dijangka Esok

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC: Mahkamah hari ini dijangka memberi kata putus perbicaraan dalam perbicaraan kes fitnah liwat 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan akan menentukan samada Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menerima permohonan peguambela mengenepikan barang-barang bukti kes yang dianggap penting untuk pertuduhan terhadap Anwar.

Zabidin sebelum ini menerima permohonan peguambela untuk membicarakan penolakan tepi barang kes yang didakwa diambil secara tidak adil ketika Anwar ditahan di lokap sel D9 IPK Kuala Lumpur pada Julai 2008.

Barang-barang tersebut termasuk berus gigi, botol air mineral, sehelai rambut dan sehelai tuala muka 'Good Morning'.

Mahkamah mendengar hujah yang dikemukakan Karpal Singh diikuti Timbalan Pendakwaraya (DPP), Datuk Yusof Zainal Abiden.

Karpal dalam hujahnya berkata penangkapan Anwar bercanggah menurut Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28A(1) Kod Prosedur Jenayah.

Karpal seterusnya mendakwa polis menahan Anwar tanpa asas walaupun beliau telah bersetuju untuk hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Minggu lalu Ketua Bahagian Siasatan Khas Bukit Aman, Superintenden Mohd Taufik Abdullah mendedahkan arahan untuk menangkap Anwar dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin.

Seramai 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dilengkapi senjata automatik dan 'balaclava' menahan Anwar 200 meter dari rumah beliau di Segambut pada 16 Julai 2008.

Peguam Sankara Nair yang bersama beliau ketika ditahan turun mengesahkan kejadian itu.

Sejurus penahanan itu, Anwar mendakwa turut dimalukan dua doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dipaksa mengukur zakar dan bulu kemaluannya selain meminta sampel darah untuk ujian DNA.

Anwar walaubagaimana pun menolak permohonan doktor setelah mendapat nasihat peguam Sivarasa Rasiah kerana khuatir sampel DNA beliau akan dimanipulasi pihak tertentu sepertimana kes tuduhan liwat pertama pada tahun 1998.

Ketua Pembangkang itu menyifatkan tindakan polis menggunakan tipu helah untuk mendapatkan DNA bagi mensabitkan beliau dengan tuduhan liwat terhadap bekas pembantu Saiful Bukhari Azlan.

Karpal menambah tertuduh yang tidak berhasrat untuk memberi sebarang spesimen DNA untuk penfailan harus dilindungi.

Namun tindakan polis mengambil DNA tanpa pengetahuan tertuduh harus ditolak mahkamah.

"Ini adalah jelas 'profiling' DNA yang diperolehi oleh polis untuk mensabitkan beliau adalah tidak adil dan bertentangan (mengelirukan)," kata Karpal kepada mahkamah.

Turut didedahkan Jumaat lalu tiada waran tangkap ketika Anwar ditahan pada hari kejadian namun pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Periera hanya mengemukakan dokumen tersebut setelah sampai di IPK Kuala Lumpur.

Karpal berkata kepada mahkamah, individu yang ditahan tanpa waran harus dijelaskan asas penangkapan pada waktu dan tempat yang sama.

"Dalam situasi individu ditahan, beliau harus diberitahu secepat mungkin asas penahanan dan seharusnya dibenarkan untuk merujuk kepada peguam," jelas Karpal.

Karpal yang seterusnya meneliti waran tangkap tersebut mendapati ianya tidak konsisten dengan dokumen yang dikemukan dalam mahkamah.

Salinan waran tangkap itu tidak mengandungi tandatangan DSP Jude sepertimana salinan asal.

Namun DPP Yusof memohon kepada mahkamah untuk menerima barang-barang kes yang dinyatakan termasuk salinan waran tangkap sebagai bukti kes.

Timbalan Pendakwaraya (DPP) Yusof Zainal Abiden yang mengambil giliran mengemukakan hujah pagi ini berkata bahawa pihak peguambela gagal membuktikan barang yang diambil dari sel D9 IPKKL tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman adalah tidak sah.

Tambahnya, pihak yang ditahan di dalam lokap tidak mempunyai hak privasi untuk menahan sebarang bahan bukti diperolehi polis.

"Apabila tertuduh meninggalkan lokap maka beliau dengan sukarela meninggalkan bahan bukti," kata Yusof.

Justeru Yusof berkata penahanan Anwar pada Julai 2008 tiada kaitan dengan barang-barang yang diambil untuk pemprofilan DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan penganalisaan.

"Ekshibit tiada kaitan dengan penangkapan. Tiada muslihat dilakukan untuk memperdaya tertuduh supaya meninggalkan kesan pada barang-barang tersebut. Tiada kesalahan di situ.

"Adalah tiada alasan untuk mahkamah menolak keempat-empat barang yang ingin ditanda sebagai bukti," jelas Yusof lagi.

Mahkamah akan bersambung jam 10 pagi esok dengan peguam Karpal Singh akan berhujah di hadapan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Tv Selangor/-

Pembangkang Tetap 'Berbisa' Di Parlimen-MP PR

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata barisan pembangkang terus berperanan seperti biasa walaupun tanpa kelibat ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digantung selama 6 bulan.

Tambah Saifuddin beliau akan berbincang bersama pimpinan Pakatan Rakyat bagi memutuskan seorang wakil untuk mengetuai slot ucapan perbahasan Ketua Pembangkang bagi sesi persidangan parlimen kali ini.

“Saya sempat mengadakan berbincang dengan Lim Kit Siang dari DAP dalam esok kita akan memutuskan untuk seorang yang mengambil peranan sebagai Ketua Pembangkang dalam ucapan, dia bukanlah ketua pembangkang tetapi slot ucapan ketua pembangkang itu bakal diisi oleh seorang MP daripada pimpinan senior dalam Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin yang ditemui di lobi parlimen hari ini.

Turut sama digantung ialah ahli parlimen Subang R. Sivarasa, ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan ahli parlimen Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah anwar, ketiadaan Ketua Pembangkang bukannya satu masalah besar sebaliknya merupakan pemangkin semangat untuk terus memperjuangkan suara rakyat di dewan rakyat.

“Ketiadaan Ketua Pembangkang memberi kita lebih banyak semangat untuk berbahas nanti kerana kita mahu untuk membangkitkan isu-isu berkaitan rakyat.

"Isu Aliran Transit Massa (MRT) yang sehingga kini masih belum diselesaikan atau belum diperincikan dengan sepenuhnya, isu pengeluaran wang secara haram yang masih belum dijelaskan dan banyak lagi isu yang masih belum diperjelaskan. Insya-Allah kami sebagai pembangkang yang terus taat setia kepada raja akan terus melaksanakan tugas kami sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming rasa kesal atas ketiadaan Ketua Pembangkang yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah persidangan Parlimen
Malaysia.

Beliau turut menyifatkan tindakan ini sebagai tindakan licik Barisan Nasional dan menghalang usaha untuk mengetengahkan suara rakyat di Dewan Rakyat.

“Saya berasa amat sedih dan amat terkejut berikutan ketiadaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perasmian sidang Parlimen kali ini. Yang jelas ini merupakan satu usaha licik barisan pimpinan Barisan Nasional supaya suara rakyat tidak diketengahkan.

"Bukan sahaja Datuk Seri Anwar, malah Ahli Parlimen Subang, Bukit Gelugor dan Bukit Antarabangsa turut digantung. Maka rakyat pelbagai kaum di kawasan ini hilang suara di Dewan Rakyat yang merupakan institusi perundangan yang paling penting dalam negara kita,” katanya.

Anwar Ibrahim digantung daripada sesi Dewan Rakyat kerana mendedahkan kenyataan One Israel sama dengan 1Malaysia yang mempunyai perkaitan dengan sebuah firma perunding, APCO Worldwide.

Manakala Azmin, Karpal dan Sivarasa digantung atas beberapa kesalahan lain.

Tv Selangor/-

Belakangkan demokrasi umpama bom jangka

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 7 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

“Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,”ujarnya.

Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Beliau berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya ‘dia mahu kerasi’ sehingga pilihanraya sebenar sudah tidak wujud di Negara ini.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

“Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masaalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi ‘pendendam’ akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

“Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

“Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,”ujarnya.

Langkah ini dianggap sama dengan kes seorang bekas pegawai polis yang membuat kenyataan hemat diri mempertikaikan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu tetapi tiba-tiba keesokannya menukar balik kenyataannya itu.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

“Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,”ujarnya.

Harakahdaily/-
Oleh : Rizal Tahir .


Kedah : Menteri Besar, 10 Anggota Exco Angkat Sumpah

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 7 MAC : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta 10 anggota Exco kerajaan negeri Kedah, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit Bukit, di sini hari ini.

Azizan ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata pelantikan barisan Exco itu dikekalkan, namun ia melibatkan sedikit rombakan portfolio.

Beliau berkata anggota yang terlibat dengan perubahan portfolio ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

Turut berubah portfolio ialah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan; Pertanian dan IndustriAsas Tani; Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan.

Anggota-anggota Exco tidak terbabit dengan perubahan portfolio ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi manakala Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dilantik kembali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan.

Anggota lain yang dikekalkan ialah Siti Aishah Ghazali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat serta Dr Ismail Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

S. Manikumar turut dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, manakala Lim Soo Nee memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Abd Ghani Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Usahawan, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan disandang Tan Joon Long @ Tan Chow Kang.

Sementara itu, portfolio Azizan turut dikekalkan iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan syarikat Milik Kerajaan.

Azizan berkata pelantikan barisan Exco itu dikekalkan kerana setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pencapaian mereka dan berharap usaha dapat digandakan bagi memastikan pentadbiran negeri lebih baik.

"Pelantikan ini diharap berkekalan selama setahun... selama tiga tahun menjadi Exco sebelum ini, banyak pengalaman sudah kami lalui," katanya.

Tv Selangor/-

Pemberontak Libya Tembak Jatuh Pesawat Sukhoi

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

RAS LANUF (LIBYA) 7 MAC : Pemberontak Libya dikatakan memperoleh semangat baru apabila berjaya menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Sukhoi buatan Russia yang digunakan tentera regim Muammar Gaddafi ketika ketegangan semakin memuncak sejak Jumaat lalu.

Dua mayat juruterbang terbaring di atas pasir di kelilingi serpihan bangkai pesawat dan enjin yang bertaburan. Pesawat pejuang itu terhempas kira-kira satu kilometer dari jalan raya ke Ras Lanuf atau kira-kira 650 kilometer di timur Tripoli.

"Pesawat itu ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara kami," kata Kolonel Bachir Al Maghreb, salah seorang pemimpun pemberontak di Ras Lanuf, bandar pelabuhan minyak yang kini sedang dipertahankan oleh tentera Gaddafi sejak Jumaat lalu.

Bachir mendakwa salah seorang juruterbang yang maut itu adalah warga Serbia walaupun ada yang mendakwa ia mungkin warga Lebonan atau Syria dan ia menguatkan pendapat bahawa Gaddafi mengupah tentera asing untuk mempertahankan kuasanya.

Tv Selangor/-

Sidang Dewan Rakyat Tanpa Ketua Pembangkang

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat ke bangunan Parlimen bagi merasmikan pembukaan penggal keempat persidangan Dewan Rakyat ke-12.

Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.Persidangan Dewan akan berlangsung hingga 7 April.

Sidang parlimen pada hari ini juga tanpa kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digantung selama 6 bulan bersama tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain Azmin Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Ketua Umum PKR itu digantung selepas membuat pendedahan berkaitan peranan Apco Worldwide dan kaitannya serta persamaan slogan Satu Malaysia dan One Israel.

Baru-baru ini, Anwar pada satu ceramah pilihan raya kecil di Merlimau, mendedahkan dokumen perjanjian antara Apco dan kerajaan Israel pada 1991.

One Israel diperkenal pada 1999 ketika Israel diterajui Ehud Barrack manakala Satu Malaysia diperkenal pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

Antara persamaan ketara kedua-dua slogan itu ialah One Israel membawa tema People First manakala Satu Malaysia (Rakyat Didahulukan), selain mengadakan klinik percuma kepada rakyat Israel manakakala Malaysia memperkenal klinik Satu Malaysia.

Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.

Pakatan Rakyat kini hanya mempunyai 72 wakil pada sesi Dewan Rakyat ini.

Tetapi jumlah berkurangan itu tidak akan melenyapkan suara-suara Pakatan Rakyat memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Tv Selangor/-

Perpisahan makin gamit Misbun

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

UCAPAN ‘selamat jalan’ kian menggamit Datuk Misbun Sidek! Selepas dikatakan bermain tarik tali termasuk menggunakan ‘jurucakap’ bagi membincangkan peletakan jawatannya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), badan induk itu kini harus semakin mudah untuk membuat keputusan bagi menamatkan kemelut yang berlarutan lebih dua bulan lalu.

Perkembangan terbaru itu menjelma selepas anak didiknya, Lee Chong Wei menyatakan dirinya tidak kisah sama ada mendapat sentuhan jurulatih itu atau tidak, susulan perbincangan ‘hati ke hati’ dengan BAM baru-baru ini.

Ia berlawanan dengan pendirian jaguh nombor satu dunia itu sehari selepas ‘gurunya’ meletak jawatan 31 Disember lalu yang menegaskan dia juga akan keluar dari BAM sekiranya masalah peletakan jawatan itu tidak diselesaikan.

“Kita akui bimbang dengan prestasi Chong Wei selepas Misbun meletak jawatan tetapi selepas beberapa bulan dan beberapa kejohanan, dia membuktikan dirinya tidak terjejas tanpa sentuhan jurulatih itu.

“Jadi, kita ada bertemu dengannya untuk memberitahu perkembangan perbincangan dengan Misbun dan dia memaklumkan tidak kisah sama ada terus dibimbing Misbun atau sebaliknya,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, semalam.

Mohd Nadzmi berkata, sebelum ini dia ada bertemu Misbun bagi membincangkan isu itu sebelum memintanya mengadakan perbincangan dan memberitahu perancangannya kepada pegawai BAM, namun tiada keputusan konkrit diperoleh.

“Walaupun saya diberi mandat oleh Majlis BAM untuk membuat keputusan, saya akan memaklumkan kepada mereka (Majlis BAM) mengenai perkembangan yang berlaku ini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Oleh : Hussain Said.

Kalau tak pangkah BN, bantuan ditarik balik

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Saya merupakan seorang warga Merlimau, Melaka yang bertugas di Sarawak. Saya sanggup pulang untuk Pilihanraya Kecil Dun Merlimau walaupun menelan belanja yang besar. Majikan saya bertanya kenapa saya perlu pulang ke Merlimau, bukankah ada undi pos? Saya jawab, “Maaf tuan, saya tidak yakin dengan undi pos.” Semangat berkobar-kobar kerana PRK tidak sama dengan PRU. Tentu banyak berubah wajah kampung saya.

Tepat telahan saya, memang berubah sama sekali! Lori keluar masuk, polis bersimpang siur di jalan raya. Kampung yang dulu aman damai kini tidak ubah seperti medan pertempuran. Bendera berkibaran sehingga menyukarkan saya untuk melihat kenderaan sebelum melintas jalan. Begitu ‘panas’ keadaan di Merlimau sehingga berkobar-kobar saya memangkah kertas undi, dengan harapan calon pilihan saya juga calon pilihan warga Merlimau.

Apabila keputusan PRK diumumkan saya jadi kecewa. Kecewa bukan kerana PAS tewas. Kecewa kerana orang kampung saya, orang Merlimau masih belum berubah, masih belum mahu berubah dan tidak mahu berubah. Pegangan saya dan keluarga tetap condong kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Tetapi tidak dengan orang kampung saya.

Mereka terlalu selesa dengan kebendaan, terlalu mudah disogokkan dengan harta benda, dengan jalan tar sekangkang kera, dengan biskut marie sepeket dua. Mereka tidak nampak bagaimana Ketua Menteri tercinta dengan lahap rakus menelan setiap sen ringgit yang terbang di depan mata.

Saya cuma pulang untuk tiga hari, tetapi pelbagai kisah menarik yang saya dapat di kampung saya. Jiran saya seorang ibu tunggal anak 7, dengan pendapatan RM400 sebulan, disogokkan dengan jalan tar sehingga ke depan pintu rumah. Tetapi hanya ditabur dengan batu dan pasir, tar pula entah ke mana. Lain pula ceritanya dengan seorang ahli Umno totok, yang rumahnya di sebelah masjid.

Sehari sebelum mengundi, rumahnya cantik ditar setiap pelosok halaman. Yang seorang lagi bukan setakat rumah, hingga ke rumah-rumah sewanya juga siap ditar. Ibu tunggal diberi sepeket biskut marie, sekilo gula, dan sekilo tepung gandum dengan pesanan, “Kalau kau tak pangkah BN, semua bantuan ditarik balik.”

Seorang rakan saya merupakan petugas SPR yang juga pengundi, terpaksa menggunakan undi pos. Yang hairan bin ajaibnya, borang yang ditulis nama dan kad pengenalannya diarahkan supaya dimasukkan sekali dengan kertas undi. Jadi sesiapa pun boleh tahu siapa yang undi siapa. Sudah teluskah SPR?

Teringat saya dengan seorang pelakon kelahiran Merlimau yang juga penyokong BN totok. Mungkin sedang berlakon atau mungkin nak menunjuk pada anak-anak dara di sekeliling; dengan nada bongkak dia menjerit,

“Lagi-lagi sebut Allah, asyik nak minta tolong pada Allah je, bukannya nak usaha!” Na’uzubillah… bukankah segala usaha kita juga atas kehendak Allah? Semoga dia sempat bertaubat dan semoga kampung Merlimau yang saya sayangi ini tidak dilanda musibah dan mala petaka.

Banyak lagi kisah pilihanraya Dun Merlimau ini, tapi pada petugas-petugas jentera pilihanraya tentu sangat maklum. Merlimau merupakan kubu kuat BN, orang-orang Merlimau sangat setia kepada BN. Memang kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kemenangan PAS di sini.

Tapi untuk PRU13, saya berharap sesuatu boleh dilakukan kerana kami, sebagai pengundi Dun Merlimau ini amat mengharapkan perubahan. Mohon ahli-ahli Pakatan Rakyat di sini menyusun strategi untuk menghadapi PRU13. Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengubah mentaliti pengundi bagi menjamin perubahan di masa akan datang. Insya Allah, karat BN di Dun Merlimau ini akan terhakis akhirnya.

Pengundi Dun Merlimau

Lelaki maut kena lebih lima tikaman, teman wanita parah

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang pengutip besi buruk ditemui mati dengan kesan lebih lima tikaman, manakala teman wanitanya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah apartmen di Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Shariff Shah, 26, dan teman wanitanya didatangi sekumpulan lelaki, sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Difahamkan, pertikaman lidah itu bertukar ganas apabila, kumpulan lelaki terbabit menikam mangsa di bahagian dada, kepala, belakang dan tangan.

Selain itu, teman wanita mangsa cedera parah di kedua-dua belah tangannya dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa bukan saja ditikam, tetapi turut dipukul sekumpulan lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

“Berdasarkan kecederaan mangsa, kami percaya dia diserang dengan senjata tumpul dan objek tajam di bahagian kepala dan tangan kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, usaha memburu kumpulan lelaki yang menyerang dan mencederakan mangsa sehingga mati sedang giat dilancarkan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa, Asriy Ramachandran, 35, berkata, adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah, sama ada berkaitan hutang atau mempunyai musuh.

“Dia (adik) bekerja dengan saya, tetapi kami tidak tinggal bersama. Dia terlalu pendiam dan saya terkejut mengetahui dia mati dengan cara begini.

“Teman wanitanya cedera parah akibat ditetak di kedua-dua belah tangannya dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Sinar Harian/-

Mat rempit lari tinggal mayat rakan

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Dua remaja bergesel MPV ketika berlumba

BATU PAHAT: Akibat terbabit dalam perlumbaan haram bersama-sama kira-kira 20 pelumba haram lain, dua remaja menerima padah apabila maut selepas bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer (KM) 76.1 Lebuh Raya Utara Selatan di laluan Machap ke Ayer Hitam, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, remaja lain melarikan diri dengan meninggalkan mayat dua rakan mereka terbujur di atas lebuh raya.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Muhammad Saddam Hussein Sheikh Awaf, 20, dan rakannya, Mohd Faiz Ahmad, 19, kedua-dua pelajar kolej, mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata kemalangan itu berlaku apabila sekumpulan pelumba haram menghampiri satu selekoh di lebuh raya berkenaan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Ixora.

“Motosikal dinaiki salah seorang mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan Proton Ixora, mengakibatkannya gagal mengawal motosikal sebelum merempuh seorang rakan di sebelahnya menyebabkan kedua-dua berdua maut di tempat kejadian.

“Mat rempit lain sempat mengelak dan melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya selepas ditemui pada Hari Polis Bertemu Pelanggan di Kompleks Beli Belah The Summit di sini, semalam.

Adnan berkata, mat rempit kini menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba haram mereka selepas polis meningkatkan operasi di beberapa laluan berisiko sekitar daerah ini.
“Jika dulu laluan Jalan Kluang-Parit Raja serta Jalan Ayer Hitam-Yong Peng adalah tempat pilihan yang sering dijadikan laluan untuk berlumba,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, dua remaja lelaki maut apabila kedua-duanya yang juga menunggang motosikal, bertembung sesama sendiri di Kilometer 126.5 Jalan Tanjong Laboh-Batu Pahat, jam 2.20 pagi semalam.

Adnan berkata, kedua-dua remaja berusia 17 dan 19 itu menunggang motosikal dari arah bertentangan sebelum seorang daripada mereka terbabas dan merempuh motosikal di hadapannya.

Berita Harian/-
Mohamed Farid Noh

Gempa Bumi Kuat Landa Kepulauan South Sandwich,Afrika Selatan

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC : Satu gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter berlaku di rantau kepulauan South Sandwich, di selatan Lautan Atlantik pada 10.33 malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu terletak kira-kira 4,166 kilometer di barat daya Johor Baharu.

Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami, kata kenyataan itu.

Tv Selangor/-

Pertempuran, keganasan masih berterusan di Libya

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Pertempuran hebat antara penyokong d:an penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi masih berterusan di beberapa kawasan negara itu termasuk ibu negara, Tripoli, sehingga semalam.

Bunyi tembakan senjata api dapat didengari di Tripoli yang menjadi benteng terakhir Gaddafi bagi mempertahankan pemerintahannya selama 42 tahun yang kini dicabar rakyat negara itu.

Puak penentang Gaddafi sebelum ini berjaya merampas sebuah pelabuhan minyak dan mula bergerak menuju ke Tripoli dalam cubaan mereka menggulingkan pemimpin itu.

Krisis di Libya adalah yang terburuk setakat ini dalam gelombang revolusi di seluruh dunia Arab apabila kekerasan yang digunakan kerajaan menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh dan dilihat bakal mencetuskan perang saudara di negara pengeluar minyak itu.

Sinar Harian/-

Contohi MBSA haramkan iklan produk seks, tahyul

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berharap negeri-negeri lain mencontohi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengharamkan iklan produk atau perkhidmatan yang berunsurkan seks dan tahyul.

Ketua penerangannya, Fadhil Osman berkata langkah MBSA itu wajar dijadikan teladan yang baik dalam menangani masalah iklan berunsur seks dan tahyul yang boleh menyumbang kepada gejala sosial yang sedia parah di negara ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MBSA kerana telah mengambil tindakan bijak dan menguntungkan rakyat dengan mengharamkan iklan produk atau perkhidmatan yang berunsurkan seks dan tahyul di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

“Bagi DPPWP, MBSA telah bertindak tepat bagi membasmi gejala mungkar serta khurafat hasil daripada perniagaan yang haram ini.

“Dengan ini peniaga-peniaga tidak akan berani melakukan perniagaan yang salah di sisi syarak dan undang-undang negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Melihat kepada trend hari ini, katanya seolah-olah perniagaan berunsurkan seks seperti rumah urut, produk-produk kesihatan untuk meningkatkan seks amat laris di pasaran serta mendapat sambutan orang ramai.

DPPWP, ujarnya bimbang produk serta perkhidmatan ini disalahgunakan oleh remaja untuk kepuasan seks semata-mata tanpa memikirkan implikasi lain seperti halal haram, kesihatan, gejala sosial dan lain-lain.

Kata beliau, sewajarnya perniagaan seperti itu diharamkan kerana ia mengundang kepada gejala sosial yang lebih parah kepada masyarakat hari ini.

Selain itu, tambahnya iklan-iklan yang memanipulasi wanita dengan berpakaian seksi juga wajar diharamkan.

Katanya, kadang-kadang sengaja tubuh wanita yang seksi dijadikan bahan untuk mempromosi produk sedangkan ianya tidak ada kena-mengena dengan produk tersebut.

“Hal ini boleh mempengaruhi minda serta merosakkan masyarakat khususnya anak-anak muda,” ujarnya.

DPPWP, katanya mengambil contoh bagaimana negeri Kelantan telah mengambil langkah terkehadapan dengan memperkenalkan iklan wanita menutup aurat serta memakai tudung dalam apa juga iklan yang ditampal.

Ini, ujarnya lebih memberikan imej dan gambaran yang positif di samping membina minda masyarakat yang sihat.

Beliau menambah, DPPWP juga mengharapkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil langkah yang serupa bagi membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar serius dalam mendidik masyarakat serta mengelakkan gejala sosial dari berleluasa.

Harakahdaily/-

Tabiat gila pangkat ‘Wanita Pertama’

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yakin selepas ini akan lebih ramai isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri BN yang menuntut pangkat baharu ‘Wanita Pertama’ ciptaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sedangkan, katanya rakyat menderita menanggung bebanan kenaikan harga barang dan hutang yang semakin bertambah, pemimpin Umno BN pula sibuk sedang mengagih-agihkan kekayaan dan pangkat buat kaum keluarga dan kroni mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah 'menganugerahkan' isterinya, Ragad Waleed Alkurdi pangkat Wanita Pertama Sarawak.

Baginya, ‘anugerah’ itu adalah bukti tamak haloba dan tabiat gila pangkat pemimpin Umno BN yang sudah di tahap ekstrem.

“Inilah tanda-tanda seolah mereka sudah sedar bahawa kuasa perubahan rakyat semakin mara, dan kekalahan BN pada PRU13 nanti adalah suatu yang tidak mustahil.

“Maka, sebelum terlambat pengorup harta rakyat ini segera mengaut harta dan pangkat buat saraan sehingga 7 keturunan sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Harakahdaily/-

Sesi Panas Dijangka Pada Sidang Dewan Rakyat

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC : Selepas berlaku kekecohan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat Disember lepas yang menyaksikan empat anggota Parlimen Pakatan Rakyat digantung kehadirannya, sesi Dewan Rakyat ini mungkin hangat.

Pertikaman lidah antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat mengenai beberapa isu dijangka berterusan selepas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan mesyuarat sesi keempat Parlimen ke-12 hari ini.

Dengan pilihan raya umum menjelang tiba, Dewan Rakyat adalah satu forum di mana Pakatan Rakyat menggunakan, malahan tanpa keempat-empat anggota Parlimen yang digantung selama enam bulan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang), Azmin Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Satu isu yang akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat sebulan ini ialah keputusan kerajaan membeli enam buah Kapal Tempur Pesisir dengan harga RM6 bilion, di mana Pakatan Rakyat mendakwa harganya terlalu tinggi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk menjawab sepenuhnya dakwaan itu.

Isu lain yang akan dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat ialah pengagihan ekuiti Bumiputera, dengan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendesak agar mengumumkan penerima-penerima saham yang diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion pada tahun lepas.

Saifuddin, anggota Parlimen PKR Machang berkata beliau akan membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban pengagihan skim itu.

Novel Interlok untuk pelajar tingkatan lima adalah satu lagi isu yang dijangka hangat pada sesi ini sungguhpun kerajaan telah mengatakan bahawa ahagian-bahagian yang dianggap oleh masyarakat India sensitif akan dipinda.

Dua rang undang-undang utama akan dibentangkan, satu untuk menyelaras dan menentukan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta dan satu lagi untuk memperluaskan "penerbitan" untuk memasukkan kandungan multimedia.

Pakatan Rakyat kini berjumlah 76 di Dewan Rakyat selepas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas.

Dengan empat anggota digantung, Pakatan Rakyat akan hanya mempunyai 72 wakil pada sesi Dewan Rakyat ini. Tetapi jumlah berkurangan itu tidak akan melenyapkan suara-suara mereka memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Tv Selangor/-

Pakatan yakin dapat laksana penuh Buku Jingga

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

(Tan Sri Khalid bersama Exconya dan Dr Wan Azizah melancarkan Buku Jingga peringkat negeri Selangor semalam)

SHAH ALAM, 7 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin Buku Jingga dapat dilaksanakan sepenuh sebaik Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah negara kerana jumlah yang diperlukan tidak pun sampai RM12.5 bilion.

Beliau turut mengumumkan 26 Mac depan akan diadakan satu majlis pelancaran Agenda Selangor Untuk Rakyat (ARUS) yang mempunyai banyak lagi program kebajikan kepada rakyat akan didedahkan

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri berkata jumlah RM12.5 bilion itu bersangkut paut dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kini sedang menjadi kes mahkamah melibatkan bekas dua menteri yang dikatakan menipu jemaah kabinet termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

"Sebenarnya di Selangor ini kita telah banyak melakukan program untuk rakyat sebagai kebajikan kepada mereka meskipun tidak terdapat pun di dalam Buku Jingga bererti kita bukan hanya berjanji tetapi telah melaksanakannya.

"Sepanjang tiga tahun Pakatan mentadbir Kerajaan Negeri Selangor ini, selain dari tujuh perkara utama di dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kita melakukan banyak perkara yang berkesan untuk rakyat negeri ini.

"Cumanya kita tidak mahu menyebutkan lebih banyak apa yang telah, sedang dan akan dibuat kerana ia hanya akan meningkatkan darah panas badan pemimpin BN," seloroh beliau sambil tersenyum disambut tepukan hadirin.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap melancarkan Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang disambut sederhana di Stadium Malawati, malam semalam.

Turut berucap adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.

Dalam isu sama, Abdul Khalid berkata, bila tidak berlaku rasuah dan kebocoran maka rakyat akan dapat manfaat yang banyak hasil daripada sistem pentadbiran yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor kini.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim.

Rakyat Mesir tuntut pembebasan Gaza

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

AL-ARISH - Ratusan penduduk Mesir berarak ke sempadan negara itu dengan Genting Gaza bagi menuntut pintu sempadan Rafah dibuka, semalam.

Mesir mengenakan sekatan bersama dengan Israel ke atas Gaza sejak kerajaan Hamas memerintah wilayah itu sejurus dipilih secara demokratik oleh penduduk Palestin pada 2007.

Kempen menuntut pembukaan sempadan Gaza itu dianjurkan oleh kumpulan Tahrir4Gaza yang ingin menguji sejauh mana perubahan di Mesir benar-benar berlaku selepas kejayaan revolusi negara itu menggulingkan pemim:pin kuku besi dan sekutu Zionis, Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.

"Rejim Mubarak yang bersengkokol dengan Israel untuk melemahkan penduduk Palestin sudah tumbang jadi tiada sebab untuk sempadan ini terus ditutup," menurut penganjur kempen.

Mesir semalam mengumumkan akan membenarkan pelajar dari Gaza yang menuntut di universiti Mesir memasuki negara itu, esok.

Sementara itu, ribuan rakyat Mesir di Kaherah menyerbu masuk ke ibu pejabat pasukan keselamatan negara itu dan merampas dokumen untuk dijadikan bukti pencabulan hak asasi manusia oleh rejim Mubarak, kelmarin.

Pasukan keselamatan Mesir yang mempunyai kekuatan 500,000 anggota itu didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap rakyat sepanjang pemerintahan Mubarak selama 30 tahun.

Sinar Harian/-

Kedah mula hantar pulang pelajar Mesir

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 7 Mac: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar Kedah ke negara Mesir yang di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Ustaz Azizan telah bersama-sama dengan pelajar dan keluarga masing-masing di depan Wisma Darul Aman untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama pelajar ke Mesir kelmarin.

“Setakat hari pertama proses penghantaran pelajar, saya berpuas hati kerana tidak ada yang tercicir dan saya harap perjalanan tidak tergendala,” katanya.

“Ada pelajar yang tidak sedar pasport mereka tamat tempoh, disebabkan itu kita ambil masa untuk memperbaharui pasport dan mohon visa. Mereka yang lewat memperoleh visa akan menaiki penerbangan akhir, bagaimana pun semuanya kini dalam proses dan tidak akan jejaskan perancangan asal,” katanya.

Turut hadir untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama itu ialah Exco Agama, Pelajaran Dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah sedang memantau dan menguruskan segala persiapan dan proses penghantaran bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke KLIA, dan seterusnya tiba ke Mesir.

Kerajaan Negeri Kedah telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk proses menghantar pulang 835 pelajar Kedah ke Mesir serta memberikan wang saku RM500 setiap pelajar.

Kumpulan pertama yang dilepaskan ialah seramai 235 pelajar serta 9 pegawai bertolak dari Alor Setar ke KLIA dengan enam buah bas yang disediakan.

Penerbangan kedua akan dilepaskan pada 8 Mac dan penerbangan seterusnya 10 Mac.

Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta dalam projek penghantaan pelajar Kedah kembali ke Mesir dan projek ini di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairul Izwan.

Pemilik ladang lembu ditemui mati dengan kesan tetakan

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHARU - Mayat seorang pemilik ladang lembu ditemui di sebuah ladang getah berhampiran Sungai Tiram, Ulu Tiram, kira-kira 20km dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat R.Nithyananthan, 38, oleh orang ramai yang melalui kawasan ladang berkenaan pada kira-kira pukul 2.40 petang.

"Dia ditemui dengan beberapa kesan tetakan pada bahagian leher serta badan, dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya polis percaya lelaki itu mati 24 jam sebelum mayatnya ditemui di ladang tersebut, hanya beberapa meter dari motosikalnya, dan beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis dengan menelefon 07-2212999 bagi membantu siasatan.

Katanya keluarga Nithyananthan sudah dimaklumkan mengenai kes itu, dan mayat lelaki berkenaan akan dibedah siasat esok.

Sinar Harian/-

Walaupun kalah, PAS tetap optimis

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 7 Mac: Walaupun kalah, PAS dan Pakatan Rakyat tetap optimis mampu memenangi Dun Kerdau dalam Pilihan raya Umum ke-13 yang akan datang.

"PAS menganggap ruang kempen seminggu adalah taburan benih-benih untuk ia hidup subur pada masa akan datang, insya Allah," kata Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, malam tadi.

Katanya, penyertaan PAS kali ini juga telah berjaya membongkar kelemahan pengurusan pentadbir dan pengabaian pembangunan di Kerdau.

"Felda juga menikmati duit SES yang dijanjikan sebanyak RM13,000, serta MPOB sebanyak RM4,000 dan berharap ia akan menjadi tuntutan semua Felda di seluruh negara," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Unit Peti Undi di Felda Jengka 22, 23 dan 25 memperolehi sedikit peningkatan undi berbanding PRU ke-12, walaupun cuba disogok dengan pelbagai janji oleh Barisan Nasional.

Di samping itu, ujarnya PAS turut merakamkan kekecewaannya terhadap kegagalan SPR menguatkuasakan seluruh peruntukan yang ada sehingga berleluasanya amalan rasuah, pembelian undi, penggunaan jentera kerajaan, penggunaan kemudahan awam dan ugutan dalam PRK kali ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengakui bahawa PAS bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan jentera BN, tetapi turut berhadapan dengan jentera kerajaan yang digunakan secara berleluasa.

"PRK kali ini juga telah berjaya memperkukuhkan hubungan antara anggota Pakatan Rakyat yang diterjemahkan di dalam pelbagai program bersama," tambahnya.

Sementara itu calon PAS, Hassanuddin Salim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera PAS, DAP dan PKR yang bertungkus-lumus membantu dalam gerak kerja pilihan raya kecil kali ini.

Beliau memperolehi 2,336 undi berbanding calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mendapat 5,060 undi sementara jumlah undi rosak sebanyak 90.

Sementara itu di Merlimau, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Yuhaizad Abdullah mendapat 2,319 undi berbanding calon BN, Roslan Ahmad yang memperolehi 5,962 undi dengan jumlah undi rosak sebanyak 130 undi.

Harakahdaily/-
Oleh : Rusli Islam .