11 Januari 2012

Parti KITA Melaka dibubarkan, ahli masuk PKR

17 Safar 1433H. [MOD] -

Satu-satunya cawangan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Melaka yang mempunyai keahlian seramai 60 orang hari ini bertindak membubarkan parti berkenaan sekaligus memasuki PKR di bawah Cabang Tangga Batu, Melaka.

Menurut bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh, tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah terkeluar daripada perjuangan asal parti.

Justeru katanya, ahli terkeliru dengan perjuangan yang dibawa presidennya, Datuk Zahid Ibrahim.

"Kita telah mengambil keputusan bahawa kita tidak lagi menyokong parti KITA kerana akar umbi yang bersama-sama kita di sini sudah keliru dengan perjuangan yang dibawa Datuk Zahid Ibrahim dan juga parti KITA.

"Penubuhannya empat bulan sebelum itu memang ada pelbagai aktiviti tetapi selepas itu sehingga sekarang kira-kira dalam enam bulan dan tujuh bulan setelah itu kita tidak dipanggil untuk bermesyuarat, mungkin telah dipinggirkan berikutan tiada gerak kerja parti yang dijalankan.

Turunkan papan tanda

"Kita ada pejabat iaitu di Taman Gadong Perdana, Pulau Gadong Melaka, tetapi kita hanya bergerak dalam negeri Melaka sahaja dan pusat tidak pernah memanggil kita atau memberi arahan melakukan gerak kerja dan lain-lain," katanya pada sidang media di perkarangan bekas pejabat parti berkenaan hari ini.

Sebaik sahaja papan tanda parti itu diturunkan di premis berkenaan Hashim bertindak menyerah 60 borang keahlian PKR kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, bekas setiausaha agung parti KITA yang dipecat 10 Disember lalu, Abdul Latif A Tambi yang turut dijemput pada majlis berkenaan mendakwa setakat ini hanya parti KITA cawangan Kedah sahaja yang dilihat aktif sementara yang lain sepi.

"Biarpun parti KITA adalah sebuah parti yang sah namun kita masih meragui pada peringkat cawangan di Melaka kerana ia dikatakan masih tidak memperolehi kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Mungkin mereka tidak mahu wujudkan lagi cawangan ini, jadi saya rasa eloklah kami bubar dan berjuang di bawah parti lain yang sesuai kepada kehendaki kita justeru kami memilih PKR.

"Kita bekerja bukan untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat tetapi bekerja untuk menumbangkan BN dan Umno dan kita akan bekerja kuat menerusi PKR Cabang Tangga Batu untuk menyatukan kekuatan kita.

"Kita nampak Datuk Zahid Ibrahim tiada tumpuan dan terlalu berubah kerana suatu ketika dahulu dia terlalu taksub memuji-muji BN sehingga melakukan "road show" meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menyokong transformasi BN itu sendiri dan menidakkan keupayaan Pakatan Rakyat terutama PKR.

Memohon maaf

"Tetapi sejak akhir-akhirnya setelah dia kurang mendapat perhatian daripada BN dia memuji pula Pakatan Rakyat dan tidak mahu bertanding enggan tidak mahu meletakkan sebarang calon semata-mata mahu menyokong pembangkang.

"Dua tiga hari lepas menerusi laman sosial Twitter dia memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah nampak macam tidak ada pendirian jadi kita merasakan tidak patut lagi mengikut pemimpin seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul menyambut baik kemasukan seramai 60 ahli dari parti KITA ke dalam PKR.

"Saya ingin menyeru semua ahli KITA seluruh negara untuk bersama sama Pakatan Rakyat dan kita mengambil pendirian tegas di dalam persiapan PRU 13 nanti.

"Kita memerlukan sokongan dari semua segmen dalam masyarakat sama ada yang pernah menentang PKR dan Anwar.

"Selepas pembebasan kes liwat Datuk Seri Anwar telah mula menampak cahaya baru dan rakyat sedar ia merupakan fitnah politik," katanya.

Parti KITA dilancarkan pada 12 Jan 2010 oleh Zahid manakala cawangan KITA di Melaka mula diwujudkan pada 19 Jun 2011.

Pembubarangan itu bermakna parti berkenaan hanya bertahan dalam tempoh kira-kira enam bulan sahaja di Melaka.

malaysiakini/-

Foto hari ini : Kereta terbang.


Safar 1433H. [MOD] - PEMILIK memeriksa keadaan kenderaannya yang rosak teruk selepas sebuah PERODUA Myvi yang terbabas dan merempuh longgokan pasir lalu terbang dan tersangkut di atas bumbung vannya di Jalan Perkeliling, Kota Bharu, 7.30 pagi tadi. - Foto Zaman Huri Isa

Hasan Ali masih exco, tapi tak hadir mesyuarat

17 Safar 1433H. [MOD] -

Selangor exco member Hasan Ali, yang dipecat daripada PAS Ahad lalu, tidak menghadiri mesyuarat exco hari ini, kata rakan sejawatannya, Ronnie Liu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat exco hari ini, Liu berkata Hasan "sedang bercuti", dan berkata isu penggantian Dr Hasan "belum lagi" dibincangkan.

Beliau juga enggan mengulas panjang sebaliknya meminta pemberita bertanya perkara itu kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

"Tunggu MB (beri penjelasan)," katanya.

Khalid tidak hadir dalam sidang media hari ini kerana mempunyai program di tempat lain.

Selain Liu, exco lain yang hadir ialah Iskandar Samad dan Halimah Ali daripada PAS dan Yaacob Sapari daripada PKR.

Sementara itu, Iskandar pula berkata pihaknya kini masih menunggu arahan daripada presiden parti untuk memutuskan ADUN yang patut menggantikan Dr Hasan.

"Kena tunggu presiden. Kita tak boleh mendahului presiden. Apa-apa pun kita kena tunggu," katanya ketika ditanya tentang proses penggantian itu.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Dr Hasan setakat ini belum berhasil.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid dijadual mengadap Sultan Selangor Jumaat depan bagi membincangkan isu panas itu.

Malaysiakini/-

Porsche perkenalkan 911 Carrera Cabriolet

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Porsche telah memperkenalkan 911 Carrera Cabriolet di Pameran Auto Amerika Utara, Detroit, Amerika Syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Matthias Mueller dalam ucapannya berkata: “Jurutera kami telah membina 911 terbaik dalam tempoh 48 tahun.

” Model-model Cabriolet baharu itu bermula dengan 911 Carrera, dikuasakan dengan 350 kuasa kuda, (257kW), 3.4-liter enjin enam silinder dan 911 Carrera S dengan 400hp (294kW) enjin pipih dan pengalihan 3.8 liter.

Kereta itu lebih ringan, sporty, menggunakan kurang bahan bakar dan menyediakan keselesaan perjalanan. — BERNAMA

Pihak Berkuasa Indonesia Tingkatkan Langkah Pencegahan Selesema Burung

17 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Berikutan satu kematian seorang lelaki di Jakarta Utara yang disyaki akibat jangkitan virus H5N1 atau selesema burung pada Sabtu lalu, pihak berkuasa Indonesia meningkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap gelaja penyakit itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Ali Gufron Mukti berkata kerajaan sedang menangani hal itu secara lebih profesional sebagai langkah mengelakkan penyakit selesema burung daripada menular di masa depan.

Ia termasuklah sumber-sumber penularan selain menyediakan hospital tertentu untuk menangani masalah itu jika berlaku kes selesema burung di masa depan, katanya di sini, Selasa.

Sementara itu, Menteri Pertanian Suswono berkata Indonesia belum sepenuhnya bebas daripada virus selesema burung.

"Yang penting, kami berharap masyarakat tidak segan-segan jika ada ayam tiba-tiba mati segeralah melaporkannya, jangan sembunyikannya. Apa lagi jika kes ada ayam mati dan ada pihak berkaitan pula sakit, maklumatnya harus lebih cepat lagi," katanya.

Suswono juga meminta semua agensi berkaitan di Kementerian Pertanian supaya memantau kes-kes yang disyaki jangkitan selesema burung.

Media tempatan republik itu melaporkan bahawa bahagian kesihatan Kerajaan tempatan Jakarta pada Selasa menjalankan operasi memeriksa unggas yang sakit di sekitar kawasan Jakarta Timur selain menguatkuasakan peraturan larangan penternakan unggas dalam kawasan 25 meter dari kediaman.

Dalam operasi itu, beberapa unggas yang dipelihara dalam kawasan terlarang dimusnahkan.

Lelaki berusia 23 tahun itu dilaporkan memelihara burung merpati di sekitar rumahnya. - BERNAMA

PAS: Mengapa kumpulan 901 mahu letupkan diri sendiri?

17 Safar 1433H. [MOD] -

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata adalah "tidak masuk akal" bahawa ketiga-tiga letupan yang berlaku di perkarangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu dibawa oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Katanya, ini kerana bom-bom berkenaan telah menyebabkan kecederaan kepada penyokong Pakatan sendiri dan merosakkan beberapa kenderaan mereka.

“Polis kena perjelaskan dari pihak mana. Takkan orang yang simpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang letak hingga kereta exco pun kena," katanya kepada Malaysiakini.

Mahfuz merujuk laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, yang memetik sumber polis mendakwa letupan dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

Selain kumpulan itu, turut mengadakan perhimpunan pada pagi yang sama adalah kira-kira 50 penyokong pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang terdiri kebanyakan mereka oleh ahli kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dan Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida).

Kehadiran penyokong itu, di bawah panji Pertubuhan Permufakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), bagaimanapun juga mencetus kekecohan dan juga pergaduhan kecil apabila mereka berarak ke kawasan mahkamah tetapi berjaya dileraikan polis.

Mahfuz juga berkata kebocoran maklumat polis itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu siasatan dijalankan sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat.

Belum ada keputusan siapa ganti Hasan Ali

“Polis jangan begitu mudah buat andaian ia (letupan itu) dibuat oleh peserta (perhimpunan), katanya selepas mengumumkan perkembangan konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Star pada Sabtu ini.

NONE“Saya percaya polis ada kamera? Itu sesuatu yang malang jika tiada kerana kita boleh lihat bagaimana kejadian berlaku,” kata Mahfuz (dua dari kiri).

Tiga letupan berlaku berhampiran kompleks mahkamah pada Isnin lalu. Kejadian itu mencederakan lima peserta perhimpunan dan merosakkan beberapa kenderaan, termasuk yang dimiliki oleh wartawan, ahli politik dan peserta.

Mengenai langkah-langkah tambahan yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di Alor Setar, hujung minggu ini, Mahfuz berkata: “Minta polis dapat kawal bukan sahaja di sana tapi juga di (semua) program biasa."

Hasan ali pcDitanya wartawan, siapa yang akan menggantikan exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerajaan negeri Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat dari PAS Ahad lalu, Mahfuz berkata jawatankuasa pusat PAS belum membuat keputusan.

“PAS pusat tak buat keputusan lagi. Surat rasmi dah dihantar.

“Saya tak nak komen (pasal impak pada Pakatan) takut ia akan diputar-belitkan menjadi serangan peribadi. Tapi bagi PAS dan Pakatan akan teruskan perjuanagan,” katanya sambil menambah Hasan telah menerima surat pemecatannya dan parti akan membuat keputusan apabila tiba masanya.

MALAYSIAKINI/-

Muflis 2019: Henti beri mandat kepada BN

17 Safar 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 11 Jan: Pengesahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 menujukkan rakyat perlu menukar kerajaan supaya Pakatan Rakyat dapat menyelamatkan negara, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menurutnya, Malaysia akan menjadi negara penghutang sebelum akhir dekad ini jika Kerajaan BN meneruskan cara-cara perbelanjaan dan peminjaman yang tidak bertanggungjawab.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK telah meningkat setiap tahun dari 53.1% pada tahun 2010, 53.8% pada tahun 2011 hingga 54.8% pada tahun 2012. Kadar hutang ini amat membimbangkan kerana sudah hampir mencecah siling hutang negara iaitu 55%.

Mengikut felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus meminjam seperti sekarang, nisbah hutang kepada KNDK negara akan mencapai 100% ataupun menyamai KDNK menjelang tahun 2019.

Secara mutlak, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak 71% dalam tempoh 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.

Jika kadar peningkatan yang sama diteruskan, hutang negara akan meningkat kepada RM780 bilion pada tahun 2016 dan RM1,300 bilion pada tahun 2020.

Yang lebih menrunsingkan kata Lim, kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

"Ini amat berbahaya, dan lebih teruk lagi jika ditambah dengan data Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK, lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

"Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang," kata Lim.

Beliau yang juga Setiausaha DAP berkata, Rakyat Malaysia bukan sahaja dibebani hutang piutang, tetapi kos barang-barang harian juga sedang melambung sementara pendapatan dan gaji tidak meningkat. Susu bayi pun telah naik harga sebanyak 50% baru-baru ini. Antara kos barangan harian yang meningkat adalah:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm.

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Sebaliknya ujar Lim, negeri-negeri Pakatan Rakyat telah berjaya mengurus kewangan supaya rakyat tidak dibebani hutang.

Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 201.

"Ini merupakan pengurangan sebanyak 95% ataupun RM600 juta, iaitu pengurangan yang paling besar dalam sejarah mana-mana negeri di Malaysia.

"Adalah jelas bahawa rakyat Malaysia yang menginginkan kehidupan yang lebih baik hari ini dan untuk generasi masa depan hendaklah membuat pilihan di antara sebuah kerajaan yang boros dan meminjam secara tidak bertanggungjawab di samping gagal menjana perkembangan ekonomi, dengan sebuah kerajaan yang berhemat dan telus serta mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.

Harakah Daily

AMK cabar Perkasa nafi insiden letupan

17 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 11 Jan: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menafikan penglibatan mereka dalam insiden letupan berhampiran Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta Isnin, lalu.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas laporan utama akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Peserta Bawa Bom’ yang mendakwa tiga butir bom buatan sendiri itu adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901.

Menurut Shamsul, laporan berita yang kononnya memetik sumber polis itu jelas bersifat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan imej penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita semua sedia maklum bahawa penyokong-penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan terdiri daripada beberapa orang ahli Perkasa turut berada berhampiran dengan lokasi di mana letupan bom tersebut berlaku.

“Sebelum daripada itu, Presiden Perkasa Dato’ Ibrahim Ali turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901. Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?,” soal beliau.

AMK juga katanya, mendesak akhbar Utusan Malaysia mendedahkan identiti ‘sumber polis’ yang dikatakan mendakwa tiga butir bom berkenaan milik peserta perhimpunan tersebut.

Katanya lagi, adalah pelik apabila polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan, tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan ‘hasil siasatan’ mereka sendiri yang kemudian diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat.

“Berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

“Pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai,” kata beliau.

Justeru, katanya, AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur supaya mengumumkan hasil siasatan polis dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang menyebabkan beberapa peserta perhimpunan mengalami kecederaan.

Keadilan Daily

Tawaran Jingga untuk rakyat 14 Januari ini

17 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 11 Jan: Manifesto Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-13 akan dikemukakan pada konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan di Alor Setar, Kedah 14 Januari ini.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat di sidang media hari ini mendedahkan bahawa manifesto berkenaan akan dibentangkan melalui beberapa kertas kerja yang memfokuskan isu rakyat.

“Konvesyen ini adalah konvesyen yang penting dalam memberitahu rakyat tentang tawaran pakatan melalui Tawaran Jingga yang akan dilancar dalam manifesto,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah mengenai pembaharuan memulihkan perkhidmatan awam oleh exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan isu ‘Federalisme’, oleh Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan menyampaikan kertas kerja mengenai anti-monopoli dan Pengerusi Biro Felda Kebangsaan KEADILAN, Suhaimi Said akan membentangkan kertas kerja tentang reformasi Felda.

Menurut Mahfuz, dengan tema ‘Bersihkan Malaysia’, konvensyen kali ini lebih memfokuskan gerak kerja dan strategi bersama tiga parti dalam persediaan pilihan raya umum akan datang

“Konvensyen ini akan memberikan rakyat Malaysia gambaran bagaimana Pakatan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu dalam negara untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia, iaitu satu keluarga yang berbilang kaum,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Manakala Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata Konvensyen ini akan mengumpulkan dan menampil pelbagai pendapat terutamanya dari badan NGO dan Mahasiswa.

“Ini merupakan satu tempat di mana kelompok-kelompok yang datang dari badan bebas serta mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka,” kata beliau.

Menurut Ketua Pemuda Dap, Anthony Loke Siew pula, Pakatan akan bekerja keras mengatur strategi bersama dalam konvesyen ini untuk persediaan pilihanraya.

“Kita akan lebih kuat dan mengaturkan lebih strategi. Tawaran jingga ini banyak memfokuskan kepada isu-isu masalah rakyat seperti Felda, monopoli, penjawat awam dan sebagainya.

“Ini akan memberi rakyat apa yang kita mampu tawarkan untuk rakyat dalam menawan Putrajaya,” atanya pada wartawan.

Keadilan Daily

Laluan tak dinaik taraf

17 Safar 1433H. [MOD] -

ALAI - Penduduk di Jalan Medan Ikan Bakar, Muara Punggor, di sini, mahu pihak berkenaan menaik taraf laluan di kawasan terbabit.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, laluan dari jalan raya utama sepanjang kira-kira 500 meter berlopak-lopak dan sebahagiannya tidak berturap menyebabkan becak setiap kali musim hujan.

Penduduk, Dzulkifli Ab­dul Rahman, 56, berkata, permohonan demi permohonan sudah diajukan kepada pihak berkenaan sejak lima tahun lalu namun sehingga kini keadaannya tetap sama.

Menurutnya, kecewa keadaan yang tidak pernah berubah, dia akhirnya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menurap sebahagian laluan yang hampir de­ngan kediamannya.

“Alasan yang diberikan setiap kali ajukan pertanyaan status permohonan adalah tidak cukup peruntukan.

“Anehnya, di sesetengah kawasan berhampiran, laluan diturap sehingga belakang rumah orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Turut kesal, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Punggor, Alai, Abdol Rahman Abdullah.

Menurutnya, masalah itu menjejaskan pemandangan kawasan terbabit yang terkenal sebagai tumpuan medan ikan bakar di negeri ini.

“Laluan ini sering digunakan pengunjung dan sekiranya ia tidak sempurna, sudah pasti mencemarkan imej Melaka sendiri.

“Siapakah yang akan menanggung malu, sudah tentu Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kawasan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahrom Dahlan, 51, berkata, setiap kali hujung minggu, kenderaan pengunjung medan ikan bakar sering menjadikan sepanjang laluan berkenaan sebagai tempat letak kereta.

“Keadaan ini memberikan tekanan buat kami kerana sukar untuk keluar masuk akibat laluan yang sering dipenuhi dengan kenderaan pengunjung.

“Jadi, apa salahnya Kerajaan Negeri memberikan penumpuan yang lebih sedikit terhadap kawasan ini dengan menyediakan laluan lebih selesa daripada menumpukan pada kawasan kurang penting,” katanya.

Difahamkan, selain pengunjung luar, laluan berkenaan turut menjadi jalan keluar masuk utama kira-kira 60 nelayan dan lebih 20 keluarga di kampung terbabit.

Sinar Harian

1-800-88-2824 talian bebas tol masalah sampah Selangor

17 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 11 Jan: Mesyuarat exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah memutuskan penyediaan satu talian bebas tol bagi menguruskan setiap aduan berkaitan isu sampah di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata talian ini bagi memudahkan orang ramai mengadu setiap apa kesulitan yang timbul terutamanya berkaitan dengan masalah sampah di kawasan mereka.

"Kita hari ini memutuskan satu talian bebas tol yang bernombor 1-800-88-2824 akan digunakan secara rasmi pada 17 Januari nanti bagi menerima aduan orang ramai berhubung maslah sampah ditempat mereka.

"Talian ini akan beroperasi 24 jam, yang mana pada jam 8 pagi hingga 6 petang akan diuruskan oleh pegawai manakala selepas jam 6 petang sebarang aduan akan di rekodlkan pada mesin aduan," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sejurus selesai mesyuarat exco hari ini.

Katanya, bagi mempermudahkan urusan pengangkutan sampai setiap pengadu perlu memberikan segala maklumat dengan lengkap mengenai lokasi masalah itu berlaku.

"Pengadu perlu tinggalkan maklumat lengkap setiap kali membuat aduan termasuk nombor telefon mereka dan ini adalah bagi memudahkan urusan kerajaan negeri untuk bertindak," sambungnya lagi.

Tambahnya lagi pihak berkuasa akan bertindak segera setiap kali aduan diterima jika ia dilaporkan pada waktu pejabat, manakala jika laporan itu dibuat pada sebelah malam maka tindakkan akan diambil pada keesokkannya.

Sebelum ini, beberapa laporan polis sudah dibuat ekoran dakwaan berlaku tindakan sabotaj pungutan sampah oleh pihak tertentu khususnya di kawasan Majlis Bandaray Shah Alam (MBSA).

Harakah Daily

Melaka digesa selesai masalah bas henti-henti

17 Safar 1433H. [MOD] -

MELAKA, 11 Jan: Dewan Pemuda PAS Melaka mendesak kerajaan negeri serius dalam usaha menangani masalah syarikat bas henti-henti di negeri itu yang membayangkan akan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Februari ini.

Ketua Penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, Kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju untuk mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti sepenuhnya dan membayar ganti rugi kepada syarikat bas yang mengalami kerugian, tapi malangya sehingga kini tiada pampasan yang di terima dari kerajaan negeri.

Katanya, jika benar keadaan itu berlaku, ianya dijangka akan menjejaskan hampir 30,000 orang penduduk negeri itu yang masih menggunakan perkhidmatan bas henti-henti tersebut.

"Menghairankan, bagaimana Kerajaan negeri boleh berhabis duit untuk membeli 10 buah bas Panorama bernilai RM2 juta untuk tujuan pelancongan dan melalui hanya beberapa destinasi tetapi bas untuk kegunaan penduduk negeri sendiri ibarat hidup segan mati tak mahu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Melaka, Razali Endun sebelum ini dilapor berkata sebanyak 120 buah bas terpaksa dihentikan perkhidmatannya akibat kos operasi yang tinggi menyebabkan syarikat tersebut menanggung hutang yang bertambah hari demi hari.

Kerugian yang terpaksa di tanggung oleh syarikat bas setiap hari hampir mencecah RM600 termasuk penyelengaraan kenderaan sedangkan kutipan tiket hanya sekitar RM200 sehari.

Mengulas lanjut, Muhamad Aizat berkata, perkhidmatan bas henti-henti di Melaka telah beroperasi berpuluh-puluh tahun lalu di mana kebanyakan penduduk masih menggunakannya khususnya pelajar untuk ke sekolah.

"Sudahlah monorel bernilai RM15juta masih lagi rosak, kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam pula hanya 3 kali penerbangan dalam seminggu, kini perkhidmatan bas awam pula bakal menamatkan operasi.

"Peliknya kerajaan negeri masih mampu membeli 'kenderaan' kapal selam bernilai RM7 juta untuk bahan pameran sedangkan hutang negeri sahaja telah mencecah RM800 juta. Yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri," katanya.

Harakah Daily

Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9

17 Safar 1433H. [MOD] -

SEREMBAN, 11 Jan: Pakatan Rakyat Negeri Sembilan berazam untuk menjadikan kawasan Gemas yang menjadi tapak projek Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) sebagai tapak pelancaran kebangkitan rakyat negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Taufek Abdul Ghani (gambar) berkata, atas dasar itulah, Pakatan akan melancarkan Rapat Rakyat N9 Ahad ini di Dataran Rakyat Gemas.

"Walaupun tiga ahli PAS akan didakwa esok ekoran program ini, kita akan jadikannya pembakar semangat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS bertanding di Parlimen Tampin, Dun Gemas dan Gemencih manakala DAP bertanding di Dun Repah. Namun, Harakahdaily difahamkan, selepas ini akan ada perubahan pembahagian kerusi kawasan ini.

9 Januari lepas, tiga ahli PAS ditahan polis ketika mereka datang ke Balai Polis Tampin untuk membuat laporan ekoran satu kejadian pertengkaran mereka dengan beberapa orang yang tidak dikenali.

Sekitar jam 10 malam, lima petugas PAS dengan diketuai Zanil Subuh, Ketua Penerangan PAS Tampin menampal poster rapat ini di sekitar pekan Gemenchih.

Namun, apabila mereka pusing balik ke tempat poster itu ditampal, mereka mendapati poster-poster yang dipasang mereka telah dikoyak.

Setelah disiasat mereka menjumpai sekumpulan orang sedang mengoyak poster itu. Apabila ditanya, mereka menjawab, mendapat arahan untuk membuang poster itu.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mereka kerana para petugas PAS ini beranggapan mereka dari parti lawan yang cuba merosakkan majlis mereka kerana mereka tidak memperkenalkan diri atau berpakaian seragam.

Selepas itu, satu laporan polis dibuat. Para petugas PAS ini pula ke balai polis Tampin jam 2 pagi hari yang sama untuk membuat laporan polis juga ekoran pertengkaran itu.

Namun, tiga orang termasuk Zanil telah ditahan polis atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam iaitu petugas Majlis Daerah Tampin yang membuang poster itu.

"Kami telah menziarahi mereka di lokap dan kita juga telah memaklumkan hal ini kepada keluarga masing-masing. Kita juga telah siapkan peguam untuk mereka kerana kita dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes ini ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin esok," kata Taufek yang juga Adun Paroi itu.

Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan ucapannya yang pertama di Negeri Sembilan selepas dibebaskan dari pertuduhan liwat 9 Januari lepas. Beliau akan disertai oleh timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perhimpunan di pekan Gemas Ahad ini adalah yang pertama selepas Konvensyen Pakatan Rakyat ke 3 yang akan diadakan di Alor Setar 14 Januari ini.

"Sehingga kini, 80 peratus persiapan sudah siap. Kita jangkakan lebih 20,000 rakyat negeri ini akan hadir majlis ini," kata Taufek kepada Harakahdaiily.

Harakah Daily

Halang tugas polis, pelajar mengaku tidak bersalah

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Penuntut Universiti Malaya (UM), Bukhary Mohd Sofian hari ini mengaku tidak bersalah berhubung tuduhan menghalang tugas polis, Sabtu lalu.

Bukhary, 21, ditahan reman empat hari di lokap Balai Polis Bukit Jalil sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling dan dibebaskan Ahad lalu dengan jaminan polis.

Dia ditahan atas sebab tidak bekerjasama dengan anggota polis yang mahu memeriksa pengenalan diri dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam, berhampiran pintu masuk utama UM.

Pertuduhan dijalankan di hadapan Majistret Parwin Hameedah Natchiar mengikut seksyen 186.

Parwin menetapkan jaminan sebanyak RM 2,000 dan sebutan kes pada 16 Februari depan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar kamar perbicaraan, peguam Farhana Abdul Halim turut mempertikai pihak polis apabila menahan Bukhary tanpa alasan munasabah.

"Anak guam saya didatangi tujuh anggota polis yang meminta untuk memeriksa pengenalan diri namun dia enggan menyebabkan dia dibawa ke Balai Polis Pantai.

"Hanya kerana itu dia ditahan reman empat hari, dan saya minta dia dibebaskan kerana ada peperiksaan semalam. Polis tak ada sebab untuk berlengah membebaskan Bukhary,' katanya.

Turut hadir memberikan sokongan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Che Abd Razab, Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim dan beberapa anggota SMM yang lain.

Harakah Daily

Di usia panjang ini saya kerja untuk agama - Nik Aziz

17 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 11 Jan: “Saya bekerja ni untuk itulah, untuk meluaskan bingkai agama, jadi melalui usia yang panjang inilah saya boleh melakukannya,” kata Tuann Guru Datuk Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily selepas majlis meraikan harijadi beliau ke 81 hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu hari ini begitu terkejut apabila majlis keraian diadakan untuknya sempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-81, yang jatuh pada 10 Januari semalam.

Mursyidul Am itu juga tidak menduga acara itu dibuat sedemikian rupa yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu padanya sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas menjamu selera sempena majlis keraian itu yang diadakan di pejabatynya hari ini.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini. Semalam Nik Aziz berpuasa tanda kesyukuran ekoran pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan meliwat.

“Saya hanya diberitahu oleh setiausaha saya hari ini ada jamuan, itu sahaja,”ujarnya sambil tersenyum ceria.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari ulangtahunnya sendiri selama ini.

Tambahnya, hanya setiap hari beliau berdoa semoga usia yang diberikan Allah setiap hari itu dapat dimanfaatkan dengan baik khususnya untuk berdakwah semoga rakyat Kelantan termasuk Malaysia menggunakan Islam yang syumul, bukan hanya separuh sahaja.

Katanya, Islam separuh hanya disebarkan oleh orentalis barat seperti agama dan politik perkara yang berasingan yang akhirnya ditelan oleh umat Islam pelbagai bangsa di dunia ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Turut meraikan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Fauzi Che Mamat dan lain-lain pimpinan.

Harakah Daily

Bertaqwalah Kepada Allah S.W.T.

17 Safar 1433H. [MOD] -

Hadith:

RASULULLAH saw. bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi).

Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T.

Pertama: Bertaqwa

Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)

Ketiga : Tidak menonjolkan diri

2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.

3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan martabat kemuliaan manusia itu sendiri.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

PAS kaji kendali permohonan jadi ahli yang ramai

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Berikutan permintaan yang bertalu-talu untuk menjadi ahli PAS sejak kebelakangan ini, PAS akan menyusun pendekatan bagi menguruskan permohonan yang datang bertalu-talu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga memberikan jawapan yang sama. Pihaknya akan mengkaji fenomena ini.

Harakahdaily sejak beberapa hari ini menerima panggilan bertalu-talu dari pihak-pihak yang bertanya bagaimana cara mahu menjadi ahli PAS.

Menurut laman rasmi PAS www.pas.org.my, syarat untuk menjadi ahli PAS itu ialah: Warganegara Malaysia, beragama Islam (bukan Islam boleh menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS-DHPP), 'aqil baligh menurut hukum syarak.

Di samping itu, mereka juga perlu mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.

Pelajar universiti atau kolej universiti pula tidak boleh menjadi ahli tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada naib canselor universiti berkenaan. Ia berdasarkan Akta Universiti yang sedang ditentang oleh para pelajar universiti sekarang.

Harakah Daily

Maritim patahkan cubaan seludup ganja

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam operasi di perairan Kedah-Perlis, kelmarin.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.20 tengah hari Isnin lalu, bot ronda Maritim dari Pangkalan Maritim Kuala Perlis Wilayah Maritim Utara, mengesan dua bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot tanpa nombor pendaftaran itu dilihat berada hampir antara satu sama lain, dalam jarak kira-kira 200 meter dari pantai Kuala Jerlun, Kedah.

“Kedua-dua vesel (bot) ditahan untuk pemeriksaan. Siasatan seterusnya menemui 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja, dianggarkan seberat 10 kilogram, di­simpan di dalam guni berwarna putih dalam vesel pertama.

“Pemeriksaan ke atas vesel kedua mendapati terdapat satu plastik kecil mengandu­ngi daun kering disyaki ganja, namun berat sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Kok Kwee berkata, Maritim turut menahan empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warganegara asing, dipercayai dari Thailand, untuk membantu siasatan.

“Ini merupakan kes pertama tahun ini yang melibatkan penyeludupan dadah melalui perairan utara negara.

“Maritim akan terus membuat pemantauan terhadap penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang Maritim,” katanya.

Sinar Harian

Pencuri kasut kantoi

17 Safar 1433H. [MOD] -

KERTEH – Hanya kerana mahu mencari wang dengan cara mudah, kasut turut dijadikan sasaran untuk dicuri.

Namun, perbuatan seorang lelaki Melayu berusia 30-an yang mencuri kasut di Kawasan Perumahan Bandar Baru Kerteh akhirnya, kantoi apabila berjaya dicekup polis di kawasan Kampung Telaga Papan dekat sini, kelmarin.

Dalam tangkapan kira-kira jam 3 petang kelmarin, suspek yang berasal dari Kemasik, ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kerteh, diketuai Inspektor Jamali Abu Bakar dengan bantuan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kerteh.

Tindakan pantas polis memburu suspek adalah susulan maklumat orang awam dan ekoran penahanan itu, polis merampas sepasang kasut, sepasang selipar dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

Hasil ujian saringan awal, polis mendapati suspek positif dadah dan hasil pemeriksaan rekod suspek juga dikehendaki berkait laporan polis di Melaka Tengah atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berikutan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat mengesahkan kes berkenaan ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian

Tak sangka mangsa ibu sendiri

17 Safar 1433H. [MOD] -

JITRA - “Saya tidak sangka mangsa kemalangan itu ibu kandung saya.” Demikian luah seorang remaja, Mohd Azhar Abu Talib, 20, selepas melihat kemalangan atas jambatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jitra-Bukit Wang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi semalam, ibunya, Ariza Daud, 39, yang menunggang motosikal bersama jiran sekampung mereka, Fatimah Dali, 48, masing-masing dari Kampung Padang Panjang, di sini maut di tempat kejadian selepas terlanggar sebuah pikap.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar borang permohonan bantuan persekolahan anak mereka di Pejabat Zakat daerah Kubang Pasu.

Mohd Azhar berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Jitra (HJ) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan melanjutkan pengajian di Pusat Giat Mara.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, ketika melalui jambatan tersebut, dia dimaklumkan orang awam terdapat kemalangan membabitkan mangsa dari Kampung Padang Panjang.

“Saya segera menghampiri tempat kejadian dan terkejut melihat mangsa kemalangan adalah ibu.

“Saya terkedu seketika apabila melihat ibu yang sudah tidak bernafas diangkat menaiki kenderaan polis untuk dibawa ke hospital,” katanya di pekarangan Jabatan Forensik HJ.

Mohd Azhar berkata, dia pasrah namun reda dengan pemergian ibunya yang juga seorang penyabar itu.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya ialah beberapa jam sebelum kejadian itu, namun tiada sebarang perubahan ditunjukkan.

“Awal pagi sebelum kejadian, ibu kejutkan saya untuk pergi membuat pemeriksaan kesihatan di HJ, namun tidak sangka itu kali terakhir bertemu dengannya,” katanya.

Suami Fatimah, Mohd Noh Abd Wahab, 53, ketika ditemui turut memberitahu kali terakhir dia bertemu isterinya pada jam 9 malam kelmarin sebelum keluar bekerja.

Mohd Noh yang bekerja sebagai pemandu lori kuari itu berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian oleh rakan sekampung.

“Saya terkejut mendengar berita kematian isteri saya memandangkan tiada perubahan ditunjukkannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kenderaan pikap jenis Nissan Navara dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian pikap terbabit yang dalam perjalanan dari Malau ke Jitra membrek secara mengejut lalu terbabas melanggar tembok jambatan sebelum berpusing dan kemudiannya melintang di jalan bertentangan.

“Ketika itu keadaan jalan basah selepas hujan dan motosikal Honda EX5 yang datang dari arah Jitra ke Malau tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian pintu penumpang sebelah kiri sebelum terbabas.

“Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Beliau berkata, pemandu tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

DSP disabit bersalah rasuah

17 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) disabit bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM36,000 lapan tahun lalu di Mahkamah Seksyen, di sini, semalam.

Mansor Mohamad, 55, menghadapi enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada tiga individu yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di Muar antara 21 April dan 5 Mei 2003 ketika menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah tersebut.

Dia didakwa meminta rasuah sebanyak RM6,000 daripada Toh Ah Ban di sebuah hotel pada 21 April jam 2 petang bagi tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu.

Mansor juga meminta jumlah rasuah yang sama daripada Wong Choon Seng dan Lee Cheng Seng masing-masing di Plaza Tol Plus Tangkak dan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Temenggung Ahmad pada 28 April jam 12 tengah hari dan 2 petang.

Dia didakwa menerima wang tersebut dari ketiga-tiga lelaki berkenaan di sebuah bilik hotel pada 9 Mei, 10.15 malam.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Hakim, Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhi hukuman empat tahun penjara bagi setiap kesalahan tersebut dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM180,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayarnya.

Peguam tertuduh, Rosli Kamaruddin memohon hukuman terbabit ditangguh­kan bagi membolehkan rayuan dibuat terhadap keputusan itu dengan mengambil kira anak guamnya seorang penjawat awam yang berkhidmat cemerlang sepanjang 30 tahun perkhidmatannya.

Mohamad Haidar kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh mengemukakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian

PKR Dedah Bukti Dakwaan Seleweng Wang Zakat MAIWP

17 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu mendedahkan bukti berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bukti tersebut ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri.

"Ini termasuk baucar bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

"Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Bukti yang dikemukakan Nik Nazmi itu berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman Jamil Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam satu kes qazaf.

Nik Nazmi berkata, dokumen kedua pula merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jumlah itu meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar tersebut.

“Ini mengesahkan laporan atau siasatan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara,” katanya.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, Jamil Khir dalam kenyataannya berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

“Namun Laporan Ketua Audit kita sudah nyatakan lebih awal. Jamil Khir hanya menjawab mempunyai peruntukan kerajaan RM700,000 tetapi tidak pernah sentuh langsung bahawa Laporan Ketua Audit ada menyebut bahawa kedua-dua bayaran Februari dan April itu menggunakan wang zakat dahulu,” katanya.

Beliau menambah, hanya pada Disember 2010, baru wang tersebut digantikan kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWIP. Jamil Khir tidak menyebut tentang hal ini.

“Ini bukan peruntukan kerajaan tetapi wang zakat. Ini bukan ambil dulu kemudian pulangkan. Kita pernah bangkitkan kes di Johor, (bekas) amil (menyalahgunakan wang zakat kira-kira RM20,000) yang dikenakan hukuman empat tahun penjara dan tiga sebatan.

“Kenapa beza untuk menteri?,” soal Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memperbetulkan laporan sebuah akhbar arus perdana pada 4 Januari lalu yang memetik kenyataan Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salah guna zakat tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Keadilan tidak pernah mendakwa demikian sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara,” katanya.

mstar/-

Hantar notis saman

17 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Bukan omong kosong, malah Pemuda Pas Negeri menunaikan janji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Ketua Pemuda Umno Negeri, Mohamad Annuar Ariffin dengan menghantar notis tuntutan ganti rugi berjumlah RM600,000.

Pemuda Pas Negeri turut menamakan Pergerakan Pemuda Umno Negeri sebagai pihak kedua.

Rombongan 20 Unit Amal Pas itu diketuai oleh Peguam dan Pengarah Undang-Undang Pemuda Pas Negeri, Mohammed Zamri Ibrahim dan turut mengiringi bersama adalah Penolong Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Safarizal Saleh; Exco Pemuda Pas Negeri, Mohd Hakimi Syah Alani; Zairul Azrun Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Amal Negeri, Arif Sha’arani.

Dalam notis berkenaan, Mohamad Anuar telah membuat kenyataan tidak benar mendakwa Unit Amal Pas sebagai dalang demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan disusuli tuntutan permohonan maaf dari beliau.

Tindakan itu telah mencemar nama baik dan menjejaskan reputasi anak guamnya (Pemuda Pas Negeri) dan menggambarkan Unit Amal Pas menggalakkan serta menyokong demonstrasi diadakan.

Mohamad Anuar dan Pemuda Umno Negeri diberi tempoh tujuh hari bermula semalam, untuk menjelaskan tuntutan berkenaan berserta kos notis sebanyak RM200.

Sekiranya gagal menjelaskan tuntutan RM600,200 itu, pihak berkenaan akan mengambil tindakan dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi setelah tamat tempoh yang diberikan.

Notis Tuntutan Ganti rugi itu diterima oleh Pegawai Media Pemuda Umno Negeri, Syed Afzarizal Syed Salim di perkarangan Bangunan Umno Negeri di sini, semalam.

Sinar Harian

Wang zakat: PKR bawa bukti baru, laporan polis esok

17 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - PKR tampil dengan dua bukti berhubung dakwaan salah guna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk tujuan fi khidmat guaman, yang telah dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112, bertarikh 29 April 2010 melibatkan wang sebanyak RM32,150.

"Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Kedua menurut beliau, merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat dalam baucer tersebut, digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

"Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman," kata beliau.

Namun kata beliau, Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP.

"Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, PKR memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam dan akan membuat laporan polis di di Balai Polis Dang Wangi berkaitan isu berkenaan.

Sinar Harian

Majlis Fatwa: Dakwat kekal harus dan dibenarkan

17 Safar 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 adalah harus dan dibenarkan.

Pengerusinya Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata perkara itu diputuskan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

"Dakwat itu jika digunakan oleh umat Islam ia boleh diserap air jadi tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuk menunaikan sembahyang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu di sini.

Mesyuarat yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan dan para mufti.

Pada Disember lepas, SPR mengumumkan dakwat kekal jenis 'silver nitrate' akan digunakan pada PRU13.

Dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Shukor berkata ujian yang dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga mendapati penggunaannya tidak memudaratkan atau pun memberikan kesan sampingan.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa dan yang telah diuji sahaja.

"Jika SPR berhasrat menggunakan dakwat jenis lain, maka keputusan lain perlu dibuat. Tetapi difahamkan SPR hanya akan menggunakan dakwat yang sama," katanya.

Sinar Harian

Gempa di Acheh: Semua pelajar Malaysia selamat

17 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA 11 Jan. - Semua pelajar Malaysia yang berada di Acheh selamat setelah gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggoncang pusat Bandar Acheh awal pagi ini.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta yang juga Setiausaha Satu Education Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, sejurus selepas kejadian, Biro Kebajikan,

Keselamatan dan Kediaman Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh telah menghubungi semua pelajar Malaysia terbabit dan meminta mereka menyelamatkan diri.

Beliau berkata, para pelajar telah diminta pergi ke tempat tinggi bagi mengelakkan ancaman tsunami.

Bagaimana pun, selepas pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami, mereka kembali ke kediaman masing-masing.

Gempa bumi yang berlaku pada pukul 1.36 pagi tadi berpusat di lautan di 419 kilometer Barat Daya Meulaboh, Aceh dan kesan gegarannya dirasai sehingga ke Medan, Sumatera Utara.

Ia kemudian disusuli dengan beberapa gempa susulan.

Sementara itu, Ludinata berkata, semua pelajar Malaysia di Medan juga selamat dalam peristiwa gempa bumi itu. - BERNAMA

Lelaki mati ditembak

17 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mati ditembak di luar pekarangan Plaza Sentosa, di sini, pada jam 7.50 pagi semalam.

Mangsa, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, melalui kawasan berke­naan sebelum ditembak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa terkena tembakan di bahu kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita masih menyiasat motif pembunuhan dari pelbagai aspek, termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV),” katanya, semalam.

Zainuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Sementara itu pengawal keselamatan premis berkenaan, Azman Mohd Nor berkata, dia sedang meronda di tingkat empat apabila mendengar bunyi letupan.

“Saya tak syak apa-apa kerana ingat ia adalah bunyi tayar lori pecah. Namun, apabila saya turun ke tingkat bawah, pasukan polis sudah sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mem-pu­nyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi hotline 07-2212999 atau balai polis berhampiran.

Sinar Harian

Berjuanglah Karena Allah!

17 Safar 1433H. [MOD] -

Sahabatku, berjuanglah karena Allah! Ditengah samudra kehidupan yang ganas, penuh badai dan gelombang yang harus kita hadapi, maka hadapilah hidup ini karena mengharap keridhaan Allah.

Jangan menyerah dan jangan putus asa. Jika seseorang merasa bahwa dirinya mendapat tekanan hingga batas ketidaksanggupan untuk dipikulnya maka semua yang ada dihadapannya menjadi hampa, ia merasa yang dilakukan tidak membawa perubahan apapun sehingga ia berputus asa.

Putus asa merupakan sifat buruk pada diri kita jika ditimpa musibah menjadi kehilangan gairah untuk hidup, kehilangan gairah untuk bekerja & beraktifitas sehari-hari, timbul perasaan sedih, merasa bersalah, lambat berpikir,

menurunnya daya tahan tubuh, mudah jatuh sakit karena yang ada hanyalah pandangan kosong seolah terhimpit oleh beban yang sangat berat berada dipundaknya sehingga putus asa meracuni kehidupan kita. 'Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika mereka ditimpa malapetaka dia menjadi putus asa dan putus harapan.' QS. Fushilat : 49).

Lantas bagaimana cara bisa mengatasi tekanan eksternal kehidupan & menguatkan ketahanan diri? Depresi maupun tekanan eksternal dalam kehidupan sehari-hari bisa memberikan dampak positif bagi anda maka ada beberapa hal yang dapat dilakukan. Pertama, Berhentilah untuk mengeluh,

lakukanlah apa yang anda bisa lakukan. Kedua, Bersyukurlah dengan kehidupan anda yang sekarang. Ketiga, Memohonlah pertolongan Allah dengan sholat dan sabar maka hal itu memberikan kekuatan ketahanan diri anda sehingga seberat apapun tekanan eksternal, kegagalan dalam usaha, bisnis, karier dan perjuangan hidup,

tidak akan membuat anda putus asa dalam mengarungi kehidupan. Ketaqwaan anda kepada Allah yang menjadikan anda kuat dalam menghadapi tekanan kehidupan sebesar apapun sehingga bisa menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. 'Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam segala urusannya.' (QS. Ath-Thalaq : 4).

M. Agus Syafii

Utusan cuba sensasikan ‘kesalahan’ muslimat PAS

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Jan: “Apalah ‘kesilapan’ yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno BN serta Fitnah I dan II terhadap Anwar?” kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siri Mariah Mahmud (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang telah menghebahkan gambar dari rakaman YouTube kegembiraan sebahagian Muslimat PAS, Wanita Keadilan dan penyokong Pakatan selepas pengumuman pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempertikaikan akhlak Muslimat PAS.

Katanya, kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS.

Tambahnya, ia satu kesinambungan usaha Umno BN untuk memburukkan PAS yang cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.

Baginya, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di Himpun 901 dan akan melihat rakaman tersebut di luar konteks peristiwa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, rakaman itu juga diharapkan akan menimbulkan keresahan sebahagian penyokong PAS yang sekarang dipasak dengan idea yang PAS telah lari dari perjuangan asal.

“Kami menduga ianya akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, anak-anak muda itu menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim Umno BN.

“Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam Himpun 901 dari awal hingga peserta Himpun 901 bersurai. Saya juga acap kali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat,” katanya.

Jelasnya lagi, sesiapa yang ada bersama pada Himpun 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan Anwar.

“Kami telah mengetuai bacaan Ma’thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan Anwar diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin,” ujarnya.

Katanya lagi, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.

“Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. Ini semua tidak pula dimasukkan ke YouTube,” katanya.

Tambah beliau lagi, selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan.

Baginya, tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat dalam sekitar 10 minit.

Kata beliau, sememangnya semua yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Jelasnya lagi, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

“Kalau kita singkap sirah Rasulullah saw, apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan,” katanya.

Katanya, kalau nak dipertikaikan melodi yang sering dimainkan oleh pancaragam sekolah yang digunakan ianya melodi nyanyian reformasi yang selama ini digunakan oleh anak muda semasa berdemo.

“Mungkin yang kasar sikit ialah ‘Mampus Umno’.Kalau kita lihat budaya wanita timur tengah pun begitu. Mereka akan bertepuk-tepuk dan mengangkat-angkat tangan sambil bernyanyi.

“Saya pernah bersama dengan Gerakan Islam Wanita di peringkat antarabangsa, Sudan, Indonesia, Algeria , Mesir dan lain-lain negara Islam yang lebih bersemangat dalam menyanyikan lagu-lagi jihad.

“Hanya orang yang tidak mendalami hukum sahaja yang membangkitkan isu suara wanita itu aurat pada ketika ini,” ujarnya.

DMPP juga, katanya yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa, ianya bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat.

“Apa pun oleh kerana ia satu perkara baru dan bukan satu budaya muslimat, bagi mereka yang merasa tersinggung, Dewan Muslimat memohon maaf dan akan lebih berhati-hati dengan perangkap Umno BN di masa akan datang,” ujarnya.

Harakah Daily

Penjelasan Kepada Berita Kehadiran Beberapa Tokoh PAS Di Rumah Dr Hasan Ali Ahad lalu

17 Safar 1433H. [MOD] -

Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.

Gangguan ini melibatkan berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi yang dihebah oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti.

Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Dato Dr Harun Din, YB Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Dato' Ismail Kamus antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Dato Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.

Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Harun Din sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulama'

'di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan.

Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Dato Dr Hasan Ali.

Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti. Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

Dalam suasana mencabar ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Duit Syiling Siri Baru Akan Diedar Mulai 16 Januari

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa mengumumkan bahawa duit syiling Malaysia siri baharu akan dikeluarkan untuk edaran mulai 16 Januari ini.

Bank pusat dalam satu kenyataan di sini berkata orang ramai boleh mendapatkan duit syiling baharu ini melalui urus niaga biasa mereka.

BNM berkata duit syiling baharu ini adalah sah diperlakukan dan akan dikeluarkan untuk edaran secara berperingkat dan akan digunakan bersama-sama dengan duit syiling sedia ada.

Duit syiling sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.

BNM berkata bagi memastikan peralihan yang lancar kepada penggunaan duit syiling baharu ini, vendor yang mengendalikan mesin wang tunai telah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mengubah suai mesin mereka agar boleh menerima duit syiling baharu ini.

Bertemakan 'Keunikan Malaysia', reka bentuk duit syiling siri baharu ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara.

Motif reka bentuknya memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia. Denominasi duit syiling siri baharu ini ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen dan lebih kecil serta ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya.

"Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga memudahkan orang ramai untuk mengetahui denominasi yang berlainan," kata bank pusat itu.

Ia berkata reka bentuk sisi tepi dan saiz duit syiling yang berbeza-beza akan memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan.

Selain itu, BNM berkata duit syiling baharu ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan turut memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan.

Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah daripada jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Untuk maklumat lanjut mengenai duit syiling siri baharu ini, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau menelefon 03-2698 8044 di sambungan 8658, atau melayari laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my. - BERNAMA

Gempa Bumi Kuat Gegar Sumatera Utara

17 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Satu gempa bumi kuat pada 7.3 magnitud menggegarkan Pantai Barat Sumatera Utara pada Rabu yang memberi amaran Tsunami yang kemudiannya telah ditarik balik.

Bagaimanapun, gegaran gempa bumi yang berlaku pada pukul 2.36 itu dapat dirasai di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jabatan itu menarik balik peringatan tersebut dua jam kemudian.

Pusat gempa bumi itu terletak pada 314 kilometer (km) Barat Daya Simelue, Indonesia dan 856 km Barat Daya Pulau Pangkor, Perak.

Jabatan itu berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan tersebut.

Gempa yang berlaku di Aceh pada tahun 2004 telah mengorbankan lebih 200,000 orang.

mStar/-

Burung jenjang ditemui merayau-rayau di California

17 Safar 1433H. [MOD] -

CARLSBAD, Amerika Syarikat - Seekor burung jenjang yang pada kebiasaannya terdapat di Afrika ditemui merayau-rayau di sebatang jalan raya di Encinitas, California pada Sabtu lalu.

Burung itu dipujuk memasuki sebuah garaj milik seorang wanita yang menemui haiwan tersebut semasa dia berjalan bersama seekor anjing di laluan ke rumahnya.

Wanita itu kemudian menghubungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan kelmarin yang membawa burung tersebut ke sebuah pusat perlindungan di Carlsbad.

Seorang lelaki yang mendengar berita mengenai burung tersebut kemudian menghubungi jabatan perkhidmatan haiwan itu dengan menyatakan ia adalah miliknya. - Agensi

kosmo/-

Obama tetap mahu tutup Guantanamo

17 Safar 1433H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan anti pusat tahanan Guantanamo, Brian Torrell, membuat bantahan menuntutnya ditangkap menjelang ulang tahun ke-10 pusat tahanan itu.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama masih berazam menutup pusat tahanan Teluk Guantanamo, di sebalik kegagalan berbuat demikian menjelang ulang tahun ke-10 pusat tahanan itu minggu ini.

“Komitmen presiden untuk menutup Teluk Guantanamo masih kukuh hari ini sama seperti ketika kempen pada 2008.

“Kita semua sedar halangan untuk melakukannya secepat yang dimahukan presiden tetapi komitmennya tidak berubah,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney. Antara kata-kata Obama paling diingati beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 2009 apabila mengisytiharkan mahu menutup pusat tahanan itu dalam masa setahun.

Malah, Obama menyifatkan kewujudan pusat tahanan itu digunakan sebagai alat merekrut pengganas dan membahayakan keselamatan dalaman Amerika.

Namun, Obama gagal menunaikan janjinya selepas berdepan tentangan hebat anggota Kongres untuk memindahkan banduan ke Amerika dan mengadakan perbicaraan sivil untuk suspek utama al-Qaeda.

Pun begitu, Carney menegaskan, Obama, pegawai atasan keselamatan dalam negeri dan pegawai kanan tentera masih percaya penutupan kem tahanan Teluk Guantanamo sejajar dengan kepentingan Amerika.

“Kami akan terus memegang pada komitmen itu dan berusaha untuk memenuhinya,” kata Carney.

Disebabkan tentangan hebat menutup kem itu yang bertempat di pangkalan Amerika di tenggara Cuba, dan tekanan politik ketika tahun pilihan raya, penutupan kem tahanan itu mungkin tidak menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Beberapa perancang utama serangan 11 September 2001 adalah antara 171 tahanan yang berada di kem berkenaan dan menanti perbicaraan tribunal tentera di situ.
Pangkalan tentera laut Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba menyambut banduan pertama pada 11 Januari 2002. – AFP

Tutup Aib Sesama Muslim

17 Safar 1433H. [MOD] -

Nabi saw. bersabda, "Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya.

Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi iman belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain.

Jangan mengintai-intai cacat cela mereka, sesungguhnya sesiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah nescaya Allah akan buka pekungnya walaupun di tengah rumahnya sendiri". " (HR Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa dari kalangan orang Islam yang tidak membela orang Islam lain apabila kehormatannya dicerobohi dan nama baiknya dicacati maka niscaya Allah membiarkan nasibnya ketika dia sangat memerlukan pertolongan Allah.

Dan mana-mana orang Islam yang menolong orang Islam lain ketika nama baiknya dan kehormatannya diceroboh niscaya Allah akan menolongnya ketika dia sangat-sangat memerlukan pertolonganNya. " (HR Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim maka Allah menutupi kesalahannya di dunia dan di akhirat. (HR Ibn Majah)

tazkirah/-

Pengawal keselamatan maut

17 Safar 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Seorang pengawal keselamatan maut manakala tiga anaknya parah dan dua lagi cedera ringan apabila sebuah kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kilometer 20 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Mohd Ariffin Awang, 55, seorang pengawal keselamatan di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Relau, Merapoh, Pahang.

Anak mangsa yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), Mohd Afandi Mohd Ariffin,16, Mohd Shahrui, 12 dan Mohd Shahmin, 10 manakala dua yang cedera ringan, isteri mangsa, Paridah Abd Rahman, 49 dan seorang lagi anak mereka, Mohd Shafrin, 23.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari bandar ini untuk pulang ke rumahnya di Kampung Merapoh, Pahang selepas menghantar seorang anak mereka, Mohd Hafis, 23, menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan itu, kereta Proton Waja yang dipandu mangsa dikatakan gagal mengawal sebaik tiba di kawasan selekoh sebelum merempuh tayar belakang sebuah treler panjang yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Gua Musang.

Kereta terbabit yang berpusing sebelum terbabas ke tepi jalan menghala ke Gua Musang menyebabkan mangsa yang cedera parah dan tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

Paridah berkata, sebelum kejadian arwah membawa dia bersama anak-anak mengelilingi bandar Gua Musang sebelum berehat di Taman Tasik.

Beliau berkata, kesempatan itu diambil sambil menunggu masa untuk menghantar seorang anaknya, Mohd Hafis menaiki bas ekspres jam 12 malam untuk ke Kuala Lumpur.

”Saya juga ketika turun dari rumah jam 8 malam tertanya-tanya kenapa lebih awal untuk ke bandar ini sedangkan masa untuk anaknya menaiki bas ekspres masih lama lagi.

”Sebaik tiba di bandar ini, dia (arwah) membawa saya bersama anak-anak mengelilingi bandar bandar secara berulang kali hingga saya terasa lain macam perangai suami,” katanya.

Namun, Paridah berkata, dia tidak berani menegur suaminya yang kelihatan garang dan masih kemaruk memandu kereta yang baru dibelinya sejak empat bulan lalu.

Beliau berkata, selepas membeli kereta itu juga, arwah kerap membawa dia bersama anak-anak pergi ke merata tempat termasuk di bandar lain di Kelantan kerana inginkan kecekapan memandu.

”Tak sangka perangai pelik suami sejak akhir-akhirnya akan meninggalkan kami semua untuk selama-lamanya selepas maut dalam kemalangan ngeri itu,” katanya.

Sinar Harian