4 Rejab 1434 H. [MOD] -
IPOH – Siang bergelar doktor tidak bertauliah, malam pula, lelaki yang baru setahun menjalani latihan di sebuah hospital di sini bertindak menyamun seorang peniaga dengan menyamar sebagai pegawai polis.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki termasuk doktor berusia 27 tahun yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz berhampiran sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah awal pagi, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun dihalang kereta yang dinaiki suspek bersama tiga rakannya lalu memperkenalkan diri sebagai polis menerusi vest yang tertera perkataan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, doktor terbabit menumbuk dada mangsa dan meminta wang RM350 untuk tidak memanjangkan kes terbabit.
“Mangsa diugut dengan menunjukkan suatu objek berupa pistol dipinggangnya. Mangsa yang tidak mempunyai wang dibawa ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang namun, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak berfungsi.
“Suspek berang tidak mendapat wang menaikkan jumlah terbabit kepada RM450 dan merampas MyKad mangsa.
“Namun, nasib mereka tidak panjang apabila pasukan rondaan polis berjaya menahan suspek menerusi maklumat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.
Menurutnya, ketika ditahan suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam namun, gagal mengemukakan kad kuasa.
“Suspek hanya mengemukakan kad kuasa Agensi Ranger Khas Malaysia sambil menyatakan boleh menahan mana-mana individu yang didapati bersalah. Keempat-empat mereka dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk siasatan.
“Turut dirampas vest polis yang berpangkat Asisten Superintendan, gari dan pistol mainan yang terselit pada suspek yang digelar doktor itu,” katanya.
Chang Keong berkata, doktor terbabit bersama rakannya berusia 24 hingga 21 tahun yang juga merupakan pelajar di sebuah kolej swasta akan ditahan reman sehingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut.
“Mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Ini adalah kes kedua penahan suspek yang menyamar sebagai penjawat awam untuk menyamun sehingga Mei ini,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan