25 Oktober 2010

Ansari Abdullah calon PKR di Batu Sapi

16 Zulkaidah 1431H.

SANDAKAN, 24 Okt: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan peguam, Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman itu dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi di Dewan Hakka, Jalan Utara, dekat sini.

Turut bersama di majlis pengisytiharan calon itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Barisan Nasional mengumumkan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Datin Linda Tsen yang juga Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura sebagai calon parti itu.

PRK yang akan berlangsung 4 November ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Parti maju Sabah (SAPP) membuat keputusan untuk meletakkan calon.

P'raya Galas: K'tan isytihar 4 Nov cuti peristiwa

16 Zulkaidah 1431H.

Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 November sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil DUN Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini.

PAS telah menamakan calonnya - Dr Zulkefli Mohamad sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan sebentar tadi Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, Mohd Aziz Yusof sebagai calon BN .

Isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah calon BN Batu Sapi

16 Zulkaidah 1431H.

BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

Mohd Aziz Yusof calon BN di Galas

16 Zulkaidah 1431H.

GUA MUSANG : Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, Mohd Aziz Yusof diumumkan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini.

PAS telah menamakan calonnya - Dr Zulkefli Mohamad - sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Dr Zulkefli adalah pemangku yang dipertua PAS Gua Musang.

Fitnah: Dr Zulkefli akan ambil tindakan undang-undang

16 Zulkaidah 1431H.

GUA MUSANG, 24 Okt: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Dr Zulkefli Mohamad berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama peguamnya, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya pada sidang media semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama ialah Peguam Abu Daud Wan Abdul Rahim dari Azmi & Co.

Terbaru selepas diisytiharkan calon PAS bagi Dun Galas, Dr Zulkefli dilaporkan media Umno-Online bahawa Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang itu pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramlelah Mat Jusoh.

Bagaimana pun, Dr Zulkefli dengan tegas menafikannya kerana Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya, sedangkan isterinya ialah Zainab Jalar.

“Berkenaan dengan hak yang dikeluarkan dalam Umno-Online yang dikatakan saya terlibat dalamkes khalwat, kemudian diletak pula nama Ramelah binti Mat Jusoh.

“Ramelah binti Mat Jusoh itu adalah sebenarnya emak saya, dan untuk kes khalwat ini sepatutnya dibuat semakan di mana-mana Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah untuk dipastikan, dan (kes yang dibangkitkan ini) saya menafikan sekeras-kerasnya.

“Sebenarnya tidak ada kes ini, (hanya) dibangkit sebagai fitnah saja,” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengulas perkara itu berkata isu timbul tanpa ada asasnya.

“Sengaja diada-adakan isu,” katanya.

Harakahdaily/-

ULARMAK MUDA DALAM UMNO MULA TERPALIT `NAJIS' DALAM `TONG NAJIS'

16 Zulkaidah 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

AKHIRNYA Pembangkang terutamanya PAS yang kena belasah oleh `Ularmak Muda' Umno apabila PAS mengkritik dan menentang penganjuran `Festival Busana Islam' (IFF) yang melibatkan bini Najib si Rosmah. Seperti yang kita jangkakan, `ularmak' Umno ini menyalahkan PAS kerana `tidak tarik tangan' si Rosmah dan `menasihat' beliau. Itulah yang Islam ajar, kata si `ularmak' ini. Baca sini.

Bukan salah si Rosmah, katanya. Si Rosmah hanya `Penaung', yang salah `Penganjur'. Lihatlah betapa `ularmak' ini mempertahankan si Rosmah. Beliau mengaku tidak bersetuju penganjuran itu dikaitkan dengan Islam, tetapi untuk menunjukkan `ularmak' ini tidak bersetuju, maka disebutlah sang Rosmah `tidak bersalah' kerana dia hanya `Penaung'. Jika begitu hukumnya, bolehlah kita menjadi `Penaung' syarikat Judi, kilang arak dan pelacuran kot.

`Ularmak' muda yang duduk dalam `tong najis' cuba untuk mencuci najis di dalam tong berkenaan. Awal mula kita sudah lihat bagaimana najis terpalit di sebahagian tubuhnya. Pecayalah, tidak lama lagi seluruh tubuh si `ularmak' ini dipenuhi najis. Siapa di antara mereka sekarang sedang `menarik tangan' si Rosmah dan memberikan nasihat umpama si bapa beri nasihat kepada anak yang belum `mumayyiz'. Cubalah, jika ada keberanian `ularmak' itu untuk mendekati Rosmah, jauh sekali untuk menasihatinya.

Pendekatan PAS waktu ini amat lembut untuk menegur bini Najib yang semakin jauh terpesong itu. Cara demontrasi aman dan menghantar memorandum itu kasar sangatkah? Mana lebih kasar dengan semburan air kimia atau belantan di kepala oleh FRU? Beranikah `ularmak' ini memberi jaminan bahawa Rosmah bersedia untuk menerima tazkirah dari PAS tentang isu ini? Jika ada jaminan, saya percaya PAS sanggup bersemuka dengan Rosmah malahan lakinya Najib itu. Kalau `ularmak' dalam Umno itu pun tidak dapat mendekati Rosmah dan menasihatinya, masakan PAS dapat berbuat demikian. Jika `ularmak' muda itu sudah pun berjumpa Rosmah, mengapa Rosmah tidak mematuhi nasihat dari `ularmak' muda itu?

Nampaknya memang jelas, tepat seperti yang kita jangkakan bahawa kehadiran `ularmak' muda di dalam Umno hanyalah untuk mempertahankan sang Rosmah. Di dalam perhimpunan Umno di PWTC, di depan Najib, mereka mempertahankan Rosmah. Oleh itu, apa lagi ahli-ahli Umno mahu tunggu? Siapa lagi yang mereka boleh harapkan untuk membela Islam di dalam Umno? Jika mereka benar-benar cintakan Islam, mereka wajib keluar dari Umno sertamerta./wfauzdin.blogspot.com

PUTERI UMNO DAN MUSLIMAT PAS SAMA ?

16 Zulkaidah 1431H.
Oleh: Mandor

MAHU tergelak pun ada, kesihan pun ada apabila mendapat tahu di sini bahawa Puteri Umno mendakwa PAS telah mula meniru mereka. Apa yang aku tahu, semakin hari semakin banyak Umno meniru PAS atau PR. Contohnya terbaru cuti bersalin 90 hari.

Usahlah Puteri Umno terperasan pula. Dari segi pemakaian pun sudah jauh beza Muslimat PAS dengan Puteri Umno. Dari segi dasar lagi la jauh beza malahan jauh bertentangan. Soal PAS kafirkan Umno, itu soal lapuk, soal fitnah terhadap PAS yang Umno sendiri cipta. Sebab itu, bila suatu ketika mahu diadakan debat Umno - PAS tentang tajuk `PAS KAFIRKAN UMNO', mengapa Umno takut berdepan dalam debat tersebut? Jawapannya, sebab Umno tahu bahawa tajuk itu tidak akan membantu mereka bahkan akan kena di atas kepala Umno sendiri.

Maka, Umno buat debat `olok-olok' kununnya debat `Umno - PAS' dalam isu `Takfir'. Anda boleh lihat di dalam youtube debat olok-olok berkenaan. Dalam debat tersebut, kununnya ada ulama Umno dan `ulama PAS'. `Ulama PAS' dilakonkan oleh ulamak Umno juga tetapi dikira lebih cerdik sedikit dari ulamak Umno dalam debat tersebut. Lucunya, dalam debat isu `Takfir' yang olok-olok itu pun ulama Umno terduduk. `Ulama PAS' lakonan mereka secara `tidak sengaja' membelasah ulama Umno. Ini menunjukkan bahawa perjuangan PAS yang berlandaskan Islam, berpandukan Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Ulamak itu tidak mampu di`tipu' oleh Umno di dalam lakonan debat mereka. Maha Suci Allah, Al-Quran itu adalah Mukjizat dan tiada siapa boleh memperdaya Al-Quran.

Jadi, dakwaan Puteri Umno yang `suku masak' dalam politik itu adalah dakwaan `penyedap hati'. Dalam usul agama mereka di Perhimpunan Umno kali ini, Puteri Umno sebenarnya tiada modal untuk berucap. Mereka tidak berdaya untuk menegur Rosmah yang menjadi `Penaung' dalam satu festival pakaian Islam yang mempamirkan unsur sesat itu. Sewajarnya Puteri Umno di dalam usul agamanya simpati dengan maruah wanita Islam yang dipersendakan oleh Rosmah. Namun, apakan daya sedangkan `ularmak muda' dalam Umno pun `cover' si Rosmah. Tunggu sahajalah Umno akan jahanam angkara Rosmah./mandor.blogspot.com

Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas

16 Zulkaidah 1431H.

KUALA LUMPUR, 23 Okt: "Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.

Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam.

"Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

"Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya?

“Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu?

"Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat," katanya.

Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat.

Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur.

"IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo," tambahnya.

Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu.

Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam.

Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu.

"Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya.

"Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam," katanya.