11 Januari 2012

Pilih Pakatan dapat tanah, BN ‘gadai' tanah

17 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR JENGKA, 11 Jan: Para peneroka diberi pilihan sama ada memilih Pakatan Rakyat yang akan mendapat tanah, atau BN yang menyerahkan tanah Felda Plantation untuk penyenaraian saham yang berisiko tergadai kepada pihak lain.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) Negeri Pahang, Yohanis Ahmad, memberi bandingan demikian kerana tawaran PR seperti terkandung dalam ‘Buku Jingga’ tanah Felda Plantation akan diagihkan kepada anak-anak peneroka dan golongan lain yang layak.

Tambahnya, sedangkan mencagarkan tanah untuk ‘permainan’ saham boleh menyebabkan tanah tersebut terlepas kepada pihak asing yang akan menguasai melalui pemilikan saham.

“Betul ada pemimpin yang menjanjikan durian runtuh apabila Felda melalui anak syarikatnya mahu disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur, tetapi hakikat bermain saham ini bukan saja boleh untung besar tetapi juga boleh rugi besar.

“Kalau kita hilang lori mungkin boleh cari ganti, kalau hilang kedai sekalipun boleh beli lain tapi kalau hilang tanah sudah tentu tidak mudah untuk ditebus balik. Mungkin pemimpin yang menjanjikan keuntungan semata-mata tidak beritahu bahawa pemilikan saham boleh menyebabkan penjajahan baru.

“Kita bukan bercakap kosong cuba tengok apa jadi dengan syarikat Guthrie, IOI dan Golden Hope apabila disenarai di bursa saham. Begitu juga saham anak-anak syarikat kerajaan negeri.

“Sebab itu kita tengok di Thailand apabila bekas perdana menterinya Thaksin Shinawatra menjual saham telekomunikasi negara itu, rakyat bangkit dan memberontak. Itu saham telekomunikasi, ini pula tanah Felda Plantation seluas 360,000 ekar yang mahu dicagar,” katanya.

Yohanis berucap demikian dalam majlis Dialog dan Minum Petang Bersama Peneroka di Jengka 19, kelmarin.

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri memanjangkan pajakan 99 tahun tanah Felda Plantation dan usaha melupuskan aset Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang mahu disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Sebab itu kita seru pihak kerajaan, daripada nak ambil untung bermain saham cagarlah benda lain tapi jangan tanah. Daripada tanah seluas itu terlepas kepada puak kapitalis atau pelabur asing, baiklah diagih kepada anak-anak peneroka untuk diusahakan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pahang berkata, sebenarnya dasar Allahyarham Tun Razak dulu ialah memberikan tanah kepada orang Melayu sebab itu apabila dibuka saja Tanah Rancangan Felda akan diisi dengan peneroka.

Tambah Yohanis, tanah Felda Plantation juga pada asalnya mahu diisi dengan peneroka dan 10,000 orang telah ditemuduga. Tetapi pada waktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tanah tersebut telah diusahakan syarikat oleh Felda melalui dasar penswastaan.

“Sebab itu teori kita mudah iaitu Umno nak jual tanah sedangkan PAS nak bagi tanah jadi pilihlah mana satu yang dihajati dalam pilihan raya akan datang.

“Ini penting difahami oleh semua supaya tindakan kita semua tidak menjahanamkan masa depan anak cucu kita pada masa akan datang,” ujarnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: