11 Januari 2012

Wang zakat: PKR bawa bukti baru, laporan polis esok

17 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - PKR tampil dengan dua bukti berhubung dakwaan salah guna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk tujuan fi khidmat guaman, yang telah dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112, bertarikh 29 April 2010 melibatkan wang sebanyak RM32,150.

"Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Kedua menurut beliau, merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat dalam baucer tersebut, digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

"Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman," kata beliau.

Namun kata beliau, Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP.

"Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, PKR memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam dan akan membuat laporan polis di di Balai Polis Dang Wangi berkaitan isu berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: