4 Rejab 1434 H. [MOD] -
Lima tahun dahulu, sejurus selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-12 di mana kita menyaksikan kebangkitan drastik pihak pembangkang Pakatan Rakyat, saya menyedari bahawa tiada satu pun pemimpin pembangkang saya kenali.
Dibesarkan pada zaman yang dimonopoli Umno dan Barisan Nasional (BN), idea pertemuan dengan pihak pembangkang tampak lucu dan gila. Namun setelah meneliti keputusan PRU12 dengan penuh mendalam, saya ambil keputusan untuk mengenali dengan lebih dekat kuasa politik baru Pakatan Rakyat (PR). Pendek kata, saya ingin ikuti cerita mereka.
Dari situlah bermulanya perjalanan saya mengenali hati budi politikus daripada PR. Hampir kesemua rakan saya daripada golongan elit Umno merasakan persahabatan saya dengan pemimpin muda Pakatan sesuatu yang aneh.
Mereka menyoal tindakan saya bergaul dengan orang yang tiada kuasa dan wang ringgit. Adakah Tukang Cerita kini sudah gila? Namun apabila Perdana Menteri sendiri mencanangkan idea ‘rekonsiliasi’ nasional, jelas apa yang saya lakukan sepanjang lima tahun lalu tidak langsung bertentangan dengan idea itu.
Namun, keterbukaan saya tidak mungkin berlaku jika tidak kerana masa saya banyak diluangkan di Indonesia. Setelah bertahun-tahun mengikuti perkembangan politik di republik itu dan melihat sendiri bagaimana arus sentimen rakyat menjurus kepada pelbagai kesudahan mengejutkan, ia mengajar saya tentang pentingnya mengenali pemimpin-pemimpin daripada setiap sudut spektrum politik.
Saya berasa senang dengan Parti Golkar (yang tidak jauh beza dengan Umno kerana ramai ahli parti yang kaya-raya), Parti Demokrat pimpinan Susilo (yang kini dalam proses rombakan besar-besaran susulan pelbagai skandal rasuah) dan PDI-P pimpinan Ibu Megawati (secara tradisionalnya disokong ‘wong cilik’ atau golongan ditindas).
Di Indonesia, terdapat pelbagai peringkat jawatan politik dari Kabupaten dan Walikota (daerah dan bandar) hingga ke provinsi dan nasional, terdapat pelbagai pilihan raya untuk diikuti.
Saya merantau hampir ke seluruh republik itu, mengambil kira pelbagai faktor yang mungkin meninggalkan kesan, tak kira ketika di Bali - di mana saya kini memerhati pertarungan sengit antara pemangku jawatan, Mangku Pastika yang disokong parti SBY dan ditentang bekas timbalan beliau, seorang ahli politik tempatan, Puspayoga yang membawa slogan “Pas untuk Bali” – ‘pas’ dalam konteks ini bermaksud sempurna, bukannya Parti Islam Se-Malaysia.
Sekembali ke Malaysia, terutama sejak 2008, saya banyak meluangkan masa bertemu dan menemuramah pemimpin pembangkang untuk mengenali mereka. Saya masih ingat saat bertemu Teresa Kok dan Gobind Deo di suatu acara di Puchong walaupun tidak diundang. Saya tertarik dengan sikap terus-terang Teresa serta sambutan meriah yang diterima ayah Gobind, Karpal Singh yang berkerusi roda.
Beberapa tahun kemudian, saya berpeluang menonton secara langsung perbahasan antara Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli di London. Terpegun dengan kepintaran Rafizi ini yang memulakan hujah beliau dengan memuji Dr Mahathir, saya tertarik untuk mengenali beliau secara mendalam.
Saya juga berpeluang mendengar dan belajar sendiri daripada tokoh Pas dan pakar toksikologi, Dr Dzulkefly Ahmad yang turut mengundang saya mengikuti beliau semasa pertemuan dengan tokoh dari parti Islam terkenal di Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera, Ustaz Hilmi Awaluddin.
Di sebalik kegagalan Dr Dzul mempertahan kerusinya di Kuala Selangor, saya secara peribadi, mula memahami faktor yang mendorong kebangkitan Ikhwan dan cabangnya di seluruh dunia. Malahan, Dr Dzul berjanji untuk bawa saya ke Egypt dan Tunisia untuk lebih memahami pola ini.
Jadi apakah yang cuba saya sampaikan di sini? Tentu sekali ini berkait tentang betapa pentingnya kita mendengar pendapat orang lain – dengan membuka minda menjangkaui aspek politik dan perpecahan yang timbul serta menumpu kepada tema sebenar yang membentuk kehidupan kini.
Pengalaman ini sungguh berguna, mendidik saya erti rendah diri. Interaksi dengan satu pihak hanya kerana mereka sahaja yang kamu kenali dan setujui adalah tindakan yang merugikan diri. Keadaan ini hanya akan membawa kepada perpecahan dan ketidakharmonian di kalangan penduduk.
Negara kita sedang alami perubahan dan kita hendaklah mengadaptasi diri, terutama jika kita mahu memahami dan belajar daripada arus perubahan budaya dan sosiopolitik baru masa kini. Justeru, bagi saya sebagai Tukang Cerita dan bagi kamu sebagai pembaca dan rakyat Malaysia, kinilah masanya untuk memulakan dialog…
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan