19 Ogos 2011

PMIUM, PMIUPM lancar tabung Somalia

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) hari ini melancarkan Tabung Mahasiswa Untuk Somalia bagi membantu rakyat Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran akibat musim kemarau berpanjangan.

Menurut Presiden PMIUM, Muhammad Safwan Anang @ Talib, bantuan tersebut perlu disegerakan kerana kes kematian rakyat Somalia khususnya kanak-kanak berlaku selain memerlukan keperluan-keperluan lain termasuk bekalan air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal yang memadai.

Bagi mencapai matlamat itu, PMIUM dan PMIUPM bersama-sama beberapa kumpulan mahasiswa lagi akan turun ke kawasan-kawasan umum di ibu negara untuk mengutip derma tersebut.

"Kami akan turun ke kawasan umum antaranya kawasan sekitar hentian bas, teksi dan LRT di sekitar bandaraya Kuala Lumpur seperti di Masjid Jamek, Pasar Seni, Kuala Lumpur Sentral, Hentian Puduraya dan begitu juga di kawasan-kawasan kemudahan awam yang lain. Kawasan kampus tidak menjadi tumpuan memandangkan sekarang kebanyakan IPTA masih lagi dalam fasa cuti semester dan akan kembali ke kampus bulan September nanti," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM10,000 dan kutipan akan terus berjalan sepanjang Ramadhan dan dijangka akan diteruskan pada bulan Syawal sehinggalah mencapai sasaran.

"Fokus utama kami di peringkat mahasiswa adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada rakyat Somalia. Kami sasarkan kuitipan akan mencecah RM10 000 dan kutipan ini akan terus berjalan sepanjang Ramadhan ini. Walaubagaimanapun kutipan derma Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ini akan diteruskan juga di bulan Syawal nanti dan lainnya sehinggalah mencapai sasaran yang kita letakkan.," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyambut baik usaha-usaha daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama melancarkan kutipan derma di seluruh negara yang menampakkan sikap cakna dan menunjukkan betapa prihatinnya rakyat Malaysia mengenai isu sejagat ini.

Antara kumpulan yang terlibat dalam usaha ini ialah Pro-Mahasiswa UM dan UPM, Team Elit Muslim dan Briged Putra Nasional.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih dua juta pelarian Somalia yang majoritinya beragama Islam kekurangan zat dan terdedah kepada penyakit berjangkit serta kematian pada Ramadan ini.

harakahdaily/-

JAJ: Penyembelihan 60,000 ayam di Johor diragui

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).

Penolong pengarah penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui.

"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.

Samsudin berkata JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.

Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.

malaysiakini/-

Video Makan Malam DUMC Jelas Bercanggah

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Satu video yang didakwa diambil semasa makan malan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu telah menunjukkan percanggahan dengan apa yang dinyatakan oleh para pegawai gereja itu bahawa majlis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan agama.

Namun, video selama enam minit itu yang kini hangat tersebar di internet sejak awal minggu ini telah menunjukkan seorang lelaki yang mengaku dirinya seorang umat Islam memberitahu para hadirin bahawa makan malam tersebut mengenai didikan Islam yang diterimanya dan bagaimana beliau telah tertarik kepada agama Kristian.

Di babak mula video tersebut, lelaki tersebut, yang nampak awal 40-am, menceritakan bagaimana beliau dan keluarganya dibesarkan dalam suasana keIslaman yang penuh berdisiplin, dengan menyatakan bahawa beliau disuruh melakukan banyak perkara ibadah Islam tambahan, tapi tidak memahami mengapa ia dilakukan, termaksud maksud al-Quran yang dibaca, termaksud yang sudah diterjemahkan.

“Jadi saya hanya baca (Quran) secara membuta-tuli tanpa memahami maksudnya sebenar,” video tersebut menunjukkan lelaki tersebut sedang memberikan ucapan di atas pentas, sementara pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba memasuki dewan makan tersebut.

“Adik-beradik saya dan seluruh ahli keluarga dibesarkan untuk menjadi umat Islam yang sangat berdisiplin, jadi kita lakukan semua perkara, solat dan doa tambahan, puasa tambahan, doa tambahan dan segala-galanya tambahan [ketawa].

"OK yang mengenai keluarga saya ..” beliau teruskan, sebelum video memfokuskan kepada rundingan antara para pegawai Jais dengan pengelola makan malam tersebut di pintu masuk dewan.

“Tiada Muslim… saya tidak tahu”

Seorang wanita pula kelihatan menafikan bahawa terdapat beberapa umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam tersebut ketika disoal pegawai Jais.

“Ini function sebagai Muhibah… nyanyi-nyanyi lagu… Kita pun ada orang Muslims kerja di sini menyapu…” kata beliau.

“Bagaimana pula di dalam?” soal pegawai Jais.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa tiada umat Islam di dalam dewan. Semuanya Kristian,” jawab beliau.

“Sekiranya ada umat Islam, bagaimana? Boleh anda bagi jaminan?” soal pegawai Jais itu lagi, di mana wanita tersebut menjawab beliau bukan pengelola.

Pada masa ini, terdapat seorang wanita yang berpakaian baju kurung kuning dengan nama tag “Sophia” telah bersuara menjelaskan bahawa wanita terbabit adalah tetamu beliau, dan beliau adalah pengelola makan malam tersebut.

Para pegawai Jais turut menunjukkan beberapa keping kertas yang menunjukkan jadual majlis makan malam tersebut, dan menuntut untuk mengapa lagu ‘Alhamdulilah’ dan ‘Allahu Akbar’ disenaraikan.

Menjawab persoalan ini, Sophia menjawab bahawa dua perkataan tersebut hanya bermaksud, “Puji kepada Tuhan” dan “Tuhan maha berkuasa”.

Sebelum itu, Harapan Komuniti, sebuah organisasi amal, mendakwa bahawa majlis itu ialah 'makan malam kesyukuran' untuk meraikan golongan miskin dari semua kaum.

Presiden MAC (Majlis Aids Malaysia) Datuk Mohd Zaman Khan Rahim Khan, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah juga dipetik sebagai berkata majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti itu dianjurkan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengumpul dana bagi pertubuhan rakan MAC di premis itu.

Manakala, Jais yang kini diserang bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan kerana menyerbu majlis makan malam tersebut, tegas menafikan bahawa serbuan berlaku.

Sementara itu, usaha PAS untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada Jais dan DUMC juga tergendala apabila kedua-dua pihak meminta parti Islam tersebut untuk menangguhkan pertemuan tersebut.

DUMC telah meminta PAS untuk menangguhkan perjumpaan atas alasan liputan media yang terlalu meluas.

tv news/-

Lima Polis Didakwa Rompak Warga Bangladesh

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 19 OGOS : Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan terhadap 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lalu.

Mohd Afizi Mohd Nasir, 27, Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21, Azrin Adha Abdullah, 25, Mohd Faiz Muhammad, 25, dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20, didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di sebuah rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 12.01 pagi.

Kelima-lima anggota polis terbabit bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja-pekerja buruh binaan itu.

Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan semua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Saya juga merayu di bulan Ramadan yang mulia ini supaya semua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga masing-masing," katanya dipetik Bernama Online.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan.

Semua tertuduh membayar wang jaminan itu.

tv news/-

Panas : Kutuk Anwar Ibrahim ialah subjek terbaru di universiti!

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Universiti sekarang memang berbeza dari universiti dulu ye? Adakah perkara di bawah neh ialah subjek terbaru kolej / universiti kita ?

1. Teoh beng hock <-- Belajar cara terjun bangunan ka?

2. Kugen dan aminurasyid <-- belajar cara mengelak dari kena bunuh dengan polis ka?

3. Altantuya <-- belajar cara mengelak bom ka?

4. Kes liwat dsai <-- belajar cara menfitnah dengan budak pondan ka?

5. Seks dsai <-- belajar cara buat video seks ka?

5. Interlok <-- belajar kutuk bangsa orang lain ka?

6. ISA <-- belajar ugut orang ka?

7. Bersih <-- belajar cara mengharamkan demokrasi ka?
Lihat gambar di bawah neh ;

Kisah nya begini. Pada hari ahad yang lepas berlaku satu ceramah tentang keselamatan dalam negara oleh superitendant polis kedah. Sesi ceramah yang konon nya berkaitan pasal soal keselamatan dalam negara menjadikan 7 subjek di atas daripada sub topic yang dibincangkan kepada budak2 muda yang berusia 19 hingga ke 20 an.

Dalam sesi "perbincangan" tue jelas wujud unsur2 brainswashing minda budak2 neh agar menyebelahi pihak polis + kerajaan + pihak penguatkuasa kerajaan. Pihak yang memberikan ceramah [andai boleh di anggap sebagai "ceramah" disini] ialah terdiri daripada dua individu iaitu ;

Superintendendent mohd yusri bin mohd yunus yang juga pegawai turus ancaman sosial pdrm cawangan khas kedah. <-- Siap tayang video sumpah laknat sekali tue.. woitt apa kena mengena isu kes mahkamah anwar ibrahim dengan budak2 yang baru masuk kolej neh hah?

Ybhg dato' wira othman abdul yang naib presiden mubarak malaysia. <-- dia kutuk2 pas dan bersih dalam sesi orentasi tue. Wooorr kutuk2 pas yer? Perang raih sokongan dalam universiti ka? Adil ka buat macam neh? Pakatan pun nak buat juga laa.. boleh lah yerk? Baru lah adil kan..?

Untuk rekod korang sesi ceramah pasal isu keselamatan negara neh dibuat untuk budak2 dari kolej perubatan yang aku takmo dedahkan dari mana. Budak2 yang baru masuk kolej. Lebih kurang macam sesi orentasi lah. Itu sebab dorang kena jejak ceramah neh. Benda neh dibuat di dalam salah satu universiti tempatan.

Bayangkan yerk, neh yang kita tahu. Yang kita taktahu mungkin ada banyak lagi. Mereka masuk ke kolej demi kolej, universiti demi universiti untuk brainwash minda budak2 neh agar membenci pakatan rakyat. Tapi dalam masa yang sama dorang gak pongpang2 agar jangan babitkan dan dedahkan bebudak neh denga politik. Dah tue apa pula yang dorang neh buat? Kalau bukan politik nak panggil apa pula?

Kalau rasa dah hebat dan betul sangat, kita deal aje depan2. Kutuk aje depan2. Aku teringin sangat nak tengok apa benda yang dorang bebelkan dalam sesi orentasi neh. Kalau ada di antara korang yang pernah pergi ke sesi cuci minda macam neh dan ada rakaman, minta diberikan kepada aku. Nak gak aku tahu apa yang dorang cuak sangat sampai beria2 masuk universiti sekarang neh untuk cari undi dan sokongan orang muda agar memihak mereka.

amenoworld

Kelantan berjaya wujud pakej pelancongan Islam

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 19 Ogos: Perisytiharan ‘Kota Bharu Bandar Raya Islam’ diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya, demikian juga mereka boleh menerima gelaran Kelantan sebagai ‘Serambi Mekah’.

“Sesungguhnya Kota Bharu yang diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam, sehingga kini diterima masyarakat dengan baik tanpa persoalan.

“Ini kerana gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah dan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam oleh kerana kedua-duanya mempunyai keutamaan iaitu ‘keilmuan’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada Majlis Perasmian ‘Klinik Hukum’ di Qariah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, malam tadi.

Program dikendalikan Alumni Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir itu bertujuan menyediakan khidmat rundingan profesional dari aspek hukum hakam dalam pelbagai cabang kehidupan masyarakat.

Menyediakan khidmat kaunseling pelanggan serta menjadi rujukan kepada masyarakat dalam perkara yang membabitkan status hukum serta pertanyaan tentang fatwa di Malaysia di samping memberikan khidmatan bimbingan berlandaskan ketetapan syarak kepada semua lapisan masyarakat termasuk saudara baru.

Selain itu program tersebut bertujuan menonjolkan Alumni Mesir bukan saja sebagai sebuah persatuan mengumpulkan mahasiwa dan lepasan Mesir, bahkan turut menjadi institusi penyelidikan dalam bidang hukum syarie serta rujukan massa.

“Oleh itu program Klinik Hukum amat bertepatan dan penting wujud dalam masyarakat, bermula di Qariah Ramadhan mengambil berkat dari bulan Ramadhan ini,” kata Takiyuddin.

Selain itu, beliau memaklumkan Kelantan akan mewujudkan ‘pelancongan Islam’ di mana antara bentuknya ialah apabila para pelancong datang ke Kelantan dipromosikan program berbentuk keagamaan.

“Ini termasuk masjid-masjid tertentu di bandar Kota Bharu diisytiharkan sebagai ‘masjid yang ada solat Dhuha’ pada tiap-tiap minggu (seperti Jumaat dan Sabtu).

“Kini kita pilih Masjid Jam’iah di Jalan Putera Semerak, Kota Bharu dan Masjid Al-Baraah dekat Pasar Besar Siti Khadijah, diadakan program solat Dhuha.

“Dan di samping program itu, kita akan mempromosikan ‘Klinik Hukum’. Para pelancong mendapati tidak menemui program seperti itu di negeri lain kecuali Kelantan, dengan pakej pelancongan Islam.

“Inilah perbezaan Kelantan yang digelar Serambi Mekah yang mampu menyediakan persekitaran keislaman kepada seluruh manusia yang berkunjung ke negeri ini,” kata Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

harakahdaily/-

Harga Di Pasar Ramadan: Jika Ya Pun, Biarlah Berpatutan

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pasar Ramadan yang kini mula rancak menjual pelbagai jenis hidangan dan lauk pauk untuk masyarakat Muslim berbuka puasa sekali lagi menjadi perhatian dan tumpuan orang ramai.

Apa yang uniknya tentang kehadiran Pasar Ramadan ini ialah, ia telah menjadi satu identiti negara kita Malaysia. Ini kerana ia bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat Islam semata-mata tetapi juga turut dikongsi bersama oleh para penganut agama lain.

Dalam ertikata yang lain, kewujudan Pasar Ramadan ini telah diterima dan mendapat tempat di hati seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama apatah lagi ia hanya muncul sebulan dalam setahun.

Yang lebih unik dan menariknya ialah, hidangan yang ditawarkan di Pasar-pasar Ramadan ini tidak dijual pada waktu dan musim-musim yang lain. Ini menjadi Pasar Ramadan satu tarikan luar biasa yang tidak terdapat pada mana-mana Pasar Malam, Pasar Tani, Pasar Minggu atau apa jua pasar yang terdapat di negara kita.

Tetapi ada sesuatu yang pada pandangan saya tidak begitu mengembirakan apabila saya dapati kebanyakan gerai di Pasar Ramadan meletakkan harga yang sangat tinggi ke atas kuih muih dan juadah-juadah lain.

Di Pasar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur misalnya, sebiji karipaf dijual dengan harga 50 sen dan begitu juga dengan secucuk sate yang sangat kecil isi dagingnya juga dijual pada harga 50 sen.

Lain-lain kuih muih juga dijual pada harga yang sangat mahal seolah-olah para peniaga ingin mengambil kesempatan ke atas orang ramai pula di sepanjang bulan Ramadan ini. Malah bubur lambuk dijual pada harga RM4.50 semangkuk.

Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada penjual popia terkenal di Seksyen 14 Petaling Jaya yang masih mengekalkan harga popianya pada paras RM1 sebiji di sebalik populariti yang dikecapinya sejak sekian lama.

Bagi Mohd Kasim Ismail, hati pelanggan yang lebih diutamakannya berbanding populariti popianya itu. Jika Mohd Kasim ikutkan hati, dia boleh sahaja meletakkan harga popianya RM1.50 sebiji kerana dia tahu orang akan tetap datang mencari dan membeli popianya kerana sedapnya bukan kepalang tetapi bukan itu yang menjadi keutamaannya.

Yang menjadi keutamaannya ialah para pelanggan dan kesetiaan mereka ke atas popia yang dihasilkannya.

Dan saya cuma boleh berharap para peniaga lain juga bersikap demikian.

HASNUL HASSAN

DAMANSARA, PETALING JAYA

Tiga militan India ditahan ISA

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki warga India di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disyaki terlibat dalam menyalurkan bantuan logistik kepada sebuah kumpulan militan yang terlibat aktiviti keganasan di India.

Ketiga-tiga yang ditahan itu ialah pengusaha restoran, Amarjit Singh Jasvir Singh, 28, seorang guru muzik, Daljit Singh Ajaib Khalsa, 37, dan kontraktor binaan, Kawal Singh Soundh, 39. Mereka ditahan pada pukul 8 pagi 4 Ogos lalu.

Tiga warga asing itu ditahan berasingan di kawasan Sentul dan Ampang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Babbar Khalsa International (BKI) yang berpangkalan di India.

“Siasatan mendapati tiga lelaki itu terlibat memberi bantuan logistik kepada operasi kumpulan BKI.

“Tiga warga asing itu bagaimanapun telah diusir ke negara asal mereka pada Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, satu sumber keselamatan memberitahu Kosmo!, dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu dikehendaki polis Punjab kerana bersubahat dengan kumpulan BKI.

kosmo/-

Keluarga anak yatim Kampung Chicha dapat rumah baru

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUBANG KERIAN, 19 Ogos: Setelah dua minggu bertungkus-lumus mencari dana, sekeluarga anak-anak yatim Kampung Chicha akhirnya boleh bersenyum apabila ahli parlimen mereka, Salahuddin Ayub berjaya mendapatkan dana yang cukup untuk membina semula rumah mereka yang musnah dalam satu kebakaran.

“Pada hari ini Khamis 18 Ramadhan / Ogos 2011 sebanyak RM20 ribu lagi sumbangan telah dapat disampaikan kepada anak-anak yatim ini.

(Salahudin bersama anak-anak yatim di tapak rumah baru mereka yang sedang dalam pembinaan. Salahudin berjaya mengumpulkan RM50,000 sehingga kini untuk anak-anak yatim ini)

"Kerja-kerja awal untuk membina semula rumah anak-anak yatim ini telah pun bermula dengan diseliakan oleh pihak Pas Kawasan Kubang Kerian,” kata Salahuddin dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Semenjak nasib malang anak-anak yatim Kampung Chicha dilaporkan di portal Harakahdaily dua minggu yang lepas, ramai pihak yang bersimpati telah memberikan derma untuk membantu melegakan kesusahan yang dialami oleh lima beradik yatim ini.

Setakad ini, Salahuddin telah menyerahkan RM40 ribu yang berjaya dikumpulkan kepada anak-anak yatim ini untuk mendirikan semula rumah mereka yang hangus akibat kebakaran.

“Setakad ini saya telah menyerahkan sebanyak RM40 ribu, sebagai menunaikan amanah dan tanggungjawab semua penderma yang sangat perihatin kepada nasib anak-anak yaim ini.

"Saya akan terus berusaha untuk menyempurnakan tanggungjawab ini insyaAllah. Saya telah menyampaikan juga salam semua penderma-penderma kepada anak-anak yatim ini dan mereka mendoakan agar penderma-penderma semua menerima ganjaran sewajarnya disisi Allah SWT,” kata Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS.

harakahdaily/-

6 ditangkap dalam ceramah PKR malam tadi

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TAPAH, 19 Ogos: Seramai enam orang ditangkap malam tadi pada majlis ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Taman Tapah yang turut disertai ahli parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar.

Seramai 30 orang polis bersedia di tempat ceramah termasuk 10 orang Light Strike Force untuk mengawasi majlis itu.

Dua orang yang ditangkap dan digari di tempat ceramah ialah Naib Pengerusi dan Timbalan Setiausaha PKR Perak, Chang Lih Kang yang juga Adun Teja dan Tan Kar Hing.

Selepas itu, pembesar suara dan meja dirampas oleh polis.

S. Nagenteran a/l Sandrasigran daripada PSM dan 3 orang lagi, ahli DHPP, Appalasamy a/l Jetakiah, Patrick Vincent dan Chua Yee Ling ditangkap di luar IPD Tapah semasa memberi sokongan kepada Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing.

Mereka dilepaskan pada kira-kira jam 12 tengah malam.

harakahdaily/-

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Hadith:

DIRIWAYATKAN dari Anas r.a : "Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : "Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan)".

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika.

Selepas itu bangun dan ambillah wudhu' dan tunaikan solat.

Ingat! Jangan terus tertidur. Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya.

Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan.

Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.

Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu' semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Najib seru ikut Al Quran, rakyat terus dikelirukan.

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin menyatakan rasa tidak bangga dengan Perdana Menteri Malaysia yang telah menunjukkan bahawa beliau peka dan tahu bahawa Al-Quran diturunkan supaya ia dapat ditadabbur khususnya kepada rakyat Malaysia.

Saya ingin melahirkan rasa sedih dan kesal dengan nasihat yang dikatakan oleh Najib kerana Perdana Menteri sendiri seolah-olah hanya pandai beri nasihat, hakikatnya Al-Quran dan Islam amat jauh dari amalan dalam kehidupan seharian beliau dan keluarga beliau.
.
Kita sebagai umat islam perlulah sedar hakikat bahawa Islam bukanlah agama yang cuma ditulis di atas kerta, ia wajib diterjemahkan dalam segala konteks hidup dalam erti kata menghayatinya secara menyeluruh.

Rosmah Mansur dan anak perempuan beliau sendiri yang merupakan ahli keluarga yang paling terdekat tidak memakai pakaian yang menutup aurat, ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa perintah Al-Quran itu tidak diamalkan.

Soal amalan pemerintahan pula amat jauh dari konsep keadilan yang diajar di dalam Al-Quran.

Pemimpin perlulah mengelak dari hanya pandai memberi nasihat, rakyat semacam diperbodohkan sedangkan pemimpin tidak melaksanakan kewajipan melaksanakan Al-Quran.

Allah tidak menerima amalan makhluknya yang hanya pandai bercakap tetapi enggan laksana tuntutan dan perintah Allah .

Nampanya pemimpin umno terus berselindung dengan ucapan yang bunyinya Islam namun jauh sekali untuk diamalkan.

Drs Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 19 Ogos 2011

Isteri ditembak mati semasa berjalan

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BOONTON, Amerika Syarikat (AS) – Polis mengesyaki sepasang suami isteri beragama Islam yang berketurunan Pakistan ditembak semasa sedang menolak kereta sorong anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun di sini merupakan sasaran serangan terancang.

Serangan itu berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Dalam kejadian tersebut pada Selasa lalu, si isteri, Nasish Noorani, 27, terbunuh manakala suaminya, Kashif Pervaiz, 26, cedera ditembak sebanyak empat kali.

Kashif menjalani pembedahan di sebuah hospital kelmarin.

POTRET perkahwinan Nasish Noorani dan suaminya, Kashif Pervaiz.

Namun anak mereka tidak ditembak Kashif merupakan pelajar doktor falsafah (Ph-D) di Universiti Harvard dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.

“Kes ini masih dalam siasatan dan pendedahan maklumat pada peringkat ini akan menjejaskan siasatan,” kata pendakwa raya Daerah Morris, Robert Bianchi dalam satu kenyataan.

“Berpandukan maklumat yang telah kami peroleh, sasaran tembakan ini telah dirancang dan kejadian ini bukan kes tembakan rambang yang membahayakan nyawa orang ramai,” tambahnya.

Pasangan suami isteri itu berada di rumah saudara perempuan Nooraini di sini untuk berbuka.

Mereka ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai berbuka puasa.

Laman berita NJ.com melaporkan bahawa lima das tembakan dilepaskan sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan. Noorani ditembak dekat dengan jantungnya manakala suaminya pula ditembak di pergelangan kaki dan bahu.

Polis masih memburu tiga suspek yang terbabit dalam serangan kejam itu. – Agensi

Pakai baju kuning raya tahun ini

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

RAWANG, 19 Ogos: Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Bahron mengajak semua rakyat negara ini memakai baju raya berwarna kuning tahun ini.

Beliau juga mencadangkan agar membuat kuih warna kuning sebagai juadah raya tahun ini.

(Iklan jual baju Melayu kuning untuk raya tahun ini...klik atas gambar untuk maklumat lanjut)

"Jangan lupa juga kita buat pulut kuning," kata Badrul ketika memberikan tazkirah Ramadhan di sebuah surau dekat sini sebaik sahaja selepas solat Terawih.

Cadangan Badrul Amin itu selaras dengan kempen Bersih 2.0 yang menuntut lapan perkara untuk memastikan pilihan raya di Malaysia bersih dan adil.

Warna kuning adalah warna rasmi kempen Bersih sesuai dengan warna diraja kerana mereka mahu menghantar memo tuntutan itu kepada Yang Dipertuan Agung.

Sebuah syarikat, KF Edaran, telah membuat iklan khasnya di Harakahdaily tentang projek mereka menjual baju Melayu warna kuning untuk raya tahun ini.

Mereka menjual sepasang baju Melayu kuning dengan harga RM75 dan yang menariknya ia akan dihantar terus ke rumah pembelinya.

Nilai kita

Dalam tazkirah itu juga, Badrul berkata, umat Islam perlu menilai diri mereka sendiri selain menyalahkan pihak lain dalam isu kristianisasi.

Katanya, institusi masjid dan surau perlu mengkaji, kenapa mereka tidak memberikan khdimat untuk umat Islam yang memerlukan bantuan sehingga pihak gereja pula yang menjadi tempat mereka mendapatkan bantuan.

(Badrul Amin menyampaikan tazkirah di sebuah surau di Rawang)

"Selain itu, di mana institusi zakat kita," kata beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Tetinggi PKR.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz mempertikaikan, siapakah yang mula mengajar bagi benda untuk mendapatkan sokongan ini.

"Umnolah yang ajar..awak tolong saya, saya tolong kamu, ini ajaran Umno," kata Nik Aziz dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Mereka mengulas isu serbuan Jais ke atas gereja Methodist Damansara Utama yang mendapati mereka meraikan umat Islam dengan memberikan bantuan kepada mereka.

harakahdaily/-

Najib gula-gulakan warga Felda untuk tutup isu sebenar

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengeluarkan kenyataan berhubung laporan berhubung pengumuman Perdana Menteri untuk mengagihkan sejumlah wang sebagai duit raya kepada para peneroka felda sebagaimana yang dilaporkan media baru-baru ini.

Laporan tersebut menyebut bahawa sebenarnya Peneroka berhak memperoleh sehingga RM458,000 bagi kerugian selama 15 tahun akibat penipuan Kadar Gred Perahan Asas (OER) kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal.

Didalam laporan ini juga mengulas bahawa Kes ini sudah dibawa ke mahkamah oleh 766 peneroka Felda di Serting (tuntutan RM2 juta) & 964 peneroka di Jengka (tuntutan RM458,000). Ini bermakna jumlah wang yang berhak diperoleh melebihi ‘gula-gula’ daripada Najib.

Sepatutnya warga felda wajar mendapat kilang mini pemproses gula-gula, bukannya gula-gula dari Perdana Menteri sempena musin perayaan yang bekal tiba tidak lama lagi.

Jumlah RM200 sehingga RM400 yang diperuntukkan langsung tidak masuk akal memandangkan kerugian selama 15 tahun yang telah dialami oleh seluruh warga felda disebabkan oleh kelemahan urus tadbir Umno-Bn sendiri.

Setidak-tidaknya mereka (UMNO BN) perlu bertanggung jawab bukannya berbohong dan persenda hak warga Felda.

UMNO BN tidak ikhlas terhadap para peneroka Felda, kerajaan sedaya boleh mahu menutup isu yang sebenarnya, kekayaan felda tidak sampai kepada warga Felda kerana ada pihak yang telah mengambil kesempatan terhadap "cash money" yang ada dalam badan berkanun ini.

Justeru saya berpendapat bahawa perubahan perlu berlaku untuk kestabilan jangka masa panjang berhubung isu felda yang tidak pernah selesai

Negara kita adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber dan hasil bumi , malah Malaysia adalah diantara antara Negara yang boleh membangun dengan memberdayakan aspek pertanian, khazanah ini telah diabaikan . BN ternyata gagal untuk mengurusnya secara baik dan amanah.

Kesannya Malaysia bergantung harap kepada sumber pertanian dari Negara jiran dan kita tidak mampu mengawal kenaikan harga makanan.

Umno-BN telah diberikan peluang begitu lama, selama 53 tahun sepatutnya Malaysia telah maju dalam aspek ini bagi memacu kemajuan Felda dan seluruh warganya.

PRU 13 adalah medannya dimana seluruh warga Felda perlu tolak BN dan beri undi kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan ke arah kemajuan mutlak, bukannya terus menerima gula-gula dan untung yang tidak seberapa dari Najib Razak.

DRS KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 19 OGOS 2011

Tentera hanya perlu setia kepada negara, Agong

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menyelar kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berhubung penafiannya terhadap dakwaan berlakunya manipulasi undi pos.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Zulkifeli, khususnya soal kesetiaan kepada kerajaan adalah "memalukan perkhidmatan" dan menunjukkan kegagalannya memahami konsep kesetiaan dalam konteks negara dan warga.

"Setia dengan siapa? Parti politik tak perlu setia dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Semua orang kena setia kepada negara yang lambangnya ialah YDP (Yang di-Pertuan) Agong," kata Abdul Aziz sambil menyifatkan kenyataan Zulkifeli sebagai pelik.

"ATM - sebagai salah satu cabang perkhidmatan awam persekutuan - hanya perlu setia kepada negara dan Agong. Tak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Perkhidmatan awam wajib neutral, bukan menyebelahi parti pemerintah."

Zulkifeli semalam menyalahkan PAS dan menafikan dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya dalam sidang media anjuran dewan itu di ibu negara.

Sambil menyifatkan perkara itu "tidak boleh berlaku", beliau berkata ATM sentiasa apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Penafian kosong

Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dan setia serta menyokong angkatan tentera.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Abdul Aziz berkata, ATM hanya perlu jalankan perintah kerajaan yang selaras dengan undang-undang.

Sedangkan, dakwanya, apa yang berlaku dalam konteks undi pos adalah jenayah.

"ATM perlu buktikan tidak berlakunya hal itu. Bukan buat penafian kosong. Tubuhkan jawatankuasa penyiasat sekurang-kurangnya," kata pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Abdul Aziz juga berkata, tindakan Zulkifeli 'menyerang' kembali Pemuda PAS yang mengetengahkan isu itu juga tidak wajar kerana dia sepatutnya berterima kasih terhadap dewan itu.

"PAS hanya mewakili rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan bebas dari penipuan. ATM perlu jelaskan yang ia bersih, bukan menuntut rakyat setia kepada ATM ATM adalah milik rakyat. Ini yang panglima ATM kena faham," katanya.

Dengan sinis, Abdul Aziz mengingatkan Zulkifeli supaya tidak mengikuti jejak ketua polis negara dan timbalannya yang didakwa "mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menghina rakyat dan mengengkari perlembagaan".

malaysiakini/-

2 polis Mesir maut serangan udara Israel di Rafah

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -



KAHERAH: Dua anggota polis Mesir terbunuh selepas pesawat tentera udara Israel melepaskan tembakan berdekatan sempadan, lapor agensi berita 
MENA hari ini. 
Kejadian berlaku berdekatan sempadan Rafah yang menyeberangi Gaza. Agensi berita itu memetik pegawai tentera sebagai berkata, serangan itu ada kaitan dengan serangan militan yang menyebabkan tujuh warga Israel terbunuh, awal semalam.

“Pesawat Israel menjalankan tinjauan di sempadan sehingga memasuki Rafah dan menembak ke arah mereka. 

"Ketika itu terdapat beberapa anggota keselamatan dan mereka ditembak oleh pesawat terbabit," kata pegawai itu kepada MENA. - AFP 

Doktor pelatih rentung

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: “Ada eksiden dekat masjid (di Perlis)...hati-hati ketika memandu,” itu antara mesej terakhir mangsa kemalangan, Muhammad Danial Zulkifli, 24, yang dipaparkan dalam akaun Facebook miliknya minggu lalu.

Muhammad Danial yang mengemaskini status akaun facebook miliknya menasihati rakan dalam senarai akaunnya supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya memandangkan banyak berlaku kemalangan terutama pada musim perayaan. Pelajar tahun akhir jurusan perubatan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) itu bagaimana pun meninggal dunia kira-kira jam 7.50 malam kelmarin apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar.

Ibunya, Rosnah Othman, 54, berkata kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada tiga beradik itu adalah ketika mangsa pulang ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya kira-kira dua minggu lalu untuk menyambut kedatangan Ramadan. “Pada waktu itu, dia pulang ke rumah dihantar seorang rakannya. Saya juga sempat meminta bantuannya memandu kereta untuk membawa saya menyelesaikan urusan.

“Dia seorang anak yang baik, pendiam dan mendengar kata orang tua. Tidak banyak perubahan dalam diri Allahyarham sepanjang dia pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenayah anaknya yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Rosnah berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya dua hari sebelum kejadian kemalangan itu berlaku. “Saya tanya pada dia sudah makan atau tidak. Dia jawab mahu keluar sebentar bersama rakannya membeli makanan. “Saya hubungi dia kira-kira jam 8.30 malam iaitu sebelum keluar ke surau menunaikan solat Tarawih, tetapi pada hari kemalangan berlaku, Muhammad Danial keluar seorang diri tanpa membawa rakannya,” katanya. Katanya, dia sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan menganggapnya sebagai suratan takdir.

Sementara itu, bapa mangsa yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, Zulkifli Rahmat, 54, berkata beliau mendapat tahu mengenai kematian Muhammad Danial selepas dimaklumkan polis kelmarin.

Zulkifli berkata difahamkan kejadian berlaku ketika Muhammad Danial dalam perjalanan pulang dari Alor Setar menghala ke Kangar, apabila kereta Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain. “Kawan dia beritahu Muhammad Danial nak cari makan buka puasa di Alor Setar dan tak mahu buka puasa di rumah.

“Dalam perjalanan, Allahyarham ubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya, sambil memaklumkan anaknya itu bakal menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini.

Zulkifli berkata, sebelum meninggalkan pusara Allahyarham, dia sempat berpesan supaya Muhammad Danial tinggal di alam sana dengan tenang dan mereka sekeluarga sentiasa mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

metro/-

Satu maut, 5 cedera serangan udara Israel di Gaza

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -



BANDARAYA GAZA: Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan bom ke atas Gaza sepanjang malam tadi dengan seorang remaja dilaporkan terkorban manakala lima lagi cedera, kata sumber pasukan perubatan Palestin. 

Sementara itu, jurucakap tentera Israel tidak mahu mengesah atau menafikan berlakunya serangan udara itu.
Serangan bom berlaku selepas beberapa siri serangan biasa dilancarkan tentera Israel berdekatan kawasan peranginan di selatan Eilat yang mengorbankan lapan nyawa sebelum ini.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata serangan itu berpunca dari kumpulan dalaman di Gaza tetapi Hamas menafikan sebarang pembabitannya. - AFP 

Dua beradik ditahan bersama senjata api, peluru hidup

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KANGAR: Polis menahan dua beradik dan merampas sejumlah besar senjata api dan ribuan peluru hidup serta pelbagai senjata berbahaya lain dalam beberapa serbuan di sekitar Taman Perlis, di sini, petang semalam.

berita harian/-

AS kenakan sekatan baru terhadap Syria

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -



WASHINGTON 19 Ogos - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mengenakan sekatan baru terhadap kerajaan Syria melibatkan pembekuan semua aset di negara ini selain pembekuan produk petroleum dari Syria.

AS juga menyenarai hitam kumpulan baru syarikat Syria termasuk General Petroleum Corporation yang mengawal industri minyak dan gas.

Dalam pada itu, AS dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) turut menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad meletakkan jawatannya kerana menganggap kerajaan Syria tidak lagi diiktiraf oleh rakyatnya. - Reuters

Umar Patek bakal hadapi hukuman mati

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -



JAKARTA 19 Ogos - Polis Indonesia akan mendakwa suspek pengebom serangan Bali 2002, Umar Patek di bawah undang-undang antikeganasan dan pembunuhan terancang, kedua-dua hukuman yang boleh membawa kepada hukuman mati jika didapati bersalah.

Jurucakap polis, Anton Bachrul Alam berkata, suspek berusia 41 tahun yang ditangkap di Pakistan awal tahun ini, telah melanggar undang-undang antikeganasan 2003 kerana menyeludup senjata dan menyembunyikan maklumat mengenai kem latihan pengganas.

Dia juga akan didakwa dengan tuduhan pembunuhan terancang di bawah akta jenayah kerana terlibat dalam pembunuhan 202 orang ketika serangan bom di Bali pada 2002. - AFP

Hisham: Lebih 2 juta pendatang sudah mendaftar

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seramai 2,040,709 orang pekerja sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah mendaftar untuk Program 6P setakat 8 pagi semalam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pekerja sah adalah seramai 936,732 orang manakala PATI berjumlah 1,103,977 orang.

Menurutnya angka itu di luar jangkaan kerajaan terutamanya ketika tempoh pendaftaran berikutan jumlah yang tinggi dalam masa singkat.

"Ini satu jumlah luar dugaan kita dalam konteks pendaftaran, kerana selepas ini ada lagi proses pemutihan, pengampunan, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan.

"Oleh itu, dalam masa beberapa hari ini, saya merayu sangat kepada mereka yang belum mendaftar supaya tampil untuk mendaftarkan diri dengan segera," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur, malam semalam.

Beliau juga menafikan mereka akan dihantar pulang ke negara masing-masing selepas mendaftarkan diri dan menyifatkannya sebagai dakwaan bagi menggagalkan program 6P itu.

"Ada yang menuduh bahawa peralatan biometrik itu bermasalah...ia hanyalah tuduhan semata-mata kerana jika ada masalah besar, sudah pasti pendaftaran tidak mencecah 2 juta orang," katanya.

Hishammuddin berkata jumlah PATI terbesar ialah dari Indonesia iaitu seramai 551,268 orang diikuti Bangladesh seramai 241,538 orang manakala pekerja sah juga didahului oleh Indonesia dengan 361,431 orang dan Bangladesh 116,960 orang.

"Ini bermakna kerjasama yang kita wujudkan dengan kerajaan Bangladesh dan Kedutaan Indonesia merupakan satu perancangan awal yang sudah pun berjaya kerana jumlah yang ramai mendaftar dari kedua-dua negara ini.

"Saya mengucapkan terima kasih sangat kepada kedua-dua wakil negara-negara ini dan kerjasama ini akan kita teruskan," katanya.

Hishammuddin berkata proses itu perlu dilakukan kerana kerajaan sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar pendatang asing yang berada di negara ini.

"Sebenarnya, daripada awal lagi kita membuat keputusan berani untuk meneruskan program ini kerana kita tidak tahu berapa ramai pekerja asing di negara kita.

"Jumlah 2 juta ini adalah mereka yang berdaftar secara sukarela dan belum lagi memasuki proses pemutihan dan penguatkuasaan dan jumlah ini tidak mustahil untuk menjadi lebih besar," katanya.

Pada majlis malam itu, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper dan wang tunai kepada anak-anak yatim dari sekitar Lembah Kelang.

Beliau turut meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-50 bersama-sama anggota Umno Bahagian Semberong.

- Bernama

Penculik bapa pemain Chelsea minta wang tebusan

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -



LONDON 19 Ogos - Penculik bapa pemain tengah Chelsea John Obi Mikel telah meminta sejumlah wang tebusan daripada keluarga mangsa, kata wakil Mikel dalam satu kenyataan semalam.

Sport Entertainment and Media Group (SEM) berkata, penculik telah menghubungi keluarga Mikel dan minta sejumlah wang tebusan untuk dia dibebaskan dengan selamat.

SEM bagaimanapun menafikan laporan penculik di Nigeria itu telah meminta wang tebusan berjumlah 80,000 pound (RM384,000). - AFP

Kes Sosilawati: Utusan diperintah tunjuk sebab

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan seorang wartawan dan editor Utusan Malaysia supaya memberi penjelasan berhubung satu artikel yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam itu yang mewakili tertuduh pertama bekas peguam, N Pathmanabhan.

Terdahulu, sebelum meneruskan prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) Manjeet (kanan) membangkitkan mengenai penerbitan artikel bertajuk "Manjeet selalu burukkan kerajaan" di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos 2011 yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang masih berjalan.

Sambil menunjukkan salinan fotokopi artikel itu, beliau berkata selain Utusan Malaysia, artikel itu turut disiarkan oleh Berita TV3.

Manjeet berkata akhbar itu tidak mempunyai asas untuk mengeluarkan komen yang tidak benar di mana ia mendakwa terdapat campur tangan politik dalam perbicaraan itu dan mendakwa pihak pembelaan (dalam kes bunuh Sosilawati) merupakan alat kepada pemimpin pembangkang.

"Perbuatan itu mempunyai niat yang tersembunyi dan saya mencadangkan Yang Arif mengendahkan komen yang merupakan pemglibatan terus dan campur tangan dalam perbicaraan yang sedang berjalan.

"Orang yang membuat komen dalam artikel itu adalah orang yang sama bercakap di TV3 iaitu N Gobalakrishan (kiri), Ahli Parlimen Padang Serai. Saya tidak kenal orang ini, saya tidak pernah berjumpa dengannya dan tidak tahu di mana dia mendapat pembohongan ini.

"Wartawan Utusan Malaysia ialah Raja Syahrir Abu Bakar tetapi tidak tahu wartawan TV3 sehingga ini. Saya memohon Yang Arif melindungi martabat mahkamah ini, maruah anda dan juga pentadbiran kehakiman dan saya gesa anda memanggil wartawan, Gobalakrishnan dan editor akhbar itu ke mahkamah ini," kata Manjeet.

Dalam artikel berkenaan, Gobalakrishnan diminta memberi ulasan berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas pihak pendakwaan kes pembunuhan itu.

Manjeet berkata semua individu berkenaan diharap akan hadir ke mahkamah untuk meminta maaf dan menarik balik semua kenyataan itu dan mereka juga perlu diberi peringatan jika mengulangi perkara yang sama mereka akan menerima akibatnya.

Selain itu, beliau berkata ia juga adalah sebagai peringatan kepada pihak lain yang tidak menghormati pihak mahkamah.

Akhtar kemudian berkata beliau telah membaca artikel itu dan berpendapat bahawa tindakan mengaitkan kes tersebut dengan politik adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata setiap serangan yang dilakukan terhadap pihak pembelaan juga merupakan satu serangan kepada mahkamah apatah lagi komen itu telah diterbitkan di akhbar.

"Saya mahu wartawan itu dan editornya hadir di mahkamah bagi memberi penjelasan. Pihak media, selepas insiden pertama sebelum ini, telah melaporkan kes ini dengan fakta yang tepat dan editor perlu tahu bahawa komen seperti itu tidak sepatutnya dibuat dan diterbitkan terutama ketika perbicaraan masih berjalan.

"Kamu wartawan perlu ambil perhatian dan maklumkan kepada pihak atasan kamu bahawa perbuatan ini adalah subjudis dan boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah. Orang awam boleh beri pandangan mereka tetapi bukan kepada pihak akhbar," katanya.

Akhtar sebelum ini pernah memberi amaran kepada pihak media supaya melaporkan perbicaraan kes itu dengan tepat selepas Manjeet membangkitkan mengenai satu tajuk berita dalam akhbar New Straits Times yang didakwa memprejudiskan tertuduh-tertuduh dalam kes itu.

Sementara itu, seorang saksi, ASP M Mariappan, 49, yang bertugas di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor memberitahu prosiding TWT bahawa tertuduh kedua, T Thilaiyalagan dan tertuduh ketiga R Matan telah dipindahkan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke lokap Balai Polis Kuang dan Balai Polis Kundang dekat Shah Alam pada 11 Sept 2010.

Beliau berkata pemindahan itu diarah dilakukan bagi menjaga keselamatan kedua-dua tertuduh memandangkan mereka ketika itu merupakan suspek kes bunuh berprofil tinggi yang melibatkan isu perkauman.

Balai Polis Kuang dan Kundang terletak di bawah pentadbiran IPD Gombak.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin apa yang beliau maksudkan sebagai isu perkauman, Mariappan yang ketika itu bertugas sebagai pemangku ketua bahagian siasatan jenayah daerah IPD Gombak berkata, kes berkenaan ialah kes bunuh Datuk Sosilawati dan majoriti tahanan di lokap IPD Gombak berbangsa Melayu, justeru beliau tidak mahu tertuduh terlibat dalam sebarang pergaduhan.

Mariappan memberi keterangan pada TWT bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan tertuduh keempat, R Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, serta tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan disambung hari ini.

- Bernama

Berpuasa belum tentu bertakwa

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Orang yang menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadhan belum tentu bertakwa, lebih-lebih lagi sekiranya mereka menentang perjuangan Islam dalam kehidupannya di dunia ini.

Manusia seperti itu banyak terdapat di muka bumi Allah ini dan mereka juga adalah antara golongan yang disebutkan oleh Rasulullah saw dalam jumlah yang banyak di kalangan umat Islam, tetapi hanyalah seperti buih.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Selangor, Tarmizi Md Din berkata, antara tanda orang yang tidak bertakwa termasuklah para pemimpin yang tergamak atau sanggup menyalahgunakan wang rakyat.

Menurut beliau, sehubungan itu, setiap pemimpin berkewajipan memerhatikan isteri dan anak-anak mereka supaya tidak turut menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

"Jadi dalam hal ini, kalau ada isteri pemimpin yang sanggup menyalahgunakan wang rakyat sehingga RM24 juta hanya untuk membeli cincin, adakah orang seperti itu bertakwa?" katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, semalam.

Pemimpin dan isteri pemimpin yang sanggup mencuri wang rakyat dan mengkhianati amanah rakyat, menurut beliau, adalah manusia yang mempunyai penyakit di dalam hatinya.

"Dalam hadis, Rasulullah saw menjelaskan, penyakit yang ada di dalam hati orang seperti itu adalah penyakit waham, manakala penyakit waham itu ada dua perkara iaitu cintakan dunia dan benci kepada mati," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Gombak menasihatkan setiap umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah agar tidak turut tergolong dalam golongan itu demi kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

Katanya, umat Islam di seluruh dunia kini sudah tidak lagi disegani dan ditakuti oleh orang-orang bukan Islam sehingga menyebabkan umat Islam sering diperlakukan dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh orang-orang kafir.

"Maklumat terbaru yang kita perolehi menunjukkan umat Islam di sesetengah negara kini telah dilarang berpuasa. Malah sekiranya berpuasa, mereka akan dipenjarakan dan dihukum,"katanya.

Dalam kes terbaru lain, katanya, terdapat seorang isteri yang menang dalam perbicaraan di mahkamah di luar negara berhubung isu pemakaian tudung lalu dibenarkan memakai tudung.

"Seorang lelaki yang memusuuhi Islam yang berada di dalam mahkamah itu tiba-tiba terus menikam wanita tersebut berbelas kali. Suami wanita itu berusaha menyelamatkan isterinya kemudian turut ditikam oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan kedua-duanya terbunuh.

"Kejadian tersebut berlaku di sebuah negara bukan umat Islam, di dalam mahkamah dan di hadapan hakim yang mengadili kes itu dan turut memberikan kemenangan kepada wanita tersebut.

"Tetapi sudahnya kes itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pembellaan dari sebarang pihak. Begitulah lemahnya umat Islam di seluruh dunia sekarang," ujarnya.

Kejadian tersebut, menurutnya, perlu direnungi dengan mendalam oleh setiap umat Islam kerana ia berpunca dari kesilapan umat Islam sendiri yang tidak benar-benar berpegang dengan ajaran islam dalam pelbagai aspek seperti yang dituntut oleh Allah.

"Ini menjadikan umat Islam hidup dalam keadaan terhina kerana tidak mendapat pertolongan Allah dalam pelbagai aspek, malah perasaan takut kepada umat Islam turut dicabut oleh Allah dari hati orang-orang kafir," katanya.

Untuk menebus maruah, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak hanya Islam pada nama, tetapi beramal dengan ajaran Islam secara sumul dengan berbekalkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan yang dilakukan.

harakahdaily/-

Mat Sabu: Isu Kristianisasi modal politik Umno

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Isu murtad dan proses Kristianisasi yang dipelopori oleh media arus perdana milik Umno-BN adalah sekadar untuk dipolitikkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak mempercayai propaganda Umno pada masa ini yang kononnya menampakkan kumpulan tersebut membela Islam.

“Jadi tak perlulah percaya dengan provokasi media Umno pada masa ini yang begitu agresif memainkan isu gereja dan murtad. Kenapa setelah puluhan ribu dilaporkan murtad sepanjang Umno/ BN berkuasa baru sekarang tiba-tiba melenting?

“Saya masih ingat dulu saya telah berceramah tentang ada orang Melayu yang dikristiankan dan saya dedahkan ada paderi berbangsa Melayu, tapi selepas itu saya yang kena ISA,” katanya yang dipetik oleh Harakahdaily.

Sejak kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu yang dikaitkan dengan laporan murtad, rakyat saban hari disajikan dengan ledakan pelbagai bukti oleh media dan blog-blog pro-Umno.

Rabu lalu, satu laporan yang didakwa ditulis oleh seorang pegawai kanan JAIS berhubung pemeriksaan di premis gereja itu telah disebarkan di internet mankala klip video berhubung kejadian berkenaan juga telah dimuat-naikkan.

Meskipun laporan rasmi belum dikemukakan kepda Sultan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, namun nama penuh dan kad pengenalan 12 orang Islam yang dikatakan hadir di majlis makan malam itu juga telah disenaraikan.

Begitu juga dengan bukti-bukti lain termasuklah kertas soal-selidik dan jumlah wang yang dibekalkan, dan lagu-lagu yang didakwa dinyanyikan pada malam berkenaan.

Bagi pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, lebih mencurigakan tindakan itu disusuli dengan demonstrasi yang dilakukan oleh Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor yang diadakan di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk membawa penyapu tandas, mangkuk tandas untuk dihantar ke pejabat menteri besar.

“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses Kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal Tuan Ibrahim dalam kenytaan medianya semalam.

Bagi pemimpin PAS, tindakan itu hanya menguatkan lagi perasaan curiga mereka bahawa dakwaan usaha pengkristianan di negara ini sebenarnya didalangi oleh Umno sebagai modal politik.

Mengulas isu itu, Mohamad Sabu semasa merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang di Darul Amin, Sungai Gau, Temerloh semalam berkata pergantungan Umno sekarang hanyalah kepada orang Melayu setelah mereka tidak yakin lagi untuk meraih majoriti undi bukan Melayu sebab itulah mereka mainkan isu agama dan perkauman.

“Saya kalau nak beritahu, Umno kalau betul-betul nak jaga Islam mereka tak tukar cuti hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang berlaku di Johor dan Perlis,” katanya.

malaysiakini/-