IPOH, 21 Ogos :-Mahkamah Tinggi Ipoh telah memendekkan perintah reman ke atas 5 orang yang ditahan daripada tiga kepada dua hari. Perintah reman ke atas lima orang berkenaan hanya berakhir esok, tetapi mereka dibebaskan sebagai mana yang diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman yang dibacanya pada jam 5.30 petang hari ini.Kapten Husaili dibebaskan sekitar jam 6.20 petang dan Yb. Osman dibebaskan pada jam 7.00 malam di pejabat BPR Ipoh dengan sorakan dan laungan reformasi dari hampir 100 orang penyokong yang menunggu sejak awal . Sebelum itu bandaraya Ipoh disirami dengan hujan lebat sejak jam 3 petang.
Hadir sama menunggu sehingga mereka dilepaskan ialah Exco Kerajaan Perak, Hj. Zainuddin Yusof dan En. Thomas Su, dan ADUN , Drs. Khalil Idham Lim dan Hj. Hussin Din. Kelihatan sama Pengerusi PKR Perak, Hj. Ismail dan Setiausaha Akhbar MB Perak, Anuar Hashim.
Yb. Osman dibebaskan.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan oleh lapan peguam yang mewakili lima suspek itu untuk penyemakan semula perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret semalam.
Ridwan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat tempoh dua hari sudah mencukupi bagi BPR menjalankan siasatan.
Pengerusi PKR Perak dan Kapten Husaili yang dibebaskan.
Beliau juga berkata tidak ada kesilapan dalam keputusan Majistret Noor Aini Yusof mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari itu dan ia dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
