14 Mei 2013

TG Nik Aziz berjaya tumpulkan keris nasionalis

4 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Antara kejayaan besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah berjaya menonjolkan nilai Islam yang menolak perkauman dan tidak sesekali menzalimi kaum-kaum lain.


Menurut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, pendekatan Tuan Guru Nik Aziz itu telah menyebabkan bukan sahaja Islam itu dipandang tinggi, malah orang bukan Islam juga menyambut baik perjuangan Islam itu sendiri.

"Saya yakin, misi dakwah yang merentasi bentang perkauman dan darah bangsa yang dibawa oleh Tuan Guru telah berhasil menumpulkan keris nasionalis yang diasah oleh golongan-golongan tertentu. 

"Hasilnya, non muslim begitu menyambut baik perjuangan Islam dan tanpa segan silu mengangkat panji-panji perjuangan Islam kerana yakin bahawa Islam tidak pernah menzalimi penganut agama lain sebagaimana yang telah terbukti di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu juga kata Ahmad, 23 tahun memerintah Kelantan Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa golongan ulamak juga mampu mengurus tadbir negeri.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan itu telah berjaya memecahkan persepsi sebahagian besar rakyat Kelantan bahkan seluruh negara khususnya terhadap golongan ulama. 

"Jika sebelum ini, persepsi rakyat terhadap golongan ulama ialah ulama tidak boleh mentadbir dan hanya layak berada di beranda madrasah atau masjid membelek kitab kuning untuk dibaca di dalam kuliah, tetapi hari ini dengan kejayaan YB Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan lebih daripada dua dekad, persepsi ini telah berjaya diranapkan," katanya.

Tuan Guru ujarnya telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990 lalu. 

Ianya boleh diukur denga pelbagai saranan dan pembaharuan dibuat sehingga membuka mata ramai pihak bahawa sebenarnya Islam lebih layak untuk mentadbir berbanding syariat ciptaan manusia.

Menurut Ahmad lagi, kejayaan pentadbiran Tuan Guru yang memandu masyarakat dengan agama, lebih penting dari kejayaan membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang bersimpang siur. 

Umum maklum katanya, bahawa Tuan Guru memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk perjuangan parti bahkan beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. 

Tuan Guru juga sering memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan malah beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

"Sungguh ketara sekali, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka. 

"Hasilnya, sekalipun silih berganti pemimpin di peringkat kerajaan pusat, kerajaan Kelantan alhamdulillah gagal dijatuhkan dalam enam kali pilihanraya umum berturut-turut, satu tempoh yang cukup lama bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan untuk bertahan sekalipun diasak dengan pelbagai serangan," kata Ahmad.


harakah/-

TG Nik Aziz serah tugas secara rasmi kepada MB baru

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


(Tg Nik Aziz menyerahkan tugas sebagai MB secara rasmi kepada Datuk Ahmad Yaacob hari ini)

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.

Penyerahan tugas itu diadakan sempena majlis jamuan perpisahan 'Jasamu Dikenang', khusus untuk Tuan Guru setelah mentadbir Kelantan hampir 23 tahun lalu.

Majlis berkenaan anjuran kerajaan negeri diadakan di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Semua anggota exco, pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Adun serta kakitangan kerajaan negeri hadir pada majlis tersebut.

Selepas PRU 13 lalu, Tuan Guru tidak lagi bersedia untuk meneruskan tanggungjawab itu kerana keletihan serta masaalah kesihatan.


(Bergambar kenangan selepas selesai majlis)

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, Tuan Guru merupakan seorang pemimpin serta role model yang cukup istimewa.

Ini kerana, katanya Tuan Guru telah berjaya mencipta tugu perpaduan khususnya bersama masyarakat bukan  Islam yang sebelum ini digambarkan imej yang buruk bagi mereka.

“Dengan kehebatan Tuan Guru, beliau telah berjaya menyatu padukan semua bangsa di negara ini sehingga mereka tidak lagi menganggap Islam sebagai agama ekstrem.

“Ianya dibuktikan lagi dengan penterjemahan sikap Tuan Guru sendiri yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”ujarnya.

Beliau turut mengakui tanggungjawab memikul amanah sebagai Menteri Besar begitu besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan.

Tegasnya, beliau memerlukan bantuan semua pihak untuk membantu rakyat melalui kepimpinan yang ada.

“Saya juga berharap ilmu dan idea dapat lagi disumbangkan oleh Tuan Guru walaupun tidak lagi sebagai menteri besar,”ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mengakui hatinya begitu tenang mentadbir Kelantan kerana tidak ada  masaalah yang ditimpakan ke atasnya.

Sambungnya, hasil kerjasama kakitangan kerajaan negeri, orang politik serta rakyat Kelantan sendiri yang baik membuatkan tugasnya begitu mudah diurus.

“Cuma yang sukar nak berhadapan dengan pihak lawan kita ni, dia ni teruk sangat, bukan setakat Islam dia lawan, demokrasipun dilawannya,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana tiadanya roh Islam dalam jiwa menyebabkan peranan pemimpin sedemikian akan ikut acuan yang tidak berlandaskan Islam.


harakah/-

Jet tentera Yemen terhempas di kawasan kediaman

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


SEBUAH lubang terbentuk di lokasi jet itu terhempas.


SANAA - Sebuah jet buatan Rusia Sukhoi SU-22 milik tentera Yemen terhempas di sebuah kawasan kediaman di sini semalam menyebabkan seorang juruterbang terbunuh, kata seorang pegawai tentera.
Menurut pegawai berkenaan, saksi-saksi memberitahu, ia meletup di udara sebelum terhempas manakala serpihan jet itu bertaburan di kawasan itu.
Kementerian Pertahanan Yemen menyatakan di dalam laman webnya, 26sep.net, ketika kejadian, jet tempur itu berlepas pulang daripada sesi latihan dari wilayah Marib dan Khawlan.
Pihak kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu. - AFP


MCA terima Exco Johor kerana perintah Sultan?

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR:
 Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyalahkan Sultan Johor kerana terus melantik pemimpin MCA untuk menjadi Exco negeri Johor.

Soi Lek dalam kenyataannya berkata, MCA tidak memberikan sebarang rokomendasi agar Adun Pulai Sebatang dari MCA, Datuk Tee Siew Keong dilantik sebagai Exco.

"Perlantikan Tee sebagai Exco adalah decree (perintah) Sultan Johor yang berkuasa untuk berbuat demikian," kata Chua dalam kenyataannya.

MCA di bawah kepimpinan Chua sebelum ini membuat keputusan tidak akan menerima sabarang jawatan kerajaan jika pencapaian MCA lebih lemah berbanding sebelum ini.

Ia adalah resolusi MCA yang dibuat pada tahun 2011 dan 2012.

"Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar dan Exco kerana keunikan Perlembagaan Negeri," kata Chua dalam kenyataannya.

Ekoran cadangan perlantikan ini, Chua berkata beliau telah meminta pandangan Perdana Menteri mengenainya dan Datuk Seri Najib telah menasihatkan beliau mendengar perintah sultan.

"Suka saya tekankan di sini, MCA akan mengekalkan keputusannya yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan 2011 dan diluluskan lagi dalam mesyurat 2012, untuk menolak semua jawatan kerajaan.

"Jawatankuasa Pusat MCA akan membincangkan kes Tee dan dia mungkin menghadapi tindakan disiplin berikutan perlantikan sebagai Exco Johor," tambah Chua dalam kenyataannya.
harakahdaily/-

9 suspek serangan Reyhanli serah diri

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


suspek serangan Reyhanli serah diri

Ratusan mangsa mengalami cedera parah apabila bangunan musnah dan puluhan kenderaan rosak teruk dalam kejadian serangan bom di bandar Reyhanli, sempadan Turki-Syria, kelmarin.
ANKARA - Sembilan lelaki penduduk tempatan menyerah diri selepas mengaku terlibat dalam dua serangan bom kelmarin di bandar selatan Reyhanli, sempadan Syria-Turki hingga menyebabkan lebih  50 penduduk maut manakala ratusan yang lain cedera.

Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata, sembilan suspek itu ditahan selepas mereka menyerah diri dan mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Menurut sumber polis, lima daripada suspek adalah ahli Parti Pembebasan Revolusi Rakyat (DHKP), manakala empat yang lain mendakwa mereka sebagai ahli kumpulan militan Acilciler.

Sementara itu, Syria menyelar tindakan Turki yang menuduh negara itu mendalangi pengeboman terbabit.

Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zohbi berkata, Damsyik tidak melakukan dan tidak 'akan' melakukan perbuatan itu kerana perbuatan terbabit menyalahi undang-undang negara dan kemanusiaan.

“Anda perlu tanya kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Beliau yang perlu dipertanggungjawabkan, “ katanya dalam temu bual di sebuah stesen televisyen tempatan.

Beliau mendakwa, Turki sebenarnya merancang serangan bom itu bagi mencari alasan kukuh untuk membenarkan campur tangan asing di Syria.

Kejadian itu juga mendapat kutukan Iran apabila Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki menyelar perbuatan Turki yang sanggup memperjudikan nyawa rakyatnya untuk kepentingan politik, laporan dipetik daripada Reuters.
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
suspek serangan Reyhanli serah diri

Ratusan mangsa mengalami cedera parah apabila bangunan musnah dan puluhan kenderaan rosak teruk dalam kejadian serangan bom di bandar Reyhanli, sempadan Turki-Syria, kelmarin.
ANKARA - Sembilan lelaki penduduk tempatan menyerah diri selepas mengaku terlibat dalam dua serangan bom kelmarin di bandar selatan Reyhanli, sempadan Syria-Turki hingga menyebabkan lebih  50 penduduk maut manakala ratusan yang lain cedera.

Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata, sembilan suspek itu ditahan selepas mereka menyerah diri dan mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Menurut sumber polis, lima daripada suspek adalah ahli Parti Pembebasan Revolusi Rakyat (DHKP), manakala empat yang lain mendakwa mereka sebagai ahli kumpulan militan Acilciler.

Sementara itu, Syria menyelar tindakan Turki yang menuduh negara itu mendalangi pengeboman terbabit.

Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zohbi berkata, Damsyik tidak melakukan dan tidak 'akan' melakukan perbuatan itu kerana perbuatan terbabit menyalahi undang-undang negara dan kemanusiaan.

“Anda perlu tanya kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Beliau yang perlu dipertanggungjawabkan, “ katanya dalam temu bual di sebuah stesen televisyen tempatan.

Beliau mendakwa, Turki sebenarnya merancang serangan bom itu bagi mencari alasan kukuh untuk membenarkan campur tangan asing di Syria.

Kejadian itu juga mendapat kutukan Iran apabila Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki menyelar perbuatan Turki yang sanggup memperjudikan nyawa rakyatnya untuk kepentingan politik, laporan dipetik daripada Reuters.

Jatuh macam nangka buruk

4 Rejab 1434 H. [MOD] -



Jatuh macam nangka buruk

Pihak Imigresen menahan seorang warga Indonesia yang cedera ringan setelah terjatuh dari siling rumah ketika cuba bersembunyi dalam satu serbuan, semalam.
IPOH – Tindakan pendatang tanpa izin warga Indonesia bersembunyi di siling rumah untuk elak diberkas dalam satu serbuan penguatkuasa Imigresen terbongkar apabila terjatuh dari ketinggian empat meter di sebuah rumah di pengkalan di sini, semalam.

Dalam operasi pada jam 2 pagi itu, lelaki berusia 30-an itu terjatuh seperti nangka buruk apabila siling rumah pecah akibat tidak dapat menampung berat badannya.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri, Irwan Zahid berkata, operasi dilakukan membabitkan kediaman, restoran dan kilang sekitar kawasan Batu Gajah, Simpang Pulai, Pengkalan dan Kampung Tawas.

Menurutnya, operasi khas itu membabitkan 34 anggota Imigresen dan lapan anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak bagi menjejaki golongan itu yang bekerja secara haram.
 
“Lelaki warga Indonesia terbabit ditahan dan hanya mengalami kecederaan ringan dan diberkas bersama tiga rakan lain yang sedang tidur dalam rumah berkenaan.

“Sebelum itu, keempat-empat mereka mempamerkan MyKad kemudian ditahan oleh pegawai JPN selepas didapati MyKad terbabit adalah palsu. Berkemungkinan dibeli dari sindiket tertentu,” katanya.

Selain itu, Irwan berkata, pihaknya turut menahan lima individu di beberapa premis perniagaan di sekitar Simpang Pulai dan Batu Gajah setelah gagal mengemukakan dokumen sah memasuki negara ini.

“Kelima-lima mereka adalah warga Myanmar dan Indonesia dan seramai 71 warga asing diperiksa sepanjang operasi itu.

“Kesemua ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di negara ini tanpa pas sah dan ditahan di Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

sinar/-

Kerajaan minoriti buat perangai

4 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Ketika pemimpin Umno bercelaru dengan apa yang berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia iaitu kerajaan minoriti, Umno melalui agen-agennya menghulurkan tangan kononnya demi perpaduan.

Dengan rasminya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar kiri) menolaknya manakala sebelum ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencela usaha yang disifatkan beliau berniat tidak baik itu.

"itu orang tengah lemas, saya orang tepi laut tahulah. Orang tengah lemas tidak boleh pergi dekat, kalau pergi dekat dia raba (tarik) kita tenggelam sekali," kata Tuan Guru Abdul Hadi kepada media di Kota Bharu semalam.

"Ini adalah kerajaan minoriti yang pertama dalam sejarah Malaysia," kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar kanan) mengulas isu ini.

Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, BN mendapat undi popular sebanyak 47 % manakala Pakatan Rakyat 49.9 peratus (PAS - 14.5%,  DAP- 15.4% dan PKR-20%).

Selain itu, Pakatan juga berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen dalam pilihan raya ini dari 82 ke 89 kerusi Parlimen.

Walaupun berkurang dari segi bilangan anggota Parlimen tetapi terbukti majoriti rakyat negara ini bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Memang kita bersyukur dan menerima takdir yang ditetapkan Allah SWT tetapi kita tidak akan redha dengan penipuan yang dilakukan," kata Dr Dzulkefly yang kalah dengan majoriti 460 undi sahaja.

Sehubungan dengan itu, katanya, PAS akan mengkaji semua penipuan ini dan akan membuat pendedahan mengenainya.

Dr Dzulkefly telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi JK Post Mortem yang dibentuk oleh PAS untuk mengkaji prestasi PAS dalam pilihan raya umum ke 13.

Pengerusi JK ini adalah Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

Dr Dzul berkata, tindakan Umno menggunakan pendekatan perkauman sekarang amat tidak wajar dan perlu dicela.

sedlangorku/-

Buih misteri keluarkan bau busuk di Nanjing

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


BEBERAPA orang menyaksikan buih yang muncul di Jalan Wende, Nanjing kelmarin.


NANJING, China - Penduduk di bandar ini dikejutkan dengan kemunculan buih berwarna putih di Jalan Wende, di Nanjing, dalam wilayah Jiangsu pada Sabtu lalu.
Buih tersebut itu muncul selepas sebuah kawasan kaki lima merekah.
Penduduk setempat mengadu buih itu mengeluarkan bau yang amat busuk.
Media tempatan melaporkan orang ramai percaya kejadian itu berpunca daripada pembinaan laluan tren bawah tanah yang terletak tidak jauh dari lokasi tersebut. - AFP


Siang doktor, malam penyamun

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


Siang doktor, malam penyamun

Chang Keong bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Ahmad Dzaffir Mohd Yusof (kiri) menunjukkan pistol mainan yang digunakan dalam kes samun semalam.
IPOH – Siang bergelar doktor tidak bertauliah, malam pula, lelaki yang baru setahun menjalani latihan di sebuah hospital di sini bertindak menyamun seorang peniaga dengan menyamar sebagai pegawai polis.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki termasuk doktor berusia 27 tahun yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz berhampiran sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah awal pagi, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun dihalang kereta yang dinaiki suspek bersama tiga rakannya lalu memperkenalkan diri sebagai polis menerusi vest yang tertera perkataan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, doktor terbabit menumbuk dada mangsa dan meminta wang RM350 untuk tidak memanjangkan kes terbabit.

“Mangsa diugut dengan menunjukkan suatu objek berupa pistol dipinggangnya. Mangsa yang tidak mempunyai wang dibawa ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang namun, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak berfungsi.

“Suspek berang tidak mendapat wang menaikkan jumlah terbabit kepada RM450 dan merampas MyKad mangsa.

“Namun, nasib mereka tidak panjang apabila pasukan rondaan polis berjaya menahan suspek menerusi maklumat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ditahan suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam namun, gagal mengemukakan kad kuasa.

“Suspek hanya mengemukakan kad kuasa Agensi Ranger Khas Malaysia sambil menyatakan boleh menahan mana-mana individu yang didapati bersalah. Keempat-empat mereka dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk siasatan.

“Turut dirampas vest polis yang berpangkat Asisten Superintendan, gari dan pistol mainan yang terselit pada suspek yang digelar doktor itu,” katanya.

Chang Keong berkata, doktor terbabit bersama rakannya berusia 24 hingga 21 tahun yang juga merupakan pelajar di sebuah kolej swasta akan ditahan reman sehingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Ini adalah kes kedua penahan suspek yang menyamar sebagai penjawat awam untuk menyamun sehingga Mei ini,” katanya.


sinar/-

Bapa bawa anak mencuri

4 Rejab 1434 H. [MOD] -



Bapa bawa anak mencuri

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki yang mendukung anak melarikan dua TV dari sebuah kedai elektrik di Temerloh Mall Jumaat lalu.
TEMERLOH – Dua lelaki yang melarikan dua televisyen (TV) jenama Toshiba 40 inci dari sebuah kedai elektrik di sini pasti tidak senang duduk jika tahu tingkah laku mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Kejadian berlaku di Temerloh Mall hanya disedari penyelia dan pengurus kedai terbabit kira-kira 10 minit sejurus dua suspek terbabit melarikan TV tersebut.

Berdasarkan maklumat daripada pengurus premis terbabit yang dikenali sebagai Wong, dua lelaki datang ke premisnya kira-kira jam 11.50 pagi, Jumaat lalu dan seorang daripada mereka mendukung anak.

Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura berminat hendak membeli mesin hampagas dipercayai sebagai usaha mengalih perhatian pekerja.

“Manakala lelaki yang mendukung anak mundar-mandir dengan membawa sebuah troli kosong sebelum mengambil dua TV jenama Toshiba 40 inci yang diletakkan di hadapan kedai.

“Namun tindakan lelaki terbabit ketika melarikan dua TV bernilai RM1,500 setiap satu itu tidak disedari pekerja," katanya.

Berikutan itu, Wong membuat laporan polis pada hari sama.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika premis terbabit membuat promosi jualan dan meletakkan empat TV di hadapan kedai, masing-masing dua TV 32 inci dan 40 inci.

Dua TV 40 inci itu diletakkan di bawah secara bertindih dengan dua TV 32 inci berjenama sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan berdasarkan rakaman CCTV tersebut.

sinar/-

15 maut di Benghazi

4 Rejab 1434 H. [MOD] -

BEBERAPA orang mengerumuni lokasi sebuah bom kereta meletup dekat sebuah hospital di Benghazi semalam.- REUTERS




BENGHAZI - Sebuah bom kereta yang meletup dekat sebuah hospital di bandar ini semalam telah menyebabkan 15 orang terbunuh, kata seorang pegawai semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abdullah Massoud menyatakan angka tersebut merupakan perangkaan awal selepas letupan tersebut memusnahkan sebuah restoran dan beberapa buah bangunan lain.
Beliau berkata, seramai 30 orang lagi mengalami kecederaan.
Seorang saksi memberitahu, dia mendengar letupan yang kuat semasa kejadian tersebut berlaku.
Serangan itu adalah yang terbaharu selepas sebahagian penduduk berjaya menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pada tahun 2011 ekoran kebangkitan rakyat di Asia Barat.
Sebelum ini, empat buah balai polis dibom di bandar ini dalam tempoh beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, serangan tersebut tidak menyebabkan kerosakan teruk dan kematian. Pihak berkuasa menyalahkan golongan radikal Islam berhubung kejadian keganasan yang berlaku di bandar ini.
Pada September tahun lalu, Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya, Chris Stevens dan tiga lagi warga AS terbunuh di Benghazi.
Mereka terbunuh dalam serangan yang berlaku di Pejabat Konsulat AS. - Agensi

Tamrin cadang tubuh NGO anti perkauman


4 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Veteran Umno Datuk Tamrin Ghafar yang kini merupakan ahli PAS mencadangkan penubuhan NGO baru bagi memantau sebarang kenyataan berbaur perkauman.



Beliau menyarankan NGO tersebut dinamakan Gerakan Anti Perkauman (GAP) dan dianggotai seluruh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan keamanan.

"Kita tubuhkan NGO Gerakan Anti Perkauman dalam masa terdekat ini yang dianggotai oleh seluruh rakyat yang cintakan keamanan.

"Kita akan gerakkan dan akan libatkan peguam-peguam yang akan siasat pemimpin-pemimpin yang keluarkan kata-kata berbaur perkauman," katanya.

Beliau membuat saranan tersebut dalam pidato di Sambutan Hari Bangsa Malaysia - Selamatkan Demokrasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Di hadapan ribuan hadirin pelbagai kaum yang hadir, Tamrin juga berkata sudah sampai masanya rakyat menolak politik perkauman yang diamalkan Umno.

Menyentuh mengenai kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mengapi-apikan orang Melayu dan Cina, Tamrin mahu beliau disiasat dan dikenakan tindakan.

"Hari ini kita dengar kenyataan Mohd Noor memberi amaran kononnya orang Cina patut bersedia menghadapi kebangkitan orang Melayu.

"Beliau ini patut disiasat, bukan siasat pemimpin Pakatan yang berceramah di Stadium Kelana Jaya minggu lepas.

"Kita ditakutkan dengan isu perkauman. Najib dengan tindakannya, Utusan dengan kata-kata kesat kepada orang Cina. Bagaimana Najib nak melaksanakan 1Malaysia dalam masa sama membenci orang Cina," katanya.

Turut berpidato malam tadi ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pakar Perlembagaan Prof Aziz Bari, wakil NGO Asal Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim, Presiden Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) Sulaiman Ibrahim (Leman Raja Lawak) dan pengarah serta penerbit drama Adam Hamid.
harakah/-

Terkejut remaja serah bayi 3 pagi

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


Roszita

Roszita (kanan) melakonkan semula detik seorang remaja perempuan menyerahkan bayi kepadanya di muka pintu rumah di Kampung Meraga Beris, Kijal, jam 3 pagi.
Roszita

Roszita bersama bayi misteri yang masih belum diketahui identiti.
Roszita

Di rumah Roszita inilah seorang remaja perempuan datang memberi salam dan mengetuk pintu sebelum meninggalkan bayinya tanpa sebarang nota dan dokumen.
KIJAL – “Kak, tolong jaga ‘baby’ saya,” kata seorang gadis berusia lingkungan18 tahun sambil menghulur bayi perempuan kepada Roszita Mat Yasin, 27, selepas mengetuk pintu rumah pembantu kedai makan itu di Kampung Meraga Beris, di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Roszita berkata, dia yang masih separuh sedar kerana baru terkejut dari tidur segera menyambut sekujur tubuh kecil seberat 2.8 kilogram itu yang lengkap berpakaian, tetapi masih terdapat tompokan darah dan lendir kering pada bahagian kepala bayi itu.

“Namun tak dan (sempat) saya tanya apa-apa, remaja perempuan itu terus tinggalkan saya terpinga-pinga di muka pintu. Dia segera masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang menunggu di depan rumah dan saya nampak kelibat seorang
lelaki dalam kereta tu.

“Kereta itu kemudian meluncur laju menuju ke arah Chukai, tapi saya tak cam warna dan nombor plat (pendaftaran) kereta itu sebab gelap dan saya masih mamai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ketika kejadian tiga minggu lalu itu, Roszita tinggal berdua bersama anak tunggalnya, Muhammad Amirul Shah Muhamad Jamri, 9, kerana suaminya, Muhamad Jamri Abd Kadir, 42, bekerja di kilang papan tidak jauh dari rumah mereka.

Namun, ketika nyenyak tidur, Roszita terdengar pintu rumahnya diketuk sambil mendengar orang memberi salam.

“Saya tidak rasa takut ketika membuka pintu kerana sangka yang mengetuk itu adik-beradik saya yang tinggal sebelah menyebelah, kerana mereka biasa juga ketuk pintu awal pagi. Dia berikan bayi itu sehelai sepinggang tanpa nota atau sebarang dokumen,” katanya.


Badan bayi berbau busuk 

Menurutnya yang bekerja di kedai makan ibunya, walau dalam cahaya samar-samar, dia nampak jelas muka gadis memakai tudung, baju T dan berkain batik itu, tetapi keadaan bayi misteri itu agak menyedihkan kerana badannya berbau busuk.

Ketika diserahkan, bayi misteri itu dipercayai berusia dua minggu berdasarkan keadaan tali pusat telah tertanggal.

Begitu pun, Roszita tidak segera melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana menyangka remaja perempuan itu akan datang kembali mengambil bayi itu di rumahnya.

“Selepas dua hari berlalu remaja itu masih tidak muncul, jadi saya bersama suami merujuk kes itu di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada hari sama.

“Pihak polis kemudiannya mengarahkan saya membawa bayi itu ke Hospital Kemaman dan ditahan di wad selama tiga hari kerana bayi ini tidak mendapat suntikan sebagaimana bayi lain ketika dilahirkan,” katanya.

Beri susu badan Roszita berkata, walaupun kemunculan bayi itu sangat misteri dan menjadi tanda tanya buatnya sekeluarga tetapi perasaan sayang seperti anak sendiri wujud dalam dirinya selepas selepas seminggu menjaga bayi itu.

“Saya dapatkan suntikan untuk memberi susu badan kepada bayi ini dan ia diselang seli dengan susu botol,” katanya yang kebetulan menginginkan lagi zuriat kerana sukar hamil disebabkan masalah buah pinggang dihidapi ketika kecil.

Urusan pendaftaran kelahiran diuruskan JKM dan bayi tersebut dinamakan Nur Aishah Humaira yang mana nama itu diberikan oleh anak tunggal Roszita sendiri.


Minta waris tampil 

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Kanak-kanak Pejabat JKM Daerah Kemaman, Salmi Abdullah meminta waris bayi itu tampil bagi  merungkai misteri kerana identiti bayi itu belum diketahui.

“Setakat ini, kita tidak tahu bangsa bayi ini dan apa-apa maklumat lain mengenainya jadi waris diharap dapat menghubungi JKM menerusi talian 09-8581686 atau terus datang ke Pejabat JKM Daerah Kemaman,” katanya.

Katanya, berdasarkan perintah sementara oleh mahkamah, bayi kini di bawah pengawasan Pejabat JKM Daerah Kemaman.

sinar/-

Adun Alor Limbat beri kek hargai jasa jururawat

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


MARANG: Walau pun baru seminggu bergelar 'YB' Adun Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman tidak henti-henti berputar di kawasan Dun itu menemui para pengundi dan pihak lain termasuk mengunjungi pusat kesihatan.


Bukan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Jururawat' melalui laman sosial atau melalui kad ucapan, Ariffin yang menganggap dirinya sebagai 'budak baru belajar' menghantar sendiri kek ke pusat kesihatan yang terdapat dalam Dun Alor Limbat.

"Saya hantar sendiri kek untuk menghargai jasa-jasa 'misi' (jururawat) sempena Hari Jururawat Sedunia, kebetulan ada empat buah klinik dalam Dun Alor Limbat, saya ambil kesempatan untuk memperkenalkan diri saya, maklumlah 'saya budak baru belajar'," ujarnya.

Pusat kesihatan yang dilawati beliau adalah Pusat Kesihatan Kepong, Pusat Kesihatan Gelugor, Pusat Kesihatan Rawai dan Pusat Kesihatan Tasek.

Menurutnya, kek tanda ingatan itu telah diterima oleh ketua jururawat pusat kesihatan terbabit dan beliau sangat sukacita kerana para jururawat sudi dan gembira menerima pemberiannya sempena hari jururawat itu.

Ariffin turut menyeru semua pihak supaya menghargai kesihatan kerana ia adalah faktor yang penting dalam kehidupan dan sumber kekuatan produktiviti dan pembangunan insan.

Katanya, Rasulullah SAW adalah contoh seorang tokoh yang mengutamakan kesihatan dalam kehidupannya.

"Sebagai contoh, untuk mengelakkan obesiti yang boleh membawa pelbagai penyakit, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak.

"Rasulullah menjaga kesihatan dengan selalu berjalan kaki ke masjid, pasar, ke medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar," ujarnya.


Pada PRU13 ini, beliau berjaya menewaskan penyandang kerusi Dun Alor Limbat daripada BN, Alias Abdullah dengan majoriti 645 undi. Alias menang pada PRU12 dengan majoriti 799 undi.

harakahdaily/-

Saya tak terasa banyaknya jasa saya – TG Nik Aziz

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, banyak pihak menyebut jasa-jasanya di Kelantan, sedangkan beliau sendiri tidak terasa banyaknya jasa itu.

"Ramai pihak menyebut jasa-jasa saya di Kelantan, sedangkan saya sendiri tidak terasa banyaknya jasa saya, yang banyak membantu saya ialah para exco dan pegawai-pegawai kerajaan,” ujarnya pada Majlis Jasamu Dikenang bertempat di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Dipetik daripada Facebooknya, bekas Menteri Besar Kelantan itu menambah, beliau umpama tuan punya restoran, jika masakannya baik, tuan restoran mendapat pujian sedangkan yang memasaknya ialah tukang masak.

“Saya umpama tuan punya restoran, jika masakannya baik, tuan restoran mendapat pujian sedangkan yang memasaknya ialah tukang masak, yang membeli lauk pauknya ialah pekerja dan yang menyediakan hidangan pun ialah pekerja, tetapi akhirnya yang dipuji ialah tuan restoran,” ujar beliau lagi.

Harakahdaily/-

Khaled Nordin angkat sumpah MB Johor

4 Rejab 1434 H. [MOD] -

Beliau menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang memegang jawatan itu selama 18 tahun.
JOHOR BAHARU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baru hari ini.

Mohamed Khalid yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini kira-kira 10.40 pagi ini.
Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Johor daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang memegang jawatan itu selama 18 tahun bermula daripada 1995.
Turut mengangkat sumpah hari ini ialah sembilan ADUN daripada Barisan Nasional (BN) bagi mengisi sembilan jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, BN Johor berjaya memenangi 38 kerusi DUN daripada 56 yang dipertandingkan dan 21 daripada 26 kerusi parlimen.
- Bernama